-Azizi Hj. Abdullah
Pagi 31hb Disember 2008 selepas membayar tol di satu Lebuh Raya yang pendek, ketika matahari mula mencecah bumi, ada sebuah kereta Kancil yang pancit tayarnya. Pemandunya seorang perempuan muda yang pastinya akan ke pejabat, berdiri di sisi keretanya, melihat seorang petugas lebuh raya sedang merengkuh menyalin tayar yang pancit itu.
Di samping pekerja lebuh raya yang sedang merengkuh menyalin tayar itu, ada seorang lelaki yang beruniform kemas, berdiri bercekak pinggang, sambil menghisap rokok di sisi lelaki yang membuat kerja itu.
Siapapun tahu, lelaki itu ialah ‘tandil’ atau mandor kepada pekerja tersebut. Mereka adalah petugas di lebuh raya itu.
Barangkali anda yang melihat, tidak merasa pelik. Tetapi saya sangat gelisah, sedih kerana tidak dapat menerima melihat keadaan seperti itu. Mengapa?
Saya yakin lelaki mandor itu merupakan zuriat ‘penjajah’ yang menjajah negeri kita. Sistem mandor kepada kuli-kuli adalah sistem yang diperkenalkan oleh penjajah. Dasarnya memang bagus untuk mengawasi pekerjanya dari culas. Tapi itu dulu.
Tetapi setelah merdeka 50 tahun tahun lebih, tak terfikir oleh saya masih ada lagi manusia ‘mandor’ yang bersikap, berperangai dengan sistem penjahah ini.
Saya bukan saja gelisah, malah sangat sakit hati melihat bagaimana bongkak dan egonya mandor tersebut. Inilah sikap bangsa Melayu yang masih tertanam dengan sifat menghambakan orang lain tetapi jiwanya sendiri tetap memiliki jiwa hamba.
Kalau iya pun menjadi mandor, berpangkat sedikit atas, mengapakah sampai begitu sikap ‘Melayunya’ terhadap kulinya. Apakah besar sangat pangkat ‘mandor’ sampai mengada-ngada perangai dan feel yang seolah-olah dialah tuan yang tidak perlu bekerja dengan kuli-kuli atau membuat kerja seperti itu bukan tarafnya sebagai mandor.
Tak bolehkah berdiri agak jauh agar kulinya dapat membuat kerja dengan megah dan sempurna. Mengapa ‘sampai hati, berdiri di sisi kuli yang terbongkok-bongkok merengkuh menyalin tayar hanya dengan bercekak pinggang sambil menghisap rokok? Saya tidak pasti, apakah ada pula perbuatan menununjuk-nunjuk dengan hujung kasutnya kepada kulinya agar skru yang dipulas-pulas oleh kulinya ketat dan kuat?
Yang pasti mandor itu cukup merasa megah, ego dengan pangkatnya di sisi seorang perempuan. Dia mahu tunjuk kepada seorang perempuan bahawa dia adalah mandor, bukan kuli.
Ini sikap orang Melayu yang ada pangkat sikit terhadap kuli yang sebangsa dengannya. Masih tidak sedar menganggap orang bawah adalah kuli dan hamba.
Apakah tidak boleh dengan sifat integriti, berbudi dan sifat berkerja sama, tolong menolong, membantu menyiapkan kerja menyalin tayar pancit itu? Megah sangatnya jadi pangkat mandor?
Yang saya merasa gelisah dan kesal ialah kerana lelaki itu menganggap dirinya mandor seperti tidak layak bekerjasama dengan kuli. Jika tidak masakan dia sanggup berdiri di sisi kulinya yang sedang merengkuh dalam keadaan berpeluh itu, dengan hanya melihat sambil menghisap rokok.
Bagi mereka yang berjiwa hamba, tentunya melakukan dengan rasa rendah diri dan hujung kasut mandornya tentulah seperti cemeti yang akan membelasahnya jika kerja tidak siap.
(ii)
Sebenarnya kegelisahan saya tentang adanya segolongan manusia memandang orang lain seperti HAMBA, yang diamalkan oleh mereka dari peringkat ‘mandor’ sampailah ke peringkat atasan, institusi-institusi hebat, ternama, dihormati, dipuja sembah dan mempunyai kekebalan, membuat saya resah dan memberontak sendiri apabila membaca akhbar pada 30 Disember, dua hari sebelum habis tahun 2008 lagi.
Rupa-rupanya masih ada segolongan orang diperingkat atasan, dari institusi-institusi hebat menganggap rakyat jelata sebagai HAMBA, maka disebutnyalah dalam teks-terks rasmi itu rakyat sebagai HAMBA.
Saya tertanya-tanya, apakah ucapan atau teks ucapan seperti itu keluar dari penulis teks atau sememangnya ucapan asal?
Apapun bukan soal siapa yang menulis atau siapa yang berkata tetapi sikap kita sendiri. Ia berkait rapat dengan anggapan, cerminan bagaimana sebelah pihak masih menganggap rakyat seperti hamba abdi dan sebelah pihak yang lain menganggap mereka dari golongan yang mulia, keramat yang patut disembah dan rakyat mesti merangkak menyembah mereka.
Tetapi sayangnya ini tidak berlaku dalam era kita memertabatkan bangsa. Masih ada golongan yang menganggap rakyat ini hamba. Maka dengan bangganya dihebah dan dicanang pihaknya akan melakukan keadilan dan kesaksamaan tetapi dalam masa yang sama pihak tersebut tetap menganggap rakyat adalah hamba pecacai.
Saya menjadi gelisah. Mengapa anggapan ini masih digunapakai setelah kita merdeka lima puluh tahun lebih. Mengapa masih menganggap rakyat sebagai hamba? Mengapa mesti hamba rakyat?
Yang menjadi kesal dan gelisah kerana pihak yang terlibat, memandang rakyat sebagai hamba tidak pernah sedar sesungguhnya tidak ada hamba sesama manusia. Yang berhak memanggil hamba dan menamakan hamba ialah Allah.
Sebuah akhbar yang dianggap perdana keluaran 30hb Disember 2008 pada satu muka dalammnya, selain dari gambar yang indah dan cantik terselit dua perkataan yang sangat mengecwakan saya lantas sangat mendukacitakan saya. Selain dari pengakuan memberi keadilan melalui kenyataan dalam akhbar tersebut, disebutnyalah hendak memberi keadilan dan keselamatan kepada hamba rakyat...
Dua perkataan ini jika disatukan, mencerminkan rakyat jelata. Tetapi jika ditafsirkan satu persatu, menggambarkan satu anggapan bahawa setiap kepala rakyat yang berada di bawah naungan, ialah hamba yang tarafnya sama sekali tidak sama dengan yang berkata.
Kita atau pun saya tidak menafikan kedarjatan dan kemuliaan sesuatu pihak. Tetapi apabila sampai menganggap semuanya hamba yang sudah pasti bukan sebagai hamba Allah, tetapi hamba rakyat, maka apakah itu tidak menggambarkan satu perbezaan yang cukup jauh dan melampau antara seseorang dengan seseorang, antara satu golongan dengan satu golongan? Sedangkan kemuliaan hamba ialah mereka yang bertaqwa.
Inilah satu kesilapan yang mungkin dari pihak yang menyusun kata, mengatur ucapan atau dari yang berucap itu sendiri. Kita rasa bukan masanya lagi kita berhamba tuan dan mendarjat, mengakseskan anggapan melalui ucapan.
Saya telah menulis sebuah buku’ JIWA HAMBA’ terbitan Persatuan Pengguna Pulau Pinang setelah sekian lama melihat bangsa Melayu masih dijajah jiwanya dan tetap berjiwa hamba. Rupa-rupanya bukan itu sahaja, sebaliknya masih ada pula anggapan atau jenama dari pihak lain terhadap bangsa.
Hamba sebenarnya bererti abdi,budak belian, sahaya. Jika kita dengan bangga menganggap rakyat yang sudah merdeka ini sebagai hamba rakyat, bererti rakyat masih lagi menjadi abdi, budak belian.
Sayalah rakyat Malaysia yang sangat gelisah! Maka kerana itu, di dalam buku JIWA HAMBA muka 112 saya menulis bahawa bukan satu penolakan atau revolusi budaya apabila kita mesti elakkan menyebut: Hamba Tuan, Di atas batu jemala patik, patik yang hina, Pacal yang hina, Maha itu Maha ini dan seumpamanya, tetapi hanya semata-mata untuk kita kembali menjadi manusia adalah sama kecuali memiliki ketaqwaan.
Demikian dua perkara yang menjadi saya seorang rakyat yang gelisah. Kita masih lagi berakar umbi dengan faham ketuanan dan perhambaan sedangkan ketuanan dan perhambaan itu tidak perlu lagi wujud dalam mana-mana negara atau institusi. Kita kadang-kadang tidak bijak meletakkan daulat. Kita tetap menganggap orang bawahan ialah rakyat manakala yang berdarjat bukan rakyat tetapi satu golongan yang mulia, yang tidak boleh disebut rakyat.
Saya sangat sedar risiko tulisan ini. Tetapi apakah lagi yang harus kita jemlakan melalui perasaan sebagai rakyat yang gelisah melihat hal yang sedemikian lama masih kita amalkan.
Apakah rakyat sesebuah negara akan mundur sekiranya ia melemparkan anggap bahawa mereka bukanlah hamba rakyat atau kekebalan institusi itu akan terpelihara sekiranya rakyat tetap menerima rakyat itu mestilah menganggap hamba?
Saya tidak tahu. Yang saya tahu saya sangat gelisah apa yang berlaku pada 30 dan 31 Disember 2008. Barangkali tarikh ini akan menutup kegelisahan sepanjang tahun atau rakyat tetap tidak peka bahawa mereka adalah hamba rakyat menjelang 2020 nanti.
Berkompol di INTIM Ipoh Perak bersama puluhan aktivis NGO yang menamakan Perhimpunan Penggerak Melayu Kebangsaan kali ke 11 seperti disuntik satu semangat baru yang ingin kembali kepada zaman muda-muda.
Melalui Presiden selaku pengarah perhimpunan, dilontarkan ucaptama minta massa pihak bertanggung jawab bertindak soal-soal memberentas gejala sosial, membangun program untuk membina kekuatan ummah, gerakan muslimah, mewujudkan gerakan budaya celik membaca, berorganisasi, mendekati kaum yang tertindas dan miskin dan keperihatinan terhadap Islam.
Selain itu pelancaran buku JIWA HAMBA sangat memberansangkan.
Sayang pendedahan tentang Misi Kemanusiaan seperti tidak pernah diketahui oleh ramai orang. Forum yang sangat besar memberi kesedaran kepada masyarakat tentang Palestin, Mindanao, Kemboja, Gujerat yang diwakili oleh anak muda dari Gaza dan Roghiya.
Alangkah besar impaknya jika sebahagian besar anak-anak muda yang berlinglong dengan rempit dan lepak turut serta dan belajar mengerti tentang kemanusiaan dan penderitaan dunia luar.
Menyertai satu Demonstrasi atau tunjuk perasaan selepas solat zuhur dari anak muda yang kekar dan bersemangat cukup membanggakan. Di jalan masuk di hadapan Masjid Sultan Azlan Shah adalah kemuncak Perhimpunan Penggerak Melayu Kebangsaan ke 11.
Saya yang bertubuh tua ini seperti dilambung-lambung oleh semangat dan jerkahan suara garau bagi membuktikan kebencian yang amat sangat terhadap rejim Zionis, Yahudi Laknatullah yang membunuh lebih 127 orang Palestin di Gaza.
Pasti bagi mereka yang tidak perihatin dan peka dengan agama, hanya tersenyum tawar melihat anak-anak muda dan orang tua menjerit, menjulang lengan mengutuk Zionis di tepi jalan.
Tak mengapa. Teruskan perjuangan dan keperihatinan mulia ini wahai anak-anak muda. Saya dapat merasai bahawa sudah ada anak muda dari peringkat pemandu van sehingga mahasiswa yang berkobar-kobar semangat, sudah mula mengerti kecapan erti perjuangan. Setidak-tidaknya mereka mampu menilai, sepasang baju pengantin Mawi-Ekin berharga RM40,000 sama dengan 80 juta Reind (Mata wang Cambodia) untuk membantu anak-anak mereka belajar selama 5 tahun.
Catatan Santai 13 hingga 21 Disember 2008: MERENGKUH MEMENUHI KEHENDAK
Posted by Tukya Labels: CatatanKadang-kadang naik bosan juga apabila kerja-kerja yang mencabar dengan usia tua ini. Tak dibuat seperti ada yang rasa tak sempurna hidup seharian. Jika dilakukan, tak terdaya pula hendak menyempurnakan.
Pagi 13 Disember 2008 memandu di atas Jambatan Pulau Pinang sangat rilek kerana hari Sabtu kereta tidak banyak. Rupa-rupanya destinasi yang dituju, Bay View Hotel tak betul. Jadual ceramah ialah di Bay View Resort Batu Feringgi. Melalui HP Puan Shahida dan Pengarah DBPWU Hj Arshad sudah gelisah. Mujur sampai tepat pada masanya. Seronok juga bentang kertas kerja proses menulis novel kepada calon-calon penulis novel utara.
Malamnya menjadi tamu di Pesta Pulau Pinang sambil menanda tangani buku yang dibeli. Di gerai pesta tersebut agak bagus. Nampaknya pihak Perpustakaan Pulau Pinang sudah ada idea baru. Ia sangat memberi menafaat selain dari orang datang nak berhora-hora. Lakukanlah setiap tahun begini.Drs Anuar Asmadi tentu kerja lebih kuat nanti.
Petang 14 Disember 2008 kapal terbang Mas buat hal lagi. Jadual terbang ke KL 6.30 ditunda sampai tiga kali. Jenuh tunggu. Mujur di KLIA orang Dewan Bahasa sabar menunggu. Malam di Hotel Sri Cempaka Ceras, sahabat yang dahaga berceloteh: Rizduan Harun penyair dari ASWARA dan Rahimidin dari Istana Budaya sudah siap menunggu.
Tiba-tiba dibelanja kopi O dengan roti canai. Puah!
Bersama Peserta MPR di Sri Cempaka Ceras KL 15.12.2008
15 Disember 2008 seronok juga beri ceramah proses novel kepada calon penulis remaja (MPR) anjuran Dewan Bahasa. Satu slot yang diberi, calon-calon itu mati-matian minta tambah satu lagi slot. Syok dan kelakar, kata mereka. Samsudin Osman, moderator pun tumpang sekaki.
Hebatnya kerana para remaja sekarang nampak bersungguh hendak jadi penulis. Mungkin pendapatan menulis, terutama novel remaja sekarang cukup lumayan. Beruntung mereka, kerana zaman saya dan seangkatan dengan saya tak merasa seperti yang mereka rasai sekarang.

Pesta buku 17 21.12.2008 di PPAPP
Balik 16 Disember kelamkabut menyediakan pameran Pesta Buku di Perbadanan Perpustakaan Pulau Pinang Seberang Jaya. Terima kasih kepada PPAPP kerana memberi tempat khas kepada saya menjual buku dan menanda tangani setiap buku yang di beli. Sehingga 20 Disember dari pagi hingga petang, dengan seorang pembantu Mohd Ridzuan Mohamad, kami menunggu dan melayani pelanggan. Nampaknya buku Jiwa Hamba dan Memoir Seorang Gurulah yang laris.
Bersama penulis novel remaja Alaf21 di PPAPP pada 19.12.2008
Drs Anuar Asmadi sangat kelamkabut menyediakan acara. Bagus juga Pengarah Perpustakaan ini mengadakan pesta santai seperti ini. Lakukanlah setiap tahun, walaupun menurutnya, putara membaca orang Malaysia setahun hanya 2 buku seorang.
Sdra Zulkifli Harun, Pegawai Pelajaran dan beberapa lagi pegawai dari Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang, bersama guru-guru pula sanggup membuat pertemuan santai membicarakan hal-hal buku dan penulisan di caffe house perpustakaan.
Dr. Lalita buat temujanji. Sabtu 21 Disember Dr. Lalita datang. Dr. Lalita bekas pensyarah di USM, sekarang sedang menterjemah novel SANGEETHA ke Bahasa Inggeris.
Bersama Dr. Lalita di gerai buku PPAPP pada 20.12.2008
Hari itu ternyata Dr. Lalita masih tidak faham banyak pribahasa Melayu, tetapi nampaknya sebagai seorang akademik, beliau sanggup belajar setiap apa yang beliau tidak tahu. Terima kasih Dr. Lalita kerana menghadiah muzik Tabla dunia kepada saya. Semoga terjemahan SANGEETHA selesai.
21 Disember 2008 menemani Dramatis Khaled Salleh yang membaca puisi di Pesta Pulau Pinang. Kami diheret ke konti Radio Pulau Pinang. Apabila pengacaranya meminta kami memperkenalkan diri, ternyata pengacara anak muda itu tidak ada maklumat dan tidak kenal kami.
Rasa malu juga kami bila dijemput tapi tidak tahu siapa kami. Kepada Khaled Saleh di sebut Sasterawan Negara. Khaled cepat menepis mengatakan dia bukan Sasterawan Negara tetapi dramatis dan penyair.
Khalid membisik kepada saya; aku malas nak bercakap. Memang pun kami hanya diminta jawab satu soalan saja.
Begitulah...
Subhanallah, belum pernah saya melihat keindahan sekaligus kekaguman seperti ini. Entahlah kalau orang lain, terutama Angkasawan atau pilot-pilot lain.
Setinggi 16 ribu kaki dari paras laut dalam perjalanan balik dari KL ke Penang, saya melihat keajaiban ini dengan dada yang sebak dan berSubhanallah. Maha Agung Tuhanku. Awan gemawan di bawah kapal terbang yang saya naiki bagaikan kapas-kapas bersih dihampar di atas padang. Ia sangat lembut, gebu, bersih, semacam berolak tetapi tidak bergerak.
Saya teringat puisi Usman Awang bagaimana beliau ingin memintal awan gemawan menjadi selendang kekasihnya dalam puisi kekasih.
Saya diruntun agar terjun saja dari kapal terbang, mau berguling dan bermain dengan bidadari di atas hamparan awan gemawan itu. Sangat mempesonakan.
Bukan apa…
Ketika menaiki teksi dari Bangunan TH Selborn Jalan Tun Razak, pemandunya seorang gadis. Masyaallah, saya sangat teruja bagaimana seorang gadis boleh menjadi pemandu teksi.
Apapun, setelah berbual panjang ketika menghantar saya ke DBP dan kemudiannya mengambil saya ke Airport pula, barulah saya sedar, betapa anak gadis yang berasal dari Gurun ini, berkelulusan Electrical Engineering, pernah bekerja kilang dan kemudiannya terus membawa teksi sekitar KL.
Saya tersangat kagum. Kegigihannya, kemahuannya dan kesanggupannya menjadi manusia kerdil di tengah kota, kemudian bercita-cita besar dan tinggi. Dia berbangga dengan kerjaya itu.
Ketika melihat awan yang terhampar di bawah perut kapal terbang setinggi 16 kaki dari paras laut, termimpi saya bagaimana kalau saya cempung gadis pemandu teksi ini, meminta ia mengepak menari di tengah awan gemawan ini. Bagaimana saya merajut dan memintal awan gemawan ini menjadi selendang suteranya, kemudian meminta ia berguling-guling dalam kapas putih awan-awan ini. Haahhh, pasti mempesonakan.
Hahh, alangkah indahnya dunia ini. Bukankah ini satu landskap panorama yang agung bagi orang muda dalam kemabukan bercinta. Bagaimana kalau ruang yang terhampar olak alun awan sutera ini diperuntukan kepada mangsa tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa dan Taman Mewah di Ulu Klang?
Tiba-tiba gadis pemandu teksi yang saya lemparkan ke gumpalan awan gemawan yang seperti kapas di tengah padang, di bawah perut kapal terbang itu membentak:
- Kenapa mesti membantu mereka? Kenapa mesti wujud tabung bantuan kecemasan?
- Kenapa? Saya bertanya sambil menghambatnya di ruang tengah bilik yang dipenuhi awan gemawan itu.
- Untuk apa kita bantu, jika mereka bertaraf antarabangsa?
- Untuk apa kita bantu, jika mereka di bukit mewah?
- Mereka ke sana bukan kerana kemiskinan, tetapi kerana kemewahan.
- Mahukah bantuan kita sekampit beras, sedangkan duit simpanan di bank ratusan ribu?
- Mahukah kita berikan sehelai cadar, sedangkan selimut mereka bagaikan awan gemawan berapun sutera?
- Sepadankah bantuan sebiji bantal, jika katil dan cadar mereka berjenama Rozel?
- Mahukah bantuan kita, jika tilam kita setebal satu inci, sedangkan karpet mereka tebal tiga inci?
- Mahukah mereka pemberian perabut kita, kalau perabot mereka sama besar dengan ruang dapur rumah kita?
- Mahukah pemberian selimut kita, kalau kain langsir mereka sepuluh kali ganda mahalnya?
- Terimakah bantuan penempatan kita di balai raya, kalau hotel mewah tempat mereka menginap?
- Mahukah bantuan kita, kalau daftar barangan mereka agar tidak dirompak, melebihi RM30 ribu?
- Kesalkah kita tentang bantuan kita, kalau home teater di ruang tamu mereka, sama dengan belanja lima tahun anak kita ke universiri?
- Kenapa tidak kepada mangsa banjir di Kelantan atau di Pahang?
- Mereka komplen kepada menteri, kita komplen kepada JKK.
- Kita tenggelam basikal atau motor Honda, sedangkan Mercedis mewah mereka hanya kemek di pintu kiri.
- Kita tenggelam kebun sayur, mereka tenggelam taman orked.
- Wajarkah katak nak bantu ular tedung, mahukah?
Hahhh, saya tersedar. Terakhir saya dijerkah, mahukah bantuan kita kalau tempat penempatan tidak setanding seperti hamparan awan gemawan yang kau lemparkan saya ke sini?
Allahu Akbar. Subhanallah!
1.
Apabila saya tercanguk di Pesta Buku Kedah pada 28 – 30 November 2008, ada seorang dua kawan menegur; tak sepatutnya saya menjadi penjual buku, tercangok di gerai, mendedah diri kepada orang ramai.
Dalam ertikata yang lain, kata sesetengah mereka, penulis bukan di sini.
Saya tergamam. Kata-kata mereka bukan berseloroh tetapi menyindir kerana saya meletak diri saya seperti penjual air tebu.
Lima belas tahun yang lalu, seorang rakan penulis juga merendah-rendah sikap saya kerana sanggup berceramah di atas lori. Katanya, takkan penulis sampai bertaraf begitu.
Saya tertanya-tanya, apakah hina saya menjual buku saya dan berceramah di atas buntut lori?
Sebelum ini, saya menjual buku di tempat-tempat ceramah, menunggu ketika para jemaah Jumaat keluar dari mesjid dan membuat ‘road show’ sampai ke Johor dan ke Kelantan bersama Presiden TERAS, Sdra Azmi Hamid.
Saya tertanya-tanya, apakah hina saya menjual buku?
Saya berpendapat, inilah satu usaha amal jariah saya, dalam keadaan saya masih miskin amal ibadat. Saya yakin dengan cara ini satu-satunya saya dapat beramal, melakukan sesuatu demi kebajikan dan bukan mencari keuntungan.
Buku-buku yang saya jual 99.9% kepunyaan Persatuan Pengguna Pulau Pinang, sebuah NGO yang berbakti kepada masyarakat, berjuang tanpa mencari keuntungan. Saya, yang menyertai NGO ini juga merelakan diri, memberi sedikit amal jariah dari segi tenaga dan fikiran, seperti mana yang diperjuangkan oleh Presiden CAP, S.M.Mohamed Idris.
Sejak saya dipanggil melibatkan diri, saya telah menghasilkan lima buku kritikan sosial, terakhir Jiwa Hamba. Tidak seperti saya menulis novel, lima buku ini tak satu sen pun saya mendapat royalti atau habuan atau upah dan kemudiannya saya bertindak menjualnya pula.
Saya letakkan usaha saya ini sebagai amal jariah. Menulisnya kerana menerima desakan Presiden CAP agar minda orang Melayu akan berubah, kritis dan berdaya saing.
Jadi salahkah atau hinakah atau tak sepatutnyakah saya sebagai seorang penulis menghadirkan diri menjadi penjual buku? Saya tidak dapat mencari hujah atau dalil untuk mengatakan memang tidak sepatutnya? Apa yang saya yakin, kerja buat saya dalam usia yang tua ini menjadi saham amal jariah kerana saya masih miskin dengan amal ibadat.
Alhamdulillah, ramai pembeli sangat mengerti dan memahami. Mereka memanfaatkan apa yang mereka baca. Seorang Puan yang bernama J dari Petaling Jaya telah merespon bacaan Jiwa Hamba dan saya sangat bangga kerana kritisnya.
Jadi, apakah seorang penulis apabila menjaja buku tulisannya sangat rendah mertabat dan tidak sepatutnya? Apakah apabila dia berada di gerai buku, itu satu kerja yang buruk? Barangkali mengikut kawan yang menegur saya ini, mahukan saya memakai kot, bertali leher, berada di dalam bilik hawa dingin, berbual dengan profesor, doktor, YB atau juak-juak?
Pesta Buku Kedah yang dibuat di Bangunan Perbadanan Perpustakaan Kedah memberi erti yang banyak kepada saya. Kebanyakan yang membeli, suka apabila saya dapat menurun tandatangan di dalam buku yang mereka beli. Yang lain menyatakan, mereka sudah ada koleksi dan bertanya pula buku-buku yang lama.
Tidak ada golongan elit yang membelinya (mungkin tak berkunjung ke gerai saya) melainkan guru-guru, pensyarah, pelajar dan yang membanggakan orang biasa.
Apapun saya berbangga apabila mereka dapat memanfaatkan apa yang mereka baca. Kepada salah seorang pembeli yang minta saya menurunkan kata-kata, saya menulis: “Membaca itu pintu pengetahuan alam. Ketuklah ia.”
2.
Ahh, tak sempat pula hendak nak komen panjang tentang tulisan Dr. Farish Nor, seorang yang dianggap cendekiawan, yang satu ketika dulu mendakwa Nabi Muhamad memiliki belasan gondek. Dalam Suara Keadlian 3-10 Disember 2008 beliau mengkritik Majlis Fatwa yang mengharamkan Yoga.
Apa yang dapat saya simpulkan, Dr Farish tak tahu apa fungsi Majlis Fatwa dan tidak tahu kenapa Majlis Fatwa mengharamkan Yoga.
Yang dihujahnya lain dari apa yang sebenar, menyebabkan Majlis Fatwa mengharamkannya. Saya rasa yang diharamkan bukan senaman Yoga semata-mata, tetapi apa yang ada bersama senaman itu. Ini bukan soal jika makan kari seumur hidup,apakah seseorang itu akan jadi orang India. Ini persoalan apakah kesan memakan kari jika itu menjadi amalan seseorang?
Ini mungkin Dr. Farish tidak study tentang aqidah. Senaman tidak dilarang dalam Islam, tetapi di dalam senaman itu apa yang berlaku dan apa yang diamal, ini perlu dilihat apabila ada kaitan dengan aqidah.
Apakah kerana ia budaya Asia Tenggara, terpahat kesan seninya di Borobodur, Thailand, Kumpuchea, Vietnam, picit dan urut yang sudah lama bertapak, maka ia tidak sepatutnya diharamkan dan ia menjadi benteng kepada Majlis Fatwa?
Jika ini alasan, sama dengan alasan kaum jahiliah, apabila diajak kepada Islam, lalu mereka menjawab; ini sudah lama diamalkan oleh nenek moyang kami. Masakan boleh diubah.
Sedangkan ajakan Muhamad bukan soal budaya tetapi aqidah kerana budaya yang sekian lama itu merosakan aqidah.
Saya tidak nampak ilimahnya sanggahan Dr. Farish Nor. Yang jelas bagaimana beliau tidak faham apa fungsi Majlis Fatwa dan kenapa diharamkan Yoga.
3.
Yang Dr. Mahathir pula, apa yang beliau mahu? Apa yang beliau mahu ketika hidup di hujung usia ini? Itu tak kena, ini tak kena. Bantai sana bantai sini. Apakah beliau menganggap beliau perdana menteri yang terbaik di antara lima perdana menteri?
Yang menjadi kesal ialah seolah-olah apa yang dikatakannya hari ini seperti tidak pernah dilakukan pada zamannya? Puhhh! Macamlah ‘Politik Wang’ baru muncul dalam zaman Paklah. Weeek, macamlah kroni baru menetas selepas pilihanraya 8 mac 2008 yang lalu.
Disyorkan apabila terbit novel saya ‘ZAUQ’ nanti, satu bab di mana Dee meminta aku membeli cermin besar, patut dibaca oleh mantan politik ini. Cermin adalah satu-satunya alat untuk menusia melihat diri sendiri.
4.
Ini penyakit PKR pula. Serpihan gelojoh hendak jolok buah jambu 30 biji tetapi tak gugur, riuh pula hendak kecek YB Arif Shah, Adun Seberang Jaya.
Dari khabar yang tiga suku sahih, YB Arif Shah tertarik kerana beliau nak ditawarkan Timbalan Ketua Menteri I di Pulau Pinang.
Nehro, ketika menulis kepada anaknya di dalam penjara pernah berkata: Maaf anakku, aku tidak percaya kepada Islam, kerana setiap amal ditawarkan dengan pahala. Ia sama saja menyuruh kanak-kanak lalu dihadiahkan gula-gula.
Zaman ini kita sepatutnya mencari ahli politik yang jujur, yang berjuang hanya semata-mata mahu mendapat keredaan, bukan tawaran habuan. YB Arif Shah jika beliau jujur, ia tidak akan mengeluar kenyataan secara teragak-agak, bukan kerana beliau tidak mendapat layanan dan syafaat Umno.
PKR pula, mengapa mesti menawarkan sesuatu? Ini perinsip orang politik, bukan hipokerit orang politik.
Susahlah kalau kita kembali ke era ini. Kalau macam ni, Mat Kilau, Bahaman, Samsiah Fakeh dan Rashid Maidin lebih bagus.
Bersama Prof Madya Dr. Samad Salleh dari USM, Pro. Madya Arbak Othman, Fuzi Hadi dan Zaidin Abadi, Insitiut Pengurusan dan Integriti Negeri Kedah telah mengadakan satu bengkel penulisan kepada lebih 30 penulis Kedah.
Seronok juga apabila slot pertama diberikan kepada saya untuk bercakap tentang ‘Integriti Dalam Karya Sastera.’ Beberapa karya satera sangat jenuh tentang integriti kerana karya sastera di antara penulisan yang mengandungi dakwah dan perilaku manusia. Di sana wujud integriti, nilai-nilai jujur, berkorban, bekerjasama, berhemah, kasih saying dan lain-lain.
Hj Harun, Pegawai Program nampaknya tersenyum. Mohd Shuwahyudi, orang kuat program hari itu tak kering gusi seronok.
Saya telah memberi beberapa contoh integriti dalam novel Sangeetha, dalam novel Memoir Seorang Guru. Dalam novel Sangeetha misalnya, nilai-nilai murni, kasih sayang, murah hati dan prasangka yang baik, sifat bertolongan sangat banyak dilakukan oleh watak Sangeetha dan juga watak Derus. Amalan watak-watak pikun ini memberi impak yang kuat melalui perasaan Sangeetha dan Derus.
Bersama Sahibussamahah Mufti Negeri Kedah
Malamnya sangat berbesar hati apabila Mufti Negeri Kedah, Sahibussamahah Shaaikh Hasbullah turut berkongsi ilmu. Dijelaskan Seni Sastera Islam walaupun diakui beliau yang beliau bukan orang sastera. Katanya penulis mesti menjadikan Qur`an tempat rujukan utama seni sastera dalam Islam kerana ia ilmu pelengkap untuk memahami Bayan, Ma`ani, Badi`dan mengkaji Majaz, Isti`arah dan Kinayah.
Beliau juga menyarankan, Lembaga Penapis filem dan drama perlu ada para ulama di dalamnya kerana kebanyakan drama dan filem sekarang banyak yang menyentuh aqidah, terutama filem/drama seram atau hantu.

Di Pesta Buku Kedah
28 November hingga 30 November 2008 menyertai pula Pesta Buku Kedah anjuran Perbadanan Prpustakaan Negeri Kedah di Perpustakaan itu sendiri.
Terima kasih banyak apabila Dr. Zahidi selaku Pengarah Perpustakaan memberi ruang kepada kami penulis Kedah, khususnya saya sendiri menjual buku-buku tulisan penulis Kedah.

Bersama peminat di Pesta Buku Kedah
Ada 5 judul buku-buku tulisan saya terbitan Persatuan Pengguna dan novel Memoir Seorang Guru, Sangeetha. Nampaknya Sangeetha mendahului kehabisan stok dan Jiwa Hamba, buku terbaru terbitan Persatuan Pengguna menjadi pilihan utama di samping Luka Rakyat.
Ketika Menteri Besar Kedah melawat gerai, malang saya tidak sempat kerana terpaksa bergegas ke INSPIN untuk menghadiri acara penutup. Terkilan juga kerana agak lama tak bersalam dengan MB baru Kedah. Bagaimana pun buku Jiwa Hamba sempat dihadiah di samping hadiah khusus kepada Tan Sri Ismail Hussain.
Bersama Tan Sri Ismail Hussain di Pesta Buku Kedah
Terima kasih kepada semua peminat yang meminta menandatangani setiap buku yang dibeli.