Jiwa Hamba

Posted by Tukya Labels:

Buku Baru:
Sudah Terbit Sebuah lagi Tulisan Azizi Abdullah, Terbitan Persatuan Pengguna Pulau Pinang. Sebuah Buku Kritikan Adat Di Antara Yang Menyebabkan orang Melayu Mundur.

Pedas! Berani! Berterus Terang!

Nama Buku : JIWA HAMBA
Penulis : Azizi Hj. Abdullah
Penerbit : Persatuan Pengguna Pulau Pinang
Tebal : 168 muka
Harga : RM15.00 (Termasuk pos)

(Pesan kepada Azizi Hj Abdullah, 424 Taman Bersatu, 09000 Kulim Kedah, HP 012 4396060. E-Mail: tukya_azizi1426@yahoo.com.my.)

Bayaran mestilah dijelaskan melalui Kiriman Wang atas nama Azizi bin Abdullah.


MENGAPA JIWA HAMBA?

Soalan ini bukan soalan matematik yang bererti 2 x 5 jawabnya 10. Soalan ini memerlukan masa yang panjang. Di zaman umat Melayu dipengaruhi adat Hindu, kemudian dijajah sehinggalah di zaman kolonial, kesannya terdapat pada hari ini, malah acara, adat dan undang-undang itu sendiri masih berakar umbi dari mereka.

Datuk nenek moyang dan salasilah dari mana kita ini? Jawapannya masih kabur. Jika diselidik adat resam dan budaya yang dipertahankan itu, ternyata ia dari pengaruh Hindu. Relakah mereka yang mempertahankan adat budaya seperti ini dikatakan dari keturunan Hindu?

Kita perturunkan di bawah ini beberapa sebutan dari kelompok-kelompok tertentu yang sebenarnya bersifat jiwa hamba , yang bagi kita boleh tergeleceh akidahnya. Kebanyakan istilah keramat yang digunakan oleh institusi ini ialah daripada kepercayaan Hindu, sedangkan institusi yang mengamalkan istiadat gelar bergelar ini beragama Islam.

Orang Kaya-kaya Laksamana,
Orang Kaya Panglima,
Maharaja Indera,
Maharaja Dewa,
Sendewa Raja
Indera Lela
Sakna dan Dewa Raja, Ratna Sakti.
Dewa Mahkota
Demang Perwira
Pekerma Wati- Amar Dewangsa-Pendewa Sakti dan lain-lain.

Panggilan dan anugerah ini mengikut pengertian Kamus Dewan dan lain-lain kamus seperti berikut:

1. Laksamana: Gelaran tertinggi dalam angkatan tentera laut. (Adakah yang menerima gelaran ini dari kalangan mereka yang berkhidmat dalam tentera laut?)
2. Indera: Betara-Dewa yang memerintah di angkasa (Menurut kepercayaan Hindu.)
3. Dewa: Roh yang dipuja-puja kerana dipercayai berkuasa ke atas alam dan manusia.
4. Sedawa: Bahan kimia ubat bedil atau bunyi yang keluar dari kerongkong kerana kenyang. Ertinya jika Sendawa Raja; Raja yang seperti ubat bedil atau raja yang hanya asyik bersendawa.
5. Ratna Sakti: Puteri yang memiliki kuasa di luar kemampuan manusia.

Tetapi bagaimana pengertian istilah itu? Adakah istilah di atas melanggar hukum, berunsur sifat-sifat syirik yang kita bentangkan di atas?.

Di mana tuan guru dan para ulama yang menjadi penasihat institusi seperti ini?

Unsur-unsur syirik bukan sahaja daripada perbuatan tetapi juga daripada perkataan, daripada yang seumpamanya, daripada keserupaan dan subahat.

Aneh! Sangat malang, apabila kita dapati cerdik pandai dan bertaraf tinggi tetapi membiarkan istiadat ini bercampur baur dengan khurafat, unsur-unsur syirik. Beberapa istiadat (kononnya) kecil diwujudkan seperti:

1. Istiadat Jamuan Menyemah Jin-jin.
2. Istiadat Membantai Kerbau
3. Istiadat Mengambil Air Dari Sungai
4. Mandi Balai dan lain-lain.

Segera dapatkan atau kunjungi di Pesta Pulau Pinang pada 13-14 Disember 2008, sempena Hari Sasterawan Azizi Hj Abdullah di Gerai Khas.

Adaptasi Sangeetha Mengecewakan

Posted by Tukya Labels:

Kepada Pengunjung Blog

Kami siarkan tulisan berikut untuk pengetahuan anda yang berminat dalam adaptasi.

-Pengelola Blog.


Adaptasi Sangeetha Mengecewakan

Oleh RAZALI ENDUN

Usaha beberapa orang teman pengiat dan aktivis sastera mengetengahkan Sangeetha di kaca tv merupakasn satu usaha yang murni. Sangeetha ialah novel hasil karya sasterawan Azizi Hj. Abdullah dan telah memenangi hadiah Mastera pada tahun 2007. Usaha ini telah mendapat kerjasama RTM dan pada Hari Raya Ketiga, Sangeetha telah ditayangkan di TV2 selama hampir dua jam.

Ini bukan usaha pertama sebuah novel diadaptasi menjadi sebuah drama tv. Malah sebelum ini novel Sasterawan Negara S. Othman Kelantan bertajuk ‘Juara’ telah di filemkan dengan tajuk, ‘Jogho” arahan U-Wei yang dilakonkan oleh Khalid Salleh. Begitu juga ‘Ranjau Sepanjang Jalan’ karya SN Datuk Shahnon Ahmad pernah difilemkan sebelum ini. ‘Cinta Medina’ karya Abu Hassan Morad juga diadaptasi ke drama tv.

Menadaptasi karya sastera seperti novel, cerpen dan yang sepertinya untuk dijadikan drama tv dan filem pernah menjadi polemik di kalangan pengiat sastera dan filem. Ramai berpendapat ianya satu usaha yang baik seperti banyak dilakukan oleh pengusaha-pengusaha filem Hollywood . Hanya dengan cara itu para penonton dapat menikmati hasil sastera melalui lakonan, yang kesannya tentu sekali melebihi daripada hasil pembacaan.

Tidak kurang ramai juga para sasterawan yang berasa kecewa kerana usaha itu seringkali tidak menepati maksud dan aspirasi pengarang. Ianya seolah-olah tidak ada kesinambungan interaksi di antara pengarang, penulis skrip dan yang paling utama pengarah dan para pelakon yang mendukung watak-watak di dalam karya sastera tersebut. Penulis skrip, pengarah dan para pelakonnya tidak dapat menjiwai aspirasi pengarang.. Kebanyakan usaha menadaptasi ini, tidak terkecuali Sangeetha yang ditayangkan baru-baru ini, tidak dapat menepati hasrat pengarang serta novel tersebut sehingga ianya menjadi hasil yang amat mengecewakan.

Dua pelakon utamanya iaitu Derus dan Sangeetha gagal melahirkan emosi dan perasaan orang tua yang kesepian dan kesunyian, seperti apa yang terkesan di dalam pembacaan novel tersebut. Jalil Hamid sebagai Derus dan pelakon wanita India (lupa saya namanya) tidak dapat menzahirkan perasaan dan gelodak kesepian orang tua pada ketika menempuh alam kepikunan dan pada masa yang sama tidak mempunyai anak. Sangeetha adalah garapan emosi dan konflik dalaman dua orang tua yang masing-masing menanggung dan menyembunyikan perasaan dalam menghadapi kesuyian dan kesepian itu. Meskipun ianya bukan semestinya elemen cinta, namun perasaan dan rasa rindu terhadap sesuatu yang tersembunyi ini gagal dilakonkan oleh kedua-dua pelakon utamanya.

Penulis skrip, Zakaria Ariffin, meskipun pada keseluruhannya tidak mengecewakan, namun ada beberapa aspek penting yang terlepas pandang beliau. Seharusnya, sebelum kematian Viralal dipaparkan adegan permainan tabla dan dagga seperti yang terdapat dalam halaman 3 novel berkenaan. Alat muzik seperti tabla, dangga dan gambus adalah elemen penting dalam hubungan perasaan dua budaya dan bangsa yang berbeza. Malah petikan gambus dan pukulan tabla tidak menarik iramanya. Tidak terkesan langsung melodinya.

Dailog Viralal kepada isterinya Sangeetha ketika bermain kedua-dua alat muzik itu sangat terkesan dan seharusnya dipindahkan ke dalam skrip. Ungkapan itu berbunyi, “Di sini rumahmu. Di sini kita hidup dan di sini kita mati. Kita lupakan debu dan angin kita di sana ( India ). Kita senang di sini. Kita cari makan di sini. Kita mengaut harta benda di sini. Lupakan sahaja di sana .”

Kesilapan ini mungkin bukan oleh penulis skrip. Menulis skrip bagi drama tv ini amat mudah kerana dailognya amat sedikit. Ianya lebih kepada pengarahan dan lakonan para pelakonnya. Gerak geri para pelakonnya untuk menzahirkan konflik dalaman yang sedang bergelodak di antara kedua-dua warga tua sepatutnya menjadi fokus utama dalam drama tv ini. Inilah yang gagal ditonjolkan.

Ada beberapa kemungkinan kenapa pengarah dan para pelakon drama ini gagal dalam membawa watak dan aspirasi pengarang. Pertama, pengarah dan para pelakonnya tidak membaca novel tersebut, sekadar membaca dan menghafal skrip yang disediakan. Mengadaptasi hasil sastera daripada novel dan cerpen kepada drama tv dan filem tidak sama dengan penulisan skrip untuk kedua-dua medium itu. Ianya tidak cukup menghayati dan menghafal skrip sahaja, akan tetapi pengarah dan para pelakonnya mesti membaca karya sastera itu supaya dapat menghayati watak-watak di dalam karya itu. Tanpa membacanya, maka watak-watak yang dibawa menjadi hambar.

Kedua, pemilihan pelakon untuk mendukung watak tidak tepat. Jalil Hamid tidak dapat membawa watak Derus seperti dalam novel tersebut. Walaupun pelakon wanita India itu sebagai Sangeetha tidak terlalu mengecewakan, namun dari aspek pengarahan yang lemah, maka drama itu menjadi kurang menarik.

Pengarah gagal memfokuskan aspek penting dalam novel ini iaitu ketika Derus membisikkan Dua Kalimah Syaadah di telinga Viralal dan Sangeetha. Kamera seharusnya membuat ‘close-up’ ke memek muka kedua-dua watak itu ketika dibisikkan kalimah suci itu di telinga mereka. Scene ini gagal direalisasikan secara berkesan yang membuatkan impaknya menjadi hambar. Tambahan pula Derus ketika menemui ajalnya hanya mengucap kalimah itu untuk dirinya sahaja, bukan di telinga Sangeetha seperti yang diminta.

Ketiga, penulis skrip, pengarah dan krew tidak mendapatkan pandangan pengarang ketika penulisan skrip dan penggambaran dilakukan. Ini terbukti apabila saya menghubungi Azizi sebaik sahaja usai menonton drama tv ini. Beliau juga melahirkan rasa kecewanya seperti juga saya kecewa dengan persembahan yang tidak menepati seperti di dalam novel. Katanya, tarikh penggambaran pun beliau tidak tahu. Mungkin kerana itulah maka pengarah serta pelakon tidak dapat menyelami aspirasi pengarang dalam karyanya.

Mungkin mereka mengaplikasikan, teori ‘the death of the author’ yang diperkenalkan oleh Roland Barthes dalam aspek ini. Bagi saya teori ini tidak tepat dan tidak relevan. Pengarang sesebuah karya masih relevan kerana pengarang tidak boleh dipisahkan dengan karyanya. Ini bukan soal karya itu dibicarakan, tetapi karya pengarang itu dipindahkan dari satu medium ke medium yang lain. Justeru, pengarangnya masih ada hubung kait dalam pengkaryaannya.

Kesimpulannya, Sangeetha lebih terkesan melalui pembacaan novel ini daripada dipindahkan ke kaca tv. Gelodak emosi dan perasaan Derus serta Sangeetha dalam novel itu berjaya menusuk sanubari pembaca ketika membacanya. Azizi berjaya menggarap emosi dua warga tua dengan berkesan di dalam novelnya. Sangeetha melalui drama tv terlalu hambar dan tidak dapat dihayati seperti di dalam novel itu. Bukan semua karya sastera berjaya diadaptasi ke drama tv dan filem; Sangeetha ini satu contoh yang nyata.

Artikel ini telah disiarkan dalam akhbar Siasah Bilangan 0119, 19-25 Okt. 2008


*Razali Indun seorang penulis bebas dalam bidang politik, sastera. Banyak buku-bukunya sudah terbit sama ada politik atau novel.

Komen Drama Sangeetha

Posted by Tukya Labels:

Para Pengunjung Blog

Novel SANGEETHA karya Azizi Hj Abdullah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, dipilih oleh Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) sebagai Anugerah Hadiah Sastera Mastera 2007. Sempena Aidilfitri 1429, hari raya ketiga, Jumaat 3 September 2008 jam 10 pagi, Sangeetha telah dijadikan Telefilem (Panggung Drama) oleh RTM dengan kerjasama Dewan Bahasa. Sangeetha diadaptasi lewat skrip yang ditulis oleh Zaharia Arifin, seorang penulis teater.

Melalui blog ini, seorang penonton telah komen dan cuba membandingkan antara visual dengan cerita bertulis.

Ada baiknya anda yang menonton Sangeetha ini turut memberi komen.
-Pengelola Blog.



SANGEETHA: DARI NOVEL KE PANGGUNG DRAMA TV

Kassim Muhamad.*

Saya rasa mereka yang menonton "Sangeetha" pagi Jumaat 3 Sep 2008 itu gelisah.Apa lagi mereka yang sebelum ini membaca novel Sangeetha yang diangkat sebagai novel Asia Tenggara bagi tahun 2007.

Persoalannya berapa ramaikah rakyat Malaysia kita yang mampu melihat sesebuah karya itu di luar tempurung mata kasar? Rasanya mereka telah bertanya: Mana aksinya? Mana ceritanya? Kalau di dalam Muhammad Dhuha karya dan skrip Azizi yang pernah disiarkan beberapa kali oleh Astro, kita melihat betapa tragisnya nasib Dhuha yang cacat itu terkorban dilanggar oleh gurunya sendiri; kita dapat melihat "ceritanya." Kita tersentuh oleh tragedinya.

Di manakah unsur-unsur tragis itu di dalam "Sangeetha"? Saya masih ingat bagaimana satu ketika dulu para penulis di Indonesia memperkatakan kenapa dan mengapakah novel yang difilem seperti "Apa yang kau cari Palupi" gagal di mata penonton. Khalayak kita juga belum terdidik untuk melihat di luar tempurung mata kasar. Kita, sebagai sebuah bangsa belum digilap untuk menikmati yang indah-indah dan seni. Kita, sebagai satu bangsa adalah peminat setia budaya hiburan yang melampau, penganut setia hedonisme.

Saya tidak terkejut jika ramai rakyat kita yang HANYA (ertinya tidak membaca novelnya) menonton pagi itu sama sekali tidak mengerti kenapakah "Sangeetha" telah diangkat sebagai sebuah karya cemerlang yang diiktiraf. Mereka yang tidak membaca novelnya sukar mengerti kesepian jiwa-jiwa tua Derus dan Sangeetha!

Sebenarnya saya membuat ulasan ini (dan diedar keliling kepada teman-teman yang lain) kerana beberapa sebab:

1) Pada pandangan saya drama itu akan jauh lebih berhasil jika yang terlibat adalah pelakon-pelakon seperti Rosyam Nor dan Fauziah Nawi. Walaupun Jalil Hamid tidak mengecewakan tetapi entah kenapa kepada saya 'tampangnya' Jalil Hamid sentiasa memberikan gambaran Hamid Gurka yang lucu! Mungkin Abu Bakar Omar (?) lebih mengesankan sebagai Derus(?). Adakah Sangeetha benar-benar dapat merasakan betapa sunyi dan sepinya dirinya mengharungi hari-hari tuanya? Siapakah pelakon India Malaysia yang berkemampuan setara Fauziah Nawi atau Wan Maimunah? (Sekadar contoh) Tak ada?

2) Umumnya karya besar berkemungkinan menjadi tawar apabila ia dipindah bentuk (teater atau seluloid). "Langit Petang"nya A. Samad Said ialah salah lagi contoh. "Juara" S. Othman Kelantan, bagaimana? Di dalam "Juara" kita temui orang teater Khalid Salleh.

3) Orang-orang awam seperti saya (yang sangat mengharapkan agar kita lebih celik budaya) amat mengharapkan agar tangan-tangan pemerintah kita turut terlibat membimbing masyarakat kita supaya lebih berbudaya dan mantap jati dirinya sebagai bangsa yang merdeka. Yang amat menyedihkan ialah kita lupa bahawa pembangunan itu termasuk budaya dan sastera. Sdr Dinsman telah memaparkan dengan tepat sekali di dalam kolumnya, di dalam Harakah bahawa peruntukan menebang pokok Majlis Perbandaran itu jauh lebih bagus dari sebarang program budaya! Malah aspek ini tidak difikirkan sama sekali. Lebih parah, media perdana kita baik cetak apatah lagi elektronik seolah-olah berlumba-lumba menghedonismekan seluruh rakyat jelata sepanjang masa. Bayangkan, kalau mungkin kentut artis pun mahu mereka rakam, busuk ataupun wangi!

4) Masyarakat kita mesti dididik menjadi manusia yang lengkap. Jasmani semata-mata tidak mencukupi. Roh kita mesti diangkat, dibajai agar menjadi besar dan gagah. Bayangkan kejadian merogol bergilir-gilir oleh kumpulan muda mudi menjadi begitu sadis dan tidak berperikemanusiaan sekali! Remaja jenis apakah yang negara kita bakal lahirkan? Pemerintah kita mestilah serius menangani masalah-masalah seperti ini. Seni dan budaya ialah salah satu kaedahnya.

5) Salah satu kaedahnya ialah mengangkat karya besar seperti "Sangeeta." Dan masyarakat kita perlu dididik untuk melihat keindahan seni di luar tempurung apa yang biasa dilihat dengan mata kasar. Kembalikan pelajaran sastera sebagai pelajaran utama. Sains ada teknologi saja TIDAK mencukupi dalam membina sebuah bangsa yang gagah.

Saya telah melalut terlalu jauh...biar saya berhenti dulu. Tahniah di atas drama TV "Sangeeta" itu, walaupun saya sedih: Drama itu tidak berhasil memberikan impak yang sepatutnya. Benarlah seperti yang disebut Roland Barthes, pemikir Perancis itu di dalam "The death of the author," Azizi hanya mampu melihat bagaimanakah manusia lain telah kerjakan karyanya!


Sekian.
-------------------------------
* Penulis ialah seorang Insiyur (Ir) Mantan Pengarah JPS dan kini bertugas di Pekan Pahang dengan MRCB.