CERITA 6 ULAR DI MAHSYAR

Posted by Tukya

Di mahsyar itu suhu mencapai lebih dari 75,000 kali ganda kepanasan api dunia. Beberapa ekur lembu semakin membesar kemudian menginjak-nginjak sekumpulan manusia sehingga renyuk dan terkencing terberak. Ada beratus-ratus kambing, juga semakin membesar, semakin membesar dan menghempap kegemukan mereka di atas sekumpulan manusia juga. Teriak melolong-lolong kedengaran bersipongang di ruang padang yang maha luas itu.

Binatang itu, pandai pula mengcengkam kuku, menanduk-nanduk. Perbuatan itu dilakukan ketika orang ramai yang bertelanjang itu berpusu-pusu ke destinasi pengadilan masing-masing.

Black Cobra, Derik dan empat lagi ular berbisa berkepala licin yang melalui ruang mahsyar di situ tidak hirau pun. Mereka juga akan menjalankan misi yang sama sebentar lagi.

Rupa-rupanya sudah ada kumpulan lain yang diutus untuk menerima pembalasan golongan yang tidak mengeluarkan zakat.

Black Cobra yang ditugaskan bersama ular Derik, bersama ular Welang, bersama Weling, bersama Anang, bersama Tedung Besar, bersama Oray Totog. Dari Papua pula ular-ular Papuan Taipan Snake yang berkepala panjang dua meter yang perutnya berwarna kuning dengan noda-noda jingga. Mereka juga dari jelmaan Sabda Rasulullah dua ribu lima ratus tahun yang lalu untuk menjalankan tugas siksaan terhadap golongan yang tidak mngeluarkan zakat.


Mereka akan mematuk dan menyembur bisa dari mulut yang ternganga besar. Mereka akan berkata; inilah harta kalian!(1)

Janji Tuhan memang tepat. Ruang mahsyar di satu zon itu hanyalah kelompok berbilion-bilion manusia yang sudah diasing kerana tidak membayar zakat.

Tadi ketika Black Cobra mengepalai kawan-kawannya di satu padang, kelihatan jongkong-jongkong emas dan perak, batu permata dan zamrud, jade dibakar sehingga hangit, api membara-bara dan ketulan-ketulan itu menyelar di dahi-dahi sekumpulan bilion manusia yang telanjang, di rusuk-rusuk belikat. Ketulan emas perak,permata zamrud dan jade memberitahu bahawa merekalah yang manusia simpan dulu semata-mata untuk kepentingan diri dan sekarang rasalah! (2)

Kemudian ketika mereka melalui terminal yang apinya menyala-nyala, mereka dapati pula sekumpulan bilion manusia yang berbogel, meratap tentang kepapaan dan kemuflisan. Mereka mencakar dan menguis-nguis tanah debu kerana sangat lapar.(3)


“Destinasi kita di mana agaknya?” tiba-tiba ular Weling yang meluncur dengan kodek berbengkok-bengkok bertanya kepada Black Cobra.

Pertanyaan itu mebuat Black Cobra berhenti. Pertanyaan ular Weling yang seluruh tubuhnya berbelang itu perlu dijawab. Dia tidak mahu ular-ular lain terasa hampa oleh kerana amanah yang diterimanya tidak diberitahu.

“Kita ke stadium gangsa dari wap neraka ke lima. Di sana ada unggun api besar. Kita ditugaskan mencari manusia negara Islam dan akan membuat pembalasan kepada mereka yang tidak menunaikan zakat,” beritahu Black Cobra berkepala licin yang punggungnya berwarna hitam, perut biru keabu-abuan dan lehernya terdapat palang putih. Manakala ekornya yang pendek itu dikodek-kodek.

Ular-ular yang lain mendecis-decis dan menyembur nafas hangat ke tanah berdebu. Seekur dua nampak tidak puas hati.

“Bukankah yang kita lihat tadi balasan mereka yang tak bayar zakat juga? Dan kita, masakan yang itu juga?” Welang nampak sangat keliru.

“Tadi balasan individu tapi kita atas nama zakat hasil negara!”

Maka terdengarlah soseh-soseh nafas lega, sehingga berterbangan debu kering oleh semburan berbisa itu.

“Negara OIC?” tiba-tiba Papuan Whip Snake, salah seekur yang datang dari Papua, yang suka sangat menyorok di tempat kering melontar pertanyaan.

“Yahhh, memang. Memang OIC.”

Derik terkelip-kelip matanya memandang Black Cobra. Nafas panasnya dihembur berkali-kali. Matanya disepet. Memang benar 57 Negara OIC bukannya semua negara Islam. Kalau Afghanistan ya. Kalau Iran, ya. Kalau Arab Saudi, ya. Tapi dalam ya- ya itu pun Arab Saudi boleh dipertikai dasarnya.


Bukan tak ada yang 100% rakyat mereka Islam, tapi semuanya buih. Ada pula yang jadi talibarut barat. Ada yang jadi kudakayu Amerika. Lubnan dan Palestin yang dihunjam bom oleh Israel, apa yang dibuat oleh negara yang namanya OIC? Yang duduk di sekeliling Israel pun haram jadah juga.

“Ayuh, kita berangkat!” tiba-tiba Black Cobra seperti dikejutkan oleh satu arahan.


Mereka mula mengompol bisa-bisa kelas pertama. Semua sudah siap sedia dengan saluran racun, taring atau siong, kelenjar racun. Akan disembur, akan dipatuk, akan dicengkam kepada mereka dari negara Islam yang tidak mengeluarkan zakat. Dia sendiri yang berleher, berbibir dan hujung muncung keputih-putihan, akan menyembur ludah bila diperlukan.

Manakala Anang, Tedung Besar, Oray Totog yang berwarna cekolat, kuning hijau dengan dagu berbintik hitam, mata warna perunggu bulat terang yang panjangnya 6 meter akan menyembur bisanya yang kuat, akan meracuni saraf, jantung dan darah kepada mereka yang tidak mengeluarkan zakat.

Derik pun begitu. Derik mempunyai detektor panas pada rongga depan di dalam kepala mempu menangkap cahaya inframerah dari tubuh mangsa. Dengan lidah bercabang, dengan kenaikan suhu panas 1/300 kali ganda, Derik akan membuka rahang selebar 180 meter. Pautkannya akan dipercepat menjadi 90km seperti kecepatan kejip pelupuk mata.


Welang pun begitu. Tubuh yang berbelang cincin itu memiliki 16 kali lebih kuat bisanya dari Cobra. Dia akan menyerang sistem saraf mereka yang tidak membayar zakat. Weling pun begitu. Piawaian bisa nya sama.

Papuan Snake, Papuan Black Snake, Papuan Whip Snake pun begitu. Mereka yang turut serta memang tidak diragui kebisaan mereka.

Ketika mereka hampir di stadium gangsa, jelas benar ada enam orang yang sangat huduh parasnya. Kulit muka mereka kemerahan oleh bakaran panas. Ternyata mereka dulu pegawai eksklusif tapi kulit lengan dan kaki sudah mengelupas. Ternyata mereka sudah terkencing terberak, seolah-olah mereka tahu kedatangan ular di hadapan mereka, adalah pertanda balasan yang akan mereka terima.

Tiba-tiba mereka melolong-lolong ketakutan menyembah minta belas kasihan. Weling menggemukkan dirinya, memilih salah seorang yang bermisai tebal, memanggung kepalanya, menjulur tubuh berbelang, menganga mulut dan membuka rahangnya.Welang pula berhadapan seorang lagi, membuka rahang menunjukkan siong. Kepalanya dihayun-hayun ke kiri ke kanan. Dia akan melepas habis 16 kali ganda kuatnya dari Cobra. Dia akan menyerang sistem saraf.

Kemudian yang empat lagi, Derik, Papuan Snake, Papuan Black Snake, Papuan Whip Snak, mengejutkan pula manusia yang empat lagi itu.

Mereka kelihatan sangat gementar seolah-olah mereka tahu mereka sedang berhadapan dengan misi jelmaan hadis Rasulullah terhadap orang yang tidak mengeluarkan zakat. Derik, dan jenis Papuan menganga mulut, menunjukan sheath, duct, fong dan glond yang sangat dahsyat sambil menjelir-jelir lidang bercabang, seperti Anakonda gergasi di paya Afrika. Darik kelihatan tidak sabar hendak menyembur racun dan kelenjarnya. Siong yang bertaring tajam halus jika mencengkam, akan terperciklah pula cecair kuning dari venom gland.

“Jangan!” tiba-tiba tempek salah seorang dari mereka. “Kami bukan tidak mahu bayar zakat!” katanya lagi dalam keadaan terkencing terberak tetapi tetap menggintil kemaluannya sepanjang satu setengah jengkal itu.

“Macam mana kami nak keluar zakat, kami tak diperintah,” jawab pula yang lain. Dia nampaknya seperti ada alasan yang kukuh.

“Masakan, untung setiap tahun berbilion-bilion.Takkan 25% pun tak boleh keluar.”

“Itu kena tanya penguasa.”

“Kenapa tak ajukan kepada menteri?”

“Kami sudah minta nasehat daripada penasihat agama perdana.Dulu ada mereka beri, tapi atas nama wang ehsan.”

“Apa katanya?”

“Memang hasil bumi, hasil pendapatan pencarian kena keluar zakat, katanya.”

“Jadi?”

“Hasil berbilion itu bukan hak perseorangan. Itu hak rakyat. Rakyat kami 25 juta. Mampuehlah kamu kalau nak patuk 25 juta.”

Derik naik radang. Cakap-cakap begitu seperti merendah-rendahkan kuasa Tuhan. Lalu giginya yang panjang 4cm itu diseringaikan. Dia percaya, sekali patuk mangsa tidak akan terdaya. Di dalam giginya ada kelenjar bisa dan kelenjarnya akan berkontraksi mengalir sebanyak 0.028 gram yang cukup untuk membunuh dengan sekali sembur.

“Jadi, langsung tak keluar walaupun berbilion-bilion untung?” jerkahnya kerana tidak sabar.

“Menteri tak keluar arahan, macam mana kami nak keluar. Kami cuma menurut perintah,” kata lagi salah seorang dari enam itu. Dia juga asyik menggintil kemaluannya yang nampak lembik itu.

“ Maafkan saya, kalau kamu hendak membalas penyiksaan orang yang tak keluar zakat, dan hasil berbilion-bilion itu dianggap hak rakyat, sepatutnya 25 jutalah yang kalian patuk, bukan kepada kami saja, sebab hasil bumi itu hak rakyat,” kata pula salah seorang yang baru saja memilin kemaluannya yang sejak tadi lembik lesu.


Black Cobra seperti hilang hujah.Dan keenam-enam ular itu pula berpandangan sama sendiri.

“Kalian semua warga Malaysia, bukan? Negara Islam?” tanya ular Weling.
Keenam-enam mereka berpandangan sama sendiri.Mereka merasa sangat bangga kerana negara mereka termasuk dalam senarai negara Islam.

“ Malaysia? “ ulangi Weling.

Mereka angguk-abngguk bangga.

“Tapi sekali pun tak pernah keluar zakat.”

Salah seorang hendak menjawab tapi tak trerkeluar pula jawapan itu.

“Inilah yang kami cari selama ini. Kami bukan cari hatra bertimbun-timbun. Kami cari seperti Al-Ghazali. Tapi menurut rekod kami, satu dinar pun Malaysia tak pernah bayar zakat hasil dari minyak.”

“Nanti...nanti dulu. Jangan hukum kami. Memang pun negara kami di isytihar negara Islam...”

“Habis?” Derik yang tidak sabar-sabar lagi hendak melepaskan kelenjar berbisa, mendepani Black Cobra.

“Negara kami Islam Hadari!”

Maka tersentotlah kepala ke enam-enam ular berbisa dari jelmaan harta yang tidak mengeluarkan zakat. Pemberitahuan Islam Hadari, sesungguhnya baru didengar oleh mereka. Oleh kerana hukuman yang akan mereka hendak jalankan itu hukuman mesti adil, maka rancangan hendak mematuk ke enam-enam manusia dari negara Malaysia itu tertangguh. Ada sesuatu yang tidak kena pada anggapan mereka.

Ke enam-enam bakal pemangsa patukan itu nampak lega. Mereka kembali menggintil-gintil kemaluan mereka kerana terlampau sukanya.

“Pada hemat kami, negara kami ini tak perlu keluar zakat kerana negara kami sudah jadi Islam Hadari. Islam Hadari mana ada dalam kitab-kitab hukum,” salah seorang yang nampaknya dialah ketua di dunia dulu, berkata dengan megah.

Mata Black Cobra melalak-lalak.

“Jika kamu wahai ular-ular nak patuk dan sembur bisa kamu kerana kami tak keluar zakat, kami akan dakwa kamu pula,” tokok pula seorang yang mula menggaru-garu daging punggunya.

“Pulak!” Derik naik hairan.

“Memang pun. Menjalankan hukuman di luar seksyen, kami boleh mendakwa. Zakat hanya ada dalam Islam. Kini negara kami Islam Hadari.”

Black Cobra tidak tahu siapa di antara enam itu yang berkata.

Derik membisik ke telinga Black Cobra. “Kita patut tangguh. Ini Islam Hadari, bukan ada di zaman Rasulullah dan hadis Rasulullah pun tak pernah sebut. Mereka berhak komplen.”

Black Cobra sangat terbuka. Dia angguk-angguk dan kemudian mengajak yang lain berpatah balik.

“Kami pun naik keliru. Setahu kami,Islam tak ada Hadari. Jadi kes ini kami kena bawa kepada Rasulullah dulu,” Black Cobra membuat keputusan mengejut.

Keenam-enam manusia yang bertelanjang bulat pun menarik nafas lega. Mereka berpelukan walaupun kemaluan mereka menggesel paha dan daging punggung yang lain.

Ketika ke enam-enam ular itu beredar untuk membuat aduan kepada Rasulullah, ke enam-enam manusia yang hendak mereka patuk tadinya menari-nari keriangan sambil menyanyi lagu; Hadari! Hadari! Hadari!.

Dan kemudian semakin terkompol manusia glongan lain, seperti sebuah pesta ‘JomHeboh.’ Gah di mana-mana bahawa ada siksaan di mahsyar ketika itu ditangguh kerana adanya satu aliran baru.


------------------------
1. Maksud Hadis riwayat Abu Hurairah
2. Maksud Surah Taubah ayat 34 dan 35./ Sahih Muslim.
3. Maksud Hadis Riwayat Tibrani

KES MURTAD DI SISI LAIN

Posted by Tukya

Jika nama asalnya Nurhidayahtullah binti Akhbar Agung, kemudian ditukar kepada Nur Jesica Jacob kemudian ditukar lagi kepada Sara Lucas untuk menafikan keIslaman asalnya, apalah kita perlu ambil peduli? Bukankah hak menganut agama itu hal individu? Kenapa kita mesti sebuk?

Jika ia sudah membuat keputusan begitu rupa, sampai hilang status bangsanya sendiri, apa pentingnya kita hendak mempertahankan keMelayuannya. Sudah berapa ramai, yang bermohon penukarannya, dalam masa menunggu kelulusan, mereka dengan sendiri sudah keluar dan sudah tidak jadi Melayu lagi. Di sisi Islam, ia secara automatik sudah tidak Islam.

Kalau kita hebuh-hebuhkan, akan kembalikah mereka menjadi Melayu tulin? Jika kita membantah juga, apakah perkara ini seperti masuk panggung dan boleh keluar sekejap membeli kuaci kemudian masuk semula?

Bukankah untuk mengambil ukuran bercakap Melayu, cakap Melayu sekarang pun sudah kian pupus? Mau mengambil ukuran budaya? Bukankah budaya Melayu pun sudah dikoyak-koyak? Jika mengambil perkiraan di sisi agama, agama pun sudah jadi kucar kacir.

Jadi untuk apa pula kita hebuh-hebuh, sedangkan hakim dan mufti, pegawai pentadbir dan pemelihara undang-undang syariah, termasuk juga ketua-ketua agama, (sebahagian besar) tidak pernah bersuara dalam pemurtadan dan kemurtadan orang Islam. Dan apa untungnya kalau kita tahu Islam Syarifah Syuhada kalau sejak kecil si Syarifah Syuhada (contoh; semoga tidak wujud nama ini) tidak pernah kenal apa itu Islam, sedangkan ia lebih dekat dengan rumah persembahan, kemudian dia dimandikan dengan air sumpah dan kemudiannya menggilai pemuda Ambon beragama Melinium.(Contoh agama baru di era Islam Hadari)

Kerana ia merasa ia bukanlah dan tidak pernah disentuh sedikit pun roh Islam, maka adakah tidak patut dia memohon menukar nama dan agama asalnya?

Kita hebuh kerana kita seperti kenal Syarifah Syuhada atau Nurhidayatullah. Ia seakan-akan beragam Islam walaupun tidak pernah solat. Kita pun mendakwa dia Islam dari segi kuantitinya saja. Kita akuinya kerana ia salah satu buih-buih umat Islam.

Ertinya kitalah sangat prihatin dan peka , walaupun iman yang terlibat itu senipis kulit bawang. Walaupun ia cuma buih, tentulah ia dikatakan Islam juga. Maka kerana atas nama Islam, kita merasa bertanggung jawab ke atas maruah Islam, bukan kerana nama Nurulhidayatullah atau Syarifah Syuhada yang sekaligus Melayu kebetulan Islam, misalnya.

Maruah dan kesucian Islam dan ianya hanya dirasai oleh sebahagian orang, bukan semua. Ia dirasai dan terasa sentuhan oleh mereka yang memiliki iman, yang membaca dan mennghayati frasa dan klausa tersebut.

Tapi malang klausa inilah pula yang tidak dirasai oleh orang-orang yang kononnya bersikap terbuka, liberal. Manakala hakim-hakim yang beragama Islam telah juga menunjukan tidak peka beradasarkan mereka sebagai pengamal undang-undang mesti berlaku adil di atas fakta kes. Termasuk juga para penguasa agama dan pemimpin politik yang kononnya bersikap lebih terbuka atas nama Malaysia negara majmuk dan perlu menghormati agama lain.

Maka tidak hairanlah hal ini bukan saja tidak dipeduli, malah dibiar begitu-begitu. Oleh itu kita merasa tersangat malu apabila ada seorang anggota penting dalam Biro Agama sebuah parti politik tercangak-cangak apabila diminta bercakap tentang Perkara 121(1A) dalam satu forum. “Menatang apa Perkara 121 (1A)?” tanyanya dengan bisk-bisik. Dan kita menjadi terpinga-pinga apabila ada menteri yang menganggap terhadap kumpulan yang peka dan bertanggung jawab dalam hal ini dianggap kumpulan bodoh.

Inilah salah satu punca mengapa soal-soal murtad dan sensitiviti agama dan Enakmen-enakmen, Akta, Peraturan, Jadual yang ada dalam perlembagaan yang ada sangkut paut dengan Islam, menjadi sebegini rupa sejak akhir-akhir ini. Tetapi dalam masa yang sama orang-orang seperti inilah pula yang bermati-matian mempertahankan Islam agama rasmi persekutuan.

Ternyata orang-orang seperti ini, agama bukanlah pancang dalam hidup mereka. Apabila mereka hendak bercakap dalam majlis atau merasmikan acara kerana tentatifnya tertulis nama mereka, maka mereka akan meminta setia usaha atau mana-mana pegawai yang tahu tentang agama, menulis teks untuk dia berucap.

Mereka bercakap semata-mata untuk menyesuaikan teks dengan bentuk majlis. Dan bukan mustahil jika mereka berucap pula dalam majlis perasmian jenama arak yang baru, mereka akan ketepikan pula hal agama. Mereka akan mencari hujah untuk menggambarkan keterbukaan mereka.

Seperti kes Nurhidayatullah atau Jasica Lucas (nama yang tidak ada kena mengena sama ada yang hidup atau yang sudah mati) misalnya, kita melihat bukan saja hal-hal agama itu cuba dipertikai walaupun beberapa klausa, peraturan dan jadual sangat nayata bagaimana isu agama Islam tidak seharusnya dipertikai, ditentang dan diforumkan tetapi jelas kita melihat bagaimana orang Islam itu sendiri tidak tahu menghormati, memahami dengan tepat dan betul. Jelas yang berlaku sekarang, kebanyakan orang Islam sendiri bercakap di sisi lain sebagai membuktikan mereka orang yang liberal, terbuka dan menganggap kebebasan bersuara dan beragama itu mengatasi apa yang tercatit di dalam perlembagaan atau peraturan.

Oleh yang demikian bukanlah soal Syarifah Syuhada atau Nurhidayatullah atau Jasica Jacob keluar dari Islam tetapi sikap ‘beberapa kerat’orang Islam itu sendiri sebenarnya. Ini termasuklah penguasa-penguasa agama, hakim-hakim yang beragama Islam atau pemimpin politik yang turut juga bertanggung jawab terhadap agamanya (Islam)

Manakala golongan orang Islam yang bercakap dan mempertahankannya hanyalah dari jongos-jongos agama, kadi, mufti dan ulama yang pada anggapan mereka tidak mempunyai kuku dan tersangat nihil pemikiran mereka.

Contoh yang terbaik dapat kita lihat apa yang diterima oleh Mufti Negeri Perak, Dato’ Seri Hj Hairussani yang dianggap siapa lebih besar dalam menangani isu seperti ini.

Pandangan dan hujjah mereka yang berlandaskan perlembagaan, undang-undang, percahan dan jadual dinafikan. Manakala media dikelola dan dikendali oleh mereka yang kosong ilmu dalam hal ini. Mereka lebih memahami dan takut soal-soal Akta Rahsia Rasmi, sensitif isu dari perkara-kara agama. Maka apa yang disiarkan oleh media hanyalah lontaran lojik dari golongan yang dikatakan sekkular, liberal.

Dalam Resolusi Perhimpunan Sejuta Umat pada 23 Julai 2006 yang lalu, yang dibuat di Masjid Wilayah Persekutuan menyebut; The New Straits Times dan The Star sering memberi keutamaan kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh kumpulan ini dan menahan pula daripada menyiarkan kebanyakan pandangan yang menentang. Di sebut juga seperti SIS dan HAKAM adalah penentang kuat syariah telah diberi ruang yang luas dan mereka menulis sesuatu yang negativ.

Mana dia pemimpin dan orang-orang yang Islam yang mempunyai kuasa tentang media? Ini kes Islam, kenapa orang Islam yang mempunyai kuku tidak prihatin dan tersentuh dalam soal ini?

Kita melihat ini dari segi perlembagaan dan undang-undang. Mengapa orang yang sering mempertikaikan klausa perlembagaan, undang-undang dibiarkan begitu-begitu sedangkan di sisi lain, misalnya soal-soal sensitivit bangsa, ISA dan perkauman mereka mampu bersuara dan menyekatkan?

Barangkali sudah ada di zaman ini sebahagian besar orang Islam menganggap Islam itu tidak lebih dari budaya.

Tidak perlu kita pergi lebih jauh dalam soal agama ini. Lihat saja percambahan kuil-kuil yang tidak mengikut peraturan Kerajaan Tempatan, Akta Tanah, sensitiviti masyarakat yang berlaku di mana-mana. Contohnya seperti perarakan yang tidak ada kena mengena dengan agama, dibenarkan berarak menganggui orang awam, pada hal perarakan itu hanyalah upacara kemegahan etnik.

Kenapa mereka yang mempunyai kuasa, yang mampu bertindak, yang berhak mengeluarkan arahan tidak berbuat demikian? Apa yang berlaku sekarang kita melihat golongan ini ingin mebberi tahu kepada orang lain bahawa mereka bersikap terbuka dan hanya menghafal ‘kebebasan beragama’ tetapi tidak melihat lebih jauh tentang hak dan kejawipannya terhadap agama yang dianutinya.

Pada satu waktu dulu saya pernah menulis surat kepada pihak yang meluluskan perarakan yang kononnya berimejkan agama, di mana perarakan itu melampaui ke taman-taman perumahan hanya untuk menuju ke sebatang sungai cetek. Perarakan itu alasan saya bukan perarakan tuntutan agama kerana tidak ada bab-bab seperti dituntut dalam agama itu. Apa yang saya dapat jawapan dari penguasa tersebut, hanyalah senyum sinis dan menganggap saya sebagai orang yang fanatik agama. Dan lebih malang jawapan yang diberi ialah kita perlu menghormati agama lain.

Oleh yang demikian apa yang kita hadapi sekarang bukan disebabkan Syarifah Syuhada atau Nurulhidayatullah menukar nama jadi Suzi atau Jesica Jacob dan terus keluar dari Islam, sebaliknya di sisi lain, bahawa sebenarnya hal ini hal maruah, hal undang-undang, hal peruntukan perlembagaan.

Tulisan ini pastinya ditujukan kepada mereka yang ada kuasa, baik para hakim, pendakwa, golongan yang kononnya terbuka atau liberal. Mereka sebenarnya mampu berfikir kearah hak dan maruah Islam. Mereka bukan tidak mampu berkata tidak tetapi sengaja tidak mahu berkata tidak.

Kenapa mereka yang ada kuasa, yang mampu mencipta Akta Tambahan dan Peruntukan, Jadual-jadual di dalam Perlembagaan tidak berbuat demikian? Tidak bolehkah diwujudkan badan kehakiman bagi menyelesaikan pertikaian ini secara adil?
Tidak adakah orang undang-undang, hakim-hakim yang tahu tentang seluk belok undang-undang Islam? Dan yang lebih penting, apakah tidak ada secebis pun rasa tanggung jawab terhadap Islam yang disebut di dalam Perlembagaan?

Sekarang mahkamah secara tidak langsung dijadikan medan berhujah tentang Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan. Apabila berhujah, golongan ini menunjukan kebebalan mereka untuk meletakkan perundangan syariah sekadar ‘ administrative personal tribunal’ yang boleh diketepikan bila-bila masa oleh Mahkamah Tinggi berdasarkan hanya undang-undang sivil.

Mahkamah-mahkamah syariah diletakan di dalam perlembagaan dengan kuasa-kuasanya tetapi gologan ini berusaha meletakkan hak mahkamah syariah di luar biadang kuasanya dan berusaha dengan segala upaya menidak setandingnya dengan mahkamah sivil.

Ia sangat tidak bersifat ilmu tetapi lebih kepada sakit hati, tidak senang, resah kerana mereka menemui Islam dalam keadaan sakit jiwa.
Kenapa jadi begini? Di mana penguasa, pemimpin dan mereka yang mampu menterjemahkannya atas tanggung jawab terhadap agama yang mereka anuti?

Jangankan hal ini tidak dipeduli, sebaliknya pemimpin politik beragama Islam, cuba menunjukan kelibralan mereka, keterbukaan mereka kerana hipokrit, sanggup menyokong hasrat menyamaratakan semua agama, turut menyokong perjuangan kebebasan berfikir secara mutlak sampaikan soal murtad patut diberi kebebasan kepada umat Islam. Tidak cukup dengan itu, diminta hapuskan pula undang-undang kawalan berasaskan agama dan memperlekehkan institusi agama, undang-undang syariah.

Pada hal, sekiranya mereka ingin membuka sedikit ruang untuk berfikir tanpa perlu beristighfar berkali-kali pun, mereka sedar betapa Malaysia adalah negara berdaulat dan Islam sudah termaktub dengan perkara 3nya; Islam adalah agama Persekutuan.

Bukankah semua rakyat, termasuk pemimpin, lebih-lebih lagi yang beragama Islam terlibat pmempertahankan dan melaksanakan ikrar yang Dipertuan Agung, menurut Perkara 37 Perlembagaan Persekutuan di mana semua berkewajipan memelihara Agama Islam?

Bukankah semua, termasuk mereka yang memiliki kuasa, pengaruh, sedar bahawa undang-undang dan polisi hendaklah mengambil kira pandangan Islam dan tidak boleh menyanggahi prinsip Islam? Dan bukankah menjadi provokasi sekiranya ada cabaran tentang kedaulatan Islam dan membolehkan timbulnya ketidakstabilan negara?

Kerana itu kes-kes murtad dan apa yang berlaku kepada Syarifah Syuhada atau Nurulhidayatullah atau Suzi atau Jesica Jacob (bukan nama sebenar) pada sisi lain sangat merbahaya kepada kesetabilan umat mahupun maruah Islam itu sendiri.
Pada sisi lain juga bukan sekadar kes murtad Hidayatullah atau Jasica Jacob, tetapi masa depan kedudukan Islam akan menjadi kuasa marjinal, sampah di sisi undang-undang dan melukut di sisi kewibawaan perundangan mahkamah.

Urusan perundangan yang bersangkut paut dengan Islam, akan menjadi barangan yang ‘expired’ dan senantiasa diperbaharui ketika berhadapan dengan mahkamah.

Soalnya, apabila kes-kes murtad yang berlaku kini, apabila mempertikaikan di mana patut diletak dan harus diubah institusi perbicaraan, di mana maruah dan iman golongan yang bertanggung jawab ini?
Katakan kes murtad mengalami kekalahan dari segi teknikalnya saja, apakah golongan yang bertanggung jawab ini akan ketawa; ia adalah keadilan undang-undang dan itulah Islam sebenar.
Kita ingin bertanya, bagaimana masa depan setelah golongan ini kojol nanti? Di sisi lain, akan apa jadinya undang-undang Islam ini?
Amin.

KELAMPAUAN DALAM BUDAYA.

Posted by Tukya

Apabila selesai acara yang bermula jam 10.30 pagi hingga petang tentang perkahwinan Siti Nurhaliza dengan Datuk K, ia sebenarnya bukan hari terakhir sebuah kehidupan seorang artis tersohor dengan seorang ahli perniagaan bergelar datuk.

Seperti orang lain, perkahwinan tidak bererti tidak berpisah, bercerai, bergaduh, cemburu, kegoncangan rumah tangga. Sebaliknya selepas perkahwinanlah selalunya timbul tidak sefahaman, cemburu, terikat, tak sporting, hodoh, atau apa yang dinamakan dengan istilah lunak; tiada jodoh.

Sejarah artis yang mabuk kepayang sebelum berkahwin, gelagat bercinta dan luahan rasa dalam bentuk melampau sudah berlaku pada masa lalu. Tanpa bertujuan memburuk-burukkan seseorang, perpisahan artis yang dulunya digambarkan sebagai percintaan unggul dengan majlis perkahwinan melebihi ‘Royal Wedding’, kini sudah berpisah dan jika diukur nilai belanja perkahwinan mereka dahulu, kita menjadi bingung di mana hendak meletak keunggulan cinta mereka dengan keangkuhan acara perkahwinan mereka.

Nilainya mampu mengubati seorang kanak-kanak penyakit kanser di luar negara.

Gambaran-gambaran yang melampau ini telah menimbulkan persoalan, siapakah yang bertanggungjawab meng ‘highlight’ isu ini? Adakah wartawan-wartawan hiburan tidak tahu memilih sesebuah berita atau itulah sebuah ‘current issue’ atau sememangnya dikehendaki oleh artis terlibat untuk meningkatkan lagi ‘glamor’ mereka. Yang nyata kesannya ialah kepada masyarakat sehingga menganggap isu-isu itu adalah isu negara, isu terpenting dan kadang-kadang menenggelamkan teguran atau nasihat seorang mufti atau ulama.

Lebih parah lagi apabila isu-isu seperti ini di ‘highlight’, menggambarkan masyarakat Melayu khususnya, gila kepada budaya pembaziran, budaya kemegahan, budaya hiburan. Ia menggambarkan juga di Malaysia ini orang-orang yang penting ialah golongan artis.

Kini, isu percintaan, perkahwinan, persiapan ke arah majlis kenduri perkahwinan Siti Nurhaliza, yang dianggap penyanyi nombor satu negara dengan Datuk K melampaui isu-isu lain. Ia bukan saja mendapat penonjolan di dalam akhbar perdana di muka hadapan, tetapi juga mendapat liputan khas melalui TV, satu-satunya media elektronik yang sangat memberi pengaruh. Pada satu ketika ia melebihi siaran langsung pembentangan belanjawan atau lawatan perdana menteri. Apalagi ia mengatasi kemalapan siaran langsung Majlis Tilawah Al-Quran.

Semua liputan dan berita seolah-olah pasangan ini pasangan yang cukup ‘ideal’, melebihi percintaan Romeo dan Juliet, Laila dan Majnun, Uda dan Dara dan kemegahan membina tugu cinta mereka sama dengan Shah Jahan yang membina Taj Mahal. Tetapi masyarakat yang mabuk dengan isu ini, yang menganggap artis adalah segala-galanya lupa beberapa sejarah pahit yang memalukan. Bagaimanapun, masyarakat tetap bodoh oleh permainan tulisan-tulisan wartawan hiburan dengan kata-kata; kami tetap berkawan.

Perkahwinan sememangnya baik dan seharusnya kita berdoa agar pasangan (tidak saja artis) kekal jodoh sehingga akhir hayat. Tetapi apabila dalam waktu yang sama kita melihat bagaimana keangkuhan, keegoan, kelampauan (kadang-kadang dilebihkan oleh wartawan) kita tertanya-tanya, adakah segala macam yang digembar-gembur itu menjadi penting dan sepatutnya didedahkan?

Ia sudah menjadi riak, takbur, membazir, melampau dan kadang-kadang sampai melanggar tata susila hukum. Namun apa yang mendukacitakan, ulasan-ulasan dan paparan dari wartawan hiburan seperti ini tidak mengambil kira hal-hal hukum. Kerana mahu meng ’highlight’ kan orang-orang seumpama ini, mereka telah meletakkan seperti dewa Hanuman yang turun ke dunia.

Sebagai contoh, ambil saja isu percintaan, perkahwinan, majlis hantaran, persiapan majlis kenduri Siti Nurhaliza dengan Datuk K. Contoh ini sama sekali kita tidak meletakkan kesalahan, sangka buruk terhadap mereka. Tetapi kita ingin bertanya; Mengapa hal sebegini terjadi?

Antaranya ialah sebanyak tujuh kamera digunakan di Masjid Wilayah Persekutuan bagi tujuan merakamkan upacara perkahwinan. Siaran secara langsung pula dibuat. Pelamin diletakkan di dalam ruang masjid, satu-satunya rumah ibadah. Seramai 30 krew produksi akan bekerja keras.

Sebelum itu lawatan demi lawatan di Masjid Wilayah Persekutuan dibuat, seolah-olah upacara Tilawah peringkat dunia hendak diadakan.

Memanglah masjid sangat baik dijadikan tempat ijab qabul pernikahan. Tetapi apabila ia menunjukkan seperti melampau, riak dan bermegah-megah, menunjukkan kehebatan, apakah ia baik di sisi agama? Kita tidak tahu, apakah ia mendapat restu dari pihak pentadbir agama dan masjid di situ? Jika ia direstu dan diluluskan begitu mudah, alangkah malangnya pemikiran sebegitu rupa kerana pihak bertanggungjawab juga terbawa-bawa dengan budaya keglamoran artis-artis.

Bukan masanya lagi apabila ada orang berkata, apa pun yang dilakukan oleh seseorang, itu adalah hak mereka. Memang sesiapa pun boleh mengeluar hantaran RM1 juta, membelanja majlis perkahwinan RM1.5 juta, merancang akad nikah di dalam kolah masjid atau sebentuk cincin bernilai RM3 juta. Bukan masanya untuk kita berkata, jika dulu sebagai artis ia menjadi milik masyarakat tetapi kini ia menjadi milik bla..bla..bla...

Tetapi dalam masa yang sama, tidakkah kita merasa prihatin, sensitif dan peka terhadap enam ratus kanak-kanak yang menghidap sakit jantung, yang melanda kebanyakan keluarga berpendapatan rendah? Seperti Fariz, adakah sama RM111,111.11 juta belanja mas kahwin dengan 6 milimeter jantungnya yang berlubang?

Perlukah RM1.5 juta belanja kahwin, sedangkan di sisi masyarakat kita kanak-kanak seperti Fariz memerlukan alat mengepam dan proses pembedahan?

Apakah sesuai dengan masa, apabila kita membuat hantaran tujuh dulang serba mewah, sedang di ceruk desa dan kampung, ada tujuh ratus dulang hati-hati rakyat yang terbiar menanti bantuan? Tergamakkah kita memakan juadah dan majlis santai meraikan pengantin, tetapi dalam masa yang sama, ada mereka yang menjerit kesakitan kerana luka dan berpenyakit kronik. Ada yang menjelir lidah kerana tidak pernah merasa apa itu ‘Pizza’ atau KFC?

Memang ini ia di sisi lain yang mungkin akan dijawab ia tidak ada kena mengena. Tetapi itulah sebenarnya gambaran masyarakat kita. Jika ia tidak dilakukan oleh pihak yang terlibat, siapakah pula yang bertanggungjawab menggembar–gembur hal ini, sampaikan golongan seperti ini dewa-dewi dari segala dewa-dewi?

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) memandang berat hal ini. Ia bukan satu tafsiran cemburu tetapi mestilah dilihat dalam bentuk keprihatinan, kepekaan terhadap orang lain yang turut menjadi anggota masyarakat Malaysia. Ia juga satu bentuk budaya bermegah, membazir yang tidak dituntut oleh mana-mana agama mahupun budaya yang sihat.

Sederhana adalah yang terbaik dan CAP mengharap semua pihak dapat mengamalkan sikap dan budaya ini.

APABILA BEBAN PENGGUNA DIBEBANKAN: JANGAN ASYIK RASIONAL SAJA!

Posted by Tukya

Orang naik minyak dengan minyak petrol naik adalah cerita berbeza. Orang naik minyak padahnya tidak dapat mengawal perasaan. Minyak petrol naik padahnya rakyat terbeban. Rasionalnya, rakyatlah yang merasai deritanya.

Kenaikan harga petrol, satu-satunya bahan mentah yang sangat perlu kepada semua lapisan rakyat, satu-satunya bahan yang diumpamakan sebagai ‘Angsa Mas’ atau ‘Ketit-ketit semut’ tidak pernah menempah sejarah buruk. Jika demontrasi Baling di tahun 70-an dulu mengakibatkan sati petaka buruk, tetapi dengan kenaikan minyak kali keempat6 sejak tahun lalu, ia tetap mendamaikan, tetap diterima rakyat dengan senang hati. Malah rakyat sendiri, setiap kali harga naik, apabila diwawancara, mereka tetap menjawab: Sikit saja. Tidak membebankan. Kerajaan patut mengelak dari sangsara subsidi.

Maka kerajaan pun mengeluarkan kenyataan di samping sokongan para menteri dan orang-orang politik . Dikatakanlah kenaikan runcit petrol dan disel dan LPG adalah lanjutan keputusan kabinet dari beberapa siri kajian, untuk mengurangkan secara berperingkat subsidi petroleum . Yang lebih menjadi selumbar perasaan ialah alasan kenaikan hanya sekadar 10 sen, 20 sen sama ada RON97 atau RON bla-bla yang rakyat tidak tahu apa bendanya itu, masih rendah jika dibandingkan dengan negara lain.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mustafa Mohamad, tahun ini saja subsidi mencecah sekurang-kurangnya RM7.6 bilion. Maka dengan kenaikan ini kerajaan dapat menjimat subsidi sebanyak RM1 bilion menjadikan subsidi tahun ini kepada RM6.6 bilion.

Jika itu menjadi alasan, termasuk hanya sekadar 20 sen, masih rendah jika dibanding dengan negara luar, alangkah bahagianya rakyat yang memiliki negara seluas 330,252 kilometer persegi dengan bilangan penduduk 26 juta. Apa lagi apabila mendengar Petronas sendiri untung RM58.03 bilion, iaitu peningkatan 55% daripada RM37.4 bilion pada tahun kewangan sebelumnya. Itu hanya hasil dari carigali beberapa buah negeri. Bagaimana untungnya jika sekeliling Malaysia ini mengandungi minyak?

Dan apa yang hendak dirisaukan oleh rakyat betapapun kenaikan lima kali setahun sedangkan minyak, satu-satunya khazanah negara sendiri mencapai RM78.2 bilion dari sektor pembuatan.

Apa yang hendak dirisaukan oleh rakyat hanya sekadar 20 sen kenaikan satu liter, sedangkan gambaran amnya rakyat masih banyak wang. Lihat saja sebanyak 9.5 bilion khidmat pesanan rengkas dengan nilai RM5 bilion. Jika demikian apalah sangat dengan TNB (khabarnya tarif akan dinaikan pula) yang rugi RM1.42 juta akibat peralatan yang dicuri. Apalah sangat dengan bantuan kepada nelayan yang jadi mangsa Tsunami sebanyak RM500 seorang, apalah sangat dengan RM323 juta untungnya TM daripada penyenarian anak syarikat Dialog Telekom.

Jika demikian apalah sangat kalau pungut saja duti kastam RM46 juta dari syarikat yang main kong kalikong duti import kereta.

Apalah yang hendak dikeriau oleh rakyat sekadar 20 sen selitar naiknya, sedangkan 1 juta boleh lesap di dalam Van yang terbalik. Bukankah rakyat masih banyak duit apabil hanya sebuah butik memiliki sebutir berlian 2.53 karat RM300,000.

Bagaimana pun jangan pukul rata semua rakyat kaya dan mewah walaupun tidak pernah mengeluh kenaikan 10 sen selitar petrol. Ada juga yang susah melarat. Jika tidak masakan pengguna negeri Perak mencuri RM 5.55 juta elektrik, pengguna Selangor RM3.4 juta, pengguna Johor RM3 juta, pengguna Melaka RM2.2 juta, pengguna Wilayah Persekutuan RM1.9 juta? Itu tidak kira lagi kemiskinan pengguna yang terpaksa mencuri elektrik dari Pahang lebih RM 1 juta manakala Kedah, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu dan Perlis mencapai angka juta-juta.

Maka apakah berpada atau melegakan pihak kerajaan apabila kenaikan petrol ini sebanyak 10 sen seliter, maka kerajaan dapat menjimatkan subsidinya sebanyak RM1 bilion? Memang melegakan dan apabila derita susah payah yang dialami oleh rakyat yang terlibat dengan petrol, maka itu adalah satu pengorbanan kepada negara.

Tetapi soalnya, apakah rakyat yang terlibat dengan kenderaan atau petrol sahaja yang memberi pengorbanan? Bagaimana yang lainnya?

Sebenarnya apabila kenaikan 10 sen selitar, semua rakyat dari Perlis hingga ke Sabah mengalami derita dan susah payah. Minyak adalah nadi pergerakan. Ia seperti sakit gigi yang akan dirasai oleh semua anggota.
Bayangkan jika minyak melompat naik, apakah bas, kereta sapu, teksi, komuter, LRT, keretapi malah kapal terbang tidak jdi injit-injit semut? Memang sekarang tidak, tetapi bahana dan denyutnya pasti akan berlaku. Bayangkan jika 10 sen melompat, maka sudah pun berlaku kepada harga roti cnai, tepung, mintak, segala macam bawang dan rempah ratus. Sedangkan inilah yang dimakan oleh rakyat.

Apakah tidak terjejas dalam sorak sorai kita mampu menjimatkan subsidi RM 1 bilion, kepada seramai 2.8 juta lebih murid di sekolah bantuan kerajaan seluruh Malaysia , kepada 1.7 juta mur5id sekolah bantuan kerajaan di Semenanjung Malaysia, 175,336 di Sabah dan 187,424 di Sarawak? (Punca; kementerian Pendidikan, buku Tahunan Perangkaan 2003)

Bagaimana kepada guru yang berulang alik ke sekolah bantuan kerajaan, rendah dan menengah yang seramai 128,587 di malaysia, 107,208 di Semenanjung, 10,611 di Sabah dan 10,768 di Sarawak?

Itu tidak kira lagi terlibatnya dengan kos yang hany di katakan 10 sen selitar kepada 22,008 pensyarah di institusi pengajian tinggi dan 396,610 pelajar (angka ini tahun 2002; Kementerian Pendidikan Malaysia)
Memang tidak semua penduduk Malaysia seramai 25 juta lebih ini tifdak menggunakan kenderaan berpetrol, tetapi apa yang mereka dapati, makan, pakai dan segala-galanya hasil dari pengangkutan minyak petrol, kecuali penduduk asli di pendlaman yang macam pucuk ubi dan umbut-umbut.

Oleh yang demikian, apabila kenderaan di Malaysia mencapai 12,021,939, di Semenanjung Malaysia 10,880,286, di Sabah 432,872, di Sarawak 708,781 di tahun 200 sahaja, apakah 10 sen selitar ini tidak melibatkan mereka?. Kapal terbang memang tidak pernah dinaiki oleh Pak Kasa, seorang nelayan dari pengkalan Segantang Garam, tetapi bagaimana dengan 285,734 bilangan pendaratan dan berlepas dalam negeri? Siapa yang menaikinya?

Orang kampung tidak ada internet, tidak ada E-Mail. Mereka terpaksa pakai surat untuk berhbungan. Maka tidakkah harga stem akan melonjak apabila sebanyak 1,146,286 barangan pos yang diposkan?

Mengakhiri tulisan ini, tidak payah cakap bagaimana kita menyelamatkan subsidi, kenaikan tidak membebankan, masih murah jika dibanding dengan negara luar dan lain-lain lagi. Seorang pekerja biasa telah mengirim surat kepada Editor Utusan Pengguna. Renung dan hetunglah apakah beban yang diterima rakyat, jika kita seperti pengirim ini.


Kenaikan 1 Mei 2004 2 sen
Kenaikan 1 Okt 2004 5 sen
Kenaikan 5 Mei 2005 10 sen
Kenaikan 1 Ogos 2005 10 sen
Jumlah 27 sen

Sebelum 1 Mei 2004, pengirim surat ini memberitahu, kereta beliau berusia sederhana. Maka jadualnya seperti berikut:

Sebelum 1 Mei 2004: 50 literIsi penuh = RM 67.50 / 5 hari kerja

Selepas 1 Ogos 2005: 50 liter = RM 81.00 / 5 hari kerja

Lebih : RM 13.50 / 5 hari kerja (RM 67.50)

Jika 5 hari bekerja sebanyak RM 67.50 berbeza dengan sebelum 1 mei 2004, maka apa hlnya jika bekerja 4 kali dalam sebulan? 4 x RM 67.50= RM 270.00

Adakah orang seperti ‘aku’ ini naik gaji sebanyak RM 270 setahun? Tanyanya.
Demikianlah keluhan yang tidak pernah dipedulikan dan sorak sorai tetap bergema dengan kata-kata; Tidak membebankan, terendah dari negara lain, hanya sekadar 20 sen selitar.


Box;
Ambil gambar Datuk Mustafa Muhamad, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri.
“ Kita mesti mencari jalan mengurangkan pergantungan terhadap minyak dan memainkan peranan menggunakan hasil minyak hari ini untuk tujuan produktif.”

BAGAIMANA KIRANYA YAHUDI DI SISI KITA?

Posted by Tukya

Saya cuma membuat andaian. Bagaimana kiranya jika ada sebuah negara Yahudi baru sebesar pulau Sipadan, di sisi Negara kita?

Selain dari ‘millah’ mereka yang tak terdaya kita kepung, apakah ahli-ahli Pas, penyokong Pas dapat melawannya?

Saya membuat andaian ini khusus kepada Pas, kerana saya terlalu ghairah melihat perjuangan Pas menegak Islam, mempertahankan maruah Islam dan bangsa Islam (mengikut perlembagaan Melayu itu hendaklah Islam). Timbulnya pertanyaan seperti ini dan mengandaikannya pula kerana saya sebagai rakyat Malaysia, yang tinggal di Malaysia tidak ada jalan lain lagi, tidak ada dasar parti lain lagi yang sesuai dengan Islam, melainkan Pas.

Akan tetapi andaian inilah yang menggambarkan saya semakin tertanya-tanya, sehinggakan saya menggambarkan satu andaian; apakah Pas dapat mempertahankan daulah Islamiahnya, kiranya ada sebuah negara Yahudi sekecil Pulau Sipadan yang mengancam kita?

Perbandingan andaian itu tentulah mudah untuk menjawabnya; Yahudi itu akan hancur kerana ukuran Pulau Sipadan hanya beberapa puluh kilometer sahaja. Mustahil Yahudi dapat tinggal di sana lima juta dan di Malaysia umat Islam seramai 45% dari 25 juta.

Para pemimpin Pas yang sangat lantang berpidato pun akan menjawab; Jika Yahudi sebanyak itu, kita jentik saja mereka sudah terpelanting. Lalu ahli-ahli Pas pula bertakbir puluhan kali sehingga Yahudi gerun mendengarnya. Kemudian ditokok pula lagi para ulama Pas rajin solat hajat, membaca Qunut Nazilah di semua markas; maka Yahudi pasti terberak terkencing dan lari lentang pukang.

Manaka Mursyid Amnya pula menimbulkan pula beberapa kisah bagaimana Allah mengutuk Yahudi tetapi kemudiannya dalam masa yang sama, apabila pemimpjn Yahudi di Pulau Sipadan datang, Mursyid Am Paslah yang menjadi kepala menyambutnya.

Semuanya saya mengandai begitu. Ertinya Yahudi di pulau sekangkang kera yang bernegara di sisi negara kita pasti akan hancur oleh semangat jihad ahli dan penyokong Pas. Tetapi dalam masa yang sama tali diplomatik Pas dengan Yahudi tetap terjalin kuat.

Selain dari firman dan hadis yang dijadikan hujah, maka akan keluar kata-kata keramat; Islam menggalakan kita memaaf kesalahan. Memaaf kesalahan sangat mulia.

Tetapi saya akan jadi terkedu apabila meneliti pribahasa; “Ampun Tuanku beribu-ribu ampun.” Atau “Kupohon sejuta maaf,” kata seorang kekasih kepada kekasihnya di mana dia merasa bersalah.

Kenapa saya terkedu? Sebabnya, dalam ajaran Islam untuk membentuk manusia menjadi pemaaf, tidak ada kata-kata; Kumaafkan engkau seribu kali. Tidak ada kata-kata; Kuampun kamu beribu-ribu ampun. Yang ada; Kupohon maaf seribu kali atau ampunkan aku beribu ampun!

Yang ada pihak meminta, barulah ada memaaf. Yang ada sama-sama memohon maaf kemudian barulah sama-sama maaf. Tetapi apa yang berlaku kepada pemimpin Pas sekarang ialah; Kumaafkan engkau beribu-ribu maaf, sedangkan yang bersalah tidak pun pernah memohon maaf.

Saya jahil dan saya ingin tahu hakikat sebenar apa yang dituntut sebenarnya tentang ‘maaf’ ini? Dalam ajaran Islam kita dituntut memaaf apabila ada orang yang memohon maaf. Dalam Islam, dosa pahala atau soal-soal iman bukan ‘matematik’ yakni lima tolak dua tinggal tiga. Dalam Islam, apa lagi yang bersangkut dengan dosa pahala, lima tolak dua, ia bukan tinggal tiga.

Tetapi apa yang berlaku di dalam Pas kini, semakin berubah kaedah dan uslub. Dalam keadaan anggapan seseorang sebagai pelingkup bangsa dan negara, ada pula yang menunjuk kewarakan dan kesufiannya lalu menganggap sebagai negarawan. Sangat pelik.

Berbalik kepada tulisan awal, saya yakin sekiranya negara Yahudi sebesar Pulau Sipadan di sisi kita, di mana rakyatnya hanya seribu, saya mengandaikan umat Islam, terutama umat Pas, penyokong Pas dan secara amnya umat Islam di negara kita akan kalah dengan Yahudi itu, sama kalahnya seperti Fatah, Hizbullah, Hamas dan pejuang-pejuang Palestin yang lain.

Kekalahan dan pukulan teruk pejuang Islam, parti-parti politik di sana tentulah disebabkan kucar kacir sama sendiri. Di kelilingnya negara Arab, tetapi negara itulah yang lebih banyak membisu dan jika ada yang lantang, kelantangan bukan untuk bersatu, tetapi menyalahkan antara satu sama lain.

Dan itulah kemenangan Yahudi sebenarnya!

Maka apa pula sangkutannya dengan Pas?

Andaian saya, kiranya Pas sekarang bersedia memerangi negara Yahudi yang sebesar Pulau Sipadan pun, Pas tidak akan menang juga. Tidak menang ini bukan kerana undi hantu, bukan kerana tidak telusnya SPR atau pengubahsuaian kawasan pengundi atau tidak ada ketelusan demokrasi. Tetapi kekalahan ini dari Pas sendiri, dari para ulamanya, dari para pemimpinnya dan dari pengikutnya.

Kelemahan yang membawa kekalahan Pas ialah kerana Pas tidak menghargai masa yang sangat mulia di sisi Tuhan. Sedangkan masa itulah ruang yang berharga bagi sesuatu perjuangan. Bukan menjadi rahsia lagi Pas sering berleka-leka dengan masa ini. Mereka sanggup berwirid seribu kali, sedangkan seribu rakyat menunggu masa yang terbaik itu. Mana-mana majlis Pas, masa tidak pernah diguna pakai sebaik mungkin. Jam sepuluh dibiarkan pengikut-pengikutnya berkeliaran lagi sedangkan pemimpin baru menghadapi hidangan dan jam 10.30 barulah melangkah ke pentas.

Itu hanya satu contoh. Bagaimana pula dengam majlis mesyuarat, gerakan dan aktiviti?

Dan yang paling merbahaya, yang mungkin menjadi Yahudi yang tinggal di pulau sebesar Pulau Sipadan pun akan ketawa ialah kerana ‘millah’ mereka sudah subur di dalam dada para pemimpin, walaupun dasar perjuangan Pas tidak pernah berubah.

Hal-hal seperti ini kerap berlaku dalam mana-mana tunjuk perasaan apabila ada yang mahu menunjuk kehebatan masing-masing. Di situlah pembawaan dan pengaruh negara luar yang kononnya mampu menjadi contoh ditonjolkan, sedangkan pengaruh dan pembawaan itu tidak sampai kepengtahuan ahli-ahli, pengikut-pengikut.

Ditonjolkan cara perjuangan Syiah, misalnya. Dilaungkan pula dasar-dasar perjuangan Al-Qaeda misalnya. Diseru lantang bagaimana perjuangan Hamas, perjuangan Intfadah, perjuangan Hizbullah. Dibangkitkan bagaimana kemenangan PIS di Algeria. Sedangkan rakyat dan ahli-ahli Pas terpinga-pinga. Manakala pemimpin-pemimpin besar pula membawa berbagai mazhab. Jika ia berpendidikan Azhar, maka Azharlah yang ditonjol dan itulah kaedah terbaik. Jika ia dari Jordan, Jordanlah yang terbaik. Kemudian timbul pula angkatan muda, maka pendekatan kemudaan yang sekular pun dijerkah habis. Pemikiran ulama diketepikan.

Dan bermacam-macam lagi. Barangkali sesiapa yang menyertai tunjuk perasaan di Kuala Lumpur sedikit hari yang lalu akan melihat bagaimana marahnya orang-orang Pas terhadap Amerika, Yahudi. Sehingga bukan mustahil terjadi seperti pengikut Saidina Husein di Karbala.

Lalu muncul pula di antara yang tidak suka, yang menganggap perkara seperti itu melampau, maka beraksi pula orang-orang ini. Akhirnya tanpa kita sedari kita sudah berpecah secara ‘ senyap’.

Oleh kerana pemimpin Pas, ahli-ahli Pas bukan wali dan bukan orang sufi, perkara-perkara seperti ini tidak akan didiamkan begitu saja. Dendam dan tidak setuju itu di bawa ke mana-mana. Dan untuk meluahkan dendamnya itu, ia berusaha sedaya mungkin naik ke pentas melepas cara ‘perjuangannya’, hala tujunya, seolah-olah itulah dasar Pas yang elok lagi mapan.

Yahudi di Pulau Sipadan ketawa sesama sendiri. Mereka tidak payah lawan kerana kelemahan itu ditempa oleh orang-orang Pas sendiri. Yahudi sangat seronok melihat ini dan mereka terus menggalak supaya tunjuk perasaan patut diadakan setiap minggu.

Kasihan kepada pengikut-pengikut dan ahli Pas. Semangat mereka berkobar-kobar untuk berjuang tapi malangnya mereka tidak tahu yang mereka akan kalah dengan Yahudi jika Yahudi di sisi mereka.

Apa yang hendak diharapkan, solat hajatlah sepanjang masa. Itulah permintaan yang tidak putus-putus. Mujurlah orang-orang Pas kuat iman dengan sifat ‘kehendak Allah’, jika tidak nescaya mereka merajuk.

Saya sayangkan Pas tetapi dalam masa yang sama inilah upaya yang perlu saya katakan. Kelainan pembawaan hasil dari bacaan sejarah perjuangan dan pengaruh perjuangan luar, sepatutnya kita kena hati-hati. Kita perlu kembali kepada kaedah Malaysia, kaedah orang Melayu/ Islam Malaysia.

Menyebut sejarah Rasulullah setiap kali ceramah, perjuangan para sahabat, Khulafak Arrasyidin hanya sebagai wadah kuliah subuh. Ia tidak dapat mengembalikan kehebatan itu dan jika ditanya kepada yang mengikuti ceramah itu, cara mana hendak kembali, kaedah apa yang hendak dicontohi, mereka akan melopong mulut.

Demikianlah beberapa kealpaan yang kita tidak sedar. Saya rasa sudah sampai masanya Pas menetapkan garis panduan untuk pemimpin yang sering naik ke atas pentas, memahami dan mematuhi perkara yang ditetapkan, kecuali isu semasa. Semoga perjuangan Pas dapat dihayati. Semoga perjuangan Pas bukan saja bergantung pada doa dan solat hajat, tetapi bergerak lebih jauh dari itu disamping anjakan doa dan solat hajat.

Saya tidak bermaksud hendak memperlekeh soal ini. Tetapi sejarah kemenangan pejuang Mesir yang dapat menembusi kubu terkuat Israel dulu, selepas mereka bermunajat, bersolat hajat, mereka bertolak ke medan perang. Tetapi kita, selepas bersolat hajat di markas, kita bergegas ke gerai jualan, membeli keset dan minum kopi.

Itu bukan Yahudi tetapi itulah yang Yahudi suka!