Catatan 31 Julai 2009.

Posted by Tukya Labels:



Dapat sms dari beberapa orang kawan memberitahu ADUN Permatang Pasir meninggal dunia. Sms bermula dengan bukan perkhabaran kematian tetapi intronya; Pilihanraya pula kita…

Begitulah…Alfatihah…

Ketika ziarah mayat belum tiba. Sempat jumpa YB Mujahid, YDP Pas PP dan lain-lain. Ketika beredar saya tinggalkan pertanyaan di tepi pokok bunga: Siapa yang nak ganti Hamdan. Tapi yang penting lagi: BN nak lawan ke dak?

Yeebabbbb!

Tiga empat hari demam, otak jadi letih. Surat khabar sudah lama tak baca. Cup-cup belilah satu, melentang abau bukalah nak baca. Jadahnya bukan berita yang dibaca tapi pertanyaan yang menojah.

Diantara berita itu ialah:

1. Kira-kira sejuta pil eramin 5 diseludup masuk melalui pusat kargo udara
Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas Pulau Pinang. Nilainya dua puluh juta.
Hairankah?

SPRM tak pula ambil tindakan siasat ‘bagaimana dua puluh juta boleh diseludup,’ sedangkan RM2.40 berhogah-hogah nak siasat.

Yeeebabbbb! Kereyau tukang karut boria.

2. Bajet 2010 kurangi beban rakyat. Seorang Tim. Menteri Duit Ringgit kata, kerajaan akan berusaha mengurangkan beban golongan berpendapatan rendah.

Yeeebabbbb! Nak tergelak pulak.

Husin Kudung Jari kata; “ Apa ni? Belum bajet bentang, tambang bas dah naik, tambang bas sekolah melalut. Harga itu naik, harga ini tak turun.

Takkan bajet nanti, yang naik itu akan turun? Makngah Ceruk Bemban merungut, Astro dia naik jadi RM71 dari RM59.90. Jadah apa, katanya.”

Yeeebabbbb!

3.Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi, Naib Presiden Umno akan minta Khazanah Nasional Bhd berunding bagi mengambil alih semula pegangan asing dalam Padiberas Nasional Bhd (Bernas)

Berita lain pula kata, Kementerian Pertanian dan Industri Tani sedang berunding untuk mengimport beras dari Kepulauwan Sulewasi kerana selama ini kita memberi tumpuan kepada Thailand, Vietnam dan Kemboja.

‘Laaaaaa...’ Lebai Taha sendawa sakan. Terangkat ketiak, nampak bulu ketiak semerngam. ‘Selama ni aku makan nasi berbulu perut, ingat kot beras kita ni beras Mada atau Sekincan.

Pelik, musim menuiai padi aku harga murah, potong sana potong sini. Tapi beras dok import juga. Apa hai?’

Yeeebbbabbbbb! Tempik tukang karut boria.

Teringat beberapa tahun yang lalu apabila meninjau pekebun kelapa di Bagan Datok. Buah kelapa bersepah-sepah. Tanya pekebun. Kata mereka harga murah, tak laku. Tapi dalam waktu yang sama kelapa berjuta-juta diimport dari seberang.

Huaaa...huaaa...huaaaa. Yeeebabbbb!

Terakhir:

Khairy Jamaludin, Ketua Pemuda Umno kata, beliau akan menulis surat kepada Ketua Dewan Pemuda Pas, bagi mengadakan pertemuan empat mata berhubung cadangan wacana ilmiah antara kedua pihak.

Laaaaaaa.....masih ada lagi runding berunding. Ada lagi dalam diam, dalam senyap, dalam sepi, dalam rahsia, dalam...dalammm poket menggentel-gentel pasal nak berunding?

Yeebabbbbbb! Kita tengok sejauh mana tanjak Tantawi bersilat tepis.

“ Politik sekarang dah tak main debat mendebat. Dah ketinggalan zaman. Tak ada kerja lainke? Apakah dengan debat itu Umno boleh faham dasar Islam? Boleh terima perjuangan Pas?
Kalau macam tu kena belajar politik semula nampaknya,” demikian kata Wak Brahim dari Kuala Pahang, cicit piut Mat Kilau.

Yeeebbabbbbb! Sorak tukang karut boria.

azizi hj abdullah

-Sri Malaysia Alor Setar.

Banjir Arak Di Kuala Lumpur?

Posted by Tukya Labels:

-Azizi Hj Abdullah
Mohd. Ridzuan Mohamad.


Kuala Lumpur Bandaraya Kebudayaan Islam?

Entah! Tapi semacam ia pernah diisytihar sebagai Bandaraya Kebudayaan Islam. Jika pertanyaan ini diajukan kepada pegawai kebudayaan daerah, pasti juga mereka terpinga-pinga. Tarikh perisytiharaannya tidak gah macam tarikh Malaysia mencapai Kemerdekaan.

Bagaimanapun pasti rakyat Malaysia, khususnya warga KL tentu bangga kerana Malaysia diisytihar juga sebagai agama Islam Hadhari.

Kemudiannya pada 25 Jun 2009 yang lalu muka surat 6, berita bisnes dalam akhbar The Star menyiarkan cerita bahawa KL telah dipilih di antara lokasi di rantau Asia menjadi ‘Host’ sempena Guinness Stout sempena 250 tahun sebagai ‘Arthur Day’ yang jatuh pada 25 September depan.

Ayah seorang murid bernama Muhamad Amin yang tinggal di Ulu Tembeling tak tahupun kerana ia tidak tahu baca orang putih. Maka Ustaz Muhamad Amin, yang di kampungnya menjadi ketua JKKKP pun memberitahu dengan bangga, dipilih KL sebagai lokasi utama di Asia kerana sempena hari ulang tahun Arthur Day Guinness yang sudah dua abad lebih.

Bayangkan, kata Ustaz Muhamad Amin Ketua JKKKP, bagaimana disiplin dan kukuhnya perniagaan ini. Menurut laporan The Star, lebih 150 negara menggunakan Guinness ini dan KL dianggap sebagai bandar yang hebat, maju dan internasional city.

“Orang KL tak mabukkah, ustaz?’ Tanya Wahid, budak bodoh bendul.



Orang kampung minum air daun ketum sajalah


Apa yang anda rasa dan peka dengan hal di atas?

Mungkin kerana terlalu ghairah dan gembira kerana pelabur luar menunjuk minat kepada KL, maka yang mentadbir KL tidak terasa apa-apa pun tentang maruah Islam, tentang perisytiharaan Bandaraya Budaya Islam.

Warga KL sendiri pun tetap tidak apa-apa. Mereka bersungut apabila harga minyak naik, tetapi mereka tidak peduli tentang Carlsberg, Guinness atau apa yang dikatakan alkohol, bir.

Mengimbau tahun 2008 merupakan tahun yang paling mencabar bagi rakyat Malaysia memandangkan kenaikan yang begitu ketara terhadap harga minyak dan makanan serta inflasi yang mencecah pada tahap yang tertinggi.

Namun begitu, Carlsberg Malaysia dan Guinness Anchor Berhad, dua syarikat pengeluar utama bir di negara ini telah mencapai tahap pendapatan yang tinggi berbanding tahun sebelumnya.

Menurut Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Kumpulan dan Syarikat, Carlsberg Brewery Malaysia Berhad menunjukkan kumpulan itu telah mencapai tahap pendapatan sebanyak RM960 juta, iaitu pertumbuhan sebanyak 7% pada tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2008.

Peningkatan ini disebabkan oleh pertumbuhan positif dalam jualan domestik bir dan stout dan keuntungan sebelum cukai pada tahun 2008 telah meningkat sebanyak 4% kepada RM101.3 juta.

Kumpulan Carlsberg Malaysia terus memperkukuhkan dan membina jenama Carlsberg Green Label dan mengembangkan portfolio jenama dan produk yang ditawarkannya dengan pelancaran produk-produk baru.

Mereka juga memperkukuhkan portfolio produknya dengan jenama bir premium antarabangsa seperti Stella Artois, Hoegaarden, Budweiser, Foster’s dan Beck’s dan pasaran bir dan stout di negara ini mendapat faedah pada tahun 2008 kerana duti eksais tidak dinaikkan.

Syarikat Guinness Anchor Berhad pula telah memperolehi pendapatan yang lebih tinggi iaitu RM328.5 juta dan keuntungan sebelum cukai RM46.3 juta untuk suku tahun berakhir pada Disember 2008.

Pendapatan syarikat itu telah berkembang sebanyak 13% daripada RM290.3 juta sementara keuntungan sebelum cukai telah meningkat 28% daripada RM36.3 juta pada suku tahun sebelumnya.

Malaysia merupakan negara yang kesepuluh terbesar dalam pengambilan alkohol di dunia dengan fakta serta angka yang menunjukkan ia semakin bertambah setiap tahun.

Salah satu petunjuk untuk melihat jumlah alkohol yang dijual ialah melalui cukai yang dikutip ke atas minuman alkohol.

Kerana itu amat sesuailah Kl dipilih merayakan genap 250 minuman yang diharamkan oleh Islam dan juga Islam Hadhari.

Cukai ke atas minuman alkohol yang dikutip bagi tahun 1996 telah meningkat kepada RM817 juta daripada RM769 juta pada 1994 dan pada 1995 terdapat 2,360 premis awam berlesen untuk menjual minuman beralkohol dan pada 1996, bilangan ini telah meningkat dua kali ganda.

Setiap tahun rakyat Malaysia dikatakan membelanjakan lebih RM2 bilion ke atas alkohol dalam bentuk bir dan pengeluaran samsu merupakan industri tempatan dengan nilai kira-kira RM180 juta setahun.

Menurut The Globe Magazine, Carlsberg AS Denmark, pengeluar bir terbesar dunia mempunyai pasaran terbesarnya di Asia dan melihat Malaysia sebagai pasaran yang amat menarik dan amat penting. Maka kerana itulah agaknya Malaysia diangkat menjadi pentas ‘Arthur Day sempena 250 tahun.

Syarikat ini telah melabur kira-kira AS$20 juta untuk mengembangkan lagi pengeluarannya sebanyak 25% kepada 125 juta liter setahun dan angka pengambilan alkohol di Malaysia menunjukkan semakin meningkat.

Dianggarkan 1% daripada rakyat Malaysia adalah penagih alkohol. Perkapita dikatakan sebanyak 7 liter. Setiap tahun rakyat Malaysia dikatakan membelanjakan lebih AS$500 juta ke atas alkohol.

Warga Kuala Lumpur, agak-agak nak komen apa? Tak tergamak kalau hendak kata, patutlah selalu banjir di KL.