Catatan 18 Mac 2008

Posted by Tukya

Fuh! Kadang-kadang hidup ini terasa macam mimpi. Cuba bayangkan kalau orang kampong dapat naik kapal terbang, kemudian sampai di KLIA ada orang tunggu. Fuh!

‘Saya Hasan,dari Institius Terjemahan Negara,” perkenal anak muda berkot, berseluar hitam, bertali leher kepada saya sebaik saja saya sampai di ruang ketibaan KLIA. Anak muda yang peramah dan kacak ini terus mengambil beg saya hendak dibawanya. Saya terus di bawa ke Mercedis mata belalang yang sedia menunggu.

Bukan tidak pernah orang menjemput di lapangan terbang, tapi kali ini lain sekali. Bukan saja Hasan Bolkiah (Bukan Sultan Brunei) tetapi semua kakitangan Insitiut Terjemahan Negara yang bertanggung jawab mengadakan pertemuan dengan Sasterawan Negara dan Pemenang SEA Write Awards pada 18 Mei 2008 ini baik-baik dan ramah mersa belaka.

Sebelum datang, seorang kakitangan bernama Hidayat sangat mesra menghubungi saya. Shida, yang kelola itu ini dan lain-lain lagi, termasuk Pengarah Urusannya Mohd Khir Ngadiron juga sangat ramah. Di loby hotel beliau bersembang panjang.

Hasan Bolkiah menjadikan saya nak bergerak jadi kekuk. Dia mesti menemani saya kalau hendak ke mana. Saya jadi macam tetamu negara luar. Rimas saya!

Pertemuan ITNM dengan para Sasterawan Negara dan Pemenang SEA Write Awards di bilik Mawar PWTC pada 18 Mac 2008 jam 10 pagi sangat bermakna. Kehadiran 4 Sasterawan Negara dan 13 Pemenang SEA Write Awards rupa-rupanya ada agenda yang besar. ITNM sedang berusaha menterjemahkan karya penulis-penulis ini ke bahasa dunia dan segera meminta persetujuan penulis di samping melunasi soal-soal hakcipta.


Pertemuan Sasterawan Negara dan Pemenang SEA Wirte Awards dengan Pengerusi dan Pengarah urusan Institiut Terjemahan Negara



Memang bagus dan itulah yang dimimpikan semua Sasterawan Negara dan SEA Write Awards.

“Dulu kita pindahkan bahasa lain ke bahasa Melayu, kini kita akan pindahkan pula bahasa Melayu ke bahasa dunia,” kata Dr. Wan Hashim Wan Teh, yang tak putus-putus menyindir saya sebagai pembangkang yang cukup seronok. Dr. Wan Hashim ialah Pengerusi ITNM.


Kanan: Pengerusi ITNM Dr.Wan Hashim, Pengarah urusan Mohd. Khir Ngadiron



Dan kemudiannya kami yang hadir merasa lega apabila Mohd. Khir Ngadiron selaku Pengarah Urusan ITNM memberitahu bahawa ITNM sedang mengusaha satu projek terjemahan karya sastera ke bahasa Inggeris dan bahasa asing lain dengan sokongan Kementerian Pelajaran dalam tempoh Rancangan Malaysia ke 9.

Menurut Mohd. Khir Ngadiron lagi, ITNM mahu memertabatkan sastera ke persada dunia. Peringkat awal ITNM sedang menterjemah 40 jodol buku dan diikuti tahun 2009 dan 2010 menjadikan 100 jodol semuanya.

Saya menjadi bangga kerana novel SANGEETHA yang diangkat sebagai karya terbaik peringkat Asia Tenggara (MASTERA) 2007 dan Harga Sebuah Maruah juga sedang diusaha terjemahannya. Selain itu saya mencadangkan lima lagi novel agar diterjemah, termasuk Seorang Tua di Kaki Gunung yang sudah pun diterjemah ke bahasa Jepun tahun 2006.


Penulis bersama dengan Amil Jaya dari Sabah.



Institius Terjemahan Negara (ITNM) sebuah syarikat (GLC) yang ditubuhkan tahun 1993. Ia sebuah organisasi, selain dari Dewan Bahasa bagi membolehkan tumpuan pengurusan terjemahan.

Misinya jelas: Untuk menghapuskan halangan bahasa dan merangsangkan pemindahan ilmu, menjana masyarakat progresif, dinamik dan berbudaya memalui terjemahan.

Memertabatkan bahasa Melayu sebagai medium pemikiran dalam semua bidang memalui terjemahan.

Amat tidak rugi kerana hari itu sempat bertemu dan berbual dengan SN Arena Wati, SN S.Othman Kelantan, SN A.Samad Said, SN Dr.Mohamad Hj Salleh dan Pemenang SEA Write Award, kecuali mereka yang sangat uzur.

ITNM rupa-rupanya sangat tersembunyi dari pengetahuan umum. Bagaimana pun mereka menampakan wibawa dan megah kerana sudah membuktikan puluhan terjemahan termasuk Siri Pembangunan Profesion Perguruan, Siri Kepemimpinan dan Pengurusan Sekolah, Buku Umum, Buku Pendidikan Tinggi dan Siri Sastera Kanak-kanak & Remaja Bahasa Arab.

Terima kasih semua kakitangan ITNM. Sayang makan pagi hari itu tidak ada pulut dengan ikan kering campur kelapa parut. Kalau tidak, sedapppp.

Komen Dr. Mahathir Keluar Dari Kepompong Umno

Posted by Tukya Labels:


Bagi saya, secalit tahi pun tak tersentot apabila mendengar Dr. Mahathir keluar dari Umno. Bagi saya Dr. Mahathir, sama ada dalam Umno, tak ada dalam kepompong Umno, sama saja.


Bagi saya kenyanyukan Dr. Mahathir meracau dan berlinglong-linglong ke sana sini mengutuk dan merapu merawit tetang Datuk Seri Abdullah sebagai Perdana Menteri selepasnya, sekupang pun tak hendak beli.

Bagi saya, desakan Dr. Mahathir supaya Datuk Sri Abdullah Ahmad Badawi meletak jawatan dari menjawat Perdana Menteri sedikit pun tidak ada makna.

Semuanya saya masih ingat dengan segala kefanatikan saya terhadap ucapan Presiden Pas Allahyarham Dato Fadhil Mohd Nor, bahawa Dr. Mahathir sedang menuju ke satu alam yang tidak pernah ada dalam sains politiknya, bahawa dia akan tersorong kepada satu dunia yang melucukan kepada anak cucu yang suka menderhaka kepada datuk nenek mereka yang tua.

Maaf cakap, hanya episod melonyang tahi saja yang belum berlaku. Berdosakah kita jika menunggu hendak melihat itu? Jika berdosa, jangan tunggu hendak melihat. Tunggu saja rakaman video kalau ada nanti.

Maka oleh kerana tak terkejut, tak hairan, tiba-tiba menjadi hairan dan terkejut pulalah saya apabila Presiden Pas turut mengambil gaduh dan sebuk dengan ‘murtad politik parti’ Dr. Mahathir ini? Lebih naik hairan pula apabila Mursyid Am Pas komen yang Pas sedia terima ‘seketul tahi’ ini jika teringin nak masuk Pas.

Ya Tuhan, apa sudah jadi ni? Apakah Mursyid Am anggap Pas hari ini terdiri dari kawasan-kawasan tong sampah yang mengkhianati alam sekitar? Takkanlah begitu murah maruah dan harga diri Pas? Dan yang paling kita hendak tanya: Apa kelebihannya Dr. Mahathir dalam abad mundur mandir, belinglong-linglongnya kini? Apa pentingnya dia ketika dia berkenala di padang pasir yang tiada dihuni orang, kecuali Datuk Sanusi Joned, Datuk Aziz Tapa dan teman setianya Toh Puan Siti Hasmah Ali.

Sebenarnya segala-gala tidak penting. Yang penting kalau-kalau beliau mengumumkan hendak mengambil alih menjadi Perdana Menteri ke enam kembali. Ini baru penting. Ini sama seperti kata Subky Latif , Lebai Taha dari Kampung Tebengau gigit anjing, bukan anjing gigit kaki Minah yang baru balik dari kerja shif malam.

Orang Pas jangan seronok bertepuk tangan. Orang seperti Dr. Mahathir boleh lakukan apa saja asalkan dia merasa puas walaupun benda yang hendak dilakukan itu tidak sepadan dengan usianya. Apa, orang Pas fikir, termasuk Tuan Guru Musyid Am Dr. Mahathir keluar Umno, nak masuk Pas?

Jangan! Sekali-kali jangan berfikir begitu. Atas nama Dr. Mahathir, kalau dipaksa sampai lembik, di bawa dengan kerusi roda ke hospital, balik semula ke rumah, beliau tak akan masuk Pas malah jeling pun tidak.

Dr Mahathir hanya mau tonyoh Pak Lah saja. Tersungkur Pak Lah, betapapun bercalar dadanya, akan legalah Dr. Mahathir. Ini bukan pasal Umno tak betul. Ini pasal Pak lah saja tak betul bagi pendapatnya.

Ertinya kalau esok Pak Lah isytihar dengan lenangan air mata letak jawatan Perdana Menteri, Dr. Mahathir akan telan beberapa biji pil cergas dan lompatlah balik ke kepompong Umno.

Ketika itu kemungkinan Sanusi Joned dan Datuk Aziz Tapa menjadi juara mengah dan semput, mengangkat tongkat melaung sekuat hati bahawa Mahathir bin Mohamad tidak pernah benci kepada Umno, kerana itu ia perlu dilantik semula membetulkan herot pedot Umno dan sekaligus menjadi Perdana Menteri dalam masa ‘darurat’ bagi membaik pulih luka calar Umno.

Menulis artikel ini saya sedaya mungkin tidak mahu membaca sebarang komen dari mana-mana pihak, kecuali komen Presiden Pas dan Mursyid Am. Saya sangat berharap, Mursyid Am janganlah sekali-kali mengambil kesempatan berumrah pada minggu ini berdoa di hadapan Kaabah minta Dr. Mahathir masuk Pas. Janganlah Tuan Guru berbuat begitu. Huduh sangat doa itu, bagi saya.

“Habis, kemana Dr. Mahathir nak pergi?” Saudara Kasim Mohamad, kawan saya yang ada di Pekan Pahang tanya melalui SMS apabila saya berkata seperti tulisan di awal ini.

Dalam hal ini Dr. Mahathir tidak bodoh, kata saya. Dan saya cuba meyakinkan cerdik pelanduk Dr. Mahathir selepas meletak jawatan menjadi Perdana Menteri sejak 31 Oktober 2003. Dia kacau kepada orang yang dia tidak berkenan seperti mengacau air telaga menjadi keruh dan sampai ikan-ikan di dalamnya naik pening. Soal jambatan bengkok sampailah kepada yang lain, semuanya menjadikan pemimpin Umno berbelah bagi sama ada hendak menyokongnya atau membenci Pak Lah.

Semua jawapan dan tindakannya seperti hendak membersih dan menempik di sana sini memberitahu dia adalah Perdana Menteri yang bersih, yang betul dan terhebat, walaupun jawapannya dalam mahkamah ‘ tidak tahu dan tidak ingat’ menggambarkan dia seorang yang sangat berpura-pura.

Melihat suasana politik dan arus tsunami yang melanda politik Umno, Dr. Mahathir sangat cepat beralih. Dia tidak menjadi wira membetul parti seumur hidupnya, sebaliknya menjadi tukang pukul, tukang cerca, tukang kondem, tukang gertak dan tukang peleceh. Lucunya, beliau sokong perjuangan anaknya Mukhriz tetapi tidak sokong Umno walau pun anak beliau Umno.

Apa makna ini?

Yang dilihat ialah gelombang PKR dari olak alik Datuk Sri Anwar Ibrahim. Seperti orang lain, tiada siapa pun menduga bahawa BA dapat mengubah haluan politik sehingga Umno jadi terkejut beruk. Maka Dr. Mahathir sangat cepat membaca firasat politik.

Kemenangan BA, termasuk PKR tidak boleh dipandang ringan. Ura-ura lompatan wakil BN seramai 22 lagi tidak boleh dipandang ringan. Tapi Dr. Mahathir orang yang bijak menyembunyikan makna dan menutup cuak dan gelabah. Perjalanan fikirnya, firasat dan cuaknya terhadap BA bertali arus.

Kenapa?

Dilihatnya peristiwa video Linggam, namanya disebut-sebut. Hal-hal kehakiman, namanya terpalit. Hal-hal rasuah menteri itu dan ini, juga terasa hendak demam. Lalu dia mensipongangkan suara; saya tidak takut. Buktikan kesalahan saya!

Memang perkataan ‘bukti’ itulah yang dilaungnya sejak dulu. Dan jawapan ini semuanya berpunca dari kerobek kerosek Datuk Sri Anuar Ibrahim.

Maka apakah jalan dan cara hendak melegakan demam hantu ini?

Kepada siapa yang hendak dibelai lagi supaya hal-hal seperti itu ‘tak payahlah kot’ dipanjang-panjang. Hendak mendekati Peguam Negara, hakim dan pembela paling top di Malaysia, bukan masanya lagi. Maka...

Yang demikian, tiadalah jalan lain hendak memperlahankan, melainkan mencari jalan bagaimana mahu tarik dan sentot, kemudian belai dan pujuk lagi supaya janganlah ditimbul-timbul lagi...ala......

“Saya insytihar keluar dari Umno berkuat kuasa serta merta!” demikian pengumuman yang kononnya mengejutkan, sampailah sekelian ahli, pemimpin yang fanatik, terkencing terberak dalam seluar.

(kredit kickdefella)



Maka bermadahlah:
Doh besan mari kita berbesan-besan
Elok mejelis rupanya insan
Sifat dipandang bagaikan pengsan.

Kelemunting di Tanjung Pauh
Kapal sarat dimuat jerami
Ada untung digantung sauh
Kalau tidak laratlah kami

Cencang ke kiri, ia lompat ke kanan
Cencang ke kanan, ia lompat ke kiri
Cencang ke atas, ia susup ke bawah
Cencang ke bawah, ia melompat ke atas.

Penatlah sudah sahaya bergalah
Orang bergalah ke Sungai Tinggi
Penatlah sudah sahaya beralah
Membalas pula belum lagi.

(Hikayat Awang Sulung Merah Muda)

Dalam buku Pemimpin Dalam Ungkapan Melayu, dinamakan jenis pemimpin . Begini pantunnya;

Menjadi pemimpin ianya angkuh
Hati busuk akal tak senonoh
Negeri rosak rakyat bergaduh

Menjadi pemimpin suka menghasung
Perangai buruk lidah pun lancung

Orang merugi ia beruntung
Fitnah tumbuh rakyat terpasung
Rosaklah negeri binasalah kampung

Dijadikan pemimpin rakyat tergantung
Dijadikan tua akalnya pesong
Dijadikan induk mulutnya pekong
Dijadikan tiang tegaknya condong
Dijadikan tudung merosak kampung
Memimpin umat hidup menanggung.


Natijah dari apa yang berlaku ini, dalam firasat saya, Tun Dr. Mahathir akan meminta dalam diam, bersosek-soksek sebelah malam, kenyit mata jangan pejam, minta borang, cepat tanda tangan, sebagai ahli PARTI KEADILAN RAKYAT. Sah!

Dan Datuk Sri Anuar Ibrahim, walaupun masih banyak pilihan lain, tapi ini juga satu pilihan yang cerah masa depan. O.K., setidak-tidaknya sebahagian kedawang dan jongos Umno di ranting dan bahagian, yang sudah lama munggu projek, akan mengeluar kenyataan:

Kami berdiri di belakang Datuk Sri dan Tun!

Maka apakah segala saman dan tuntutan, rasuah dan salah laku, mahkamah dan kezaliman akan terlerai kemudiannya? Setidak-tidaknya Tun Dr. Mahathir berkata kepada teman setianya; Inilah satu-satunya cara hendak menyekat gelombang tindakan kepada aku dan engkau Anwar, sudilah maafkan aku. Bukankah kita dalam satu perahu. Ayuh, mari kita sama-sama kayuh.

Wallahu aklam.