CATATAN 30 Ogos 2008

Posted by Tukya



Kerana jemputan menjadi Pengerusi Forum ‘Mengisi Kemerdekaan’ anjuran Pusat Khidmat Adun Pantai Merdeka di Pantai Merdeka jam 9 malam, berpeluanglah balik kampong Bukit Meryam.

Waduh, anak-anak penakan sudah tahu kegemaran. Dari anak saudara Ludin, dipelawalah ikan sepat benua, ikan sepat ronggeng, puyu dan keli.

Memang ini kegemaran. Puyu boleh buat pekasam. Sepat benua goreng. Keli buat gulai dengan timun. Haruan boleh buat bantut cicah air asam buah belimbing.

Sekilo rasanya boleh tahan selama sebulan untuk berbuka puasa di masjid, kiranya kalau kawan-kawan tak tumpang.

Sesekali balik kampung nostalgia sering berulang. Rumah buruk ibubapa sudah jadi reput. Mujur ada sepasang suami isteri tumpang duduk, anai-anai taklah sangat. Kakak pun sudah mengesot. Tewringat cerpen yang saya tulis “Jusoh, Aku Pun Nak Ke sana’. Tapi malang balik dalam keadaan singkat, tak berpeluanglah mengail, tak berpeluang menjala ikan atau pukat dalam ban tali air.

Malam di Pantai Merdeka. Rupa-rupanya setiap tahun malam Merdeka, Pantai Merdeka ada temasya. Hampir sepuluh tahun tak ke sana dan malam itu Pusat Khidmat Masyarakat Adun Pantai Merdeka buat carnival dua hari dua malam. Forum malam pertama dengan ahli panel Dato’ Syaikh Abdul Hamid Tahir, Ahli Majlis Fatwa Kedah, YB Abdullah Jusoh yang juga Exco Pendidikan dan Azmi Abdul Hamid Presiden TERAS.

Angin Pantai Merdeka memuput kasar. Bising dari gerai jualan dan anak muda rempit sesekali menenggelamkan suara kami berforum. Tapi program itu sangat berjaya dalam usaha mencari pengisian kemerdekaan kepada anak-anak muda.

Saya tertarik dengan saranan YB dan juga Exco Pendidikan: Pengisian Kemerdekaan Negara mestilah dengan motto: Amar Makruf Nahi Mungkar jika mahu Negara menuju kepada Baldatun Toiyibatun Warabbul Ghafur.

Jam 11-50 selesai. Tergesa-gesa balik kerana bimbang ikan sepat, puyu dan keli jadi medak.

Terima Kasih Institut Terjemahan Negara

Posted by Tukya Labels:

Hari ini 28hb Ogos 2008 terima buku berjodol Perjanjian & Dokumen Lama Malaysia 1791 - 1965, terbitan Institut Terjemahan Negara. Sangat baik Pengarah Urusannya, Sdra Mohd. Khair Ngadiron.

Ketika perjumpaan dengan Sasterawan Negara dan SEA Write Award tiga empat bulan dulu di PWTC, apabila Sdra Mohd. Khair Ngadiron beritahu, ITNM sedang berusaha membukukan perjanjian lama, saya sangat tertarik. Kalau terbit nak beli satu.


Cup, cup, hari ini dikirim secara percuma, disamping jemputan tahlil SN S.Othman Kelantan pada 29 Ogos 2008. Khabarnya telah diresmi oleh Speaker Dewan pada 28 Ogos. Maaf Ngadiron, saya tak mampu terpa secara tiba-tiba.

Ada 26 perkara, bermula dari bagaimana Persetiaan Gabenor Pulau Pinang, wakil Syarikat Inggeris dengan DYMM Baginda Yang di Pertuan Kedah 1791 hinggalah ke Akta Perlembagaan dan Malaysia 1965. Saya lebih banyak rasa meradang karenah penjajah dan mereka yang membuat perjanjian, Akta dengan pemimpin, pejuang dan Negara Malaysia sendiri.

Mahu menangis semau-mau, seperti Pak Manan di tepi rel keretapi menangis meraung-raung kerana Umno kalah di P44, 26 Ogos lalu.

Rupa-rupanya banyak di antara perjanjian tidak pun ditandatangai, misalnya penyerahan Pulau Pinang oleh Sultan Kedah kepada British.

Bagi mereka yang berminat dengan isu Batu Putih yang baru-baru ini telah diputuskan oleh Mahkamah Antarabangsa, bab 4 dan 5 memberitahu bagaimana Persetiaan antara Great Britain dengan Johor 1824 dan Perjanjian Belanda 1824.

Dilaporkan juga bahawa kedua-dua perjanjian tahun 1824 menjadi antara keterangan dalam pendengaran tuntutan bertindih Malaysia-Singapura berhubung Pulau Batu Putih.

Wauu, rupa-rupanya sejarah banyak mengajar kita. Anak muda generasi sekarang patut membacanya.

Melihat buku ini, saya teringat bagaimana watak Sawo yang saya bentuk dalam novel Tini, yang sanggup membunuh bondanya kerana ladang pusaka dimurahati kepada pihak lain.

Saya bercadang hendak membaca buku ini di pondok-pondok panas Pilihanraya P44 yang baru lalu. Bukan apa, cuma nak mengisi sepi dan sunyi sambil melihat poster yang terkoyak, bendera lesu yang tidak dipungut dan mungkin katak di tepi parit Masjid Penanti berhing-hong kerana seronok.

Saya syorkan, sesiapa saja patut membacanya untuk melihat bagaimana dulu, kini dan selamanya, bangsa dan negara yang dicatat dalam dokumen sejarah ini.

Catatan 26hb Ogos 2008

Posted by Tukya Labels:

Kembali tergesa-gesa dari universiti Utara Malaysia. Jam 11-30 pagi sudah ada di P44 Permatang Pauh. Memang dahsyat tumpuan manusia.

Jam 6-45 ke ITB untuk menyaksikan pengumuman kiraan undi. Terpaksa menidurkan kereta di lebuh raya BKE. Berjalan dua kilometer ke pusat pengiraan undi.


Puluhan ribu rakyat yang ingin melihat kesinambungan perubahan. Saya tersepit di antata puluhan ribu. Helikopter yang menyuluh batang tubuh rakyat, seperti menganggap tikus-tikus di sawah yang hendak merosakkan pokok padi.


Bila pengumuman di buat jam 10 malam, keputusannya mengingatkan saya puisi yang saya tulis di dalam novel ‘Harga Sebuah Martuah” terbitan Dewan Bahasa 2007:

Rakyat itu selalu diam
Ia pencatat tidak pernah lupa
Rakyat itu seperti ular sawa
Melingkar dengan berat badan dan
Diam dalam keheningan sendiri
Pancainderanya tajam
Kuat intuisinya dengan akal budi
Lalu jangan sekali-kali melukakannya
Jangan melukakannya berkali-kali
Kerana sekali ia bangkit
Rosaklah segala apa-apa.


Dan malam itu saya melihat sekali lagi kebangkitan rakyat, seperti ular sawa yang lapar yang dahagakan keadilan yang sekian lama diperbudakan.

Catatan 3 Hari Sebelum PR Prtg Pauh

Posted by Tukya Labels:

Lagi tiga hari Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh P44 ketika tulisan ini masuk blog.

Saya tak pernah tenguk hebat dan gelabahnya suasana. Paling dahsyat dari pilihanraya di mana-mana pun di Malaysia pada masa lalu. Ijok dulu pun tak seperti ini.

Saya masih juga cari di mana ceramah Izam, Khairi dan lain-lain tokoh Umno. Sangat kepingin nak tengok Saiful yang kononnya tinggal sehotel dengan Dato’ Najib.

Semalam 22 Ogos 2008 solat jemaah dengan Datuk Seri Anuar dan Badrul Amin di Masjid Penanti. Yang syoknya tengah ambil gambar di halaman masjid, Datuk Seri terkam dan berjabat salam. Malam sebelumnya pun di lorong masuk ceramah, Datuk Seri singgah dan ajak naik pentas juga tapi saya menolak.

Mungkin Datuk Seri masih ingat novel yang saya beri dulu ‘Kawin-Kawin’ ketika dalam tahanan.

Lepas maghrib terpa lagi ke Mengkuang Titi. Ya Allah, manusia macam cacing organik dalam tempurung. Nak keluar balik tak boleh. Menariknya ceramah malam itu dari Azmin, wakil dari Sarawak dan Pas Kelantan. Wakil DAP Tanjung Bungah baca terjemahan ayat Qur`an surah Albaqarah. Hebat.

Anuar yang terakhir dan isunya sama saja, kecuali lenggok gaya yang berlainan.


Dalam perbualan dengan petugas PR, katanya 50-50 Datuk Seri nak menang. Tapi saya kurang yakin. Dalam cula sesetengah kawasan, katanya 3-1. Cuma yang tak sedap, Datuk Arif ada juga pengaruh, pasal cakap Cina.

Suasana pilihanraya kecil seperti ini ternyata orang Melayu bukan cari maklumat tetapi syok kepada idola. Kadang-kadang yang ramai itu orang luar.

Saya sendiri yakin Datuk Seri boleh menang tapi oleh kerana sehari dua ini mungkin isu lain timbul, taktik BN jadi lain, Datuk Seri juga boleh menang tetapi mungkin kurang majority.

Dengan khabar orang Cina sudah bertaruh 15,000 ke atas.

Wauuu!

Saya pelawa kepada orang jauh, datanglah untuk menyemak perhimpunan. Tak mengalaminya tak seronok. Biar jadi semak, BN akan jadi lebih serabut.

Cuma satu yang sedih dan amat sedih. Wanita dan Puteri Umno semakin terhakin budi sopan, susila keperempuanan oleh kerana terlampau taksub kepada BN. Saya yakin jauh di dalam hati mereka menjerit sedih tapi oleh kerana tabiat wanita Umno seperti Rafidah, mereka tetap jadi golongan yang ‘tidak peduli’.

Khabarnya di pusat gerakan Wanita, ada yang mengaku mereka menyebelahi PKR tetapi bekerja kerana wang.

Malam esok dan malam terakhir ada acara hebat, termasuk Tuan Guru. Saya tak dapat celah sama.

Tadi,(Sabtu) sejak jam 10 sudah terperak dalam perpustakaan Kulim, menulis dan membaca sikit. Malam esoknya tak kesempatan lagi kerana ada majlis bicara buku di Univeriti Utara Malaysia. Barangkali kalau tak mati, pagi mengundi adalah.

Tapi saya nak undi siapa? Ini jadi masalah.

Doa kita, minta dijauhkan Allah segala tipu daya.

Catatan Ketika Rancak Kempen PR Kecil Permatang Pauh

Posted by Tukya Labels:

Dari ruangan bicara melalui blog, ramai bersungut kerana saya tak pantas meng ‘up date’ blog.

Ada yang sangat ketagih hendak mendengar suasana di Permatang Pauh kerana Pilihanraya kecil 26 Ogos 2008 kali ini sangat menarik.

Saya sempat ikuti sebenarnya, terutama sebelah malam, bercendoi-cendoi hambat Anuar Ibrahim dan lain-lain kerana nak dengar kot-kot dia nak bersumpah.

Saya puas memesan kepada kawan-kawan, tolong beritahu kalau ada program ceramah dari Izam atau Khairi atau mat-mat dari Umno. Tapi satu pun tak dapat beri maklumat. Saya tidak tahu kenapa program ceramah mereka tidak didedahkan.

Yang ada hanya helikopter terbang malam di sekitar ceramah keAdilan, menyuluh di serata padang, bising dan hingar.

Tapi malangnya hal-hal yang menarik mengikuti perkembangan di Permatang Pauh, saya menjadi jijik dan meluat apabila membaca akhbar harian, menonton TV kerana tak ada satu pun yang betul dari pembangkang. Tak ada yang salah sebiji tahi mata pun dari BN.

Maka kerana itu saya memengap saja di Perpustakaan. Lebih baik saya menyiapkan buku JIWA HAMBA yang diminta oleh Presiden CAP menulisnya. Kontennya bagus, iaitu prihal yang menyebabkan orang Melayu jadi malas, penakut, tidak berani menentang, tidak kritis dan yes tuan ialah kerana kita sejak dulu di ajar dengan sembah takzim, ampun berjuta ampun, tunduk dan angkat tangan sembah, meniarab melutut.

Kita dilengkongi khurafat dan bidaah, syirik kononnya itu adalah adat.

Jadi tengah dok pulunlah ni.



21 Ogos 2008 jam 3 petang mesyuarat Majlis Kebudayaan Negeri Kedah. Terima kasihlah YB Dr. Hamdan kerana lantik secara rasmi.
Mesyuarat hari itu barulah terbongkar sikit-sikit perihal MKNK zaman dulu-dulu yang saya tinjau dari jauh. MKNK zaman dulu-dulu selalu buat rombongan ke luar negara. Ketika itu saya amat teringin nak jadi AJK. Tapi mimpi saya tak pernah makbul.



Dalam agenda lain-lain hal, saya beri sikit pandangan kepada YB selaku pengerusi. MKNK bertanggung jawab menghidupkan budaya. Kedah akan gah melalui budaya. Kerana itu MKNK perlu mencari, mencipta indentiti, imej budaya Kedah agar ia gah.

Saya ingatkan juga, duit ringgit kenalah telus. Ini kunci. Hati-hati dengan program budaya. Jangan campur aduk lagi dengan budaya khurafat. Dulu, asalkan nama budaya, caca murba jadinya. Kini Pas perintah, kenalah jaga, setidak-tidaknya macam Kelantan.

Demikianlah. Dalam perjalanan balik, penerbit Alaf21 pula telefon, minta novel baru pula. Hahhh, inilah yang jadi sampai tak sempat cabut rumput depan rumah.

Bagaimana pun saya kena atur waktu betul-betul: ketika mana nak siap novel pasal radioaktif di Bukit Merah, mana nak siap buku CAP Jiwa Hamba dan mana pula nak siap novel yang diminta Alaf21.

Cup-cup Klasik Nasional pula minta drama. Habis, waktu mana nak tulis Harakah? Yang jelas, ada kala tak bercakap dengan bini tiga hari. Kalut.

Jangan Melakukan Kerosakan!

Posted by Tukya Labels:

JANGAN MELAKUKAN KEROSAKAN!
-Azizi Hj.Abdullah

Dalam buku Islam dan Ekologi susunan Fazlun M. Khalid dari Brimingham menulis bahawa surah Rum ayat 41 mungkin mengandungi telahan Tuhan bagaimana kerosakan yang bakal berlaku secara besar-besaran seperti kerosakan hari ini.

Ayat 41 surah Rum berbunyi seperti maksud: “ Telah kelihatan kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang mereka telah lakukan supaya mereka kembali insaf.”

Yang demikian telah pun kita lihat dan manusia telah merasai akibatnya seperti pencemaran air disebabkan tangan-tangan manusia itu sendiri. Lebih 25,000 orang mendapat penyakit setiap hari akibat menggunakan air kotor. Setiap hari lebih 20 juta tan air kotor dialirkan ke laut. Seramai 1,200 juta penduduk di luar bandar menggunakan air yang tidak selamat. Hampir di seluruh dunia sungai-sungai tercemar.

Semuanya disebabkan tangan-tangan manusia!

Setiap tahun kira-kira 14-20 juta hektar kawasan hutan hujan tropika sedang mengalami kemusnahan seperti di Afrika, Asia dan Amerika Tengah. Di Eropah seluas 50 juta hektar daripada 141 juta hektar musnah akibat hujan asid.

Tsunami yang melanda dunia, terutama di sebelah rantau ini juga mencatatkan kerosakan paling dahsyad, yang bukan saja harta benda tetapi juga nyawa manusia. Selain dari pergerakan kerak bumi dan lain-lain fenomena alam, kemusnahan pantai dan daratan dikatakan sebab manusia memusnahkan jajaran dan pokok-pokok bakau.

Demikian di antara kerosakan akibat tangan manusia, walaupun Rasulullah pernah bersabda: “Dunia ini hijau dan cantik dan Tuhan telah melantik kamu sebagai pengurusnya. Dia melihat apa yang kamu lakukan.- Muslim.

Tapi manusia tidak peduli!

Atas nama kerosakan atau ‘fasad’ yang dilakukan oleh manusia sebenarnya menggambarkan manusia tidak ada rasa tanggung jawab atau tidak bertanggung jawab terhadap alamnya atau alam sekitar. Manusia rakus, manusia tamak dan manusia tidak bertimbang rasa.

Sikap tidak beretika terhadap alam sekitar banyak berpunca daripada hakikat bahawa Islam dianggap sekadar satu set kepercayaan dan bukan satu cara hidup, ‘manhaj hayat’ kata Sarjana Sayed Qutub.

Catatan di atas sekadar menggambarkan betapa manusia telah mencemari alamnya sendiri sehingga kejadian terakhir kini ialah tsunami. Manusia tidak melakukan seperti yang disabda oleh Rasulullah : “ Buatlah dengan perasaan gembira, asalkan kamu lakukan untuk kebaikan, bukan kerosakan, sebagai penanam, bukan perosak.”

Dalam hal-hal lain, seperti perundangan misalnya, manusia sudah banyak melakukan pencemaran sehingga ketelusan undang-undang itu menjadi bengkuk, kotor dan tidak beretika. Anihnya yang melakukan itu bukan dari golongan yang tidak tahu undang-undang sebaliknya mereka yang terdiri dari pengamal dan ahli undang-undang itu sendiri. Inilah pencemaran yang paling huduh dan buruk.

Sejarah kerosakan alam di negara kita Malaysia sehingga berlaku gondol bukit bukau, hutan rimba ditebang secara haram, pegawai hutan bersubhat dengan pembalak. Pasir sungai dikorek tanpa kebenaran, manakala pegawainya menerima rasuah.

Sejarah pencemaran dan kerosakan politik, budaya dan undang-undang pula, yang paling ketara ialah sejak pemecatan dan penangkapan Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ia bukan saja dikatakan tidak menasabah, pelik dan tidak masuk akal, tetapi juga bersifat lucu.

Malangnya mereka yang mencemar dan merosakan sehingga sampai ketahap tidak menasabah, pelik dan tidak masuk akal tidak pernah tersentak dengan akhir ayat 41 surah Rum ini yang berbunyi ‘...kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang mereka telah lakukan supaya mereka kembali insaf.’

Tulisan ini tidak sekali-kali menyebelahi Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tidak juga menyebelahi pihak yang mendakwa, juga tidak kepada pihak penguasa. Ada baiknya kita sama-sama melihat dari sudut kemanusiaan, budaya dan adap sopan individu.

Meninjau dari sudut politik, apa yang kita dapat selain dari menghenyak yang dituduh menjadi manusia biasa dan terlucut dari jawatan. Tetapi akhirnya tidak sampai satu abad, manusia itu muncul kembali atau mungkin manusia seperti itu akan muncul pula. Sedangkan jika kita muhasabah dan menganalisa, tidak ada siapa yang untung. Contoh yang paling ketara ialah apa yang berlaku kepada Mandela. Puluhan tahun dia dipenjara, diseksa. Tetapi kemudiannya muncul menjadi manusia contoh seluruh dunia.

Orang tidak pernah meninjau kembali tentang firman Allah di akhir ayat 41 surah Rum, seperti yang dinukilkan di atas. Tidak pernah orang mahu berkata; Lihat apa sudah jadi dia yang mencipta kesalahan dan memberi hukum? Orang tidak pernah menghukum tentang kenyanyukan yang mencipta konspirasi, sampaikan taraf yang tinggi yang pernah dicapainya, lalu apabila dia berucap diketawakan orang.

Orang tidak pernah terkedu dan beristighfar, malah bangun malam bertaubat, ketika mana ada insan-insan yang koma dan kelu lidah berbulan-bulan. Dan orang tidak pernah bertanya, apakah benar wahai Tuhan, firmanMu dalam ayat 41 surah Rum?

Orang tidak pernah membuat bandingan, siksa dan teruk dalam penjara bertahun-tahun dengan derita sakit sampaikan bacaan Yasin seribu kali belum juga dimakbul Tuhan. Orang tidak pernah ambil iktibar bagaimana sumpahan ‘fasad’ yang dilakukannya, sampaikan dia terkedang di hospital speceial berpindah kepada wad pesakit biasa.

Orang tidak pernah mengukur akibat dari mencemar hukum, membengkuk undang-undang, memfasadkan kebenaran, maka ada manusia yang menjadi kera sumbang di hujung dahan, lembik dan lemah sendi tulang. Orang tidak pernah merenung kepada manusia itu, bagaimana tebalnya muka apabila dia berdepan dengan orang ramai.

Secara terus terang, tidak ada orang berkata: Nah, itulah akibat melakukan fasad dalam undang-undang, dalam politik dan dalam, budaya.

Kenapa begitu? Jawapannya kerana manusia kita ini tersangat lama dididik dan diasuh supaya bencikan agama.

Kita bertanya lagi, apa untungnya? Wang, atau merasa puas kerana berjaya menjatuhkan maruah orang lain atau mendapat tekanan atau inginkan kedudukan?

Jawapannya mudah: Kembali kepada agama. Kemuliaan seseorang ialah taqwa. Mendapat taqwa bukan dengan cara menghukum dan memfitnah.

Tulisan ini bukan pembelaan terhadap manusia yang bernama Anwar Ibrahim. Tulisan ini bersifat kemanusiaan dan hujahnya eloklah mengambil contoh apa yang berlaku kepada manusia ini. Soal, sama ada manusia Anwar salah atau tidak, itu soal lain. Tidak ada manusia yang tidak melakukan kesalahan. Manusia tidak sempurna, melainkan Rasulullah.

Jika begitu halnya, nyatalah manusia yang melakukan fasad. Tetapi sehingga hari ini, dalam beberapa kes melakukan fasad ini masih tidak mahu menerima hakikat di akhir ayat 41 surah Rum.

Sebab itu ada golongan tertentu sanggup mendesak agar bersumpah menjunjung Qur`an kerana mereka yakin dengan bersumpah begitu kefasadan tidak akan terbukti. Yang menang ialah politik.

Anak-anak muda yang jambu-jambu zaman 50-an,60-an malah hingga kini, apabila mereka diseret ke dalam semak, atau di sudut-sudut masjid selepas Tarawih bulan puasa lalu disodomi, betapa bencipun kepada kawan-kawannya, dia tidak akan mengadu kepada imam atau penghulu atau kepada bapanya kerana malu.

Berapa banyak pula budak-budak pondok zaman dulu, yang disodomi, suka sama suka, malah ada yang jatuh cinta sesama sendiri. Tapi bila yang dicintainya menikah, dia kecewa tetapi tidak pula diadunya kepada polis bahawa yang menyintainya dulu, pernah sodomnya berlaki-kali.

Bayangkanlah betapa besarnya rasa malu kalau kita memberitahu orang kampung bahawa si Bangla hidung mancung telah sodomi kita? Akibatnya pasti orang ketawa berdekah-dekah. Kena sodom malunya lain dari kena rogol. Yang kena rogol pasti akan mengadu dan yang merogol selalunya berdiam diri sehingga hari perbicaraan.

Tetapi lainnya kalau yang kena sodomi, apa lagi kalau sampai berkali-kali. Dengan akal yang sempurna, haram panah lintar dia tidak akan memberitahu orang lain bahawa dia kena sodom atau dia telah disodom beberapa kali, kecuali kalau mereka itu dari golongan Maknyah di Jalan Bukit Bintang atau di Lorong Hj Taib atau dekat Panggung Celsium. ( kalau di Pulau Pinang Jalan Perlis, di Alur Setar di Station Keretapi)

Dalam sejarah yang kita tahu, sepanjang mengauli Maknyah, tidak pernah ada sekerat pun Maknyah yang menungging punggungnya kepada doktor minta diperiksa untuk mempastikan kuman atau penyakit. Yang ada ialah sesama mereka berbual tentang si anu itu besar dan si anu ini pendek lalu mereka ketawa berdekah-dekah.

Tetapi dalam dekat mutakhir ini kita telah menyaksikan hal seperti ini. Apakah kita sudah rosak budaya atau melakukan fasad budaya dan fasad etika kemanusiaan?

Sodomi bukan tidak pernah berlaku. Dalam Qur`an ada diceritakan, malah hingga kini berlambak-lambak. Tidak pula kita dengar pemuda lembik yang jual air tebu membuat aduan atau penari ghazal parti yang buat ripot.

Oleh itu kita berharap, apabila berlakunya kes-kes seperti ini sehingga sampai kepada kandang mahkamah, berhati-hatilah agar jangan terjadi seperti yang disebutikan oleh Allah dalam ayat 41 surah Rum. Kita sangat bimbang, sejarah akan berulang bagaimana ada yang terlibat dulu menerima ‘hukuman segera’ atau ‘cash’ dari Tuhan.

Sekali lagi tulisan ini tidak sekali-kali menyebelahi apa yang berlaku terhadap Mantan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tidak pula menyalah kepada pihak lain.

Kita bercakap atas dasar, jangan sekali-kali melakukan kerosakan berdasarkan ayat 41 surah Rum, kerana akibat melakukan kerosakan hasil dari tangan sendiri sangat buruk. Ini termasuk juga jika berlaku kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Satu Catatan Perjalanan: BERSAMA GAPENA KE THAILAND

Posted by Tukya Labels:

Satu Catatan Perjalanan:

BERSAMA GAPENA KE THAILAND.


Menelusuri bersama Gapena (Gabungan Penulis Nasional) yang diketuai oleh Tan Sri Prof. Ismail Husain, dengan ditemani oleh Datuk Zainal Abidin Borhan, Datuk Zainal Kling bersama Ketua Satu Kerabat Gapena seperti Drs. Anuar Asmadi 2PNP, Saidun Hj Shaari Ketua Satu ASASI, Abham TR Ketua Satu Puspa, sangat menarik walaupun sangat lelah.

Bersama Tan Sri Ismail Husain Ketua I Gapena di Restoran Langu. 1.8.2003

Turut bersama ialah Saifurullah dari Makasar, Jamal Tukimin dari Singapura.

Bertemu di Danok pada jam 9 pagi 1 Ogos 2008 kemudian berangkat terus ke Pakbara, Satun yang memakan masa selama 3 jam.

Di Jeti Pakbara untuk ke Pulau Taratao, kami disambut oleh Timbalan Gabenor Satun, Mr. Kwan Chai Wongnitikon dan pegawai-pegawainya. Sangat baik dan ramah. Kami diberitahu, Pulau Taratao adalah pulau yang pada satu masa dahulu menjadi tempat kediaman sementara mereka yang dijatuhkan hukuman bunuh.

Sangat menarik apabila diberitahu tentang pulau yang dikelilingi dengan pulau-pulau lain, yang dari Langkawi hanya 4 kilometer sahaja. Pulau yang terletak di kawasan Laut Andaman ini menjadi kami tergamit-gamit segera ke sana.

Tapi malangnya untuk ke sana pada masa kini dilarang oleh kerajaan Thailand. Bagaimana pun di atas jasa baik Timbalan Gabenor, kami dibenarkan juga pergi.

Dengan menaiki bot tangkapan ikan, kami meredah laut Andaman dan lebih dua jam barulah kami sampai.

Memang tak diduga langsung. Tidak ada pelancong seorang pun. Tidak ada kenderaan, kecuali lori yang akan membawa kami sahaja. Yang lain, hanya satu krew pengambaran filem Thai.

Selama lebih dua puluh minit dari jeti, barulah sampai. Pantai dan kawasan memang cantik, tapi tak ada manusia, kecuali pekerja lima enam orang. Kami hanya makan nasi bungkus. Kasihan kepada Tan Sri Ismail Husain yang terpaksa makan nasi dan kopi bungkus.
Acara tidak ada kecuali satu penerangan dari Timbalan Dekan Universiti Islam Yala, Prof Dr. Ahmad Omar tentang umat Islam di wilayah pantai barat dan kedudukan orang Melayu di beberapa wilayah.

Bagaimanapun perbincangan berlaku bagaimana memertabatkan bahasa Melayu jika pihak Malaysia dan umat Melayu Islam di wilayah ini bekerjasama.

Bersama Datuk Zainal Abidin Borhan, UM. Di Pulau
Taratao



Jam 11 malam elektrik yang hanya menggunakan generetor dihentikan. Bayangkan tidur dalam keadaan gelap, tanpa kipas angin.

Saya terpaksa berjegil mata mendengar ombak pantai hingga 2 pagi kerana panas dan nyamuk.

Tidak ada apa yang boleh dimakan kecuali jika membawa bekalan roti kering. Kami terpaksa menahan perut hingga jam 12 tengahari untuk mendapat sebungkus nasi goreng. Kemudiannya berlepas balik menuju ke satun.

Malamnya 2 Ogos 2008 satu majlis memperingati dan memperkatakan tentang karya seorang pemimpin Melayu Satun, di pakarangan rumahnya dalam bandar Satun. Allahyarham ialah Che Abdullah Lang Putih yang lahir pada 1890. Disamping penulis yang banyak menulis buku, beliau juga seorang hakim dan ahli parlimen.

Dari riwayat yang disampaikan, kehebatan beliau ialah Parlimen akan berhenti bersidang kerana memberi penghormatan kepadanya jika tiba waktu solat.

Saya telah diberi kesempatan membicarakan buku beliau ‘Dua Badan Satu Jiwa’ yang terbit tahun 1372 Hijrah.

Semua keluarganya, termasuk anak bungsunya yang berusia 60 tahun lebih menyambut kami dengan baik. Majlis yang dihadiri pembesar, termasuk Gabenor Satun, umat Islam sekitar sangat bermakna.

Bagi saya majlis malam itu yang dilaksanakan oleh Gapena dengan kerjasama pegawai-pegawai daerah Satun, Us. Mohamad Amin yang kini menjawat sebagai Sepiker telah mengkisahkan perihal Hj. Abdullah Lang Puteh dengan baik sekali.

Ternyata kembara Gapena ini, walaupun penat dan melelahkan kali ini memberi impak yang baik.

Keesokan harinya 3 Ogos 2008, di pagi hari lagi kami dijamu pula dengan makan pagi yang lazat di kaki lima kedai kemudian kami berpecah seperti anak ayam hilang ibu. Masing-masing balik ke jalan sendiri. Tan Sri Ismalil sendiri balik ikut Wang Kelian sedang saya dengan tiga lagi kembali ke Danok.