MENCARI ROH PAS DALAM PKR

Posted by Tukya Labels:



Saya bukan nak cari gaduh atau melontar benci terhadap Pas atau PKR. Saya sekadar melahirkan kegelisahan agar kita sama-sama berfikir.

Jangan anggap tulisan begini tulisan yang hendak meruntuhkan mana-mana pihak. Apa yang hendak dirisaukan kalau kita sendiri mendakwa kita kuat.



Setelah kembali dari Kuala Terengganu, selepas sebahagian besar anak-anak muda yang memegang bendera Pas berkeliling Bandaraya Kuala Terengganu, bersorak-sorak menaiki motosikal, saya dibalun tanda tanya, apa ertinya PKR dan apa ertinya Pas. Saya teringat empat negeri, iaitu Perak, Pulau Pinang, Selangor dan Kedah. Negeri ini selalu mendakwa pemerintahan PR.

Sampai hari ini kepala saya dibalun dengan tanda tanya ini.

Memang benar sebelum menang kita melihat semua parti dalam PR bekerjasama. Dua malam sebelum mengundi saya dengan kawan-kawan berada di Ibu Pejabat PKR di tengah bandar. Beberapa tokoh PKR (tidak ada pun dari Pas) merengkuh habis berkempen untuk memenangkan Wahid Endut dan melecehkan Wan Ahmad Farid.

Benarlah, PKR kerja kuat. Tetapi di tempat lain Pas juga saya dapati bekerja kuat. Ternyata ‘rumah-rumah’ wakil setiap negeri yang saya dapati ialah ‘rumah-rumah’ Pas. Entahlah barangkali saya tidak ketemu rumah-rumah PKR, tetapi kawan-kawan dari negeri lain, penyokong PKR turut menumpang di ‘rumah-rumah’ Pas.

Maka kemenangan malam itu, digemuruh dengan takbir dan usungan bendera yang saya sangat pasti 80 dari anak-anak muda Pas. Kemenangan calon Pas menjadi kebanggaan PKR dan YB Husam Musa, Naib Presiden Pas pasti akan menyebut nanti PKR lebih kerap dari menyebut Pas.

Saya sangat yakin, jika sokongan yang diberikan kepada Pas seperti di Kuala Trengganu, pemerintahan PR akan semakin kuat dan kalaulah orang seperti Wahid Endut berada di mana-mana kawasan PR, pastinya di tahun 2013, PR akan tambah kerusi.

‘Tidak!” tiba-tiba seorang kawan saya yang sejak dulu totok dengan Pas melenting menyanggah.

‘Memang dasarnya peperintahan PR. Bagus. Tapi hakikatnya bukan PR sebaliknya DAP di Penang, Pas di Kedah dan Campuran di Perak ,Selangor ++ dan Kelantan Pas totok.”

‘Jadi apanya, kenapa?’ saya sangat tertarik sanggahan kawan saya ini. Dia kurus melengkong macam lantai papan jambatan. Dan kemudiannya saya bersetuju dengannya.

Memang pun saya sangat bangga apabila PR dikatakan menguasai 4 negeri dan kini khabarnya telah membentuk ‘Majlis Menteri Besar.’

Tetapi bagi saya pembentukan itu tidak lebih dari satu pakatan mendahulu bangga dari hakikat kualiti sebagai pemerintah itu sendiri. Ia lebih merupakan berlunjur sebelum bersila. Ia lebih menggambarkan ‘berat rantai dari beruk.’ Bagaimana pun entahlah jika dari kaca mata politik, ia perlu.

Kebimbangan yang ‘paling’ besar bagi saya ialah apabila berpeluang menjengok ke dalam rumah pemerintahan PR dan bukan ‘kosmetik’ PR itu sendiri. Kemenangan Datuk Sri Anwar Ibrahim di Permatang Pauh Ogos tahun lalu memang hebat, tapi ia tidak bererti jengukan kita ke dalam rumah PKR membanggakan.

Adun Penanti yang menjadi Timbalan Ketua Menteri mula diperkatakan dan kemudiannya tali TKM ditarik semula. Maka yang kuatnya dalam rumah PKR dalam pemerintahan PR ialah DAP.

Tak pun orang terfikir masa depan, setidak-tidaknya empat tahun lagi, apakah prestasi begitu akan memantapkan pemerintahan PR yang majoritinya DAP? Pas pun kena ambil peduli. Jangan asyik ber ‘Insyaallah’ saja.

Memang ini buruk sangka untuk masa depan ( seperti kata seorang pengulas blog terhadap saya) tetapi kita mesti membacanya juga untuk memperkasakan masa depan. Katakan saja YB dari PKR sangat lemah. Dalam hal ini orang tidak akan menuding jari kepada PR Pulau Pinang sebaliknya tentu kepada PKR Pulau Pinang.

Kedah ,Perak atau Selangor bagaimana?

Bacaan orang politik, Perak PR masih dan mampu bertahan tetapi majoriti komponen PR akan berubah. Kini tambah satu hasil dari lompatan YB Umno. Bagaimana pun calon DAP lebih menguasai walaupun tetap pemerintahan PR.

Bukan mustahil akan ada calon Melayu yang menjadi ahli DAP, kemudian bertanding dalam pilihanraya hanya semata-mata hendak memenuhi syarat seorang menteri besar mestilah Melayu dan beragama Islam. Ketika itu Menteri Besar dalam pemerintahan PR di Perak bukan dari Pas, tetapi dari DAP berbangsa Melayu/ Islam. Dan di Pulau Pinang mimpi ini tidak akan terjadi walaupun calon PKR hampir tepu mulut tempayan pemerintahan PR.

Mengenepikan Selangor, saya lebih merasa cuak terhadap Kedah.

Pas Kedah tetap kuat tetapi Pas Kedah mampukah menjadi pemerintah PR bagi penggal kedua tahun 2013 nanti?

Ada beberapa faktur yang PR Kedah patut merasa bimbang terhadap Pas Kedah, malah dalam PR Kedah, selain dari Pas, semacam ada duri dalam daging. PR tidak boleh berbangga dengan Pas Kedah dan Pas Kedah tidak boleh memberi jaminan kepada PR bahawa ia akan kekal atas nama Pas dalam pemerintahan PR.

Ini bukan satu hukuman atau satu tuduhan busuk. Semoga dengan andaian ini ( jika boleh dianggap andaian) Pas Kedah perlu muhasabah secara bulanan. Apa yang membimbangkan bukan pemerintahan Pas atau kerana nama Pakatan Rakyat, tetapi beberapa karenah dari tampuk yang digenggam oleh Pas sendiri.

Tertubuh kerajaan bukan kerana nama PR atau PKR atau Pas sebenarnya. Faktor yang besar ialah dari calon itu sendiri. Saya rasa kita kena kembali kepada persoalan ini. Kemenangan Wahid Endut bukan kerana calon Pas tetapi atas nama Pas, Wahid Endut menjadi calonnya, maka dia mendapat kredit kemenangan.

Memang perarakan anak muda malam kemenangan itu kerana Pas menang setelah PR bertungkus lumus selama sepuluh hari. Tetapi harus diingat, jika bukan Wahid Endut, Pas sukar menang dan PKR, DAP tidak akan lancar bercakap tentang calon Pas.

Maka sekali lagi saya menjadi fobia apabila memikirkan Kedah. Dengan faktor apa kemenangan yang kita harapkan jika bukan diri calon.

Rupa-rupanya selama ini rakyat sangat pandai memerhati dan menilai. Jika ada kebencian dan tidak suka, bukan kepada Pas atau PKR disalahkan, tetapi kepada individu yang telah melakarkan stailnya setelah dia diangkat menjadi orang penting dalam pemerintahan.

Kedah ada kelemahannya dan ini mestilah cepat-cepat disedari. Yang penting sesama anggota mesti belajar memahami antara satu sama lain. Yang perlu sedar, ketua pemerintah bukan seorang derebar teksi yang mencari penumpang, yang boleh beluk ke mana-mana, tetapi dia adalah derebar yang memuat penumpang yang mesti patuh kepada penumpang untuk sampai ke destinasinya. Ia berkewajipan menjaga teksi supaya dalam keadaan baik.

Drebar mestilah faham, jika dia membawa seorang arkitek, dia mestilah membawa arkitek itu ke pejabatnya, bukan membawa ke pejabat amanah saham. Jika penumpang itu seorang doktor, jangan bawa penumpang itu ke pasar raya. Tempat doktor di klinik atau hospital. Begitulah selanjutnya.

Saya tidak bimbang Lim Guan Eng, tetapi saya sangat bimbang Nizar. Alasannya mudah. Betapapun PR akan menguasai nanti, yang jelas Perak tidak lagi Nizar yang menjadi Menteri Besar. Apakah Pas tidak dapat membaca akan wujud calon Melayu dari DAP, hanya semata-mata untuk memenuhi tuntutan undang-undang negeri bahawa Menteri Besar mesti Melayu.

Tapi bagaimana Kedah? Jawabnya tentunya Umno sedang menunggu dan mereka bekerja keras kerana melihat kelemahan yang berlaku sekarang. Kelemahan kita bukan kerana Umno kuat, tetapi kita mencipta masalah sesama kita. Kita tidak fokus fikrah secara kolektif.

Kedah sekarang tidak menggunakan pemikiran dan cerdik pandai ahli Pas sama ada exco atau pegawai tadbirnya. Kedah, apa yang berlaku sekarang sedang dalam proses menafikan bijaksana pegawai tadbir dan cendekiawan orang Pas. Kita mengamal dasar: ‘Awak tahu apa. Awak bidang apa? Saya mahu ini, bukan itu.’

Kononnya, Kedah lebih senang berunding dan berpakat dengan mereka yang kononnya bijak dan berpengalaman tapi sayang tidak mempunyai tarbiah dan fikrah Pas. Kedah kononnya lebih menghormati orang bukan Pas. Pas Kedah semacam terlupa yang berkuasa ialah Pas, bukan orang lain.

Apakah jawapannya?

Jawapan yang mudah ialah, Umno sedang menunggu kelemahan pemandu kenderaan PR ini dan kebetulannya dari Pas. PR tidak akan rugi walaupun DAP yang menjadi komponen PR, tetapi Paslah yang akan menggigit jari.

Gaya kemenangan Kuala Terengganu sangat menyentuh. Mungkin ada solat hajat atau doa minta mana-mana kawasan kosong lagi.

KALAU NAK BERSIH LALANG, CABUT AKAR UMBINYA.

Posted by Tukya Labels:


Keputusan telah pun dicapai bahawa GMP (Gerakan Mansuhkan PPSMI) pada mesyuarat 20hb Januari 2009 yang lalu, satu himpunan 100,000 orang akan dibuat dan satu memorandum akan diserah kepada Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong pada 7 Mac akan datang.

“Ini bukan tunjuk perasaan dan bukan anti kerajaan,” kata Datuk Hassan Ahmad, Mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa.‘

Rasanya semua sokong, kecuali orang-orang Umno yang masih berakar umbi dengan Dr. Mahathir.

Persoalannya, apakah ia mendatangkan kesan dan PPSMI ini mungkinkah mansuh?

Akhbar berbahasa Cina melaporkan, kedegilan tetap akan berlaku di mana kononnya, ia akan diteruskan pada peringkat sekolah menengah.

Puahhh! Tak habis-habis kedegilan pelepah pisang tua ini.

Masalah ini ramai yang tidak sedar, mengapa dan bagaimana mahu menyelesaikannya.

Dulu, sewaktu tulisan jawi pupus, bangkitlah juga ahli bahasa, pencinta tulisan jawi, diluah segala tantangan dan kebimbangan. Kini nasib tulisan jawi macam takuk lama juga. Akhbar Utusan Melayu jawi hanya menjadi selitan setiap hari Isnin.

Tak seorang pun mengimbau kembali betapa Menteri Pelajaran dulu yang bernama Almarhum Khir Johari yang membuat pasal. Tak seorang pun mahu mendakwa menteri itu. Pada masa itu Almarhum mungkin terkerisin terkernyih melihat gila sawan orang Melayu yang bercakap tentang perlunya dikeramatkan tulisan jawi. Kononnya bahawa al Qur`an. Begitulah semangat orang Melayu.

Kini bahasa Melayu yang sudah dilacurkan, direndah mertabatnya dalam bidang yang penting bagi anak bangsa Malaysia. Tengah syok-syok dan megah dengan bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi dan Bahasa Kebangsaan, cup-cup ada perdana yang Maha Perdana suruh tukar kepada bahasa Inggeris.

Ingat tak, orang-orang yang sebulu macam Pemimpin Umno Johor Datuk Puad Zarkashi tak seorang pun panggung kepala. Semua yes men! Ketika itu ada suara yang tidak setuju (bukan menentang) tapi Dr. Mahathir yang menjadi Perdana Menteri haram tidak peduli. Dengan kuasa yang ada, yang entah semangat apa, beliau tetap tidak peka.

Maka beriuh rendah dan berhoha-hoalah sekelian pegawai dan pokka. Dihabiskan jutaan ringgit beli itu ini, ditambah elaun guru yang gagap-gagap bahasa Inggeris supaya jadi kuah tambah kepada guru bahasa Inggeris dan dinaik taraf menjadi guru pakar.
Ingat tak bagaimana degilnya Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri ketika itu, walaupun diketahuinya anak-anak Melayu sampai berbuih air liur nak sebut bahasa itu.

Sekarang bangkit satu gelombang yang agak berani, termasuk mantan-mantan bahasa dan pejuang Kebangsaan Melayu. Tapi malangnya tak seorang pun sebut siapa yang menyebabkan PPSMI ditukar kepada bahasa Inggeris. Semua koro dan tersentot tahi. Koro dan bisu ini termasuk mereka yang memperjuang Ketuanan Melayu.

Lalu timbul cadangan dari Gapena, persoalan ini akan dibawa ke mahkamah. Fuhhh! Sangat berani.

Biadap terhadap kerajaanlah tu, namanya.

Mengapa tidak ada cadangan, seret saja Dr. Mahathir. Cari dan kelelebek, korek kerosek mana-mana menteri, pemimpin Umno seperti Datuk Puad Zarkashi, yang cuba menentang dulu. Minta mereka timbulkan bukti di atas kedegilan Dr. Mahathir. Selepas itu dakwalah Dr. Mahathir. Kita rasa Dr. Mahathir bukan saja melakukan kesalahan terhadap Bahasa Kebangsaan (Melayu) tetapi banyak lagi perkara yang boleh didakwa, seperti soal kuasa raja-raja, pemecatan hakim dan lain-lain.

Kalau nampak tak makan dengan dakwaan kerana mahkamah masih berakar umbi dengan jampi serapahnya, maka apa salahnya pada 7 Mac akan datang, pergi ke istana Dr. Mahathir, minta beliau turun dari balkoni, seperti Jebat minta Tun Tuah turun dari istana. Ajak Dr. Mahathir sama-sama ikut perhimpunan ke istana. Kalau tak mahu, panggil FRU, suruh turun juga-juga untuk membetuli kesalahan beliau dulu.

Kalau ada imuniti, pinda cepat undang-undang imuniti.

Mana tahu kalau-kalau dengan berbuat demikian, di tengah jalan hampir dengan pintu istana, Dr. Mahathir akan berhenti lalu berucap menyatakan kekesalan dan kesilapannya dulu dan membuat perisytiharan bahawa dia menarik balik cadangannya dulu dengan lenangan air mata, menangis habis sebagai kesilapan besar dengan alasan baru tersedar tentang nasib anak bangsanya, maruah, mertabat bahasa Melayu.



Tidak bolehkah buat begitu? Kita rasa Tan Sri Prof Ismail Husain Ketua Satu Gapena yang baik dan menyokong keangkuhan dasar ini dulu mampu mengajak Dr. Mahathir.

Kalaulah ramai yang tua-tua, tak ada tenaga lagi hendak berjalan, pinjam saja kerusi roda hospital dan letakkan mereka ini di atas kerusi, termasuk Dr. Mahathir. Semoga dengan Sa’e di jalan Lapangan Terbang Lama menjadi saksi.

Kita fikir inilah jalan terbaik. Mula-mula ajak dengan baik. Kalau tak mahu juga, cempung bawa turun. Bukankah Dr. Mahathir yang mula-mula muntahkan idea soal PPSMI ini?

Kalau ajakan itu gagal, laungkan dalam bahasa Inggeris. Insyaallah. Inilah saja caranya: Kalau nak cabut lalang, kenalah cabut akar umbinya. Lalang tua lagi senang.

Apa pendapat pengunjung blog ini?

PERNGALAMAN SEORANG PENULIS KREATIF *

Posted by Tukya Labels:



Mukadimah:
Pengalaman seorang penulis kreatif tidak sama dengan pengalaman penulis kreatif yang lain. Ia sangat berbeza. Namun tujuannya sama, iaitu melahirkan karya atau hasilnya.
Pengalaman bagi penulis tidak seperti pengalaman seorang ahli sukan.

Seorang ahli sukan akan terhenti apabila ia mencapai usia 40an dan pengalaman dari segi fizikal (dasar bersukan) ia tidak akan mampu berbuat demikian lagi, melainkan menjadi jurulatih. Jurulatih sekadar memberi petua atau teori tetapi tidak mampu melahirkan pengalamannya serentak dengan penggunaan fizikalnya.

Lain dari penulis. Semakin lama dan berusia, ia semakin matang walaupun ia tidak dapat berjalan atau hanya di atas kerusi roda.

Oleh yang demikian, saya memilih menjadi penulis, tidak menjadi ahli sukan. Memang sukan penting tetapi bagi saya sukan mesti berdasar kepada penyihatan badan, bukan pertandingan.

Fasa 1

Ketika usia belasan tahun (15 tahun) saya tertanya-tanya, macam mana nama seseorang boleh ada di dalam akhbar (apabila tulisannya tersiar, ada nama di bawahnya, dinamakan by line) kerana sebelum ini, bapa saya yang agak rajin membaca, sering membeli komik dan majallah, termasuk novel dan buku pengetahuan.

Akhirnya saya mengambil keputusan, melukis apa yang saya rasa minat, terutama komik kartun.

Kemudiannya saya cuba menulis hanya di kertas exercise book . Saya masih ingat saya menulis drama radio hanya dua muka. Kemudian menulis sajak, rencana dan cerpen. Namun selama tiga tahun tidak ada satu pun yang tersiar, walaupun duit stem terpaksa saya curi di dalam poket bapa.

Sekolah agama ketika itu, setiap minggu ada majlis bahas, pidato, baca syair dan lain-lain. Saya aktif dalam bidang ini. Jadi semua isi pidato, bahas, pantun saya karang sendiri. Saya di antara pelajar yang aktif dalam bidang ini.

Hasil dari perbahasan (suka menjadi pembangkang) telah melahirkan satu tulisan saya tentang baik buruk wanita bermain bola sepak dan tulisan itu saya kirim ke akhbar Warta Negara. Tersiar.

Mulai hari itu saya merasa satu dunia mengenali saya!

Saya mula menulis sajak. Sering menulis mengkritik siapa saja. Saya guna nama ‘Jamong’ ‘Qalam Adly’ ‘Ibnu Abdullah AL Haj’ dan lain-lain.

Mulai di saat itu, saya mula menjadi orang yang kuat membaca. Buku sering berada di tangan. Buku-buku yang dibeli oleh bapa saya, saya juga membacanya seperti majallah Qalam, Mustika, Aneka Warna, Warta Johor, Dian, Pengasuh Kelantan. Jika novel seperti Ibu Rukambol, Merantau ke Deli, Di Bawah Lindungan Kaabah, Tenggelamnya Kapal Vanderwick di samping Utusan Melayu dan Utusan Kanak-kanak.

Akhirnya tahun 63 barulah sebuah cerpen saya tersiar di dalam akhbar Warta Mingguan bertajuk Sisa. Pecahlah tembok bagi seorang penulis.

Fasa ke 2

Saya bergelut dan merengkuh dengan penuh kuderat dan tenaga. Namun saya tidak tahu tata bahasa, sendi nama, orang pertama, orang kedua dan berbagai ilmu bahasa. Malah saya tidak tahu apa fungsi ‘kan’ ‘meng’ atau ‘pun’ dan saya masih tidak tahu membeza fungsi ‘bila’ ‘apabila’ ‘pada’ ‘kepada.’ Saya menulis ikut sedap apa yang bergelora di dalam dada dan menurunkan ‘cakap hati’ di kertas.

Saya belajar bahasa melalui apa yang saya baca. Jika ada perkataan yang sedap, saya akan tanda dengan gurisan pen, dakwat atau saya garis-garis supaya nampak jelas. Bahasa itu saya akan guna dalam tulisan saya.

Saya tidak pernah belajar apa itu plot sebuah cerita. Apa itu tema, apa itu flash back, apa itu for shadow, apa itu naratif, apa itu watak pipih, bulat. Protoganis, anti protoganis. Pendek kata teori menulis cerita saya tidak tahu.

Saya tidak pernah belajar menulis karangan bermula dari pembukaan, tengah, akhir.
Saya menulis apa yang saya rasa nak tulis. Semuanya menjadi saya tidak sedar kesalahan saya kerana ketika itu sehingga sekarang, penuilisan sastera tidak pernah dikritik soal tata bahasa, nahu dan struktur. Ia hanya menjadi pembetulan oleh pengarang.

Kerana prolifik saya, satu masa Ketua Pengarang akhbar Utusan Melayu Datuk Melan Abdullah jemput saya ke KL. Saya temuinya tapi saya dianggap tidak layak kerana saya selekeh.

Fasa ke 3

Saya mula berjinak-jinak dengan bengkel, seminar sastera. Beberapa kertas kerja dari penulis terkenal dan ceramah mereka saya ikuti. Akhirnya satu bengkel besar saya dijemput, iaitu Bengkel Penulis yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur di Teluk Kemang tahun 1971 (?)

Bagaimana pun setiap kursus dan bengkel, kami tidak pernah diajar tentang tata bahasa kerana bagi penulis kreatif, mereka bebas menggunakan apa saja tata bahasa.


Fasa k 4

Sebenarnya sejak tahun 65 lah saya sudah mula merengkuh kerja menulis ini walaupun tidak ada sebarang kemudahan. Saya tidak ada taip writer. Saya cuma pinjam (kepunyaan biras saya Hamid Mohamad, sekarang Tun, Bekas Ketua Hakim Negara)
Meja cuma duduk di atas pelenggar depan tangga dan bangku papan bulat. Lampu dua pelita minyak tanah.

Setelah bekerja barulah saya dapat membeli taip writer Olivity. Kemudian taip elektrik dan taip writer ini sering bertukar-tukar.

Saya menulis ketika rangsangan mendesak, ketika keradangan memuncak. Tidak kira waktu, kecuali waktu mengajar. Saya berjaga lewat malam kerana sering minum Livita.

Fasa ke 5

Ketika mula hendak menulis novel pertama Garis Lintang Anak Haram, saya membaca dua buku. Pertama Agama Terbesar Di Dunia, kedua Agama Kristian dalam majallah terbitan Singapura. Saya membuat perbandingan tentang ajaran agama ini.

Kemudian saya menulis novel Sami Mekong setelah saya membaca buku Budha, seterlah saya melihat amalan Budha di Wat-wat.

Ternyata kerja menulis bukan kerja main-main. Pada pandangan mata orang, ia satu hobi dan gila tetapi bagi penulis ia satu tuntutan yang memerlukan kesungguhan dari segi: mendapat ilmu, tenaga dan idea.

Bagaimana pun pada peringkat ini saya lebih kepada melahirkan kegeraman, ketidak puasan sesuatu perkara, resah jiwa. Kerana itu saya hanya menulis mengikut perasaan tanpa membanyakan kajian atau bersifat ilmu.

Fasa ke 6
Oleh kerana sering mendapat tunjuk ajar dari penulis besar, membaca teori dan tanggung jawab penulis, kini menulis bagi saya satu tanggung jawab dan mesti bertanggung jawab.

Saya mengasuh diri sendiri menjadi orang PEKA, saya asuh menjadi perasaan saya SENSITIF dan saya ajak fikiran saya menjadi orang yang sensitiviti.

Saya tidak akan menulis sebelum saya berfikir terlebih dahulu. Saya tidak menulis jika saya tidak mendapat maklumat yang kuat (sentuhan dan desakan dari fakta atau bahan) dan saya akan berazam dengan sungguh-sungguh.

Contoh:

Novel Sangeetha. (Terbitan DBP tahun 2007-Anugerah MASTERA) bukan saja dari pengalaman tetapi hasil penyelidikan juga dan pengorbanan masa tanpa had. Pengalaman orang tua melalui perasaan tua dan melihat dengan mata kepala tabiat, kasih sayang orang tua membuat saya pertemukan watak tua dalam Sangeetha, iaitu Derus dan Sangeetha.

Pengalaman bermain gambus sedikit sebanyak, saya curahkan dengan tokok tambah penyelidikan dan usaha mencari pengalaman bagaimana orang bermain tabla, membuat saya ke sana sini, termasuk ke Pasir Gudang Johor.

Pengalaman dulu mencari makna dan bahasa, perkataan yang indah dan kuat, membuat saya sering membaca beberapa bab pendahuluan sesebuah novel apabila saya hendak memulakan bab-bab baru ketika menulis Sangeetha.

Pengalaman betapa besarnya faedah membaca kamus dan kosakata, menjadikan saya menyediakan empat kamus, pribahasa, kosakata bagi memperkuatkan setiap ayat.
Dan pengalaman akhir ialah mengorbankan masa yang panjang, mengenepikan kepentingan rumah tangga, tanggung jawab terhadap isteri selepas mendapat kerelaan dari mereka.

Saya menghabiskan malam yang panjang, menyahkan mimpi indah dalam tidur di bilik, di atas tilam empuk. Saya pisahkan kehidupan ini dengan masyarakat ketika menulis.

Inilah pengalaman secara umum bagi seorang penulis, khususnya ketika menghasilkan novel.

Kesimpulan:

Bagi mereka yang ingin menjadi penulis, anda haruslah ingat, berdirinya saya di hadapan anda, atau apabila anda membaca karya Sasterawan Negara dan penulis besar yang lain, anda jangan ingat mereka menulis tahun lalu atau mereka baru menjadi penulis dalam masa setahun.

Seperti saya, mereka juga melalui jalan-jalan liku yang sukar, perit dan mencabar. Ia tidaklah sesusah seorang petani menuai padi atau nelayan menangkap ikan, tetapi ia mungkin lebih dari seorang perempuan mengandung yang akan melahirkan anak.

Ada beberapa elimen yang sangat penting yang perlu ada kepada penulis. Ia tidak seperti seorang kerani atau seorang pemain bola sepak.


Di antara elimen itu ialah:

  • Sihat tubuh badan
  • Akal yang sihat
  • Perasaan yang tenteram
  • Mampu menyimpan pengalaman masa lalu.
  • Masa yang tidak dijadual.
  • Kesabaran yang tinggi
  • Penambahan ilmu dari masa kesemasa
  • Kepekaan, sensitiviti yang tajam
  • Memiliki imajinasi (daya bayang) yang kuat.
  • Dan lain-lain.

Sekian.

azizi hj abdullah
boleh dihubungi:
tukya_azizi1426@yahoo.com.my
http://aziziabdullah.blogspot.com
__________________________________________________________
* Wacana Budaya anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara- Majlis Daerah Lenggong-Anggota Seni prihatin Ulu Perak, pada 31 Januari 2009 di Rumah Rehat Lenggong Perak.


APA KHABAR TUAN HAJI?

Posted by Tukya Labels:

-Azizi Hj Abdullah
Azmi Abd. Hamid, Presiden TERAS
Mohd.Ridzuan Mohamad
Zarinah Osman.


Dari Seramai 26,000 jemaah haji tahun lalu, 0.1% dari 26 juta yang dibenarkan oleh Arab Saudi mengerjakan haji, pastinya pulang dengan satu kepuasan dan kelegaan kerana rukun ke lima sudah pun tertunai.

“ Aku puas. Setiap kali aku tawaf, aku dapat kucup Hajar Aswad. Aku tak kira, aku tembi sigung Tok Arab. Mana boleh bagi can,” kata seorang lelaki sebaya 40an, berbadan tegap sasa ketika sebaik-baik saja dipeluk oleh seorang rakannya di rumahnya di Taman X, sekembali dari Mekah.



“ Tak banyak. Serban dua puluh helai. Kopiah putih dua puluh. Jubah Duffah lima helai. Minyak wangi Malikussubuh adalah sepuluh kotak. Air Zam-zam 10 liter. Hajah aku tu, sempat juga beli paun emas sebesar syiling lima kupang.” beritahu Hj Kasa dari Sungai Mas kepada Hj. Dahaman yang ke Mekah lima tahun yang lalu.

“ Lima kali dah aku ke Mekah, tak macam tahun ni. Tahun ni kedai jualan habis kena runtuh. Hiii, susah orang nak belibelah. Aku berkelahi dengan Tok Arab yang cuba nak tipu aku. Kalau tak sebab dekat Makam Ibrahim, aku tentu sepak!” Hj Husin yang sudah lima kali ke Mekah bercerita kesamsengannya sewaktu bergeser dengan Arab Badawi ketika tawaf.

Tiga cerita di atas adalah lumrah setiap tahun bagi jemaah haji yang baru pulang. Selalunya ketika membuat kenduri kesyukuran kerana pulang dengan selamat, cerita-cerita begini didedah untuk membuktikan seseorang itu bukan ‘jakun sangat’ berada di Mekah.

Itu tidak lagi cerita bagaimana mereka bertolak-tolak ketika tawaf, mencium Hajarul Aswad. Tidak bercerita lagi bagaimana marahnya dengan maki hamun hanya hilang sepasang kasut di Masjidil Haram dan marahkan kepada pengawal masjid kerana tidur di tingkat atas. Itu tidak dicerita lagi bagaimana berebut tolak menolak hendak berada di Raudah.

Tak seorang pun yang pulang yang kita dengar bagaimana dia menangis, bermunajat di Arafah atau ketika di Jabal Rahmah memohon kepada Allah agar memberi kemenangan kepada umat Islam yang tertindas di Palestin. Tak ada seorang pun yang bercerita bagaimana ada satu kegiatan menginfakkan wang ringgit bagi menolong umat Islam yang jadi mangsa kekejaman Zionis. Mekah bagi mereka kesempatan yang perlu dilakukan ialah amalan khusus untuk diri sendiri. Hal-hal umat Islam di seluruh dunia dinyahkan begitu saja.

Malah ribuan yang bertalbiah, hanya sekadar bertalbiah untuk mendapat ribuan pahala dan lain-lain amalan khusus dalam bentuk kepentingan peribadi. Tidak ada amalan dalam bentuk kepentingan umat Islam.

Ketika mereka mendadah tangan berdoa, kebanyakannya menadah meminta keampunan, kebahgiaan diri dan keluarga. Kalimah Muslimin Muslimat hanya terucap kerana kalimah itu ada di dalam doa. Ia bukan bacaan yang penuh dengan penghayatan. Bagi mereka biar mereka saja masuk syurga. Pedulikan sangsara dan nasib buruk umat Islam yang lain.

Yang demikian, ketika berada di lapangan terbang Jeddah atau dari Madinah atau ketika tawaf wida’, meledaklah apapun berita tentang Palsentin, di Gaza atau di Mindanao, mereka tidak peduli. Yang penting air Zam-zam mesti sampai ke tanah air untuk diberi kepada jiran-jiran disamping menjadi penawar untuk anak-anak lulus peperiksaan.

Hal-hal di atas bukanlah satu gambaran buruk atau satu sangka buruk. Ia adalah tradisi yang sukar diubah. Haji bagi mereka yang digambarkan di atas adalah ibadah yang sangat penting tetapi penuh dengan kepentingan diri dan peribadi sedangkan falsafah mengerja haji lebih jauh dari tujuan itu.

Lima kali mengerjakan haji dengan wang yang direngkuh mengompolnya, mereka tetap beranggapan belanja ke Mekah tetap mendapat berkat Kaabah dan Makam Nabi walaupun di sisinya ada seorang Palestin yang kudung kakinya atau jiran di rumahnya ketandusan wang hendak menghantar anaknya belajar ke Azhar.

Apakah 0.1% dari 26 juta jemaah haji kita yang baru pulang sedar tentang punggung King Saudi disumbat pisang oleh Amerika atau pendapatan berjuta atau berbilion paund hasil dari cukai jemaah haji sedunia, tidak pernah mengalir ke daerah Palestin yang sangsara?

Apa khabar tuan haji?
Ketika soalan ini dilontar, kebanyakannya akan menjawab, baik dan Insyaallah lambaian Kaabah akan berulang, sedang lambaian tangan anak-anak Palestin yang kudung dan kibaran bendera Hamas tidak pernah ada dalam kehangatan udara Mekah ketika itu.

Sesunggunnya ibadah haji memiliki banyak dimensi dan ia sangat mencabar. Ada banyak perkara yang dilupakan dan para tuan guru sering mengabaikan huraian ini kerana kalut dengan doa-doa mustajab di makam Ibrahim.

Apa khabar tuan haji?
Sayang pertanyaan ini tidak dijawab oleh egen-egen dan pemimpin yang memiliki pengetahuan agama. Tidak pernah timbul bahawa haji adalah satu perjalanan dalam mematuhi serta kesedaran tindakan keingkaran politik terhadap taghut, penjenayah kemanusiaan dan bendera agama yang dikoyak
.
Tidak pernah disedari ketika mengusung air zam-zam atau karpet dari Iran bahawa haji adalah perjuangan berterusan terhadap godaan kebendaan. Tidak ada dua dari sepuluh jemaah kita rasanya yang bertemu dengan jemaah Palestin atau Afghanistan bertanya khabar berapa batang tubuh yang telah direbahkan oleh Amerika di Afghanistan, di Iraq atau kebuluran di Sudan.

Talbiah hanya sekadar laungan memenuhi perjalanan dan bukan satu laungan kesedaran. Ehram hanya sekadar dipakai kerana itu syarat dan bukan satu sentakan kesedaran bagaimana yang sepatutnya ada di dalam hati.

Apa lagi apabila berada di Arafah, di Mina. Satu perhimpunan raksaksa yang tidak ada taranya. Tetapi untuk apa perhimpunan seperti itu. Lalu masing-masing mencebik mulut apabila kembali ke tanah air bilamana ada kawan mengajak sama-sama demonstrasi membantah kedurjanaan kuffar. Bagi mereka, perhimpunan di Arafah hanya perintah, tidak ada falsafah atau hikmah daripada perhimpunan itu.

Bagi mereka perhimpunan bererti menentang kerajaan.

Pernah adakah ingatan di dalam kepala ketika bertalbiah betapa seorang Yahudi menembak seorang budak atau sebuah kereta perisai memusnahkan sebuah masjid?

Apa khabar tuan haji?

Tuan haji akan bercerita, di Masjidil Haram solat tidak pernah susut setiap waktu. Di Masjid Nabawi setiap waktu tidak punya ruang kosong. Jemaah Malaysia pun berdoa dengan lenangan air mata. Tetapi tak seorang pun sedar bagaimana Sayed Hasan Nasrallah merayu Muslim sedunia berdoa menyelamatkan umat Islam yang dizalimi oleh Israel, umat Islam yang ditindas.

Tidak pernah tersedar ketika berdiri sesak, serentak bertakbiratul ehram, dengan sentuhan bahu-bahu dan berlaga siku, umat Islam sebenarnya telah membuat kenyataan politik; kita semuanya sama. Kita semuanya berkewajipan. Kita semuanya bersaudara. Dan kita sama-sama berikrar hidup mati hanya kerana Allah. Tapi apa yang berlaku, sekilo kurma atau sebotol minyak Atar bagi mereka lebih mahal dari sebiji peluru Israel.

Apa khabar tuan haji?

Lebih jauh untuk menjawabnya, rombongan yang pulang tetap dengan jamuan syukur bersama kurma Madinah, kismis, buah ara lepong dan kacang cerdik. Pedulikan rayuan derma, seringgit dan boikot barangan Amerika. Tidak tersedar pun, ketika menjadi tetamu Allah di hadapan Kaabah, sesungguhnya ada halangan secara tidak langsung terhadap umat Islam yang lain untuk menjadi tetamu Allah. Sebahagian umat Islam yang lain sebenarnya telah dihalang oleh penjaga Haramain-keluarga yang sekian lama menjadi pembodek Amerika. Lalu merekalah yang menghadkan, membuat kouta. Alasan mereka mudah. Mereka tidak mampu membenarkan semua umat Islam menjadi tetamu Allah kerana mereka tuan punya bumi Mekah dan berhak membuka atau menutup pintu Haramain.

Tetapi dalam masa yang sama, mereka membenarkan Zionis dan pembelasah kemanusiaan masuk dengan sikap kurang ajar setiap penjuru tanah umat Islam dan membiarkan kaki kuffar menginjak masjid-masjid. Mereka tidak merasa apa-apa betapapun Al Aqsa dilontar najis.

Mereka memiliki sempadan tetapi menutup pintu. Mereka tidak berkata ‘jangan masuk’ tetapi mereka mengunci pintu itu rapat-rapat.

Tak seorang pun sedar apa yang dilakukan oleh Husni Mubarak dan tidak pula pernah marah tentang diamnya King Abdullah di Saudi. Yang pulang setelah bergelar haji, masih mendewa-dewa itulah Raja Mekah yang penuh barakah yang mengsedekahkan syafaat mereka. Mereka gelisah apabila air Zam-zam hilang di terminal atau serban tidak cukup untuk sedekah dari nama Obama. Mereka tidak tahu pun siapa betina Rice atau Olmert.

Apa khabar tuan haji?

Jawapan memang sedap didengar. Tetapi tidak ramai yang sedar haji yang bermula dengan sejarah para Nabi-nabi termasuk Ibrahim. Tak tersedar pun tentang Ibrahim ketika di makamnya betapa Ibrahim merengkuh tenaga dan perjuangannya menentang taghut sehingga dia dibakar. Tak terdengar pun sebahagian yang pulang bersedia menentang taghut seperti Ibrahim.

Apa khabar tuan haji?

Kami tidak pernah doa di Multazam atau di Safa atau di Raudah untuk memenangan perjuangan Islam. Kami memang berdoa tetapi untuk kebahgiaan kami sendiri. Kami mahu masuk syurga dan balik nanti kami mahu 24 jam di penjuru masjid. Kami tak mahu lagi sertai pergerakan massa. Kami tidak mahu lagi berjuang. Kami mesti wirid banyak-banyak.

Ada tong-tong derma untuk membantu perjuangan umat Islam tidak perlu diindah. Yang penting duit mesti dikompol untuk haji dua tahun lagi. Buat apa pedulikan tentang pegerakan umah bagi mempertahankan umat Islam di tempat lain. Haji kami tidak ada sangkut paut dengan penduduk Palestin, tidak ada kaitan dengan Zionis. Haji kami pedulikan Iraq, Afghanistan, Khasmir. Haji kami bukan penggerak umah.

Apa khabar tuan haji?

Tahun depan kami akan sekali lagi dan Alhamdulillah jika dapat mengucup Hajarul Aswad. Pedulikan martabat agama yang diperjuangkan. Pedulikan bahasa dan masalah PPSMI. Anak kami sudah besar, masakan mahu sebuk dengan PPSMI sekolah rendah dan menengah.