Beberapa Catatan Tentang Kaya Negara Dan Miskin Rakyat!

Posted by Tukya

Minggu lalu saya menziarahi seorang kawan di Hospital Alor Setar kerana mengidap ‘Panas Melampau’. Saya terkejut kerana Bangunan M2 kelas tiga benar-benar seperti kandang kambing dengan kesesakan katil dan pesakit. Kipas angin yang berkirap-kirap melelong-lelong di syiling tidak membantu kepanasan melampau pesakit. Bilik yang sempit dengan kesesakan pesakit, penziarah, sangat tidak sesuai dijadikan bilik pesakit, apa lagi berhampiran pula dengan bilik mayat. Blok M2 ini di antara blok yang menempatkan ‘rakyat’ kelas tiga yang terdiri dari petani, penoreh, boroh, penarik beca, pemandu teksi dan penganggur.

Setelah keluar dari bilik tersebut, sambil mengirap mengipas kerana panas, saya berkata pada kawan saya; Sudah bacakah tulisan Khairy Jamaluddin, Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia dalam Mingguan Malaysia keluaran 25 Februari 2007 yang kesempatan beliau berbual dengan rakan-rakan sewaktu menghadiri majlis terbuka Tahun Baru Cina.

Sebelum kawan saja menjawab, saya memberitahu, itulah topeng persepsi yang dipakai oleh pemimpin Umno untuk menterjemahkan lonjakan ekonomi sedangkan yang merasainya tetap perit. Contohnya seperti penghuni Blok M2 yang kita ziarah tadi.

Tiga puluh pesakit di dalam Blok M2 (sebagai contoh) apakah mereka tahu apa itu indek komposit berada ditahap 1,278.22 mata, kemudian kita melaung menatakan itulah lonjakan ekonomi negara dan kita berada dalam tahap yang kukuh?

Itukah keupayaan kerajaan melalui kepakaran pakar ekonomi dan kebijaksanaan pemimpin mengurus. Tapi di Kampung Tebengau dan Kampung Padang Sera masih berderet rumah berdinding pelupuh, petani mengeluh pasal serangan Siput Gondang yang merosakan pendapatan mereka.

Ajaibkah ekonomi Malaysia dan lojikkah pemimpin yang cari makan dengan politik berkereyau bahawa Malaysia sudah ada dipintu gerbang gaya baru, dengan perbezaan angka ajaib berbanding 262.7 mata ditahun 1998, sedangkan Pak Kasa yang ada sebuah lori buruk bawa sayuran untuk kedai runcitnya, setiap hari ulang alik kena bayar tol?

Kata Khairy, apa yang tidak mahu difahami oleh pengkritik-pengkritik ialah pendirian kerajaan ini diambil semata-mata kerana ingin memastikan agar pelaksanaan RMK-9 tidak akan terbantut akibat dana yang tidak mencukupi. Hari ini, kata Khairy, kita melihat falsafah dan pendekatan pengurusan ekonomi yang diamalkan oleh Perdana Menteri dan Kabinetnya, menghasil suasana yang lebih meyakinkan. Seingat saya, kata Khairy lagi, tidak ada lagi rungutan yang disuarakan semasa perayaan Tahun Baru Cina ini, satu keadaan yang jauh beza dengan tahun lepas. Sebaliknya perbualan berkisar kepada indeks komposit Bursa Malaysia yang meningkat naik dan potensi pertambahan syarikat asing yang akan melabur di Malaysia...bla...bla...bla...

Saya bertanya kawan saya, fahamkah apa yang dikata oleh Naib Ketua Pemuda Umno itu?

Sebelum kawan saya menjawab, saya berkata padanya;

Cuba pergi ke Kampung Seberang Ramai, perkampungan nelayan di Kuala Perlis, pergi ke Kuala Rompin atau ke Setiu, tanya nelayan-nelayan itu, tahukah apa yang dikatakan Bursa meningkat dan tanya betul-betul pada mereka, apa yang mereka dapat apabila Bursa Saham naik menyacak?

Tanya pada pemandu teksi, kepada kerani pejabat, pekerja kilang, orang awam yang berniaga di pasar malam, jika Bursa Malaysia naik ke paras 1,350 dan naik lagi, percumakah bayaran tol yang dikenakan setiap hari? Turunkah cukai tanah dan kurangkah harga minyak?

Memang bukan percuma, tapi itukah tanda melonjak ekonomi, kelegaan perkapita dan kemewahan negara apabila setiap jalan baru dibuka, setiap kali pula tol di kenakan. Lega dan betulkah landasan ekonomi dan kekayaan negara jika setiap tahun bayaran tol dinaikkan dengan alasan konsesi itu konsesi ini? Bijakkah pemerintahan selama 50 tahun apabila setiap kehendak kerajaan terpaksa tunduk kepada korporat, kepada swasta?

Setiap kali tol naik, siapa yang tenggelam separas hidung? Setiap kali pembangunan, berapa ratus dan ribu ekar tanah terlepas dari hak milik? Setiap kali perojek mewah, berapa ratus rakyat angkat bungkus untuk tinggal di kaki bukit?

Jumlah perdagangan bagi tahun 2006 1 trilion, jelas membuktikan Malaysia mempunyai daya saing sebagai negara perdagangan. Lalu bermadah lagi apabila didapati ada sekumpulan yang pekak bangang berteriak seperti anjing menyalak bukit meminta harga tol dihapuskan, kenaikan harga minyak diturunkan dengan katanya: dalam masa yang sama ada desas desus ‘segelintir’ pihak yang tidak puas hati dengan kenaikan harga minyak, kenaikan tol. Bukankah itu peningkatan yang merupakan harga sebuah negara membangun dengan sumber asli yang terhad kerana realitinya, apakah datang dengan percuma.

Zubaidin , seorang pemuda lulusan Azhar tapi bekerja membela ikan keli di Tunjang, melemparkan melempar keratan akhbar dan mendengus dan meludah air liur berlenjanya. Katanya: Ia bukan satu penterjemahan dari realiti rakyat. Kenapa mesti minta semua kepada rakyat untuk melakukan sesuatu perojek. Minyak hak rakyat. Rakyat tahu harga sebuah pengurusan tetapi yang berlaku ialah tidak adil dalam pengurusan itu. Rakyat tahu harga sebuah pembangunan, tapi bukan rakyat yang mesti membalasnya dengan penderitaan. Kenapa tanah rakyat yang diambil, kemudian dibuat pembangunan kemudian rakyat mesti membayar pula di atas tanahnya?

Bayangkan, sejengkal tanah rakyat diambil dengan harga RM3.00 tetapi rakyat kemudiannya terpaksa membayar balik melalui tol RM1.30 sen sehari dalam perjalanan sehala. Kemudian tidak cukup mencekik darah rakyat, dibuat lagi dua tol. Bayangkan! Bayangkan jika gajinya si Mamat naik RM60 sebulan, tetapi ia terpaksa membayar tol RM7.00 sehari apabila ia berulang alik dengan kereta Kancilnya selama 30 tahun dia bekerja. Berapa Si Mamat kena bayar dalam sebulan, dalam setahun?

“Kenapa masih tidak yakin?” tanya Tan Sri Mohamed Yakcop, Menteri Kewangan Kedua dalam akhbar yang sama, keluaran yang sama.

“Ini pun satu”, Awang Lazim yang bekerja mengimpal besi di Tanjung Malim bersungut sakan. Awang Lazim ini meluat habis kepada BN sejak tol diperkenalkan. Ternyata Awang Lazim benci sejak zaman pemerintahan Dr. Mahathir lagi.

Memang Awang Lazim mempunyai alasan dia bencikan sistem peninggalan Dr. Mahathir dan kebenciannya itu diteruskan, sampailah kepada jawapan wawancara oleh wartawan Mingguan Malaysia terhadap Tan Sri Nor Mohamed Yakcob.

Alasannya mudah dan sesuai pula dengan pekerjaannya sebagai tukang kimpalan besi. “Orang macam aku ini, apa peduli dengan modal pasaran saham mencecah RM1 trilion. Apa yang aku boleh dapat?” katanya. Nak suruh rakyat macam aku bersyukur, bersyukur apa? Tambang bas dari Tanjung Malim ke Kuala Lumpur sudah berapa? Gas dan besi buruk berapa satu tan? Simen berapa satu kampit, Bawang Merah, Bawang Putih, tepung, minyak malah biji sawi, asam jawa pun naik. Apa ertinya kita perlu belajar syukur di atas kemakmuran negara yang telah kaya (kononnya) melalui ujian dalam segala segi?

Syukur apa? Lebih baik aku bersyukur kepada Tuhan kerana bagi bini aku melahirkan anak kembar tahun ini? Syukur apa kalau Maxis raih untung kasar RM2.79 bilion, tapi rakyat tetap bayar satu panggilan 15 sen atau SMS tak diketahui harga sebenar? Patut bersyukurkah kalau PLUS Expressways catat laba RM1.1 bilion, kalau apa yang disebut sebagai trafik, setiap tangan rakyat kena hulus di tingkap tol, lerbih dari 10 sen sekilometer?

Nak bersyukurkah kalaupun perolehan UEM World RM4.78 bilion sedangkan Pak Kasa penoreh getah, Kamal Gagap petani di utara tidak tahu apa pun tentang UEM? Kemudian apabila Bank Muamalat catat untung RM104.5 juta, Laba UMLand RM67.5 juta, laba bersih Boustead RM351 juta yang kononnya melonjak kepada RM4.1 bilion bagi tahun kewangan 2006, apakah sekelian nelayan yang dirempuh Tsunami, petani Kerpan yang benih lebih mahal dari padi, atau nelayan di Kuala Setiu pakat-pakat menadah tangan bersyukur kerana mereka dapat untung?

Apakah semua rakyat marhaen pakat-pakat melompat seronok bila pendapatan MRCB naik 60 peratus, OSK catat untung RM161.6 juta, KUB Malaysia dapat RM910.2 juta. Bagaimana mereka di Daerah Baram, Kapit, Bintulu dan daerah pendalaman yang sekolah pun masih berdinding pelupuh buluh?

Mesti bersyukurkah rakyat bila dengan mudah dan murah program ‘Kongres Jihad Ekonomi 2007’ dengan tema ‘Menerajui Penghijrahan Minda Bangsa Melayu’ anjuran Pemuda Umno, gagasan Badan Ekonomi Melayu dan Yadim, sedangkan kemungkinan di dalamnya ada pelesit dan hanturaya ekonomi Melayu?

TNB untung juta-juta, tapi tarif elektrik kampung kami naik? Syukur tahi minyak apa, kalau Telekom Malaysia, May Bank untung bilion-bilion, tapi kami tetap kena bayar faedah. Nak bersyukur apa, kalau cukai tanah bapa aku naik sekali ganda, cukai rumah aku naik, malah harga gunting bulu ketiak aku pun turut naik.Bersyukur apa, kalau air anugerah Allah pada mana-mana bumi, dengan alasan pengurusan terbaik, tarifnya lima kali ganda? Demikian Zubaidin, pemuda belajar agama melepaskan geramnya.

Tapi memanglah ada golongan yang bersyukur. Golongan itu tentulah yang amat faham dengan ekonomi negara yang berkembang melebihi jangka 5.8%. Siapa agaknya? Mereka bukan Pak kasa nelayan Sabak Bernam atau Wak Karim di Ulu Tembeling atau Mak Minah penjual goreng pisang.

Golongan yang bersyukur ini tentulah dari kalangan mereka yang mengurus bantuan mangsa banjir di Johor dengan angka juta-juta, bilion-bilion, dan merekalah yang memberitahu rakyat, pemimpin kita perihatin. Tapi cuba tanya mangsa banjir itu, bantuan dan prihatin pemimpin, kerajaan, apakah yang boleh dibuat dengan bantuan RM500, sedangkan semua perabot rumah hilang? Apakah yang dapat dilakukan dengan bantuan RM2,500 kalau rumahnya dihanyutkan air?

Apakah yang dapat dilakukan jika bantuan RM5,000 sedangkan kehidupannya sudah musnah?

Siapa pula yang kenyang ketika mencanang keperihatinan ini dengan mencatur peruntukan dari RM300 seorang menjadi RM200 seorang.Memang ramai yang kenyang apabila bencana alam melanda rakyat. Tapi siapa?

Misalnya, kerugian dikatakan sebanyak RM2.4 bilion, manakala RM1.5 bilion hanyalah kerugian akaun kerajaan. Maka diperuntukanlah kepada Jabatan kerjaraya sebanyak RM350 juta, Kementerian Kemajuan Luar Bandar RM137 juta dan Kementerian Pelajaran RM102 juta.

Tapi apa sebenarnya yang rugi itu dan dibantu itu? Berapa puluh ribu hektar kelapa sawit musnah? Berapa puluh ekar kebun getah musnah, berapa puluh ribu ternakan mati? Dan berapa lama kemusnahan itu boleh dipulihkan semula.

Tiba-tiba akhbar dan TV menunjuk, lima mangsa banjir yang rumah mereka musnah, terkerisin seronok menayangkan lima keping duit seratus yang diberi atas nama bantuan. Betapa bodohnya rakyat begitu. Kemusnahan harta bendanya, diminta tunjuk seronok bila mendapat lima keping wang seratus, seolah-olah lima ratus ringgit itu boleh menampung kemusnahan hidupnya.

Sangat anih apabila bantuan bencana dihulurkan kepada rakyat. Bayangkan Kelantan negeri yang dikatakan sengkek, tidak maju telah menghulur RM1 juta tetapi Terengganu negeri kaya minyak hanya RM100,000 ribu. Tak tergelakkah kita?

Penternak kecil dapat bantuan RM1,500 sehektar dan penternak sangkar dapat RM200, tapi dalam masa yang sama kita dapat beli pesawat VIP bernilai RM200 juta.

Sektor akuakultur dapat bantuan ihsan RM1,500 sehektar, penternak ayam dapat RM5 seekor dengan maksimum 100, tapi dalam masa yang sama kita mampu memercik bunga api sebanyak RM5 juta untuk merayakan TMM. Mak Tijah jual goreng pisang apa nak kata?

RM2,000 untuk penanam semula padi bagi sehektar sebanyak RM573, bantuan ihsan RM5,000 kepada keluarga yang kematian akibat banjir, tapi dalam masa yang sama RM30 juta mampu dihadiahkan sebuah kapal layar Cobra Sultan. Laaa, prihatin apa namanya?

Mereka ini tidak ada ‘Feel Good’ kalau masih mempertikai, demikian kata Menteri Kewangan Kedua lagi dalam wawancara beliau. Maidin Laksa Kelawai Pulau Pinang geleng kepala bila ada kawannya membentak kerana masih bengung dengan ‘Feel Good’.

Kata Maidin, macam mana nak ‘Feel Good’ kalau aku sendiri tak dapat apa-apa bila projek ‘RapidPenang’. Feel Good tahi minyak, kalau belum lagi RMK ke-9 dibentang, papan tanda ‘ Penang Monorel’ sudah dicacak. Feel Good apa namanya kalau belum dibentang Jambatan Kedua, tanah di Batu kawan sudah melambung naik. Kau fikir orang Melayu Pulau Pinang boleh himpit sikit-sikit? Jangan mimpilah!

Satu ketika dulu pemimpin Umno Pulau Pinang berhorah horeee, bertempik sampai nak runtuh pecah Pulau Jerjak pasal tuntut Ketua Menteri Melayu, pasal ekonomi Melayu. Sekarang apa jadi. Semua jubur mereka yang tempik itu sudah disumbat dengan ketul-ketul duit, senyaplah mereka. Habis, macam mana kami tak pertikai?

“Piiiraaaah! Sana boleh cakap!” kata Maidin Laksa sambil menojak tangannya ke langit.

Oleh yang demikian, tak payah cakap banyak atau berdegar-degar tentang kemewahan dan pendapatan kita. Tak perlu beritahu tentang RM300 bilion KWSP, permodalan itu permodalan ini, khazanah itu khazanah ini sedangkan kontraktor kelas F yang buat bumbung sekolah pun dah bertahun belum dapat duit. Kontrak memang banyak tapi pembayarannya macam lepat liat.

Tender sana, tendar sini memang banyak. Tapi rakyat mana yang dapat. Kalau kontraktor sekadar nyawa ikan, lebih baik jangan. Yang pasti sewaktu tunggu bayaran, kepala kontrak mati dulu.

Demikian dari satu tulisan dan satu wawancara dalam akhbar mingguan 25 Februari 2007 yang tidak menyentak apa pun dari kalangan rakyat marhaen. Memang hebat tentang pembangunan, nilai mata wang, bursa, khazanah, permodalan dan lain-lain lagi tetapi persoalannya apa yang rakyat dapat dari apa yang diberitahu itu. Ia bukan milik rakyat. Ia bukan untuk Wak Kasa, Mak Minah, Mutusami atau Ah Chong yang punya lima anak, yang setia menjadi buruh kasar.

Orang Melayu lebih-lebih lagi. Tulisan dan wawancara itu sesuai untuk dibentang kepada kroni, buaya-buaya, korporat yang tidak prihatin, pengisap darah rakyat dan lintah-lintah rakyat. Malah lebih sesuai kepada mereka yang berkuasa merampas hak-hak rakyat miskin, tidak peduli tentang penyakit kronik, kemiskinan di tepi hutan atau nelayan yang meredah laut.

Kenapa tidak memberitahu setahun lagi tol akan dihapuskan dan bukan lima tahun sekali harga tol perlu disemak dan bukan diberitahu, kita terpaksa tanggung subsidi minyak? Kenapa tidak diberitahu, negara kita banyak minyak dan jangan bimbang tentang kenaikan harga minyak mentah dunia, kemudian beritahu, esok kita akan turunkan harganya?

Kenapa tidak diberitahu, mana-mana syarikat yang menjadikan rakyat terpaksa menggunakannya, apabila untung berbilion-bilion, tidak bolehkah kerajaan menurunkan tarifnya. Kenapa tidak diberitahu, tugas pemerintah memelihara, menjaga, memajukan rakyat bukan menekan rakyat dengan pelbagai cukai dan bayaran.

Melihat tulisan dan wancara seperti ini dan setelah diteliti beberapa wawancara lagi sebelum ini ternyata ada sesuatu yang jarang disentuh, terutama pemimpin di atas, iaitu soal pembangunan insan dalam perojek dan kemajuan yang dicapai oleh negara. Tapi bukan pembangunan insan dari segi istilahnya, sebaliknya alaman dan rohnya. Sebagai contoh; Seorang menteri yang ditangannya tergenggam berjuta-juta untuk peruntukan kepada rakyat, mestilah ia bersama Tuhan dan ia harus ada di dalam hatinya maksud sebuah hadis; jika mempunyai wang, ke mana yang dibelanjakan.

Tak kiralah sama ada menteri Umno, MIC atau MCA. Bukankah kita percayakan Tuhan dan semua bertanggung jawab tentang amanah?

-Harakah 16-31 Mac 2007

0 comments: