Catatan 23-25 Januari 2009: ACHEH YANG MEMBALUN PILU

Posted by Tukya Labels:

Melihat sebuah kapal besi tidur tersadai, gerun tidaklah sangat. Memang kuasa Allah yang sangat Maha. Sebuah kapal besi sebesar itu mengingatkan saya kapal muatan kayu arang di mana bapa saya menumpangnya ke Culcata dalam siri mengerja haji jalan darat di tahun 50an dulu. Memang tersadainya kapal itu dalam keadaan seperti kalai, tidak ada tanda-tanda hendak kalak.

Tapi apapun keadaan, sebenarnya pada 24 Januari (Jumaat petang) sesudah solat Jumaat di Baitul Rahman, rumah Allah yang dirempuh Thunami 5 tahun yang lalu, barangkali sayalah manusia terakhir di awal tahun 2009 menjenguk ke kampung berhampiran pantai Banda Acheh untuk melihat sebongkah besi kering pejal ribuan tan yang dihempuk Allah ke atas dua buah rumah dan kemudiannya terus bermastautin di situ.

Kapal besi itu sangat angkuh tidur dan tidak bergerak, pada hal dia tidak pernah mendapat permit atau lesen tol untuk bermastautin di situ. Dan untuk menggesaknya sangat mustahil mengikut ukuran kudrat teknologi sekarang.

Saya meluku-luku dindingnya. Tak berdengung sedikit pun walaupun ia berperut. Saya menyiku-nyiku di buritannya, sangat pejal dan kejap. Tetapi kemudiannya saya terpandang pada dinding berhampiran tempat sauh dihulur. Dinding itu rata seperti dinding rumah papan.



Kapal yang dibawa gelombang thunami di pantai Acheh

Saya terpegun, tersedu, sebak dan akhirnya air mata saya tergenang.
“Bapa menangis, kenapa?” Tanya anak saya.

Masakan saya tidak sebak dan menangis. Serangkap kata-kata yang ditulis dengan cat putih, bentuk tulisan seperti tergesa-gesa berbunyi:

Di bawah ini
Ada adik-adik dan kakakku
Ada ibu dan bapaku.


Saya tidak mampu melihat rangkap ayat itu lama-lama. Ia seperti satu ratapan berpanjangan, merayu dan meminta belas kasihan. Siapakah yang mampu mengangkat kapal besi ribuan tan yang menghempap adik kakak dan ibu ayahnya? Siapa? Dan ia sendiri pasti tidak terdaya jika hanya hendak mencungkil dengan sebatang kayu.

Maka ayat itu diabadikan entah siapa, tetapi sangat menyentuh. Mungkin ia seorang gadis cilik atau si buta atau seorang gadis yang sudah yatim piatu akibat thunami yang membantai balun sekitar pantai Acheh lima tahun yang lalu.

Kuasa apakah lagi, jika bukan ‘Kun Fayakun' Allah, jika sebuah kapal penjana elektrik yang berlabuh di tepi pantai Acheh, tiba-tiba dicempung gelombang, dilambung-lambung, mengheret rantai-rantai sauh, teroleng oleng dengan sauh berlinglong-linglong lalu menghentak dengan gegar di atas dua buah rumah. Bayangkan jika penghuni rumah itu seorang tua sedang mendadah tangan berdoa minta anak cucunya selamat dari mala petaka. Bayangkan...

Dan bayangkan, tidak ada kuderat apapun untuk mengcungkil yang terpenyet di bawah perut sang besi itu.

Tersangat Maha kudrat Allah.

Saya terkesan begitu ketika pertama kali, sesudah lima tahun, saya menjejaki Acheh yang kononnya lima kali ganda menjadi padang jarak padang terkukur. Dengan berteman Pak Budiman, korporat Acheh Darulssalam, Pak Fadli, pensyarah bidang seni, saya dan kawan-kawan di bawa sehingga hujung daerah Acheh yang dibadai thunami.


Pak Budiman, aku, Dr, Fadli, pemandu, Zainab dan Zabedah

“Kini kami orang Acheh sudah bangun,” kata Pak Budiman. “Kalau dulu tak begini. Semuanya mundur. Ekonomi macet. Tapi selepas thunami, masaAllah, ia bagaikan satu hikmah. Bantuan dunia luar menjadikan warga Acheh bangun.”

Sepanjang perjalanan melihat kesan, yang terkesan ialah kawasan yang diperbaharui. Masjid di tepi pantai yang kononnya tidak terjejas apa-apa waktu thunami, menjadikan bulu roma meremang kerana setiap waktu dipasang keset munajat dengan alun suara yang menggetarkan. Di tepi jalan berdebu, berderat gerai jagong bakar tetapi di muka-muka tembok tertulis amaran; Awas, jangan bermaksiat lagi. Thunami pasti tiba!


Masjid Baitul Rahman


Memang bila-bila pun thunami mampu tiba kerana lautnya sangat terdedah sehingga ke lautan India. Biru saujana. Menurut cerita, bukan ombak yang datang, tetapi seekur Cobra Raksaksa datang dengan kepala memanggung hebat, tidak dipedulinya persisiran pantai (kerana itu masjid di tepi pantai terselamat) dan kemudiannya dia menghentak geram ke dataran. Kerana itu dia mampu mengusung sebuah kapal besi ribuan tan dan meletak seperti streka di atas alas kain baldu (di atas halaman berumput)

Dahsyatnya, cerita seperti zaman Nabi Nuh. Sebuah bukit di tepi pantai hujung daerah Banda Acheh dicecahi air hingga ke puncak.

“Bapa memegang erat tangan isteri. Tidak mahu melepas, tapi pegangan terputus. Bapa dilambung ombak raksaksa, isteri bapa entah ke mana. Hingga hari ini tak bapa temui,” cerita Hj Lukman Husain 59 tahun, mangsa thunami, yang kini masih mampu membuka toko kain batik.

“Saya tidak tahu. Saya dihempas begitu-begitu. Lelah saya!” cerita pula Ali Imran, anak Hj Lukman 22 tahun.

“Saya memeluk kuat bonet mobil. Ke mana mobil itu terusung, saya tetap. Alhamdulillah, saya selamat walaupun ibu saya tak ketemu,” cerita pula Intan Nurmala Sari, anak bungsu Hj Lukman yang kini 19 tahun usianya.

Mereka adalah di antara mangsa yang saya temui, ketika thunami melanda, sememangnya ketika thunami gila, mereka di sisi kapal besar yang terhempap itu.

23-25 Januari 2009 memang tidak lebar dan panjang perjalanan. Ia sangat suntuk waktu, tetapi sangat panjang mendengar rentetan peristiwa dan sangat panjang pilu meluka kalbu.

Seperti tidak pernah berlaku apa-apa sekiranya kita melewati gang atau lorong, singgah di kedai atau melepak di warung atau masuk ke toko buku. Warga Banda Acheh seperti tidak pernah di timpa musibah. Anihnya, dalam keadaan sangkaan ramai, warga Acheh miskin dan melarat, namun mereka mampu memungut derma untuk tabung Palestin sebanyak sepuluh juta atau dua puluh juta rupiah seminggu. Yang merangsangkan saya, di sana sini anak-anak gadis berpurdah berdiri di simpang jalan, di lampu merah menadah kotak derma untuk Palestin.

Sayang kita di Malaysia ‘ngak ada.’

Dan bayangkan kreatifnya mereka. Mereka tidak boikot KFC atau McDonald, kerana bagi mereka boikot KFC atau McDonal bererti boikot ayam tempatan. Tetapi mereka memotong peratusan pendapatan jualan. Bererti makan tetap makan kerana bahan itu bahan tempatan. Yang dicukai ialah francaisnya. Francais itulah Amerika.

Kan itu logik,Pak?

Demikian selama 48 jam lebih sedikit. Sangat berterima kasih kepada Pak Budiman dan Pak Fadli berserta keluarga mereka. Sempat membeli Ensiklopedia Al-Qur`an, Krakatau, Mistri Ngeri Akhir Zaman, Sejarah Bangsa Israel dan Kisah Wartawan Amerika yang ditahan di Afghanistan, akhirnya memeluk Islam.

8 comments:

  1. ASH

    salam,

    Indahnya bahasa dan cantiknya nukilan..
    Mampu menitiskan airmata.

    Oh,terkedu aku..

  1. Anonymous

    cikgu, minta komen cikgu kepada post saya tentang PAS.

    maaf, baru belajar menulis!

    http://abdulhadialias.wordpress.com/2009/02/07/perak-muhasabah-buat-pas/

  1. wan salmah

    salam,
    tuan, terima kasih atas artikel yang kaya info ini.
    saya tertarik dengan cerita tuan iaitu tentang orang acheh yang tidak boikot kfc/ mc donald tapi boikot komisennya, boleh terangkan bagaimana?
    terima kasih.

  1. Unknown

    salam,

    catatan yang mengesan di jiwa..
    saya juga tdk memboikot KFC M'sia.. kerana KFC M'sia milik org m'sia.. LTH adalah antara pemegang saham nyer..

  1. kontraktorwibawa.blogspot.com

    Saya rasa sedih, geram dan kecewa dengan nukilan yang terdapat di Buku pelawat DYMM SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN. Semacam saya berada di zaman puak Gasar, puak kanibal yang tidak tahu adab sopan, tidak tahu tata susila serta tidak langsung menghormati Sultan / Raja sendiri.

    Komen-komen yang tidak beradab ini akan pula dibaca serta diterjemahkan oleh bangsa-bangsa lain diseluruh pelusuk dunia. Adakah kita akan rasa bangga menjadi bangsa yang berjaya memalukan dan mencaci maki rajanya sendiri?

    Jika kita berani berkelakuan serta mengeluarkan kata-kata kesat begitu kepada raja sendiri, jangan fikir bangsa lain akan menghormati raja kita malah mereka akan buat yang lebih hina dari itu kepada kita dan raja kita.

    Bangsa kita ni kecil sahaja, tiada apa-apa keistimewaan pun di mata bangsa-bangsa lain di dunia ini. Mereka cuma kenali kita dengan perkataan 'AMUK'. Mungkin hanya itu sahaja kelebihan yang bangsa kita ada.

    Perkara ini jika dibiarkan akan mewujudkan satu masyarakat yang tidak lagi menghormati institiusi beraja. Keadaan ini sangat berbahaya untuk negara majmuk yang mana bangsa asalnya masih belum sedia berdikari dan masih ramai dibelenggu kemiskinan serta mengharap raja sebagai payung mereka.

    -Kontraktorwibawa.blogspot.com

  1. Unknown

    hantar ke utusan @ berita, tulisan tok ya ni dah boleh diangkat sebagai cerpen.

  1. Anonymous

    kepada pengunjung blog

    tak ada siapapun yang tercuit membaca komen KONTRAKTORWIBAWA.BLOGSPOT.
    Dia nak suruh taat raja dan sultan hanya untuk orang akan pandang mulia kat kita.
    betulkah? Cuba baca sejarah raja dan kesultanan dulu. Ada seorang raja dalam cerita merung Maha Wangsa, sediakan arak satu guri di balai penghadapannya. Kita minum dulu!
    Baguehkah?

  1. Unknown

    Several series of louis vuitton have been through special protective procedure when louis vuitton bag are produced by artisans to prevent dusk and stain, so you’d be more cautious to keep the protecting layer during cleaning. A Louis vuitton bags is a status of endless fortune and timeless luxury. To prolong the glorious journey, you should serve it as a long-term investment and it certainly will repay you juicy interests with the longevity of your lv .