Sangeetha Sarinikma

Posted by Tukya

Membaca karya kreatif. Mana nikmatnya pada manusia bukan-sastera?

Oleh: Kassim bin Muhamad.

Membaca mampu menggugah minda. Kadang kala ia nyalakan gelojak; baranya membahang di dalam diri. Atau apakah ia hormon, memecikkan bunga-bunga akal supaya mekar dan bercambah?

Demikianlah antara kesan membaca terhadap jiwa. Mungkin. Lalu apakah semua bahan bacaan memiliki keupayaan menggugah? Mungkin tidak. Bahan yang ringan-ringan hanya diimbas sepintas lalu, tanpa perlu pencernaan yang serius.

Namun tatkala berdepan dengan bahan yang “berat”, ia perlu kita kunyah dan halusi sebelum dapat dinikmati kelazatannya.

Lalu apakah yang terjadi apabila kita membaca sesebuah cerpen? Untuk sesetengah orang, prosesnya mungkin tamat sebaik saja ia selesai dibaca. Untuk yang lain, mungkin ia tersadai separuh jalan. Yang muncul hanyalah citra yang berbalam-balam.

Lain pula dengan cerpen-cerpen yang setiap bulan disiarkan di dalam “Dewan Sastera.” Di sana ada analisisnya oleh para pakar bidang. Kita yang kurang arif pun mendapat manfaatnya; belajar menikmati karya-karya berpandukan analisisnya. Cerpenis akan lebih mengerti bagaimana orang lain melihat karyanya.

Dia juga dapat belajar sudut-sudut pandangan yang mungkin tersembunyi, sudut terlindung/buta yang hanya kelihatan oleh orang lain. Oleh itu teguran para pakar bidang cukup bermakna. Atau apakah ini semua tidak penting lagi kerana sesungguhnya kata orang pengarangnya sudah mati?

Dengan pelantar atau premis di atas, penulis memberanikan diri untuk mengharungi dunia yang tidak dikenalinya, tanpa ilmu kecuali keinginan. Oleh itu nada tulisan ini mungkin berbeza. Ia adalah tanggapan manusia buta sastera yang cuba menceritakan pengalamannya menikmati genre seperti cerpen. Penulis memilih memperkatakan “Sangeetha” (Azizi Hj. Abdullah, Dewan Sastera, Februari 2005, hal. 62 – 66).

Bagaimanakah caranya memulakan proses ini? Pertama, sinopsisnya. Ada dua watak cuma. Sangeetha, janda kaya yang berusia 85 tahun. Derus, 75 tahun posmen pencen yang bukan calang-calang manusia.

Bayangkan, kehadirannya saja sudah mampu menyalakan nafsu burung-burung merbuk untuk berkokok! Pun Derus juga adalah “lelaki tua yang sekian lama menghambakan diri dan tenaganya pada banglo itu”. Viralal adalah mendiang (?) suami Sangeetha yang mengumpul kekayaannya dengan memungut botol, besi-besi buruk. Teman bicara dan juga teman ranjang Sangeetha kini hanyalah Meo.

Yang mencengkam kedua insan, atau lebih-lebih lagi Sangeetha ialah jiwa-jiwa yang sepi. Kesepian usia tua yang meronta-ronta minta diisi. Kesepianlah yang mendukung cerita. Betapa tepunya perasaan dan keinginan minta dipedulikan. Rontaan jiwa yang rindukan belaian dan kasih. Namun dalam kebisuan mengharungi kemelut gelora jiwa yang membelit sanubari itu, mereka tetap jua berkomunikasi. Ada bicara berbentuk tingkah laku.. Sangeetha memperagakan sari merah pada malam yang gelita.

Komunikasi jiwa yang sarat kesepian itu juga telah digubah indah menjadi dialog batin melalui alat muzik tradisional, danga-tabla dan gambus. Maka berbicaralah dua jiwa sepi yang menghamburkan kerinduan masing-masing melalui muzik. Bayangkan betapa romantisnya pentas sepi cinta atau cinta sepi yang dihampar Azizi untuk orang-orang tua yang lagi kesepian! Atau bukankah mereka juga begitu gian untuk bersama? Sepinya sepi Sangeetha. Dunia sepi ini milik Sangeetha yang begitu rindu dan dambakan kehadiran seorang lelaki bernama Derus. Siang dan malam Derus dirinduinya. Derus timbul dalam jiwa dan khayalan Sangeetha. Derus yang merajuk siang tadi. Derus yang dibimbangi Sangeetha kabur begitu saja dan tidak kembali lagi.

Adakah Derus akan kembali esok, esok dan esoknya? Bayangkanlah seorang janda sepi yang merindui lelaki yang saban hari mengurusi rumah tangganya. Lelaki yang tidak mengerti apa-apa kecuali urusan sekeliling rumah dan menghidupkan moris minor. Ada lagi yang begitu membuat si janda ini begitu rindu. Derus begitu akrab dengan gambusnya. Muzik itu. Ya, muzik bahasa universal yang tidak pernah mengerti batas dan sempadan; warna kulit, bangsa atau agama. Yang seni ini telah memaut-satukan jiwa-jiwa mereka.

Itulah ceritanya

Sebagai sebuah karya seni, bukan itu saja ia menarik malah mempesonakan. Ibarat gelagat merenung sebuah lukisan, baik abstrak maupun konvensional, jiwa kita juga turut cair dan larut tatkala menikmati seluruh kesan visual yang terbina di dalam minda. Apa dan bagaimana kita melihat semuanya ini bergantung kepada pelbagai faktor. Antara lain mungkin sikap, kefahaman atau penghayatan kita terhadap karya, pengalaman hidup, pendedahan, deria jiwa kita untuk mentafsir.

Saya sering menemui lorong visual, paradigma (?) yang tersendiri setiap kali membaca sesebuah karya. Saya tidak pernah lupa pada penderitaan Zainuddin di dalam Tenggelamnya Kapal Van der Vijk. Demikian berbekasnya impak karya buya Hamka itu pada saya. Mungkin ada orang yang tidak mudah melupakan paparan pedih nyilu seorang anak gadis Yahudi yang terperangkap di dalam peperangan di dalam The Diary of Ann Frank. Mungkinkah kini telah wujud buku-buku harian berdarah anak-anak Palestine yang lebih hebat sengsaranya daripada Ann Frank?

Nah di sinilah letaknya kekuatan dan kebesaran ilmu sastera. Rasanya aspek ilmu inilah yang perlu diisi di dalam jiwa anak-anak kita di samping mengheret mereka mengejar dan memuja kehebatan kemajuan teknologi masa kini. Ibarat dacing, ia perlu seimbang. Ilmu inilah yang bakal membuat anak-anak kita lebih cerdas emosi dan matang darjah kewarasannya. Ia perlu untuk menghadapi cabaran hidup. Ada teman menyatakan bahawa anak-anak kita kini tidak lagi mampu mengerti makna kesusahan dan penderitaan.

Mereka kalap, tewas tatkala berdepan dengan kegagalan yang hanya sekali. Mereka tidak tau bagaimanakah caranya menangani kegagalan. Pada mereka deretan A di dalam peperiksaan itulah yang paling bererti di dalam hidup ini. Bukankah kita yang seolah-olah rancak; menternak manusia memuja bentuk membiarkan isi bertaburan? Makanya menuntut ilmu sudah hilang nikmatnya. Kita tersilau dengan yang menyilau. Kita teralpa untuk membaca-baca yang tersirat.

Apa lagi yang menarik perhatian di dalam cerpen ini?

Laras bahasa Azizi yang sarat, segar dan kaya identitinya Lihatlah senarai kosa kata yang pekat bau Utaranya:

“bersungut, keleweh, kerekot, penyidai, keriutnya, jenang pintu, merbuknya meratus, mengherotkan mulut, tergodam, menyerkup gelapnya”

Tentunya aspek yang sangat menonjol di dalam cerpen ini ialah bagaimana penulisnya mewarnai gelojak emosi yang begitu sarat di dalam karyanya sepertimana yang dijelaskan di atas. Sesungguhnya cerpen ini sarat lukisan perasaan seorang wanita yang sepi. Warna-warna yang diadun mengajak kita merasakan sama-sama mengalami betapa sepi itu menggigit, meronta-ronta dan merongrong batinnya. Jika kita lihat senarai ceritera yang dipaparkan oleh pengarang kita dapat bayangkan bagaimana beliau telah mencuba mewarnai lukisan perasaan di dalam karyanya. Lampiran A adalah contoh-contoh petikan untk renungan bersama.

“Kemunculan Derus selalunya dirasai seperti dia berada di dalam kota indah yang tidak jemu” (hal. 63)

Malah seluruh halaman 63 itu menceritakan betapa geloranya Sangeetha merindui, mengharapkan dan mendambakan kehadiran “Derus”

Nama “Derus” yang diulang-ulang menggambarkan kentalnya makna kehadiran lelaki tua itu di dalam kehidupannya. Maka apabila lelaki itu merajuk aneh perasaannya juga turut berkecamuk; bergelora dan terus-terusan direntap kegelisahan.

Teknik pengulangan kata seperti ini juga menceritakan betapa beratnya kebimbangan Sangeetha tentang hari esoknya. Sama seperti Datuk Jins Samsuddin yang membariskan esok dan esoknya, Sangeetha juga seolah-olah ingin tahu “Masih ada lelaki bernama Derus untuk mendampingiku setiap esoknya?” Rasanya esok yang tidak menentu cukup menyiksakan untuk insan-insan yang sepi dan lagi mabuk dilambung cinta?

Penulis betah sekali bermain dengan alam; untuk mewarnai dan mencuit deria emosi. Objek paling nyata ialah banglo tua yang dikepung tembok berlumut. Banglo tua sinonim kesepian penghuninya disandingkan dengan sayu sekali. Banglo tua yang tidak terurus, berlumut. Banglo yang satu ketika dulu tersergam indah kini turut murung dan suram dalam kesunyian. Banglo yang pernah menjadi lambang kemewahan penghuninya pada zaman-zaman kegemilangannya sepi dan sayu, kini.

Moris minor tua? Ada semacam himbauan kenangan terhadap guru-guru Melayu yang dikira sudah cukup hebat jika memiliki kaboi VW. Dan juga kenangan kepada persidangan UMNO yang rata-rata dipenuhi kelompok manusia idealistik yang begitu cintakan bangsa dan negara dan agamanya. Ya, moris minor yang membangkitkan nostalgia ini. Ya, moris minor tua itu. Jika mau, ketika itu kita boleh melintasi jalan raya sambil merangkak, kerana kereta hanya kelihatan sejam sekali! Betapa dunia kita telah begitu berbeda dan jauh berubah!.

Hidupan alam adalah gandingan flora dan faunanya. Jika lumut dan dedauan “sebesar syiling lima sen” itu adalah floranya maka Meo dan merbuk adalah faunanya. Jika Meo menjadi teman seranjang dan teman bicara Sangeetha, maka merbuk pula adalah temannya Derus.

Bukankah alam itu sebenarnya teman setia manusia?

Meo juga teman bicara Sangeetha. Merbuk yang diurus Derus adalah teman pengubat kesepian.

Sesungguhnya Sangeetha Azizi telah menggugah putik-putik deria emosi saya.

LAMPIRAN A

Contoh senarai kelarai perasaan yang dianyam penulis.

  • harapan dan keceriaanMenjelang matahari pagi…..daif. Kemunculan Derus selalunya dirasai seperti dia berada di dalam kota yang tidak jemu. (para 1, kolumn 1, hal. 63)
  • resah yang diamuk gelisahHanya rasanya, ada seperti satu hempapan kegelisahan dan keresahan yang sukar dicari punca.(para 2, kolumn 1, hal.63)
  • bingung yang sentiasa menyoalEntah kenapa dia tidak tahu? Tabuhan perasaan apakah yang ditabuh oleh Derus apabila pemberiannya itu ditolak dengan rajukan yang aneh? (para 4, kolumn 1, hal. 63)
  • harapan tidak menentu yang meresahkanNamun mungkinkah Derus akan datang esok, esoknya, dan esok, esoknya lagi?(para. 1, kolumn 2, hal. 63)

Senario Sang Jawi Yang Malang

Posted by Tukya

Seperti ular sawa yang lapar, tiba-tiba ia merongkai lengkaran, menyusur dan mahu membelit apa-apa. Begitulah dengan tulisan jawi.

Yang peliknya kebangkitan itu hanya suara yang tidak punya apa-apa kuasa , seperti ular sawa tua. Sedangkan pihak yang bertanggung jawab, pembuat dasar dan penguatkuasa, mereka yang mampu memberi arahan, seperti ular sawa kekenyangan; malas bergerak, malas hendak bangkit dan terus lena ditepi lembah yang serba mewah.

Dato Johan Jaafar, seorang tokoh yang pernah bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka, kemudian menjadi Ketua Pengarang Kumpulan akhbar Utusan Melayu dalam tulisannya menyalahkan bangsa Melayu apabila kematian akhbar mingguan Utusan Melayu (Jawi) yang edarannya tidak lebih 10,000 seminggu. Kemudian sekali lagi di dalam forum Jawi, Dato Johan Jaafar menyalahkan orang Melayu dengan membuat perbandingan orang Melayu dengan orang China, betapa kematian akhbar tulisan jawi itu tidak sepatutnya berlaku.

Selepas daripada itu hebuhlah pula tentang lemahnya penggunaan bahasa Kebangsaan dalam semua sektor. Lalu sebuah agensi yang gah dengan hiburan anak muda membuat pengakuan perkataan ‘bla-bla-bla’ yang digunakan oleh mereka, akan ditukar kepada istilah yang lebih menarik dalam bahasa Kebangsaan.

Seperti selalunya, yang hebuh dan bising ialah dua tiga orang tokoh bahasa yang masih kental roh mereka dengan jawi atau Bahasa Kebangsaan. M aka di kalangan menteri-menteri pun menyokong. Tapi sayangnya sekadar berkelun asap rokok.

Pelaksanaannya entah ke mana!

Apabila akhbar Utusan Melayu (edisi jawi) dihentikan, ia bukanlah kematian yang diratap oleh 10 juta bangsa Melayu (Buku statistik tahun 2000), apa lagi generasi sekarang yang 90% buta jawi. Ia hanya ditangisi oleh sebahagian ‘spesies’ orang Melayu yang asas belajar dan membacanya di tahun-tahun 40-an, 50-an dan 60-an dan tahun-tahun sebelumnya.

Lain pula halnya dengan Bahasa Kebangsaan. Walaupun belum sampai ditakuk ‘nazak’, kebanyakan generasi sekarang merasa bangga jika melihat kenazakan bahasanya sendiri dan mereka berbangga dengan bahasa lain. Bermula dari si Minah dan Awang Mat bercakap Inggeris bersulam-sulam di Supper Market, sehinggalah ahli korporat. pemimpin-pemimpin, mereka merasa ‘ tidak apa-apa.’

ASAL USUL JAWI
Apakah tulisan jawi / bacaan jawi benar-benar mustahak? Dari situasi masa lalu, ia tidak menggambarkan begitu mustahak, tetapi menggambarkan saki baki maruah ‘nyawa-nyawa ikan’ Melayu/ Islam dan nostalgia Pendita Za`ba sahaja.

Dari kertas-kertas kerja, seminar dan perbincangan, tidak ada seorang pun menyalah jawi yang sekian lama nazak ini akibat oleh ‘seorang’ dan bukan kerana bangsa Melayu yang tidak berjiwa kejawian.

Tulisan jawi berasal daripada tulisan Arab, sedikit-sedikit bahasa Parsi, Hindi. Orang Melayu pinjam untuk ganti tulisan Hindu yang sekian lama digunakan di awal kemasukan Islam. Bukti kemasukan ini ialah pada batu nisan maqam Shaikh Abdul Qadir ibnu Husin Syah Alam, di Langgar, Alur Setar Kedah pada 290 Hijrah bersamaan 910 Masihi.

Tiga ratus tahun kemudian, timbul pula tanda awal bahasa Melayu yang menggunakan tulisan jawi di Terengganu, dengan tarikh ‘Pada hari Jumaat 4 Rejab 702 Hijrah, bersamaan 22 Februari 1303’ dan diikuti dengan penemuan-penemuan lain selepas itu.

Kemudian ia tersibar luas, digunakan di daerah-daerah bahasa Melayu dan daerah bukan bahasa Melayu, termasuk ke Pulau Jawa.

PENGGUNAANNYA

Tulisan jawi telah diguna untuk berbagai-bagai penulisan. Yang tertua terbukti terpahat di Terengganu pada tahun 702 Hijrah, sehingggalah tercipta undang-undang Islam dalam tulisan jawi, manakala alat tulisan tradisional ini terdiri dari berbagai bahan seperti kulit kambing, kertas, buluh, kepingan pinggan, logam dan lain-lain.

PRINTIS KEPADA PEMBAHARUAN

Orang yang bertanggung jawab memberi nyawa terhadap tulisan jawi ialah Pendita Za`ba. Beliau mengompolkan perkataan Melayu sejak tahun 1918 bagi tujuan menyusun sebuah kamus besar. Tahun 1931 Za`ba menulis ‘Rahsia Tulisan Jawi.’

Ternyata Za`ba merupakan pendita yang meniup nafas jawi dari masa ke semasa. Akhirnya sebuah buku Daftar Ejaan Jawi-Rumi dapat disusun hasil dari perbincangan dengan beberapa rakan-rakannya.

Dan setahun kemudian Utusan Melayu tulisan jawi pula terbit , diikuti lagi Utusan Zaman dan majallah Mastika dalam tulisan jawi juga.

Zaman inilah gemilangnya jawi. Salah satu sebabnya ialah kerana peranan Za`ba memperbaiki, memberi panduan bagi memperkasakan lagi sistem ejaannya. Dan kegemilangan ini dirakamkan berdasarkan kertas kerja Konvensyen Tulisan Jawi pada 9-11 April 1984 di Maktab Perguruan Kuala Terengganu anjuran Yayasan Islam Terengganu dan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Roh Pendita Za`ba terus berkembang bukan saja melalui guru-guru yang terlatih di Tanjung Malim tetapi juga melalui akhbar di Semenanjung mahu pun di Singapura. Malangnya apabila pengaruh moden, anak-anak muda tidak berminat lagi. Dan yang lebih parah kerana berlakunya Akta Bahasa 1963 yang mengiktiraf tulisan rumi sebagai tulisan rasmi bahasa Melayu. Akibatnya semakin meningkat anak-anak muda yang buta jawi, peranan jawi dalam pentadbiran kerajaan hilang sama sekali, bahkan dalam jabatan agama sudah berubah ke tulisan rumi.

Bagaimana pun dampak yang sangat ketara sehingga kini keseluruhan anak-anak muda buta jawi disamping Akta Bahasa 1963, ada satu lagi sebab yang memusnahkan langsung akar umbi dan jatidiri jawi. Malangnya dalam konvension, seminar, orang tidak pernah menyebut akibat dari tindakan seorang menteri ‘Melayu’ yang menghapuskan jawi di sekolah-sekolah kerana beliau berkuasa sebagai Menteri Pelajaran.

Memang dalam kemerosotan dan kenihilan pengamal jawi, orang tidak nampak, apa lagi mahu menyalahkan orang yang bertanggung jawab dalam hal ini. Tetapi sejarah tidak boleh dinafikan. Kerana ‘menghapus’ jawi di sekolah-sekolah bererti menafikan pelajaran jawi untuk dipelajari oleh murid-murid waktu itu, sedangkan murid-murid adalah generasi masa depan. Di sinilah impak yang cukup ketara dan lupusnya generasi berkemampuan membaca jawi sudah tidak wujud lagi kerana mereka tidak pernah diperkenal secara asas pun. Bukan itu saja, mereka ditanam fahaman bahawa roh Pendita Za`ba adalah roh busuk, yang jawinya tidak mampu bersaing bersama bahasa dunia.

Pemulihan dilakukan terus menerus sedangkan menteri yang berkenaan hanya mabuk rasa dengan pencen yang didapatinya. Ia sedikit pun tidak sedih dan prihatin betapa bahasa jawi yang dibunuhnya, tidak lagi berakar umbi kepada generasi muda Melayu.

Jatidiri, maruah jawi yang malang itu menguasai zaman akhir 60-an, membawa ke zaman 70-an. Lalu Dewan Bahasa dan Pustaka pun bangkit dengan inisiatif besar. Diadakan bengkel, seminar dan sistemnya telah diterima, yang berasaskan roh Pendetia Za`ba. Dan golongan yang masih bernafas ikan, yang menyintai jawi kerana Allah telah memanjangkan usia mereka terus berusaha membaikpulih, meniup nafas segar. Akhbar Utusan Melayu (jawi) juga memain peranan penting.

Malangnya menteri yang bertanggung jawab mematikan jawi di sekolah-sekolah masih hidup dan beliau setitik pun tidak mengeluar air mata sedih apabila melihat generasi persekolahan sewaktu dia menjadi menteri dulu, tidak kenal lagi jawi.

Mengimbau sejarah lama yang belum satu kurun, memang sekolah ‘Melayu’lah yang menjadi sangkar utama keutuhan jawi. Tetapi apabila sekolah Melayu bertukar menjadi ‘Sekolah Umum’ yang kononnya demi perpaduan kaum dan kemudian bertukar lagi menjadi Sekolah Kebangsaan, maka peranan tulisan jawi, pembacaan jawi semakin ketara sakitnya. Guru-guru sudah berkurangan. Gegerasi tua yang mahir jawi, banyak yang mati. Akhirnya jawi hanya dipindah ke dalam pelajaran agama Islam saja.

Adakah nafas jawi mula segar? Jawabnya tidak! Pelajaran agama Islam hanya 30 minit satu hari. Tiba-tiba hari ini ada golongan yang menuduh orang Melayulah yang menyebabkan terkuburnya jawi.

SENARIO MASA LALU, REALITINYA KINI...

Apabila ada orang Melayu sendiri yang benci kepada jawi lalu dengan kuasa yang ada padanya, jawi pun di ‘lempar’ dari sukatan pelajaran di sekolah, apakah mampu generasi itu belajar sendiri jawi di bawah pokok atau di bangsal buruk atau di rumah-rumah tok guru yang mengajar muqaddam?

Sebelum tahun 1986 sistem tulisan / ejaan jawi Za`ba memang diajar di sekolah-sekolah. Pada awalnya di peringkat sekolah rendah di ajar kepada tahun 3 dalam Mata Pelajaran Pendidikan Islam. Maklum balas tidak memuaskan kemudian pada 6 November 1990 jawi boleh diajar mulai tahun 1, tapi hanya 1 waktu seminggu, 30 minit.

Peringkat ini sebenarnya menekankan kemahiran membaca dan menulis. Tetapi bayangkan 30 minit seminggu. Bayangkan sebulan empat kali dengan hanya 120 minit.

Di sekolah menengah di mana lanjutan murid-muridnya berasal dari sekolah rendah yang buta jawi, akan berhadapan pula mata pelajaran Pendidikan Islam, tetapi jawi tidak ada waktu khas. Manakala tingkatan enam objektifnya hanya kemahiran menggunakan tulisan jawi.

Di dalam peperiksaan SRP, SPM, STPM, soalan mata pelajaran Pendidikan Islam dirumikan. Kesannya tentulah pelajar tidak memandang mustahak tulisan jawi. Apabila tidak mustahak, untuk apa belajar?

Di Maktab Perguruan jawi hanya di ajar kepada guru pelatih untuk kursus pengajian asas agama Islam selama lima semestar.

Pelajaran jawi yang diajar dalam kursus hanyalah kaedah khat: semestar satu 16 jam, semestar dua, 21 jam, semestar tiga 10 jam, semestar empat 22 jam dan semestar lima 5 jam.

Senario ini sengaja didedahkan dan sesiapa pun akan menyoal, apakah cara begitu pelajaran jawi dapat dikuasai oleh pelajar?

Apabila generasi ini keluar, apakah mereka akan terus membaca, menulis jawi sedangkan pelajaran itu sangat dibenci oleh kerana payah dan susah.

KESIMPULAN

Menyalah kepada bangsa Melayu, khususnya generasi sekarang yang tidak celik dengan jawi sehingga akhbar Utusan Melayu terpaksa ditutup, adalah tuduhan yang tidak berdasarkan sejarah keruntuhan dan cuba membuta betapa dilakukan oleh ‘orang politik.’

Mengembalikan martabat dan generasi celik jawi, kita mestilah bermula dengan pengajaran jawi semula.

Siapakah yang mahu kembali seperti ini?

Ibadah Umrah Membazir

Posted by Tukya

Sejak akhir-akhir ini ibadah umrah sudah menjadi trend melancung. Ia satu budaya melancung bentuk baru atas nama ibadah umrah. Ramai umat Islam menganggap melancung cara ini adalah yang terbaik kerana ibadah ini serampang dua mata.

Tetapi ada hal lain yang umat Islam tidak sedar betapa beribadah seperti ini satu permbaziran amalan. Kerana terlampau ghairah hendak melakukan ibadah dalam bentuk ini, umat Islam telah membelakangkan beberapa perkara asas di dalam Islam, asas fardu ain, asas fardu kifayah, asas bersedekah, asas amal jariah dan asas jihad atas nama ‘Pokok Kebajikan.’

Puncanya tentulah kerana sebahagian besar umat Islam menerima ilmu ini kurang tepat, disalah tafsir oleh tuan-tuan guru kerana ada kepentingan, fahaman sekular agensi-agensi pelancung yang mengguna tanda nama ibadah umrah sebagai pancing dan umat Islam sendiri kurang pengetahuan falsafah ibadah, falsafah kebajikan, bertolongan dan jihad, mabuk dengan ‘ erti tafsiran kemuliaan Kaabah’ dan tersihir dengan nama ‘jenama Mekah.’

Dalam ertikata yang lain, ribuan umat Islam seluruh dunia, khususnya di Malaysia menyongsang amalan ibadah; dari sunat menjadi wajib dan mabuk dengan ganjaran pahala yang sesekali tersalah sasar dengan syariat dan hadis sendiri. Ada kala soal bid`ah menjadi amalan adat lalu mendakwa kononnya adat itu sendi agama. Malah khurafat juga sering menjadi amalan tahunan, upacara perasmian, yang dianggap di sisi agama tidak apa-apa.

Tulisan ini bukan bertujuan mengutuk umat Islam yang melakukan ibadah umrah, tetapi apabila ibadah umrah ini dilakukan setiap tahun dengan alasan ‘ini wang aku’ atau ‘engkau apa peduli’ maka inilah sebenarnya tulisan ini ditulis.

Umrah ertinya mengunjungi Baitullah untuk melaksanakan ibadah Tawaf, Sa`ei serta amalan lainnya demi mematuhi perintah Allah dan mengharap keredaannya pada waktu yang tidak ditentukan.

(1)Menurut Kamus Istilah Fiqh, hukumnya fardu ain bagi orang yang mampu, untuk pertama kali melaksanakannya atau kerana nazar. Dan hukum sunat apabila umrah itu dilaksanakan untuk yang kedua kalinya dan seterusnya.

(2) Umrah, mengikut pendapat yang terkuat dalam Mazhab Hanafi dan salah satu pendapat yang lebih diakui dalam Mazhab Maliki, ia adalah sunat mu`akad. Ini berdasarkan Hadis Rasulullah dari riwayat Jabir bagaimana seorang lelaki mendatangi Rasulullah s.a.w. meminta penjelasan adakah umrah itu wajib? Rasulullah menjawab tidak tetapi jika dilakukan adalah baik

(3)Di kalangan ulama Syafi`i dan ulama Hanbali, hukum mengerja umrah adalah fardu seperti fardu haji kerana berdasarkan firman Allah:
“ Sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah... – Al Baqarah ayat 196.

Selain dari berpegang pada firmah Allah di atas, ulama yang berpegang pada hukum tersebut pastinya berpegang juga pada satu hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah. Menurut riwayat, Aisyah telah bertanya kepada Rasulullah adakah orang perempuan wajib berjihad? Rasulullah menjawab ya tetapi tidak secara berperang sebaliknya mengerja haji dan umrah.

(4)Apa yang sebenarnya berlaku tentang umrah ini? Mengenai turunnya ayat 196 surah Al-Baqarah , beberapa peristiwa telah berlaku, di antaranya seorang lelaki memakai jubah yang harum semerbak dari wangian Za’faran mengadap Rasulullah s.a.w. dan berkata: Ya Rasulullah, apa yang harus aku lakukan dalam menunaikan umrah? Maka turunlah ayat tersebut dan Rasulullah pun bersabda menyuruh lelaki yang bertanya tadi menanggalkan baju wanginya, membersihkan hidung, mandi kemudian kerjakan apa yang biasa dikerjakan pada waktu haji.

(5) Bagaimana pun dalam kitab empat mazhab, di dalam mana-mana tafsir, kitab-kitab hadis dan di dalam buku Tabung Haji dalam bab haji dan umrah: haji dan umrah adalah ibadah fardu ain sekali dalam seumur hidup, seperti juga wajib menunaikan haji sekali dalam seumur hidup.

Tidak ada satu mazhab pun mengatakan umrah mahupun haji ‘wajib’ diulang- ulang.

Tetapi umat Islam mutakhir ini terutama dari golongan yang berpendapatan sederhana hingga golongan mewah, umrah sudah menjadi trend ibadah yang melampaui dari mengerja haji, menyonsang sunat kepada wajib. Golongan artis kerana rezeki ‘show’ yang bertalu-talu, sering berbelanja mengerjakan umrah, kemudian pulang dengan cerita-cerita yang karut marut, yang menggambarkan mereka adalah insan istimewa menjadi tetamu Kaabah. Golongan korporat, elit sering juga berumrah kerana di sanalah tempat mereka meminta. Orang-orang politik yang hampir muflis politiknya juga menjadikan umrah destinasi ‘bernazar’ dan pulang seolah-olah menjadi ‘insan kamil.’

Sebenarnya golongan ini, jauh terkeliru antara sunat dan tuntutan, tanggung jawab sesama umat. Golongan ini berpegang dengan melakukan sunat individu lebih penting dari tuntutan sejagat.

Dasar agama menurut Qur`an, haji dan umrah diwajibkan sekiranya mampu. Melalui surah Al-Imran ayat 97, Al-Haj ayat 27,28,29, Al-Baqarah ayat 196, 197 adalah hujahnya. Ada sembilan hadis yang menganjurkan mengerja umrah tetapi tidak disuruh mengulangi setiap tahun.

Bagaimana pun ramai umat Islam telah tersalah sasar, keliru dengan hukum ini sehingga ternyata teralpa tentang keperihatinan, tidak bersifat ehsan, tidak merasa tanggung jawab. Tuan-tuan guru masih bermain dengan ceramah dan kuliah bagaimana hendak melakukan ibadah ini untuk melipat gandakan pahala sedangkan pahala itu semuanya dalam bentuk pahala ‘individu.’

Statistik Lembaga Tabung Haji, setiap tahun umat Islam menunaikan ibadah haji seramai 25 ke 26 ribu. Sebanyak 4.9 juta pendeposit di dalam Tabung Haji. Pendapatan Tabung Haji mencecah RM838 juta dan untung pula sebanyak RM500 juta.

Umat Islam di negara kita mengerjakan umrah setiap tahun, melalui penerbangan MAS: Satu penerbangan 400 orang, 3 kali seminggu menjadikan 1,200 orang. Manakala penerbangan Arab Saudi dan lain-lain 2 kali seminggu. Satu penerbangan 400 orang, menjadikan 800 orang seminggu.

Jumlah keseluruhan, lebih kurang 2,000 jemaah setiap minggu.Setahun ada 52 minggu. Apabila seramai 2,000 jemaah, bererti 104,000 jemaah Malaysia mengerjakan umrah setahun.Purata perbelanjaan mengikut pakej yang biasa, seseorang perlu membayar RM4700 (tidak termasuk membeli belah) Jika seramai 104,000 jemaah berbelanja RM4700 setiap orang, bererti umat Islam berbelanja mengerjakan umrah RM488.8 juta, iaitu hampirt setengah bilion.

Jika selama lima tahun berturut-turut, umat Islam berbelanja RM5 bilion.Persoalan sekarang, apakah ibadah sunat ini selaras dengan tuntutan Islam, sedangkan Qur`an dan Hadis telah meletakkan kewajipan, tanggung jawab, keperihatinan, kepekaan, pertolongan, kerjasama, bersedekah, beramal, menderma, membantu, beramal jariah, mengatasi bencana, berjihad, membasmi fuqarak, masaakin?

Perkara-perkara di atas adalah tuntutan-tuntutan yang melebihi sunat terhadap individu Muslim dan bersifat sejagat dan memenuhi konsep Ta`awun, Aun, amal jariah, khairat, bersedekah dan yang lebih utama berjihad, sama ada dengan harta atau nyawa.

Ta`awun ialah sikap bertolong menolong. Manakala `Aun ialah memberi bantuan.Oleh yang demikian, di antara Ta`awun, `Aun, amalan dan tanggung jawab yang bersifat sejagat dengan ibadah sunat dalam bentuk individu, manakah yang lebih penting?
Tuan-tuan guru, buku-buku agama, agensi-agensi pelancongan dan umrah, para dakwah malah Tabung Haji sendiri tidak melebarluaskan konsep ini, sebaliknya dikhabarkan pahala-pahala yang banyak kalau mengerjakan umrah.

Di dalam Islam, konsep Ta`awun, konsep `Aun ( tolong menolong dan memberi pertolongan) adalah dasar ketiga secara umum di dalam Islam.

Surah Al-Baqarah ayat 177, melalui tafsirnya diberi tajuk: Pokok Kebajikan, berbunyi: Bukanlah termasuk golongan kebajikan yang mengadap muka ke arah timur dan barat, tetapi yang termasuk golongan kebajikan ialah beriman kepada Allah, hari akhirat, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi, memberikan bantuan harta yang disayangi kepada kaum kerabat,anak-anak yatim,orang-orang miskin, orang-orang yang terlantar dalam perjalanan, peminta-peminta dan memerdekakan hamba, mengerjakan solat, menukaikan zakat, menepati janji, sabar menderita terutama ketika perang. Itulah orang-orang yang benar keimanannya dan itu pulalah orang-orang yang taqwa

(6)Manusia yang perihatin tentang pokok kebajikan ini ditegaskan oleh Al-Quran sebagai orang yang berbuat kebajikan atau ihsan, yang dinamakan sebagai Muhsinun: Surah Asy Syafaat ayat 61, Al-Baqarah ayat 195, surah Al-Imran ayat 134, Surah Al-Maidah ayat 13,85,93 dan ada 12 surah lagi yang menyebut tentang bagaimana umat Islam perlu berbelanja kepada kebajikan yang bersifat manusawi, global atau sejagat.
Pokok Kebajikan juga disebut oleh Al-Quran dengan istilah Munfiqin, iaitu orang-orang yang berinfaq, Abrar. Berbelanja harta ke jalan Allah adalah amalan sejagat, bersifat global. Pahalanya melebihi dari amalan berbentuk individu. Umrah adalah ibadah bersifat individu. Ia sama dengan solat sunat, zikir seribu kali dalam sehari. Amalan berbentuk individu pahalanya tidak berkembang. Dua rekaat solat sunat, pahalanya hanya sekadar dua rekaat atau ganda sepuluh. Akan tetapi kebajikan dalam bentuk global, seperti infaq ke jalan Allah, melakukan pokok kebajikan, ia seperti sebiji benih yang tumbuh, berbuah pada ratusan tangkai dan ratusan ranting dan menjadi pokok yang subur hasil dari benih infaq yang ditanam.

Surah Al-Baqarah ayat 261 adalah buktinya: “Perumpamaan orang-orang yang menafkah (infaq: meliputi belanja kepentingan jihad, pembangunan perguruan,rumah sakit, usaha penyelidikan dan lain-lain) hartanya ke jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang mengeluarkan tujuh butir, pada tiap-tiap butir seratus biji. Allah melipat gandakan bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas kurniaNya lagi Maha mengetahui.

(7)Dalam terminologi Al-Quran disebut ‘Khair, Thoiyibah.’ Manakala orang yang berhak menerima infaq ini termasuklah ‘Waalidin, Aqrabin, Yataama, Masaakin, Ibn Sabil dan Fuqarak.’

Mendapat balasan dari Allah dalam hal pokok kebajikan ini bukan saja diperintah kepada golongan berada, kaya tetapi juga kepada orang-orang yang disempitkan rezekinya dengan cara tidak memboros, membazir dan kikir. Ia sama penting dengan perintah mengeluarkan zakat.

Melalui hadis-hadis juga banyak dinyatakan tentang pokok kebajikan ini. Di antaranya dalam kitab Mustika Hadis jilid 3 terbitan Bahagian Hal Ehwal Jabatan Perdana Menteri dalam bab ‘Hak Yang Diwajibkan Pada Harta Golongan Hartawan,’ kalau zakat harta masih tidak mencukupi keperluan fakir miskin, maka golongan hartawan, selain dari membayar zakat hartanya, diwajibkan lagi memberi satu jumlah yang tidak ditentukan yang dapat mencukupi keperluan kaum fakir miskin dalam masyarakatnya. Ada 34 hadis yang menerangkan betapa ‘Pokok Kebajikan’ seperti ini perlu diinfaqkan.

Tapi malang, golongan yang menganggap ibadah umrah saban tahun lebih penting dari ibadah bersifat nasional, internasional atau sejagat. Maka berbetulanlah seperti kata hadis, umat Islam akhir zaman hanyalah seperti buih, walaupun dunia sekarang memiliki 2 bilion lebih umat Islam.

Tentulah umat Islam seperti ini tidak pernah sensitif untuk dibelanjakan ke arah tuntutan global atau untuk sebuah perjuangan, untuk sebuah khemah pelarian, untuk sehelai selimut mangsa tanah runtuh atau sekeping roti untuk kanak-kanak di Sudan, sedangkan pahalanya berkembang bagaikan air melimpah ruah membasahi seluruh tanah kering kontang. Mereka seperti tidak pernah terbayang bagaimana membiayai seorang pelajar yang terkandas, kemudian pelajar itu berjaya, ia akan menyibarkan ilmunya kepada seluruh anak bangsanya, sedangkan di antara saham hanyalah RM1000.

Bukankah pahala itu pahala yang hidup?Tapi realiti sebaliknya. Masih ramai menganggap ‘Lu apa peduli, ini duit aku!’ Tulisan ini tidak sekali-kali menafikan betapa umrah satu ibadah yang statusnya fardu ain. Tetapi kita haruslah sedar letak duduknya hukum fardu ain. Umrah tidak seperti solat, tidak seperti puasa. Ia adalah kelendan haji. Apa yang kita persoalkan, dalam masa yang sama, tuntutan-tuntutan lain yang perlu umat Islam atasi tidak terlaksana, seolah-olah umat Islam tidak ada kaitan dan tanggung jawab antara satu sama lain.

Sedangkan dalam Islam, manusia adalah sentral sasaran ajarannya, baik hubungan manusia dengan Tuhannya, hubungan antara sesama manusia dan antara manusia dengan alam. Tapi yang paling kompleks adalah yang kedua, iaitu antara manusia dengan manusia. Untuk itulah Islam mengajar konsep-konsep mengenai kedudukan, status, hak dan kewajiban, tanggung jawab bersama.

Sungguh malang, umat Islam berbelanja disebalik nama ibadah tetapi isinya ialah membazir, kedekut, bakhil. Semua ini kerana kejahilan nilai dan kekeringan ajaran ihsan. Ajaran amal solleh tidak pernah ditafsir secara falsafah, ia hanyalah merupakan perwujudan prestasi seseorang atau individu.

Empat amalan yang statusnya sunat(umrah), yang juga bukan tuntutan wajib berulang-ulang, ia hanyalah trelar kosong bersama sebuah lori membawa 8 amalannya (haji) jika dibanding dengan RM1000 x 2,000 jemaah sebulan untuk membiayai seorang anak nelayan untuk melanjutkan pelajaran.

Perbezaan Amalan Umrah Dan Haji

Umrah

  • Berihram Dan Niat Umrah
  • Mengerjakan Tawaf
  • Sa’i Dari Safa Ke Marwah
  • Tahallul (Memotong Rambut)

Haji

  • Berihram Dan Niat Haji
  • Memasuki Mekah (Miqat), Tawaf Qudum
  • Tawaf : Qudum, Ifadah Dan Wida’
  • Sa’i Antara Safa Dan Marwah
  • Wukuf Di Arafah
  • Bermalam Di Muzdalifah
  • Melontar Jamrah
  • Tahallul
  • Sembelih Qurban

Di mana cacatnya kefahaman ini. Kuasa berbelanja ke arah membazir yang dianggap ibadah diteruskan dengan harapan dapat mengukuhkan kontek vertikel: Hablum minanallah ( tali hubungan dengan Allah) sedangkan horizontalnya: Hablum minannas (hubungan sesama manusia) seperti bukan satu hakikat hidup yang penuh tanggung jawab. Pada hal itu adalah anjuran Allah, konsep ihsan dalam Islam.

Sangat-sangat malang kebanyakan umat Islam menganggap umrah adalah ibadah mahdhah atau sangat murni. Sememangnya ibadah umrah itu murni, tetapi apabila sebahagian umat Islam menafikan kemurnian amal yang lain, apa lagi dengan berbelanja untuk orang lain, ini sangatlah mendukacitakan, seolah-olah ia satu ibadah yang dikonotasikan sebagai yang tidak peduli terhadap nilai sosial.

Siapakah yang bertanggung jawab merealisasikan hak kesamaran nilai ‘Pokok Kebajikan’ dengan konsep ‘Hablum minannas’ terhadap sebahagian umat yang mabuk dengan ibadah serampang dua mata ini?
--------------------------------------------------------

  1. Khazannah Istilah Al-Quran- Rachmat Taufiq Hidayat, Penerbitan Mizan
    (Rujuk surah 3 ayat 97, surah 2 ayat 196-203, surah 22 ayat 26-37:)
  2. Kamus Istilah Fiqh-M.Abdul Mujieb, Mabrusi Thoalhah, Syafi`ah Am, PT Pustaka Firdaus.
  3. Fiqh Perundangan Islam III- Wahbah Al Zuhaili, Dewan Bahasa dan Pustaka.
  4. Maksud hadis dari riwayat Ibnu Majah, Baihaqi dengan sanad yang sah.
  5. Asbabun Nuzul – K.H.Qamaruddin Shaleh, H.A.A. Dahlan, Drs M.D.Dahlan, Diponogoro Bandung.
  6. Terjemahan & Tafsir Al-Quran – Bachtiar Surin, Majlis Ulama Indonesia.
  7. Qur`an dan Terjemahannya –Khadim Al-Haramain asy Syafirin.

Mengapa Menangis Apabila Mampuihnya Jawi

Posted by Tukya

Lagi-lagi salahkan Melayu. Lagi-lagi salahkan Melayu. Pasal politik, orang Melayu yang kena. Pasal ekonomi, orang Melayu juga tempat handas. Pasal keruntuhan sosial anak muda, kemunduran anak-anak dalam pelajaran, Melayu juga dipersalahkan. Mudah lupa pun, orang Melayu yang dituduh.

Apa ni? Tak ada lainkah dari hentam orang Melayu?

Kenapa tak alih pandang kepada satu juzuk bangsa Melayu, iaitu pemimpina Melayu: Pemimpin Melayu yang berpolitik, pemimpin Melayu yang pegang kuasa, pemimpin Melayu yang tak pernah beliak mata kepada bangsanya sendiri?


Pemimpin Melayu yang pejam mata kepada kelemahan bangsa Melayu sendiri, pemimpin Melayu yang tak ada jatidiri tentang bahasanya sendiri dan pemimpin Melayu yang kena tunduk kepada tekanan politik chauvinist

Tulisan Datuk Johan Jaaffar dalam Berita Minggu keluaran 19hb Feb 2006 melalui kolum khasnya, adalah di antara penulis Melayu yang hala tujunya menyalahkan orang Melayu. Tulisan itu seolah-olah kerana orang Melayulah maka tulisan jawi ‘mampuih’ dan kojol tanpa kubur. Tulisan itu seolah-olah orang Melayu tak perihatin, tak mau bertanggung jawab terhadap tulisan yang mempunyai roh al-Qur`an itu.

Datuk Johan memberi hujah: ‘...orang Melayu sudah tidak mempedulikan tulisan jawi....masa depan tulisan jawi nampaknya semakin malap...’

‘ Alasan lebih munasabah ialah tulisan jawi tidak ada nilai ekonominya. Malah tulisan jawi tidak seperti tulisan rumi, tidak lagi dapat menjadi tulisan ilmu dan wacana tinggi bagi karyawan, ilmuan dan orang Melayu seluruhnya. Maka itu tulisan jawi akan tinggal hanya sebagai warisan satu tradisi besar dan agung bangsa Melayu.’

Kita nak tanya, apa kaitannya dengan orang Melayu kalau tulisan jawi itu ‘mampuih’ begitu saja?

Tulisan jawi yang mampuih bukan kerana bangsa Melayu, tetapi kerana juzuk-juzuk ‘pemimpin Melayu’ yang tidak ada jiwa Melayu, kerana pemimpin Melayu tidak ada roh Melayu melalui tulisan jawi. Jawi ‘dimampuihkan’ oleh mereka yang biadap dan kurang ajar terhadap budaya dan maruah bangsanya sendiri kerana mereka tidak ada jatidiri Melayu, kerana mereka anggap jawi bukan bahasa maju dan mereka seboleh-bolehnya tidak mahu jadi Melayu. Dalam jiwa mereka menjerit loya; apa itu jawi? Nak buat apa dengan jawi?

Lalu dengan kuasa mereka, mereka terajang kepentingan tulisan jawi dan akhirnya generasi Melayu baru tak tahu lagi apa itu jawi, Maka wujudlah generasi yang semakin berkembang tetapi tidak ada lagi pendidikan jawi. Generasi ini pasti merasa susah hendak baca. Apabila susah hendak baca, buat apa susah-susah. Lagi pun kalau pandai jawi, nak buat apa?

Itulah sikap juzuk-juzuk pemimpina Melayu yang mereka tanam dan semai terhadap generasi bangsanya kerana mereka tidak ada jatidiri, berjiwa kebangsaan jawi dan roh Islam. Maka dengan kuasa politik yang ada di tangan mereka, mereka ‘mampuihkan’ benda-benda yang mereka tidak suka. Ketika itu sebut saja melayu, mereka akan cemek bibir, membeliak mata. Mereka lebih percaya kepada bukan Melayu. Bagi mereka apa saja yang dimiliki oleh melayu adalah ‘haprak.’

Kita tak pandai menulis secara tertib, berkronologi dan berdisiplin. Tapi kita telah melalui sejarahnya betapa tulisan jawi melalui zaman subur, gemilang kemudian dimampuihkan oleh pemimpin Melayu serndiri: bukan bangsa Melayu! Tapi sayangnya kaum penulis, cerdik pandai yang berkebolehan menulis, tidak pernah menuding jari kepada si anu-si anu bahawa; Engkaulah yang menyebabkan jawi mampuih! Tidak pula ada dalam seminar, kertas kerja, kajian menyebutkan ‘youlah sebenarnya yang memampuihkan jawi!’. Yang ada hanya sebutan bangsa Melayu.

Datuk Johan mesti kena tanya diri sendiri, kenapa sebelum merdeka, di zaman penjajah, tulisan jawi mendapat tempat? Kenapa? Setidak-tidaknya pada masa itu pihak berkuasa (walaupun penjajah) memberi ruang tulisan jawi diguna pakai. Di sekolah ada buku-buku bacaan dalam tulisan jawi. Buku cerita, termasuk cerita Sang Lamri tulisan jawi.

Maka budak-budak berhingus pun, mau tidak mau kena baca jawi. Tak boleh baca, sanggup kena rotan; soalnya jawi kena baca.

Lalu bagaimana kedudukan jawi waktu itu? Pengap-pengap macam ikan nak mampuh atau subur bagaikan pokok bayam disiram?

Waktu itu pegawai di jabatan pelajaran, pegawai di kementerian, orang yang ada kuku dalam kementerian pendidikan suka, malah berjiwa kejawian walaupun mereka mampu bercakap soh-seh, soh-seh.

Maka muncullah Utusan Melayu. Sebab apa? Sebab pihak syarikat tahu apa yang akan diberikan, akan diterima pula oleh bangsa Melayu. Wadah menyuburkan perjuangan kebangsaan, kemerdekaan pun tentu sebahagiannya dari jawi.

Tiba-tiba sedang jawi diguna pakai tanpa sakit dan cedera, datang seorang menteri pelajaran lalu mengumumkan supaya tulisan jawi di ‘mampuihkan’ dalam sukatan pelajaran.

Nasib baik ketika itu ramai bangsa Melayu boleh mengusai jawi. Tapi oleh kerana menteri itu mabuk kuasa, entah apa yang ada dalam kepala otaknya, hasrat memampuihkan jawi diteruskan.
Ketika itu, mampuih atau dikambus jawi, orang Melayu masih mampu membaca, membeli akhbar jawi kerana mereka masih berjatidiri dengan jawi.

Tetapi bolehkah hal itu berlarutan sekiranya generasi itu sedikit demi sedikit pupus dan yang hidup adalah generasi yang belajar di sekolah tanpa lagi tulisan jawi. Kalau pun diajar hanya 30 minit seminggu.

Generasi ini semakin besar, beranak pinak dan anak pinak ini apabila celik ke dunia Malaysia, jawi sudah tidak ada lagi.

Habis, kita nak tempek kepada mereka: Hoi, bacalah jawi, cintailah tulisan jawi?
Poorrahhh! Bangsa mana pun tidak akan cinta terhadap sesuatu jika tidak dibibit cinta sejak awal.

Cuba tanya anak muda sekarang, apa perlukah surat khabar jawi itu dihidupkan atau di matikan? Jawapan tentunya mereka tidak peduli apa-apa. Atau paling mudah mereka menjawab pula dalam bahasa ‘you-I’ dan diselit-selit dengan ‘so-so-so’ yang juga membuktikan terki8kisnya bahasa Malaysia. Sebab apa?

Yang asyik berkokok ialah generasi yang masih ada saki baki zaman dahulu. Masakan mereka dapat menongkat langit dengan jawi?

Jadi adilkah apabila kita menyalahkan orang Melayu tak mahu pelihara, menjaga maruah jawi kalau mereka sendiri tidak tahu apa itu jawi?

Kenapa tidak hala saja muncung pena kepada pemimpin yang berkuasa tentang jawi ini atau pemimpin yang bertanggung jawab. Caranya mudah. Hidupkan semula tulisan jawi, pelajaran jawi di sekolah-sekolah. Bila mereka celik mata kena belajar jawi, merekalah yang akan membaca jawi apa bila besar.

Kenapa tidak ditojah dahi juzuk-juzuk menteri seperti itu kerana kesalahan mampuihnya jawi ini? Bukankah kerana dia yang mencadangkan? Adakah memampuihkan jawi ini kehendak bangsa Melayu?

Sepatutnya juzuk-juzuk menteri yang begitu, diikat di pokok asam belimbing, lepaskan semut kerengga ( jika tidak menyalahi akta jenayah) supaya mereka sedar betapa sakit dan luluhnya maruah orang Melayu kerana kuasa politik yang mereka miliki.

Menteri Pelajaran sekarang pula, perlu fikir lama-lama bagaimana untuk menyibar luas, menghidupkan semula jawi yang ‘nazak’ ini. Kalau boleh ketepikan ‘dosa’ menteri lama terhadap jawi. Kita berharap peringkat kementiran sahajalah yang mampu memberi nafas ini.

Dalam hal memampuihkan sesuatu perkara, bukan saja jawi. Bahasa Malaysia sendiri akan mengalami perkara yang sama jika orang yang bertanggung jawab tidak suka kepada Bahasa Malaysia.

Ini bukan soal nak maju atau nilai ekonomi. Ini soal maruah bangsa dan martabat bahasa. Apa jenis bangsa di dunia ini kalau bahasanya sendiri hendak dihapus?

Zaman 60 dan 70-an dulu, Bahasa Malaysia telah diguna pakai dengan baik apabila ia dijadikan bahasa rasmi. Waktu itu buku-buku berbahasa Malaysia jenuh diterbitkan sebab pembaca ramai. Tapi kini, mereka yang berkuasa tidak berapa peduli dengan bahasa Malaysia, tenguklah taraf dan nilainya. Maruah bahasa itu sendiri dipermain.

Bukan apa, sebabnya banyak pula jongos, bajak wangkang, hipokrit, tukang ampu, wahhal dia tahu program itu program menjahnamkan bangsanya sendiri.

Pemimpin-pemimpin bangsa lain cerdik tetapi kita bodoh. Mereka mempertahankan penggunaan bahasa mereka dengan apa cara pun, maka surat khabar dalam bahasa mereka pun mendapat tempat. Tapi kita, lorong dan jalan meluaskan penyibaran dimampuihkan, tiba-tiba nak suruh orang Melayu baca. Mana ada jalan?

Saya secara peribadi, sedikit pun tidak dukacita atas ‘mampuihnya’ surat khabar jawi. Buat apa hendak diterbitkan kalau tak ada orang baca. Nak salahkan orang Melayu tak mahu baca? Mengapa nak salahkan orang yang bertanggung jawab memampuihkan jawi ?
Barangkali dari segi hendak memanjangkan hayat penerbitan akhbar jawi ini satu saja caranya. Akhbar jawi Utusan Melayu kepunyaan Umno. Ahli Umno sekarang lebih dari 2 juta. Mengapa ahli Umno sendiri, sekurang-kurangnya 300,000 tak mahu beli Utusan Melayu jawi kalau mereka sayangkan kepada saham, syer dan jawi mereka. Sepatutnya merekalah yang memertabatkan jawi.

Tapi apa yang hendak dikata, mereka (ahli Umno kini, termasuk Putri dan Putra) adalah generasi baru yang buta jawi tetapi disebabkan menteri Umno juga yang memampuihkan jawi sebelum mereka lahir, maka mereka pun buta jawi. Mereka lahir, jawi sudah tidak ada. Yang ada hanya spesis lemah dan tidak berguna. Jadi nak salah siapa?

Sayang, orang seperti Datuk Johan selalu melihat sisi lain terhadap sesuatu isu. Ia seolah-olah fenomena alam yang perlu dipertahankan oleh semua orang, sedangkan puncanya dilakukan oleh seorang sahaja kemudian diskokong oleh mereka yang ada kepentingan tidak diambil kira.

Jahatnya orang politiklah. Dari kuasa politik mereka menggunakan semau-mau tanpa memikirkan masa depan bangsanya.

Bukan saja jawi wahai Datuk Johan, yang lain lagi pun berlambak-lambak yang hanya menunggu masa saja. Matematik dan Sains yang diwajibkan mengguna bahasa Inggeris, apa pun alasan, ia tidak melambangkan satu keputusan yang baik. Tetapi kerana kuasa politik, banyak tukang angguk maka ia solah-olah sangat tinggi martabat disebalik penurunan nilai dan peratus markahnya.

Apa ertinya Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dukacita apabila surat khabar itu ditutup? Ini bukan masalah tutup, ini masalah ketelanjuran menteri dulu dan tidak diperbaiki oleh menteri sekarang dalam bidang pelajaran dan pendidikan. Sistem yang sangat tidak betul politik pemimpin Melayu kita ialah tidak berani mengubah sistem lama yang diputuskan dalam bentuk politik. Mengapa? Kerana ramai yang mahu hidup dengan kuasa poiltik walaupun terpaksa berpura-pura atau memamah maruah bangsanya sendiri.

Khutbah Aidil Adha 1425

Posted by Tukya

KHUTBAH HARI RAYA AIDIL ADHA 1425

Teks disusun oleh Azizi Hj Abdullah

UMAT ISLAM SEPERTI BUIH.

Muslimin Muslimat yang dirahmati Allah,
Sekali lagi kita menyambut kedatangan Aidil Adha. Khatib yang daif ini ingin menyeru kepada diri sendiri, dan juga mengajak seluruh jamaah, marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kepada Allah, kerana dengan ketaqwaan sajalah kita menjadi umat Islam yang tinggi kualiti imannya.

Hari ini di Arafah, jutaan manusia Muslim yang menjadi tetamu Allah sedang bersesak berduyun menunaikan rukun Haji. Sangat beruntung mereka apabila dapat menyemadikan mabrur haji dalam ibadah mereka.

Aidil Adha dikenali juga hari raya Qurban, yang mengingatkan kita kenangan ribuan tahun bagaimana Nabi Ibrahim Alaihissalam, tentang patuhnya, tentang taatnya, tentang pengorbanannya, tentang kesabarannya apabila menerima perentah Allah.

Atas nama sunnah ini, maka seluruh umat Islam di pelusuk dunia, yang berkemampuan telah menyembelih binatang ternakan sebagai tanda mengikut jejak langkah Rasul Alaihissalam.

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!

Muslimin Muslimat sekelian,

Kesah Nabi Ibrahim, baik ketika meninggalkan anak kecil dan isteri muda lela di tengah padang pasir demi untuk berdakwah, baik ketika menerima perentah Allah menyembelih anak kesayangannya, sudah diketahui dari kitab-kitab, tuan-tuan guru dan ceramah-ceramah malah dalam Qur`an sendiri. Kesemua kesah itu dapat kita simpulkan kepada tiga;

Pertama, asasnya adalah ketaatan yang kental kepada Azawajalla.

Kedua, ‘Millah’ Ibrahim ialah Allah akan memberi hidayah kepadanya kerana semata-mata mentaati Allah.

Ketiga ialah keikhlasan dalam amalan.

Allah tidak menerima sesuatu amalan melainkan yang dikerjakan dengan sepenuh ikhlas kepadanya dan semata-mata ditujukan kepadanya.


Muslimin Muslimat, sempena Aidil Adha atau Hari raya Qurban ini, izinkan khatib menghuraikan sedikit analisa terkini untuk dijadikan iktibar peritiwa Qurban itu.

Lalu Kami berikan kepadanya berita yang mengembirakan, bahawa ia akan beroleh seorang anak yang penyabar. Maka tatkala anak itu dewasa, berusaha bersama-samanya, Nabi Ibrahim berkata; Wahai kesayanganku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu : apa pendapatmu? Lalu anaknya menjawab: wahai bapaku, jalankanlah apa yang diperentahkan kepada bapa, Insyaallah Allah bapa akan mendapati saya ini dari orang yang sabar. Setelah keduanya berserah kepada perentah Allah lalu Ibrahim pun merebah anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah….
Ayat selanjutnya sehingga 111.


Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!

Tidakkah menetes air mata, wahai para jamaah apabila darah yang bersembur itu darah anak kesayangan?

Muslimin Muslimat yang dirahmati Allah!

Petikan ayat Qur`an yang kita baca tadi menggambarkan bagaimana seorang Nabi menerima suruhan melalui mimpi, menyeret anaknya ke gurun pasir, meletak leher anaknya beralaskan tanah, meletak mata pisau tajam ke batang leher, kemudian berpaling dengan cucuran air mata, lalu merengkuh sampai terasa pancutan darah dari darah dagingnya sendiri. Sesungguhnya Maha agung Tuhan kita yang telah memberi ketabahan yang bukan calang-calang iman kepada hambaNya.

Dan Ibrahimlah itu!

Rupa-rupanya hanyir darah yang digeluhnya bagaikan kasturi dan kehibaannya menjadi rasa bahagia pula. Apabila darah mengalir dan entahkah leher si anak kesayangannya itu putus, Ibrahim tidak pasti, kerana dia bergegas meninggalkan anaknya dalam kehibaan tetapi dapat memacak kemenangan taqwanya.

Lalu Allah menggantikan kibas. Maha suci Tuhan!

Tapi apakah berbaloi, menyembelih seorang anak kesayangan hanya diganti dengan seekur kibas? Pandangan kuffar, musuh Islam, shaitan dan iblis yang merusuh menuduh itu satu kekejaman.

Biarkan mereka menuduh. Tetapi bagi kita nilai sembelih itu ialah keikhlasan, kepatuhan terhadap perentah. Apakah yang terlebih tinggi nilai pengorbanan, yang bagi peristiwa itu disebut ‘korban’ selain dari ikhlas dan patuh?

Itulah setia taatnya apabila perentah diajukan. Dipacunya kemahuan dan keyakinan biarpun darah anak sendiri mengalir, biarpun leher itu leher anak sendiri.

Seluruh umat Islam menerima kesah sejarah benar ini. Tidak ada yang menafikan walaupun ada sekian ramai orang tidak ambil peduli. Orang yang beriman, bertaqwa, menerima kesah ini menjadikan sebagai sunnah yang dituntut dengan istilah korban. Disunatkan melihat darah yang memancut dari batang leher itu. Semuga bertambahlah ketaqwaan.

Kesimpulannya, melihat darah yang mengalir akan jadi kejap kukuhlah ketaqwaan, akan bertambahlah semangat ingin berkorban, akan bergandalah lapis-lapis iman dan subur rendanglah ketaqwaan kepada Allah, bahawa darah yang mengalir itu adalah penggerak jiwa perjuangan, jiwa pengorbanan bagi mendaulatkan perentah Allah.

Dengan darah itulah juga umat Islam diberitahu, bahawa itulah nilai maruah yang paling tinggi. Dengan cecair pekat merah yang mengalir dari halqum itulah, Islam memberitahu bahawa sesiapa saja yang mengakui Islam sebagai Diinnya . Jangan sekali-kali memandang remeh.

Tetapi sayang, menjelang abad dua puluh satu setelah kita meninggalkan abad dua puluh, darah bagi umat Islam tidak ada ertinya lagi. Mengalirlah di mana-mana pun, kita tidak peduli. Terpancutlah di mana-mana pun, itu bukan urusan kita. Betapa bagaikan sungai, ia hanya dilihat seperti air lumpur dari cerun bencana alam sahaja.

Natijah dari apa yang disebut darah ini, pastinya darah umat Islam, satu-satunya umat yang diangkat mertabat tentang kehebatan jihad dan berkorban. Tapi persoalannya, dimanakah kehebatan dan inti maruah itu?

Muslimin Muslimat yang diumpamakan cubit paha kiri, paha kanak juga terasa!

Di Fallujah,asykar Amerika bunuh tahanan dalam mesjid!
Tentera dajjal menembak seorang tahanan Iraq yang badannya sudah mengalir darah kerana cedera! Terkapai-kapai tangan minta kasihan, tapi M16 tetap memuntah pelurunya.

Batalion Ketiga Rejimen Pertama menceroboh ke dalam masjid; tembak, bunuh dan menyepak terajang umat Islam! Mereka membunuh 10 lelaki. Mereka menjerit mengatakan, inilah orang Islam! Pengganas! Dan kemudian darah pun memercik bertempelan di dinding-dinding.

Demikianlah yang terjadi di Iraq, sebuah Negara yang kaya minyak dan gas, kini sudah hancur lebur gara-gara serangan berkonsepkan ‘gegak dan gempita’. Kadar pembunuhan 20 orang setiap hari.

Siapakah yang punya angkara itu?

Ya Allah! Tumpas lampuskah sudah nilai pengorbanan kami?

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!

Atas nama percikan darah yang mengalir, keganasan dan pengganas sudah sinonim. Dajjal Amerikalah yang memperkenalkan istilah longgar ini kepada Islam. Dan malangnya sebahagian besar dari kalangan kita menerima istilah ini dengan senang hati, bersedih hanya dengan mata berkelip-kelip.
Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta itu ialah hati yang di dalam dada. (Al-Hajj ayat 46)


Muslimin Muslimat yang dirahmati Allah!

Khutbah ini hanya satu luahan rasa. Mustahil kita beramai-ramai keluar menyerbu Amerika. Tapi yang kita persoalkan, apakah sikap kita ini apabila darah umat Islam dianggap seperti serbat yang dijual di kaki lima?
Iran, 95% umat Islam, sudah mula diintai oleh Amerika. Afghanistan sudah lama merindui kedamaian dan kehormatan maruah. Sudan, dengan alasan kemanusiaan di Darfur, puluhan ribu rakyatnya menjadi pelarian.

Apakah alasan mereka? Umat Islam dituduh menyemarakkan keganasan lalu kita dikepung.

Akibatnya darah yang mengalir. Atas alasan inilah juga umat Islam menerima nasib, di mana berlakunya pembunuhan 117 orang dan 53 cedera termasuk wanita dan kanak-kanak Afghanistan apabila jet pejuang Amerika membedil sebuah majlis perkahwinan dengan menggnunakan bom 1,000 kilogeram.

Tahukah Muslimin Muslimat, di Afghanistan sekarang ini masih ada 250,000 periuk api yang menunggu pijakan untuk memutus kaki atau mengudung kepala. Hidup dalam kebimbangan kerana kesan radiasi penggunaan peluru berpandu yang disalut dengan sisa uranium sudah menghantui rakyat di sana.

Di Palestin, apabila Yasser Arafat meninggal, keadaan sudah tidak menentu. Mangsanya umat Islamlah juga. Yang tercium ialah hanyir darah. Awal Ramadan lalu, kawasan penempatan pelarian musnah di bom. Berapa gantang darah umat Islam yang mengalir? Dengan kereta kebal, helikoptar mereka menyerang bagaikan menghambat belalang. Mereka membunuh 165 rakyat Palestin sekaligus.

Apa senarionya? Senario TV3 memberi kita ketawa tetapi senario di Palastin ialah tangisan, kehilangan ibubapa, anak dan darah bertompok di batu-batu. Zionis ketawa tetapi umat Islam lain, bertanya-tanya esok rancangan apa di TV dan di mana majlis kongsi raya?

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!

Darah umat Islam bukan saja mengalir di bumi Ambiyak, di Afrika, di Checnya, Kasymir ,Timur Tengah dan Asia Barat, tetapi juga di tepi rumah dan ditepi dusun kita. Apabila berlaku pembunuhan, sesetengah umat Islam hanya membaca beritanya sambil minum kopi O, Itu rumah tangga mereka. Kita tidak perlu masuk campur.
Ya Allah, dimanakah sensitiviti umat Islam terhadap saudaranya?

Bukankah Rasulullah bersabda;
Sesungguhnya muslim dengan seorang muslim yang lain laksana satu bangunan yang tersusun, saling kuat menguat antara satu sama lain.


Dalam Hadis yang lain Rasulullah bersabda; Umat Islam dengan yang lain seperti dua paha, bila dicubit paha kiri, paha kanan akan terasa.

Tapi malang, paha umat Islam sudah kebas. Sudah lumpuh. Bangunan kukuh sudah robek. Di Selatan Thailand, khususnya di Tak Bai, kita hanya membaca berita kemudian akhbar itu terus dibuat bungkusan belacan walaupun seluruh dunia mengecam sikap Thaksin Shinawarta yang angkuh ,bukan saja membunuh 90 orang umat Islam,malah lebih dari itu.

Tunjuk perasaan seramai 2000 membantah di Narathiwat, mengakibatkan 10 dibunuh. Bayangkan umat Islam, baik tua, baik muda, baik kanak-kanak dipaksa meniarab di atas lori, dihumban seperti balak buruk, ditindan dan dipijak terajang seperti abdi di zaman Fir`aun tanpa peduli harga sebuah nyawa dan setitik darah. Mereka disusun seperti surat khabar lama lalu di bawa ke kem Ingkayut Borikom, Pattani. Akibatnya 80 orang mati sesak nafas.

Semua kejadian ini berlaku pada umat Islam, umat yang dipilih sebagai umat terbaik, sebagai umat yang berkualiti, yang sudah diajar apa itu jihad, apa itu korban. Semua yang berlaku saudara kita, satu syahadah, satu Qur`an.

Kesimpulan isi khutbah hari ini ialah, di mana-mana pun atas nama Islam, tidak ada penghormatan lagi. Benarlah umat Islam seperti buih. Ajaran korban dengan induknya ialah Jihad diremehkan oleh umat Islam sendiri. Paling malang ada di antara kita yang meremehkan jihad dan korban ini dengan meminjam istilah Amerika dan musuh Islam, iaitu ‘keganasan, pelampau, militan’ dan kemudiannya kita dipujuk dengan bahasa lunak, bersyukur kerana kita tidak seperti mereka.

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!

Rasulullah seorang berwawasan, dapat membaca masa depan lalu diramalkan melalui Hadisnya yang bermaksud; Umat lain akan meratah kamu dengan rakus seperti anjing-anjing yang mengelilingi hidangan. Apabila Sahabat bertanya adakah kerana umat Islam minoriti? Rasulullah menafikan, bahkan jumlah umat Islam banyak tetapi hanya seperti buih, jiwa raga, semangat dan jihad rupa-rupanya sudah terkikis habis, Allah melupuskan perasaan gerun, al-wahan. Memang umat Islam seperti buih. Memang buih pun selepas umat Islam mengabaikan jamaah, mengabaikan peninggalan jihad para sahabat dan tabiin.

Muslimin Muslimat,

Manusia di seluruh dunia sekarang 6 bilion. Umat Islam mencecah 2 bilion.Dunia kita mempunyai 130 negara. Tahun 1966 Muslim di Asia seramai 1 bilion, 22 juta, 692 ribu, atau 30%. Muslim di Africa seramai 426 juta, 282 ribu iaitu 59%. Manakala kadar pertumbuhan tahunan 1994 hingga 1995 ialah 6.4% Kristian hanya 1.46%.
Perkembangan umat Islam dari 1989 hingga 1998 di Amerika 25%, Africa 2.15%, Asia 12.57%, Eropah 142.35%, Australia 257.01%.

Inilah buih-buih yang dinyatakan oleh Rasulullah. Buih itu memang banyak tetapi pecah ketika menentang arus. Ke mana hilangnya permata jihad, pengorbanan dan nilai darah Nabi Ismail ketika disembelih?

Afghanistan 100% umat Islam, Bahrain 100%, Mauritania 100%,Oman 100%,Qatar 100%,Saudi Arabia 100%,Somalia 100%, Western Sahara 100%, Libya 100%, Maldives 100%, Manakala 90 % ke atas ialah Algeria, Azerbaijan, Arab, Gambia, Gaza Strip, Guinea, Indonesia, Iran 99 %, Iraq 97%, Mali, Turkey 99.9%, Yaman 99% dan Malaysia negara Islam 52 %, Jikalau kita rajin melihat peta dunia, sangat memilukan kita tentang buih-buih ini. Peta dunia 1998 ( Copyright Islamic Web. Com) menunjukkan negara umat Islam antara 50% hingga 100% ialah Asia Timur dan kepulauan kita. Tapi malangnya di kawasan itulah umat Islam ramai yang mati katak. Demikian angka di tahun 1998 menurut www. Islamic web.

Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) pula sebanyak 56, di antaranya ada negara yang 100% atau 99.9 % umat Islam. Tapi malangnya ada setengah pemimpin tidak berapa mahu ke arah ini.

Inilah yang dikata buih. Dan buih-buih itu di bawa arus dan di antaranya kita sendiri.

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Walillahil hamd
.

Tsunami Dalam Tsunami:Mangsanya Siapa?

Posted by Tukya

Malapetaka Tsunami tidak sesiapapun boleh menafikan ia adalah kesamsengan alam terhadap beberapa negara yang terlibat dan manusia yang menjadi mangsa telah menerima risiko kesamsengan itu. Tapi satu hal lagi yang tidak didedah walaupun ia diamalkan begitu berleluasa ialah ketsunamian golongan yang ‘kononnya’ bertindak cepat membantu mangsa Tsunami.

Kampung Kuala Muda, Kota Kuala Muda adalah kampung berdekatan dengan kampung saya. Pekan Kota, tempat yang membesarkan YB Zainuddin Maidin kini menjadi pekan be‘linglong’ sukarelawan, kumpulan, manusia yang kononnya berperikemanusiaan.

Merekalah yang dikatakan bertungkus-lumus ‘membantu’ mangsa Tsunami, ombak besar dan kesamsengan alam itu. Tetapi malangnya beberapa hari di kampung, dan di Pekan Kota Kuala Muda itu sendiri, saya telah mendengar dan melihat berbagai-bagai kelakuan ‘samseng Tsunami dalam Tsunami’.

Memang pertolongan diberi begitu pantas. Memang bantuan diberi berlambak-lambak. Simpati di mana-mana. Baik pihak kerajaan mahupun NGO atau orang perseorangan, tidaklah boleh dinafikan memberi bantuan yang sepada-padanya.

Tetapi yang mendukacitakan apabila sukarelawan daripada pihak berkuasa, bantuan daripada kerajaan, ia tidak pun bersifat mengurangkan penderitaan kesamsengan Tsunami tetapi menambahkan pula keperihalan ‘penyamun tarbus’ terhadap mangsa.

Hari pertama bantuan memang ada. Tetapi sejauh mana bantuan itu? Orang sekampung yang bernasib baik memang memainkan peranan yang sungguh baik. Tetapi apabila tiba rombongan yang dianggap ‘memberi bantuan dan pertolongan’ ia sudah bertukar menjadi ‘penggeledah’ tak berhati perut atas nama mereka anggota yang berautoriti.

Lalu dengan alasan agar penduduk tidak menjadi mangsa kali kedua, penduduk yang ingin kembali melihat rumah mereka, ingin mencari seringgit dua yang kalau-kalau masih ada di dalam almari atau laci, mereka dihambat. Kereta yang tersadai, yang boleh dikesat dan disapu habuk dan lumpur untuk memastikan kalau-kalau ada mangsa di dalamnya, diketuk, dipecahkan cermin begitu-begitu. Pada hal cara lain boleh dilakukan kalau benar-benar untuk memastikan kalau-kalau ada yang terperangkap dalam kereta.

Perbuatan begitu benar-benar menggambarkan dengki, sakit hati, tak berhati perut dan samseng yang lebih daripada Tsunami. Ada tuan punya kereta menjerit; "Ini kereta saya. Saya tahu apa ada di dalamnya, kenapa mesti dipecah-pecahkan cermin dan pintu?"

Samseng Tsunami dalam Tsunami itu tidak peduli dan megah juah kerana mereka orang berautoriti sebagai penyelamat.

"Itu rumah saya. Saya mahu lihat barang-barang rumah saya," jerit pula seorang yang apabila disekat tidak dibenarkan masuk.

Tetapi mereka yang diangkat menjadi orang yang berkuasa, menahan juga sehingga sampai tuan punya rumah angkat parang.

Apa yang berlaku selepas itu? Memang Tsunami sudah reda, tetapi manusia itu pula menjadi Tsunami. Memang tidak ada bukti untuk menuduh tetapi hakikatnya ada barang-barang yang hilang setelah kotak dan perabot dipecahkan. Bukti memang ada, tetapi tidak tahu siapa kerana tapak-tapak kasut di lumpur bukan tapak kasut si Dolah nelayan yang hilang harta bendanya.

Jadi siapa? Tsunami tidak membuka kunci laci tetapi Tsunami lain yang memecah laci.

Bantuan memang pun diberi, tetapi kepada siapa? Pada satu ketika, orang tertentu yang diamanahkan oleh kerajaan melempar-lempar kain batik, membedak-bedak (mengagih-agihkan) beras dan wang bantuan. Tetapi apa yang berlaku, ketika hendak memberi, ‘Tsunami dalam Tsunami’ itu meninjau-ninjau dulu, mahu memastikan 'orangnya' kah, adik beradiknyakah? Lalu mangsa lain pun menjerit-jerit tapi oleh kerana yang menjerit itu rakyat marhaen, jeritan itu tidak dipedulikan.

Kerana hati perut lebih Tsunami dari Tsunami, ada yang diberi kepada tiga beranak, adik beradik yang datang dari jauh pun diberi, bukan berdasarkan bantuan kepada keluarga. Penghulu yang sepatutnya memainkan peranan, sehingga hari ketiga khabarnya belum ada sekretariat bantuan. Seperti keluhan dalam TV pada 31 Disember 2004, seorang perempuan menjerit kerana dia tidak dapat apa-apa pun.

Kasihan, tapi manusia yang seronok kerana Tsunamilah mereka dilantik menjadi orang prihatin untuk membedak-bedak bantuan, lebih kejam daripada Tsunami sebenar.

1 Januari 2005 ketika saya di salah satu pusat bantuan, saya melihat beberapa orang petugas mengira-ngira wang dan membuat baucer. Ketika itu jam sudah pukul 10 malam. Mereka bergegas ke bandar membeli tilam. Kenapa?

Rupa-rupanya tilam bantuan dari pihak tertentu sudah ada sebenarnya. Beratus-ratus. Tetapi tilam itu masih tersusun di stor. Bila ditanya kenapa tak diberi pada orang tua yang terpaksa tidur di atas simen, jawapannya mudah. "Nanti, kita tengok orang kita dulu".

Maka apakah anda boleh yakin jika RM13 juta atau RM30 juta sekalipun kutipan derma sudah terkumpul, apakah ia benar-benar akan sampai ke tangan mangsa Tsunami. Yang pasti, Tsunami dalam Tsunami akan melakukan acara yang tentu meragukan. Ke mana seluar dalam? Ke mana coli dari kontena yang disumbangkan oleh pihak tertentu? Ke mana beras berkampit-kampit?

Jawapannya tak menentu. Saya mendapat tahu penghuni KEDA yang tidak ada kena-mengena dengan kesamsengan Tsunami, merekalah yang kelam-kabut mendapatkan peruntukan. JKK melantik petugas daripada kalangan yang tidak kenal muka mangsa Tsunami di Kuala Muda. Mengapa? Jangan tuduh tapi tentulah boleh menimbulkan syak waham.

Umno boleh dipersalahkan. Apa-apa tindakan atau kemudahan, macamlah mereka orang yang berautoriti. Apa pun mesti mendapat kelulusan Umno, hatta polis sendiri pun sukar membuat keputusan.

Hari pertama, jangan ingat semua yang masuk ke kampung yang musnah itu dari anggota yang ingin membantu. Ada pegawai, sekurang-kurangnya tiga Land Rover dan kereta kerajaan, pegawainya membawa anak bini masuk kampung kerana ingin ’sangat’ hendak melihat petaka Tsunami. Bayangkan penduduk yang menderita, menjadi mangsa, ada pegawai bawa anak bini round sana - round sini, sedangkan kereta itu kereta ‘gomen’ untuk membawa bantuan.

Saya tidak nampak (orang lain pun begitu, malah mereka yang berkenaan lebih tahu) sekiranya bantuan RM700,000 diberi kali pertama, bukan RM700,000 yang sampai ke tangan mangsa. Apatah lagi jika sampai juta-juta. Percayakah kalau begitu perangai Tsunami dalam Tsunami, bantuan begitu banyak akan sampai?

Sesiapa yang rajin cubalah jumlah berapa bantuan kewangan yang diisytiharkan, yang terkumpul kemudian tanya kepada mangsa berapa yang mereka dapat? Yang menjadi keliru sekarang, media-media hanya menyiarkan ratusan ringgit yang diterima melalui menteri-menteri tetapi tidak diketahui berapa peruntukan besar. Kalau rajin cuba bahagi dengan bilangan mangsa dan kemudian perimbangkan dengan peruntukan sebenar.

Kalau beras boleh diambil begitu-begitu tiga kampit, coli dan baju dalam boleh dicempung oleh mereka yang kononnya prihatin dan menjadi sukarelawan, apakah tidak mustahil peruntukan berjuta-juta?

Tulisan ini bukan kerana kita busuk hati, tetapi itulah perangai manusia yang berbangga menjadi sukarelawan, berbangga menjadi jawatan kuasa bertindak, menjadi urusetia dan lain-lain, terutama mereka yang memegang akaun dan wang yang belum tentu diaudit.

Tak payah mencari alasan dan bukti buruk sangka. Tengok yang dulu pun cukup. Ke mana perginya derma Telethon itu, Telethon ini, bantuan penyayang, jantung hatiku dan entah apa-apa lagi yang kononnya dikumpul untuk diberi pada mangsa.

Tulisan ini tidak sekali-kali menyalahkan kepada kerajaan, kepada NGO atau penderma yang berprihatin. Tetapi yang mendukacitakan ialah adanya ‘malaun-malaun’ ‘penyamun tarbus’ yang mengambil kesempatan.

Kita berpendapat, tidak ada gunanya bantuan diberi secara berperingkat-peringkat. Boleh bukan tak boleh bantuan asas diberi, tetapi bukankah lebih mudah jika RM30 juta misalnya, dibahagikan saja dengan bilangan mangsa lalu diberi atau terus membina rumah berbentuk 'ibu' kemudian jika hendak ditambah dan dibesarkan lagi, terpulanglah pada mangsa.

Yang jelas sekarang, penyamun dan peragut lebih banyak muncul ketika malapetaka berlaku dari penyamun dan peragut yang berlaku di bandar-bandar. Yang anehnya, penyamun dan peragut ini turut membaca Yasin dan solat ghaib, perogol menyamar membantu polis dan lain-lain lagi tipu muslihat yang menggambarkan; itulah Tsunami dalam Tsunami.

- Azizi Haji Abdullah - 03.01.2005

Azizi Abdullah berKawin-Kawin

Posted by Tukya

Setelah begitu lama, entah apa masalahnya sebelum ini, pemenang-pemenang Hadiah Sako anjuran Kumpulan Utusan pun diumumkan. Pemenang kali ini,penulis veteran Azizi Abdullah yang begitu dikenali menerusi karya-karya klasik seperti Seorang Tua Di Kaki Gunung dan Sinnapapal.

Hadiah Sako yang pertama kali dianjurkan pada tahun 1995 pernah mentakhtakan Sasterawan Negara Abdullah Hussain menerusi novel beliau yang mendapat banyak perhatian iaitu Imam. Azizi sewaktu itu dengan Wi & William hanya tersangkut di tempat ketiga.

Kali ini Azizi membuka perhatian panel Hadiah Sako (2001) untuk menduduki tempat pertama menerusi novel beliau yang paling baru Kawin-kawin. Di kedudukan kedua ialah Ramlee Awang Murshid dengan Pei Pan dan yang ketiganya Aminah Mokhtar bersama karyanya Iman Markisa.

Seorang penulis wanita membisikkan kepada saya, katanya, Hadiah Sako yang pertama diberi kepada orang yang tidak layak. Menurutnya Iman Markisa lebih layak mengungguli tempat pertama tetapi kerana ia ditulis oleh seorang wanita maka ia tidak mendapat penilaian yang sepatutnya. Saya belum membaca ketiga-tiga novel tersebut maka yang lafaz dari mulut saya ialah ‘no komen’.

Namun saya tidak menanti lama untuk membaca Kawin-kawin karya Azizi Abdullah yang dikhabarkan kepada saya sebuah novel mengenai perkahwinan mutáh (di dalam mazhab Syiah, perkahwinan Mutáh (semacam kahwin kontrak tetapi itu masih tidak tepat) dihalalkan dan dianggap hanya dihapuskan oleh Khalifah Umar dan bukannya oleh Rasulullah). Saya menjangkakan sebuah novel yang penuh dengan serangan terhadap perkahwinan Mutáh dan kebencian terhadap mazhab Syiah tetapi sesuatu yang sebaliknya.

Saya mengakui Kawin-kawin sebuah novel yang menarik kerana dua sebab yang buat masa ini terfikirkan oleh saya.

Kawin-kawin jika dibaca pada lapis pertama adalah kisah Malang yang sangat bernafsu untuk bernikah mutáh dengan Mas Umm, berkahwin dengan Mas Umm ialah kuasa, pengaruh, kekayaan dan juga kehebatan. Mas Umm pernah bernikah dengan beberapa lelaki dengan berbagai-bagai sebab. Di kampung yang mengamalkan mutáh dan kesesatan kitab Arraya, Abul Ahkam al-Syaikh Hajjjul Fatawa dan al-Syaikh Dr Demo, mereka menghalalkan apa sahaja yang terlintas dan mencari jalan untuk menghalalkan kahwin cerai Mas Umm. Malang yang sudah begitu hampir untuk mengahwini Mas Umm dikecewakan dengan helah Muallim (suami mutáh Mas Umm) dan kerana begitu hampa, membawa diri ke daerah Siti Menurra (bekas madu Mas Umm bersama suami Mutáh yang pertama pak Qom) dan berguru dengan Tok Guru Lebai Yazan. Di situ Malang yang berniat untuk berkahwin dengan Siti Menurra demi membuktikan dirinya boleh menjadi suami orang kepada Mas Umm disyaratkan menyalin tangan senaskah al-Quran barulah boleh bersetubuh dengan Siti Menurra menjadi bahan ketawa yang sungguh menyinga.

Kekuatan pertama novel ini ialah nilai wit sebagai sebuah satira. Dalam sesebuah satira, witty adalah satu elemen penting dan Azizi berjaya mengemukakan nilai ini dalam satiranya. Terlalu banyak yang ingin diketawakan pada novel ini, bermula dengan fasal satu sehingga fasal dua puluh empat, bahasanya adalah bahasa harian daerah Utara Semenanjung yang menggeletek hati dan watak yang dikemukakan seperti Mona, orang gaji Malang, seorang pondan cukup untuk membuat pembaca terkekek ketawa. Sebagai sebuah satira, nilai lucu itu harus dikemukakan untuk menyindir sesuatu atau seseorang dan Azizi melakukannya dengan penuh berjaya.

Pada satu fasal apabila Abul Ahkam menceritakan kepada isterinya Hajjah Fatawi bagaimana dia ke Pak Pong di Bangkok untuk menonton penari bogel bagi menguji iman, pembaca tidak akan dapat menahan geli untuk berdekah. Begitu juga fasal sensasi Siti Menurra menukar pakaian tidur sedang Malang yang disyaratkan dengan mas kahwin menyalin senaskah al-Quran terkulat-kulat tidak dapat berjima dengan isteri yang halal akan turut mengundang tawa.

Hal kedua yang menjadikan novel ini sangat menarik ialah lapis kedua di bawah lapis cerita Mas Umm, Malang dan Siti Menurra itu. Azizi bermain dengan simbol dan lambang-lambangnya tidak dapat tidak menjadikan kita ketawa juga. Lapis kedua Kawin-kawin tentulah hal politik negara ini. Tidak perlu pakar sains politik datang untuk menghurai siapa Malang kerana selepas belahan pertama, kita akan segera menangkap tokoh politik mana yang diperkatakan. Kita akan tersengih pada adengan Syahid dengan Proton Perdana berlumba dengan Pak Su memandu Moris tua, kita semua tahu siapakah Syahid dan siapakah pula Pak Su bila selesai membacanya. Dan bahagian Siti Menurra mensyaratkan menerima al-Quran pada Malang mengingatkan kita bagaimana senario siasah negara antara tahun 1987-1992. Saya tidak akan menghurai panjang, baca sendiri dan sengih sendiri. Inilah novelnya untuk orang pandai dan juga pembahas di kedai kopi. Jika anda seorang pembaca yang ingin mendapat kepuasan ketawa, inilah novelnya, jika anda pembaca yang ingin mendapat kepuasan sindir satira yang mengutuk politik sebagai bahan wit. Maka inilah juga karyanya.

Kawin-kawin dijual dengan harga RM 25 dan boleh didapati di kedai-kedai buku besar termasuk MPH Mid Valley dan Kinokuniya KLCC. Tahniah kepada kumpulan Utusan kerana sekali lagi mengangkat martabat sastera tanahair. Sesuai dengan nama ‘Sako’ (nama pena Ishak Haji Muhammad) yang menulis satira-satira berani dan lucu seperti Putera Gunung Tahan dan Anak Mat Lela Gila, ketajaman Pak Sako semacam berpindah kepada Azizi. Kawin-kawin dengan sendirinya menjawab tuduhan bahawa ia tidak layak diberi tempat pertama (iaitu wang tunai sejumlah tiga puluh ribu).

Cikgu Azizi, saya tabik hormat kepada Cikgu!


Faisal Tehrani

Apabila Ucapan Pak Lah Di Apec Bercanggah

Posted by Tukya

Laporan dari Santiago, Chile oleh akhbar tempatan kita menyebut bahawa ramai pemimpin APEC (Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik) bersetuju dengan pendirian Malaysia bahawa usaha membanteras keganasan akan hanya ‘berkesan’ jika punca sebenar masalah itu dapat dikenal pasti secara jelas dan terperinci.
Menurut laporan akhbar, Perdana Menteri ketika membincangkan mengenai keganasan, beliau melihat keadaan sedikit berbeza (kita rasa tentu ada angguk-angguk, hang tengok aku, aku tengok hang) ketika memberi pandangan mengenai betapa pentingnya ‘sebab atau punca sebenar keganasan itu dikenal pasti’.

‘Mereka kini sependapat dengan kita bahawa punca sebenar ‘ancaman keganasan’ perlu diketahui dan difahami sebaik-baiknya terlebih dahulu, demikian kata Perdana Menteri kepada wartawan Malaysia.

Jika sungguhlah apa yang disebut oleh Perdana Menteri di Santiago ketika berehat di hotel penginapannya, kita amatlah merasa sedikit pelik tentang penggunaan istilah ‘keganasan’ dan ‘punca keganasan’, apa lagi apabila gesaan dibuat supaya mencari punca sebenar masalah itu untuk dikenal pasti secara jelas.

Istilah ‘keganasan, pengganas’ yang dilaung-laungkan oleh dunia kini, terutama Amerika tentunya merujuk kepada umat Islam, kebangkitan Islam dan puak-puak minoriti Islam. Barat tidak pernah memberi istilah keganasan, pengganas kepada bukan-Islam jika ianya berlaku di mana-mana negara, terutama negara yang membenci Islam.

Hal ini seakan menjadi satu lumrah sehingga berita-berita luar yang dipetik oleh akhbar-akhbar kita pun turut dengan mudah menyebut pengganas.

Soalnya sekarang, apakah sebenarnya yang berlaku dan dilakukan oleh umat Islam itu patut disebut pengganas, keganasan, sehingga kita berjaya memberi pengertian kepada pemimpin APEC bahawa mereka nampaknya sudah faham?

Kita sangat yakin istilah ‘pengganas’ dan ‘keganasan’ yang sangat popular di barat, terutama Amerika semata-mata ditujukan kepada perlakuan umat Islam apabila bermulanya tragedi 11 September 2001 yang lalu. Bermula dari situlah, apabila nama Osama Ben Laden muncul sebagai perancang dan ketua pengganas, maka apabila ada saja tragedi buruk yang berlaku pada mana-mana negara yang Amerika ingin menguasai dan memasukkan pengaruh ideologinya, dengan cepat dituduh umat Islam sebagai pengganas.

Pada hal, titik tolak berlaku tragedi 11 September, sehingga hari ini belum pun dunia menemui buktinya. Yang ada cuma andaian yang bersandarkan dari perisikan dan analisis.

Jadi sangatlah tidak adil jika kita menggunakan ‘pengganas’ ‘keganasan’ untuk membanteras keganasan. Barangkali persoalan ini boleh dipertikai tetapi saya yakin istilah ‘pengganas’ ‘keganasan’ yang disebut oleh Perdana Menteri adalah dari rujukan barat, terutama Amerika dan sekutunya.

Sedikit sangat hujah yang berlaku di mana-mana negara yang dilakukan oleh bukan-Islam dianggap sebagai pengganas. Zionis tidak pernah dianggap sebagai pengganas dan 1/3 sahaja keganasan yang mereka lakukan itu dikatakan ‘pengganas’ dan dunia tidak pernah mengatakan mereka melakukan keganasan.

Palestin sehingga wafatnya Arafat, sehingga sampai ke taraf kanak-kanak melontar batu kepada kereta kebal, sedemikian lama mereka dinamakan pengganas. Di Iraq sejak jatuhnya Saddam dan Amerika dengan sifat samsengnya, sampailah kepada menembak umat Islam yang masih bernyawa-nyawa ikan di dalam masjid dikatakan pengganas. Apakah mereka pengganas?

Di Tak Bai Selatan Thailand, apakah mereka mengganas apabila umat Islam diperlakukan seperti kayu balak reput, lalu kita mengajak kuasa kuffar dan pemimpin APEC bersetuju supaya kita perlu mencari punca keganasan itu?

Akan temuilah satu kesimpulan bersifat ‘sandwich’ dan keputusan itu tentunya memihak kepada umat Islam. Akibatnya seluruh dunia sekarang dengan mudah men’trade mark’kan umat Islam sebagai umat yang ganas, militan, pelampau dan lain-lain. Apa lagi sekiranya melihat melalui rakaman video penyembelihan di Iraq.

Lalu beberapa ulama upahan pun mengeluarkan fatwa bahawa Islam tidak boleh melakukan kekejaman. Habis, apa yang mesti dilakukan oleh Islam sekiranya orang lain pula melakukan kekejaman terhadap umat Islam? Masih mahu mencari punca keganasan?

Kita berpendapat memanglah baik kita mencari punca berlakunya keganasan tetapi kita sangat khuatir untuk mencari punca itu, umat Islam sekali lagi menjadi mangsa ‘suspek’, menjadi mangsa ‘andaian’, menjadi mangsa ‘keputusan’.

Kerajaan Bangkok sehingga hari ini tetap menyalahkan umat Islam yang kononnya puak pemisah. Apabila permintaan pelapor khas PBB bagi pembunuhan luar undang-undang mahukan siasatan, Bangkok dengan remeh menolak.

Bukankah itu sudah nyata bahawa umat Islamlah yang disalah dan itulah konklusinya; Islam itu ganas, umat Islam itu pengganas.

Mencari punca keganasan memanglah baik, apa lagi jika keganasan itu hingga menggugat ketenteraman dan perpaduan negara. Tapi dalam konteks mencari punca keganasan yang bertolak dari tuduhan atau sikap kuasa besar seperti Amerika tentulah tidak adil. Kita yakin istilah ganas dan keganasan ini akan menjadi istilah rasmi kepada umat Islam dan bukan mustahil barat akan memasukkan istilah ini dalam ensiklopedia mereka. Sedangkan kebangkitan Islam dan perkembangannya di zaman Rasulullah pun masih lagi belum dapat dipadam bahawa Islam itu berkembang dengan ‘mata pedang’.

Bagaimana pun keraguan kita, kesangsian kita seperti apa yang disarankan oleh Perdana Menteri seperti terjawab pula apabila berita APEC 2004 dari Santiago yang dilaporkan oleh wartawan Azizi Othman. Datuk Seri Abdullah dipetik sebagai berkata, sesebuah kerajaan yang mengamalkan dasar penindasan tidak akan boleh bertahan dan masyarakat antarabangsa perlu berperanan untuk memastikan rejim sedemikian tidak wujud.

Kita berharap laporan ini benar dan kita angkat tangan, tabek dan tahniah. Sangat berani, telus dan betul.

Dan memang seribu kali betul bahawa kewujudan sesebuah kerajaan (pemerintahan) seumpama itu (cukup baik kalau disebut siapa itu) akan hanya mencetuskan ancaman keganasan berterusan yang kini sudah dipersetujui dunia supaya ia dibanteras sama sekali.

Bagaimana agaknya reaksi Bush? Atau bagaimana duduk sandarnya Arial Sharon?

Sekali lagi Datuk Seri Abdullah betul apabila membaca laporan dari Azizi Othman yang mengatakan, dalam konteks ini, mereka yang bangun memberontak untuk menentang sesebuah kerajaan yang mengamalkan penindasan tidak harus dilabelkan sebagai pengganas.

Persoalannya, betapa pun sangat baik dan sedap didengar, apakah APEC mendengarnya? Bush misalnya, adakah beliau bersikap ‘pekak badak’ atau ‘capang telinga’ kemudian mengambil kapas menyumbat lubang telinganya.

Bagaimana pun secara peribadi saya sangat berbangga, bersetuju dan mengucap tahniah di atas keberanian Perdana Menteri kelima ini yang sangat berani menyalahkan Amerika bersikap terburu-buru menyerang Iraq.

Saya kira kekaburan saranan awal beliau supaya mencari punca keganasan terpadam dan ‘Pak Lah’ patut menjadi WIRA ucapan berani lebih dari Bekas Perdana Menteri yang keempat dulu (Tun Dr. Mahathir) apabila beliau berkata; “Bagi saya, adalah silap untuk meletakkan semua punca tragedi pada 11 September itu kepada Islam semata-mata. Adalah salah untuk mengatakan bahawa ia berpunca daripada penganut umat Islam.”

Begitulah kira-kira... demikianlah adanya apabila kadang-kadang sesuatu ucapan itu bercanggah.

Karya Yang Di Hasilkan

Posted by Tukya

  • Senja Belum Berakhir (1971)
  • Sami Mekong (1976)
  • Bila Hujan Malam (1976)
  • Latifah Rebbaniah (1976)Tini (1977)
  • Ayah Bonda (1978)
  • Gadis Itu Bernama Ina (1978)
  • 2 Kolam Muhamah (1978)
  • Keakuan (1978)
  • Rindu Bonda (1980)
  • Seorang Tua Di kaki Gunung (1984)
  • Garis Lintang Anak Haram (1986)
  • Latifah Rebbaniah (1986)
  • - ReprintAsyraq (1987)
  • Melukut Kota (1987)
  • Istiqamah (1988)
  • Mardudah (1989)
  • DeeJuak (1989)
  • Menebus Maruah (1991)
  • Gadis Itu Bernama Ina (1991)
  • Sami Mekong (1991)

Nama Samaran :Anita, Ibnu Abdullah Alhaj, Jamong, Qalam Adly Tukya, Susilawati

Jalan Panjang Mencipta Nama

Posted by Tukya

SAYA amat yakin untuk menjadi seorang penulis sama ada penulis kreatif dalam gerne novel, cerpen, atau non-kreatif memerlukan disiplin yang kuat. Maksud disiplin ialah kemahuan menulis dalam waktu yang tidak menentu tanpa disuruh atau didesak oleh pihak lain. Oleh sebab saya termasuk dalam golongan penulis yang tidak mempunyai disiplin secara khusus dalam semua perkara maka saya sehingga hari ini menjadi penulis yang sering "tangkap muat" dan ini menjadikan tulisan saya tidak kuat.

Hal ini seperti menjadi identiti saya pula, kerana sekiranya ada orang yang benar-benar mengikuti perkembangan awal saya menulis mereka pasti akan dapat menelah bahawa itulah karangan saya walaupun tidak dicatat nama penulis. Penelaah sastera yang saya dapat kesan ialah Dr. Othman Puteh yang dapat memastikan dalam ratusan karya yang dibaca, bahawa salah satu ialah tulisan saya. Mereka akan dapat mengenal pasti cara saya menamatkan cerita dalam keadaan gopoh, terburu-buru hendak sudah. Editor pula, tanpa melihat nama saya juga dapat mengenal pasti tulisan saya berdasarkan skrip yang kotor dan tidak bersih.

Kerana itu pada peringkat awal saya menulis Allahyarham Zakry Abadi, pengelola sastera Warta Mingguan dan Utusan Zaman yang mengulas perkembangan penulis utara dalam buku Cenderamata Penulis Kedah terbitan Persatuan Penulis dan Peminat Sastera Kedah pada 30 September 1996 menganggap saya penulis pengotor dan tidak berdisiplin dan malas menjaga kebersihan. Sasterawan Negara Prof. Emeritus Dato' Hj. Shahnon Ahmad sering menegur saya dalam ceramah bahawa saya penulis yang gopoh dan mahu cepat sudah. Misalnya dalam memperkatakan novel Seorang Tua di Kaki Gunung (Hadiah Kedua Sayembara Novel Yayasan GAPENA/Sabah II 1981; DBP tahun 1982) beliau berkata jika saya berhati-hati, tidak ada keinginan hendak cepat sudah, novel itu boleh menjadi novel yang lebih baik terutamanya dalam membuat perbandingan nilai kota dengan nilai tradisi.

"Hang ni kalut. Buatlah satu-satu," kata beliau dalam satu majlis lain apabila melihat saya menulis dalam semua genre.

Ketika menulis novel saya seperti berada di satu trek ribuan meter yang perlu saya berlari cepat untuk sampai. Maka kerana itu apabila menulis jarang saya berhenti kalau belum sampai tiga jam, terutamanya waktu malam. Selepas balik mengajar, hingga petang saya menghadap mesin taip jika saya mula menulis sesuatu. Saya jarang membuat draf atau merancang nama watak atau membuat gambaran awal tentang seting. Kalau ada pun saya membuat draf, draf itu tidak terpakai.

Pada peringkat permulaan menulis saya menggunakan mesin taip adik ipar abang saya yang tinggal di Permatang Tinggi Kepala Batas (kini Dato', Pesuruhjaya Kehakiman Pulau Pinang), kemudian meminjam pula mesin taip Remington kepunyaan sepupu saya, Muslim Osman, seorang bekas askar.

Bekerja sebagai guru agama di Sekolah Kebangsaan Sungai Taka, Serdang Kedah, saya mempunyai banyak masa. Saya tinggal di berek polis yang sudah buruk bersama dua orang kawan. Dengan hanya duduk bersila, saya mengetuk mesin taip sampai lewat malam. Oleh sebab berek itu tidak digunakan lagi, saya bebas masuk ke ruang mana pun untuk mengelak daripada bunyi mesin taip mengganggu kawan-kawan. Kerana berek itu berek lama, lampu elektrik tidak ada saya hanya menggunakan dua pelita minyak tanah.Yang seronoknya di depan berek saya tinggal, rumah Penghulu. Ada seorang gadis (cucu Penghulu) sering mengintai saya menaip.

Tidak ada proses dan perancangan plot. Yang bermula hingga akhir atau permulaannya begini, di tengahnya begini, di akhirnya begini. Begitu juga soal tema, perwatakan. Saya akan menaip apabila terasa hendak menaip dan kadang-kadang memaksa diri pula. Saya akan tulis apa-apa yang terfikir waktu itu. Adakah saya ini seperti Aldous Huxley, seperti yang ditulis oleh Shahnon Ahmad dalam Dewan Sastera Disember 1975?

Hahhh! Takkan saya perasaan sampai begitu. Siapalah saya.

Kerana najis kena angkut sendiri disebabkan tandas tidak berfungsi, saya pindah ke rumah sewa lain. Jiran saya Encik Wahid, "penulis surat" yang sangat kuat membaca. Dia tahu saya seorang penulis. Daripadanya kami berbual tentang novel. Dia membaca novel-novel Inggeris seperti Sherlock Holmes. Di sebelah lagi ada pula jiran yang mempunyai dua orang anak gadis. Dari celah-celah pokok kopi saya nampak melalui tingkap dapur mereka turun naik. Mandi di Sungai Selama pun kadang-kadang sama waktu.


Apabila malam saya mula menulis untuk menunjuk-nunjuk kepada dua orang gadis di sebelah rumah sewa saya. Ketika itu tidak ada meja, tidak ada kerusi. Saya cuma menulis di atas pelenggar iaitu duduk di atas anak tangga kedua dan mesin taip di atas bangku papan. Kiri kanan pelita minyak tanah.

Saya tidak menumpukan sepenuhnya kepada novel. Apabila jemu, saya beralih pula kepada cerpen atau rencana.

Saya sebenarnya tidak banyak membaca. Novel karya Dr. Hamka kebanyakannya dibeli oleh bapa dan kemudiannya saya ambil. Melalui pembacaan yang terhad itu, apabila saya menemukan bahasa dan kata-kata yang sedap, saya garis atau menandanya. Semua itu membantu saya dalam menulis novel atau cerpen. Dalam proses menulis novel Garis Lentang Anak Haram, majalah agama yang diterbitkan oleh Majlis Agama Islam Singapura, yang dibeli oleh bapa saya menjadi rujukan penting. Di dalamnya termuat tulisan tentang agama Kristian di samping buku Agama Terbesar di Dunia.


Apabila berpeluang membeli sebuah mesin taip Oliveti, saya semakin bersemangat menulis. Bayangkan kalau dakwat ribbon taip habis, saya gunakan carbon copy. Saya jadikan menulis ini kerja wajib. Saya lekatkan di dinding rumah kata-kata "Apa yang aku tulis hari ini?" Ini adalah semata-mata untuk memperingati saya sendiri kalau-kalau saya terlalai.

Tidak seperti cerpen, proses menulis novel sangat membosankan kerana panjang dan tidak dapat dihabiskan dalam satu malam. Kalau cerpen saya pernah menulis tiga cerpen satu malam bermula dari jam sembilan hingga tiga pagi.


Proses menulis selalunya bermula daripada rasa tidak puas hati, meluat dan ingin mengkritik. Saya tidak suka memberi pandangan. Hasil daripada pembacaan, pendengaran atau pengelihatan yang menyentuh perasaan, ia akan bergelodak dan saya bawa ke mana-mana dan apabila malam saya akan menghadap mesin taip.

Ketika mula mengetuk mesin taiplah saya baru mula mencari keperihalan watak, mencari seting. Manakala plot, mesej, tema, dan teori saya tidak peduli malah saya tidak tahu langsung. Yang menggerakan saya menulis hanyalah rasa tidak puas hati, meradang, dan meluat.

Saya sediakan sebotol Livita dan minum selepas maghrib. Sejam kemudian saya terasa riang dan cergas. Kepala lapang-ringan, dan tidak pun terasa mengantuk. Rokok? Sememangnya rokok jadi teman. Pada peringkat ini saya masih jahil dengan penginapan di hotel, lagi pun wang tidak ada.

Apabila sudah berkahwin, isteri saya sudah pun memahami tabiat saya kerana sebelum kahwin dia tahu saya seorang penulis. Kepadanya saya berkata, "isteri aku yang pertama ialah mesin taip."

Kerana memahami itu agaknya isteri saya tidak pernah terganggu apabila saya sedang menaip, atau lewat tidur atau keluar rumah tanpa memberitahu sampai sehari dua. Malah sampai bertanya hendak minum apa pun tidak berani. Buku-buku yang berselerak di atas meja juga tidak berani disentuh. Dia akan membuat kopi apabila saya berkata, "Buat kopi O suam-suam!"

Tabiat tidak boleh diganggu ini sangat buruk rupanya. Satu ketika ketika saya sedang menulis, anak saya Anita yang berusia 5 tahun datang mengusap-usap manja di muka saya sambil memanggil pak, pak, pak. Saya melarangnya dua tiga kali dengan lembut tapi anak saya tidak peduli. Akhirnya saya naik bengang dan menempiknya dengan kuat.
Ya Allah! Anak saya terkencing kerana terkejut.

Apabila tengah malam saya merenung wajahnya. Saya menangis seorang diri. Ini satu perasaan yang aneh saya rasa. Kesan rasa kasihan itulah saya jadikan asas dalam penciptaan kreatif kalau yang bersifat kasih sayang.

Pernah pula suatu ketika saya sedang menaip tapi dalam waktu yang sama isteri saya meminta saya menghayun buaian kerana dia hendak ke kedai. Tengah sedap menaip, anak saya terjaga dan merengek. Oleh sebab rengekannya tidak berhenti, saya naik geram lalu saya menghayunkan buaian itu tinggi-tinggi dan menempik menyeruhnya diam.
Anak saya "terslop" (terhenti menangis tiba-tiba) kerana terkejut dan akhirnya diserang penyakit terkejut (sawan) menangis di tengah malam. Saya terpaksa mencari sirih penawar. Mujurlah lega.

Begitu saya berasa bahawa dunia penulisan cerpen/novel adalah dunia milik saya dan saya merasa bangga, seronok. Tapi sayang kerana saya tidak banyak ilmu, tidak kuat disiplin dan tidak pula dapat menguasai bahasa Inggeris, dan Arab, maka jadilah saya penulis yang tidak sampai ke tahap yang tinggi.

Sehingga sampai ke awal tahun 1970-an saya benar-benar menulis dengan proses yang tidak menentu walaupun sekali-sekala saya didedahkan pada kursus. Tujuan menulis masih tidak nyata kecuali saya ingin menjadi seperti Shahnon Ahmad, A. Samad Said, dan Abdullah Hussain.

Apabila lewat tahun 1970-an saya membuka mata dan kerana wang poket ada sedikit, mulalah saya jadikan hotel sebagai tempat menulis. Bukan apa, selain tidak ada siapa yang mengganggu, saya berasa perlu menaip sehingga selesai kerana kesuntukan masa dan ingin sekali mengambil balik wang yang saya bayar kepada hotel dan tentunya bayaran itu honorarium cerpen. Sebab-sebab yang lain ialah kerana saya bebas keluar berpeleseeran apabila jemu atau terasa lesu. Pengunjung hotel adalah satu-satunya bahan atau idea perwatakan ketika menulis. Kemudiannya buku-buku sastera mula saya beli di samping buku agama dan falsafah. Saya mula kenal siapa dia Motenggo Boesji dan Pramoedya. Mukhtar Lubis cuma satu bukunya saya beli itu pun tidak habis baca. Gaya bahasanya tidak langsung memikat.

Sebenarnya saya tidak berapa gemar menulis novel kerana lambat sudah. Di samping sukar mewujudkan plot yang panjang, saya sukar mengawal watak yang banyak. Tapi apabila bertemu sekali sekala dengan Dato' Shahnon Ahmad yang saya anggap sebagai guru saya, Shahnon selalu berkata; "Takkan nak tulis cerpen saja. Tulislah novel sama". Akhirnya saya dapat menghasilkan 27 buah novel hingga kini.

Penilaian Karya, Sumbangan Fikiran Dan Kegiatan Sastera

Posted by Tukya

Penilaian karya sastera Azizi Hj Abdullah ini bertitik tolak dari mula beliau menulis hingga kini (Tahun 1963 hingga 2004) menampakkan tingkat kemajuan yang sangat ketara. Ini dapat dilihat penghasilan beliau sebanyak 189 buah cerpen yang dikesan, yang ditulis di akhbar dan majalah mahu pun melalui sayembara. Begitu juga melalui cerpen yang tidak dapat dikesan tarikhnya sebanyak 30 buah lagi, lebih kurang.

Perkara yang tidak dapat dinafikan, Azizi Hj Abdullah telah menghasilkan karya cerpen ini secara berkesinambungan, tidak terputus atau terhenti.

Bermula dari cerpen pertamanya ‘Sisa’ yang tersiar di dalam Warta Mingguan, Pulau Pinang dalam tahun 1963, kemudian lewat cerpen ‘Hj. Salikun Cuba Berkhalwat’, Warta Mingguan 1963, Azizi sudah menampakkan kekuatannya dalam bidang ini. Sasterawan Negara, Prof Datuk Hj Shahnon Ahmad yang membuat kritikan di dalam ruangannya menganggap Azizi berbakat.

Apabila Azizi menghasilkan pula cerpennya bertajuk ‘Sami Mekong’ ternyata karya beliau sudah mendapat perhatian. Ia bukan saja persoalan mutu tetapi juga tema yang dibawanya. Azizi telah mengangkat cerpen itu menjadi sebuah novel pula. Begitu juga apabila Azizi menulis cerpen ‘Dua Seniman’ di majalah Mastika tahun 1966, maka cerpen itu telah diangkat menjadi cerpen terbaik dalam bulan tersebut melalui pemilihan cerpen-cerpen lain. ‘Di Pinggir Kampung Barzakh’ Utusan Zaman 26 Oktober 1975 telah menjadi polemik selama tujuh minggu.

Peningkatan pengkaryaan Azizi terus meningkat apabila cerpen ‘Beruk’ yang disiar di dalam majallah Dewan Bahasa Disember 1970 telah menjadi teks sastera lewat antologi ‘Jejak Langkah’.

Kemudian apabila Hadiah Sastera mula diperkenalkan oleh kerajaan, Azizi Hj Abdullah terlonjak ke hadapan dengan mutu karyanya yang menandingi karya-karya yang lain. Cerpen ‘Jerat Sudah Mengena’ Berita Minggu 28 Mei 1972 telah dipilih dalam Hadiah Sastera itu. Tahun berikutnya cerpen-cerpen seperti ‘Latifah Rabbaniah’ ‘Bapa’ ‘Wau Kepala Burung’ ‘Bibit Cinta’ ‘Kipas Angin’ sekali gus menjadikan karya Azizi terpilih sebagai karya yang bermutu. Panel Penilai Hadiah Sastera ketika itu menganggap Azizi adalah pengkarya yang terbaik setakat ini.

Nilai karya Azizi Hj Abdullah bukan saja lewat Hadiah Sastera sehingga beliau dipilih lima tahun berturut-turut memenanginya dan tahun-tahun berikut berselang seli, tetapi juga diakui lewat sayembara yang dianjurkan oleh organisasi yang berwibawa. Misalnya cerpen ‘Pelarian ke Dua’ April 1980, ‘Tirusilvam’ malah cerpen ’Seladang’ mendapat tempat teratas dari penulis-penulis lain. ’Tulang Pekasam Ikan Puyu’ bukan saja cerpen terbaik tetapi juga telah dijadikan drama TV melalui sayembara penulisan skrip TV ketika itu.

Manakala cerpen ‘WI’ telah dipilih sebagai hadiah utama dalam sayembara Esso-Gapena dalam Sayembara VII 1988. Begitu juga cerpen ‘Mohd. Dhuha’, 'Moris Minor Kesumba Murup’, ‘Kolai si Kuda Tua’, ‘Mohd. Takeuchi’, ‘Mas Um’ dan lain-lain sangat menampa kekuatan Azizi Hj Abdullah berkarya.

Oleh kerana karya-karya Azizi mempunyai nilai kekuatan yang tersendiri, maka beberapa cerpennya telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris (termasuk antologi), ke bahasa Cina, Thailand.

Jika sayembara boleh dibuat sebagai ukuran nilai karya Azizi Hj Abdullah, maka beliau boleh dianggap sebagai penulis teratas sekali sehingga tahun 1995, mengikut kajian dalam Berita Perpustakaan Universiti Malaya KEKAL ABADI yang ditulis oleh Zainab Awang Ngah, Lecturer Faculty of Computer Science and Information Technology, Jilid 14 Bil 1, Mac 1995.

GENRE NOVEL:

Azizi Hj Abdullah bukan saja memiliki kekuatan berkarya dalam cerpen tetapi juga novel. Bukti pertama, apabila beliau menghasilkan novel yang ke tiga dalam tahun 1971, maka novel beliaulah yang pertama dipilih mendapat Hadiah Sastera dengan novel ‘Senja Belum Berakhir’ di mana novel itu menunjukkan pemikiran Azizi kepada perjuangan penati dan maruah bumi tercinta, iaitu sawah. Tetapi yang tersirat sebenarnya ialah perjuangan mendapat kemerdekaan dan pemimpin ketika itu.

Dalam ulasan Dr. Alias Zaidi (Utusan Zaman) menyatakan, Azizi telah menunjukkan kejayaan dan penelitiannya, berbakat, berpotensi.

Panel Hakim berpendapat: Azizi berjaya melukis ketajaman batin konflik-konflik sebagai konflik nilai hidup lama dan tradisional dengan nilai hidup baru.

Azizi menghasilkan novel sejak 1969 hingga 2004 sebanyak 29 buah. Kekuatan penovelan beliau dapat dilihat apabila setiap karyanya mendapat perhatian pengkritik dan diperkatakan.

‘Sami Mekong’ dianggap sebagai novel yang membentangkan kehidupan penganut Buddha, novel berunsur agama. (Harith Fadhilah, Utusan Zaman)

Sepuluh tahun selepas itu pula Azizi mengagumkan dunia sastera dengan novelnya 'Seorang Tua di Kaki Gunung’ apabila novel itu dianggap oleh semua pihak sebagai novel yang terbaik. Ia telah menjadi bacaan wajib tingkatan 5 sastera. Prof. Datuk Hj. Shahnon Ahmad berkata, ianya adalah novel ‘Ketuaan makhluk dan keajaiban alam’ (Berita Harian Rabu 7 April 1984) dan menganggap salah seorang pengarang berbakat besar bakat alamnya dan tajam daya pengamatan.

Nilai novel ‘Seorang Tua di Kaki Gunung’ ini telah dianggap sebagai salah satu novel Malaysia Pilihan Abad 20. Novel ini telah diterjemah
ke bahasa Jepun oleh Dr. Fujimorai dan Tahiyibah Sulaiman.

Kemudiannya diikuti dengan kejayaannya meraih hadiah novel berunsur Islam anjuran Yayasan Pendidikan Islam.

Ramai yang mengaitkan Azizi dengan sayembara. Bagi Azizi, sayembara adalah medan uji untuk melihat sejauh mana kekuatan karyanya kerana karya itu dinilai. Maka kerana kekuatan nilai itulah Azizi meraih lagi sayembara novel remaja dengan tajuk ‘Suriati’ anjuran Pusat Islam ketika itu (1993).

Kemudian Azizi melonjak lagi, satu lonjakan yang sukar dilakukan oleh penulis lain melalui kekuatan dan nilai berkarya. Novel ‘Wi & Wiliam’ telah mendapat tempat ketiga dalam Hadiah Sako I anjuran Utusan Publication tahun 1995.

Bagaimana pun novel ‘Ayahanda’ terbitan Creative Entr. Tahun 1999 tidak boleh diabaikan mutu dan kreativiti Azizi. 'Ayahanda' adalah novel biografi yang sungguh-sungguh dari Azizi dan di situlah nilai kehidupannya dituang.

Akhirnya satu kejayaan di peringkat nasional dan tertinggi dicapai oleh Azizi sekali lagi, iaitu apabila memenangi Hadiah Utama Hadiah Sako II dengan novel ‘Kawin-Kawin’, sebuah novel yang menurut panel sebagai menepati konsep penyegaran semula bahasa, memusatkan bahasa pinggiran, memperkayakan ungkapan, memiliki erti yang kuat dan kuasa visual yang jelas.

Satu tema yang baru bagi kesusasteraan di Malaysia di samping mempunyai kekuatan yang tersendiri dari segi kemungkinan, pelbagai lapis. Mempunyai kekuatan semantik, ungkapan yang maknanya berbeza. Naratif girang lucu secara literal.

b. PENILAIAN SUMBANGAN FIKIRAN AZIZI HJ ABDULLAH
YANG BERKAITAN DENGAN DUNIA SASTERA.

Melalui cerpen dan novel, dan juga skrip-skrip drama TV, Radio, ternyata Azizi Hj Abdullah telah menyumbang alur pemikirannya yang sangat bernilai. Di antaranya ialah;
1. Nilai peradaban dan perpaduan melalui tema agama. Nilai-nilau sastera berunsur agama (Islam) yang mendahului polemik sastera Islam. Buktinya ialah penghasilan novel 'Garis Lentang Anak Haram' tahun 1968, Sami Mekong 1969, Di Kolam Mulhamah, Seorang Tua di Kaki Gunung 1984, Cahaya di Pendalaman 1992, Kawin-Kawin 2002. Sedangkan polemik Sastera Berunsur Islam hanya muncul sekitar tahun 80an.
2. Nilai tradisi lama dengan moden melalui beberapa karya seperti Seorang Tua di Kaki Gunung, Senja Belum Berakhir, Menebus Maruah.
3. Nilai kesufian seperti Dee, Latifah Rabbaniah, Di Kolam Mulhamah, Takah Tujuh.
4. Nilai-nilai sosial pelbagai kaum

c. PENILAIAN YANG SAKSAMA TENTANG KEGIATAN AZIZI HJ ABDULLAH
YANG MENDORONG KE ARAH PEMBINAAN DAN PENGEMBANGAN SASTERA KEBANGSAAN.
Kegiatan-kegiatan beliau ini tidak dapat dikesan secara keseluruhan. Akan tetapi ada di antara kegiatan-kegiatan beliau seperti menyampaikan kertas kerja, ceramah, bengkel kepada pembinaan kesusasteraan.