Saksikan!
Drama SANGEETHA
di RTM 2
Hari Raya ke-3
-Azizi Hj Abdullah.
Memang muakpun melihat ramai ahli-ahli Pas, terutama kalangan anak-anak muda, apabila berbadan Pas tetapi berbaju Keadilan. Sesekali semacam hendak menyindir betapa aqidah kepartian mereka sangat senang digoncang hinggut oleh pengaruh apa yang dianggap ‘reformasi’. Bagaimanapun maksud sedemikian tidak jadi apabila berpegang kepada seruan pemimpin tentang perlunya menafikan 2/3 BN. Pembangkang perlu disokong.
Termasuklah saya pun, selalu tergila-gila menyertai ceramah KeAdilan, menyumbang sesuatu tetapi kerana badan sudah tua, kerja seperti Unit Amal saya tidak lakukan.
Jika mahu mengimbau kembali Pilihanraya Permatang Pauh 26hb Ogos 2008, sebenarnya telah kelihatan ramai ahli-ahli Pas semacam sudah menjadi ahli Keadilan, malah mereka lebih Keadilan dari Pas, mabuk rasa mabuk nama. Mereka seperti Mat Rempit menaiki motosikal dengan baju KeAdilan, lambang dan bendera KeAdilan lalu singgah di markas-markas KeAdilan dan Pas. Lagak mereka, mereka telah merengkuh habis berbakti kepada KeAdilan.
Ketika berselisih dengan rakan-rakan (ketika ini sudah tidak ketahuan lagi yang mana Pas yang mana KeAdilan) sangat payah hendak membeza yang mana orang KeAdilan dan yang mana orang Pas. Mereka akan melaung dan menjerit ‘Reformasi’ dan bukan lagi ‘Allahu Akbar.’
Yang lebih mendukacitakan, ketika Pilihanraya ke 12 pada 8 Mac yang lalu, ada ahli-ahli Pas lebih menumpukan kerja buat, gerak amal, mencula undi dan tercongok di Pondok Panas KeAdilan lebih dari Pas, jika kawasannya calon Pas tetapi kawasan sempadannya calon KeAdilan.
Yang lebih malang pula apabila seorang YB KeAdilan yang cuba memperjuangkan maruah Islam atas nama sebagai individu Islam, membantah kepada kumpulan yang hendak merosakkan perjalanan undang-undang Islam, lalu Parti KeAdilannya hendak mengambil tindakan, orang-orang Pas ini juga marah-marahkan kepada calon tersebut.
Terakhir, dari mulut ke mulut mereka impikan peralihan kuasa melalui KeAdilan (PKR) dan apabila ada pemimpin Pas berceramah, mereka akan merungut dan membeber mulut jika pemimpin Pas mengupas soal Peperangan Kubra atau Nuzul Qur`an dalam kontek politik kini, kerana pemimpin Pas itu tidak mengulas dengan penuh semangat bagaimana peralihan kuasa dan kewibawaan Dato’ Seri Anwar menjadi pemimpin.
Contoh yang digambarkan di atas bukan atas niat cemburu atau sakit hati atau menidak pentingnya kejayaan PKR. Sebaliknya kerana hendak menyambung apa yang diucapkan oleh Presiden Pas, Tuan Guru Hj Hadi Awang ketika berucap di perhimpunan Nuzul Qur`an di Kompleks Pas Kota Sarang Semut pada malam 17 Ramadan yang lalu.
Memanglah Presiden Pas itu tidak membuat gambaran seperti senario di atas. Bagaimanapun kerana sikap dan gaya begitu, budaya baru ahli-ahli Pas, maka Presiden mengingatkan begitu.
Sangat penting apabila Presiden Pas mengingatkan semua ahli-ahli Pas agar tidak terlalu terbawa-bawa dengan usaha membentuk kerajaan baru hingga sanggup mengenepikan ideologi parti itu untuk menubuhkan sebuah negara Islam.
Yang lebih penting dan perlu diingat ialah bagaimana perlunya konsisten dengan dasar perjuangan, jangan lari dari jemaah.
Kemungkinan jauh di sudut hati Presiden, kebimbangannya ialah tidak mahu berlaku kepada ahli-ahlinya yang kononnya sudah mantap dengan aqidah perjuangan, jadi seperti peperangan Uhud; kerana sesuatu, meninggalkan medan perang sehingga lupa kepada pesan pemimpin.
Memang apa yang digambarkan di atas berlaku bukan saja ketika Pilihanraya Kecil Permatang Pauh pada 26 ogos yang lalu, sebaliknya berlaku di mana-mana ketika pilihanraya ke 12 yang lalu.
Begitulah seperti kata pepatah; lebih sudu dari bubur, berat rantai dari beruk yang ditunjukkan oleh sesetengah ahli Pas apabila berhadapan dengan parti PKR malah PKR sendiri selalu mendabik-dabik dada pula terhadap Pas apabila dilihat pengaruh mereka lebih kuat dari Pas, sedangkan tenaga kerja, sehinggalah menampal postar tetap bergantung kepada Pas.
Saya berpengalaman dalam soal ini ketika Pilihanraya ke 11 yang lalu, apabila menjadi Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) dalam menghadapi pilihanraya dan ini berulang dalam pilihanraya ke 12 dalam kawasan di mana calon PKR bertanding.
Kita dapati semangat dan roh, dasar malah prinsip Pas benar-benar susut. Ahli-ahli Pas seperti menjadi ahli baru KeAdilan. Mereka berbangga.
Kita menyebut ini bukan bermaksud menghulur pisau untuk mencantas tali hubungan dan meretak Pakatan Rakyat. Tetapi kita mesti ingat, bagi mereka yang beragama Islam, yang belajar sedikit sebanyak asas agama, apabila memasuki parti, mereka pasti memahami dasar perjuangan, dasar partinya dan itulah pasak pegangan politiknya.
Manakala soal menyokong pakatan untuk menafikan 2/3 majoriti BN soal lain, tetapi bukan menggadaikan dasar dan aqidah politik dari sudut agama yang dipegangnya. Ini soal “ Roditu Islama Dinna!” atau "Kami redo Islam itu agama kami!” Ini bererti jika dalam soal lain, kita sokong menumbangkan BN tetapi dalam masa yang sama kita tidak rela gadaikan Islam.
Inilah soalnya dan inilah yang diperingat oleh Presiden Pas.
Tetapi malang, sebahagian besar pengikut Pas, malah sesetengah dari kalangan pemimpin Pas sendiri sudah terikut-ikut, terbawa-bawa malah sampai menjadikan Penasihat Parti Keadilan sebagai ‘anak angkat’ dan bukan mustahil sebagai ‘anak emas’ pula.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz, selaku Mursyid Am kelihatan lebih berat condongnya, lebih tebal fanatiknya terhadap Presiden Parti Keadilan walaupun tidak merestui 100% dasar perjuangan Parti PKR.
Tetapi Tuan Guru lupa, menyokong berlebihan, mengeluar kenyataan yang hebat-hebat sama dengan menyokong dasar perjuangan Anwar Ibrahim. Ini bukan soal kebenaran Dato' Seri Anwar dalam menghadapi fitnah, tetapi ini soal kebenaran dasar parti.
Kenapa membolehkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz menegur Mustafa Ali dan menegaskan Mustafa, sama ada sebagai penganalisis politik atau Pengarah Strategi Pilihanraya adalah sama. Jika teguran ini benar, benarlah juga apabila kita memberi sokongan berlebihan kepada Anwar, bererti juga kita membenar dasar PKR.
Ini kesilapan kita. Ini tarbiah yang tidak disedari oleh Syura Pas ketika berhadapan dengan kebangkitan pengaruh Anwar, sehingga ahli-ahli Pas sudah jadi anak ayam lupa kepada ibunya lalu suka sangat kepada bapa itik.
Maka kerana itu, kita berpendapat teguran dan peringatan Presiden Pas di Kompleks Pas Kedah pada 17 Ramadan bukan saja sesuai tetapi sangat perlu dilihat oleh semua peringkat. Kita percaya Presiden sangat kuat mempercayai dan menyintai dasar Pas dan bimbang ahli-ahli Pas lupa tentang dasar sendiri.
Jika trend dan kecenderungan ini berlarutan, ditakdirkan pula PKR menerajui pemerintahan negara, saya sangat kuatir anak-anak muda malah ahli-ahli Pas sendiri yang kini sudah mulai menggilai Dato' Seri Anwar Ibrahim akan berbondong-bongdong mengangkat bungkus minta dibenarkan mengemis di serambi rumah KeAdilan.
Apakah demi kerana kita mahu menafikan majoriti 2/3 BN atau terus menumbangkan BN maka Pas sanggup menggadaikan prinsip, dasarnya? Jika jawapannya tidak, maka Pas mulai sekarang, melalui pakar strategiknya, melalui penganalisa politiknya mestilah cepat membendung pengaruh ini, terutama di kalangan anak muda. Selain dari dasar dan prinsip agama, soal unsur sekular juga mestilah diambil kira.
Contoh yang paling mudah:
Bagaiamana mahu menarik anak muda supaya cenderung kepada pakaian jubah dari memakai kot? Kacaknya Anwar Ibrahim kerana tidak memakai jubah dan selekehnya bukan Anwar kerana serban dan jubah.
Kecenderungan kepada Anwar bukan kerana dasar partinya 100% tetapi kerana beberapa sebab. Di antaranya kerana simpati, ketokohan, berpidato yang tidak menjemukan. Apakah kerana pengaruh ini Pas tidak dapat mengawasi ahli-ahlinya dan jika mengawasi, dengan cara yang bagaimana?
Tumpahlah air mataku, ketika menerima SMS petang kemarin apabila diberitahu Tan Sri A. Samad Ismail meninggal. Aku sayang kepadanya. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.
Kematian!
Aku masih tidak dapat membuka simpul kusut fikir tentamng ini. Mustahil aku boleh marahkan Tuhan tapi aku kagum dengan kehendakNya dan kuasaNya. Mengapa berbilion-bilion manusia lahir, sakit yang berlainan, bangsa yang berlainan, status yang berlainan, kulit yang berlainan, profesion yang berlainan tiba-tiba semua jadi macam Allahyarham Pak samad Islamil, iaitu mati!
Ini yang menjadi aku pelik. Kenapa bilion manusia mesti melalui satu ketentuan, iaitu mati? Anih, berbilon manusia sejak Adam hingga ke saat Allah Yarham Pak Samad, semuanya menuju kepada satu lubang, iaitu mati!
Tidak bolehkah manusia yang ramai meremut-remut di dunia ini di bawa ke tempat yang berlainan, bukan ke lubang mati?
Ada orang marahkan aku kerana menimbulkan soalan gila ini. Biarkan. Mereka pemalas berfikir. Tapi itulah, cuba renung dan fikir betul-betul, kenapa Tuhan membawa makhluk yang dijadikannya kepada satu ketentuanNya saja; Mati!
Bukankah anih bilamana ada yang sakit jantung, lubang hayatnya mati! Ada yang kanser, akhir hayatnya mati!. Ada yang pening, juga penghujung hidupnya mati. Yang pelik, ada yang koma berbulan-bulan sampaikan hospital pun meluat, menuju kepada mati juga? Ada yang lembik tangan, lumpuh sebelah, lumpuh semua, baca punya baca Yasin minta selamat, hujungnya mati juga. Dan petani yang sering menghadapi siput gondang di sawahnya, pun buku hidupnya di tutup dengan mati.
Kenapa dengan mati? Dan Pak Samad, Bapa Wartawan yang aku kagumi, kenapa juga dinamakan ia mati setelah dia menghembuskan nafas? Adakah kerana tidak bernafas maka orang menganggap mati? Apakah kerana tidak ada roh, orang mengangggap seseorang itu telah mati? Apakah kerana dilanggar motosikal, maka orang itu dikatakan mati? Apakah kerana dia seorang pejuang yang mengikat bom jangka di badannya lalu merempuh asykar Amerika di Iraq, dikatakan mati?
Sangat pelik rahsia Tuhan semesta ini. Ribuan cabang dan cara, bercabang-cabang ciptaan, teknikal dan fiziknya, ke situ semunya di hantar. Ke semua masuk ke lubang mati. Anih Tuhanku!
“Takut mati?” begitu S.M.Idris, bos CAP yang aku temuinya satu hari ketika aku juga memberitahu bahawa aku sudah tua, tidak kuat lagi hendak menulis.
Aku hanya tersenyum melihat ketuaannya dan penuaan dalam kehidupannya juga anih. Kemudian aku mengaku.
“Jangan takut. Tuhan sudah sediakan sangkar kehidupan kepada yang bernyawa, iaitu sangkar mati. Semua orang akan ke sana!” katanya.
“Tapi saya tak mau lagi,” aku menolak dengan alasan aku takut.
S.M.Idris yang berjanggut dan bermisai putih, yang seumur hidup berpakaian putih satu fesyen sahaja itu tersenyum. Ternyata dia sangat mengetahui kebodohan aku. Dengan menampar tapak tangannya ke meja, dia berkata:
“Heeyy you, mati itu ertinya pergi. Go! Hukum alam ada lawannya. Kalau sudah ada datang, mesti ada pergi. Satu ruang mesti satu benda. Satu ruang tidak boleh dua benda.”
“Saya tak faham.”
“Kalau sudah hukum, apabila ada yang datang, kita mesti pergi. Kita kena fahamlah, Kalau sudah orang datang, kita mau tunggu apa lagi?” katanya dengan ketawa. Janggotnya diusap-usap. “ Kita sekarang sudah buat kerja. Kalau sudah habis kerja atau Tuhan tidak izin kita kerja lagi, apa mau tunggu. Pergilah!” katanya.
Kata-kata inilah yang sangat menggejolak kotakfikirku. Apakah Tuhan senantiasa menghambat manusia, atau Tuhan sering melontar seseorang kemudian menolak pergi seseorang?
Lalu aku mendapat jawapanya; Tuhan menyediakan lubang mati, bererti Tuhan menyediakan alam lain. Kerana itu manusia mati, termasuk mungkin abangku yang akan ke Mekah tahun ini. Jika begitu aku sepatutnya marahkan mati, kerana adanya ruang mati, manusia pun dihantar ke sana? Kerana adanya daerah mati, manusia terlompat ke sana? Kerana adanya kubur, maka manusia terbenam mati? Dan kerana adanya ketentuan yang bernama mati, maka manusia yang aku sayangi dan hormati seperti Pak Samad Ismail ia juga dihukum mati?
Ya Allah, jangan ada sesiapa yang menuduhku mulhid atau ethis kerana kekacauanku bermula dengan kepakpatah cakap S.M. Idris tempuh hari.
Aku menerima berita kematiannya melalui SMS. Sepanjang pemanduanku di Lebuh Raya BKE menjadi terlelong-lelong. Sayu sangat. Pak Samad bukanlah guru seratus peratus bagiku, tetapi ia banyak memberi semangat dan rangsangan malah sesekali lucu. Aku masih ingat ketika aku berkursus di Teluk Kemang di tahun 70an dengan beberapa orang kawan penulis lagi. Dalam satu sesi soal jawab, aku beranya kepadanya: “Pak Samad, perlukah seseorang penulis itu jujur?”
Pak Samad memang kenal aku dan aku sudah lama kenalnya. Lubang hidungnya agak ketara dengan cermin mata sedikit hitam terletak di atas batang hidungnya. Yang nampak segak ialah kening hitamnya sangat lebat. Indentitinya cakap garang dan loqlak. Dari wartawan pelatih, dia dikenali sebagai pencarut tetapi dialah yang sangat bertimbang rasa.
Ya Allah, tak mampu aku mencungkil ingatan lama aku ini. Jantung aku berdebar?
“Azizi,” hampir-hampir dia jerkah dalam sesi soal jawab itu. Kami berhimpun di Rumah Rehat Teluk Kemang ketika itu dan paling lucu penulis yang hadir ketika itu dari haprak-haprak belaka. Pagi-pagi dengan kain seilmut bercangkung di pintu rumah rehat. Di restoran makan pagi, minta pulut nyiur kukur dengan ikan kering.
“Kau tanya apa tadi?” ulangi Pak Samat.
Aku sudah naik gelabah. “Perlukah seseorang penulis itu jujur?”
“Jujur kepala hotak hang. Cuba kalau diberi hang betina, hang kongkek tak?”
Ya Tuhan, semua kawan-kawan aku ketawa terbahak-bahak. Aku tersipu-sipu malu. Selepas itu barulah timbul polimik, perlukah penulis itu jujur dalam penulisannya.
‘Pak Samad...’ aku tak sanggup menimbulkan nostalgia bersamamu kerana aku sangat sebak.
Aku pasti Tuhan tidak akan menjawab jika aku bertanya selepas solat bila-bila masapun, mengapa dan kenapa Engkau adakan ‘mati’ untuk mengakhirkan kehidupan manusia. Betulkah Tuhanku, kalau aku hambamu kata, semunaya untuk menerima balasan atas apa yang manusia lakukan. Jika tidak ada mati, masakan manusia dapat menikmati hasil amalan baiknya atau merasai balasan jahatnya?
Tiba-tiba HP Sony Ericson aku berbunyi. Ini juga satu gangguan untuk mematikan kelocak gelombang fikirku. Maka aku pun mematikannya begitu sahaja tanpa perlu aku menjawab.
Sekali lagi aku merasa cukup anih Tuhan Maha Bijaksana Alam Raya ini. Ia mematikan semua makhluk atas satu nama; Mati! Walaupun mati berlainan. Memang anih kiranya mayat itu dibakar atau disalai seperti adat Toraja, tetapi hakikatnya semua ‘mati!’
‘Alangkah baiknya kalau tidak ada mati!”
Aku terasa seorang iblis ketawa di belakangku.
‘Mengapa orang seperti Pak Samad juga ditamatkan dengan kematian?’
Aku terdengar seeorang sayitan khunsa membisik ke telingaku memberi tahniah.
‘ Kalau sudah orang datang, kita kena pergilah!’ demikian aku terimbau kata-kata Presiden CAP kepadaku tempuh hari.
Tidak! Pada petang itu ketikka aku memandu kereta di Lebuh Raya BKE, aku berhujah dengannya melalui cermin kecil keretaku. Aku letakkan dia dengan penuh kebencian lalu aku menunjal kata: Bukan sebab orang datang, kita kena pergi. Tapi kerana adanya apa yang dinamakan ‘masa.’
Semunaya kerana masa. A. Samad Ismail, yang menjadi bapa wartawan Melayu, pejuang kemerdekaan, pengarang tersohor, penulis novel, pemikir negara, tidak akan jadi begitu semuanya jika bukan kerana faktor masa. Masalah yang menjadikan dia wartawan. Masalah yang menjadikan dia pejuang kemerdekaan dan masalah yang menjadikan dia mampu menulis novel.
Masalah yang menjadikan A. Samad Ismail dipanggil Pak Samad dan masalah juga yang menyebabkan Pak Samad berusia 81 tahun dan masalah juga yang menamatkan hidupnya. Bukan mati!
‘Pak Samad...’ sangat sebak aku hendak menyebutnya.
Memang Pak Samad tidak mati. Aku tidak percaya Pak Samad atau orang-orang sepertinya, seperti Tun Razak, Aminuddin Baku, Prof Zulkifli Mohamad, Dr. Burhanuddin, Khumaini, Saddam, malah Muhamad bin Abdullah keturunan Qiraisy, Rasulullah tidak mati. Mereka hanya reput tubuh dan tulang. Mereka hanya tidak berkesempatan dengan kita kerana mereka tiada dan kita masih ada. Bukankah tidak ada, tidak boleh bersatu dengan ada?
Sekali lagi HP Sony Ericson aku berbunyi. Sekali lagi aku matikan begitu sahaja, sehinggalkah terdengar bunyi SMS.
Aku tidak tahu dengan siapa hendak aku berhujah. Aku tidak dapat lagi menahan kepiluan dan sedu sedan memikirkan Pak Samad tidak akan kembali lagi. Jika aku terkam ke KL pun, aku tidak akan dapat menghidupkan Tokoh Wartawan ini, Penertima Anugerah Magsasay ini, Tan Sri ini untuk menambahbaik semula pernafasannya. Dia sudah di katakan mati. Biar aku saja tidak akan berkata mati. Alasanku, selagi namanya disebut, seperti pejuang dan pemimpin lain, mereka tidak pernah mati.
Pak Samad hanya di rampas masa dan semua kehidupan bergantung kepada masa. Bagiku, jika tidak ada masa, manusia tidak akan jadi kanak-kanak, muda. Tidak akan jadi dewasa, tidak akan jadi tua. Masalah yang mematikan dan masalah yang memanjangkan hidup seseorang.
‘Jadi, bukan kerana mati, bukan keraja ajal?’ jika ini yang akan ditanya oleh sesiapa pun, aku tetap akan berkata tidak. Bukan kerana mati. Mati tidak akan berlaku jika bukan kerana masa. Masalah yang menentukan mati seseorang. Masa juga yang menjadualkan kemusnahan seseorang.
‘Kalau gitu, kena tanya Stephen Hawking yang menulis tentang permulaan masa, lohong hitam?’
Tiba-tiba HP Sony Ericson aku berbunyi lagi. Aku memekap ke telinga. “Hallo!”
“Balik kampung segera!” jawab suara dalam Hpku.
Ketika aku membuka SMS, aku dapati pesanan; Abang meninggal. Innalillahi wainna ilaihi ra ji`un.
Tuhanku, Maha Besar Engkau!
Aku tidak terkejutpun. Masalah yang telah menentukan dia sudah 84 tahun. Cuba kalau tidak ada masa, siapa pun tidak akan mampu menakuk takah usianya seperti Pak Samad yang kusayangi dikatakan berusia 84 tahun.
Masa!
Pak Samad, Innalillahi wainna ilaihi ra ji`un.
---------------------------------------------------------------
• Tan Sri A.Samad Ismail adalah bapa wartawan, pejuang, sasterawan.Aku banyak disendagurau olehnya semasa hayat. Beliau meninggal pada 4hb Sep 2008 (Khamis petang) dan dikebumikan pada 5hb Sep 2008.
• Aku menulis cerpen ini ketika rasa sedih merusuh sewaktu berada di dalam Masjid Negeri Pulau Pinang mengenangkannya. Dengan balunan sedih pilu, aku merengkuh menulis cerpen ini jam 2-30 petang (Jumaat) dan siap 3.30 ptg dan terus meng e-mail ke Mingguan Malaysia. Tersiar pada 7 Sep. 2008.-
Catatan 5hb September 2008 Jumaat; 5 ramadan 1429.
SATU KEBANGGAAN.
Ya Allah, jauhkan hambaMu ini dari perasaan bongkak, juah, takbur dan ego,riak. Amin!
1. Selepas merasa agak seronok menulis cerpen ‘Ilaihira ji`un’ yang mengkagumi ; bijaksananya Allah yang menjadikan makhlukNya berbagai ragam tetapi dengan kuasaNya dapat menamatkan hidup makhluk atas satu nokhtah saja, iaitu MATI.
2. Mengapa Tuhan mengakhirkan manusia yang hidup ini dengan mati? Ini satu persoalan yang menunjal dalam kepala. Bukankah baiknya dunia ini tidak ada MASA (Waqt atau Al Asr). Bukankah adanya MASA manusia boleh jadi muda, remaja dan manusia boleh jadi tua. Cuba kalau tidak ada masa dalam dunia ini, manusia tidak akan tua dan manusia tidak akan mati, kerana tua dan matilah ditentukan oleh MASA.
3. Akhirnya saya terjawab sendiri; kerana itulah ada janji di akhirat; baik dan jahat. Kerana ada janji syurga dan neraka. Itulah bijaksananya Allah yang tidak pernah mengembalikan seorang manusia pun kepada masa yang ditinggalkannya.
(Ditulis cerpen ini sempena kematian Tan Sri Samad Ismail yang saya sayangi. Hantar ke Mingguan Malaysia. Entah siar entah tidak)
4. Dengan capik sebelah kaki, saya menyangka tidak dapat menunai solat Jumaat dengan berdiri. Tapi Alhamdulillah, seronok dan rasa puas hati hari ini. Entah mengapa saya merasa bangga sangat bila berada di dalam masjid menunggu solat Jumaat. Saya hairan kenapa saya bangga dan megah?
5. Rupa-rupanya inilah perasaan yang mungkin disirna oleh Allah. Pada hal bukan tidak pernah berada di dalam masjid. Setiap Jumaat saya ada tapi tidak seperti hari ini.
6. Saya dapat rasakan kepuasan dan bangga ini seperti di tahun 1997 nan lalu, ketika saya dapat membantu menyorong kereta tolak seorang lelaki Iran sedang Sa`i. Kasihan melihat dia menolak dua kereta sorong sekaligus, satu ibunya satu isterinya yang cacat, saya minta satu kepadanya untuk menolong ulang alik ke Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali.
7. Lepas itu saya cukup merasa puas kerana dapat membantu manusia lain.
8.Jumaat 5 Ramadan ini, bayangkan...bayangkan apabila melihat semua Muslimin bertafakur kyusuk di dalam rumah Allah yang cukup damai, tenang. Betapapun mereka berlainan pakaian warna tetapi cara mereka mengadap, ya Allah, siapakah yang mampu memberi disiplin begini?
9. Mereka tekun membilang tasbih, amalan memetik lidah yang sangat menjemukan. Tapi mereka memetik dengan hati yang penuh jelera. Ya Allah, mereka tenggelam dalam fanaMu.
10. Khatib cukup sungguh-sungguh memperingatkan, marilah taqwa, marilah taqwa! Lalu diberinya rangsangan supaya mengisi Ramadan dengan secukupnya.
11. Bayangkan keikhlasan seorang hambaNya kepada jemaah hambaNya juga. Bayangkan pesanan dan motivasi itu tanpa mengambil upah walau satu sen. Di situlah kelihatan tidak ada seorang pun yang jemu, yang mensia-siakan, yang melaghokan.
12. Tidak ada penganut agama lain yang berdisiplin begini hebat.
13. Ketika solat hendak bermula, bilalpun melaramkan suaranya, bukan merdu tetapi sangat ikhlas mengajak setiap yang ada menuju kejayaan bersama kebesaran Allah. Bayangkan, apa yang bilal itu dapat jika semua mendapat kejayaan, melainkah ganjaran dari ikhlas ajakannyalah.
14.Maja berpusu-pusulah menerkam ke hadapan. Saya melihat satu perebutan kejayaan yang tidak ada cemburu dan busuk hati. Pada hal di dunia luar masjid, bertali temali amalan busuk hati, berebut jawatan dan tempat. Sampai tembak menembak, sampai menyimbah asit, sampai sanggup merasuah wang, berkelahi, baling kerusi dalam dewan.
15. Apa ni? Mengapa tidak mengikut budaya ketelusan dalam masjid setiap minggu? Mengapa tidak ada ikhlas? Mengapa tidak ada redho? Mengapa tidak ada yang mahu sedar diri, jika tidak layak, tak perlu ke hadapan, tak perlu jadi ketua itu dan ini?
16. Bukankah apabila berada di dalam, masjid mengajar kita, tidak ada perebutan untuk berdiri di hadapan dan berebut menjadi imam? Hari ini ya Allah, mereka redho semuanya, membiarkan seorang anak muda menjadi imam, selepas khatib yang muda juga berpesan-pesan, lalu mereka berbaris, melihat ke kiri ke kanan hendak menyamakan tumit lutut, meluruskan saf.
18. Ya Allah, alangkah bangganya saya melihat hari itu. Inilah umat Islam yang tenggelam dalam kenikmatan zauq jamaah.
19. Setelah mereka berhimpit-himpit, secelah sebiji bantal pun tidak renggang, mereka juga tidak cemburu dan busuk hati. Mengajak lagi di tepi kiri dan kanan, merapatkan lagi saf.
20. Ya Allah, sebak bangga melihat mereka. Mereka cukup rela. Tidak ada yang menjeling sakit hati, tidak ada yang cuba mengeras lengan, tidak ada siku menyiku, tidak ada yang mencemik muka menyuruh beredar. Lalu serentak bertakbir semuanya selepas imam muda melakukannya.
21. Saya teringat, patutkah kita ego, rasa bangga dan megah kalau ada daripada sesetengah kita, merasa tidak senang apabila ada orang yang lebih sikit di sisinya? Selesakah kita apabila keadaan barisan sesama kita hendak maju, berhimpitan dan bersaing? Mahukah di kanan mengajak yang kiri sama-sama tegak dan sujud. Mahukah sama-sama terkepit hanya kerana mahu rukuk dan sujud?
22. Subhanallah! Allahu Akbar! Apabila saf di hadapan terluang seorang, lalu seorang anak muda yang hanya ber T-Shirt, kaki seluarnya terangkat, melangkah dengan sopan, tertib, pada hal dia sudah Takbiratul Ehram. Bijaknya anak muda ini. Betapa dia memikirkan perlunya saf dipenuhi. Betapa dia mematuhi perintah imam tadi supaya memenuhi saf. Ya Allah, anak muda inilah yang sanggup berjihad ke jalanMu.
23. Ya Allah, inilah hamba-hambaMu yang setia, yang menyerah diri hari ini. Mereka tunduk khsyuk, mendengar teliti, memaksa perasaan merindui Allah. Mereka tidak pernah mendahului pemimpin, baik rukuk mahupun sujuh.
24. Selesai solat semua mengangkat tangan, menadah doa imam. Bayangkan imam yang berdoa meminta seluruh...seluruh...tidak bersifat peribadi agar semua sejahtera, agar semua diampunkan dosa, agar semua dirahmati Allah, agar semua mendapat syafaat dan mendapat nikmat syurga.
25. Mengapa di sini boleh dilakukan, sedang di luar mengapa berlaku menadah tangan memasukkan ke dalam kocek sendiri? Mengapa memohon projek kemudian jadi hak pribadi? Mengapa saling caci maki, tidak saling maaf memaaf?
26. Ahhh, selepas berdoa, alangkah bangga dengan debar ukhuwah Islamiah apabila seorang murid sekolah menengah yang tahu adap sopan, menyua tangan bersalaman, menggenggam erat sebagai ingin menghubung silaturrahim.
Begitulah...
Entah mengapa saya mendapat satu kepuasan Jumaat 5 Ramadan ketika fikiran berkecamuk dengan hal-hal di luar masjid oleh mereka di dalam politik, terutama politik Umno yang sudah sampai membunuh dan berkapak berasid.
Bilakah hidayah akan muncul?
Saya terima e-mail dari sahabat di Pekan Pahang, ‘BaraJiwa’. Beliau memerlukan jawapan saya. Saya tahu dia nak test saya. Masakan persoalan macam ini pun dia tak tahu. Fuh! Saya bukan pemikir.
Tapi soalan itu menyentuh hati saya. Maka untuk pengetahuan umum, sengaja saya paparkan dalam blog ini. Moga-moga kita dapat berkongsi. Saya memang sedar, sejak keputusan PRU ke 12 pada 8 Mac 2008 yang lalu, ramai anak muda semakin menggelodak perasaan, mula balik membaca sejarah, menilai apa yang sedang berlaku. Yang anihnya sasaran teropong golongan ini ialah kepada pemimpin yang menerajui pemerintah selama setengah abad.
Seorang kawan dari Dewan Bahasa berkata: perubahan ini bukan kerana orang bencikan Umno, tetapi tabiat atau hukum dunia pasti berlaku jika sesuatu itu agak lama.
Kawan yang menamakan Barajiwa, seorang penulis juga. Soalan ini diluahkan kepada saya sedangkan ini adalah luahan kritisannya. Apa salah kalau jadikan artikel untuk bacaan?
Barajiwa bertanya.:
1. Katakanlah seruan Dato Onn Jaafar kira-kira lebih 62 tahun lalu itu diterima oleh UMNO, agaknya apakah rupabentuk negara kita hari ini? (Kalau kita masih ingat wawasannya yang mendahului zamannya itu telah ditolak oleh UMNO. Beliau mahu keanggotaan UMNO dibuka kepada semua kaum)
Barajiwa, saya akan sokong jika Dato’ Onn seorang tokoh, pemimpin yang membawa perjuangannya berpaksikan Islam.
Kekeliruan, kecurigaan, kesangsian kita terhadap orang lain kerana kita dididik dengan faham kebangsaan cukup lama, lalu kita menjadi yakin bahawa pembelaan terhadap bangsa mesti menjadi agenda dan orang lain tidak perlu.
Saya katakan, ini kerana kita sudah lama dididik begini. Kita tidak bermula dengan didikan perjuangan, kemerdekaan secara Islam.
Tetapi jika begitu arah Dato’ Onn, lalu kita dapat melihat cucu cicit dan generasi Umno sekarang ini begitu, sama ada menolak atau setuju dengan Dato’ Onn, yang berlaku ialah kesilapan langkah sejak penubuhan Umno. Kerana penolakan seruan Dato’ Onnlah maka Umno menjadi begini sekarang. Kerana sesetengahnya menerima seruan itulah, Umno juga jadi seperti ini sekarang.
Sebabnya mudah; Tidak ada roh perjuangan Islam yang sepatutnya ada dalam seruan Dato’ Onn. Tidak ada dasar Islam dalam dasar Umno.
2) Katalah penduduk Malaya secara total menolak dakyah British bahawa Hizbul Muslimin itu bukanlah pertubuhan pengganas lantas membenarkannya beroperasi selayaknya sepertimana para pengamal demokrasi sentiasa canang-agungkan, agaknya apakah kesannya terhadap negara ini?
Kerana mereka Britishlah, maka Hizbul Muslimin dianggap pengganas. Saya yakin jika Hizbul Muslimin beroperasi dan hidup perjuangannya hingga kini, kita mungkin menjadi umat yang terus berjuang mencari keredaan.
3) Katakanlah dasar-dasar yang memberikan keutamaan kepada orang-orang Melayu seperti DEB itu dilakasanakan dengan telus, penuh amanah dan bertanggungjawab agaknya apakah yang terjadi kepada negara ini?
Baguslah. Tapi sdra kena ingat TELUS bukan milik perjuangan dan pengagihan untuk orang Melayu saja. Telus ialah milik semua manusia yang berhak menerimanya dan telus mesti diamalkan oleh pemimpin. Maka paling teluslah jika orang Melayu terkebelakang, diberikan keutamaan. Telus milik agama dan moral. Ia bukan milik dasar pengagihan parti.
4) Katakanlah agama Islam itu tidak pernah dijadikan topeng, sandera atau kuda tunggangan para penguasa, apakah agaknya yang terjadi kepada negara kita hari ini?
Jadilah negara Madinah dengan rakyat bermadani. Jadilah Baldatun Toiyibatul Warabbul Ghafur. Sdra buka tafsir, cari Asbabul Nuzul ayat di atas, tahulah kita.
5) Sekiranya jiwa kita, rakyat negara ini merdeka sepenuhnya, apakah agaknya yang terjadi kepada negara kita?
Tunggu buku saya yang bertajuk JIWA HAMBA. Tak lama lagi keluar.
Barajiwa
Pekan, Pahang
31 ogos 2008.