CATATAN APRIL

Posted by Tukya Labels:

24hb April 2009 Jam 3 hingga 5 ptg.

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 17-26 April 2009 yang lalu telah mencatat sejarah yang tersendiri.
Puluhan syarikat buku tekah mengambil peranan. Pusat Dagangan Dunia Putra sesak dengan peminat/pembaca buku dari berbagai bangsa.

Saya sangat kagum melihat bagaimana masyarakat kita sudah mula meminati buku walaupun kini pengaruh TV besar, tetapi buku masih mempunyai peminat yang tersendiri.

Ramai di antara penerbit yang berusaha dengan pendekatan masing-masing bagi menarik pembaca ke gerai mereka. Di antara yang memain peranan ini ialah Gerai Dewan Bahasa dan Pustaka, bersama DAWAMA yang bertanggung jawab menerbitnya.
Saya dijemput pada 23hb April dalam Sesi Bersama Penulis, di mana penulis diminta berbual, berinteraksi dengan pembaca, peminat setelah buku penulis itu dibeli dan ditandatangani. Novel saya Sangeetha dan Harga Sebuah Maruah telah diperkenal oleh pemudahcara E-Pian Pro Paul dan di situ pembeli, peminat berbual bicara dengan penulis.

Alhamdulillah, tertepis dan terjawab rupanya tuduhan yang mengatakan anak-anak remaja hanya gilakan buku-buku cinta remaja apabila di gerai Dawama. Untuk kenangan, saya sempat merakamkan suasana pada 24hb April 2009 di Gerai DAWAMA dan Dewan Bahasa.














24hb April 2009 Jam 8 malam hingga 11 malam.

Malam, kawan dari Kuala Nerang Rizdwan Harun pensyarah Aswara heret dengan Pesonanya ke Store Teater Dewan Bahasa, satu ruang pentas teater yang amat sempit. Tengok jugalah apa yang dikata teater itu. Begitu rupanya. Tergelak pun ada, tak seronok pun ada. Salah satunya teater yang mengesahkan pasangan GAY yang penuh cemburu.
Heee, tak ada cerita lain ke? Teater Tok Dalang karya Rahimidin Zahari, pemuisi tu, ada sikit-sikit nak lepas geram. Amboi!








25hb April 2009 Jam 12 tgh hingga 1 tgh

Kali ini kena giliran duduk di Gerai Institiut Terjemahan Negara Malaysia. Berinteraksi dengan peminat novel Sangeetha yang telah diterjemah ke Bahasa Inggeris.

Seronok juga. Anak buah Institiut Terjemahan Negara ini sangat setia dan bersusah payah melayani dan juga mampu menarik orang ramai ke gerai ITNM, di mana puluhan/ratusan buku-buku/ novel berbahasa Melayu yang diterjemah ke Bahasa Inggeris.
Mohd. Khir Ngadirun, bos ITNM pun turun padang. Saya rasa beliau ini cerdik dalam cara memertabatkan novel-novel Melayu ke bahasa lain.








2-30 petang hingga 5-30 petang.

Di Restoran Tupai Jalan Lapangan Terbang Lama ada pula perjumpaan Ahli Jawatan Kuasa PAKSI, satu NGO baru yang merasa bertanggung jawab mengembalikan Bahasa Melayu ke dalam Pelajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains. NGO ini juga bergerak kearah menyatukan satu budaya Malaysia dan cuba memain peranan mengikis anggapan negatif soal-soal budaya kaum, fanatik agama dan cuba melestarikan satu budaya bangsa Malaysia.

Saya terkejut di antara yang hadir itu terdiri dari kalangan cendekiawan Cina, guru, doktor dan arkitek, Ir. Rupa-rupanya fikiran mereka sangat terbuka dan mereka di antara yang terawal saya temui ingin kepada satu budaya, satu bahasa teras kepada Malaysia di samping menjaga akar umbi dan jati diri bangsa masing-masing.

Kaedah ini menurut mereka masih gagal ditegakkan. Ia semacam mimpi yang belum selesai.

Saya kagum kepada mereka dan merasa tertanya pula; di mana cerdik pandai Melayu?






Empat program di atas yang saya turut bersama saya rasa cukup penting. Di PWTC di mana Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 seperti sudah tiba masanya rakyat Malaysia mengetuk pintu pengetahuan alam.

Dan program terakhir barangkali orang memandang tidak ada apa-apa tetapi mungkin satu hari nanti, ia akan diterima. Ketika itu Dinsman selaku Pengerusi tidak lagi bermata rudoi kepada Hasni Abas yang menjadi setiausaha, dan tidak mengeluh lagi kepada Datuk Hasan Ahmad, SN A.Samad Said.

Sdra Kasim Mohamad pun tidak lagi mengesat peluh masam dan Dr. Irwan akan mula menulis meja 1001 pula.
-----------------------------------------------
Catatan belian di pesta Buku 24-25hb April 2009: Sekadar membaca dan rujukan:
1.Rengkasan Sahih Bukhari RM280.
1.Keabadian Masa dan Hakikat Takdir- Harun Yahya RM24.90
2.Mensucikan Jiwa-Said Hawa RM45.00
3.Penunjuk Jalan kekayaan-Dato Dr.Rusly (Hadiah dari Penerbit Al Ameen
4.Kawin-Kawin, 2 naskhah RM50
5.Sangeetha Duet 4 Naskhah RM152.
6.Harga Sebuah Maruah 2 naskhah RM35
7.Dunia Sophie, Jostein Gaarder RM +-50
8.Iltizam The Moslem Reborn –Muhamad Husain Yaaqub RM56
9.Wltanschauung-Shahnon Ahmad RM70
10.Atas Nama Cinta-Isa Kamari (Hadiah dari Penerbit Al-Ameen)
11.Memeluk Gerhana- Isa Kamari (Hadiah dari Penerbit Al Ameen)
12.Penamat Sejarah dan Manusia Terakhir- Francis Fukuyama RM55
13.Fenomena Al Qur`an- Malik bennabi RM45
14. Hujung Diraut Pangkal Dijaga-WS Uzala RM1.00
15.Bagai Intan Patah-WS Uzala RM1.00
16.Mekar dan Layu-WS Uzala RM1.00
17.Rakan antonimnya Musuh WS Uzala RM1.00
18.Lulus Gagal-WS Uzala RM1.00
19.Salah betul-WS Uzala RM1.00Sempena kasih Ayah- Shailey Azizah RM1.00
20.Kasih Sejati- Shailey Azizah RM1.00
21.Laksana Danur-WS Uzala RM1.00


- Sufian-Moderator blog

Kini Baju PKR Tapi Jiwa Masih UMNO

Posted by Tukya Labels:

Kalau bukan disebabkan kes Mohd Fairuz ADUN Penanti yang letak jawatan baru-baru ini pun, kita sudah nampak di dalam PKR sebenarnya cukup banyak peleset dan polong UMNO berkeliaran. Mohd. Fairus letak jawatan bukan pasal kes rasuah sangat tetapi kerana angkara kawan tikam dari belakang dan yang tikam itu ahli PKR yang masih ada jiwa UMNO.

Tidak boleh dinafikan, sebahagian besar ahli PKR, terutama yang berjawatan semuanya bekas ahli Umno. Mereka masuk PKR sama seperti Datuk Sri Anwar Ibrahim yang menubuhkan PKR: kerana tidak mahu lagi bersama Umno/BN dan ada pula yang masuk PKR kerana wawasan yang cukup jauh, duduk dalam Umno pun tak ada apa yang dapat kerana nama mereka dibalck list pasal sokong Anwar.

Anwar patut memikirkan soal ini Gambar pada 4.4.2009


Datuk Sri Anwar meletakkan inti pati perjuangan menentang ketidak adilan, rasuah, reformasi tetapi yang lain kebanyakannya tidak terjerap pun tuntutan perjuangan ini. Di dalam Umno dulu kebanyakan bergantung kepada Datuk Sri Anwar, maka apabila tertubuhnya PKR, mereka mengharap apa yang dimiliki oleh Datuk Sri Anwar dalam Umno akan ada di dalam PKR.

Apa yang silapnya?

Yang silap ialah kerana mereka terus membawa bungkusan, galasan, fail-fail malah perlembagaan Umno masuk ke pejabat PKR. Mereka membawa akta dan peraturan bisnes, penswastaan, lesen kontraktor dan slogan korporat Umno; esok mau makan siapa?

Mereka melaung ‘Reformasi’ dan ‘Keadilan’.

Tetapi pernahkah anda terfikir dan mendapat tahu, selepas mereka (terutama yang berjawatan) memasuki PKR, mereka telah bersedia duduk bersila, berhimpit sesak dalam saf mendengar tuan guru membaca kitab-kitab tentang hubbuddunya, hablumminannas. Pernahkah anda dengar setiap minggu ada usrah dari naqib-naqib?

Dalam ertikata yang lain, mereka tidak ada kitab untuk dijadikan pegangan perjuangan, iaitu kitab seperti yang ditulis oleh Fathi Yakan “Kenapa Aku Memilih Islam” dan lain-lain. Ertinya dalam perjuangan PKR, tidak ada satu kitab rujukan “Kenapa Saya Masuk PKR?”

Saya menulis begini hanya sebagai satu tamsil dan ibarat sahaja. Dalam ertikata yang lain, seseorang yang ingin menyertai sesebuah parti politik, ia perlu ditanam pancang yang kuat.

Pas (bukan nak puji tak tentu hala) yang partinya berdasarkan kepada perjuangan Islam, menegak Islam, meletak Qur`an di atas, maka ahli-ahlinya terlebih dahulu mengenali Islam serta cabangnya sedikit sebanyak. Selepas itu barulah mereka masuk Pas.

Maka atas alasan ini kita jarang mendengar, walaupun badai taufan kebendaan, kemewahan yang ditawarkan kepada ahli-ahli Pas, jarang berlaku tunggang terbalik. Jarang malah hampir tidak ada Adun Pas yang boleh dibeli, letak jawatan atau lompat parti. Kelantan pernah berkuasa hanya dengan satu suara majoriti, tetapi orang lain tidak mampu memelompatklan seorang Adun tersebut.

Orang-orang PKR kenalah tanya, kenapa boleh jadi begitu? Ketika bersumpah hendak menjadi calon bertanding, wakil Pas dimestikan membuat perjanjian dengan sumpah, selain memberi bai`ah, taat kepada pemimpin, mereka diingatkan bahawa sepanjang mereka menjadi wakil mereka dilihat oleh Tuhan dan mereka adalah orang yang diberi amanah.

Apalah sangat dengan janji taat setia begitu? Sedangkan dalam mana-mana parti pun, perjanjian dan pengakuan seperti ini dibuat.

Bagaimana pun, perjanjian, pengakuan kedua-dua ini sangat berlainan. Pas ada roh janji setia berlandaskan Tuhan, keikhlasan, telus, amanah dan ini bukan menefesto, perlembagaan parti tetapi ia berasaskan taqwa. Orang yang tidak ada pancang taqwa ini tidak akan dapat menerima hakikat ini.

Maka kerana itu, saya memandang PKR, apa yang berlaku akhir-akhir ini, sama ada melompat, keluar dan letak jawatan, ia bukan berakhir dengan memilih orang lain bertanding. Ini masalah dalaman, masalah roh, masalah ketaqwaan.

DUN Penanti, bagi saya, letaklah siapa pun hal yang sama akan berulang. Datuk Zaharin bukan penyelesaian atau YB Malik bukan penyelesaian. Mereka sama seperti tokoh-tokoh yang lain, berakar umbi dari Umno dan apa yang berlaku kepada Fairus, bukan mustahil berlaku kepada juak-juak PKR yang lain.


Ustaz Idris ini sepatutnya melenting bantah. Sepatutnya dialah yang jadi calon, bukan Nizar, tapi tak pula dia melawan.


Oleh kerana itu, Datuk Sri Anuar mestilah bertindak cepat. Beliau mestilah menubuhkan satu Jawatankuasa atau Majlis Ulama PKR. Wajibkan setiap pemimpin, YB-YB dan Jawatankuasa parti mengikuti kuliah, usrah dari Majlis Ulama. Tanamkan kepada mereka kewajipan berjuang, keikhlasan, kejujuran, ketelusan dan minta mereka belajar mengikis sekeping demi sekeping daki danur Umno yang ada di dalam diri mereka.

Cepat-cepatlah belajar dari Pas. Setiap AJK, pemimpin parti, Adun atau YB dimestikan mengikuti usrah bulanan. Di sana mereka akan ditarbiah secukupnya.

Kita bukan menuduh hal ini buta tuli. Kejadian di Bukit Selambau, di mana Manikumar di pilih menjadi calon, maka muncul bantahan-bantahan, kemudian sampai keluar parti.

Apa jadahnya hal seperti ini, kalau bukan kerana perjuangan hanya mahu pangkat dan kedudukan? Bukankah ini tidak ada tarbiah yang sepatutnya?

Adakah Pas jadi begitu. Minta dijauhkan Allah dari takbur. Di Kuala Terengganu atau di Bukit Gantang sepatutnya ada ahli Pas bangun berontak sebab yang terpilih mereka yang sudah jadi YB, tapi Alhamdulillah dengan kefahaman yang mereka miliki, dengan erti jihad, erti telus, erti jujur dan berjuang kerana Allah, tidak ada pun yang muncul berontak apa lagi yang keluar parti. Malah boikot jentera pun tidak.

Apa yang berlaku dalam PKR menggambarkan perjuangan mereka bukanlah satu perjuangan yang memiliki kelainan, malah mereka masih berjiwa Umno walaupun sudah lama berbaju PKR.

Sokongan rakyat sekarang Alhamdulillah. Tetapi ia bukan seratus peratus kepada PKR sebaliknya rakyat mahukan satu perubahan, satu alternatif dan perubahan atau alternatif itu ada pada PR. Mood rakyat sekarang bukan kepada BN maka apa saja yang ada untuk mereka memilihnya, mereka akan memilih bukan Umno/BN.

PKR perlu muhasabah tentang ini. Yang jujur dalam PKR hanya seorang saja, iaitu Datin Sri Wan Azizah yang sanggup melepas kawasan kepada Datuk Sri Anwar. Tapi itupun kerana Datuk Sri Anwar. Mungkinkah akan dilepas jika bukan Datuk Sri Anwar?

Apapun cara penyelesaian yang dibuat kepada bekas Adun Penanti itu tidak akan dapat menjamin PKR dari tidak berlaku lagi. Yang mesti dikutuk ialah kepada orang yang menikam Fairuz dari belakang dan orang-orang seperti inilah yang mesti ditarbiah secukupnya kerana orang seperti inilah berbaju PKR tetapi jiwa tetap Umno; Umno dalam konteks ini ialah sikap dan karenah, feel keUmnoan apabila berada di dalam PKR.
Di Pulau Pinang, maaf cakaplah kerana saya tidak belajar politik tinggi. Tetapi dalam telaah dan firasat, tak seorang pun dari kalangan pemimpin PKR boleh menjamin ia tidak akan berulang seperti apa yang berlaku kepada Fairuz. Ia akan berulang. Ia pasti berulang selagi jiwa mereka jiwa Umno.

Atas alasan apa telaah dan firasat ini?

Bacalah dan lihatlah lenggok lenggang, langkah-langkah, dongak dan senyum, gaya dan stail. Mereka masih 80% Umno hanya 20% sahaja PKR. Yang boleh bertahan pun kerana Lim Guang Eng duduk di atas.

Mahukah kita menerima kenyataan ini?

Sangeetha's Duet

Posted by Tukya Labels:


Penulis Azizi Hj Abdullah akan berada di PWTC, sempena Pesta Buku Antarabangsa pada 24 April 2009 (Jumaat) dalam siri dailog bersama penulis, jam 3 hingga 5 petang. Buku yang akan diperkatakan ialah Sangeetha dan Harga Sebuah Maruah, dikendalikan oleh E-Pian Pro Paul. Manakala Sabtu 25 April jam 11 hingga 12 siri autograf buku Sangeetha yang diterjemahkan ke bahasa Inggeris, oleh Dr. Lalita.

Anda dipersilakan hadir.

-Pengelola Blog.

Bangkitlah Melayu!

Posted by Tukya Labels:

Bangkitlah Melayu!
POORRRAAAHHH!

-Azizi Hj Abdullah *

Rasanya tidaklah tepat kalau kita bercakap tentang Melayu dan nasib Melayu pada masa ini. Apa lagi apabila kita bercakap dengan emosi dan fanatik keMelayuan yang kononnya Melayu itulah bangsa utama dalam dunia tetapi dalam masa yang sama ada Melayu yang cuba mendainasorkan pula Melayu ini.

Malaysia sebuah negara yang sedang menuju ke satu arah penyatuan bangsa walaupun tidak penyatuan bahasa. Perdana Menteri ke 6, Datuk Seri Najib awal-awal lagi memulakan dengan cogankata ‘Satu Malaysia’ yang membawa erti, bangsa juga harus disatukan, bukan di etnik-etnikkan dalam bacaan politik.

Tak mengapa jika kita pulun dan rengkuh menaikan taraf kehidupan Melayu tetapi bukan mengungkit-ungkitkan tentang kehebatan Melayu yang tidak boleh berbuat apa-apa itu. Kehebatan bukan jenama yang membantu kemajuan. Kehebatan kadang-kadang satu ego dari orang yang kalah.

Maka kerana itu kita rasa Utusan Malaysia keluaran Rabu 15hb April 2009 pada muka depannya dengan tajuk ‘Bangkitlah Melayu!’ sangat tidak kena dari segi kontennya walaupun ia saruan yang baik dari segi tajuknya.

Penyimpangan konten ini tidak membantu perpaduan satu Malaysia yang dikehendaki oleh Perdana Menteri. Ia lebih menyemarakkan lagi api perkauman pada hal akhbar Utusan Malaysia adalah satu-satunya akhbar yang cukup memelihara perpaduan, tidak buruk sangka dan mesra rakyat.

Bagaimana pun kita tidaklah mahu melihat dari sudut ini sangat kerana kita tahu Utusan Malaysia sangat matang dalam soal perpaduan dan mengaitkan hubungan antara kaum melalui media massa. Kita tidak ragu ini.

Tapi apabila Utusan Malaysia menginterviu (mewawancara) beberapa orang yang kononnya dianggap ‘tokoh’ yang mencerminkan kononnya mereka pejuang bangsa Melayu, amatklah tidak kena dan ia boleh diketawakan oleh orang.

Bercakap tentang nasib orang Melayu, pembelaan dan ketuanan orang Melayu, kita hendak bertanya siapakah itu Datuk Ibrahim Ali? Datuk Ibrahim Ali adalah presiden satu jemaah (NGO) yang kononnya membela kepentingan orang Melayu.

Tetapi anda harus ingat, memimpin sebuah NGO kemudian suara pemimpinnya sangat lantang, ia bukanlah pertubuhan yang mempunyai ribuan ahli. NGO seperti ini kadang-kadang mesyuarat AJK pun tidak cukup korum.

Bantahan dan kenyataan akhbar yang cukup hebat tetapi hakikatnya kadang-kadang kenyataan itu di tulis sendiri ketika mata tidak mahu lena dan bukan keputusan padu dari kumpulan.

Kenyataan-kenyataan tentang Melayu kini sebenarnya bukan sesuai lagi dilempar ke akhbar. Ia sepatutnya menjadi pembungkus nasi lemak sahaja. Sekarang ini, bercakap tentang apa saja jenama ‘Melayu’ ia adalah pembunuh Melayu itu sendiri.

Contoh yang paling ketara sekarang ialah pejuang Bahasa Melayu. Siapakah yang menembak ges pemedih mata? Jawabnya Melayu. Siapa yang mengeluarkan perintah? Jawabnya Melayu. Siapa yang memukul, mengheret Melayu? Jawabnya Melayu dan siapa pula yang jadi mangsa? Jawabnya Melayu.

Apakah keadaan ini tidak boleh dibetulkan sesudah beberapa lama?

Ternyata Datuk Ibrahim Ali melalut hanya kerana ingin mengambil kesempatan untuk menyatakan bahawa beliau amat kepingin kembali kepada Umno. Baginya Umno adalah Melayu yang perlu dihidupkan dan Melayu Umno ini tidak akan pupus. Maka untuk membuktikan beliau darah Melayu yang kuat, lalu didesak supaya yang bersifat Melayu mesti dijaga dan diberi perhatian.

Baginya Umno adalah satu-satunya badan yang boleh dan mampu membela Melayu. Ditujukan harapannya kepada Umno. Tetapi yang anihnya, YB yang sangat kental berdarah Melayu, boleh tonggang langgang, cabut lari dari Umno. Pada hal jika ia memiliki keMelayuan yang hebat, Umno tidak boleh ditinggalkannya atau Umno tidak boleh menyahkannya.

Yang pelik lagi kini beliau mula tersengih pula kepada Umno. Apa erti perjuangannya di luar Umno?

Bertolak dari seorang YB ini, muncul lagi beberapa Melayu yang merasa Melayu mereka tidak selamat kini. Bagaimana pun Melayu mereka hanya akan bangkit, mereka akan membuat kenyataan (tetapi tidak pernah berjuang) jika didapati Melayu mereka tertekan. Tertekan ini pun bukan Melayu keseluruhan tetapi tentu ada kait dan cakukan dengan mereka sendiri.

Setidak-tidaknya apabila mereka melaung Melayu, kerana mereka orang Melayu, akan terbukalah mata Umno yang mereka sebenarnya masih Melayu.

Lainnya, apa yang diucapkan oleh Datuk Mohamad Aziz dari Sri Gading, apa yang diucapkan oleh Osman Abu Bakar yang tidak ada istilah lain dalam dirinya melalinkan Umno, apa yang diucapkan oleh YB Mohd Khir Toyo, yang diucapkan oleh Sayed Anuar Sayed Moahamd, Datuk Rais Yatim bukan kerana mereka orang Melayu, bukan kerana mereka perlu menempelkan isu itu ke Parlimen, tetapi mereka adalah pemimpin dari suara terpendam yang cuba hendak dicairkan di perhimpunan atas isu-isu yang dianggap segar.

Misalnya Sdra Osman Abku Bakar hanya Ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM).Tak seorang pun bertanya sebagai sebuah badan bertindak, berapa ramai keahlian untuk bertindak? Begitu juga dengan NGO lain yang ternyata sebagai penjerit dan melolong begitu-begitu sahaja untuk membuktikan kepada kerajaan yang mereka penyokong kuat.

Bagaimana pun mereka bukan NGO yang menyokong perpaduan dan kebangkitan Melayu sebaliknya mereka penyokong hipokrit Umno untuk sesuatu tujuan.

Kerana itu sebarang apa sokongan mereka, ia tidak bermula dari bahan teras yang menguntungkan negara atau membawa kepada kebaikan rakyat sebaliknya menyokong dengan jeritan parau sebaik-baik saja Umno bersuara.

Sifat NGOkah cara seperti ini?

NGO-NGO seperti inilah, terutama BBPM sering kehilangan arah kerana terlampau gila dan fanatik sehingga mereka menganggap NGO mereka sahajalah yang mampu bersuara tentang Melayu dan sangka mereka semua Melayu akan menyokong mereka.

Pada hal NGO seperti ini tidak ada dasar dan prinsip sebagai sebuah NGO yang berkualiti. Perjuangan membela Melayu sudah lama berjalan, iaitu sejak tertubuhnya Umno. Ke mana perginya hala tuju ahli NGO Umno selama ini?

Apapun, kita sepatutnya merasa janggal menempek tentang Melayu dalam alam global, kerana keciciran orang Melayu disebabkan ada pertubuhan Melayu itu sendiri yang tidak bertanggung jawab.

Orang Cina hanya menipu Melayu ketika menimbang padi untuk diangkat naik ke atas lori. Orang India menipu orang Melayu ketika membilang botol yang dimasukkan ke dalam guni. Tapi orang Melayu menipu Melayu ialah penyelewengan projek, kemudahan asas yang dibantu oleh keranaan. Orang Melayu menipu secara berangkai. Dari kepala kontartor hinggalah kepada sub-subnya dan sehingga kepada pencatat. Orang Melayu menipu Melayu, sampai sanggup mengubah peta pilihanraya. Orang Melayu menipu Melayu sampai sanggup menyediakan perangkap jerejak besi. Orang Melayu penipu Melayu sanggup memadan catatan dan akta.

Lalu jika Badan Bertindak Perpaduan Melayu mendapat projek membantu Melayu, ia belum tentu selamat kerana di dalamnya ada Melayu.

Oleh yang demikian, Melayu tidak boleh diharap membantu Melayu. Kekuatan orang Cina dalam ekonomi, mereka bukan mengharap seratus peratus bantuan orang Cina, sebaliknya konsep terbuka mereka, daya saing mereka bersifat antara bangsa. Tidak seperti Melayu, daya saing mereka ialah pegawai atasannya saja.

Untuk kesekian kalinya kita sangat berharap Utusan Malaysia tidak lagi akan menyiarkan berita sebegitu rupa. Ia tidak membantu kepesatan perpaduan. Yang harus diingat, perpaduan bukan pengubat sakit perpecahan orang Melayu, kesetabilan orang Melayu tetapi perpaduan semua kaumlah yang menjadi asas kuat kesetaliban orang Melayu.

Sebagai perbandingan, pengukuhan sebatang tiang bukan saja simen yang dibancuh, simen yang diasak tetapi juga perlu kepada susunan bata dan cukupnya bancuhan pasir yang betul.

Perpaduan dan kebangkitan Melayu bukan bergantung kepada seperti saranan NGO berbau perkauman. Perkauman hanya boleh membantu Melayu perkauman. Melayu tidak boleh membantu memperkuatkan bangsanya dengan isu-isu perkauman tetapi mestilah keluar dari kepompong perkauman. Caranya mudah; Umno mesti membantu semua tetapi jangan abaikan bangsanya. NGO-NGO seperti BBMP atau Pewaris jangan menyempitkan Melayu dengan dasar kebangsaan yang sempit. Baja yang paling baik tidak memberi makna kepada pokok bunga jika di tanam dalam pasu yang sempit. Akarnya tidak sampai ke mana.

GMP: Bodoh Tak Mengaji Dan Bodoh Mengaji

Posted by Tukya Labels:

-Azizi Hj Abdullah


وَاِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوْا لَهُ وَاَنْصِتُوْا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُوْنَ.

“Dan apabila dibacakan al-Quran, maka dengarkanlah baik-baik, dan perhatikanlah dengan tenang agar kamu mendapat rahmat”.
AL-A’RAF, 7:204


Saya rasa sayalah yang bodoh tentang etika dan adap membaca Al-Qur`an. Rupa-rupanya ada lagi orang yang lebih bodoh dari saya, sedangkan mereka telah pun mengaji dan berilmu panjang berjela-jela. Di antara mereka yang menjadi saya hairan sungguh-sungguh ialah GMP, atau Gagasan Melayu Perak, Persatuan Darul Ridzuan Selangor-Wilayah Persekutuan, Persatuan Pengguna Islam (PPIM), Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM) dan Pertubuhan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida)

Apa yang tergambar ialah seolah-olah mereka membantah apa yang mereka tidak tahu dan tidak tahu ini pula, tak mahu belajar. Ini yang susah. Mereka seperti sangat tahu hal agama, sedangkan pak mufti tak pernah pun sentuh dan komen. Mereka seperti sangat perihatin tentang agama dan Al Qur`an dan mereka seperti juara tekukur yang tercabut ekur.

Saya teringat cerita yang sangat masyhur, bagaimana seorang muslim masuk kedai orang bukan Islam, minta nasi dan ayam goreng. Dengan juah nak tunjuk dia orang Islam, ditanya adakah ayam di restoran ini disembelih. Tapi kemudiannya dia pesan sebotol bir.

(Kejahilan ini juga sila baca novel ‘Kawin-Kawin’ pemenang Hadiah Utama Sako II, Utusan Melayu Publication tahun 1991 karya Azizi Hj Abdullah, di mana ada cerita seorang Mualim nak test imannya di Hadnyai.)

Saya kira persatuan dan NGO di atas ini pun sama saja. Yang mendukacitakan kita, mereka tidak tahu tentang apa yang mereka tak tahu dan mereka tidak sedar yang mereka tidak tahu tentang apa yang mereka tidak tahu.

Mereka membantah kerana Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming baca ayat Qur`an. Mereka kata cara itu mempersendakan Qur`an.

Pulaakkkk!

Apa yang Nga Kor Ming baca? Tentu pasal ayat yang kononnya berunsur politik, kerana majlis itu majlis politik. Saya sendiri pernah hadir dua tiga kali di majlis politik dan ada Adun PKR baca ayat-ayat tentang perpaduan, fitnah. Gobalakrisnan dari PKR berkali-kali baca ‘Wamakaru...wamakaru...’ dan mengakui Tuan Guru Nik Aziz sebagai gurunya.

Tak pula terdengar hebuh dari NGO ini.

Yang kita persoalkan ialah kenapa hal-hal yang mereka tidak tahu dan tidak ada hujah, mereka cuba nak tunjuk juara? Ini persoalannya. Adakah mereka ikhlas atau berselindung atas nama NGO tetapi menonjol diri nak tunjuk yang mereka sokong BN?

Yang sebenarnya inilah maksud yang tersirat.

Tetapi yang jelas di sini ialah tentang NGO-NGO seperti ini tidak menggambarkan sebuah badan yang berteraskan kepada kajian, tidak berilmu sebaliknya sebuah NGO yang menyokong membabi butac kerana sesautu kepentingan.

Kita sebenarnya berhak menyokong sesiapa tetapi sebagai NGO yang terdiri dari orang-orang yang berpengetahuan, bentuk sokongan dan teguran biarlah berasaskan kepada ilmu, fakta dan hujah, bukan berdasar kepada parti yang kita sokong.

Kita merasa malu kerana apa yang dianggap sebagai memuliakan agama, memperjuangkan maruah agama, kita sendiri tidak tahu apa benda yang kita perjuangkan. Kalau sekadar soal orang bukan Islam membaca sebahagian petikan ayat Qur`an (bukan membaca qur`an) lalu kita bingkas bangun membantah atas alasan kita ingin menjaga maruah Islam, kita rasa tak payahlah. Lebih baik bantah orang yang buang sampah di tepi jalan.

Mana hujahnya? Mana sumber rujukannya? Dari mana hukum di ambil dan yang penting, jujurkah kita dalam menanangi ini?

Bagaimana kalau yang membaca patikan itu di dalam majlis BN P. 59 kemudian berkata ada ayat Qur`an sokong kita melakukan penipuan?

Kita sungguh malu kerana kejahilan tentang ilmu adap dan etika membaca Qur`an ini tidak diketahui oleh orang Islam sendiri. Kita merasa sangat tercabar kerana ada di kalangan NGO Islam yang cuba menyempitkan ilmu, fungsi dakwah dan menganggap Qur`an hanyalah kepunyaan orang Melayu! Kita merasa amat malu kerana ajaran Islam yang perlu kepada penggelobalan, tiba-tiba masih ada golongan yang menganggap Qur`an ini hanya boleh dibaca oleh orang Islam.

Tak pula tersedar berapa ramai orang Islam yang tak boleh baca Qur`an, baca pun macam keretapi rosak. Tak pula ternampak beberapa banyak percetakan kepunyaan orang bukan Islam yang mencetak buku-buku agama, di mana helai-helai ayat Qur`an bersepah-sepah. Tak pula diambil kira lambang Umno dalam buku Surah Yasin malah banyak lagi soal maruah Qur`an yang direndah-rendahkan oleh orang Islam sendiri tetapi NGO seperti ini tidak peka.

Soalnya mengapa NGO-NGO seperti ini membantah? Jawabnya mudah, kerana mereka nak tunjuk yang mereka sokong Umno/BN. Tapi malangnya sokongan mereka itu tidak kena tempatnya. Mereka boleh menafikannya tetapi penafian itu akan diketawa orang. Mereka melondeh kebodohan sendiri.

Kita akui kita bukan bijak dan mengetahui hukum hakam sangat. Tetapi kita juga tahu sedikit sebanyak, bantahan NGO ini sangat-sangat tidak kena. Tidak kena kerana mereka tidak tahu apa yang mereka bantah. Alasan cetek ialah: sikit-sikit kerana pembangkang, sikit-sikit pembangkang, seperti kata Mohd Hilmi Ismail, Presiden GMP, orang Melayu perlu sedar kerana tindakan pakatan pembangkang ini jelas merosakan orang Melayu dan agama Islam.

Kita ingin tahu, sudah berapa juta orang Islam yang rosak sebaik-baik pakatan pembangkang memerintah?

Fikiran yang tidak global seperti inilah yang menjadi kudis yang nanah kepada Umno sebenarnya. Umno yang rosak, Umno yang semakin dibenci orang sebenarnya bukan Umno, tetapi orang-orang seperti inilah. Mereka menyempit dan memandai-mandai. Mereka lebih Melayu dari Melayu tetapi merekalah juga perosak.

Mewujudnya Gerakan Melayu, Persatuan Melayu, apakah orang lain tidak Melayu? Apakah apabila ada yang masuk GMP baru dianggap Melayu?

Sepatutnya kita sangat berbangga apabila ada orang bukan Islam sanggup memetik mana-mana ayat Qur`an untuk disampaikan kepada orang ramai. Mudah-mudahan mereka yang tidak tahu, tahu juga sedikit sebanyak. Soal tidak kena adalah soal teknikal. Ia boleh diperbetulkan. Dalam Qur`an ada ayat yang meminta kita membetulkan jika ada orang yang buat tak kena.

Bagaimana kalau ada orang Islam memetik kata-kata Plato, Confisius, Ghandi, Hetler malah memetik kitab Budha, Injil dan lain-lain? Tak pula dituduh kafir atau murtad.

Tulisan ini bukan berdiri di atas platform menyokong pembangkang tetapi atas nama kebenaran. Marilah kita memihak kepada kebenaran. Marilah kita sama-sama merasa malu untuk menyedari bahawa Qur`an bukan milik orang Melayu tetapi milik semua manusia yang perlu mengikutinya. NGO yang cuba mempertahankan kemuliaan Qur`an hanya sekadar tidak setuju, membuat ripot terhadap seorang bukan Islam yang kita benci kerana isme politiknya, sangat rendah martabat kita sebagai NGO Islam.

Sepatutnya kita yang merasa bertanggung jawab menemuinya dan berkata; Hee you, sebutan you tu agak tak berapa betul. Yang betul begini...begini...kami harap you baca dengan betul dan kami sokong usaha you....

Bayangkan, bayangkan jika pendekatan begini yang diambil oleh NGO ini berbanding tindakan yang diambil termasuk buat laporan polis. Apa relevannya kita menempelak tak betul, menghina Islam mempersenda ayat suci?

Hahhh, jangan-jangan yang membantah itu pun tak lancar membaca Qur`an.

Wallahu aklam.

Bukan Umno Kalah Tapi Mahathirlah Yang Salah

Posted by Tukya Labels:

Umno tak salah apabila kalah, baik di N. 25 Bt Selambau atau di P. 59 Bt Gantang. Yang salah, yang buat hal, yang menunjuk pandai, yang nak tunjuk juara ialah Tun Dr. Mahathir, pengasas Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris. Ternyata matematiknya sangat lemah di Bt. Gantang dan Bt. Selambau. Beliau sudah tidak bijak lagi bermatematik bagaimana kebencian dan kepura-puraan rakyat terhadapnya.


Ini Sasterawan Negara yang dah letih dengan nasib bahasanya.


Mungkin ada orang bertanya, kenapa mesti dihempuk ke atas kepala Dr. Mahathir sedangkan beliau baru masuk Umno kali kedua? (Nak tergelak, bagaimana seorang negarawan boleh masuk keluar parti, macam keluar masuk panggung wayang)

Jawab kita; Yalah, kerana itulah BN kalah di dua batang walaupun menang di satu batang.

Pada hari penamaan calon saya bertemu dengan beberapa orang penganalisis politik, baik dari universiti tersohor mahupun kaki coki’a yang selalu tepat bacaan mereka. Semua berkata, Pas dan PKR atau PR agak sukar untuk mengambil kembali dua kawasan ini.

Dun Bt. Selambau. Tafsirlah sendiri..


Dan memang pun begitu apabila ditokok pula oleh bengung dan bahlolnya sesetengah pengundi Melayu di kampung-kampung apabila mereka menerima ‘mee segera’ atau pembangunan ‘sandwich’ dari kerajaan BN. Lain dari pengundi Cina di bandar dan pekan. Potong lancau pun mereka tak akan sokong, kata seorang Cina di Kuala Sepetang.

Dalam keadaan kelamkabut, hempas pulas, pujuk rayu dan graf BN (Umno) naik menyacak selepas pemilihan agung Umno, selepas Datuk Sri Najib diisytihar menjadi Perdana Menteri, selepas Pak Lah begitu mengalah, dengan senyumnya, tiba-tiba muncul negarawan yang dianggap hebat muncul di atas pentas perhimpunan.

Esoknya dibuat pengumuman yang beliau akan rujuk kembali ke Umno, di mana parti yang dianggapnya hancai di bawah pimpinan Abdullah Badawi. Maka dengan bangga pula diumum akan turun ke N.25 dan P 59, yang seolah-olah beliau memberitahu bahawa dengan turunnya, apa parti pun akan kalah kerana baginya selain dari Umno, semuanya haprak, malah Umno sendiri haprak ketika dia membebel di zaman Abdullah Badawi.

Dah lama dah...


Siapa yang mendakwa kehebatan Dr. Mahathir ini? Siapa yang menganggap beliau hebat selepas masuk Umno kali ke dua dan siapa yang mendesak agar turun ke N 25 dan P 59?

Jawapannya, tak seorang pun suruh dan tak secalit tahi pun yang minta. Bukan kerana memikirkan badan sudah sedikit melengkong, pungkur tirus dan mata sudah terbeliak dek kepikunan melampau tetapi kerana usia seperti itu dianggap sudah memasuki gapura ‘nyanyuk’ dan menunggu waktu hujung asar seperti kata Allah Yarham Fadhil Nor, Presiden Pas dulu.

Simpul kata, maksud tersirat ialah ‘came back’ beliau bukanlah dikehendaki oleh sesiapa, termasuk Umno sendiri. Tetapi oleh kerana kepimpinan Umno terdiri dari orang yang tidak mahu melukakan hati ‘negarawan’ mereka, maka tak ada siapa pun yang tergamak berkata:’ Tun, tak payahlah...rehat saja di rumah. Elok saja ke masjid, bersandar di tiang dengan tok guru baca bab fardu ain dan fardu kifayah, atau berzikir bertahmid. Tak manis balik ke dalam politik kerana balik dalam keadaan begini nanti orang kata gila talak tak tentu pasal.

Saya tak dapat bayangkan jika Mahathir berjalan kaki di sini.

Tetapi oleh kerana tidak ada kesedaran, dikuasai oleh perasaan ego dan menganggap orang lain bodoh, tak layak, tak sesuai maka dengan gagah-gagah Tun Dr. Mahathir menapak juga naik ke pentas dalam keadaan menjerot tali pinggang hingga habis lubang.

Saya di antara ratusan orang yang bersesak-sesak di dewan LKIM Sungai Patani pada 6hb April. Tapi saya terpikir, begitukah seorang negarawan berdiri di atas pentas, menghentam orang lain begitu rupa dengan lagu lama, lirik basi, nada garau dan memek muka yang menggambarkan bahawa dalam sepanjang hidup manusia yang dihentamnya, tak sebutir pun kebajikan dilakukan. Malah manusia yang suka ‘punggung’ ini bagi beliau bukan layak menjadi pemimpin.

Orang muda yang Dr. Mahathir tidak terfikir tentang mereka.


Wauuu, ramailah yang bertepuk. Anihnya mereka tidak tahu kenapa mereka bertepuk, seperti sedemikian ramai yang datang, tidak tahu kenapa mereka disuruh datang.

Maka gahlah dalam media, Dr. Mahathir kembali ke pangkuan Umno, mencebur diri dan sedia membantu memenangi BN di tiga batang.

Ada seorang pengundi India di Bukit Selambau jerkah kepada saya; “Tuan, apa itu logikkah? Itu batang sendiri pun tarak berfungsi, mau jaga tiga batang ka?”

Saya jerkah pengundi itu. Poorrraaahhhh!

Malang dan sayang sekali, Dr. Mahathir tidak pernah membaca riaksi rakyat, sama seperti beliau tidak pernah membaca kemarahan rakyat ketika beliau menjadi perdana menteri dulu.

Selepas itu saya tidak tahu lagi di mana Dr. Mahathir turun berkempen bagi membantu BN pulih, mengeliat kembali. Dan saya adalah di antara orang yang sangat bimbang kekalahan Pas dan PKR kerana sekali pandang orang Melayu sudah terpengaruh dengan Dr. Mahathir. Masakan ini boleh dinafi. Bukankah Dr. Mahathir Perdana Menteri selama 21 tahun, yang membuat segala pembangunan, yang memberi wawasan dan di ekur kuasa beliau, satu pembunuhan telah di buat terhadap roh bahasa, dengan mengInggeriskan matematik dan sains sehingga anak-anak Melayu terkial-kial di dalam bilik peperiksaan.

Rupa-rupanya dengan kemunculan Dr. Mahathir, selepas Abdullah Badawi berundur dengan senang hati, Mahathir kembali dengan keluh kesah anih untuk membuktikan beliau masih diperlukan walaupun tak seorang pun perwakilan di peringkat timbalan, naib, mt yang bersuara ‘come on’ datuk sri, come on datuk.

Anihnya lagi, graf bacaan politik pun berubah. Penganalisa politik sebaik-baik Dr. Mahathir turun pentas, bukan melihat bagaimana mengah dan penatnya negarawan yang syok menghentam pembangkang tetapi memberi andaian, grap politik sokong BN sudah naik memuncak.

Maka Radio dan TV, akhbar perdana juga memuji-muji Dr. Mahathir yang sanggup naik pentas, walaupun lagu lama dinyanyikan, walaupun lirik basi divokalkan, walaupun lengguk lenggang macam boria kalah nombor lapan, kononnya peratus sokongan kepada BN mendadak naik dan pembangkang menurun kepada 35 peratus.

Malang, tak seorang pun penganalisa meletak tapak tangan di dada pengundi, di ubun-ubun rakyat dua kawasan untuk mengetahui keadaan gelora perasaan. Tak seorang pun bertanya rakyat yang sudah mula diajar dengan kebangkitan dan kesedaran baru, apa pendapat apabila Dr. Mahathir kembali ke dalam Umno?

Maka, malam pengiraan undi, sebaik-baik saja keputusan di buat, saya di antara ribuan yang tersepit di tengah-tengah orang ramai, basah kuyup hampir pecah telinga apabila dijerit kiri dan kanan, sesuatu yang saya tidak sangka.

‘Padan muka Mahathir!’
‘Haaa, baru dia raseee!’
‘Apa, dia ingat dia masih berpengaruh!’
‘Ini semua kerana Mahathir!’

Dan tanpa ingin berbohong atau membuat fitnah, saya dengan jujur dan ikhlas, tidak dapat menahan kesal apabila berulangkali menganggap kemenangan Pas dan kekalahan BN di Bukit Gantang adalah kerana Dr. Mahathir.

Ternyata ada anggapan sebahagian ramai yang bersesak-sesak keluar malam itu menyesali kembalinya Dr. Mahathir dan kemenangan Pas malam itu seperti mahu mengajar BN dan memberi ingatan bahawa Dr. Mahathir tidak menguntungkan BN lagi.

Di sepanjang jalan pulang dalam bandar Taiping, orang-orang Cina berdiri di kaki lima, mengangkat tangan dan menjerit-jerit: Itu Mahathir punya pasallah! Itu Mahathir punya pasallah!

Orang Cina di kaki lima memberi tahniah.


Lalu dalam perjalanan pulang bersama lima orang kawan, saya juga membuat kesimpulan bahawa kembalinya ke dalam Umno di saat-saat terakhir, bererti beliau telah mencipta kebencian bertaraf nasional kepada dirinya sendiri. Rakyat sudah bijak menilai.

Ada beberapa sebab. Di antaranya kerana seorang negarawan yang sepatutnya berada di ruang masjid, beramal bakti dengan amal makruf nahi mungkar tidak sepatutnya berdiri di atas pentas menghentam lawannya begitu keras.

Kedua, dengan lagak sebagai orang yang tidak pernah mengakui kelebihan orang, beliau telah berlakon menunjuk betapa Abdullah Badawi sesen pun tidak berguna baginya, sedangkan Abdullah juga ada orangnya.

Ketiga, beliau telah menyuluh dengan cermin kelabu, sedang yang disuluhnya tidak tahu apakah rakyat masih sukakan beliau.

Maka kerana ini, saya juga membuat kesimpulan, kekalahan BN di dua batang adalah kerana Dr. Mahathir mula masuk campur. Dan kehancuran bukan saja kekalahan dalam pilihan raya, malah kepada Umno sendiri jika kepimpinan Umno sekarang tidak ‘hubaya-hubaya’ dengan permainan, percaturan politik tua Dr. Mahathir ini.

Siapa pun akan mengakui, kembali Dr. Mahathir ke dalam Umno tidak memberi apa-apa terhadap kesetabilan politik dan laba yang baik atas nama membina negara tetapi tentulah ada satu agenda tertentu yang tidak memberi untung kepada rakyat.

Apa yang dapat dilakukan ketika usia sudah 80an? Usia 80-an adalah usia subsidi dan politik bukan saja perlu kepada pemikiran, edia tetapi perlu juga kepada tenaga kerana kemenangan ‘dua batang’ 7 April lalu adalah kerana kekuatan penggerak.

Saya terus terang menyatakan, saya sangat kesal kerana Dr. Mahathir kembali secara mendadak sehingga menyebabkan saya menjadi kesal pula apabila mendengar tohmah dan ejekan rakyat terhadapnya.. Beliau telah merendah martabatnya sendiri.

Tapi malangnya ‘come on’ beliau telah memusnahkan kepercayaan saya terhadap negarawan yang pintar, apa lagi apabila memikirkan sekian ribu anak bangsanya terkial-kial dengan bahawa matematik dan sains.

Bagaimanapun sangat gembira bilamana 7 April malam, ketika sedang menunggu keputusan pilihanraya di tiga batang. Baru saya sedar sungguh-sungguh bagaimana rakyat membenci mantan perdana menteri mereka yang ke-lima ini.