TERUNG LEMBIK DALAM PEJERI

Posted by Tukya Labels:




“ Najib dalam sidang akhbar berkenaan turut mengumumkan yang Mesyuarat MT hari ini turut mengesahkan dan menerima secara rasmi kemasukan semula Tun Dr. Mahathir Mohamad: isterinya Tun Dr.Siti Asmah Mohd. Ali dan anaknya, Datuk Mokhzani ke dalam parti itu.”
-Utusan Malaysia muka 2, Sabtu 30 Mei 2009

“ Tuk aku dulu, kalau nak buat pejeri, memang cari buah terung. Tapi kalau buah terung dah lembik, macam mana nak sedap? Manjakani sepuluh kilo pun tetap tak sedap!, haa..haaa.haaa,” ketawa Pak Kamis sambil menghempas surat khabar di warung Sungai Chemam.

“Mai pakat-pakat pikiak secara rasional. Nak jadi apa kalau dua cangok masuk untuk memperkasakan parti, sedangkan dulu terung lembik ini juga yang buat masalah?” tambah Wan Halimunan yang gila pesembor Kokdiang.

Maka seluruh warong itu pun ketawa semua. Yang pelik, masing-masing tinggal gigi jongang sepuntung, tak segan-segan tergelak.

“Politik terung lembik!” kata mereka.

CERITA DI MUSIM PR DI PENANTI

Posted by Tukya Labels:

Satu malam di Penanti 24.05.2009

Satu malam kami ikut serta dengar kempen PR di kawasan Penanti. Ya Tuhan, manusia tetap ramai macam ada perlawanan dengan BN/Umno juga.

Senang pula masuk. Tak ada sekatan. Tak ada bunyi prtit sana prit sini wisel polis sekat jalan. Tak ada pula polis kuak sana kuak sini.


Lintas pun senang apabila tak ada sekatan

Tak Nampak pula trak bawa FRU. Tak ada pun boldozer dan trak bawa tangki water canon. Teringin sungguh nak kena sembur ges pemedih mata.

Tak ada pula.

Tiba-tiba seorang perempuan menjerit di tengah padang. Kena samun beg tangan. Kereyau sana, kereyau sini, orang ramai terkam. Tak pula datang seorang polis pun.

Orang pun bertanya kenapa tak ada polis, sedangkan khemah, kontijen dibuat bukan main hebat.

Pak Taha yang jual kacang rebus kata; “Sebab BN tak masuk bertandinglah!”

“Jadi?”

“Ertinya kalau BN tak bertanding, suasana pilihanraya amanlah!”

“Ertinya?”

Pak Taha menyinga: “Keburukan dan tidak tenteram sebenarnya ada di pihak BN. Sebab tu, kalau BN bertanding, adalah ribuan polis, ada water canon, ada sekat jalan raya, ada ges pemedih mata.

Kami pun ketawa.

“Kalau macam tu, karut sungguh BN,” kata Tijah, penolong calon bebas yang merajuk kerana tak dapat upah merayu undi.

Saya dengan kawan-kawan cukup terasa betapa sunyinya tanpa Umno/BN dalam pilihanraya hanya atas alasan membazir wang.

Tetapi jangan gusar, di Manik Urai nanti, tak membazir pula.
Yeee babbbb! Kata Tukang Karut Boria Pulau Pinang.

Tuhan Tidak Peduli Pun

Posted by Tukya Labels:

Aik, hakim pun boleh silap? Bicara punya bicara, hujah punya hujah, semalaman memikirkan bagaimana mahu menyediakan kertas penghakiman, tiba-tiba hakim sikit atas pula kata hakim bawah sikit buat kesilapan.

Tak pernah dengar pula, hakim sikit bawah kata, hakim sikit atas buat silap?
Macam mana sistem ini, sesudah hujah dan bukti, cup-cup ada cupnya. Teringat masa kecik-kecik telanjang bulat dulu main ‘toi’ depan rumah. Asyik cup saja. Yang cup itu memang kawan lebih tinggi.

Memang manusia tidak sunyi buat silap. Soalnya apakah orang yang atas lagi itu tak buat silapkah? Kalau dalam sistem penghakiman asyik pindah satu mahkamah ke satu mahkamah kemudian keputusannya dihempuk kepada hakim buat silap, haahhh, ini sistem injit-injit semut.



Barangkali kalau ada sepuluh mahkamah dalam sistem seperti sekarang ini, sembilan hakim tetap buat silap.

Ertinya yang kalah bukanlah salah.
Yang menang belum tentu benar.
Yang kalah kerana hakim buat silap.
Yang menang kerana hujah.

Kebenaran tersembunyi dalam hujah. Siapa yang pandai sembunyi kebenaran, berkuasa sorok kebenaran, maka menanglah yang tak benar.



Rasa-rasanya kemelut politik di negara kita dalam isu dan kes apapun, baik kes besar atau kecil, dari bunuh hingga curi telur ayam, kita bukan mencari kebenaran, tetapi kemenangan.

Mengenepikan kebenaran dalam sistem penghakiman, maka berlakulah ketidak adilan.

Apakah Tuhan tidak peduli?

Memang Tuhan tidak peduli pun politik macam ini. Buat menyemak fail malaikat.
Sayang, mahkamah akhirat lambat sangat. Bagaimana kalau Tuhan masih tidak peduli?

Jawab Hj. Pikun, tukang buat surat sumpah: Mana ada mahkamah tinggi, rayuan dan persekutuan di akhirat. Sebab itu Tuhan tak peduli.

Catatan Pertengahan Mei 2009

Posted by Tukya Labels:

1. 19 Mei 2009-05-20

ITNM (Institiut Terjemahan Negara Malaysia) buat kejutan lagi. Melalui Pengarah Urusannya Mohd.Khir Ngadiron yang suka senyum sepanjang masa telah mengadakan Majlis Perasmian 30 novel dan buku-buku Berbahasa Malaysia ke bahasa Inggeris, Sepanyol, Perancis di Hotel Shangrila Putrajaya jam 3 ptg. Katanya hampir 100 novel akan diterjemah dan akan menyertai di pesta buku dunia, terutama Jerman.

Seperti selalu kakitangan ITNM baik sokmo. Sejuk tangan Dr. Wan Hashim Wan Teh, Pengerusi ITNM selepas bersalam dengan Tan Sri Mohidin Yasin.

TPM Tan Sri Mohidin Yasin merasmikannya. Ingat kot nak buat pengumuman pasal MMPSI rupa-rupanya umum nak buat ‘Kota Buku’ di Kuala Lumpur.

Semua Sasterawan Negara dan SEA Write Award dijemput.

Seronok, apa lagi yang jauh diberi berkubang semalaman di Hotel Shangrila dan kapal terbang percuma. Yang seronok tu bukan apa, penulis macam saya ni dapat jumpa kawan-kawan dari KL. Tapi sayang Putrajaya malamnya mati awal sekitar jam 11. Nazmi Yaakob dari Berita Harian pupeh-pupeh tak puas nak bersembang.

Saya tumpang seronok apabila novel SANGEETHA telah siap diterjemah ke Bahasa Inggeris.


Baha Zain sedang menyampaikan sesuatu kepada TPM, Tan Sri Mohidin




Novel Sangeetha yang diterjemah ke Bahasa Inggeris




Mohd. Khir Ngadiron sedang berucap




Bersama Datok Anwar Ridzuan dan Pengarah DBP




2. 17 Mei 2009:

Pameran Pengguna bersama Persatuan Pemandu Prihatin dan masyarakat kampung di Teluk Ipil Nibong Tebal agak menarik di samping sedikit bercelaru programnya.

Tapi baguslah apabila orang kampung diberi pendedahan kepenggunaan, untuk mengetahui hak dan cara mengadu dan kuasa pengguna.


3. 15 Mei 2009

Seharian berehat di hotel nak rilek. Tengok VCD filem Laskar Pelangi. Ya Tuhan, hampir lima belas tahun tak dapat merasai kenikmatan seni filem, setelah filem-filem dan drama kita ni mengarut sepajang masa. Menipu penonton dari sudut cerita, setting, watak, mekup, dialog tak habis-habis. Cerita kita di Malaysia, Mat Dispes pun digambarkan tinggal di Banglo Mewah. Pekerja pejabat jawatan rendah pun tinggal di apartmen mewah. Tambahlah cerita tentang seorang korporat, rumah mereka 10 kali ganda dengan Sri Perdana.

Meluat!

Filem Laskar Pelangi meruntun kemanusiaan saya, jiwa saya, menujah semangat dan kagum dengan cerita yang dibarisi pelakon sederhana. Seingat saya, tiga filem yang menjadikan air mata saya keluar. Pertama Dosti, filem Hindustan. Kedua CHAMP dan ketiga Laskar Pelangi.

Sukar nak dapat pelakon kanak-kanak seperti Zulfani, Verrys Yamarno, Ferdian, Yogi Nugraha, Suhandri dan lain-lain.

Filem dan drama kita asyik cari yang cun-cun, kepondanan dan comel lote saja walaupun aksinya tak sehebat mana.

Saya sangat kagum kepada penulis Senario Salman Aristo, Maria Lesnana & Riri Riza dan Sutradaranya Rizi Riza.

Filem kita, ibu tua lebih muda dari menantu. Asyik nak remois rambut jambul merbah walaupun dia jadi nenek. Ceita filem dan drama kita, di Malaysia tak ada sawah dan kampung. Kering, hambar dan akhirnya lebih baik tutup TV.


Laskar Pelangi




4. 14.5. 2009:

Satu negeri Perlis habis pusing. Masuk kampung, keluar kampung. Masuk hutan keluar hutan, cari tenguk Daun Ketum yang orang kata hebat sangat.

Bersama wartawan Utusan Pengguna, Mohd.Ridzuan Mohamad, Zulkifli Yusuf, ditemani aktivis CAP di Kerpan dan Kampung Semut Gatal Perlis, Hj Adnan dan Che Ani, kami telah dapat kesimpulan, daun ketum bukanlah pokok yang merbahaya malah menjadi ubat. Tapi yang salahnya ialah apabila ia disalah guna.

Ada dua aspek yang perlu diambil perhatian. Pertama orang Melayu mesti pandai menilai khasiat daun ketum, kedua pihak kerajaan melalui agensi dadah kena belajar dan memperakui khasiat ini dengan cara yang betul.


Pokok Ketum di tanam di kolam ikan keli.

Saya Dengan Pak Usin Kulupbana

Posted by Tukya Labels:




(untuk masa depan selepas 12 Mei 2009)

I

Dalam Harakah Daily.Net, Ustaz Ahmad Awang, Pesuruh Jaya Pas Perak bersungut, katanya: Keputusan yang berubah-ubah dalam jangka masa pendek umpama gelanggang sarkas yang menjadi pentas untuk Umno/BN menyalah guna kuasa mereka.

Saya garu kepala. Menatang apa sarkas bagi generasi sekarang. Sekarang sarkas orang tak tengok lagi. Di TV boleh jengil sampai terbeliak biji mata.

Kini rakyat mula bengung dan sangsi akan mudahnya mahkamah dipergunakan BN, kata Dr. Khalil Idham Lim, Adun Titi Serong.

Fullamak! Berani pula sentuh gesel mahkamah. Hiiii, takut kena saman.

Hal ini pedulikan. Yang bercakap orang Pas. Sewellah kalau cakap mereka tak menyebelahi Pas. Buktinya sebelah BN pun sama. Banganglah kalau Umno/BN bercakap tidak menyebelahi Umno/BN. Tengok peguam mereka. Mereka orang berilmu, mempunyai ijazah,penghujjah mencari kebenaran, tapi apabila disebelah Umno/BN, mahu tidak mahu dia bercakap Umno/BNlah yang betul.

Biasalah yop!

Tetapi apapun selewang pukang, serabut kusut atau merengkuh untuk menang sampai tinggal tahi secamca, puncanya kerana politik, kemegahan kuasa yang angkuh dan takbur, sampai menyahkan keadilan.


II.

Barangkali saya bukan orang undang-undang dan tidak pernah belajar pun undang-undang, maka apakah layak hendak bercakap tentang undang-undang/ mahkamah?

“Apa salahnya,” kata Pak Usin, penghuni warong kopi Taman Harmoni. “ Aku bukan faqih fardu ain, tak mengaji sampai Azhar pun. Tapi kalau engkau solat jenazah ibu engkau, dengan ruku` dan sujud sekali, aku boleh tegur. Orang berhak membantah. Ertinya kami tahu sedikit hukum itu, walaupun kami tidak ada ijazah atau kad kuasa dari Majlis Agama.”

Saya tergamam. Nak sendawa tak jadi.

“Mungkin engkau akan jawab kerana sembahyang jenazah emak engkau dan hendak membutikan kasih sayang engkau sebagai anak, lalu memebihkan sembahyang itu dari orang lain,” sambung Pak Husin yang rongak giginya. “Tapi apapun alasan, semua orang tahu yang engkau buat itu tak kena. Walaupun Nabi wafat, sahabatnya tak ruku` dan sujud pun.”

Saya terpikir lama.

“Begitu juga apabila orang hampir sewel dan bengung apabila kemelut politik negeri Perak sehingga melibatkan undang-undang dan mahkamah. Memang pun orang mengharap mahkamah dan hujah dari segi undang-undang. Sekarang orang tidak fanatik lagi kepada Pas atau Pakatan Rakyat atau Nizar yang dianggap kemaruk jawatan. Sekarang orang menilai apakah pertikaian sehingga membawa kepada undang-undang dan apakah mahkamah ini benar-benar adil, saksama, bertepatan dengan fakta, jujur, ikhlas, telus baik parti yang terlibat mahupun keputusan oleh hakim.

Orang tidak melihat keputusan hakim berdasarkan kepada fakta. Orang melihat siapa hakim itu dan siapa yang melawan dan siapa yang kena lawan dan kemudian kepala semua mendongak, siapa pula di atas.

Maka atas pola-pola ini akan ketepilah jujur,amanah,adil,saksama, telus malah kedaulatan undang-undang itu sendiri.

Oleh itu kenalah seseorang hakim itu terlarang dari musibah-musibah yang disebut di atas.

Soalnya, ada ke? Itu kena tanya Penasihat Perdana.

Dari apa yang berlaku, rakyat tidak melihat ‘undang-undang mengatasi segala-galanya’ tetapi rakyat melihat dengan mata syak wasangka, ‘suk uzzhan’ malah sehingga keramatnya cakap mufti (misalnya) maka sangat cepat mufti itu dianggap ‘ulama suk.’

Maka saya pun berkata kepada Pak Usin. Bagaimana kalau kita buat mahkamah baru dengan kuasa-kuasanya, undang-undang dengan kuasa yang bersamaan dengan mahkamah tersebut.

“Cakap jadah apa ni sampai nak ubah mahkamah?” Pak Usin herdik. Dia benar-benar hormat kepada mahkamah walaupun dia pernah naik kot turun kot hanya pasal seorang pegawai tanah cuba ubah nama dalam gerannya.

Saya pun berkata: Bagaimana kalau kita jadikan undang-undang berlapis, dengan kes-kes yang berlapis. Mahkamah bertingkat, apabila berhadapan dengan kes bermacam-macam corak.

“Untuk apa?” Pak Usin mengorek tahi hidungnya. Tak dinafikan, busuk bagaimana pun tahi hidung, orang tetap mencium.

Busuk celah kaki dimakan air lagi sedap baunya! Macamlah karenah membusuk undang-undang, lagi lawan dan menang, busuk itu cukup anih baunya.

Saya pun berkata: Letakkan kesalahan itu dalam kategori tertentu. Misalnya sekadar kes tampar bini hingga guru tendang murid, satu seksyen dan ia mestilah diputuskan oleh kuasa mahkamah sekadar itu. Yang penting jangan bawa ke mahkamah lain.

Kesalahan tipu bini sehingga tipu yang sekian-sekian nilainya, jadikan satu seksyen lain dan bawalah ke mahkamah khusus untuk itu. Kalah atau menang, jangan dibenarkan ada rayuan untuk ke mahkamah lain.

Kes bunuh, buat seksyen lain dan jangan sekali-kali boleh di bawa kepada mahkamah lain. Hukuman yang perlu ialah betul atau salah walaupun sampai lima tahun.

Begitulah seterusnya.

Kes-kes jangan pula terpilih. Jangan sesuatu kes hanya boleh dipanjangkan apabila Peguam Nombor satu kata haaa, maka barulah boleh. Jika tidak, tak jadi. Ini apa cerita. Masakan kesalahan itu kesalahan terpilih? Masakan ada kesalahan tak jadi, ada pula kesalahan boleh jadi. Apapun, perbicaraanlah yang menentukan.

Sebab itu, jika ada mahkamah bertingkat, kes-kes yang diseksyenkan secara berlapis mengikut kepadaan mahkamah bertingkat itu, maka tidak ada perbicaraan yang boleh diulang atau dicabar.

Hakim adalah manusia biasa. Hukuman yang dijatuhkan berdasarkan hujah peguambela dan peguamcara. Bersama daya intelektualnya, hakim juga membawa hati, perasaan, simpati, memicing sebelah mata, terasuk, kasihan, benci, meluat, rimas dan segala-galanya ketika menghadapi kes.

Memang benar itu tidak sepatutnya ada. Profesion hakim bukan begitu. Tapi harus diingat, hakim juga manusia biasa. Tidak ada dalam profesion hakim atau syarat hakim apabila hendak menjatuhkan humukan, mesti solat istikharah dahulu, melainkan hakim yang warak.

Bagaimana kalau hakim yang main golf ketika orang solat Jumaat?

Sekiranya ada mahkamah bertingkat dan tidak dibenarkan membawa kes selanjutnya ke tingkat yang lain, saya rasa akan terelaklah dari kejadian, hari ini jatuh hukum, 16 jam kemudian mahkamah lain pula kata no!

Bayangkan jika tingkat mahkamah ini sampai dua belas takah yang kenamat bicara dengan sumpah “Haram Panah Lintar,” apa akan jadi?

Hukuman dan undang-undang tidak semestinya menentukan salah dan benar tetapi memain peranan juga kepada rakyat, ketenteraman.

Bagi saya yang bodoh bengung ini, yang jahil lagi tongong tentang undang-undang, sudilah kiranya memaafkan saya jika saya kata begini:
Hukuman yang dijatuhkan oleh seseorang hakim berdasarkan hujah, fakta yang dibentang, saksi dan lain-lain yang ada kaitan bukti. Hakim tidak pernah menjatuhkan hukuman setelah ia menyaksikan sendiri kejadian itu. Tidak ada hakim yang menjadi hakim di atas kesalahan membunuh setelah dia sendiri menyaksikan pembunuhan itu.

Kerana itu, keputusan berdasarkan hujah. Hujah hanya akan kalah apabila tidak menasabah dan tidak relevan. Tetapi ada hakim yang menggunakan releven dan tidak relevan sebelum hujah.

Yang berlaku sekarang atas dasar hujah dan bukti-bukti hujah dengan berbagai nama diberikan. Apakah yang dikatakan ‘hujah’ akan selesai dari dua pihak?

Bahlollah kalau ada orang kata dengan berhujah kes boleh selesai? Yang selesai bukan hujah, tetapi hukuman yang menamatkan hujah. Akan tetapi jika hukuman itu tidak ‘muktamad’ oleh kerana adanya peluang ke mahkamah lain, maka hujah itu akan berlarutan lagi dan kemudian akan terhenti pula. Kemudian dihidupkan semula kerana hujah itu akan dibawa ke peringkat satu lagi.

Tetapi ingat, hukuman tidak pula berdasarkan dari hukuman peringkat sebelumnya. Contoh, keputusan Nizar sah Menteri Besar, tidak akan diambil kira apabila keputusan itu di bawa ke peringkat lain.

Dan ingat, hakim semestinya tidak sama. Kerana hakim tidak samalah maka terjadi pakai purdah tidak boleh bagi perempuan yang bekerja di pejabat.

Tiba-tiba Pak Usin kulupbana, yang rongak gigi bangun begitu saja. Dia mendengus sekali. Rupa-rupanya dia pun orang Pulau Pangkur dulunya, dan dia masih mengundi di sana tahun lalu.

Wallahu aklam.

Menunggu Kata Dari Tuhan

Posted by Tukya Labels:


Tempat: Masjid Batu, Permatang Pauh Sbrg Prai.
Masa: 30 Mei 2009. Jam 8 malam
Skrip: Dinsman.
Pelakon: Sabri Yunus & Sani Sudin.
Pengulas: Ustaz halim nasir Al Hafiz.


Gah tentang teater ‘Menunggu Kata Dari Tuhan’ yang dipentaskan di Auditorium Muzium Negeri Selangor, Shah Alam pada 29 April hingga 3 Mei 2009, menjadikan Encik Khairudin Zainal Rashid, Pengerusi Masjid Batu, Permatang Pauh Seberang Perai diruntun amat sangat untuk membawa teater ini ke sebelah utara.

Tapi di mana tempatnya? Berapa belanja pula walaupun watak di dalam teater itu hanya seorang dan seorang pemain muzik.(At Taubah 118)

Dengar khabar di Kelantan apabila teater ini dipentaskan, ribuan orang yang menonton. Teater yang mengesahkan seorang sahabat Nabi yang liat dan bertangguh hendak berjuang ke medan perang (berjihad) menjadikan Tuhan turut menegur sikap yang begitu.

Dinsman, penulis skrip teater yang tidak asing lagi mengangkat skrip teater ini dari sebuah hadis, “Taubat Ka`ab bin Malik dan Sahabat-Sahabatnya’, di mana hadis tersebut riwayatnya Bukhari dan Muslim. Teater ini juga telah berjaya menarik semua peringkat apabila pelakon yang dianggap pelawak, Sabri Yunus berlakon sebagai Ka`ab manakala Sani Sudin pemain muzik.

Khairudin selaku Pengerusi Masjid Batu berfikiran sangat terbuka. Yang tidak dilakukan oleh masjid lain, dilakukannya kerana baginya kerja dakwah bukan bidang yang sempit.

Lalu beliau berjumpa Drs Hj Anuar Asmadi dan saya. Saya amat terkejut apabila diberitahu, dia berminat hendak membawa teater “Menunggu Kata Dati Tuhan” ke Masjid Batu.

Kami memberi cadangan supaya dipentaskan saja di belakang masjid kerana di situ ruangnya cukup luas.

“Tidak, kita buat dalam masjid!” katanya yang tentu dia mempunyai alasan yang kuat.

Lalu hal ini dipersetujui oleh semua AJK masjid dan ia diajukan kepada Mufti. Dijelaskan maksud dan tujuan. Tidak ada gesekan biola tetapi ada kesan bunyi yang akan menyokong teater itu menjadi kuat.

Jadi sesiapa saja yang mengikuti blog ini dipersila menonton teater “Menunggu Kata Dari Tuhan” di Majlid Batu, Permatang Pauh pada 30 Mei 2009 jam 8 malam. Pementasan selama 45 minit itu diikuti pula satu huraian, bahasan dari seorang pendakwah terkenal Ustaz Halim Nasir berdasarkan hadis Malik bin Kaab.

Jika persembahan teater ini berjaya, bererti Masjid Batu Permatang Pauh memecah tradisi dan pertama kali di Malaysia teater di persembahkan di dalam masjid.

Di Auditorium Muzium Negeri Selangor Shah Alam saya diberitahu, sekumpulan orang-orang Cina hadir menonton teater tersebut. Ini tentu inisiatif Mr Puah Kem Heng seorang jurutera dan rakan-rakannya yang pernah PAKSI berdialog di restoran Tupai-Tupai pada 25 April yang lalu.

Mereka kumpulan berfikiran kritis, yang mempunyai fikiran terbuka terhadap Islam. Kehadiran mereka tentunya seperti sekumpulan cendekiawan lain yang ingin melihat keindahan teater dan menikmati sebuah kisah di dalam Islam.

Mereka terdiri dari penyair, penulis novel, bloger Malaysiakini dan guru. Saya kagum dengan mereka kerana ada memberi dan menerima dalam sesama kami.

Teater ini adalah dari group Seniman Paksi Rakyat & Teater Elit (PAKSI) dengan kerjasama AJK Masjid Batu Permatang Pauh, Persatuan Penulis Negeri Pulau Pinang (2PNP) setelah dipersetujui dan menerima nasihat dari Mufti Pulau Pinang.

Dan yang penting ialah kupasan, komen,tafsiran dari seorang pendakwah Ustaz Halim Nasir Al Hafiz.

-azizi hj abdullah