Gapena Diingatkan Jangan Jadi Kuda Tunggangan UMNO

Posted by Tukya Labels:

BUKIT MERTAJAM, 29 April (Hrkh) - Novelis terkenal tanah air, Haji Azizi Haji Abdullah mengingatkan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) agar jangan jadi 'kuda tunggangan' Umno kononya untuk memaufakatkan orang melayu dalam satu saf bagi menyaingi kaum lain di Malaysia.

Katanya, kenapa isu ini tiba-tiba menjadi satu kewajaran setelah Umno tewas teruk dalam pilihan raya umum lepas.

Ia dilihat tidak lain semata-mata untuk menyelamatkan kedudukan Umno yang kini terumbang ambing setelah ditolak rakyat termasuk masyarakat Islam sendiri kerana tidak tahan dengan tekanan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Gapena tidak seharusnya menjadi mainan politik Umno untuk tujuan membaik pulih sokongan terhadap parti itu yang telah hilang sokongan rakyat. Tetapi, ia boleh mengerakan kemaufakatan Melayu tanpa melibatkan Umno sebagai tunjang atau peneraju utama," ujarnya ketika ucapan kritikan terhadap program Pra Kongres Permaufakatan Melayu Zon Utara yang diadakan di Hotel Summit, Bukit Mertajam pagi tadi.

Gapena katanya, boleh memainkan peranan lebih luas tanpa mengaitkan Umno kerana parti itu jelas merosakkan amanah orang Melayu sendiri apabila berkuasa dulunya.

Kini, bila keputusan pilihan raya tidak menyebelahi parti itu, seolah ada usaha digerakan oleh kepimpinan negara yang dulunya terlibat dengan rasuah, penyelewengan wang rakyat dan sebagainya untuk memastikan Umno dipulihkan kembali, katanya.

"Dalam erti kata lain, usaha yang dilakukan Gapena seolah-olah membantu Umno yang kini terpinggir ekoran keangkuhan kepimpinan mereka sendiri," terangnya.

Jika hendak merealisasikan juga Kongres Permaufakatan Melayu jangan sekali-kali libatkan kepimpinan Umno yang mempunyai latar belakang yang kotor sebaliknya pilih antara mereka yang bersikap jujur dan amanah dalam perjuangan, katanya lagi.

Seandainya, Gapena gagal untuk mendapatkan mereka yang tidak pentingkan diri sepanjang penglibatan dalam Umno lebih baik usah mencari beban untuk menguruskan permasalahan yang ditimbulkan oleh pemerintah sendiri, sambungnya.

"Kita jangan cari reba (masalah) dalam hal ini untuk bersama golongan yang nyata lupa diri bila berkuasa," ujar beliau lagi.

Sekarang ini sambung Azizi, Umno bagaikan cacing kepanasan bila sering menuding jari sesama sendiri dan menyalahkan berbagai pihak kerana tidak menerangkan dasar kerajaan secara menyeluruh sehingga ke akar umbi.

Umno di Pulau Pinang contohnya, selalu menang tetapi di manakah hasilnya, katanya.

Kemenangan itu katanya merugikan orang Melayu apabila ia tidak menyelamatkan kedudukan tanah Melayu apabila seluas hampir lima juta hektar pada tahun 1995 kini susut kepada satu juta lebih sahaja.

Di mana matlamat perjuangan Umno untuk membela orang Melayu yang semakin terhimpit di Malaysia, katanya.

"Sekarang ini sapa pun tak mahu angkat tahi sebaliknya dok tanya sapa yang berak atau anak sapa yang melepas di tengah jalan," katanya yang juga penerima Anugerah SEA Write Award.

Program Pra Kongres Permaufakatan Melayu yang diselenggarakan oleh Persatuan Penulis Negeri Pulau Pinang (PNP) itu turut memberi peluang berbagai pertubuhan, persatuan atau individu menyampaikan pandangan atau kritikan demi membaiki kedudukan Melayu yang semakin terhakis.

Antara pembentang kertas kerja yang dijemput khas ialah Barisan Badan Perpaduan Melayu, Ustaz Osman Bakar, Presiden TERAS, Haji Azmi Hamid dan Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG), Dato' Seri Haji Mohd Yusoff Latiff. - mns (Dipetik dari Harakaihdaily 29 April)
Dihantar oleh paspenang pada Selasa, April 29, 2008

Mengembalikan Ketuanan Melayu

Posted by Tukya Labels:

Mengembalikan Ketuanan Melayu
-azizi hj abdullah
di sampaikan di mini kongres anjuran 2pnp dan gapena pada 29 april 2008 di hotel submit dan di johor bharu pada 2-3 Mei 2008.

Bismillahirrahma nirrahim.

1. Saya yakin kongres hari ini fokusnya kepada hala tuju kepada ketuanan Melayu, hak Melayu, martabat Melayu dan mengembalikan Hak Melayu kononnya dikatakan sudah terhakis. Punca kesedaran ini ialah kerana Umno kalah dalam pilihanraya ke 12 baru-baru ini.

2. Gapena kononnya rasa terpanggil tetapi nyata mengambil peranan membawa reba dalam semak. Dianggap Umnolah yang kononnya berpengalaman menyatu padukan orang Melayu. Tetapi mengapa Gapena tidak melihat sebagai polong menghisap darah dan memamah orang Melayu? Apabila Gapena turut merasa gelisah sampaikan Ketua Satu buat kenyataan, Ketua Dua tulis kertas kerja, Ketua tiga komen dalam akhbar, seolah-olah Gapena itu waris pesaka Umno.

3. Kita kata dasar Umno itu betul sejak ia di tubuhkan. Tetapi Kongres/ Gapena telah keliru dalam banyak hal, terutama menganggap pemimpin Umno itu betul dengan bangsanya, sehingga maruah dan hak bangsa Melayu telah tercabar, termusnah, terkahis, Kongres/ Gapena masih menganggap Umno itu tetap sebagai pembela dan pemelihara. Lalu diadakan kongres bagaimana hendak menyatukan Melayu semula akibat kalah dalam pilihanraya.
Anih, Gapena dan penganjur kongres seperti bomoh yang tidak tahu punca penyakit.

4. Selepas merdeka bukankah Umno yang memerintah dan dianggap menjadi tonggak bangsa Melayu, kemudian apabila Umno terlungkup di anggap pula sebagai pertanda kehancuran kedaulatan Melayu. Siapa yang kata? Umno juga yang mendakwa. Maka ada baiknya kita bercakap tentang Umno dan Melayu selepas kemerdekaan sehingga 8 Mac yang lalu.

5. Umno kena ingat dan Gepana/ kongres ini juga kena faham, Perlembagaan Negara bukanlah Perlembagaan orang Melayu. Perlembagaan negara adalah perlembagaan Negara Malaysia untuk rakyat Malaysia dari pelbagai kaum, yang diiktiraf dan diterima sebagai rakyatnya.

Ada pun Melayu hanyalah merupakan satu daripada kaum-kaum yang ada, yang kerakyatannya sama dengan bangsa lain. Orang Melayu tidak boleh lagi halau orang India balik India. Tidak boleh lagi halau orang China balik tongsan. Hak mereka dengan orang Melayu di sini, sama. Siapa yang buat ini, haaa? Siapa?

6. Bagaimana pun ada beberapa hal tentang Melayu diberi keistimewaannya, termasuk agama Islam. Maka secara ringkasnya Melayu dinamakan sebagai Bumiputera, yang kebetulan ia muncul dalam beberapa bidang dan oleh kerana Melayu dikatakan penduduk asal, maka diberilah beberapa hak istimewa, iaitu istimewa orang Melayu. Hak Istimewa inilah Umno dok bangga tapi depa tak tahu menjaga.

7. Apakah orang Melayu berbangga dengan Bumiputera Melayu yang diberi hak istimewa? Saya sebagai bangsa Melayu sangat bangga. Pak Kasim dari Ulu Tembeling bangga. Mak Leha yang jual goreng pisang di Ulu Tiram bangga malah Wan Kadir di Puterajaya yang jadi tukang angkut sampah berbangga.

8. Tapi bagaimana dengan Umno? Tak semena-mena kerana ingin mengekalkan kuasa keUmnoannya (bukan Melayunya) mereka membuka pintu kepada bukan Melayu menjadi Bumiputera. Betulkah Umno? Mana jatidiri Melayunya yang kononnya ingin memelihara ketuanan?

9. Barangkali orang anggap ini politik dan perkauman. Pukimak! Bukankah dengan politik itu Umno dapat berkuasa? Bukankah menubuhkan Umno dengan keahlian Melayunya sahaja, sudah jadi perkauman?

9. Nah, apabila Umno menjadi parti tonggak pemerintah sejak 1957 hingga 8 Mac 2008, lihatlah apa yang Umno lakukan terhadap bangsanya. Saya bentangkan ini kerana menganggap Umno ada dalam parti pemerintah, komponen yang mempunyai kuku kuasa, berwibawa, mampu membawa bangsanya, memelihara ketuanannya, menaikkan maruah bangsanya melebihi bangsa lain.

10. Ini diperkuatkan lagi dengan jaminan perlembagaan tentang hak keistimewaan Melayu dan beberapa hak, akta, undang-undang bagi memelihara orang Melayu. Semuanya dalam genggaman, percaturan, kuasa Umno. Cuma mahu atau tidak saja wahai Umno!

11. Tapi malangnya pemimpin Umno selepas Tun Razak, mereka lupa yang mereka pemimpin Umno yang diberi amanah oleh orang Melayu. Mereka khianati amanah bangsanya. Kita harap Umno tak usah ungkit dan bermegah dengan perjuangan pemimpin Umno dulu. Hari ini, tepuk dada, siapa pemimpin selepas Tun Razak? Dato’ Onn? Mahathir? Tun Razak? Pak Lah? Dan siapa juak-juak di zaman tersebut?
Mereka adalah Pemimpin Melayu/ Umno. Mereka berkuasa macam superman sejak 1957:

Cuba tenguk ini:
Tahun 1959 Umno bertanding, menang 52 kerusi. Tahun 1964 bertanding 89, menang 59. Tahun 1969 bertanding 67, menang 51. Tahun 1974 bertanding 61, menang 61. tahun 1982, menang 82. Tahun 1986 sehingga 1990 pun menang. Tahun 1995 menang lagi sehingga 2008. Tapi malang 2008 Umno kalah teruk. Dan inilah yang Umno jadi cacing kena panas lalu bercakar sama sendiri. Sejak 1959 hingga 2004 hangpa buat apa kat orang Melayu? Pulau Pinang, berapa kali Umno menang, tak sekali pun jadi Ketua Menteri?

Sampai sebelas kali, terakhir sampai dapat kerusi 109 dari 198. Wauuuu, Di Pulau Pinang Umno lebih berkali-kali, tapi haram sekalipun tak jadi ketua Menteri. Ke mana Melayu dibawa oleh Umno?

Sekarang lihat lagi bagaimana Umno mertabatkan Melayu atau menyusutkan Melayu:

12. Dalam Perlembagaan diwujudkan prinsip kekecualian mengenai Pemberian Kesamarataan. Ia terkandung dalam (a) Perkara 8(5) : (b) Perkara 43 (7): (c) Fasal 1-Perkara 89 yang menyentuh Tanah Rizab Melayu.
Tapi apa sudah jadi? :

• 1 Januari tahun 1995, seluas 4 juta, 545 ribu,937.4 hektar Tanah Rizab Melayu,mengikut statistik Jabatan Tanah dan Galian. Sekarang hanya 1,juta, 606,006 hektar, bersamaan 3,966,835 ekar.

• Angka ini dalam tahun 1997. Bayangkan sejak tahun 1995 Tanah Rizab Melayu sudah merosot sebanyak 2,939,931.4 hektar.

• Ke mana pergi?
- Kita nak tanya Umno dan kita nak tanya penganjur Kongres ini yang beria-ria minta satukan semula Melayu melalui Umno.
- Jika tanah menjadi tunggak maruah Melayu, ke mana perginya Tanah Simpanan Melayu jika tahun 1947 seluas 2,432,790 kepada tahun 1970, 1,757,883 hektar. (Rujuk Melayu dan Tanah Ahmad Nazari Abdullah, muka 217) pada hal sejak 1959 hingga 2004 Umno perintah.

Maknaknya dalam jangka 23 tahun, orang Melayu kehilangan tanah sebanyak 674,906 hektar, atau 29,344 hektar setiap tahun.

Ni, kalau nak banding zaman Penjajah tahun 1920 hingga 1929, Umno lebih teruk makan hak bangsa Melayu. Tahun 1920 hingga 1929 tanah orang Melayu di negeri Melayu Bersekutu hanya hilang 20,735 hektar. Tapi zaman pemerintahan Umno, setahun saja hilang 29,344 hektar. Lihat kajian dalam buku Melayu dan Tanah, tulisan Ahmad Nazri Abdullah.

Apa jadahnya ini, haaa?
Siapa yang memerintah? Siapa yang berkuasa? Tiba-tiba Umno kalah sekali saja tahun ini, Umno jadi macam cacing kena panas. Baru nak cari Melayu, baru terasa nak pakat Melayu bersatu. Dulu Umnolah yang metekedangah hak Melayu. Umnolah yang pijak lanyak bangsa sampai lupa kuasa yang ada. Di Pulau Pinang, Umno lebih tua dari fery, banyak pula kerusi tapi tak pun mau berkuasa?

13. Perkara 90 yang menyentuh sekatan mengenai pemberi milikan tanah adat di Melaka dan Negeri Sembilan dan peruntukan khas Tanah Milik Melayu di Terengganu: (e) Perkara 153 yang memperkata rizab kouta untuk orang Melayu dengan kedudukan dalam khidmat awam, permit, lesen, biasiswa. Dan lain-lain lagi....apa dah jadi?
Kita ingin bertanya lagi:

14. Kedaulatan raja-raja adalah kedaulatan bangsa Melayu. Di mana kedaulatan raja-raja? DAP atau MIC atau MCAkah yang merobek kedaulatan itu?

15. Oleh kerana Melayu itu disinonimkan dengan Islam dan aqidah Melayu terletak pada Islam, bagaimana kedudukan Islam seperti Perkara 3 dalam Perlembagaan, sejak selepas merdeka hingga 7 Mac 2008? Adakah DAP, MIC, MCA yang menghinanya?

16. Siapa yang membanyakkan kewarganegaraan sampai menutup peluang orang Melayu? Siapa yang bagi menakutkan, bahawa 4 tahun lagi pendatang akan mencapai 5 juta di sini dan mungkin menjadi pengundi hantu?

Yang anihnya wahai Kongres/ Gapena, yang melenting tentang tercorotnya maruah Melayu, semua menteri dari Umno berbangsa Melayu. Perdana Menteri pun Umno dan Melayu. Kononnya yang memerintah, Umno. Mana dia?

17. Siapa dalam Majlis Tertinggi? Adakah hanya tiga orang Menteri Melayu diamanah mengubah dan menambah baik nasib orang Melayu? Hirisan apakah yang mereka lakukan sampai nasib bangsa mereka luka parah?

18. Siapa menteri dan siapa Perdana Menteri yang tidak peka dengan bahasa Melayu? Ke mana perginya Menteri Melayu dan ke mana Umno parti Melayu yang kononnya memperjuang bahasa ibunda? Ceh! Bahasa sendiri tak terjaga. Tiba-tiba apabila kalah baru nak bangkit nak bela Melayu. Siapa buat silap, tiba-tiba salahkan orang lain, ajak orang lain nak buat silap lagi? Apa, Melayu ini mahu jadi kuda tunggangan Umno selama-lama?

19. Badan kehakiman bagi rakyat ialah institusi keadilan. Siapa yang merobek-robek institusi itu? Samy Vellu? Kit Siang? Umno di mana?

Perkara di atas ialah perkara pokok, di mana kebergantungan orang Melayu sangat perlu, tetapi selama Umno menjadi parti tunggak memerintah, mereka telah mengabaikan kerana mereka mengejar kebendaan yang melampau, lalu lupa kepada fakir di tepi rumah.

Umno dan Gapena kena ingat, rakyat itu seperti ular sawa. Ia akan bangun dari lengkarnya jika ia lapar. Tetapi Umno tidak pernah sedar ini dan apabila kalah, mereka yang menjadi singa tua yang lapar.

Jika mahu ketuanan Melayu kembali kuat, maruah diperkasa, hak terjamin, bukan Umno saja yang bertanggung jawab, tapi pemimpin Melayu. Malangnya Umno yang jadi dalang. Gapena pun jadi kuda tunggangan lalu mengeluar kenyataan Umno saja yang layak menyatupadukan orang Melayu.
Cis! Ini bodek namanya!.

Itu tak kira lagi soal bahasa yang menunjukkan bangsa. Apa Umno buat untuk jiwa bangsanya? Rugi lima juta, sampai hari ini masih tergagap-gagap hendak beri keputusan. Yang menjadi mangsa, anak Pak Ngah Ulu Tembeling, anak Pak Kasa di Tanjung Tuan, anak Leha di Simpang Renggam. Tiba-tiba bila kalah, salahkan Melayu pula dan tuduh pula nak lenyap bangsa.

Heee, siapa nak lenyap siapa? Cuba Umno tak bongkak, tak sombong, tak lupa diri, ada jati diri Melayu, taklah jadi macam hari ini. Setiap hampir pilihanraya, kawan-kawan Melayu gosok jubur Umno, Umno sepak balik. Tapi orang lain tutuh jubur Umno, Umno syok sampai lupa maruah bangsa sendiri.

Apa jenis bangsa ni? Kalau mahu juga menyatupadukan Melayu,

Yang demikian, kalau benar-benar ada kesedaran menyatukan Melayu, Kongres ini tidak layak sama sekali menyeret Umno menjadi teraju utama. Umno hanya sesuai jadi budak pejabat, bawa fail kepada satu institusi lain yang berusaha menyatukan Melayu, atau Umno hanya menjadi spesis sejarah yang sudah lama merobek keMelayuannya.

Atau Kongres hari ini kena teliti, atau sepak ketepikan ahli Umno yang suka metekedaghah duit rakyat. Tangkap dan ikat di pokok ada kerengga pemimpin yang sudah hilang akar umbi Melayunya. Talkinkan pemimpin tua yang buat kacau yang kononnya dia paling bersih dalam dunia. Masukkan ke dalam guni golongan yang suka sangat mengeluar kenyataan; kami sokong 100% kepimpinan anu...anu... sebaik saja pemimpin baru naik. Jangan salahkan Paklah. Paklah hanya kesinambungan dari juak-juak lama yang menghakiskan Melayu. Dosa Paklah terlampau sedikit. Hanya empat tahun dari tahun 2004 hingga 8 Mac 2008 sahaja.

Wujudkan kepimpinan baru yang beramanah, bersih, berwibawa. Cari satu kaedah penyatuan ini bukan penyatuan perkauman kerana matematik perkauman, bangsa Melayu akan kalah lagi.

Dan bagi saya yang cukup penting; penyatuan Melayu mestilah lebih dahulu mencari pemimpin yang benar-benar jujur, amanah. Yang ada sekarang, satu pun tak terpakai.
Gapena, jika beria-ria sangat menjadi penyokong kuat Umno nak satukan Melayu, bawa Melayu dari Madagarkar, Seri Langka dan lain-lain dunia Melayu ke sini, bukan seperti Umno yang import pendatang asing bukan Melayu. Jangan pilih seorang pun dari kalangan Umno menjadi anggota sekritariat penyatuan Melayu kerana sejarah mereka cukup hitam lantaran merekalah ulu kapak yang menyumbang penebangan pokok kayu juga.

Kesimpulan:
1. Oleh kerana hari ini politik adalah power, maka wujudkan power Melayu yang berdasarkan politik yang murni demi memelihara hak Melayu, kerana mewujudkan satu parti Melayu dalam negara berbilang bangsa adalah mustahil untuk mendapat power melalui politik.

2. Lantik pemimpin-pemimpina yang berjiwa Melayu. Manakala pemimpin Umno hendaklah ditarbiah lebih dahulu supaya tidak dapat dibeli maruah mereka dengan rasuah dan kepentingan diri.

3. Perkuatkan tiga empat perkara yang menjadi tonggak ketuanan Melayu, seperti bahasa, agama, tanah, ekonomi, kembalikan kuasa kesultanan, dan berpaksikan Islam.

Wallahu aklam.

Kongres Satukan Melayu: GAPENA BERLAGAK JUARA UMNO

Posted by Tukya Labels:

- Putra Gapena

Mingguan Malaysia keluaran Ahad, 30 Mac 2008 yang memuatkan berita satu Kongres anjuran Majlis Muafakat Melayu yang diterajui oleh Gabungan Penulis Nasional (GAPENA) akan diadakan di Johor Bahru pada Mei depan. Lantaran itu saya menerima dua kali SMS berbunyi:

“Saudara, ke mana nak dibawa orng-orang Melayu jika pemimpin organisasi seperti Gapena yang tiba-tiba terpanggil untuk berkongres setelah BN/Umno ditolak? Selama ini mereka jadi pengampu dan pak angguk yang setia. Riaksi saya terhadap berita dalam MM hari ini. Pemimpinkah mereka ini atau apa? Luar biasanya manusia. Drpd: XXXXXXXXXX.”

Saya menjawab cepat melalui SMS juga berbunyi: “Kongres satukan Melayu tak lain bermaksud meminta perkuatkan Umno. Ini kepala otak Zainol Kling-Ismail Hussain. Mereka anggap Umnolah segala-galanya.”

Saya SMS dengan kata-kata “bahawa Umnolah segala-galanya’ kerana berita hendak mengadakan ‘Kongres Satukan Melayu” itu menyebut yang Johor adalah negeri yang banyak sejarah berkaitan perjuangan Melayu di negara ini termasuklah penubuhan Umno dan Dewan Bahasa.

Ertinya kalau tak sebab Umno kalah dalam pelihan raya ke 12 yang lalu, tak mungkin akan wujud satu kongres satukan Melayu, walaupun sudah berlaku maruah orang Melayu dijual dan digadai (dalam ertikata perpaduan bangsa, bahasa, hak, martabat, maruah, patriotik dll) dan satu gambaran lain, Gapena sudah jadi macam cacing di tengah panas apabila melihat Umno kecundang ketika orang Melayu pilih politik lain.

Yang sebenarnya Gapena tidak buat kajian. Selama ini (sebelum 8 Mac) Umno hidup dengan talihayat sokongan orang bukan Melayu. Dan apabila talihayat mereka berpaling tadah, maka itulah jadinya: kalah! Lalu mereka berkelahi sama sendiri, menyalahkan orang lain.

Jika ini diangkat menjadi satu pemikiran Gapena, maka pemikiran ini sangat mirip dengan pemikiran Datuk Zainal Kling yang sangat kuat tali pegangnya kepada Umno dan keUmnoannya itu seolah-olah tanpa Umno orang Melayu sudah lama hilang. Dalam hujah pemikiran itu dan cadangan mahu mewujudkan kongres tersebut juga seolah-olah hendak mengatakan Umno sajalah sebuah parti yang selama ini sangat telus, baik hati, jujur dan memelihara kepentingan bangsa Melayu dari A sampai Z. Maka kerana itu, orang Melayu perlu dipersalahkan dan mencari jalan atau kaedah menyatupadukan semula. Manakala Umno sekali-kali tidak bersalah. Ini juga diakui oleh Datuk Aziz Tapa, veteran Umno yang dulu, kini dan selamanya.

Begitu kalau dapat dibaca dalam kepala Datuk Zainal Kling dan tentunya juga dalam kepala Ketua Satunya dan AJKnya.

Maka keputusan ini akan diseret pula berpuluh-puluh NOG, dan sudah angguk-angguk pula oleh beberapa AJK Gapena yang tersangat kuat keUmnoan mereka, yang juga menganggap Gapena itu satu pasak yang kuat untuk memperkasakan Umno dengan Melayunya.

Kita tersangat hairan mengapa Gapena, satu-satunya badan yang perjuangannya berteraskan budaya bangsa mahu melibatkan diri dalam politik kepartian? Mengapa politik kepartian yang bukan Umno tidak dipedulikan oleh Gapena?

Beberapa keluaran Siasah yang lalu Azizi Hj Abdullah ada menegur bagaimana boleh jadi Khairy Jamaludin berada di muka depan lidah rasmi Gapena, iaitu Warta Gapena dan sekaligus mengangkat Khairy sebagai pejuang bahasa?

Kita sama sekali tidak menentang pencarian kaedah atau usaha hendak menyatupadukan orang Melayu, malah ia menjadi kewajipan. Tetapi menghala untuk memperbetulkan Umno sahaja, ia adalah satu langkah yang diketawakan oleh orang Melayu sendiri. Memang benar bangsa Melayu wujud dan ia adalah ketuanan, tetapi untuk mengangkat Umno semula untuk ketuanan ini adalah satu langkah sia-sia kerana Umno sudah lama menggadai ketuanan dan hak orang Melayu kerana mereka lebih berkepentingan diri.

Ismail Hussain berkata, kongres di Johor Bahru itu akan membincangkan empat permasalahan iaitu Kedaulatan Politik Melayu, Kedaulatan Perlembagaan Malaysia, Kedaulatan Ekonomi Melayu serta Kedaulatan Agama, Budaya dan Pendidikan Melayu. Maka ini tentulah diangguk-angguk oleh AJK kerabat Gapena yang sudah lama ‘berkarat’ seperti di Perak , di Kedah, Melaka dan di Johor sendiri.

Apa yang hendak dibincangkan kalau kedaulatan Poltik Melayu sudah dicarik oleh Umno sejak era Mahathir lagi. Apa yang hendak dibincangkan Kedaulatan Perlembagaan kalau kedaulatan itu dicarik-carik oleh Umno dan begitu juga Kedaulatan Agama yang dimusnahkan oleh Umno. Dan yang lebih menyedihkan soal-soal budaya, bahasa. Sehingga sekarang Umno tidak berani bertegas dan bertanggung jawab.

Tiba-tiba Gapena mahu menjadi juara hendak menghimpunkan seluruh NGO, minta mencari jalan untuk berbincang soal ini. Dan tentunya Datuk Zainal Kling yang akan mengepalainya. Sebenarnya yang penting dan ianya boleh dilihat bukan soal kedaulatan politik Melayu, tetapi gaya dan karenah orang Melayu Umno berpolitik. Bukan soal kedaulatan perlembagaan yang tidak kemas, tetapi orang Umno yang tidak mendaulatkannya. Bukan soal kedaulatan agama tetapi Umno yang tidak berminat pun tentang agama.

Tersangat muak usaha ini apabila kita meneliti soal-soal kedaulatan yang hendak dibincangkan itu. Kalau pun dibicangkan Umno tetap degil dan loyar buruk. Persoalan sekarang bukan orang Melayu yang berpecah tetapi orang Melayu Umno yang sakit. Maka Gapena sepatutnya bukan mencari formula tetapi mencari bomoh atau dukun mengubati sakit itu supaya Umno tidak terus meracau.

Kita ingin membawa contoh. Dalam MM keluaran yang sama misalnya YB Datuk Tajudin Abdul Rahman (dulu penulis juga) dan Adun Pangkor Datuk Dr. Zamry Abdul Kadir menyalahkan kerajaan Perak kerana barisan exco tidak seimbang. Teguran itu nampaknya seperti Umno yang mereka sertai adalah sebuah parti yang seimbang dan menjaga kepentingan orang Melayu. Tetapi dua orang ini lupa bagaimana kedudukan Umno di Pulau Pinang sejak Umno/Perikatan/BN memerintah. Umno Pulau Pinang berkali-kali mempunyai Adun dan exco yang lebih, tapi sayang tak sekali pun orang Melayu jadi Ketua Menteri.


Barangkali kongres akan menjadi lebih murni, berwibawa dan terhormat sekiranya Gapena tidak ada niat mengambil kesempatan, baik dari segi kewangan atau sokongan moral, sekiranya dibuat tanpa mengaitkan Umno berhasrat mengembalikan kekuatan orang Melayu dalam Umno. Jika dilakukan juga ia akan sama jadinya seperti Datuk Hishamuddin mencabut keris dalam perhimpunan Pemuda Umno tidak lama dulu.

Dalam apa pun kongres, ia melibatkan cerdik pandai, ilmuan. Apakan pandangan dari kalangan mereka ini akan dihormati. Dari pengalaman kongres yang lalu, terutama soal Bahasa Melayu, pandangan cerdik pandai ini tidak dihargai malah beberapa saranan dan bantahan awal mereka disekat.

Jika berlangsung juga kongres ini, masyarakat akan melihat sejauh manakah Gapena hendak jadi pengampu Umno sedangkan dalam Gapena sendiri ada yang sudah ‘ tak sebulu’ kecuali ada dua tiga orang yang terus berpegang dengan ‘dulu,kini dan selamanya.’ Berkongres tentang mencari jalan menyatupadukan orang Melayu melalui Umno samalah dengan berkongres mengajak orang Melayu tidak cerdik dan taat buta tuli terhadap polisi Umno yang tidak membantu bangsa Melayu, sebaliknya mengenyang tembolok pengamal Umno.