Menyusuri Gagasan Gapena

Posted by Tukya

Oleh: REJAB F. I.

SAYA terpanggil untuk membicarakan tentang gagasan Gapena yang dibicarakan oleh Azizi Haji Abdullah dan Rahman Shaari. Sebelum ini saya tidak pernah berbicara tentang Gapena setelah meletakkan jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Gapena pada tahun 1994. Semua ini lantaran prinsip bahawa Gapena adalah wadah penulis (Gabungan Persatuan Penulis Nasional, bukan Gabungan Persatuan Budaya) dan perjuangan memartabat dan memperkasakan bahasa Melayu.

Kerana kedua-dua gagasan tersebut tidak diberi perhatian sebaik mungkin termasuk melunasi Perlembagaan Gapena maka saya nekad mengundurkan diri.

Jika Azizi membicarakan tentang gagasan dakwah dan menganggap Gapena perlu diislamkan, Rahman Shaari pula membicarakan naratif kecil-kecilan dalam Gapena. Saya ingin menumpukan kepada naratif-naratif besar yang terdapat dalam Perlembagaan Gapena. Antara naratif-naratif besar itu adalah:

“Mempertahan dan memperjuangkan hakhak dan kepentingan penulis, dan berusaha untuk memajukan bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.”

Ternyata bahawa naratif yang pertama begitu kurang diberi perhatian, cuma naratif kedua iaitu memajukan kebudayaan Melayu di peringkat antarabangsa yang diutamakan. Sewajarnya kedua-dua naratif itu diseimbangkan. Lantaran pembangunan kebudayaan tanpa diseimbangkan dengan pembangunan penulisan maka pincanglah Gapena.

Gapena selama ini begitu lumrah dengan kegiatannya mencari Melayu di serata dunia. Antaranya ditemui Melayu Sri Lanka 1985 dan 1997 (dua kali), Campa Kuno-Vietnam Tengah 1992, Cape Town-Afrika Selatan 1993 dan 1996 (juga dua kali), Kunming-Yunan 1994, Marawi City-Mindanao 1996, Cebu City, Filipina 2001, Madagascar 1997 dan 2001 (dua kali), tanah suci Mekah 2000 dan Lembah Chao Praya- Bangkok 2002.

Kata Azizi, Gapena menyeleweng daripada dasar perjuangannya, “Lebih banyak mencari Melayu di luar negara, Melayu dalam negeri tidak dicari.”

Sebenarnya kegiatan-kegiatan Gapena mencari Melayu di luar negara itu memang baik. Sekurang-kurang para penulis tanah air berpeluang berkunjung ke negara-negara tersebut untuk menimba pengalaman. Berhasil juga menemui Melayu meskipun kata Azizi, Melayu yang ditemui itu bercakap Melayu pun tidak boleh. Maka kini terdapat sekian ramai Melayu di dunia, lebih 250 juta orang. Sehingga seramai itu, sewajarnya bahasa Melayu berupaya menjadi salah satu bahasa dunia, tetapi bahasa itulah di negara kita sendiri terpinggir diketepikan!

Sejauh mana perjuangan Gapena untuk memartabat dan memperkasakan bahasa Melayu mengikut naratif yang diutarakan oleh Rahman Shaari seperti yang terdapat dalam Perlembagaan Gapena?

Ketua Satu Gapena, Tan Sri Ismail Hussein menyokong penuh usaha kerajaan menggunakan bahasa Inggeris untuk mata pelajaran Sains dan Matematik mulai tahun 2004. Kenyataan itu amat memeranjatkan saya dan sekian ramai Ketua Satu para kerabat Gapena.

Kami berpendapat adalah wajar beliau hanya menyebut ‘no komen’ apabila ditanya oleh wartawan tentang soal tersebut, maka akan terubatlah luka di jiwa kami.

Naratif kedua tadi, iaitu mempertahan dan memperjuangkan hak-hak dan kepentingan penulis.

Sebagai sebuah badan gabungan persatuan penulis tanah air, wajar sekali Gapena menumpukan agenda besarnya seperti yang dimaksudkan oleh Rahman Shaari sebagai wacana naratif besar itu. Naratif inilah sebenarnya perjuangan mutlak persatuan penulis iaitu menghasilkan penulisan sama ada kreatif atau bukan kreatif.

Sekian banyak lagi badan gabungan budaya terdapat di negara kita seperti Persatuan Sejarah Malaysia, majlis-majlis kebudayaan yang sewajarnya mengambil inisiatif tersebut.

Tetapi perjuangan Gapena tidak seimbang, lebih banyak menumpukan kepada aktiviti budaya seperti Pertemuan Dunia Melayu, Siri Dialog Gapena (utara, selatan, puncak, pantai, sempadan, Borneo-Kalimantan); Pertemuan Sasterawan Nusantara; seminar-seminar seperti Seminar Antarabangsa Dunia Melayu-Dunia Indo-Cina, Seminar Dunia Melayu Dunia Islam; Perkampungan Penulis Gapena; Simposium Penulis Perbagai Kaum, Hari Puisi Nasional, Hari Sastera dan sebagainya.

Di manakah hasil penulisannya? Yang penting bagi anggota badan kerabat Gapena sebagai badan induk persatuan penulis adalah hasil penulisan terutama sekali dalam bidang kreatif kerana sekian ramai ahli-ahli badan penulis terdiri daripada penulis-penulis kreatif. Setelah berusia 35 tahun (Gapena ditubuhkan pada 23 Oktober 1970) sebanyak manakah hasil-hasil penulisan diterbitkan?

Memang tidak dapat dinafikan bahawa banyak juga hasil penulisan kreatif dan bukan kreatif diterbitkan, terutama sekali hasil daripada kegiatan sayembara seperti Hadiah Sastera ESSO-Gapena, Hadiah Novel Melayu Baru Perangsang-Gapena dan Hadiah Sastera Darul Takzim. Menerusi sayembarasayembara tersebut, diterbitkan karya-karya yang menang, lumrahnya diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

Memang pada peringkat awal, penubuhan Gapena mempunyai semangat yang berkobar-kobar mendukung dan memperjuangkan hasil-hasil penulisan itu meskipun tanpa wang yang banyak. Ketika itu mengharapkan Dewan Bahasa dan Pustaka dan sekian banyak penerbit lain yang terdapat di negara ini menerbitkan karya anggota badan penulis di bawah gabungan Gapena. Ketika itu slogan Gapena adalah menyumbang kegiatan secara ‘sukarela’. Pada prinsipnya memang berjaya.

Tetapi kini sesudah 35 tahun, Gapena mempunyai dana yang agak besar, memiliki harta iaitu 14 unit bangunan kilang industri ringan di Taman Perindustrian Bukit Serdang dan tanah seluas 18.49 hektar di Sungai Tekali, Hulu Langat, termasuk tapak dan rumah Gapena yang menjadi perebutan dengan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (rujuk Ismail Hussein Bersama GAPENA halaman 403).

Apakah tidak mungkin Gapena menerbitkan karya daripada anggota badan kerabat seperti novel, antologi cerpen atau antologi puisi pada setiap tahun?

Gapena mempunyai anak syarikat Gapena-Niaga. Aktiviti itulah sewajarnya diutamakan oleh Gapena sebagai ‘kegiatan perdana’ atau yang dimaksudkan oleh Rahman Shaari “naratif besar” berdasarkan atas nama ‘Gabungan Persatuan Penulis Nasional’, bukan Gabungan Persatuan Budaya!

Aspek inilah yang dianggap oleh Azizi bahawa Gapena telah menyeleweng daripada dasar dan perjuangannya. Suatu aspek lagi yang benar-benar diharapkan oleh kalangan penulis, anggota badan gabungan Gapena adalah dilema yang dihadapi tentang penyiaran atau penerbitan hasil-hasil karya dan royalti daripada para penerbit termasuk akhbar-akhbar dan majalah.

Dalam perlembagaan Gapena menyebut ‘memperjuangkan hak-hak dan kepentingan-kepentingan penulis’. Silalah rujuk buku Biografi dan Koleksi Ismail Hussein Bersama Gapena, sejumlah lebih 500 halaman), amat sedikit ditemui senarai kegiatan utama itu daripada sedemikian banyak kegiatan yang dilakukan oleh Gapena selama ini.

Maka tertanya-tanyalah kita apakah sebenarnya perjuangan Gapena melunasi perlembagaan itu? Jika tidak, apakah benar Gapena telah menyeleweng daripada perlembagaannya? Sesebuah persatuan semestinya merujuk kepada perlembagaan atau undang-undang tubuh persatuan, jika tidak apakah ertinya perlembagaan itu? Seperti Perlembagaan negara kita, apa ertinya Perlembagaan jika rakyat dan pemimpin sering tidak mematuhi perlembagaan kita?

Ketika terpilih dalam mesyuarat agung Gapena mulai 2000 hingga 2004, saya berusaha mengetengahkan dan memperjuangkan naratif tersebut agar Gapena memberi ruang kepada penulisan kreatif, sekurang- kurangnya dimuatkan sebuah atau beberapa buah puisi dalam Warta Gapena yang diterbitkan saban bulan.

Selain sekian banyak kegiatan Gapena yang memenuhi setiap keluaran apa salahnya dimuatkan juga karya kreatif seperti puisi yang dihasilkan oleh para peserta dalam setiap aktiviti, misalnya Pertemuan Dunia Melayu Di Mekah, atau Lawatan Pengarang-Pengarang Malaysia ke Uni-Soviet (USSR) pada 1988.

Ketika diadakan Pertemuan Penulis Melayu Serumpun, di Daik-Lingga pada 4 hingga 8 Julai 1999, seorang peserta, juga seorang penulis Riau yang terkenal iaitu Sutardji Calzoum Bachri mengeluarkan pendapat yang keras, menyelar Gapena kerana begitu sibuk dengan pesta-pestaan sedangkan hasilnya amat kurang.

Lantas saya membuat pengakuan bahawa sesuatu hasil penulisan akan diterbitkan sempena perkampungan tersebut. Saya berusaha mengumpulkan bahan dan berjaya diterbitkan oleh Gapena dengan kerjasama Malaysia Encyclopedia Reseach Center Berhad, sebuah dokumentasi berjudul Daik Bonda Tanah Melayu.

Sesudah itu saya berusaha pula menerbitkan Lampiran Kreatif untuk Warta Gapena, cuma satu keluaran saja kerana sekian banyak masalah yang saya hadapi. Ketika menjadi AJK Kerja Gapena juga saya berusaha menerbitkan antologi puisi Sumpah Setia Bahasa, terkumpul sekian banyak puisi daripada anggota badan kerabat Gapena, menyuarakan hasrat dan perjuangan memartabatkan bahasa Melayu.

Ketika menghadiri suatu mesyuarat Jawatankuasa Kerja Gapena, di Menara Kuala Lumpur, saya terus berjuang dan berusaha agar Gapena melaksanakan naratif besar itu, akan tetapi saya diherdik oleh Ketua Satu Gapena selaku pengerusi mesyuarat tersebut.

Dua faktor itulah, iaitu perjuangan memartabatkan bahasa Melayu dan perjuangan melaksanakan naratif besar (penulisan) menerbitkan hasil-hasil karya kreatif anggota badan kerabat yang kurang diberi perhatian oleh Gapena - perhatian utama diberikan kepada kegiatan-kegiatan budaya - saya meletakkan jawatan.

Apakah kerana penyandang jawatan tertinggi Gapena rata-rata terdiri daripada kalangan yang bukan penulis kreatif maka naratif itu bukan merupakan suatu naratif besar?

Demikian gagasan yang dilaksanakan oleh Gapena selama ini, sebuah badan gabungan persatuan penulis yang begitu hebat perjuangan dan kegiatannya dalam lapangan budaya sehingga disegani oleh para pemimpin dan para cendekiawan segenap pelosok negara sehingga menyeberangi lautan terutama sekali mencari Melayu.

Kini kita tertanya-tanya sejauh mana perjuangan Gapena sebenarnya untuk memartabatkan bahasa Melayu dan sejauh mana pula peranannya menepati objektif perlembagaan Gapena iaitu mempertahan dan memperjuangkan hak-hak dan kepentingan penulis?

Gapena Jawap Azizi

Posted by Tukya

Oleh PROF. ISMAIL HUSSEIN

PENGARANG Azizi Abdullah yang terkenal sebagai ideologue sebuah parti politik, tidak bersetuju dengan jalan yang diambil oleh Gapena (Mingguan Malaysia 23 April) dan beliau menafikan kejayaannya, termasuk dalam lapangan kebudayaan Islamiah. Dapat diduga yang beliau mengambil sikap konservatif, sangat hurufiah dan hitam putih dan seolah-olah menafikan kehadiran bangsa Malaysia serta dunia global yang sudah menjadi cukup kompleks dan tidak dapat lagi ditangani cara lama.

Dalam Gapena kami menganggap yang kami telah berjaya menangani dunia yang kompleks seperti itu, bagi kebaikan bahasa dan kebudayaan Melayu, termasuk peradaban Islam, secara keseluruhannya. Buktinya terpampang di depan mata.

Saya sama sekali tidak bersetuju dengan cara-cara yang digunakan oleh Azizi dalam menegakkan hujahnya. Seperti biasa dalam budaya politik di pedalaman Malaysia, diselitnya ejekan dan perli-memperli dan yang ini tentulah tidak sesuai bagi masyarakat terpelajar. Lebih-lebih lagi beliau sengaja menambah apa yang tidak pernah ada dan menggelapkan apa yang sedia ada, semuanya sekadar untuk mengelirukan masyarakat dalam mencari kemenangan bercakap.

Ungkapan yang beliau tambahkan sendiri bahawa Gapena itu “menolak, ragu, anggap tidak sesuai” akan misi, ini adalah ciptaannya sendiri, tidak pernah timbul secara eksplisit atau implisit dalam Gapena.

Lebih malang lagi Azizi menggelapkan usaha Gapena dalam kebudayaan Islamiah yang terpampang di dalam Warta Gapena April 2006. Saya kutipkan sepenuhnya.

Bergiat

“Apabila dihisabkan jumlah seluruh penduduk bangsa-bangsa Melayu di dunia, di bawah istilah bangsa-bangsa Melayu-Polinesia, ada sekitar 350 juta jiwa semuanya dan dari keseluruhan itu hanya sekitar 15 peratus yang bukan beragama Islam.”

Hakikat ini menegaskan pentingnya Gapena mencari pengertian akan hubungan Islam dengan kebudayaan. Maka sepanjang hayatnya memang Gapena bergiat untuk itu dan demikianlah terbentuknya pelbagai program untuk itu dengan Pelita dan negeri Terengganu, sayugia diingat yang Gapena pernah menganjurkan seminar agama dan sastera yang pertama di Kuala Terengganu pada 28-29 Julai 1973.

Di Terengganu juga berlangsungnya Hari Sastera 1978 (24-27 Julai) yang bertemakan Islam Sebagai Sumber Sastera. Bersama Pelita di Terengganu dilancarkan Anugerah Sastera Darul Imam khas untuk penulisan kreatif yang Islamiah terbuka kepada pengarang Melayu antarabangsa (anugerah ke-v ditutup 31 Disember 2006) dan sayembara penulis digandingi pula dengan siri Simposium Darul Imam yang semuanya memusatkan pada sastera Islamiah.

Hubungan Gapena dengan Aceh juga membawa cita-cita yang sama, apa lagi tatkala pujangga Aceh, Prof. A. Hasjmy masih hidup.

Di samping semuanya ada juga penerokaan yang lain. Sekali Gapena ikut terlibat dalam penyelenggaraan Festival Kebudayaan Pattani (19-21 Oktober 2003) di mana disuntikkan ke dalamnya unsur kebudayaan Melayu yang memungkinkan masyarakat setempat berkomunikasi dengan yang bukan muslim.

Terakhir adalah Seminar Pemikir Kebudayaan dan Islam bersama Yadim dan pada 1-11 Mei 2005 diselenggarakan sekali lagi Pertemuan Melayu di Tanah Suci II mengulangi pertemuan tahun 2000.

Jelas apa yang dipersoalkan Azizi adalah cara dan bukan hasilnya. Saya cadangkan yang Azizi tidak sekadar berkhutbah dan menghukum, tetapi gunakan organisasi yang beliau libati, cuba mencapai hasil yang lebih cemerlang daripada apa yang telah diperoleh Gapena, supaya ini dapat dijadikan contoh kepada yang lain.

Gapena Oh Gapena

Posted by Tukya

Mingguan Malaysia 23 April 2006.

Ketika menunggu bermulanya majlis Pertemuan Prakongres Bahasa dan Persuratan Melayu VII Zon Utara di bilik mesyuarat Hotel Summit Bukit Mertajam 8 April lalu, Ainon Mohamad, Penerbit PTS menyua naskhah Warta Gapena April 2006. Lalu ditunjuknya halaman tiga tulisan Dari Meja Ketua Satu, Tan Sri Ismail Hussein.

Dibulatnya perenggan dua, tiga dan empat. Oleh kerana Warta Gapena (Suara Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia) sukar ditemui, melainkan orang tertentu sahaja, maka elok saya perturunkan tulisan tersebut, seperti yang ditunjukkan oleh Ainon.

“Agak menarik pada dekad Gapena ditubuhkan, apabila kesedaran Islam mula memuncak di Malaysia, ada desakan kuat (yang datangnya tak lain tak bukan daripada pengarang Shahnon Ahmad sendiri) supaya gerakan Gapena juga diislamkan, yakni dimasukkan sebuah paragraf tentang misi pendakwahan dalam Perlembagaan. Bagaimanapun kita memilih jalan yang dilalui sekarang, yakni bebas dan tidak mengungkapkan cita-cita keagamaan.

Hujah yang kuat dalam mengambil jalan itu, ialah kerana bahasa Melayu itu sudah merupakan bahasa kebangsaan negara, yang dipunyai juga oleh warga-warga yang bukan Muslim, dan sebuah badan gabungan mestilah menaungi semuanya. Jikalau pengarang Muslim membina sebuah persatuan Muslimnya sendiri, maka ditakuti yang bukan Muslim juga punya hak untuk membina persatuannya pula.

Dengan yang demikian tidak ada persatuan dan perpaduan dalam dunia bahasa Melayu, dan ini akan bertentangan dengan konsep dan cita-citanya. Bagaimanapun kita rasa apa yang dilakukan itu sangat tepat dan benar, sesuai dengan keperluan zaman dan negara. Juga harus diingati yang bahasa Melayu di dunia luas juga (terutamanya di Indonesia) dipunyai oleh masyarakat pelbagai agama, dan kita harus berkomunikasi dengan mereka secara intensif.”

Demikian tulis Ketua Satu Gapena. Dan dua perenggan lagi dinyatakan pula, “Ada satu dua persatuan pengarang Muslim di Malaysia yang ditubuhkan selepas konfrontasi itu, semuanya tenggelam, tidak seperti Gapena.

Apabila Gapena terus bergiat dalam kebudayaan lantaran tidak terkurung, maka Gapena telah berjaya meneroka ke dalam bangsa-bangsa Melayu yang bukan Muslim.”

Saya terkedu membacanya. Ada beberapa hal yang mampu saya melahirkan rasa hairan. Adakah suara Ketua Satu ini suara Gapena atau suara peribadi? Adakah kerana pencarian ‘Melayu’ di dunia Melayu sudah berjaya maka rencana itu ditulis begitu rupa seolah-olah memperkecilkan misi lain yang lebih besar?

Atau adakah misi dakwah Islam itu sangat bertentangan, tidak sesuai, bahaya kepada gerakan kebangsaan melalui berkat usaha Gapena menyatukan badan-badan penulis Muslim dan non-Muslim?

Tetapi yang jelas nampak Ketua Satu Gapena sangat curiga dan jika misi pendakwahan ini dimasukkan memberi impak perpecahan yang cukup besar kepada gabungan ini. Yang lebih mendukacitakan pada pendapat kita ialah seperti misi pendakwahan Islam ini satu tempelan dan bukan pasak kukuh dalam perjuangan memartabatkan bahasa dan budaya.

Hujah kita ini mampu diperkuatkan lagi apabila kita melihat sejarah Gapena dengan ‘Dunia Melayunya’, mencari Melayu di manamana dan berjumpanya hanyalah sehelai dua manuskrip dan kelompok-kelompok Melayu yang tidak ada kemelayuannya. Malah apa yang diharapnya tidak lebih dari bertemu, bersembang dan berseminar.

Patutlah dalam Citra Kemelayuan dan Citra Gapena (lihat Anugerah Sastera MASTERA 2006 Malaysia) hal-hal dakwah, misi keislaman tidak disebut pun, yang seolah-olah ia adalah misi yang sangat kecil peranannya. Bagi Gapena, kesedaran kemelayuan adalah kesedaran yang melampaui batas-batas negara, malah agama, kesedaran akan akar, akan asas-asas primordial.
Maka Gapena telah mencapai ke puncak kejayaannya apabila mendakwa dari segi penerokaan dunia Melayunya dan hal-hal rutin dalaman, mengisi dan melengkapkan cita-cita secara konkrit, melakukan hubungan bangsa Melayu di Asia Tenggara serta diasporanya di dunia dengan simposium historis di mana-mana.

Memang kita sangat kagum dan kejayaan itu adalah kejayaan yang tidak boleh diabaikan begitu saja. Tetapi apabila ada semacam penolakan, keraguan, menganggap tidak sesuai dengan masyarakat lain dan ‘ditakuti’ tentang misi pendakwahan ini, apakah ini tidak menunjukkan satu anggapan bahawa Islam yang dimisikan dalam perjuangan memartabatkan Melayu, bahasa dan budaya sebagai satu wadah yang tidak mampu berbuat apa-apa?

Perjalanan Gapena dengan dunia Melayu sudah lama dilihat tetapi mendekati kepada misi pendakwahan sebagai tanggungjawab Muslim sangat kering. Roh sebagai badan induk yang mampu meniup misi pendakwahan yang sepatutnya dilakukan tidak menjadi minat Gapena. Lalu satu gambaran nyata daripada pucuk pemimpin betapa misi pendakwahan Islam ini diragui, ditakuti amatlah mendukacitakan.

Buku Islam Di Malaysia dan Sastera Nusantara, susunan Hamzah Hamdani terbitan Gapena 2005, Resolusi Seminar Kebangsaan Pemikiran Islam & Kebudayaan bulan Februari 2006, catatan Datuk Dr. Zainal Kling yang lalu memberi jawapan betapa bercanggahnya dengan tulisan Ketua Satu Gapena sendiri, sekiranya kita melihat misi pendakwahan Islam itu memain peranan dan memberi impak yang besar terhadap perjuangan kebahasaan mahupun kebudayaan.

Agak pelik Gapena mengusulkan perkara 1 dalam resolusi itu bahawa ulama, ilmuwan, budayawan dan umarak sentiasa bersama- sama berjuang menunaikan tanggungjawab mencorakkan pemikiran budaya yang jelas dan praktikal demi kecemerlangan hidup berbudaya tinggi serta melahirkan masyarakat cemerlang, gemilang dan terbilang. Mengapa dalam seminar itu juga dicadang menubuhkan satu institusi kebudayaan dan kesenian Melayu Islam?

Kita lebih terpengaruh dengan gagasan beberapa ulama baik di Malaysia dan Indonesia, bahawa cendekiawan, sasterawan, penulis mempunyai tanggungjawab dalam bidang masing-masing. Tanggungjawab ini tentulah terhadap agamanya dan pastinya tanggungjawab itu dilakukan melalui misi dan method pendakwahan.

Tetapi apabila suara rasmi Gapena menyatakan itu atas alasan ‘takut, bimbang dan tidak sesuai’ apakah yang dapat kita lakukan selain keluhan? Sesungguhnya orang-orang Gapena perlu lebih banyak membaca kitab dari mengembara mencari Melayu.

Terima Kasih Hadari

Posted by Tukya

Muhamad John Hadar tergedik-gedik sepanjang jalan. Paling kiri tersengih, paling kanan tersengih. Angguk-angguk, geleng-geleng, ketawa terkekeh-kekeh, kadang-kadang memuncung mulut macam mulut kambing jantan cium mulut kambing betina.

Tadi, di pintu masuk Garden Inn ketika menjelang senja, wartawan mula kerumun sebaik-baik saja dia dicekup oleh pegawai PBT kerana didapati bergomol, berpeluk cium,tenyeh sana, tonyoh sini, raba sana raba sini dengan kekasihnya Minah Jempol.

“Apa komen saudara?” tanya seorang wartawan perempuan dari Rueter. Wartawan itu pun setengah terlondeh, buah dada berlurah macam mempelam Perlis sedang masak.

“Saya lega!” katanya dengan terkekeh-kekeh ketawa.

“Kenapa?” tanya pula wartawan dari Bulgaria, seorang lelaki yang hanya pakai T-Shirt dengan seluar pendek.

“Saya bangga dengan Islam negara kami, Islam Hadari!” jawabnya dan kemudian memecut Harley Davidsonnya balik.

Semua wartawan luar yang ingin membuat liputan tentang Muhamad John Hadar yang kena cekup bersama kekasihnya di Garden Inn oleh Penguatkuasa PBT akibat bergomol, beguling, berdakap berpeluk, bercium, gigit lidah, tenyeh sana sini menjadi hampa kerana undang-undang kecil Taman PBT tidak boleh didakwa begitu-begitu dalam keadaan begitu begini.

“Balik awal?” tanya Qossim, kawan sebiliknya. Selalunya Muhamad John Hadar seawal pun balik jam 1 pagi.

“Ada hal mustahak. Aku nak kirim e-mail,” jawabnya acuh tak acuh.

“Aik, nak hantar e-mail pun...”

“Ini bukan sebarang e-mail. Aku nbak hantar e-mail kepada Rasulullah!”

“Hahhh!” Qossim yang salah seorang yang sangat prihatin tentang karikatur Nabi Muhamad bangun macam hendak tendang sahabatnya ini. Tapi John Muhamad Hadar sangat cepat menyelinap masuk biliknya lalu mengunci pintu.

****** ********

Pedulikan maghrib, pedulikan azan, Muhamad John Hadar pun mengadap komputer.Laman http:// blog / vs kubur vs langit vs makkah / madinah _ raudah _1450H. dibukanya. Tapi entah mengapa dia jadi terkedu seketika. Rasa-rasanya dia perlu ditail butir yang hendak di e-mail. Dia tahu salah satu sifat Rasulullah ialah amanah, sidiq. Rasulullah tidak boleh dibohongi.

Memang pun dia bersalah. Tapi dia tak dapat menahan nafsu kerana Minah Jempol terdedah selakannya, dedah sini, menonjol sana. Lalu dia pun cuba peluk, Minah Jempol tak tepis pun. Lalu dia gosok, Minah Jempol mengeliat pula. Lalu dia pun rentap, paut dan seluruh batang tengkuk Minah Jempol dijilat ratahlah. Minah Jempol tidak pun marah, malah mengerang mengeliat pula.

Akhirnya Minah direbah. Ketika itu dia langsung tidak sedar siapa-siapa malah baginya ketika itu Rakib Atud pun tidak ada.

Tiba-tiba dia terdengar orang berdehem. Kemudian dia dihambur kata-kata kurang ajar, tak bersopan, tak tahu agama, haram jadah, jahil dan berbagai-bagai lagi. Rupa-rupanya penguatkuasa PBT sudah sekian lama mengintainya. Kerana perbuatannya yang perbuatan sumbang, membuat perkara tak senonoh, menjolok mata maka dia pun hendak diseret untuk didakwa ke mahkamah.

Dalam keadaan panik, ketika dia mengenakan butang seluar dan Minah Jempol membetul-betul colinya, melayahlah malaikat dari puncak bukit dekat tebing tasik. Rasanya macam malaikat tetapi dia tidak pasti apakah itu malaikat. Kata malaikat itu kepada penguatkuasa PBT, lepaskan dia segera. Jangan ambil kes ini.

Pegawai penguatkuasa PBT berpandangan sama sendiri. Mau apakah hendak dilakukan kerana yang memberi arahan itu malaikat sedangkan mereka orang yang menurut perintah.

“Hahhhh!” Muhamad John Hadar menempik kecil. Disela-sela rambutnya, menyandar ke kesuri dan komputer yang dibukanya, sudah muncul ruang e-mail. Maka dia pun menaip tajuk berhuruf besar; TERIMA KASIH HADARI.

“ Ya Rasulullah, saya sangat berbangga hidup dalam abad 21 ini di negara yang saya sayangi, negara tumpah darah saya; Malaysia! Semenjak munculnya pemerintahan di bawah payung baru, atas nama dan konsep Islam Hadari, saya sangat-sangat berterima kasih kerana saya rasa cukup bebas, tidak terkongkong, tidak terikat dengan akta dan peraturan yang ketat, kolot dan tidak bertamadun. Sejak muncul Hadari ini, maka saya rasa malah seluruh warga Islam tidak lagi berjalan di atas duri.

Terima kasihlah Hadari!

Sebelum muncul Hadari, Islam yang engkau bawalah ya Rasulullah sangat mengongkongkan saya dan orang-orang seperti saya. Tetapi dengan munculnya Hadari, yeeaahhh, kami rasa kami boleh melakukan apa-apa saya. Tengok, dulu kalau saya buka baju, berpeluk dan berguling tindih dengan kekasih saya, mereka tangkap, mereka dakwa, tetapi kali ini, sejak datang Hadari, perlakuan sekadar ini tidak apa-apa.

Terima kasihlah Hadari!

Betapa tidak bagus Hadari ini ya Rasulullah, kerana yang didraf garis panduan hanyalah dari satu kementerian, bukan dari sudut syariah atau dari sunnah engkau ya Muhamad. Ini yang bagusnya! Masakan...masakan saya tidak bangga kerana Kabinet sendiri tidak menyentuh mengenaui isu bercium cumbu atau berpeluk di tempat awam.

Terima kasih Islam Hadari. Saya ingin beritahu ya Rasulullah, sejak kemunculan Islam Hadari, ia berlainan dengan Islam yang dibawa oleh engkau.

Masakan...masakan kalau penguatkuasa PBT hanya boleh bertindak terhadap mereka yang berbogel atau membuka baju untuk melakukan sesuatu kerana Hadari mendifinasikan itu adalah lucah. Manakala seperti yang saya lakukan dengan Minah Jempol, bukan lucah. Kami sekadar buka-buka sikit, berpeluk, bercium dan saya hanya menokak menggigit telinga dan tengkuk saja.

Terima kasih Islam Hadari!

Saya berterima kasih ini ya Rasulullah kerana di zaman engkau dulu tidak ada Kementerian Bangkit Bangun Perempuan, Puak Suku dan Kelompok. Tidak ada. Kini ada dan merekalah berdasarkan Islam Hadari melupuskan apa yang engkau kata tidak boleh dulu, ya Rasulullah.

Terima kasih Islam Hadari!

Yang lebih membanggakan saya ya Rasulullah, Hadari inilah yang sangat-sangat memelihara kepentingan awam, tidak mahu ditafsirkan sewenang-wenang sehingga pasangan yang berpegangan tangan atau memeluk bahu pun mahu diganggu.

Memang pun ya Rasulullah, tegahan dari sunnahmu kepada mereka yang bukan muhrim seperti ini tidak relevan lagi. Jika engau bangun di abad ini ya Rasulullah, engkau akan terkejut bagaimana terbukanya kami dengan islam Hadari ini.

Memang pun ini bukan gejala sosial. Jadi tidak ada sebab hendak dihalang. Terima kasih Hadari kerana status penguatkuasa PBT tidak diletak tarafnya seperti polis moral.

Terima kasih Hadari kerana tidak membenarkan saya dan rakan-rakan yang lain mengekori kami masuk ke taman bunga. Dan sangat berterima kasih Hadari kerana engkau sangat memelihara, menjaga imej dari pelancong luar.

Engkau tahukah ya Rasulullah tahun 2007 nanti kami akan menyambut Tahun Melawat Malaysia? Bayangkan jika kuatkuasa lapok dari sunnah engkau dijalankan. Lecehlah kami kepada pelancung. Sebab itu saya berterima kasih pada Islam Hadari yang baru diwujudkan ini. Nampaknya inilah satu-satunya pendekatan, kaedah yang sesuai dan relevan, terbuka, diterima oleh masyarakat.

Terima kasih Hadari!

Semenjak engkau dicipta oleh golongan cerdik pandai dan pemikir, nampaknya Islam yang dulu cukup lapok dan tak bertamadun. Tengoklah, sebelum mereka tangkap saya, bagaimana peristiwa di Kelab Zauq Islam Hadari mampu merongkai masalah itu. Dulu pun, betapa hebuh penbangkapan ratu cantik, mujurlah pemikiran Islam Hadari yang menolong mereka. Jika tidak, mampus semua orang islam yang hendak bersuka-suka.

Terima kasih Islam Hadari, kerana dapat mentafsirkan bahawa bukan masjid saja yang perlu diziarahi dan dimakmur tetapi tempat-tempat hiburan juga perlu dimakmurkan.

Ya Rasulullah, kerana Hadarilah maka kami berpeluang mengadakan pelbagai konsert. Kerana Hadarilah program masyarakat lebih banyak hiburan dari ceramah agama. Engkau tenguklah ya Rasulullah, kerana Hadarilah maka sempena hari keputraanmu kami boleh menganugerahkan tokoh kepada mereka yang bukan Islam walaupun terang-terang mereka bukan penganut dan pengembang ajaranmu.

Terima kasih Hadari!

Tiba-tiba pintu diketuk berkali-kali. Muhamad John Hadar terkejut dan e-mailnya terrencat. “Kenapa?” laung tanyanya kuat.

“Buka pintu ni. Ada orang nak jumpa!” suara Qossim, kawannya yang tidak pernah sealiran dari segi pemikiran.

“Terima kasih Hadari! Terima kasih Hadari!” kata-kata itu dilafazdnya ketika pintu dibuka. Tanpa peduli pada Qossim, dia terus berkata Hadari, Hadari, Hadari seolah-olah itulah wirid yang aula.

“Heee, apa ni. Apa Hadari, Hadari?” Qossim menjerkah.

“Engkau ganggu aku. Aku sedang hantar e-mail kepada Rasulullah. Beritahu dia, Islam Hadari kita memang bagus. Kau tenguk aku yang dicekup oleh PBT semalam, tak boleh buat apa-apa. Tak ada undang-undang!” katanya dengan bangga.

“Engkau hantar e-mail kepada Rasulullah?”

Qossim membeliak mata. Jika benar itu, amarahnya mula meluap.

“Haaa, salah?”

Qossim termenung tapi bola matanya sudah jadi bianglala bertembung.

“Di Denmark, orang buat karikatur Nabi Muhamad, kita tak apa-apa pun, takkan ini kau nak marah? Itulah Hadari kita, Qossim!”

Tiba-tiba Qossim menerkam bagaikan singa lapar. Sebiji penumbuk dihentak ke muka Muhamad John Hadar, kawannya itu. Hadar terlentang dan ada darah meleleh di lubang hidung.

“Ini penumbuk Hadari. Alangkah baiknya kalau semua orang Islam macam aku!” kata Qossim dan kemudian beredar.

Muhamad John Hadar terpinga-pinga. Dia teringat komputernya belum ditutup dan e-mail kepada Rasulullah belum selesai. Dia harus mengkapitalleterkan TERIMA KASIH ISLAM HADARI di akhir e-mailnya.


-TAMAT-

Beruk Makye Jaga Pisang

Posted by Tukya

Cerpen Simbolik; Harakah November 2001

BERUK MAKYE JAGA PISANG
-Azizi Hj Abdullah

Sejak dulu lagi Sang Beruk Makye seronok tak ketahuan hala bila dia dinobat menjadi kepala mengurus Estet Pisang. Sungguh tak disangka tapi itulah kenyataannya. “ Dalam dunia ini kita mesti tunjuk lokhom, baru orang percaya,” katanya kepada kawan-kawannya bila seluruh media simbahkata perdana menyiarkan dia; Beruk Makye menjadi kepala beruk-beruk menjaga kebun pisang setelah dituding dan dilantik oleh Maha Beruk Makye .

Bermula hari itulah ekur kontotnya terkodek-kodek bila berjalan. Bulu-bulunya pun dijilat-jilat agar nampak licin dan berminyak. Pantatnya yang kematu dan tertempek-tempek dengan tahi-tahi kering, ditenyeh gesel agar tidak kelihatan. Kadang-kadang disuruh bini Makyenya sental dengan pulur sabut.

Memang patut Sang Beruk Makye diberi kepercayaan menjaga estet pisang, komen setengah kera lutung yang terdiri dari kaki mengampu kaki bodek. Hal-hal pisang mesti diserah jaga kepada orang yang betul-betul tahu hal kepisangan, kata mereka. Dan dia; Atas nama keturunan Sang Beruk Makye akan buktikan yang dia adalah jenis Beruk Makye yang terbaik mengawali dan mengurus hal-hal pisang.

Bukan macam Tupai Pinang yang jaga estet padi. Bukan macam puak rama-rama yang disuruh jaga kebun bunga. Bukan macam kucing belanda yang disuruh jaga kebun jagung atau hutan bakau. Mereka hanya pandai melilau, tapi tidak pandai melompat. Langkah laut, jengkau udara lebih dari tujuh benua, tujuh lautan tak mampu. Bila ekonomi gawat tahi tersentot jadi secamca. Hitung-bilang, kira-congak, rugi berkandar, untung tak pernah.

Maka kerana itulah dia kena tunjuk prestasi hebat. Biar semua tahu bahawa yang bernama Beruk Makye adalah beruk yang terpintar dari beruk-beruk yang kurang pintar. Biar semua tahu Beruk Makyelah yang cerdik di antara beruk-beruk yang bodoh. Biarlah semua tahu, Beruk Makyelah yang terbaik di antara yang tidak baik.

Memang patut pun Beruk Makye diamanahkan jaga estet Pisang . Di sana terdiri dari mereka yang tanam semata-mata hendakkan hasil tapi bukan untung. Di sana tidak ada bunga faedah, tidak ada unsur riba. Memang baik mengurus orang masuk syurga. Semuanya ibadah.

“ Kerja mesti kuat. Setiap biji yang kita usaha, sepuluh gandanya. Ini kerja kebajikan. Ini amal jariah,” katanya ketika mula-mula bertemu staf-stafnya dalam majlis suai kenal.

“ Tapi Tuan Sang Beruk Makye,” tiba-tiba celah seorang Lembaga Pengurus yang sudah agak tua. Dari raut wajahnya, dia kepingin benar hendak bercakap.

“ Ya, silakan.”

“ Kita dalam estet pisang.”

“ Apa masalahnya?”

“ Bolehkah kita mengelak dari makan pisang sedangkan kita ni keturunan Beruk Makye.”
“ Kenapa dengan Beruk Makye?”

“ Tabiat Beruk Makye atau beruk-

beruk yang lain, makan pisang. Tak merbahayakah kita ni kepada estet pisang?” tanyanya dengan suara yang agak kuat.

Maka Sang Beruk Makye pun ketawa terbahak-bahak sampai hampir hendak terkencing. Mulutnya yang lebar luas bagaikan mulut karton Pokemon ternganga luas. Lucu benar ingatan dari salah seorang Lembaga Pengurusnya. Memanglah dia keturunan beruk. Memanglah dia Beruk Makye dan memanglah beruk mahupun Beruk Makye suka pisang. Memanglah kena pada tempatnya apabila Maha Beruk Makye menempatnya menjaga estet pisang.

Maka pada hari mula dia diamanahkan menjaga Estet Pisang, dia telah buat bancian. Di sebelah utara ada berhektar-hektar pisang Raja. Di sebelah selatan berekar-ekar pisang Bunga. Di sebelah barat berrelong-relong pisang Rastali. Di sebelah timur berpetak-petak pisang Mas. Itu tak kira lagi pisang Awak, pisang Nangka, pisang Berangan, pisang Tanduk dan bermacam-macam mak nenek pisang lagi.

“ Insyaallah, saya akan menjaga dengan penuh amanah,” katanya kepada sesiapa saja yang bertanya tentang kemampuannya. Kemudian dia pun lantik Lutung menjadi Setiausahanya.

Tapi satu hal yang dia tidak boleh elak ialah ‘ budaya keBeruk Makyeannya ’ yang sangat suka pada pisang tapi ‘keBeruk Makyenya’ ramai pula tidak pernah curiga, malah menurut Maha Beruk Makye, dialah saja yang paling sesuai.

Pada hari yang keseratus dia dilantik menjadi Pengurus Besar Estet Pisang, maka Sang Beruk Makye pun mulalah melawat ke setiap jengkal tanah Estat Pisang yang diamanahkan padanya. Dari sebatang pokok pisang ke sebatang pokok dia melompat. Tapi malangnya dia tidak dapat bergayut kerana pokok pisang hanya berpelepah lembut liat.

“ Bos aku dan tukang ampunya macam pelepah pisang jugalah,” bisiknya ketika cuba hendak menarik satru pelepah pisang Raja yang sudah layu, tapi semakin ditariknya, semakin liat jadinya.

Alangkah…alangkah indah dan nikmatnya melawat Estet Pisang. Masak sebiji, dipulasnya dan dimakan. Kuning dua biji, dikopek kulitnya lalu digembil ke pipi kiri dan kanan.

“ Ini pisang apa?” dia cuba bertanya kepada Sang Lutung, Setiausaha yang tidak pernah renggang dalam masa bertugas.

“ Pisang Bunga,” kata Lutung.

Maka Sang Beruk Makye pun melompat terkinja-kinja. Belum pernah dia melihat bertandan-tandan pisang Bunga yang ranum-ranum. Semuanya itu tentu manis, fikirnya.

“ Haaa, tunggu apa. Ambillah!” katanya pada Lutung.

Lutung bukan jenis Beruk Makye, maka hal-hal kepisangan bukanlah dia suka sangat. Tapi oleh kerana pisang percuma, masak kekuningan pula, tentu sedap. Lagi pula Bosnya Sang Beruk Makye kata, makanlah semau-mau kerana kaum beruk memang gemar pisang. Bila di amanah kepada beruk jaga estet pisang, tentulah kena tempatnya beruk makan pisang, katanya dengan ketawa terbahak-bahak.

Maka Lutung pun makan sampai kenyang terlentang.

Bila sampai ke kawasan pisang Mas, Sang Beruk Makye terasa perutnya sendat. Angin mengah menolak dua tiga kali, tapi tamak halobanya terus melobi-lobi .

Kali ini Sang Lutung sudah memandai-mandai. Belum pun bosnya mempelawa, dia dengan berani merabut pisang Bunga yang ranum di tandan. Di makannya sebiji demi sebiji.

Sang Beruk Makye sudah kenyang, tapi tamak halobanya terus mendesak. Anih, dia tidak pun menghalang Lutung, Setiausahanya, tapi dia juga macam budak-budak sekolah berebut kacang putih. Beberapa biji yang lembik isinya, yang ranum, dimasukkan ke uncang pipi kiri, pipi kanan. Dipolok gemben sampai pipinya kembung bulat.

Di polok-poloknya lagi pisang yang lain ke pipi sebelah kanan, ke sebelah kiri sampai termengah-mengah hendak ketawa . Kemudian dengan rasa tamak haloba, dia ajak juga setiausahanya ke rimbunan pisang yang lain.

“ Bos, macam mana kalau orang tahu kita makan pisang yang kita sendiri jaga?” tanya Setiausahanya, Lutung berkening lebat dan mata bulat hitam itu.

“ Hai, kita yang jaga, takkan kita tak boleh makan,” katanya dengan suara polokan. Kemudian dengan tenaga kenyangnya Sang Beruk Makye pun mengajak Setiausahanya lagi ke rimbunan pisang-pisang Rastali. Di situ juga banyak yang sudah masak.

“ Katakan saja kita nak rasa. Kita nak cuba,” katanya pada Lutung yang semakin seronok dapat makan percuma.

Selama hampir sebulan Sang Beruk Makye berbuat demikian. Setelah kenyang, di bawanya pulang untuk diberi pada bini, pada anak-anak. Yang mana pisang tua, disuruh bini peram dalam peti kemudian peti itu dikunci. Takut juga kalau-kalau ada beruk lain yang tahu.

Bagi Beruk Makye, makan pisang dalam estet yang dijaga bukanlah satu dosa atau pecah amanah. Sememang pun beruk makan pisang dan apabila sudah berada dalam estet pisang, bodohlah kalau tidak makan pisang. Rasa-rasanya mana-mana beruk pun tidak merasa hairan, malah Maha Beruk pun tentu tidak marah kerana sememangnya adat beruk,makan pisang.

Tapi sesekali dia terasa juga betapa bodohnya mereka melantiknya mengurus estet pisang. Bodoh yang utama ialah Maha Beruk Makye. Kalau sudah tahu beruk memang suka pisang, mengapa mesti lantik juga jenis beruk mengurusnya. Bukankah selamat kalau dilantik arnab atau anjing jaga estet pisang.

Persoalan itu tidak pernah dijawab oleh beruk-beruk lain atau bukan beruk. Semua tidak pernah mencurigai kerana estet pisang adalah satu-satunya estet syarikat kebajikan, lembaga amal dan institusi ibadah. Mana boleh sebarang orang cuba main kayu tiga. Lagi pula para pelabur yang menanam sepokok demi sepokok dulu terdiri dari mereka yang tongong bahlul yang sudah ditanam dengan kepercayaan bersih, cekap dan amanah.

“ Bos! Bos!”

Tiba-tiba Setiausahanya, Lutung Kengkang bergayut melompat datang ke rumahnya dan melaung sekuat hati dengan nada yang cukup bimbang. Dan dia yang baru buang tahi mata, yang baru sapu air liur basi kerana meleleh air pisang, terkejut sampai terkentut sulung. “ Apa hal?” tanyanya.

Bini yang gedempol yang baru saja kencing dicelah dahan juga hairan. “ Kenapa ni?” tanyanya.

“ Semua dah tahu,” kata Setiausahanya dalam keadaan mengah-mengah.

“ Tahu apa?”

“ Semua pisang yang masak ranum, mereka kata Bos yang makan.”

Lalu dia pun tersenyum. Mata beningnya direnung pada Setiausahanya. “ Habis, yang kau sebuk-sebuk ni kenapa?” tanyanya.

“ Mereka kata kita salah laku. Mereka kata Bos makan pisang-pisang haram!”

“ Takkan pelik?” tanyanya.

“ Taklah…tapi bukankah ini satu kesalahan. Bos cuma jaga pisang, bukan makan pisang!” kata Setiausahanya lagi sambil menggaru-garu celah kangkang yang berkurap panau.

“ Itulah bodohnya kau. Mereka pun bodoh. Adakah pula beruk tak makan pisang. Cuba tanya mereka, beruk mana yang tak makan pisang?” katanya dengan ketawa berdekah-dekah.

“ Yang bodoh ialah mereka yang melantik Sang Beruk Makye ini,” bininya pula mencelah. “ Macam kau juga yang bodoh, macam Maha Beruk Makye yang lantik laki aku juga yang bodoh. Kalau dah tahu beruk makan pisang, kenapa lantik beruk jaga estet pisang?” kata bini Sang Beruk Makye sambil tergelak sampai bergembat tetek landurnya.

Setiausahanya termenung. Kepala berbulu cering digaru-garunya.

“ Sudahlah… baliklah. Beruk makan pisang bukan perkara pelik. Lainlah kalau ular sawa atau arnab,” katanya.

“ Jadi…”

“ Jadi apa lagi?”

“ Jadi tidaklah pelik Bos makan pisang walaupun sampai berjuta-juta mayang?”

“ Ya, bukankah aku ni beruk. Kalau bukan beruk sukakan pisang, siapa lagi?”


“ Tak salahlah?”

“ Memang tak salah kerana kita jenis Makye makan pisang. Yang salah mereka yang lantik kita suruh jaga estet pisang. Faham tak? Kalau sudah kucing makan ikan, kenapa suruh kucing tunggu ikan? Kalau sudah musang makan ayam, mengapa lantik musang jaga reban?”

“ Bos memang betul. Saya tebik buah fikiran Bos,” kata Setiausahanya.

“ Cuma yang aku minta, jangan sekali-kali kau beritahu, cara mana kita lugas pisang-pisang yang masak di tandan. Jangan kau beritahu cara mana kita ambil pisang-pisang tua dan jangan beritahu di peti mana pisang-pisang tua itu kita peram.”

“ Walaupun sampai lapan juta tandan?”

“ Hahhh, kau diam sajalah. Kalau kita tak makan, lutung kera lain juga akan makan. Dari segi konsepnya, sama saja. Tak gitu?” kata Sang Beruk Makye dengan ketawa terkekeh-kekeh.

Lalu Setiausahanya pun turut ketawa terkekeh-kekeh. Bini pun senyum kerepot, turut juga ketawa terkekeh-kekeh. Di pagi itu mereka bertiga melompat-lompat keriangan kerana berita yang terakhir diberitahu oleh Lutung yang setia taat itu, semua pisang yang di makan, akan diganti dengan pisang-pisang yang akan diimport.

Layang-Layang Tak Bertali

Posted by Tukya

LAYANG-LAYANG TAK BERTALI
-Azizi Hj Abdullah


Tiba-tiba saja penduduk sekitar kampung dan kawasan persawahan yang baru dituai itu heboh. Sah, bukan layang-layang. Tapi yang melenggok melenggang, melilau ke kiri ke kanan, melayah menurun macam pula layang-layang. Hairan! Apakah itu malaikat? Mana mungkin malaikat seperti itu. Apa pula misi malaikat kalau betul malaikat?

Bigfoot lagi mustahil. Masakan Bigfoot boleh melayah-layah ke angkasa ke sana ke mari. Jadi kalau bukan Bigfoot, apa?

Tak seorang pun dapat menjawab. Leha yang termonok-monok mancari ikan sepat dalam londang dan kubang, hanya melangut dengan mulut terbeber, menjegil melihat penuh hairan. Pak Dahaman yang sedang terbongkok-bongkok mengerbok lubang batas kalau-kalau ada tikus membuat sarang, berdiri melentik-lentik badan kerana lenguh kerinjal, terlopong mulut sampai meleleh air liur. Dalam kepalanya jenuh memikir benda apa sebegitu rupa.

Yang lain jadi keranjat. Mengerubut hairan. Saling bertanya tetapi tak seorang pun tahu apa bendanya.

Benda itu bukan ternampak kelmarin, tetapi sejak kelmarin dulu, sejak kelmarin dulunya, sejak kelmarin dulunya lagi melayang melayah, melenggok-lenggok berseni macam lenggang Kudang Kepang di Dataran Pasir Gudang.

“Mustahil layang-layang!” kata Pak Dahaman, satu-satunya orang lama di kampung itu. Badannya yang sudah melengkong tua, kulit lengan yang kendur kering kerana tikaman mentari seharian, menolak-nolak tudung daun nipahnya, mendangak melihat benda yang melilau melayah melayang itu.

Lima enam orang yang turut bersamanya ketika matahari segalah hendak jatuh mengakui hakikat itu dengan menganggup-ngangip hairan juga. Masakan layang-layang. Pertama kerana mereka tidak nampak seutas tali pun dari benda itu. Kedua, benda itu melilau lebih dari had kemapuan lenggok layah, ke bawah ke atas tanpa ikut arus angin. Layang-layang hanya mampu melayah, menurun menaik bercanggah angin. Kalau layang-layang masakan ia mampu ke mana-mana sekitar kawasan ruang sempadan persawahan tanpa tali, tanpa ada kontrol dan tanpa mengikut sistem arah angin. Masakan layang-layang kalau bentuknya tidak sedikit pun berciri layang-layang.

“Tengok, sayapnya panjang dua meter. Kepalanya seumur hidup aku tak pernah tenguk kalau itu layang-layang. Ekor layang-layang biasanya berambu-rambu, mengibar-ngibar seperti renda. Ini tidak. Empat segi, berpalang macam tangga kayu rumah kita!” kata Pak Dahaman untuk mengukuhkan lagi dakwaannya.

“Hairan, tak bertali!”

“Memang pun tak ada tali!” tukas yang lain kerana begitu lama mereka mengamati benda di ruang udara sempadan persawahan itu. Dan yang peliknya, apabila gumpalan awan berat berarak, benda itu tersusup ke dalam gumpalan kemudian muncul pula dengan dengung nyaring yang membingarkan.

“Fuh, dengungnya hebat!” Hajah Bibah yang sangat tidak berkenan cucu-cucunya bermain layang-layang turut meluahkan hairan. Layang-layang yang cucunya bermain pun berdengung juga, tapi dengungnya dari daun nipah yang dikoyak nipis. Bunyi pun macam tebuan dalam buluh.

“Tentunya dibuat dari tali keset Syarifah Aini yang dah tak pakai!” begitu pula kata Saidin, pemuda yang jadi broker jentera menuai di kawasan itu.

Pak Dahaman memang tak berapa sedap dengan kehadiran benda yang melayang melayah di ruang sempadan persawahan itu, lalu menawarkan diri rumahnya menjadi tempat perjumpaan malam itu untuk membincangkan apa sebenarnya benda yang melayah melilau, berdengung membingar di ruang persawahan mereka yang baru saja dituai itu. Kalau perlu, kata Pak Dahaman, perkara itu akan diadu kepada ketua kampung atau JKKK.

“Biarkanlah Pak Dahaman,” tiba-tiba Husin, satu-satunya pemuda yang yang menjual baja subsidi sawah menyanggah. “Lagi lama benda itu melayang melayah di ruang dekat kawasan kita, lagi bagus, seronoklah sikit!”

“Apa yang bagus?” Pak Dahaman seakan mengherdik. Hidungnya berair selsema, ditenyih-tenyihnya geram.

“Sekurang-kurangnya kita boleh tenguk hari-hari. Itu kan satu show. Jom Heboh! Dia bukan kacau ganggu kita!” tukas Husin lagi. Dia jelepok di atas batas kering, di sisi Leha, janda anak tiga yang masih tring-tring itu.

Memang pun semua orang kampung keluar beramai-ramai petang itu apabila Pak Dahaman kerah keriau suruh berhimpun di hujung permatang untuk mempastikan benda apa yang melayang melayah, melenggok lenggang, senget kulai ke kiri ke kanan tak ketahuan hala. Berdengong macam langsuir kena paku. Maka berhimpunlah mereka di bawah pokok cenerai, bertenggek di atas batas, menyandar di perdu mempelam tua. Dan akhirnya membuat keputusan satu perjumpaan akan di adakan di rumahnya.

Bukanlah menggemparkan sangat, tetapi menghairankan. Layang-layang tak bertali itu, apakah sebabnya melilau melayah, melenggok senget ke kiri ke kanan, menjunam turun, menyacak naik, berdengung bersipongang, kemudian sekejap hilang, sekejap muncul. Kadang-kadang masuk ke dalam gumpalan awan, kadang-kadang tak bergerak seperti helang mematikan kepak sayap mengintai tikus di celah pokok menerung.

Yang gegetun pasal tak bertali, berlegar-legar berhampiran sempadan sawah yang sudah kering kontang. Yang anehnya, tidak ada siapa yang tahu benda yang melayang melayah di ruang angkasa itu untuk apa. Sempadan kawasan sawah itu hanyalah dipisahkan sedikit pokok bakau, kemudian sungai lebar dan kemudian laut. Kawasan itu termasuk dalam sempadan kuasa persawahan.

Tapi itulah. Betapapun heboh dan gegetun, tak seorang pun anggap berbahaya. Bahaya apa kalau layang-layang tak bertali berlegar-legar di ruangnya sendiri. Lainlah kalau dalam ruang udara sebelah sini. Pak Dahaman bolehlah tenggalung atau lastik layang-layang tak bertali itu atau mencari punca dari mana layang-layang pelik itu dinaikkan.

Layang-layang tak bertali? Tak seorang pun berani mengakui ia layang-layang, baik layang-layang tradisional atau layang-layang teknologi moden. Tapi tak pula seorang pun berani menafikan, ia memang semacam layang-layang kerana kelegaran dan kelilauan, kelenggokan ke kiri ke kanan, naik turunnya macam layang-layang juga. Cuma yang lain sikit, benda itu mampu menahankan dirinya, berlegar melayah walaupun bercanggah angin.

Malam itu perjumpaan pun dibuatlah. Selepas solat isya, semua datang hendak buat resolusi dan akan diajukan kepada ketua JKKK dan ketua JKKKlah akan memanjangkan rosulusi itu. Pak Dahaman sudah menetapkan setidak-tidaknya tiga empat orang mesti melapurkan persepsi masing-masing tentang layang-layang tak bertali itu. Jika hujah mereka logik, hujah itu akan dipakai. Lalu ditetapkan, Leha, perempuan separuh umur yang mula-mula nampak benda itu melayang-layang di ruang udara bersempadan dengan kawasan persawahan memberi laporan. Kemudian Hajah Bibah yang sangat marah pada cuc-cucunya bermain layang-layang. Kemudian Saidin, broker jentera menuai padi setiap musim dan pelapor terakhir ialah Husin, pemuda yang gilakan janda anak empat, yang selalu mengambil kesempatan menjual baja subsidi padi.

Pak Dahaman yakin mereka dapat memberi laporan lengkap dan dari laporan itu akan dibuat resolusi dan akan di kemukakan kepada ketua JKKK untuk tindakan.

Laporan pertama daripada Leha, janda yang tinggal seorang diri itu pun dibaca: “Terbang dan lenggok sengetnya macam layang-layang, tapi bukan layang-layang kerana tak ada tali, sayapnya tak macam layang-layang, kepalanya bukan kepala layang-layang, ekornya bukan macam ekor layang-layang.”

Kebimbangan: oleh kerana dengungnya kuat dan hingar, saya bimbang segala ikan-ikan yang ada dipermukaan kubang dan londang akan terkejut dan tidak akan timbul lagi. Susahlah saya nak cari makan, ‘ demikian laporan Leha.

Laporan kedua: “Benda itu sangat lain dari layang-layang cucu aku. Aku pun tak pernah tenguk seumur hidup. Tapi aku juga tak yakin dia layang-layang kerana tak bertali. Aku hairan macam mana benda yang macam besi itu boleh melilau, terapung dan terlayah-layah di udara tanpa diikat apa-apa. Yang peliknya benda itu macam ada orang kontrol. Kesimpulannya, aku takut benda itu jin globalisasi atau langsuir jelmaan.’

Tiba-tiba semua ketawa kukkik-kukkik.

Laporan ketiga: “Apa benda pun aku memang tak suka. Mungkin itu teknologi yang berkuasa menyedut dari atas buah-buah padi kita sebaik-baik saja padi menguning. Mana tahu dengan benda itu, dia sedut sebiji demi sebiji padi kita dari tangkainya. Habis, saya yang jadi broker jentera setiap kali menuai, nak makan apa? Bukankah itu haram jadah punya benda?”

Laporan keempat: “Saya adalah orang yang bertanggung jawab membeli baja subsidi yang kalian dapat. Sama ada dia layang-layang betul atau benda ciptaan manusia, satu saja yang saya bimbang.”

“Apa dia?” tiba-tiba ramai yang bertanya. Suasana sudah berubah.

“ Mana tahu benda itu dari kompeni mana-mana korporat nak ambil alih menabur baja dari atas ke sawah kita. Kalau macam tu, baja subsidi kita tak ada faedah lagi. Tapi bukan itu yang menakutkan.” Tiba-tiba Husin memberi suspen lagi.

“Laaa...” semua hairan pada Husin yang berdiri dengan hanya ber T-Shir hitam dengan seluar Jean lusuhnya.

“Saya bimbang, benda tu tabur kimia. Macam kimia beracun di Afghanistan, di Iraq dulu, macam kimia bom Atom untuk memusnahkan padi-padi kita.”

“Masakan tak pasal-pasal ada orang dengki macam tu?” entah siapa mencelah pertanyaan dekat pintu hendak turun ke dapur.

“ Oi, zaman sekarang berlambak-lambak orang bersifat dengki. Apa kata kalau sawah kita disembur racun? Padi tentu rosak. Tanah-tanah tak subur lagi. Kemudian bila tanah tak menjadi, adalah alasannya yang tanah itu boleh dibeli dengan pampasan, lalu dibangunkan rumah-rumah mewah. Kita gigit jari. Nak beli tak mampu.”

Barulah yang hadir malam itu membeliak mata. Yang kiri perhati yang kanan. Yang kanan perhati yang kiri. Jengok sana, jengok sini. Angguk-angguk dan berdehem.

Pak Dahaman melenting di tengah hadirin. “Aku sangat setuju laporan terakhir. Inilah kemungkinannya!” seakan-akan ia menjerit. “Tapi sayang, tak seorang pun yang lapor benda apa sebenarnya. Kita belum putuskan!” katanya pula dengan nada kesal.

“Macam mana kita nak lapor,” Saidin, broker jentera menuai pula bangun. Punggung seluarnya yang carik itu tidak disedari. “ Benda tu memang kita tak tahu, layang-layangkah atau burung besikah, Bigfootkah, malaikat dari langit ke tujuhkah, iblis neraka jahanamkah?

“Tapi dia merbayaha,kan?” Pak Dahaman bertanya.

“Mana boleh berbahaya! Dia bukan apa-apa. Dia cuma melayah melayang, turun naik, melilau macam layang-layang putus ekur. Dia tak bawa apa-apa dan tak pun gugur apa-apa. Lagipun lantaklah, dia melayah melayang di kawasan udaranya, bukan di atas ruang tanah sawah kita. Dia punya pasallah!”

Sangat sakit Pak Dahaman dengar kata-kata itu. Leha yang melaporkan mula-mula tadi kelihatan gelisah macam hendak bangun menonggek pounggungnya. Kata-kata dari Mat Bongok rupanya. Siapa yang jemput tak seorang pun tahu. Tapi nampaknya ramai bersetuju dengan alasan Mat Bongok, yang kelihatan sopak di bibir kiri mulutnya.

“Biarkan. Benda tu tak kacau kita. Dia melayah dalam ruangnya. Dia tak minta makan pada kita. Bunyi bising, memanglah tapi nak buat macam mana. Bunyi bukan benda boleh ditanam dalam tanah. Apa alasan kalau kita nak marah pada tuan punyanya? Ruang itu ruang dia. Seinci pun tak masuk ruang kita!”

Alangkah sedihnya Pak Dahaman apabila ramai yang hadirr serentak bersuara agar menghantarkan resolusi kepada Ketua JKKK bahawa penduduk tidak merasai apa-apa dengan kehadiran layang-layang tak bertali itu. Biarkan, biarkan, biarkan! Dia tak kacau kita. Dia bukan apa-apa.

Pak Dahaman jadi tersentot. Keputusan itu keputusan ramai dan dia tidak mampu mengubahnya. Itulah jauhnya mentaliti petani yang sekian lama merdeka, fikirnya. Tak ada pemikiran masa depan. Statik. Jumud.

“Tuan-tuan tahukah, menjelang malam, apa yang tuan-tuan nampak di kepala benda itu?” Pak Dahaman seperti pakar saintis bertanya. Dia ingin semua yang hadir berfikir lebih jauh.

“ Pak Dahaman, kaca botol yang pecah pun, nampak berkelip-kelip kalau kena cahaya!” tukas Mat Bongok lagi dengan berani.

Malam itu kerana terpengaruhnya dengan hujah Mat Bongok, Pak Dahaman terpaksa akur dengan kehendak ramai. Satu resolusi akan dibuat dan dikirimkan kepada ketua JKKK menyatakan, seluruh penduduk kampung tidak merasai apa-apa curiga dan bimbang dengan kedatangan benda itu; layang-layang tak bertali!

Malam itu Pak Dahaman tidak dapat melelapkan matanya. Tak disangka keputusan seperti itu dibuat. Mat Bongok memang haram jadah. Mat Bongok memang Si Kitul Raja Mandaliar. Mat Bongok memang waris zamanTemasik dilanggar Todak. Babi! Haram jadah!

Dengan apa hendak diberitahu sedangkan pengetahuan sainsnya amat sedikit. Dia hanya mampu mengerti sendiri, bahawa muncung layang-layang tak bertali itu memiliki cahaya yang berkelip berkedip, baik siang atau malam, yang mempunyai makna misi tertentu.

Mahukah ketua JKKK memahaminya kalau dia bercerita? Tapi malam semakin jauh. Esok saja dia akan menemui ketua JKKK. Pak Dahaman terasa bininya mengodek-ngodek kaki. Itu satu misi penting. Misi itu perlu dipenuhi juga.

Luka Rakyat: Seorang Rakyat Dan Secebis Derita

Posted by Tukya

Perjuangan rakyat memugar tanah untuk sekadar melanjutkan hidup buat disambung oleh anak cucu dikisahkan dalam Luka 1 ini. Betapa atas nama pembangunan, rakyat miskin dipaksa memberi laluan. Kuasa dan akta menjadi senjata perampas tanah daripada golongan lemah sehingga ahli politik hanya menjadi petualang meminggir rakyat untuk kemudiannya melahap keuntungan di atas derita rakyat.

Untuk melihat kemiskinan yang menghimpit orang kampung bukannya susah. Kemiskinan ada di mana-mana. Di kampung-kampung memang kaya dengan kemiskinan. Kita juga tidak sukar mencari orang miskin, apalagi untuk mengenali mereka. Yang sukar kita temui ialah usaha daripada pihak yang bertanggungjawab meringankan kemiskinan mereka.

Mereka tidak tahu politik apalagi hendak berpolitik. Tetapi politiklah yang sering menekan mereka, menjadikan mereka tidak mendapat keadilan dalam kehidupan. Bayangkan dengan lima anak, dengan hanya menoreh getah, menjual sekerap yang hanya sekitar 1 kilo berharga 80 sen, jika berusaha keras pun, seseorang yang miskin hanya akan mendapat 10 kilo. Itu pun tidak dapat menampung perbelanjaan selama 30 hari sebulan. Paling banyak 20 hari atau 15 hari.

Bayangkan untuk meneruskan kehidupan bersama anak isteri. Bayangkan jika rancangan seorang bapa untuk menghantar anak-anaknya ke peringkat universiti.

Bayangkan …
Kota Aur, Pulau Belantik, Sik bukan satu tempat terkenal. Ia bukan Bandar Laguna atau Bukit Merah Lake Town Resort. Atau tasik di Putrajaya. Ia hanya perkampungan tersorok yang kaya dengan belukar dan pokok-pokok getah tua yang diiringi muzik mergastua. Di sanalah penghuninya kaya dengan kemiskinan dan kemiskinan adalah klasik yang dibiar oleh tangan-tangan yang berkuasa.

Mencari rumah Salleh bin Lebai Che Noh, 67, salah seorang yang dicakar takdir agak sukar kerana rumahnya tidak bernombor dan halaman rumahnya tidak ada gapura. Kemiskinanlah yang menjadi pasport untuk cepat sampai ke rumahnya. Tidak kurang lima orang yang berselisih di jalan, ditanya. Sifat mereka ramah, tapi mereka hanya menunjuk ke satu arah yang cukup samar untuk sampai.

Akhirnya, masuk ke satu jalan kecil yang berturap tar yang sudah lama. Sukar untuk kereta berselisih. Sekali lagi bertanya pada sebuah rumah di tepi jalan, barulah sah rumah Salleh bin Lebai Che Noh. Rumahnya agak kemas, terletak di atas banggul yang sedikit tinggi, dalam celah pokok-pokok kopi yang tidak terjaga, getah dan pokok buah-buahan lain yang tidak teratur.
Di permukaan lorong hendak masuk ke rumahnya, ada satu bangsal buruk. Di situ terdapat sebuah lesung penumbuk padi dan beberapa bakul biji kopi yang belum diproses.

“Pak Salleh tak ada,” beritahu seorang perempuan yang sedikit gemuk. Itu pasti isteri Salleh.

“Ke mana?”
“Dia ke sungai, tahan bubu.”
“Boleh panggil tak?”

Sifat orang kampung dengan budi bahasa yang tinggi, permintaan disambut dengan tergocoh-gocoh menuruni banggul. Tentu sungai tidak jauh dari rumah. Menunggu Salleh bin Lebai Che Noh di bangsal sambil melihat keunikan lesung penumbuk padi yang sudah kian pupus. Sebentar kemudian terdengar batuk-batuk dan dehem. Dari celah-celah pokok kopi, kelihatan seorang tua berketayap putih yang lusuh, berkain pelekat singkat tanpa baju, dengan terbongkok-bongkok melangkah gagah menaiki banggul. Di tangannya sebilah pisau cakuk.

“Assalamualaikum!” Dia mula menyapa dulu.
Itulah Pak Salleh yang tersangat berhajat menemuinya. Salleh bin Lebai Che Noh, yang usia mudanya telah dihabiskan menjadi peneroka tanah, tapi kemudiannya menggigit jari sahaja.

Salleh, seperti pemuda lain ketika berusia 20-an dulu, memiliki tenaga yang luar biasa. Ia bukan sahaja menghabiskan tenaganya dengan bersilat dan menabuh gendang, tetapi juga memerah keringat setiap hari kepada tanah, membanting tulang menebang dan menebas pokok dan semak samun bagi persediaan penempatannya dan juga sebagai kawasan pertanian. Bersama datuk dan ayahnya yang inginkan satu penghidupan baru, Salleh ditanam dengan semangat cintakan tanah dan pada tanah, rezeki akan melimpah.

Setiap hari mereka perhambakan tenaga. Dengan azam yang kukuh, mereka menukarkan hutan belantara dan paya rimba menjadi sawah, kebun, dan dusun buah-buahan. Rupa-rupanya usaha itu telah mendapat sokongan, galakan, dan restu daripada pihak berkenaan.

“Di sini kehidupan baru kita,” kata datuknya yang sudah kering cengkung kerana sekian lama tenaganya dicurah pada rimba belukar itu.

“Atuk mahu kau hidup di sini. Ayah kau pun mesti di sini,” kata datuknya lagi ketika berehat di dangau sambil menjamah nasi berbungkus daun pisang.

“Jika kita boleh hidup di tanah pugaran kita, Leh, kenapa kita tidak boleh mati di sini?” Kata ayahnya pula.

Memang benar, fikir Salleh sambil melihat tegap sasa tubuh ayahnya yang belum pun berusia 40-an. Setelah berhari-hari disiram dan diminum kata-kata yang sangat meyakinkan, dia pun berazam. Dia yakin seperti datuknya, seperti ayahnya bahawa mereka adalah kumpulan awal meneroka di situ dan biarlah mati sahaja yang mengakhiri kehidupan mereka.

Tapi, apa yang diidamkan dan apa yang mereka cita-citakan hanya sebagai mimpi. Sumbangan tenaga dan titik peluh bertahun-tahun seperti tercurah di atas daun keladi. Apa yang diberitahu kepada mereka, mereka tidak punya hak apa-apa dari segi undang-undang tanah.

Bersama dengan kawan rakan demi menyambung amanah arwah datuknya dan bapanya, Salleh terus merayu supaya diberikan hak milik kepada mereka. Tapi malang, padi yang ditanam, jagung yang tumbuh. Salleh dan kawan rakannya yang sama-sama dulunya meneroka, hanya mampu melihat tanah yang dipugar mereka diambil dan diberikan pula kepada syarikat, agensi kerajaan, dan orang-orang yang berpengaruh.

“Sebelum zaman darurat lagi, Pak Leh sekeluarga telah meneroka hutan tebal itu untuk dijadikan kawasan kampung. Kami pugar belantaranya, kami luaskan tanah dusun, kami tanam dengan pelbagai pokok buah-buahan,” kata Salleh yang kini sudah menjangkau usia 67 tahun, tapi masih mampu mengunyah sirih pinang.

“Di mana kawasan tu?” Pertanyaan disambutnya dengan riang walaupun hanya duduk berjuntai di bangku panjang daripada batang halban yang ditarahnya.

Pak Salleh menunjuk-nunjuk ke arah matahari naik. Dia yang tidak berbaju itu jelas nampak bulu ketiaknya ketika tangannya dijulang-julang. Badannya yang tegap dan berulas-ulas memberi keyakinan pada dirinya bahawa Pak Salleh ini mampu meneroka puluhan relung bersama keluarganya ketika usia mudanya.

“Di Pulau Belantik sana tu,” beritahu Pak Salleh sambil menyeka air pinang yang meleleh di tepi bibirnya. “Pak Leh dengan keluarga memugar seluas 80 relung di empat kawasan. Setiap kawasan kami teroka seluas 20 relung,” katanya lagi dengan megah.

Alangkah gagahnya Pak Leh dengan keluarganya memugar seluas 80 relung pada zaman yang tidak ada jentolak, bulldozer atau mesin pemotong pokok. Siapa pun akan kagum kiranya mengukur kemampuan yang ada. Mustahil rasanya.

“Mana-mana bahagian yang kami teroka, kami namakan dengan nama orang tua kami. Semua tanah itu kami bayar hasilnya di Pejabat Tanah,” beritahu Pak Salleh lagi.

“Bererti tanah-tanah itu sudah diiktiraf oleh Pejabat Tanah, kalau tidak masakan cukai dibayar?”
Pak Salleh mengangguk-angguk mengakuinya.

“Bila tiba peristiwa darurat tahun 1948,” kata Pak Salleh sambil melipat sepiak lagi sirih, “nasib kami juga turut berubah.”

Sememangnya menghairankan. Apakah nasib yang berubah itu bererti semua peneroka telah menjadi orang kaya baru atau tanah terokaan mereka mengandungi bijih timah?

Menurut Pak Salleh, apabila darurat diisytiharkan pada tahun 1948, kawasan Pulau Belantik yang sememangnya kawasan hutan belantara, berbukit, dan bergunung turut diisytiharkan sebagai kawasan ‘hitam’ dan semua penduduk dikehendaki berpindah ke satu tempat yang disediakan oleh kerajaan.

“Pak Leh sedih. Tanah yang Pak Leh basahi dengan peluh, masakan boleh ditinggalkan begitu saja. Tapi apa boleh buat, itu perintah,” kata Pak Leh dengan sedih. “Tapi jangan lupa,” katanya lagi, “tanah yang kami terokai itu, cukai tanahnya semua kami bayar. Tapi malangnya ketika itu kerajaan telah membekukan bayaran hasil. Dalam keadaan darurat, semua orang tidak bebas berjalan. Kami yang meneroka kawasan yang dihitamkan oleh darurat itu diberi permit untuk memasukinya. Selama tiga tahun kami diberi permit untuk memasuki tanah pugaran kami,” terang Pak Salleh lagi. Semakin lama nampaknya gugup gagap Pak Salleh semakin hilang.

Riak dan kedut wajah Pak Salleh yang sudah menjangkau hampir 70-an ini ada cahaya kebenarannya. Tapi mungkin ingatannya sedikit pudar. Di wajah itu ada garis-garis jujur, tapi nampak juga garis-garis kehampaan.

Sejarah zaman darurat memberitahu perisytiharan kawasan hitam tidak selamanya. Di sana sini, apabila ancaman komunis sudah bersih, maka kawasan hitam itu pun diisytihar putih semula. Demikianlah juga dengan Pulau Belantik. Menurut Pak Salleh lagi, apabila Pulau Belantik tidak lagi menjadi kawasan hitam, mereka pun dibenarkan kembali memugar, menjaga, dan memelihara tanaman mereka. Jadilah kami, kata Pak Salleh, bagaikan belut pulang ke lumpur.

“Kami tukarkan tanah terokaan kami kepada taraf kampung, ladang getah, dan dusun-dusun,” terang Pak Salleh lagi. “Tapi pada tahun 1985, kami semua terkejut apabila menerima notis meminta kami berpindah kerana tanah terokaan kami telah diserah kepada FELCRA untuk dimajukan sebagai estet getah.”

Masakan tidak gelisah dan bimbang, kalau tanah yang diteroka yang sudah jadi darah daging kehidupan, tiba-tiba beralih milik. Maka, Pak Salleh dengan kawan-kawannya pun segera menemui pegawai daerah untuk meminta kepastian ke mana agaknya mereka hendak ditempatkan? Di mana mereka akan tinggal? Tapi alangkah kecewanya apabila mereka disuruh membuat rumah di atas rakit dan tinggal di situ.

“Bayangkanlah kalau selama lapan tahun kami hidup dalam keadaan tak menentu, kais pagi makan pagi akibat tanah daripada titik peluh kami diambil oleh pihak FELCRA,” kata Pak Salleh lagi sambil menggetu-getu serpihan pinang di dalam bekasnya.

“Kami sangka segala-galanya berjalan lancar. Tapi, ternyata tanaman asal getah yang dimajukan sebagai estet getah pendapatannya tidak begitu lumayan,” katanya lagi.

Pak Salleh adalah di antara puluhan kawannya yang cukup gelisah dan bimbang dengan keadaan itu. Walaupun FELCRA telah mengambil alih kawasan tanaman getah asal bertujuan hendak memperbaiki taraf hidup, tetapi nampaknya mereka menghadapi kemerosotan pendapatan.

Pada awalnya mereka menerima hanya RM100 untuk setiap enam bulan dan kemudiannya dinaikkan kepada RM200 dan dinaikkan lagi kepada RM250. Tapi, itu tidak lama. Ia sebagai umpan sahaja. Selepas beberapa kali dibayar, akhirnya bayaran itu turun kepada RM170 sahaja.

Kenapa?
Tiada jawapan. Tiada penjelasan.

Akhirnya, Pak Salleh dengan azam dan cintakan pada tanah terokaannya, yang peluh keringat sudah banyak tumpah di tanah itu, dia pun mengambil keputusan sendiri. Pak Salleh telah menoreh sendiri di tanah terokaannya yang seluas lapan relung, kemudian diikuti oleh lapan orang rakannya.

“Jika kerajaan benar-benar hendak menghapuskan kemiskinan, mereka seharusnya beri tanah itu kepada peneroka dan bukan kepad a FELCRA atau di kalangan tertentu yang sudah kaya. Juga bukan kepada orang politik!” Katanya dengan kuat kepada kawan-kawannya pada satu hari. Suaranya itu bersipongang di celah-celah pokok getah.

Kami yang mendengar cerita Pak Salleh yang masih tegap walaupun sedikit bongkok itu, turut sama bersimpati. Kami dapat membuat kesimpulan, bongkok sabut Pak Salleh tidak lain kerana kesetiaannya menebang, menebas, dan memugar hutan sehingga menjadi ladang.

Kami juga faham bahawa tanah kerajaan negeri sebahagian besar diagih-agihkan kepada orang yang tidak layak menerimanya. Oleh kerana orang-orang ini tidak sanggup mengotorkan tangan mereka, maka banyaklah pula tanah yang dianugerahkan itu menjadi semak dan terbiar. Bukan mustahil tanah itu dijual pula.

Dalam proses pemindahan, notis diberikan dalam masa yang singkat. Tanah mereka dimusnah dan sering dinafikan daripada bayaran pampasan atau diganti tanah.

Bukankah pemindahan peneroka yang hanya bertujuan komersial dan perindustrian akan meningkatkan lagi masalah sosial? Penduduk setempat akan hilang mata pencarian. Apa pun yang terjadi, mereka tetap percaya bahawa adat Melayu telah menyatakan jika seseorang meneroka tanah hutan menjadi kawasan pertanian, ia mempunyai hak untuk memilikinya. Tapi, bagaimana mereka?

Janganlah Dirahsiakan

Sistem pemberian hak milik tanah sebenarnya diselubungi rahsia. Tidak ramai yang tahu bila dan bagaimana Exco Kerajaan Negeri memutuskan tanah manakah yang telah diambil, akan diambil, dan kepada siapa yang hendak diberi. Apa pula kriterianya? Siapa yang dapat dan kenapa apabila petani sebagai pemilik sah tanah tersebut sangat sukar untuk mendapat kelulusan?

Sebenarnya, pemberian hak milik tanah tidak seharusnya dirahsiakan. Ia juga tidak sepatutnya menjadi isu politik. Ia mestilah tertakluk kepada penelitian awam dan bertanggungjawab. Permohonan harus diumumkan. Bantahan orang awam seharusnya diterima dan keutamaan mestilah diberikan kepada mereka yang tidak bertanah.

Merujuk kepada cerita di atas, semestinya kepada merekalah, kerana mereka adalah perintis. Mereka harus diberi keutamaan. Alasan mereka harus dicatat mengenai kenapakah permohonan tanah tertentu diterima atau ditolak?

Dasar pemberian hak milik tanah negara perlu dinilai semula dan berdasarkan kepada prinsip keadilan sosial.

Derita orang kampung untuk memiliki tanah dan mengusahakan tanah adalah derita yang tidak pernah diambil peduli oleh sesiapa. Wakil rakyat atau YBnya akan dapat menepis itu dan ini, termasuk itu bukan urusannya, yang lebih berkuasa pejabat tanah, pegawai daerah, dan lain-lain. Tapi, apa pun alasan, yang nyata rakyatlah yang derita.
Tanah bukanlah nyawa untuk hidup, tapi tanah amat diperlukan untuk meneruskan sesebuah kehidupan. Ia komponen penting. Tapi bagi Salleh, 67, misalnya, ia memerlukan tanah bukan untuk jadi kaya lagi. Ia memerlukan tanah untuk dipusakai oleh anak cucunya. Itu sahaja.

Pak Salleh sudah bergelambir kulit badannya. Lututnya pun tidak sekukuh mana jika berdiri solat lama-lama. Anak cucu ramai, tapi yang ramai itu tidak boleh Pak Salleh menumpang senang. Mereka pun dua kali lima. Kehidupan mereka tidak pernah kenal apa itu mewah. Adalah seorang dua cucu yang bekerja makan gaji, tapi gaji itu pun tidak cukup untuk memewahkan kehidupan keluarga yang sudah lama miskin.

Pak Salleh tidak tahu teori yang muluk-muluk. Yang ada dalam diri Pak Salleh ialah satu pancang keyakinan bahawa tanah adalah sumber kepada cita-cita kehidupan yang diperkukuhkan oleh emosi, psikologi, dan budaya. Tanah bagi Pak Salleh ialah batu asas kehidupan yang membawa kepada berkembangnya keturunan. Pak Salleh tahu, semakin besar keluarga semakin sempitlah tanah. Semakin ramai anak cucu, tanah akan menjadi sempit sejengkal demi sejengkal.

Tapi, Pak Salleh tidak kecewa dengan semakin besarnya keluarga. Dengan cara itulah Pak Salleh mendidik bahawa tanah perlu diusaha dan dicari tambah.

Tiba-tiba Pak Salleh tersentak. Ia bukan berita lawatan YB ke kampungnya, tetapi itulah hakikat yang telah dibuat dan tidak ada sesiapa pun yang mampu menentang. Ia seolah-olah pendapat yang telah digantikan daripada apa yang diketahuinya selama ini bahawa tanah hanyalah komoditi yang boleh dibeli, digadai atau dijual bagi memperoleh keuntungan.

Hubaya-hubaya! Kata Pak Salleh kepada anak cucunya.

Lalu, ia menjadi semakin dominan apabila aktiviti pembangunan berlaku dengan pesat sehingga mencetuskan gejala sosial dan alam sekitar. Seluruh masyarakat pun akan tersingkir dan Pak Salleh juga terasa akan hal ini.

Pak Salleh tidak tahu apa ekosistem, apa sumber alam, apa alam sekitar, apa empangan, apa padang golf, apa pusat membeli-belah, tapi semua itu adalah sumber kesedaran Pak Salleh.

Siapa punya angkara pun Pak Salleh tahu. Dari cakap-cakap anak cucunya yang mengaji sedikit tinggi, Pak Salleh memang sedar semuanya kerana penyalahgunaan kuasa dan pencabulan keadilan. Alangkah baiknya mereka ini tidak ada kalau adanya mereka semata-mata jadi anjing dan iblis penyalahgunaan kuasa dan pencabulan hak seseorang.

Sepertinya, apalah yang Pak Salleh tahu apabila semua itu diatur dengan rapi, disusun dalam kertas kerja yang orang sepertinya tidak pernah membaca, mewujudkan pelbagai peruntukan kononnya, dan kemudian dikata pula inilah undang-undang yang dipersetujui oleh rakyat.

Apabila orang seperti Pak Salleh cuba menentang, akan disanggahlah oleh mereka, bahawa persetujuan dibuat oleh wakil rakyat dan wakil itu ialah wakil yang rakyat pilih sendiri.

Apakah ini betul? Jangan tanya Pak Salleh. Tanya sahajalah pada wakil itu sendiri kerana kejujuran itu ada pada mereka.

Cup-cup terdengarlah ini Kanun Tanah, ini Akta Pengambilan Tanah, ini pindaan. Kesemuanya menjadikan Pak Salleh dan orang-orang seperti Pak Salleh berlinangan air mata kerana sedih, betapa tanah pusaka nenek moyang menjadi mangsa.

Wujudlah cebisan-cebisan undang-undang yang membolehkan pemaju-pemaju yang gelojoh, yang tidak prihatin, yang bersikap 'mau makan siapa' dan orang-orang politik yang tidak langsung bertanggungjawab untuk merampas tanah-tanah milik orang awam seperti Pak Salleh. Melalui lesen, akta, dan undang-undang, mereka paksa dan kemudiannya diberi pampasan yang sangat tidak adil.

Peranan yang besar dimainkan oleh wakil rakyat dan pemaju yang sudah membeli orang politik dengan sumbat-menyumbat tembolok mereka. Memang Pak Salleh sedar orang politiklah yang sangat 'kurang ajar' yang selalunya rakyat menjadi mangsa.

Tapi malang, Pak Salleh tidak boleh berbuat apa-apa, malah tidak mampu pun hendak membuat kain sepanduk sebagai tanda membantah.

Pak Salleh bukan intelektual yang mampu membaca dan mendengar radio mahupun menonton TV. Tapi, sebagai peneroka dan hamba abdi kepada tanah, Pak Salleh terasa setiap getar dan gelombang yang berlaku terhadap tanah. Seperti berlaku di Langkawi, satu-satunya pulau legenda yang orang-orang Melayu boleh berbangga dengan tanah, Pak Salleh pun mengalami keadaan yang sama.

Memang … memang pun Akta Pengambilan Tanah mengancam hak pemilik tanah. Tapi, mengapa ia boleh terjadi? Sepatutnya Akta tidak boleh diluluskan jika rakyat tidak setuju.

Pak Salleh pun menjawab secara bodoh; yang meluluskan itu terdiri daripada mereka yang tidak ada tanah. Dengan akta itu mereka boleh mengambil tanah kepunyaan orang lain. Logiknya, buat apa hendak ambil sesuatu barang kalau barang itu sudah ada?

Inilah yang dikatakan kerja orang politik. Jika ia teringin sesuatu atau dua tiga orang kawan-kawannya inginkan sesuatu, maka digunalah kuasa politiknya. Jika dia tidak mengambil, komisen tetap ada.

Kadang-kadang dia menggubal untuk tujuan dirinya, kadang-kadang untuk kroni, kadang-kadang kerana bersifat tamak dengan anggapan dia boleh hidup menongkat langit.

Akta pun digubal dan dia membawa ke Parlimen atau DUN untuk diluluskan. Hujahnya kerana negara dan kepentingan awam.

Tengok, berapa banyak tanah diambil melalui Akta Pengambilan Tanah, kemudiannya diserah kepada pemaju. Siapa pemaju itu? Tanya orang politik, mereka akan kata merekalah pembangun negara. Tapi, hakikatnya apa? Komisennya sahaja pun orang politik ini dapat berjuta-juta. Yang peliknya orang politik ini orang Melayu. Maka, jadilah 'Melayu bunuh Melayu'.

Seperti Pak Salleh atau tuan tanah yang lain, mereka cukup sedar tetapi apa yang dapat mereka lakukan dalam keadaan tua-tua begini. Apa yang diharap, biarlah anak cucu mereka bangkit pada suatu hari nanti. Biarlah anak cucu mereka tahu, yang menjadi penghisap darah sebenarnya ialah mereka yang bernama 'orang politik' yang menggunakan kuasa politik mereka mengambil hak orang lain.

Orang-orang politik seperti ini cukup kurang ajar. Mereka sanggup lakukan apa sahaja untuk diri mereka, kroni mereka, tauke, dan pemaju asalkan ada '%' yang mereka dapat.

Oleh itu, Pak Salleh mahupun mereka, berharap perkara ini janganlah dirahsiakan lagi. Bongkarlah.

Tapi itulah … siapa yang hendak bongkar? YB? Ahhh, merekalah yang menjadi petualang sebenarnya. Masakan mereka mahu tolong kalau dibandingkan Pak Salleh yang memiliki tanah dengan Tan Sri Leong, seorang korporat yang boleh memberi komisen ten percent.

Siapa yang hendak peduli kepada Misah, seorang janda yang tinggal di kaki Gunung Mat Cincang, Langkawi, yang tidak punya adik-beradik lagi apabila tanahnya yang seluas 12 hektar diambil begitu senang untuk dijadikan 'pembangunan perlu' bagi kepentingan awam. Bukan apa, hanya untuk dijadikan pusat peranginan. Itu sahaja.

Memang gantinya ada atau setidak-tidaknya pampasan. Tapi, yang menjadi persoalan kita, tidak adakah apa-apa di sebalik itu? Kenapa mesti mengambil sesuatu untuk memewahkan orang lain?

Cakar Musang

Posted by Tukya

Selalunya bila balik dari mendengar kuliah atau baca kitab di mesjid, Mat Janin akan memecut Honda 70ccnya yang sudah uzur itu, selaju 30 km sejam. Rumahnya yang jauh lebih kurang 3 km itu, akan sampai dalam masa sepuluh minit saja. Tapi malam itu Mat Janin tidak melakukannya. Sehabis kuliah maghrib, campur baca doa pohon berkat, solat isya, doa panjang, selesai kira-kira jam 10. Kemudian sengaja dia singah di gerai tepi jalan kena kopi Tongkat Ali +1 secawan.

"Bagus kuliah ustazah tadi," kata seorang jemaah yang singgah di kedai bersamanya. Mat Janin kenal. Taha, kawannya juga dari Alur Mengkudu.

Mat Janin tersenyum. Memang pun bagus. Kuliah tadi cukup berkesan. Sayang bininya tidak ikut sama. Kalaulah bininya ikut sama, pasti akan terbentuklah kemesraan rumah tangga. Barulah dia tahu, itukah ilmu bantu kebahagiaan rumahtangga.

Mat Janin garu-garu betis bila seekur dua nyamuk pokok buluh menggigit. Kopi Tongkat Ali + 1 dihirupnya pelan-pelan. Malam itu sengaja dia mau lewat sampai ke rumah. Kena Tongkat Ali lagi seronok. Biarlah kelewatannya, tiga anak-anaknya yang susun paku itu lena. Biar lena bergelimpangan di tengah ruang. Harap-harapnya sebaik-baik saja sampai, Yah isterinya sudah selesai tanak nasi lemak untuk dijual esok. Dia mau bila sampai di rumah, segala-galanya selesai. Dia mau beritahu khabar gembira. Yah, isterinya yang setia itu tentu seronok.

Memanglah selama 20 tahun menikah dengan Yah, sampai dapat mendirikan sebuah rumah di tepi sungai, sampai dapat anak susun paku, rumah tangganya aman damai. Tak pernah pun bergaduh. Tak pernah pun penampar singgah di pipi Yah. Tak pernah pun Yah angkat bungkus lari ke rumah emak bapanya. Kasih sayangnya tetap stabil walaupun pandangannya terhadap Yah sedikit tidak senang.

Hasil dari jadi tukang rumah gitu-gitu, dapat juga dia buat rumah atas tanah bapa mertua. Yah buat nasi lemak. Pagi-pagi letak di kedai kopi. Buat kuih karipap, juga letak di kedai kopi. Belanja anak-anak sekolah tidaklah perit sangat.

Sakit demam pun jarang. Dia yang kurus melengking sampai nampak tulang dagu, urat keting berkerekot jarang-jarang sakit. Anak-anak pun begitu. Yah pula lain sikit. Walaupun tidak pernah sakit teruk, entah kenapa Yah jadi sedikit gemuk. Mat Janin hairan. Makan Yah sama saja dengan makannya, sama dengan anak-anak. Nasi, lauk, sayur, gulai. Tapi Yah yang jadi gempal gedebuk, tidak dia. Penat-penat adalah sikit-sikit. Tapi penat-penat pun tidaklah sampai menyerangguh di atas bantal yang ditindan tiga biji. Tidaklah bunyi macam kucing lelah. Yah masih boleh tanak nasi lemak untuk dijual. Masih boleh buat karipap. Masih boleh cantas pelepah pisang dan masih boleh huli tepung.

'Tujuh petua mesti diamal,' begitu Mat Janin ingat pesan ustazah (dia lupa apa namanya) yang memberi kuliah di mesjid tadi. Ustazah itu pun masih muda. Jauh lebih muda dari Yah bininya. Dia yang tersandar di tiang mesjid dekat pintu, mengangguk-ngangguk. Sayang malam itu dia tidak bawa Yah.

Dan tujuh petua itulah yang sangat diharapkan malam itu.

Sebaik-baik saja sampai, ketika injin motorsikalnya di matikan, Mat Janin tidak dengar pun suara anak-anaknya. Tentu mereka sudah lena.Alhamdulillah. Esok ke sekolah.

'Alaaaa…' tiba-tiba dia mengeluh hampa. Dihempasnya nafas kecewa apabila dilihat bininya yang hanya berkemban masih lagi memotong daun pisang untuk dibuat bungkusan nasi lemak.

"Belum habis lagi?" tanyanya.

Yah merongkai ikatan kemban, mengibar-ngibar ke kiri ke kanan kemudian dikemban semula dengan kejap sampai nampak isi buah dada lembik melondoi itu. "Tak nampak ke ni?" kata Yah. "Nak minum?" Tanya pula Yah. Begitulah baik hati Yah bila suami pulang.

'Tepung karipap dah huli?"

Yah tersengih dan mengeremot mulutnya. Perkataan huli dari lakinya bunyinya lain macam. "Belum," jawabnya selamba.

"Ahhh, tinggalkanlah dulu. Pagi esok pun sempat," katanya.

Sekali lagi Yah terpelengong dengan lakinya kali ini. Selalunya tidak begitu. Pelik apakah feel malam ini, fikirnya. Selalunya, duduk bersila sekali, hisap cerut sekerat, bersembang itu ini, selesailah lima puluh karipap. Esok pagi goring saja.

" Bagus ceramah ustazah di mesjid tadi," beritahunya. Cerut cap gajah yang masih ada separuh lagi, diapikan. Asap menerawang sekitar dapur.

Yah nampak lenguh. Dia pun berlunjur kaki. Kain batik kemban terselak. Betis Yah bukanlah cantik sangat. Urat hijau berkerekot dan parut kudis waktu budak-budak dulu, jelas nampak kehitam-hitaman." Bagus macam mana?" Tanya Yah sambil memicit-micit buku lalinya.

"Tak payah ceritalah. Pendek kata, kalau jadi bini, senang-senang saja dapat tujuh ketul emas sekiranya dia taat dan sayang pada laki," dia ketawa terkekeh-kekeh tapi kemudiannya menembab telunjuk di bibir memberi isyarat supaya jangan sampai anak-anak yang bergelimpangan di ruang tengah terjaga dari tidur.

"Bila?" Yah yang memang tidak mendalami ilmu agama ingin tahu. Kalau kena gayanya, dia juga mahu tujuh ketul. Jika tidak, tiga ketul pun cukup. Akan dicanainya dan dibuat rantai labuh, gelang dan cincin. Nanti kalau ke rumah kenduri, tahulah orang nanti, jual nasi lemak pun boleh pakai rantai sampai leher melentur.

" Eh tak sabar-sabar. Cuba tanya apa tujuh syarat tu dulu," Mat Janin sedikit radang bila bininya menampakan kebodohan. Panau di bawah ketiak digaru-garu.

"Apa syaratnya?" daun-daun pisang yang dipotong sudah disusun. Nampaknya Yah sudah bersedia. Tepung karipap pun sudah dimasuk ke dalam mangkuk plastik.

Mati Janin ketawa lagi tapi ditahannya supaya ruang dapur tidak bergembat. Rumahnya pun satu. Bukan boleh terhinggut sikit, bergembatlah jadinya. Bila bergembat, anak-anak tentu terjaga.

"Ertinya bolehlah dapat kalau syarat sudah ditunai?" Yah sudah jadi tidak sabar. Kembannya dirongkai semula dan dikibas-kibas. Bau hapak menerkam ke hidung Mat Janin tapi mujur perartusan bau asap cerut melebihi bau hapak kain kemban Yah. Panau jangkitan dari lakinya digaru-garu pula.

"Tentulah di syurga nanti."

"Laaa…nak buat apa emas di syurga. Duduk dalam syurga, tak ada emas pun taka apa. Kan dah lengkap semuanya?" Yah menyindir sambil bingkas dengan tembun gedeboknya Dia menyempung karipap dan diletak di atas dapur untuk digoreng pagi esok."Lagipun, kalau dalam syurga, takkan tujuh ketul emas saja. Lecehlah." Sambungnya lagi.

"Susah bercakap dengan orang tak ada iman," Mat Janin meradang. Keras dengusannya. Dia menenyeh-nenyeh api cerutnya di tin susu. Tiba-tiba dia teringat pesan ustazah ketika ceramah tadi. Mahukan kemesraan rumah tangga mesti kena sabar, beralah, bertimbang rasa.

'Sabar itu tanda orang beriman,' begitu kata ustazah tadi. Maka seperti satu laduni melompat dalam kasyafnya, Mat Janin tiba-tiba memutarbalikan hasratnya. Kata ustazah, harga kemesraan rumah tangga mahal.

Tak semena-mena Mat Janin jadi macam kucing hendak beranak. Ke dapur tak kena, ke ruang tengah tak kena. Ke bilik tidur sekejap, keluar ke bilik air, ke dapur semula. Yah masih buat kerja yang tak selesai.

"Tak habis lagi?" tanyanya.

"Kerja rumah mana nak habis Cik abang oi," bunyi curahan air dalam tandas mendadak.

"Tinggal sajalah."

"Aik, apa mimpi ni?"

"Laaa…"

Malam-malam lain tidak seperti itu sebenarnya. Tapi Yah cukup faham tentang feel laki. Dua puluh tahun lebih, Mat Janin ialah lakinya. Bau kentut pun dia sudah tahu kentut siapa. Akhirnya dia tersenyum.

Mat Janin tetap mau memutarbalikan hasratnya. Biar kali ini dia saja yang memulakan kemesraan dan memutik kasih sayang. Maka dengan isyarat yang cukup dimengerti oleh Yah, juga bininya selama dua puluh tahun lebih, yang kiranya bau hangit badan sepuluh macam pun dia tahu hangit Yah. Dia pun menanggal baju Kancing Prak cap Pagoda, menukar kain pelekat cap Gajah Duduk walaupun di mulutnya masih tergonggong puntung cerut. Dia pura-pura tidak gopoh.

Yah masuk bilik dulu. Berdehem dua tiga kali kemudian terdengar macam orang menepuk-nepuk sesuatu di badan. Terdengar botol-botol kecil berlaga-laga.

Alhamdulillah, Yah diladuni keinginannya.
Maka dia pun akan memulakan amalan dari kuliah yang didengarnya. Kunci pintu kemesraan pun di buka. Masuk bilik dimulakan dengan tiga kali salawat syifak.

"Laaaa…" tiba-tiba dia terhairan ketika dia duduk di belakang Yah yang sudah bersandar di atas dua biji bantal. Belakang Yah sudah lencun dengan minyak angin. Baunya menyumbat lubang hidung.

"Haukkk!" Yah berlahak. Wap petai cukup keras baunya.

"Buat apa sapu minyak angin?"

"Habis nak sapu apa. Kalau kesat, kulit pedih pula."

"Sapulah dengan minyak aroma."

"Mana nak cari? Duit tu bagi budak-budak ke sekolah, kan lega sikit. Bau hapak hangit macam ni pun, anak dah macam susun paku,"kata Yah sambil sendawa dua tiga kali lagi.

Sekali lagi Mat Janin menghempas nafas. Syarat hendak melangkah untuk masuk langkah ke tujuh sudah tidak kesampaian. Yang sungguh pun, minyak aroma berapa harganya. Lagi pula, kalau satu tong minyak aroma pun tidak bererti kalau bantal-bantal bersepah, selimut selungguk dan sarung bantal berpeta dengan air liur basi. Mat Janin tahu itu dan dia tidak pernah menyalahkan Yah. Dia tahu,Yahlah yang tanak nasi. Yahlah yang bungkus nasi lemak, buat karipap sampai tengah malam. Basuh kain baju anak kemudian ambil upah itu ini lagi. Mana ada masa.

Memang minyak aroma wangi. Serai pun wangi. Tapi kewangian itu tidak ada kesempatan untuk ditaburkan. Habis-habis sangat Yah terlentang terkedang begitu-begitu kerana letih. Waktu anak bungsu berusia dua tahun dulu, ketika terlena di tengah ruang, anak itu masih boleh menghisap tetek kerana kain kemban Yah sengaja Yah rongkai.

Dia faham itu.

Mau tak mahu dia pun menjalankan tugasnya. Semoga Yah akan merasa sesuatu, terangsang dan mesra. Seperti baru terima petua dia pun, antara takut dengan segan-segan membuka tangannya, menyekang jari-jarinya. Dia tidak pasti apakah itu gaya cakar harimau. Menurut petua begitulah tapi kuku-kukunya nampak kehitaman kerana sudah lima belas hari tidak dipotong. Sebaik saja dia menekan, Yah ketawa terkekeh-kekeh. Geli, kata Yah. Apa ni? Yah hairan pula.

Aukkkk, aukkkk, Yah berlahak.

Memang menjadipun cakar harimaunya. Dia cukup seronok.

"Haaaa, lega," sungut Yah kemudian merongkai ikatan kembannya.

Mat Janin terus cakar harimau. Perlahan. Lembut. Kadang-kadang tersilap, dia gerengau sampai Yah melentik belakang.

"Heee, kulit tangan tu berkerutu. Apa kena?" Yah komplen.

Mat Janin macam hendak mencekik leher Yah. Bukan mesra yang dibalas tapi menyindir pula.Sudahlah gempal, badan pula tak lut hendak cekak. Isi Yah pejal. Tapi bila diingat pesan penceramah tadi, dia gagah-gagah sabar. Mencipta syurga kasih sayang bukan senang. Sabar mesti memanjang.

Yah sudah sendawa dua tiga kali. Bau bingit minyak angin sudah melampau. Bau peluh Yah di ketiak sudah merebak. Kulitnya yang tebal dan bergelambir berlapis, digetu-getu oleh Mat Janin yang kononya itulah bekam harimau geram. Sendawa semakin kerap. Yah tidak tahu tibiat apa lakinya kali ini.

"Aik, tiba-tiba gerengau sana gerengau sini. Belajar di mana pula?"

Dia buat macam tak dengar. Langkah kedua perlu dimulakan. Diurutnya dari kepala bahu hingga lengan. Ya Tuhan, lengan Yah keras macam batang bayu. Bila dia bertanya Yah, adakah terasa atau tidak, sambil sendawa Yah kata tak terasa apa-apa pun. Yah pula tanya, apa halnya tiba-tiba baik hati. Selalu tidak. Pakai berdehem saja sudah faham. Dan bila dia cakar agar kasar, Yah mengadoi pula.

"Tangan tu kasar sangat. Kulit tu kematu, sakitlah," kata Yah.

Macam mana? Urut tak terasa. Cekak kasar pula. Tekan sakit. Kerekau dan cakar berulang-ulang terasa lenguh. Kejang habis urat-urat jari. Mesra tak terasa juga. Sedar-sedar Yah sudah terkulai kepalanya di bantal dan sesekali terdengar Yah mendengkur. Memang Yah tahi lena. Bukan boleh gosok sikit, lenalah akhirnya.

Tapi dia tetap ingat petua.Ditamparnya pipi Yah sekali supaya jangan terlena. Kalau terlena melelehlah air liur basi. Busuklah baunya. Takkan itu aroma urut labah-labah. Kemudian dijemput-jemput pula dengan hujung jari ke arah belikat dan tulang belakang. Semakin di jemput, ada-ada saja Yah mengarah suruh picit di sana gelintil di sini. Minyak angin sudah melepa di semua bahagian. Mana mungkin tergamak hendak peluk. Bau minyak angin tiga kali mandi pun belum tentu baunya hilang.

"Jemput apa macam tu. Macam jemput tepung cucur kodok," kata Yah sambil ketawa, sambil sendawa.

Dia macam hendak bangun menyepak Yah. Yah memang tak pandai ambil hati. Tapi dia sabar. Mencipta kemesraan dalam bilik, bukan senang. Yang meluatnya selain dari sendawa, Yah berdengkur lagi. Bahagian yang terlondeh, bukan ghairah yang dirasai oleh Mat Janin, tetapi meloya kerana kulit-kulit itu berlapis dan bergelambir. Ada panau di celah ketiak seperti ketiaknya juga. Jenuh sapu daun gelenggang tapi tak hilang-hilang.

Kali ini Mat Janin membuat langkah ke lima. Urutan labah-labah! Dimulakannya dari pinggang ke tengkuk.Dia melondeh kain kemban hingga ke paras pinggang. Kulit perut Yah bergendut selambak. Ada calar-calar berparut bekas bersalin lima anak dulu. Tiba-tiba Yah ketawa terkekeh-kekeh. Mat Janin merasa seronok. Kemesraan sudah berbunga sangkanya. Sekejap lagi berputik, sekejap lagi berbuah dan sekejap lagi gugur dan akan dapatlah mengecap nikmat kelazatan buah-buahnya. Tujuh petua semuanya. Baik cakar harimau, cakar labah-labah atau kura-kura merangkak, semuanya sudah menjadi. Kalau tidak masakan Yah ketawa dan ber auk-auk berlahak.

Tapi Yah tergelak lagi. Yah benar-benar geli . Hi-hi, heh-heh berkali-kali. Senget kiri, senget kanan macam tak selesa. Dan bila Mat Janin melabah-labahkan lagi, Yah terus menerus ketawa kegelian. Macam orang geletek.

"Macam mana ni?" Mat Janin naik meradang.

"Tak boleh. Geli. Minyak angin tu banyak sangat. Licin."

Mat Janin tak peduli. Sabar perlu. Lalu di urut secara labah-labah lagi. Di tembabnya muka dekat cuping telinga Yah walaupun bau bengit minyak angin sangat kuat."Abang sayangkanYah," katanya perlahan.

Yah tersentak. Dikejapkan kain kembannya dan beralih melihat Mat Janin yang sudah berpeluh seluruh badannya." Hai, apa kena Pak Hang ni? Buang tabiat ke?" kata Yah sambil ketawa dan sendawa.Tubuh macam cicak kobeng itu dilihat atas bawah.Tubuh kurus itu macam hendak dipatah-patahnya.

Apa yang hendak dikata. Mat Janin jadi terkelu. Terkedu. Tersentot perasaan yang dipupuknya. Dia sendiri sedar, itulah pertama kali dia berkata dan dia sendiri merasa malu. Perkataan itu tidak pernah dilafaz seumur hidup.

"Mimpi apa malam ni? " tanya Yah yang cukup anih dengar kata-kata seperti itu. Yang didengar selalu; Pak Hang- Mak Hang. Hoi.

Kerana tergamam dan hilang punca , Mat Janin mengambil batang cerutnya yang diletak di tepi dinding. Dicucuhnya dan dihisap semau-mau. Asap cerutnya menerawang ke segenap ruang bilik.

"Tenguk tu, kalau kita pakai minyak angin, marah. Yang dia tu, asap cerut berkelun-kelun tak apa."

Mat Janin mengeluh. Dia merenung isi perut berkedut dan berlapis-lapis dengan mual sekali. Tapi itulah bininya sudah 20 tahun lebih. Yah bukan orang lain.

Yah macam selalu juga bila lenguh sendi dan urat. Menyerangguh di atas tiga biji bantal yang ditidannya adalah petua mengelak penat lelah. Sendawa dua tiga kali. Dalam pada itu dia terperasan apakah lakinya ini mula hendak pasang satu lagi. Patutlah dikatanya, ada tujuh ketul emas. Kalaulah betul, biarpaun sepuluh ketul emas, dia tidak rela. Lagi pun ketul emas itu di syurga. Buat apa disyurga kalau sekadar ketul emas. Apakah disyurga nanti semua orang perempuan pakai ketul emas? Apakah nilainya syurga hanya tujuh ketul emas?

"Kalau macam ni Yah, tujuh ketul suasa pun tak dapat," tiba-tiba Mat Janin bersuara dengan tawar hati. Dia benar-benar kecewa.

Yah tiba-tiba sendawa lagi. "Hisss, angin ni banyak sangat. Cuba urut belakang ni sekali lagi," kata Yah sambil meniarab dengan mendepa tangannya seperti orang mati di atas permukaan air. Dia macam tidak indah perkhabaran tujuh ketul emas di syurga.

'Kemesraan rumah tangga itu mahal,' Mat Janin teringat kata penceramah tadi.

" Kalau macam ni, esok seratus bungkus nasi lemak pun boleh buat," kata Yah bila dia terasa tekanan tangan Mat Janin begitu sedap.

"Ke situ pulak," Mat Janin merungut sambil merangkak, menekan, mencakar harimau, mengurut labah-labah. Kali ini dilakukan dengan penuh kelembutan dan diturapnya kemesraan bersama licin minyak angin.

Sekali lagi Yah berlahak sendawa. Memang pun bininya ini kuat sendawa. Sekali sendawa, berketul-ketul angin hapak menerjah keluar. Baunya hamis bengit.

Mat Janin menukar taktik. Kali ini dijemput-jemput pelan, dicubit-cubit mesra. Lalu dirasanya Yah mengeliat, menyenget ke kiri, ke kanan. Mat Janin menjemput-jemput lagi. Dia betul-betul melakukannya seperti labah-labah merangkak. Seinci demi seinci.

Tapi jadahnya bukan kemesraan yang diterima, sebaliknya Yah sendawa dan ketawa kegelian lagi. Semakin diurutnya, semakin kuat Yah ketawa. Rupa-rupanya Yah tidak tahan cara begitu. Yah betul-betul geli.

"Diamlah!"

Yah ketawa terkekeh-kekeh.

"Diamlah sikit," kata Mat Janin dan dia yakin Yah sudah terasa kemesraan.

Tapi Yah masih ketawa terkekeh-kekeh kerana terlampau geli. Bilik sudah terasa bergembat-gembat.

"Diamlah!"

Yah ketawa lagi. Sendawa lagi. Tergelak lagi. Berlahak-lahak, berauk-auk. . Ketawa lagi. Bilik sudah terasa bergembat-gembat.

"Diamlah.." Mat Janin naik radang pula. Tanpa sedar dia tertekan kasar di belikat Yah.

Yah mengadoi kemudian berlahak kuat dan kemudian ketawa kegelian.

Tiba-tiba anak bungsu yang terkedang di tengah ruang, bangun dengan menenyeh-nenyeh mata, merengek-rengek dan memanggil emak dua tiga kali kemudian terus masuk bilik. Seperti cemburu, anak itu merebahkan diri di sisi Yah.

Yah ketawa tak henti-henti. Dan Yah ketawa sungguh-sungguh bila melihat lakinya terkedu dalam keadaan leher tersentot. Macam orang tak berselera makan.

"Mak tak tidur lagi?" tanya anak bungsu penuh manja.

"Tidur!" tempek Mat Janin dengan meradang. Dia bangun mencapai cerutnya yang masih tinggal sekerat, lalu keluar bilik.

"Abah pun tak tidur," kata anak bungsu itu lagi."Abah bau minyak angin mak."

"Huhhhh!" dan Mat Janin pun mengibas-ngibas badannya yang berpeluh, lalu keluar bergegas-gegas ke pintu depan. Di bendul tangga dia berjuntai kaki.

Malam itu ada gumpalan awan hitam. Dia sungguh kecewa. Tujuh petua tak menjadi. Cakar harimau dan urut labah-labah tak menjadi. Tapi malam masih muda. Harap-harap dinihari nanti hujan akan turun. Hujan adalah segala-galanya. Dia akan buat cakar musang.



-SELESAI-

Layang-Layang Tak Bertali

Posted by Tukya

Saya baru sahaja memiliki kumpulan cerpen Pendoa yang Ikhlas oleh Azizi Hj Abdullah terbitan DBP lewat Pesta Buku KL yang lalu. Sehari selepas membeli buku itu, esoknya tersiar cerpen beliau berjudul Layang-layang Tak Bertali di Mingguan Malaysia.

Buah tangannya yang terbaru itu memang menarik. Fasal layang-layang yang tiba-tiba sahaja tersesat masuk ke sebuah kampung. Ia bukan cerpen biasa apatah lagi ia datangnya daripada seorang penulis sepeka beliau. Sebaliknya ia menyentuh secara halus isu semasa yang sedang hangat di selatan tanah air.

Cikgu Azizi menulis: "Mana boleh berbahaya! Dia bukan apa-apa. Dia cuma melayah melayang, turun naik, melilau macam layang-layang putus ekor. Dia tak bawa apa-apa dan tak pun gugur apa-apa. Lagipun lantaklah, dia melayah melayang di kawasan udaranya, bukan di atas ruang tanah sawah kita. Dia punya fasallah!"

Jika kita membaca keseluruhan cerpen tersebut, kita akan merasai kegeresahan hati beliau dengan isu pencerobohan jet-jet pejuang negara jiran ke wilayah kita. Cikgu Azizi menganggap kita langsung tidak risau atau buat-buat tidak endah dengan ancaman sebegini yang boleh membahayakan negara.

Dan tanggapannya itu betul memandangkan memang ramai yang kurang prihatin dengan isu ini. Mungkin kerana kita tidak berada di selatan Johor. Mungkin juga kerana kita tidak merasai kebisingan yang dihadapi oleh penduduk Tanjung Langsat dan Tanjung Kupang. Mungkin kerana kita memang kurang semangat atau tiada langsung perasaan cintakan tanah air dan asyik menjaga periuk nasi kita.


catatan zaidakhtar

Tulisan Jawi

Posted by Tukya

Tulisan Jawi; 10hb Mac 2006

ROH PENDITA ZA`BA YANG MENANGIS
-Azizi Hj Abdullah

Seperti ular sawa yang lapar, tiba-tiba ia merongkai lengkaran, menyurus dan mahu membelit apa-apa. Persoalan tulisan jawi kemudian maruah bahasa Kebangsaan tiba-tiba diperkata semula.

Yang peliknya kebangkitan itu dari rakyat yang tidak punya apa-apa kuasa membelit, seperti ular sawa tua. Sedangkan pihak yang bertanggung jawab, pembuat dasar dan penguatkuasa, mereka yang mampu memberi arahan, seperti ular sawa kekenyangan; malas bergerak, malas hendak bangkit dan terus lena ditepi lembah yang serba mewah.

Dato Johan Jaafar, seorang tokoh yang pernah bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka, kemudian menjadi Ketua Pengarang Kumpulan akhbar Utusan Melayu dalam tulisannya menyalahkan bangsa Melayu apabila kematian akhbar mingguan Utusan Melayu (Jawi) yang edarannya tidak lebih 10,000 seminggu. Kemudian sekali lagi di dalam forum Jawi, Dato Johan Jaafar menyalahkan orang Melayu dengan membuat perbandingan orang Melayu dengan orang China, betapa kematian akhbar tulisan jawi itu tidak sepatutnya berlaku.

Selepas daripada itu hebuhlah pula tentang lemahnya penggunaan bahasa Kebangsaan dalam semua sektor. Lalu sebuah agensi yang gah dengan hiburan anak muda membuat pengakuan perkataan ‘Mat Saleh’ yang digunakan oleh mereka, akan ditukar kepada istilah yang lebih menarik dalam bahasa kebangsaan.

Seperti selalunya, yang hebuh dan bising ialah dua tiga orang tokoh bahasa yang masih kental roh mereka dengan jawi atau Bahasa Kebangsaan. M aka di kalangan menteri pun menyokong.

Tapi sayang, pelaksanaannya entah ke mana!
Apabila akhbar Utusan Melayu (edisi jawi) dihentikan, ia bukanlah kematian yang diratap oleh 10 juta bangsa Melayu (Buku statistik tahun 2000), apa lagi generasi sekarang yang 90% buta jawi. Ia hanya ditangisi oleh sebahagian ‘spesies’ orang Melayu yang asas belajar dan membacanya di tahun-tahun 40-an, 50-an dan 60-an dan tahun-tahun sebelumnya.

Lain pula halnya dengan Bahasa Kebangsaan. Walaupun belum sampai ditakuk ‘nazak’, kebanyakan generasi sekarang merasa bangga jika melihat kenazakan bahasanya sendiri dan mereka berbangga dengan bahasa lain. Bermula dari si Minah dan Awang Mat bercakap Inggeris bersulam-sulam di Supper Market, sehinggalah ahli korporat. pemimpin-pemimpin, merasa ‘ tidak apa-apa’ lantaran dihantui dan dimomok kevitalan bahasa Inggeris. Lalu sampai kepada puncaknya Bahasa Kebangsaan dalam matematik, sains dan fizik ditukar kepada Bahasa Inggeris. Jika tidak, bangsa Melayu dan negara tidak maju!

Persoalannya, mengapa soal bahasa Melayu ini menjadi seperti ‘buaian filem Bawang Putih Bawang Merah’ yang mesti dihayun semula apabila ayunannya mulai lemah?

JAWI ASAL USULNYA KE SINI

Apakah tulisan jawi / bacaan jawi benar-benar mustahak? Dari situasi sudah-sudah, ia tidak menggambarkan begitu mustahak, tetapi menggambarkan saki baki maruah ‘nyawa-nyawa ikan’ Melayu/ Islam dan nostalgia Pendita za`ba sahaja.

Dari kertas-kertas kerja, seminar dan perbincangan, tidak ada seorang pun menyalah jawi yang sekian lama nazak ini akibat oleh ‘seorang’ dan bukan kerana bangsa melayu yang tidak berjiwa kejawian.

Tulisan jawi berasal daripada tulisan Arab, sedikit-sedikit bahasa parsi, Hindi. Orang Melayu pinjam untuk ganti tulisan Hindu yang sekian lama digunakan di awal kemasukan Islam. Bukti kemasukan ini ialah pada batu nisan maqam Shaikh Abdul Qadiribnu Husin Syah Alam, di Langgar, Alur Setar Kedah pada 290 Hijrah bersamaan 910 Masihi.

Tiga ratus tahun kemudian, timbul pula tanda awal bahasa Melayu yang menggunakan tulisan jawi di Terengganu, dengan tarikh ‘Pada hari Jumaat 4 Rejab 702 Hijrah, bersamaan 22 Februari 1303’ dan diikuti dengan penemuan-penemuan lain selepas itu.

Kemudian ia tersibar luas, digunakan di daerah-daerah bahasa Melayu dan daerah bukan bahasa Melayu, termasuk ke Pulau Jawa.

PENGGUNAANNYA

Tulisan jawi telah diguna untuk berbagai-bagai penulisan. Yang tertua terbukti terpahat di Terengganu pada tahun 702 Hijrah, sehingggalah tercipta undang-undang Islam dalam tulisan jawi, manakala alat tulisan tradisional ini terdiri dari berbagai bahan seperti kulit kambing, kertas, buluh, kepingan pinggan, telut, logam dan lain-lain.

PRINTIS KEPADA PEMBAHARUAN

Orang yang bertanggung jawab memberi nyawa terhadap tulisan jawi ialah Pendita Za`ba. Beliau mengompolkan perkataan Melayu sejak tahun 1918 bagi tujuan menyusun sebuah kamus besar. Tahun 1931 Za`ba menulis ‘Rahsia Tulisan Jawi.’

Ternyata Za`ba merupakan pendita yang meniup nafas jawi dari masa ke semasa. Akhirnya sebuah buku Daftar Ejaan Jawi-Rumi dapat disusun hasil dari perbincangan dengan beberapa rakan-rakannya.

Dan setahun kemudian Utusan Melayu tulisan jawi pula terbit , diikuti lagi Utusan Zaman dan majallah Mastika dalam tulisan jawi juga.

Zaman ini ialah zaman gemilang jawi. Salah satu sebabnya ialah kerana peranan Za`ba memperbaiki, memberi panduan bagi memperkasakan lagi sistem ejaannya. Dan kegemilangan ini satu tanggapan berdasarkan kertas kerja Konvensyen Tulisan Jawi pada MASUKKAN TARIK, DI MANA DAN KERTAS KERJA SIAPA LIHAT EJAAN ZA`BA....1