Israk Mijraj Dan Dr. Harun Din

Posted by Tukya


Semalam, 30 Julai 2008 jam 8 malam ceramah Israk Mikraj di Masjid Jamiul Makmur, Kulim.

Ucap Utama Dr. Harun Din.

Saya secara mendadak diminta menjadi pengerusi majlis kerana sebelum itu, Dr. Harun Din bertanya tentang saya ketika dia menginap di Hotel Seri Malaysia.

Saya lontarkan isu Israk Mijraj yang ditulis oleh seorang penulis yang saya seret ke blog saya di mana dikatakan Israj Mikraj Satu Pembohongan.

Alangkah hebatnya Dr. Harun Din mengupas tentang Israk Mikraj. Beliau membandingkan seekur anak ikan karin yang ditangkap di dalam parit belakang rumah, di masukkan ke dalam botol dan dibawa mengelilingi negara, termasuk Putra Jaya, kemudian anak ikan karin itu dilepas kembali ke dalam parit asalnya.

Pasti kawan-kawan ikan itu tidak percaya segala apa yang dicerita oleh ikan itu.

Kesimpulannya kata Dr. Harun Din, ialah soal iman, kepercayaan. Jika seseorang itu mempunyai pasak iman, Israk Mijraj adalah keagungan Allah. Ini bukan soal logik.

Solat Isya yang ditimbulkan oleh penulis blog dalam Umno Reform, yang saya seret ke dalam blog itu rupa-rupa-rupanya hujah jahat dan dangkal. Mana ada solat Isya ketika Nabi solat sebelum Israk. Yang ada Nabi solat mutlak, bukan solat lima waktu.

Sewaktu makan, saya lontarkan lagi keharubiruan masyarakat sekarang tentang Muzakarah, Muqabalah.

Dr. Harun Din tersenyum.

Katanya, sebagai orang Islam, sumber rujukan kita di mana?

Lalu beliau meminta saya buka Qur`an surah Al-Anfal ayat sekitar 60 hingga 65. Di situ ada jawapan jika kita meraguinya.

Salam Dr. Harun. Makan ikan masak 3 rasa memang sedap di Restoran Pokok Manggis.

PEMIMPIN PAS PERLU BELAJAR HADAPI MEDIA

Posted by Tukya Labels:



Seorang kawan saya, pemberita akhbar The Star baru-baru ini memberitahu, dia mungkin dipanggil untuk memberi penerangan kepada Pemimpin dan AJK Pusat Pas bagaimana sepatutnya menghadapi media.

Inisiatif itu dilakukan oleh salah seorang Dewan Pemuda Pas.

Saya sangat mengalu-alukan kerana dalam banyak perkara kita melihat Pas masih tidak mampu memenuhi cara dan etika dengan media, terutama apabila membuat sidang akhbar. Sedangkan orang-orang media kebanyakannya ingin mencari peluang kelemahan dan ‘kesilapan’ melalui ‘sidang press’ itu.

Saya mendapat tahu, ada sidang media, orang Pas mengeluar kenyataan dalam bahasa Arab atau banyak menggunakan istilah Arab. Ada sidang media, pihak Pas tidak menyediakan kertas ‘ sidang akhbar’, yang menyebabkan pemberita terlalah-lalah mencatat. Sedangkan mana-mana press, kertas sidang akhbar itulah yang penting bari pemberita.

Contoh paling terdekat, Buletin Utama TV3 25 Julai 2008, Presiden Pas mengatakan, bukan ‘Muzakarah’ tapi ‘Muqabalah.’ Apabila pemberita bertanya apa benda muqabalah itu, Presiden Pas menjawab, “Itu kena tengok kamuslah.”

Menjelang kempen Pilihanraya ke 12 atau ke 11 yang lalu, saya sering dijemput berceramah. Saya sering terlalah-lalah mencari nama-nama yang harus disebut ketika hendak berucap, kerana itu adalah protokol dalam ucapan. Tak seorang pun jawatankuasa majlis memberitahu siapa yang akan datang dan siapa yang turut ada di dalam majlis itu untuk disebut dari peringkat atas hingga ke jawatan bawah.

Tetapi lain pula apabila saya hendak berceramah di majlis Pas, yang dikelola oleh bekas pemimpin Umno. Sebelum naik ke pentas, mereka akan memberi senarai nama dengan jawatannya sekali yang patut disebut.

Tidak bersedia dan tidak mengatur acara dengan baik menyebabkan majlis atau persidangan akhbar menjadi keliru dan hasilnya apa yang tersiar juga menjadi keliru, mudah diputar belit.

Apabila soal muzakarah antara Pas dengan Umno menjadi hebuh sekarang, kita telah melihat bagaimana dari segi moral dan imejnya, Umno telah berjaya. Apa yang berlaku di dalam Pas, antara pemimpin dengan pemimpin, terutama Mursyid Am dengan Presiden, antara Ketua Pemuda dengan ahli-ahli bawahan sudah bercelaru. Saya tidak mengatakan Umno yang betul tetapi sangat jelas Pas sudah diperkotak katek dan dipermain hanya kerana kelemahan Pas menghadapi media.

Memang semua orang tahu, termasuk pemimpin Pas yang Umno dalam keadaan tersepit, menggelupur mencari ruang hendak menyelamatkan diri, tetapi kerana pemimpin Pas tidak pandai menghadapi media, maka gambaran yang dilihat oleh orang awam, ahli bawahan ialah, Pas bersedia dan Pas sangat perlu kepada penyatuan melalui Umno.

Di kalangan pemimpin Pas kita melihat, mereka sangat ghairah dan beria-ria sangat hendak ditemuramah. Mereka menjadikan pintu terbuka kepada pemberita bersoal jawab, malah ketika dalam keadaan kelamkabut keluar dari persidangan atau mana-mana mesyuarat, mereka sanggup berhenti dua minit untuk menjawab soalan pemberita. Kadang-kadang yang sepatutnya atas nama peribadi menjadi suara jawatan tertinggi, manakala yang sepatutnya suara jawatan tertinggi, menjadi suara peribadi.

Soal muzakarah, walaupun dikatakan sudah ditutup pintunya, kita yakin yang menutup pintunya ialah hendak bermuzakarah. Tetapi kita akan lihat bagaimana media menggunakan kebijaksanaan mereka di atas kelemahan pemimpin Pas, maka muzakarah yang ditukar kepada muqabalah ini akan berterusan, kerana ini agenda Umno.

Adakah pemimpin Pas akan mejawab,’ No komen?’ atau ia akan berhenti sekejap untuk menjawab soalan pemberita atau kononnya ingin memberi penjelasan?

Saya lihat isu muzakarah ini pada satu peringkat Umno sudah berjaya memporakperandakan pemikiran dan pendirian ahli Pas. Jika pemimpin Pas tidak berhati-hati, tidak membuang tabiat suka sangat diwawancara, ditemuramah dan menjawab soalan press, maka Pas akan mengulangi kesilapannya yang lebih buruk.

Mursyid Am Pas seharusnya jangan terlalu banyak bercakap dan memberi pandangan, kecuali dalam kuliah-kuliah. Saya sangat bimbang pandangan dan teguran yang remeh temeh, ia akan menjadi fatwa mufti yang tidak dipeduli oleh golongan artis. Presiden Pas juga harus mendapat persetujuan dari barisan AJK lain, dan mestilah perkara pokok, perkara penting apabila hendak bercakap kepada media.

Bagi saya, temuramah eksklusif dengan mana-mana akhbar perdana tidak harus dilayan. Tapi itulah yang sering terjadi. Siapapun tahu, temuramah di dalam akhbar milik Umno selalunya menjadi ‘bola tanggung’ kepada mereka sedangkan untuk menjawabnya sudah tidak ada peluang lagi. TV juga, Pempimpin Pas harus waspada apabila siaran bersifat tertunda dengan siaran langsung.

Apakah pemimpin Pas bersedia dalam hal ini?

Isu muzakarah ini sudah bermula sejak zaman Dato’ Asri lagi. Malah menurut Mursyid Am, Pas sudah serik dengan tipu helah BN terhadap Pas pada satu ketika dulu. Tapi anihnya pemimpin Pas tetap melayannya.

Saya melihat hal ini berlaku adalah kerana:

1. Pemimpin Pas mebuat komen ‘ingin menafikan’ tetapi cara komennya menyebabkan press boleh memutar belit.

2. Pemimpin Pas ingin memberitahu press bahawa dia terlibat dalam isu yang tidak dipersetujui. Tapi cara dia memberitahu memberi ruang kepada press untuk menyatakan dia sudah turut serta. Ini satu kesilapan.

3. Pemimpin Pas harus sedar, antara komen peribadi dengan komen atas jawatan, jika didedahkan kepada umum, ia sama saja. Rakyat, terutama ahli Pas tidak melihat pemimpin Y itu memberi komen atas nama peribadi walaupun Y berjawatan X. Maka apapun kategori komen, ahli akan mengatakan komen Y = Y+X.

4. Komen tidak harus dibuat hanya ketika keluar dari Parlimen dalam keadaan berjalan. Komen tidak harus dibuat ketika pemberita menyoal sewaktu hendak masuk ke dalam kereta.

5. Pemimpin Pas haruslah ingat, berbaik dan ramah mesra dengan pemberita berlainan sekali dengan berbaik dan ramah mesra pemimpin Umno. Ada tulisan pemberita menyebut, pemimpin Umno X atau Y mudah ditemui, mudah berbicara dan sangat mesra. Pemimpin Pas tidak boleh mengguna kaedah ini untuk merapatkan jurang antara pemberita dengannya, dengan harapan ucapannya akan selalu keluar di dalam akhbar. Pemimpin Pas kenalah ingat, apa saja yang ditulis oleh pemberita tersebut, tidak semestinya akan disiar bulat-bulat, kerana ia bergantung pula kepada Ketua Editornya dan Ketua Editornya akan disunting pula oleh orang yang lebih atas.

Masakan imej dan isu pemimpin Pas hendak diutamakan?

Oleh itu, kita rasa cukuplah isu muzakarah ini sebagai isu terakhir yang menunjukan kita sangat tidak kena dengan cara kita bermedia. Muzakarah tidak menguntungkan Pas. Muqabalah pun tidak menghuntungkan Pas. Tidak payah menyimpul awan gemawan untuk menjadi selimut Umno. Marilah kita menyimpul aqidah untuk jadi selimut di kamar akhirat.

JUSOH, AKU PUN NAK KE SANA

Posted by Tukya Labels:

HADIAH SASTERA PERDANA 2004-2005


Berita Minggu 27 Julai 2004

Azizi Hj Abdullah telah sekali lagi dinobatkan sebagai Pemenang Hadiah Sastera Perdana bagi tahun 2004-2005 bahagian Cerpen. Seramai lapan penulis diumumkan memenangi setiap satu cerpen. Manakala Azizi Hj Abdullah telah dipilih dua cerpennya. “SANGGETHA, Dewan Sastera tahun 2005’ dan “JUSOH, AKU PUN NAK KE SANA, Dewan Sastera 2004.’

Kami muatkan salah satu cerpan yang dipilih memenangi hadiah Sastera Perdana 2004-2005.


Cerpen ditulis pada 21.11.2003




Pagi-pagi lagi Miyah sudah kesot-kesot. Kadang-kadang merangkak pula. Memang dunia Miyah dunia kesot dan merangkak ke sana sini. Pusing kiri kesot pusing kanan merangkak.

Sudah lapan tahun Miyah buat seperti itu. Nak tukar kain kencing kesot. Nak bancuh kopi secawan pun terpaksa merangkak pula. Ambil wuduk kena juga merangkak macam mengkarung panjat busut. Besi dalam betis dan dalam paha sudah lama menojah-nojah. Sakit menyucuk di sana sini.

Miyah tidak minta pun hidup dengan cara mengesot-ngesot. Tapi apa boleh buat kalau tidak kesot merangkak menyulur kena juga. Siapa yang mau tolong. Takkan hari-hari anak-anak mau cempung usung sedangkan pada laki kena taat. Selagi ada tenaga, walaupun dengan kesot, walaupun merangkak, laki kena jaga. Miyah mau masuk syurga dengan laki. Miyah mau beremba masuk syurga dengan laki.Sebab itu Miyah gagah-gagah juga jaga laki. Busuk hapak macam mana pun laki tetap laki.

Tapi Miyah tidak dapat lakukan yang terbaik. Miyah cukup kesal. Badan laki memang gemuk. Badan gemuk gedebab mana ada kuderat nak cempung, apa lagi nak angkat usung. Nak mengharap anak-anak, maklum sajalah. Kalau masuk bilik lima minit, panggil ayah-ayah, selepas itu keluar cekup hidung. Busuk bengit macam daging mentah busuk dihurung lalat. Mana boleh tahan.

Tapi Miyah tak peduli semua itu. Busuk hanyir, hapak bengit, kaki itu kaki laki. Tubuh itu tubuh laki. Besar gedebab besar gedebab laki. Tidak dua, tidak tiga. Jusohlah satu-satunya laki.

Anak-anak bukan benci. Miyah tahu itu. Buruk baik Jusoh, itu adalah ayah mereka. Tapi siapa yang boleh tahan lama berada dalam bilik kalau asyik kena halau lalat hijau, kalau terpaksa tutup hidung kerana bau busuk.

Tapi Miyah tak peduli itu semua. Banyak mana pun lalat hijau berdehau kerumun diluka kaki kencing manis laki, Miyah tetap halau. Tanggung jawab jaga suami mesti sampai ke pintu kubur. Di kampung akhirat nanti Miyah yakin Jusoh akan tunggunya di pintu syurga.Jusoh pasti cempungnya pula melintas Titi Sirattul Mustaqim. Jusoh tak akan menikah dengan bidadari.

Pejam celik, pejam celik Miyah kesot-kesot sudah lapan tahun sedangkan Jusoh tak boleh berjalan baru lima bulan. Jusoh terasa sakit baru dua bulan. Kaki meroyak luka baru sebulan. Busuk dan medak ibu jari kaki hingga bengkak betis baru dua puluh hari. Tapi meroyak dan meliau kini macam sudah tiga tahun. Lebam merah macam buah manggis dan cekang cening di sepanjang betis. Begitu pun Miyah tidak pernah ungkit dan bersungut pasal Jusoh tidak pernah dukung cempungnya ketika sehat dulu. Tapi dia tahu Jusoh memang sayang padanya.

Bomoh kata lumpuh Miyah sebab kena tegur busut besar tepi permatang sawah ketika mengail ikan puyu. Puncanya cuma tergeleceh dalam parit. Miyah memang badan besar. Jatuhnya macam jatuh buah nangka besar. Kepala terhantuk di batang kelapa tumbang. Sejak itulah Miyah tak boleh berjalan lagi.

Anak-anak lima orang, ada yang sudah menikah, ada yang belum menikah, tidak duduk sekali. Semua sudah berkerja. Ada anak jantan seorang, kerja di Kuala Lumpur. Balik seminggu sekali sejak ayahnya sakit. Kadang-kadang semua balik serentak. Tapi bila bau busuk dan hapak kaki ayah mereka yang kena kencing manis itu menjadikan mereka balik tidak serentak pula dan beri alasan banyak kerja. Miyah tak kata apa-apa pun. Jaga laki lebih afdal dari layan anak menantu.

Ramai jiran-jiran kata Jusoh kena hantar ke hospital. Anak-anak pun kata, kita hantar ayah ke hospital. Kaki ayah sudah mula meroyak. Kaki ayah sudah banyak nanah. Biar lama-lama tentu akan meliau. Tapi Miyah tak mahu. Jiran apa namanya kalau tak boleh tolong baca Yasin. Miyah juga marah pada anak-anak. Biar ayah kamu mati di riba aku, katanya. Biar aku jaga macam dia jaga aku yang kesot-kesot sana sini selama lapan tahun. Duduk di hospital siapa yang nak jaga. Siapa yang nak baca Yasin tepi telinganya kalau penat lelah. Siapa yang nak tolong ambil wuduknya ketika tiba waktu solat. Begitu Miyah kata pada anak-anak.

Bila Jusuh mengerang sakit, Miyah cepat-cepat kata, sabarlah, mengucap banyak-banyak. Bila Jusoh mengaduh, Miyah kata lagi, sabarlah kerana diakhirat lebih dahsyat. Miyah kata lagi, sakit adalah ujian Tuhan. Tapi bila Jusoh mengerang habis sampai minta potong tempat sakit, Miyah cepat-cepat beristighfar. Miyah kata, berdosa potong anggota yang Tuhan bagi jadi. Lalu Miyah pun cepat-cepat buka surah Yasin. Miyah baca berulang kali. Akhirnya Jusoh terlena juga dalam keadaan mengerut muka tahan sakit. Anak-anak tahu apa. Baca yasin pun tergagap-gagap.

Pada ketika Miyah buka balutan bau hanyir, bau busuk sangat meloya. Tempat luka nampak meneneh. Isinya kemerahan macam daging lembu kena siram asid. Ulart tidak ada pun tapi busuk lebih dari ada ulat. Bukan apa cuma tersepak tunggul kayu saja beberapa bulan yang lalu. Memang tunggul kayu itu bisa.

Buka pelan-pelan, usap pelan-pelan macam usap kepala bisul, hembus pelan-pelan barulah Jusoh lena. Miyah pun sapu pelan-pelan luka busuk itu dan peroi serbuk ubat kemudian Miyah bungkus semula. Baik tak baik kuasa Allah Taala. Takkan tak sembuh kalau kaki luka hanya kerana tersepak tunggul. Yang meliau dan meroyak kalau sapu air Zam-Zam tentu baik juga.

"Tak boleh jadi. Ayah kena masuk hospital," kata anak lelaki yang yang tinggal di Kuala Lumpur. Dia sudah ambil cuti panjang.
Apa Miyah nak kata melainkan terkelip-kelip mata saja. Itu kemahuan anak lelaki bungsu. Anak lelaki waris keras. Alasannya pula boleh diterima.

" Siapa nak jaga ayah kau? Aku ni kan tak boleh berdiri, berjalan? Siapa nak baca Yasin? Siapa nak tolong ambil wuduk?" begitu alasan Miyah pada anak bungsu. Suaranya diperlahan sedikit takut-takuy Jusoh dengar.

" Di hospital ada orang jaga. Jururawat, doktor."

" Mana boleh!" jerkahnya tapi matanya menjeling arah bilik Jusoh.

"Kalau nak bawa juga, biar aku yang jaga. Ayah kau tu, laki aku. Tau tak?"

Anak lelaki bungsu itu sudah nampak lain macam. Melahirkan kasih cinta dalam keadaan tua-tua rasa hendak meloya. Emak merajuk buruk padahnya. Tapi mereka anak beranak pun bermesyuarat. Keputusan di ambil. Miyah kecuali. Hantar saja ke hospital swasta. Di sana boleh teman. Hospital kerajaan lain sikit. Soal belanja mahal, pakat-pakat keluar.

Maka gaya hidup Miyah pun bertukar begitu pantas. Miyah kerisin kernyih bila dia dibawa dengan kerusi roda oleh anak-anaknya ke sana sini di hospital swasta itu. Duduk, mandi dan solat dalam bilik itu sejuk dua puluh empat jam. Makan minum Jusoh ada orang hantar. Kaki busuk orang basuh. Kain selimut tukar hari-hari. Cadar katil pun tukar selalu. Barulah Miyah terasa ringan beban tapi kadang-kadang naik cemburu juga. Kalau begini caranya, kuranglah pahalanya khidmat pada laki. Waktu muda-muda dulu Miyah belajar pada guru pondok. Kata Tok Guru, bini yang solleh ialah bini yang pandai jaga laki. Masuk syurga mesti taat pada laki.

Miyah tak mau jadi bini yang tidak solleh. Miyah mau masuk syurga sama-sama. Buang tahi mata laki pun tentu jadi kebajikan. Masakan kalau sudah sakit terkedang.

Masuk hari ketiga, ketika anak-anak balik berehat di rumah, Miyah menyinga pada jururawat. Apa saja Jururawat hendak buat,Miyah halang.

"Jangan sentuh laki aku!" jerkahnya.

Jururawat tersentak tapi kemudian tersenyum bila terdengar bunyi kentut biji cempedak dari Miyah.

Jusoh yang sudah dua hari hanya mampu celik dan menguap, memandang Miyah begitu-begitu. Kalau sehat dulu-dulu, cemburu seperti itu dia akan gelak berdekah-dekah.

Juruawat yang terperanjat tersentot agak lama. Miyah tentu orang kolot, sangka mereka. Lalu mereka pun memberitahu, itu adalah tugas mereka. Mereka mau mengubat, bukan apa-apa. Tapi Miyah tak peduli. Pegang lakinya batal wuduk. Sentuh kulit lakinya haram. Miyah tak mau Jusoh disentuh oleh bukan muhrim. Membiar orang sentuh bererti membiar Jusoh berdosa. Dan dia sendiri cukup merasa berdosa kalau dibiarkan orang lain mengubatnya. Ada satu kali jururawat menyelak kain Jusoh sampai celah kangkang. Miyah macam hendak menempek. Kalau Jusoh kuat ketika itu mau disuruh Jusoh terajang saja jururawat yang tak tahu hukum hakam itu. Adakah pula dalam keadaan sakit mau jenguk anu lakinya.

Bila keadaan menjadi sedikit kacau, doktor pun masuk campur. Rawatan tentu terganggu. Akhirnya pihak hospital menasehati anak lelaki Miyah supaya Miyah tinggal di rumah saja dan boleh datang pada waktu-waktu tertentu.

Miyah berontak. Di atas kerusi roda ketika anak-anak menyurung hendak naik kereta, Miyah membebel-bebel. Membawa baliknya bererti memisahkan syurga dengan Jusoh.

"Dia laki aku. Syurga aku syurga laki aku. Laki sakit bini kena jaga. Dulu dia yang jaga aku," begitu Miyah merintih sambil
mengepal-ngepal kain kelumbung mengesat air matanya.

Sampai di rumah Miyah menuduh anak-anaknya tidak sayangkan ayah mereka. Sejak itu Miyah tak lekang dengan surah Yasin. Dibacanya berulang kali minta Tuhan sembuh penyakit kencing manis Jusoh.Biar Jusoh balik cepat. Lama tidak solat berjemaah dengan Jusoh.

Anak-anak bergilir-gilir menjaga Jusoh di hospital. Miyah tahu itu. Tapi Miyah sepatah pun tak tanya tentang Jusoh. Miyah meluat pada anak-anak yang tak sayangkan ayah mereka. Bagaimana pun bila anak-anak berbual sesama mereka Miyah pasang telinga juga. Mana tahu Jusoh di hospital sudah boleh bangkit berjalan. Kalau Jusoh sudah boleh bangkit, tentu berkat baca Yasinnya.

Miyah yakin Jusoh sudah boleh bangkit. Setidak-tidaknya boleh ambil wuduk sendiri. Maka bilik Jusoh yang dulu busuk dan bersepah dengan kain buruk pun dibersih habis. Bantal Jusoh ditepuk-tepuk.Tilam Jusoh pun digabus-gabus.

Esoknya, selepas solat zohor, anak lelakinya dan dua orang lagi anak perempuannya balik tergesa-gesa. Miyah sudah agak Jusoh tentu sudah sembuh.

"Mak…ayah…"

"Aku dah agak. Tuhan itu berkuasa," jawabnya cepat memintas cakap anak lelakinya yang bungsu itu. Dia merangkak ke tengah ruang macam memerang kejar ikan.

" Tapi mak…"

" Kamu dan kakak-kakak kamu saja yang tak percaya kuasa Tuhan,"

katanya dengan bangga. "Tak percaya berkat baca Yasin."

"Bukan itu mak. Tapi…"

"Apa, kau ingat doktor yang bagi sembuh? Kau ingat jururawat yang pegang sana, sentuh sini tubuh ayah kau tu yang bagi sembuh?"

"Mak…" anak perempuan nombor tiga cuba berkata tapi tak jadi. Wajah emaknya direnung tajam dengan genangan air. Bibirnya bergerak-gerak.

"Macam itulah kalau tak mengaji aqoid. " kata Miyah pelan. Dia menyulur ke kusyen, merangkak naik dan menjenguk muka ke arah jendela.

"Doktor dah ikhtiar, mak," kata anak lelaki bungsunya dengan hati-hati sekali.

"Mak juga ikhtiar di sini. Dah berpuluh kali mak ulang baca Yasin.Aku baca surah Al-Mulk. Aku baca ayat seribu dinar. Kau fikir mak tak baca?"

"Mak…ayah tu…" sekali lagi anak itu terhenti. Terkedu. Yang dilakukan, mengepak-ngepak jarinya sahaja.

"Apa lagi?" Miyah jerkah sungguh-sungguh. Memang dia marah kalau anak-anak jahil aqoid. Itulah, dulu suruh belajar sifat dua puluh, malas.

Anak perempuan nombor tiga nampak menyempung seperti bungkusan lemang nampaknya. Pelan-pelan, dengan lenangan air mata dia mendekati Miyah.

" Mak…" katanya dengan sebak.

"Apa lagi?" Miyah mula terasa sesuatu. Dia yang duduk hendak mengesot, seperti mendapat tenaga baru. Dia cuba hendak berdiri.

"Kaki ayah."

"Kenapa?"

"Kaki ayah terpaksa di potong. Kaki ayah ni nak tanam di mana?" anak lelaki bungsu memberitahu dengan sebak.Dia memegang bahu emaknya kalau-kalau emaknya rebah begitu sahaja.

Miyah jadi tergamam. Di pandang muka anak-anak kemudian tunduk mengurut-ngurut pahanya. Kemudian seperti seekur singa betina yang marah pada anak-anak, Miyah melepaskan kata geramnya sambil memangis:

"Apa jadahnya. Selama aku jaga di rumah, tak ada siapa pun kata nak potong. Takkan manusia ni kejam-kejam belaka. Susah nak jaga, susah nak berubat, potong. Macamlah kaki itu tak berguna. Kalau macam itu siapa pun boleh jadi doktor. " Lalu seperti seekur kucing menikus, kaki Jusoh diambil dengan kasar.

Memang pun kaki Jusoh. Miyah kenal kaki yang diambilnya kaki lakinya. Dengan sebak pilu Miyah memeluk kaki Jusoh. Dunia lumpuhnya jadi berpusing-pusing. Wajah anak-anaknya yang kebengungan itu nampak macam serigala yang sedang menunggu daging mentah.

"Mak, Doktor kata, hanya dengan cara ini saja ayah boleh diselamatkan. Jika tidak, penyakit tu akan melarat." Kata anak lelakinya.

"Macam mana kalau sampai ke pinggang, ke badan kalau tak cepat-cepat potong," kata pula anak perempuannya.

Miyah membungkam sekian lama. Bila anak lelakinya mengambil kaki yang sudahpun dibalut dari dakapannya, dia membiarkan saja.

"Pergi tanam di kubur. Lepas tu bawa mak. Mak nak bagi tahu ayah kau, bukan mak yang suruh potong. Mak nak beritahu ayah kau, bukan mak tak mau jaganya," Miyah meratus merintih seperti orang hilang akal. Basah pipinya oleh temuak air mata. Dia sedikit meraung bila perasaan sedih tidak dapat dikawal.

"Ayah masih belum sedar. Dia di ICU," beritahu anak lelakinya.

"Bawa juga. Mak tak mau berdosa dengan laki mak. Mak nak bagi tahu, mak kamu ni, bininya. Mak ni bininya. Mak ni bininya. Mak ni bininya yang tak sikitpun berubah kasih sayang." Katanya seperti merayu dalam suara basahan air mata.

Anak-nak pun mengaku walaupun mereka tahu doktor tidak akan membenarkan sesiapa pun melawat ke bilik ICU.

Selepas saja kaki yang dipotong itu di tanam, Miyah pun di bawa ke hospital. Dalam perjalanan Miyah tidak bercakap apa-apa pun. Dia lebih banyak mengepak-ngepak jari tangan dan menekan-nekan tangan ke dada.

Di atas kerusi roda yang disurung oleh anak-anaknya, Miyah hanya membilang kasau-kasau, jenang dan keping-keping syiling sepanjang koridor. Kalaulah dia tidak lumpuh, mau rasanya dia berlari-lari.
Tapi alangkah terkejutnya, malah anak lelakinya yang selama ini pantas mengelola ayahnya menjadi hairan, terpinga-pinga apabila dilihat katil yang Jusoh ditempatkan sudah kosong.

"Mana ayah kau?" Miyah jadi terharu bila melihat katil Jusoh kosong.
Anak lelakinya mula panik. Dia ke sana sini dan akhirnya bertanya jururawat di kaunter. Jururawat itu kelihatan menunjuk-nunjuk ke satu arah dan anak lelakinya hanya angguk-angguk saja.

Sebaik-baik saja Miyah minta dibawa ke bilik ICU, seorang jururawat kelihatan bergegas ke arah mereka. Keadaannya nampak cemas.

"Encik anak Jusoh?" Tanya jururawat yang tinggi lampai itu.

"Saya bininya," Miyah cepat menjawab.

Tiga empat orang jururawat dan dua tiga orang yang lalu di situ kelihatan tersenyum.

"Sila ke bilik sana tu. Cepat!"

Miyah disurung oleh anak-anaknya sampai terdengar bunyi tayar kerusi roda itu berkeriot-keriot. Miyah yakin Jusoh akan berkata sesuatu. Tapi alangkah terperanjatnya bila pintu bilik itu terkuak, seorang doktor kelihatan tunduk menembabkan mulutnya ke telinga Jusoh.

"Jusoh, aku datang ni." Miyah seperti hendak melompat dari kerusi roda.

Tapi Jusoh tidak apa-apa. Jusoh macam Jusoh lima enam hari yang lalu. Jusoh tidak pun menyua tangan. Jusoh tidak pun bangkit bersalam. Jusoh terbujur dengan mata terpejam.

"Jusoh, aku datang ni."

Jusoh tidak menjawab pun. Jusoh dalam selimut putih yang cukup bersih.

Miyah menggesak kerusi roda menembab tebing katil Jusoh. "Jusoh, maafkan aku. Bukan aku tak mau bela kau, tapi mereka yang tak bagi. Jusoh…kaki kau aku dah tanam. Jusoh…"

Miyah terasa kerusi roda yang didudukinya diundur ke belakang.
"Jusoh…kau tunggu di sana tau. Aku pun nak ke sana," kedengaran suara itu suara yang hampir hilang tenaga.

Kerusi roda semakin diundur kebelakang.

"Jusoh…kau tunggu tau. Aku pun nak ke sana." Dan kemudiannya Miyah tidak tahu apa-apa lagi.


-selesai-

PERIHAL DEBAT:ANUAR SENYUM, AHMAD SHABERY CHEEK BERBUIH MULUT.

Posted by Tukya Labels:


Dalam buku Pemimpin Dalam Ungkapan Melayu, terbitan BDP penulisnya Tenas Effendy menulis, di antara jenis pemimpin,ialah ‘Pemimpin Ahli dan Pemimpin Bebal.’

Pemimpin Ahli, kata orang tua-tua, dadanya bersisi. Dalam ungkapan adat dikatakan pemimpin ahli banyak fahamnya, kepala berisi penuh dadanya.

Sebagai pemimpin ianya ahli
Pengetahuan luas serta berbudi
Kesusahan rakyat ia amati
Kesulitan orang ia peduli
Sumpah dijunjung amanah diikuti
Memikul beban sepenuh hati
Rakyat rukun padi menjadi.
Dijadikan pemimpin berutah negeri
Dijadikan tua ia terpuji
Dijadikan induk tuah berdiri
Umat sentosa bertuah negeri.


Manakala Pemimpin Bebal pula, pemimpin yang sama sekali tidak memiliki kecerdasan dan tidak pula mampu melaksanakan tugasnya. Orang tua-tua berkata: Apa tanda pemimpin bebal, sampai tua tidak menyorong akal, tak tahu beza nangka dan temabal.

Menjadi pemimpin dungu dan bebal
Dada kosong akal sejengkal
Bercakap tidak berhujung pangkal
Mempimpin bagai kehilangan akal
Diberi nasihat telinganya tebal
Rakyat sangsara negeri tertinggal
Dijadikan pemimpin pasti menyesal
Dijadikan tua hilanglah akal
Dijadikan induk anak dibedal
Negeri rosak rakyat terjual.


Demikianlah adanya. Wlallahu aklam.

Semalam ( Selasa 15hb Julai 2008- jam 9 malam) tunggu punya tunggu, bermulalah Debat Hari Ini Memerintah, Esok Harga Minyak Turun.
Saya yang nak tenguk sangat ialah kerana dikatakan inilah debat yang hebat, profesional, debat cerdik pandai, berperaturan, berdisiplin dan teratur. Ini bukan debat macam Pak Kasim bertengkar dengan Pak Sahak di genehok kenduri.

Apa lagi pula seorang moderetornya Datuk Johan Jaafar, yang dikatakan suka memintas cakap dalam debat di RTM satu ketika dulu.

Saya pun tabeklah pada Datuk Shabery kerana bersungguh melempar hujah sampai berbuih air liur di tepi bibir. Tersangat kagumlah saya akan ilmu Datuk Shabery akan kelantangannya’ berulang-ulang’ tetapi sesekali bercanggah hujah pula.

Tak sangka saya kepetahan Datuk Shabery dapat menundukkan Datuk Anwuar sampai tak terjawab apabila dihentam peribadi, diungkit soal demonstrasi Baling, himpunan jalanan. Begitulah bagusnya debat ilmu ini.

Saya akan hamput moderetornya kalau menahan Datuk Shabery berhenti dari menyerang Datuk Seri secara peribadi, tapi moderetornya pun satu, sangat faham peraturan yang diperingatnya, maka dibiarkan kelelong kelelang hujah itu. Bagaimana pun saya kagum geram yang dilempar, senyum yang diberi.

Saya tak pernah lihat debat seperti ini. Tahniah kepetahan dan keanggulan hujah Datuk Shabery Cheek. Maka akan angguk dongaklah sekelian kakitangan Kementerian Penerangan . Tahniah kerana pendebat ini berjaya memberi ruang kepada rakyat, memperlihatkan betapa cangkat hujah beliau. Ini satu keberanian yang jarang orang dapat lakukan.

Yang lebih mengkagumkan apabila dibuka soalan kepada Tan Sri Norordin Kardi, orang nombor one di UUM bertanyakan Datuk Seri Anwar. Kekomanan soalan itu ternyata sekali. Saya sangat bangga kerana seorang ilmuan masuk perangkap tidak faham sampaikan yang diajukan pertanyaan suruh membaca sampai habis ilmu yang diajukannya.

Saya hempuk kepala di dinding kerana, kenapa Datuk Seri Anwar mampu melekehkan seorang cerdik pandai itu. Hal ini sangat tidak patut dalam debat perdana agung ini.

Ternyata dari segi input kepada rakyat sangat berat sebelah. Saya sendiri menyangka ada satu tepihan hebat dan pembentangan dahsyat dari Menteri Penerangan ini kerana beliau beria-ria hendak menerangkan kepada rakyat keadaan yang sebenar, kononnya. Tapi apa yang berlaku, ungkitan yang sangat berjaya terhadap Anwar, hujah yang tiris, berjaya mengelabui mata rakyat. Yang demikian bagi saya, debat ini sangat berjaya dari sebelah pihak dan ia lebih berjaya kepada pihak yang mahu berfikir.

Ada dua SMS yang saya terima hasil kesan kemeluatan mereka barangkali.

1. Debat semalam tu, Tok Bilai masjid aku pun lebih bijak berhujjah. (sms dari Seberang Prai)
2. Mike Tyson bila rasa nak kalah sewaktu lawan dengan Mohamad Ali, dia gigit telinga lawan.Begitulah dengan Shabery Cheek bila habis modal, ungkit peribadi Anwar Bangkrap idea. ( sms dari Pekan Pahang)

Saya?

Saya hantuk kepala kerana, kenapa tak bagi sampai tiga jam? Kan seronok dan bagus kalau diberi peluang kepada Datuk Shabery Cheek belasah dan ungkit hal-hal peribadi. Di situlah akan timbul input dan di situlah kita akan lihat semakin banyak buih-buih meleleh.

Jet Peribadi Yang Menghairankan

Posted by Tukya Labels:



TV3 siaran Buletin Utamanya pada 10 Julai 2008 jam 8 malam menyiarkan satu gambar dari pengirim yang penakut namanya disiarkan. Gambar itu menunjukan Menteri Besar Kedah, Azizan Abdul Razak sedang dipayungi oleh teman-teman menuju ke satu Jet Khas Mas, di Lapangan Terbang Sultan Abdul halim, Alor Setar Kedah.

Menurut laporan itu, jet khas itu membawa seorang pembesar negeri berangkat ke luar negeri. Gambar itu tidak profesional. Kelabu dan secara curi-curi.

Tujuan disiarkan tentunya untuk rakyat menyedari betapa kerajaan Kedah yang melaung-laungkan jimat berhemat ketika perbelanjaan susut. Penonton yang melihat siaran itu diharap dapat berfikir sendiri.

Saya sendiri tertanya-tanya. Masakan kerajaan Kedah yang melaung-laung jimat cermat itu, mengenepikan slogannya? Apakah Azizan buat kelolo lagi?

Lantas saya pun menelefon pegawai khasnya.

Bukan apa, hairan juga kalau difikirkan jika ada kebenarannya, pastilah YAB Azizan Abdul Razak ini cakap tidak serupa bikin.

Pada 6 Julai 2008 jam 10 pagi saya dengan rombongan Persatuan Penulis Kedah (ASASI) telah membuat ‘Kunjung Hormat” ke pejabat beliau.

YAB Azizan seperti biasa, seperti saya sering bertemu dan berbual di majlis-majlis ceramah. Keloloh dan ‘makar kering’nya membuat orang tak kering gusi ketawa.

Dalam pertemuan lebih satu jam itu berbagai-bagai yang dibualkan. Beliau menekankan perlunya Persatuan Penulis memberi sokongan kepada kerajaan dalam mendaulatkan bahasa. Kami juga memberi pandangan, Kedah harus kembali kepada asas asal dengan nama-nama tempat yang mencerminkan keperibadian Kedah. Contohnya perkataan ALUR STAR, CHE DET MALL sendiri.

Diceritakan tetang cadangan menebang balak yang akan dilakukan tidak seperti yang digembar gembur oleh media.

Bercerita lagi tentang berhemat di mana kerajaan Kedah akan berusaha sedaya mungkin dan banyak lagi cerita-cerita yang tidak sampai kepada media, menunjukan kerajaan Kedah sudah lakukan.
Tiba-tiba, cup-cup, Azizan yang baru seratus hari lebih memegang tampuk pemerintah di Kedah, menyewa jet peribadi dalam penerbangan khas. Kenapa? Mengapa cakap tak serupa bikin ini berlaku? Sebuah jet MAS, berapa harganya? Barangkali harganya boleh menampung pakaian anak-anak sekolah di DUN Sala.

Pegawai Khas belau ketawa apabila saya bertanya dengan sinis tentang jet itu.

“Itu penerbangan khas untuk menjemput Sulntan Brunei ke Majlis Jubli Emas Tuanku pada 16 Julai ini. Biasalah tu. Perbelanjaan itu duit pemerintahan lama. Duit tu bukan duit kerajaan negeri sekarang. Tuanku yang titah sendiri MBnya. Takkan nak pakai telefon nak jemput seorang sultan.”

“Tapi belanja tu banyak.”

“Itu bukan duit kerajaan Kedah. Itu peruntukan perayaan Jubli Emas dulu.”

Saya terkedu. Jawapan ini tentu tidak saheh, tapi terjawab jika ada sangka buruk Azizan orang boros dan membazir.

Sabtu malam, 12hb Julai 2008 saya dengan seorang kawan terkam ke Batu 9, ke Komplek Pas Kedah kerana ingin menyertai sambutan hari ke 100 kerajaan Pas memerintah Kedah. Kata Azizan, berita tentang jet itu satu fitnah. Saya tersentak apabila ditegur oleh Menteri Besar itu supaya mereka yang melaporkan berita fitnah itu dapat berfikir sedikit bagaimana sara hidup keluarga hasil dari kerja-kerja fitnah itu.

Katanya dengan kelakar, dia menemani pemangku sultan untuk menjemput Sultan Brunei ke Majlis Jubli Emas pada 16 Julai. Takkan sebagai Menteri Besar kedah tak boleh menemani wakil Sultannya dan itu adalah adab.

Pagi itu hujan, dia tidak tahu petugas lapangan terbang mengambil payung dari mana, kebetulan payung berwarna kuning. Kata Azizan, apa nak persoal tentang warna. Sekarang ini orang tak ambil peduli lagi tentang warna.
Jet pula kecil, lebih sedikit besarnya dari bas kilang. Kena menyeronot kalau nak masuk. Bergoncang sepanjang penerbangan kerana hujan.
Saya rasa terkilan juga apabila membaca dan melihat berita itu kemudian dikaitkan dengan jet peribadi.
Kata Azizan, mati hidup balik dia tidak dapat merasai memiliki jet. Kenapa itu mesti ditohmah. Kini, katanya, dia hanya memiliki Mercedis berharga RM17 ribu, masakan mampu membeli jet walaupun sekarang berstatus menteri besar.

“Itu bukan haknya. Saya cuma menumpang,” katanya.

Demikianlah cerita tohmah dan fitnah ini. Apapun mungkin orang menganggap itu cakap dan tepis sepak politik. Tapi saya sangat terkesan apabila beliau berkata:
“Ingatlah, kerja-kerja fitnah ini sangat besar dosanya. Kenalah fikir, jika kita bekerja seperti ini, tak terfikirkah hasil dari gaji dan imbuhan yang kita dapat, duit ringgit itu juga kita menyara, memberi makan anak bini. Apa sudahnya?”

Saya sekali lagi terkedu. Malam itu puluhan ribu, bagaikan orang sesak di depan Mina. Saya terfikir, alangkah baiknya jika salah seorang yang mendengar penjelasan itu, jurugambar dan pemberita yang membuat laporan tersebut.

Kerana fitnah bukan perkara kecil, setidak-tidaknya dia bertanya; halalkah duit gaji kerja fitnah aku ini?

Bersumpah Bererti Menutup kes

Posted by Tukya Labels:

Rencana Siasah 7 Julai 2008

Saya masih ingat sebuah puisi di tahun 80-an, tapi lupa siapa penulisnya. Puisi tersebut berbunyi lebih kurang begini:

Ada orang main cinta
Ada cinta main-main
Ada orang main perempuan
Ada perempuan main-main
Ada orang main politik
Ada politik main-main.


Hari ini kita semacam menemui segala apa yang disebut oleh penulisnya melalui puisi tersebut. Menurut Perdana Menteri, kita sudah sampai tahap kacau bilau.

Isu Dato’ Sri Anuar Ibrahim Penasihat Umum PKR dituduh meliwat pembantu khasnya, bukan saja kolam politik negara berkocak dan keruh, tetapi menyeret pula percanggahan pendapat dalam agama, seperti Dato’ Harussani, Dato’ Hahim Yahya (Bekas Mufti Wilayah Persekutuan) dengan Mufti Perlis, Dr. Asri Zainal Abidin.

Hairan juga kita, kenapa hal ini boleh berlaku? Pada hal isu utama yang dibangkit ialah soal liwat, seperti mana juga tuduhan seperti ini pernah berlaku di tahun 90-an yang lalu.

Orang-orang agama memandang keramatnya sumpah lalu diminta mereka yang terlibat membuat sumpahan. Tapi orang-orang ini tidak mengetahui, imuniti dari sumpah itu ialah catur politik dari orang Islam itu sendiri. Kerana politik selalu menghalal cara, maka imuniti dalam keagamaan termasuk hal-hal sumpah tidak ada makna, malah sumpah bukan akta penting bagi mereka.

Mereka yang masuk ke dalam padang politik hanya semata-mata mahu berkuasa, mereka akan membentuk apa saja kun bagi menghadang jalan lurus keagamaan. Malah mereka yang kuat beribadah sekalipun turut terjebak dengan amalan poltii begini.

Maka kerana itu sumpah tidak dianggap jalan terbaik dan tidak akan membawa apa-apa keputusan yang makkul. Bala Allah, baik dari sumpah atau dari perbuatan sendiri yang begitu zalim kepada orang lain, jika berlaku kepada individu itu sendiri, orang ramai, khasnya orang politik tidak sedikit pun memandang sebagai termakan sumpah, atau makbulnya doa yang kena zalim atau itu balasan Allah.

Sudah berapa banyak kita melihat balasan Tuhan dalam soal ini, yang tidak ada siapapun boleh menafikan ia berpunca kerana politik, berpunca kerana orang politik, penguasa politik, pemerintah politik.

Memang orang masih ingat, terutama kaum kerabat mangsa, bahawa sekian lama terkedang di katil hospital, tidak seorang pun mahu mengakui bahawa itu adalah balasan Allah kerana kezalimannya, kerana keputusan yang dibuat, kerana dakwaan yang sampai menganiaya lalu pakat-pakat meminta ampun kepada Allah dan kepada yang terlibat.

Sehingga doktor pakar pun tidak boleh berbuat apa-apa dan anihnya penyakit pula tidak diketahui apa sakitnya, koma berbulanb-bulan. Orang politik tidak pun menganggap itu balasan Tuhan ‘hasil dari kezaliman dan fitnahnya.’

Tidak ada siapa pun yang menuding jari membuktikan itulah sumpah Tuhan!

Maka apabila isu kedua liwat muncul, apabila ada cadangan supaya bersumpah dan kemudiannya balasan terkutuk hasil dari sumpahnya itu terpulang kepada Tuhan, tidak ada siapapun dari kalangan orang politik yang ingin mengambil kisah. Yang terkesan ialah pertelagahan pula yang timbul di kalangan mufti.

Dari faktor-faktor di atas, saya sendiri secara peribadi sangat tidak setuju apabila, soal-soal politik ini dirujuk kepada sumpah. Pertama sekiranya sumpah dilakukan, sampai kepada meli`an atau melaknat, bagaimana laknat itu tidak ditunjukan oleh Alla secara spontan sedangkan bacaan orang politik, sumpah mestilah diikuti bukti. Jika kita ajukan kepada Tuhan, Tuhan mesti buktikan sumpah dan li`an itu.

Sangat besar bahayanya kepada maruah dan imej Islam. Ini bukan soal dosa pahala untuk mendapat balasan di akhirat. Orang politik tidak memikirkan soal ini. Yang difikir, jika formula ini dibuat, hasilnya bagaimana? Jika begitu dibuat, hasilnya bagaimana?

Katakan, kedua-dua yang terlibat bersumpah menjunjung sepuluh Qur`an di sebuah masjid paling suci kerana tidak pernah menerima wang haram ketika membinanya, tiba-tiba mereka masih dalam keadaan sihat wailafiat. Mereka masih mampu membuat sidang akhbar dan mereka masih mampu berceramah di sana sini memberitahu dia sudahpun bersumpah.

Orang ramai menunggu kutukan Tuhan tapi Tuhan masih tidak menunjukannya dengan kuasa Iradahnya. Akan terjadikah ketika itu aqidah orang awam umat Islam berbelah bagi? Setidak-tidak mereka tidak akan percaya tentang’ janji Tuhan itu pasti’ seperti yang dimottokan oleh kumpulan Arqam dulu. Setidak-tidaknya mereka akan meragui li`an atau sumpah yang ada di dalam hukum Islam.

Isu liwat kali pertama dulu, sampaikan mengusung tilam, tak pun yang mengusung itu jatuh tersepuk lumpuh. Mereka yang mengetuk komputer mengubah tarik dan waktu, masih dapat ketawa juga. Mereka yang menzalimi dengan perbuatan keras, menumbuk dan menyepak, sekarang masih dapat habuan, syer dan saham, hidup senang linang.

Ada yang dianggap melakukan kezaliman, kini diterima oleh masyarakat apabila dia menderma ratursan ribu untuk sebuah masjid.
Di mana Tuhan dalam kencah politik ini? Kerana itu membawa hal keagamaan ke dalam kencah politik sangat merbahayakan agama itu sendiri. Biarkan saja hal ini dimanipulasi politik, dicaturkan oleh imej politik.

Mahkamah yang dianggap mempunyai kuasa tertinggi dan tidak ada yang lebih tinggi pun tidak boleh menyelesaikan seperti jangka waktu bersumpah dan berli`an. Sekejap didakwa,sekejap ditangguh, dibatal, dirayu dan lain-lain lagi. Kalau mahu dibuat ukuran secara fizikal, kemaluan yang meliwat kini, akan mati pucuk barulah kes ini selesai.

Dari satu segi, saya amat bersetuju dengan Datuk Sri Anuar yang tidak mahu bersumpah dan jika mahu pun ( seperti yang dikatakan pada 6 Julai ) biarlah kata-kata itu kata-kata politik juga.

Upacara sumpah tidak ada tentatif seperti upacara mengangkat sumpah ahli parlimen atau angkat sumpah sinator. Tanyalah alim ulama atau para mufti, apakah ada tentaif lagi setelagh upacara sumpah di masjid? Misalnya ada sidang akhbar memberitahu yang dia tetap tidak mengakui atau ada pihak lain yang menuduh sumlah berli`an itu main-main pula.

Orang politik itu jahat. Sekiranya selepas bersumpah, dengan kudrat iradah Allah, kedua-dua pihak tidak jadi apa-apa, orang politik dari kalangan Islam sendiri akan menuduk pula, satu pihak tidak paseh melafazkan sumpah. Satu pihak lain pula dituduh, menjunjung Qur`an bukan Qur`an Mekah tetapi Qur`an dari negeri Cina.

Apa saja boleh berlaku.

Oleh yang demikian, ada baik kita biarkan isu ini berjalan terus melalui alur denai undang-undang yang keramat di Malaysia. Biar mahkamah terpinga-pinga apabila ramai sangat mengaku tidak bersalah atau tidak terlibat. Tanpa mahkamah pihak terlibat tidak ada peluang hendak menerangkan, hendak menjawab. Apakah apabila berlaku upacara bersumpah, penafian dan kaji selidik, siasat dan DNA boleh dilakukan? Bukankah dengan bersumpah itu bererti kita hendak menutup semua perkara dan menyerahkan kepada Tuhan?
Wallahuaklam.