Gejala Sosial

Posted by Tukya Labels:



Ada pendapat mengatakan minum air daun ketum, bagus.


1.
Adakah minuman air daun ketum merupakan satu masalah sosial atau ia mendatangkan mudarat yang melampau?

Apa pun tanggapan umum sekarang, penyalahgunaan daun ketum sama seperti dadah. Bagi sesetengah pengamal, minum dan ketagihan dianggap bukan sebagai satu masalah, tetapi ia tetap mendatangkan masalah terutama kesan sampingan.

Bukan menafikan negeri lain tidak ada penanaman pokok ketum ini, tetapi wartawan Utusan Pengguna telah meninjau di sekitar negeri Perlis. Ternyata pokok ketum ditanam dengan bebas dan meminumnya mempunyai tempat-tempat (gerai) tertentu, seumpama kelab khas. Malah pokok ketum yang ditanam seperti jajaran pokok-pokok mempelam ini, dijadikan pula pusat perubatan tradisional.

Gejala sosial bukan sahaja berhadapan dengan sikap dan gaya meniru dan membazir tetapi juga tidak beretika dengan kebersihan. Golongan ini tidak mengenali tempat sampah dan kitar semula.

Siapa yang boleh membetuli mereka jika bukan sistem pendidikan yang telus, luhur dan mempunyai pendekatan agama.

-Dapatkan utusan Pengguna keluaran Sep/Okt. 2009



Di antara remaja yang mabuk arak.


2.
Central Square di Sungai Petani merupakan pusat membeli-belah tetapi juga tempat pertemuan dan golongan remaja melepak. Bagi golongan remaja yang tidak mempunyai dunia khusus (seperti remaja perempuan yang lari dari rumah) pusat membeli-belah merupakan dunia dan rumah yang menjadi tempat berteduh waktu siang.

Di sana sejuk. Di sana tidak sunyi. Di sana boleh menemui kawan dan lawan. Di sana juga ada makan percuma dari pemancing mangsa.

Gadis N, berusia 15 tahun (bukan nama sebenar) ditemui oleh sukarelawan LANDAS. Dia yang berhari-hari dalam intipan sukarelawan, sering mundar-mandir sebaik-baik sahaja Central Square dibuka. Dia tidak peduli pakaian yang compang-camping. Dia tidak peduli rambut dan wajahnya. Yang penting dia dalam keadaan bebas.

“Untuk apa saya balik ke rumah. Adik-adik ramai. Bapa main judi. Emak tak peduli. Bapa dan emak selalu bergaduh dan tak pedulikan kami,” kata N yang berasal dari Baling.
“Minum?”
“Saya tak beli. Kawan bagi kalau lebih.”
“Minum di mana kalau macam ni?”
“Atas apartmen sana. Tidur pun di sana.”
“Berani?”
“Apa nak takut. Kawan ramai. Mereka baik.”

-Cerita lanjut, dapatkan Utusan Pengguna keluaran Sep/Okt 2009

Catatan 25 Ogos 2009

Posted by Tukya Labels:

“Pas kalau menang pun atas ehsan undi Cina (25%). Ini terbukti di Bukit Gantang, undi Melayu memihak kepada Umno dan Pas menang undi Cina khususnya dari Kuala Sepetang. Janji tanah 900 tahun beb!” Sekali lagi penghantar bergelar Nasi Siru yang saya tak kenali, yang sering menggambarkan kegelisahan jiwanya melihat kebangkitan rakyat menolak Umno sekarang.

Saya meneliti keputusan Pilihanraya N 11 25. 8.2009 ini melalui cartanya:

  • Jumlah keluar mengundi 72.78% atau 14,768 (SPR kena kaji semula tentang % ini)

  • Jumlah undi Pas 9618

  • Jumlah undi BN 5067

  • Rosak 83.


Undi dari Kg. Cross Street yang keseluruhannya orang Cina:
Saluran 1 Pas 125 BN 66
Saluran 2 Pas 278 BN 66
Saluran 3 Pas 270 BN 75
Saluran 4 Pas 265 BN 95

Kalau ini menjadi hujjah dan anggapan dengki - benci tak ketahuan hala penghantar e mail ini, memang betul. Tetapi bagaimana kedudukan di bawah, di sembilan daerah mengundi di N.11 yang pengundinya Melayu? Lihat keputusannya:

Sama Gagah, ada lima saluran, tak satu pun BN menang.
Permatang Ara, lima saluran, hanya satu saluran yang Pas kalah 24 undi. (Saluran 1 ialah saluran orang tua, yang dulu,kini dan selamanya)
Permatang Pauh empat saluran tak satu pun BN memang.
Bukit Indera Muda ada lima saluran, hanya saluran satu saja yang kalah 24 undi.
Kampung Pelet ada 4 saluran. Satu pun BN tak menang.
Kubang Semang ada 3 saluran, tak satu pun BN menang.
Begitu juga Tanah Liat Mukim 8, Permatang Tengah yang semunya pengundi Melayu, tak pula ada BN yang menang.

Kesimpulannya, dakwaan kalau pengundi Melayu, BN pasti menang ternyata meleset. Malah pengundi Melayu sudah bijak memilih dasar sesebuah parti dengan pelaksanaan dasar sesebuah parti yang sekian lama membohongi rakyat.



Puluhan ribu mendengar ucapan terima kasih kepada pengundi.


Bayangkan jika lebih 20,000 pengundi dihabuankan dengan seorang RM300, telekong, sejadah, pelekat, titi segera, rumah segera, upah pegang bendera, upah panjat tiang, segala macam logistik dan sagu hati orang tengah, poster dan lain-lain sogokan, berapa banyak yang dibelanjakan oleh BN?

Allaaaa, sakit hati dibuatnya.

Komen Datuk Sri Najib, Presiden Umno/BN akan mengkaji semula, rasanya tak perlu menghabiskan wang dan masa. Apa yang berlaku sebenarnya rakyat sudah tidak mahu terima lagi dasar Umno/BN yang selama 50 tahun, hanya mengenyangkan tembolok sebahagian orang. Banyak kesilapan yang tidak dapat dibetuli, menjadi rakyat perlu kepada perubahan atau kebanyakannya mengambil sikap ‘protes’. Laungan perlu kepada pembangunan dan kekalahan BN menunjukan rakyat tidak mahu pembangunan, satu dakwaan lemah. Pembangunan bukan hanya Umno/BN tetapi ia menjadi tanggung jawab sesebuah kerajaan.


Bilik gerakan BN seperti Padang Arafah.


Umno hanya tunjuk projek mega, tapi tidak sedar cukai tanah.
Umno hanya tunjuk indek dan saham, tapi tidak sedar saham Bumiputera yang lesap.
Umno hanya melaung Tekun dan Subsidi tapi tidak melihat tanah tergadai.
Umno hanya melihat 1Malaysia tetapi tidak melihat rakyat seluruh Malaysia.
Umno asyik mengubah imej Islam,termasuk Hadari tetapi tidak ‘kaffah’ Islamnya.
Umno menyumbang RM10 ringgit, tetapi menarik RM1,000.


Putri Umno yang sering menjadi buah mulut.


Umno/BN perlu ubah pendekatan berkempen. Kalau sekadar telekong, sejadah, titi parit tepi sawah dan sagu hati dalam sampul surat, Pak Kasa di Kubang Semang pun tergelak. Menggunakan polis mengawal keselamatan, tidak memberi kesan kepada pengundi memangkah BN kalau institusi ini diperkuda. Misalnya di satu tempat mengundi, polis muda menjerkah orang Pas supaya melondeh baju yang ada lambang bulan, tetapi dalam masa yang sama buat dono kepada Putri Umno yang mengibar lambang dacing.


Mereka tidak pernah meminta upah.


Ahhh, macam-macam lagi perkara yang menuntut Umno/BN perlu mengubahnya, terutama dasar parti itu. Rakyat sekarang melihat, apa yang dilakukan bukan hanya galak menerima sumbangan bermusim.

Manakala Pas, apa yang perlu di post mortem ialah kebijaksanaan menggunakan masa, menjadualkan masa dan tidak membazir masa. Hal ini sangat lemah bagi Pas.

Mungkinkah akan ada lagi di Padang Serai atau di Kota Siputeh? Rasa-rasanya Umno/BN pening lagi.

Terkenang Sebelum 25 Ogos 2009

Posted by Tukya Labels:

Kalah atau menang keputusan 25 Ogos 2009 (esok) bukan bererti segala-galanya selesai. Bagi mereka yang menang bermulalah menunaikan janji, menjalankan amanah dan perjuangan mengikut dasar yang ditetapkan.

Sesekali terkenang beberapa peristiwa sepanjang sepuluh hari sepuluh malam ketika kelamkabut ini berlaku, di mana Umno/BN dan Pas masing-masing berentap merebut hatibudi pengundi seramai 20 lebih.


Aik, mana kerisnya?


Bagaimanapun malam kedua terakhir (23 Ogos 2009) berlaku kelucuan yang pertama kali saya alami seumur hidup. Sungguh nak tergelak.

Berhampiran kedai kopi Prtg Tok Kandu ada dua pentas berdekatan; Umno/BN dengan pentas Pemuda Pas. Ketika pentas Pas belum bermula, Umno/BN sudah pulun bersyarah. Ketika saya dengar, ialah YB Ahmad Maslan, Ketua Penerangan Umno.

Sedang dia bersyarah, terdengar satu lagi suara bersyarah dengan lantang di seberang jalan.

“Itu suara apa pula. Dia orang tak faham ke kita tengah bersyarah ni,” kata YB Ahmad Maslan sambil meninaju-ninjau kepalanya seperti burung gelam hilang anak.

Rupa-rupanya suara lantang itu suara kempen Umno juga tetapi YB Ahmad Maslaz tak tahu. Macam mana boleh jadi begitu, sedangkan beliau Ketua Penerangan. Tentulah sebarang atur susun ceramah, dia lebih tahu. Tapi malam itu orang Umno bersyarah di depan beliau pun beliau tak tahu. Pelik!

Tadi ketika maghrib, sebuah kereta Waja Polis berhenti di depan Masjid Batu. Keluar seorang yang berpangkat bunga lawang, tanya seorang anak muda Pas di mana ‘Masjid Permatang Janggus’ kerana di situ ada majlis baca Yasin Umno, yang dihadiri oleh TPM.

Saya nak tergelak apabila anak muda itu menggawang-gawang tangan kepada pegawai polis itu (tentu jauh datangnya) memberi petua hendak ke Masjid Permatang Janggus. Saya tenguk tangan anak muda itu gawang ke kiri, gawang ke kanan, melonjak-lonjak tangannya, ke kiri, kekanan.

Aik, susah sangatkah nak pergi ke Masjid Permatang Janggus sedangkan ia jalan lurus selepas lampu trafik, jumpalah.

Saya tergelak. Bijak dia memberi pertunjuk.

Pidato YB Ahmad Maslan, bersemangat tapi isinya sangat merohoi, demikian ada yang bersungut. Katanya:

Siapa beri air? Umno.
Siapa beri api? Umno.
Siapa buat sekolah? Umno.
Siapa buat klinik dan hospital ? Umno.
Siapa buat jalan raya? Umno
Siapa buat masjid? Umno.
Siapa yang buat semua...bla...bla..bla...? /Umno

Saya terdengar suara ketawa berdekah-dekah dekat pagar yang kebetulan yang dengar dalam khemah itu, lapan orang petugas Umno. “Aik, macam kempen tahun 60an pulak. Pasal jalan raya, sekolah, negeri komunis pun buat juga.” Demikian kata yang ketawa itu.

Saya tetap setia mendengar ceramah YB tersebut kerana inilah peluang terbaik saya hendak mendengar maklumat dan penerangan dari Ketua Penerangan Umno. Lalu YB itu pun memberitahu:

Permatang Pasir ini kawasan anak emas!
Tuan-tuan bertuah kalau undi Umno.
Tuan-tuan boleh dapat apa saja yang tuan-tuan minta.
Saya sendiri, sudah banyak tolong rekomen anak-anak di Permatang Pasir.

1. Saya sudah rekomen seorang pelajar masuk UITM. Saya tulis surat kepada Naib Censelornya, minta masukkan budak ini. Alhamdulillah Naib Censelor itu terima.

2. Saya pernah rekomen budak Permatang Pasir, masuk kolej, Alhamdulillah rekomen saya ini diterima.

Kemudian ada lagi dua tiga ‘saya rekomen’ anak-anak pengundi di Permatang Pasir? Betulkah? Mengundi di Permatang Pasir 25 Ogos 2009, takkan masa ini juga tarikh buka tawaran kolej dan UITM?

Ha...ha...ha....Boria Pulau Pinang mula bercerita....yeee babbb!

Hujah-hujah karton ini sama dengan pertanyaan yang bersifat ‘lapuk lagi masam’ oleh seorang yang menamakan dirinya NASI SIRU sering menghantar e mail kepada saya. Dia selalu berkata misalnya:

“Satu lagi nak tanya, amacam Putrajaya? Ustaz pusing-pusing tak pekan dia?
Itulah antara 'rasuah' Umno untuk Melayu dan Islam sepanjang 50 tahun. Pas? mungkin ustaz boleh berbangga dengan Kelantan dan 'Putra Rusila' dan 'Bukit Meriam'
Selama 50 tahun Umno telah melahirkan ramai sarjana Islam yang hebat-hebat tapi Pas buat apa untuk Melayu dan Islam selama itu selain daripada pelekeh kerja orang (Umno)

Renungkanlah berapa banyak sekolah, kolej, universiti ugama yang didirikan Umno selama 50 tahun, tapi apa yang dibuat Pas selama 50 tahun?”

Demikianlah. Saya hanya tersenyum. Bagi yang menghantar e mail kepada saya itu, kejayaan Umno selama 50 tahun sangat banyak itu, sepertilah Menara Kembar Petronas. Di dalamnya siapa? Hisss, ada lagi anak muda Melayu yang tak pernah cair pemikirannya.

Dia tak pernah tanya tentang bahasanya sendiri? Dia tak pernah tahu tentang Akta IPTS 1966 sehingga 250 IPTS daripada 282 terlingkup dengan karenah bahasa ini.

Jika tahun 1999 lebih 60% Melayu menolak Umno dan 2004 menolak lebih lagi, apakah semua Melayu ini haprak? Berapa juta (rujuk ucapan TPM di Australia) murid-murid menjadi mangsa PPSMI dan kemudiannya 17 tahun pula baru nak dihapuskan? Itupun mujur dengan desakan rakyat melalui demo.

Penghantar e mail itu tak pernah tahu tujuh lapan tahun yang lalu berapa juta wang caruman KWSP hilang, pelaburan rugi, pelaburan tidak beretika, sistem transit yang rugi. Umno? BN yang bagus, tetapi 1.4 juta luput pada tahun-tahun berlalu. Kemana 388 keping cek milik perasa bernilai RM1.4 juta. 47 cek lagi bernilai RM320,612.74. Sepuluh tahun yang lalu juga, ke mana 287 cek dengan nilai RM417,102,40. Sehingga tahun 2001 pun masih ada malaun 457 cek bernilai RM 709,470.48 ghuyup.
Kita tanam padi tapi beli beras. Siapa kontrol bernas. Kini mengapa 31% dikuasai oleh syarikat asing. Siapa main dan dalang?

Macam mana kes Perwaja? Apa yang terjadi kepada RM2,985 juta dan 7 bilion hutang bank?

Mana duit pendeposit Tabung haji misalnya RM4.415 juta dan RM3.310 juta?
Ke mana wang Petronas dan tidak zalimkah apabila hak rakyat yang berhak mendapatkannya dinafikan?

PPRT dapat peruntukan RM400 juta dalam tahun 1995, apa yang berlaku? Kenapa perbelanjaan RM2,400 dibongkar sampai tak sudah sedangkan perbelanjaan 42 juta ambil kisah?

Ini cerita lama. Sudah basi. Belum timbul yang baru. Bagaimana dengan keadilan, kroni, salah laku?

Ini bukan soal Pas dan Umno tetapi cara Umno mengendalilah maka terjadi seperti ini. Ia ada sesuatu yang tak betul.

Adakah Umno itu berkiblat kepada Machiavelli, Hetlar, Nazisme?

Siapa pula yang menutup SAR? Hebuh tentang Islam Hadhari, kini apa jadi? Kenapa tak mahu pakai saja Islam hakiki?

Kata nak bela orang Melayu, tapi tanah rizab Melayu sendiri diambil sesuka hati. Konon nak bela orang miskin tetapi sekangkang tanah payah nak diberi.

Dulu kita ada 4,545,937.39 hektar tanah rizab, kini (beberapa tahun yang lalu) tinggal 4,419,110.75 hektar. Sedang padang golf mampu dibuat seluas 1,253.715 hektar.

Melihat tesis dan kajian kedudukan tanah orang Melayu, sangat menakutkan. Tanah saja nama tanah Melayu, tetapi jika dilihat peta dan geran, siapa yang menguasai.

Jangan salah pembangkang atau PR. Yang melakukan ini sejak 50 tahun yang lalu, sedang PR hanya baru setahun.

Siapa yang ramai menyalah guna kuasa? Siapa yang ramai melingkup menggelap wang rakyat?

Hahhh, semakin banyak yang timbul kalau hendak dibangkit. Apakah ini pil-pil yang boleh menyembuhkan kesakitan dan parahnya negara Malaysia yang dicintai?

Sahabat yang bernama NASI SIRU ini mungkin berpegang kepada 1 (satu) seperti 1Malaysia dan itulah mindanya juga satu: Terbaik dalam dunia ialah Umno.

Yeebabbbb!

Kepada Sasterawan Negara 10: Dr. Anuar Ridhwan

Posted by Tukya Labels:

Bersama Datuk Anuar Ridwan (SN)Di lobi hotel Shangrila Putrajaya April 2009

Tulisan di dalam Malaysiakini 21 Ogos 2008 di rujuk.

Terima kasih SN Datuk Dr. Anuar Ridhwan kerana memahami tulisan saya dalam blog saya tempoh hari. Apa yang saya catatkan hanyalah sekadar menyalin semula hasil dari dialog dengan seseorang di mana dia cuba mempertikai anugerah Sasterawan Negara. Namun ada di antara yang menganggap itu adalah tulisan saya sendiri kerana kononnya tak mungkin orang lain tahu tentang perkembangan saya sejak saya menulis.

Ternyata itu hanya anggapan kerana ‘orang itu’ tidak tahu perkembangan dunia penulisan, sehingga beliau menjijik segala bentuk tulisan kreatif saya sebagai tidak berfaedah.

Datuk yang saya amat kenal dan menjadi sahabat yang sangat bersopan sejak menjadi pegawai penting di Dewan Bahasa, saya hormati dan menganggap Datuk orang terkehadapan dan memang sesuai menerima SN ke 10. Tidak ada sebab saya cuba menyangkal dan apa yang saya tulis hanyalah sekadar paparan dari orang lain.

Seperti kata Datuk, apalah yang dikejar tentang gelaran dan anuregah. Yang penting meneruskan perjuangan dalam bentuk ini. Dan SMS Datuk malam ini (21 Ogos 2008, jam 11.20 mlm) melegakan saya kerana Datuk memahami sebuah bentuk tulisan macam ‘cakap ajuk cakap pindah.’

Sebelum pengumuman anugerahpun saya menerima beberapa SMS dan e mail yang menelah beberapa orang yang layak menerimanya. Dan jujurnya saya nyatakan,ada yang memberitahu jika Datuk yang dicalonkan, mereka akan mengkritik habis-habisan.

Apa yang boleh saya lakukan kerana itu pandangan mereka.

Masakan saya meninggal Pas. Itu adalah usikan kawan dan jawapan pun satu usikan.Insyaallah saya tetap dalam wadah perjuangan parti ini kerana bagi saya Pas adalah sebuah jamaah yang halal, dibenarkan oleh perlembagaan. Perjuangan ini tidak bererti saya tidak berterima kasih kepada kerajaan, tidak bermakna saya menjadi penderhaka dan tidak mengenang budi kerana makan duit keranaan.

Ini perjuangan berdasarkan keyakinan. Tapi sayang masih ada orang menganggap, lain dari parti kerajaan yang ada sekarang ini, tidak betul, salah, tak mengenang budi. Baginya parti kerajaan sekarang ini saja yang berhak dan betul menjadi kerajaan. Dia tidak pernah menjengok dunia luar.

Datuk, saya tetap setia dengan wadah islam. Terima kasih.

Catatan 15 Ogos 2009

Posted by Tukya Labels:

1. Munaqasyah


Tuan Ibrahim Tuan Man, orang kuat Pas tahun ini.


Mulai jam 2 petang hingga 6 petang, gagah-gaah ikuti Munaqasyah Ucaputama Presiden Pas di Muktamar Pas yang lalu di Komplek Pas Batu 9 Kota Sarang Semut. Kertas Tuan Ibrahim Tuan Man menjadikan saya berfikir:

Sebahagian di dalam Qur`an hanya ada hukum, bukan pelaksana. Contoh, arak adalah haram. Melaksananya hukum bukan Qur`an, tetapi manusia. Ia memerlukan kaedah dan cara berpandukan hukum itulah.

Ada bangkangan?


2. Bangsal apa pula?


Khemah pegawai polis untuk menjaga keamanan pilihanraya kecil Permatang Pasir nanti.


Balik dari Munaqasyah lewat jalan Bukit Mertajam, dekat Taman Ciku, saya terbelalak hairan, khemah apa yang sebigini besar. Semua cat putih. Besi tiang dan dinding masih berselewang pukang lagi. Tak tersusun.

Tanya sana sini baru dapat tahu. Inilah khemah anggota polis yang akan menjaga keamanan dan kepentingan awam menjelang pilihanraya Permatang Pasir Ramadan ini.

Dulu pun macam ini juga tapi bila ada perentah tak jadi masuk bertanding lawan PKR, khemah itu terbengkalai separuh jalan. Tak ada pun pegawai yang mendiaminya dan peliknya tak ada pula polis yang mengawal penuh jalan sepanjang kempen pilihanraya di Penanti dulu. Tapi belanjanya tentu juta-juta juga.

Kini, cup-cup apabila BN nak lawan, seolah-olah akan muncul huru hara, rusuhan dan pergaduhan. Pelik.

Andaian kita, kalau mahu elak dari pergaduhan, rusuhan, kempen tidak sihat atau apa-apa keburukan, pilihanraya janganlah disertai oleh BN. Jika tidak beginilah.

Saya terima SMS sebaik-baik saja pulang dari Munaqasayah. Katanya, ada kem-kem polis dianjur majlis bacaan Yasin minta doa selamat agar mereka selamat sepanjang mengawal kempen pilihanraya.

Masyaallah…..bla…bla…blaaaa. Ketahuilah, jika tidak buat begitu, tidaklah jadi begini. Jika tidak buat begini, taklah jagi begitu. Jadi, janganlah buat begitu agar tidak jadi begini dan jangan buat begini supaya tidak jadi begitu. Wallahu aklam.


3. Tentang Benci

Barulah saya sedar dan kesedaran ini berAlhamdulillahlah saya kerana telah menyedarkan saya yang telah tua ini.

Mendapat e-mail dari yang bernama NASI SIRU, rupa-rupanya ternyata dia adalah seorang manusia dari 25 juta di Malaysia ini yang cukup benci pada saya dan juga bidang penulisan saya.

Puncanya satu, kerana saya mengisytihar sebagai orang Pas. Ternyata dia yang mendakwa sedikit sebanyak Umno, menganggap penulis kreatif sebagai orang hancai, tak berguna.

Katanya kepada saya sebagai seorang penulis:

“Orang Umno dan Pas sama saja iaitu Melayu. Hasad dengki pasti ada. memang betoilah, buat apa bagi kat orang yang akan gigit kita balik. Ramai lagi orang (sasterawan) yang menyokong kerajaan dan setidak-tidaknya tidak terlalu menghentam.

Pada saya ustaz harus meninggalkan perjuangan sia-sia. Habiskan sisa-sisa hidup yang hanya tinggai 'ehsan' daripada Allahtaala tu dengan bertaubat, kerana banyak karya ustaz yang masa lalu tidak memberi faedah untuk ke jalan akhirat.

Cerita khayalan, rekaan yang diselang seli cerita separuh lucah, maki hamun, bahasa kasaq yang mungkin menjadi ikutan. sapa nak jawab tuuu

Jumpa lagi.”

Pada saya, saya tidak kesal dan marah, tapi dukacita kerana masih ada lagi manusia sepsis seperti ini. Apakah amalan ini sia-sia?

Surat Kepada Presiden Pas, Naib Presiden Dan Bla...Bla... Lagi.

Posted by Tukya Labels:

Datuk Seri,

Apabila angin ribut kuat di tengah laut, Datuk Seri tak terasa sejukkah ketika Datuk Seri sedang memancing jerung. Ketika badai melanda, Datuk Seri tak kecewakah apabila kail hanya lekat anak gelama tengkerong?

Arus politik di daratan barangkali lebih dari angin ribut di lautan. Datuk Seri baliklah cepat dan lihat di sebuah negeri ehsan mengehsan, yang kaya dengan pucuk batubata.

Memurut khabar, seperti yang saya pernah tulis berkali-kali, anak buah Datuk Seri ini gila dan ketagih sangat nak bercakap atau membuat kenyataan akhbar. Kononnya ‘press confren’. Hasilnya selalu jadi bola tanggung. Orang ‘kelepup’ kepala kita balik.

Apa yang terjadi di negeri ehsan mengehsan itu? Dalam sidang akhbar dan TV (kedua-duanya media tak sebulu dengan PAS) kononnya seorang yang bertaraf Pesuruhjaya tidak akan tunduk kepada ugutan rakan sepemerintahnya yang menggesa pucuk pemimpin kerajaan mengambil tindakan disiplin ke atas dirinya berhubung isu arak.

Tuan Guru Datuk Seri,

Betulkah status atau pangkat PESURUHJAYA setiap negeri itu adalah status atau pangkat MENTERI BESAR kalau Pas memerintah? Maaf Datuk Seri, terlupa pula saya. Datuk Seri juga Pesuruhjaya kemudian jadi MB dulu. Di Kedah, Datuk Seri Azizan, Pesuruhjaya, kini MB juga.

Begitulah bla...bla...bla...

Maka terah sekian lama hengar bingar, kecuh hebuh tentang Ronnie Liu dari DAP dengan seorang pesuruhjaya di negeri ehsan mengehsan ini belum reda lagi. Semua orang tahu. Isunya bukan pasal arak sangat. Isunya isu yang ada main acilut di belakang tabir.

Tapi yang jelas kita nampak sekarang, ianya seperti satu perjuangan MAHA SUCI, MAHA JUJUR dan maha-maha demi prinsip, dasar dan kewajipan konon. Saya tak berapa faham tentang ini Datuk Seri tapi saya fikir sia-sia jika kita nak minta berdamai atas nama pakatan, perkongsian dan lain-lain, kerana ada sebahagian mereka bukan ini perjuangan mereka, walaupun dikatakan sebagai ahli Pas yang tidak gila pangkat dan darjat.

Apa yang dihebuh sebenarnya bukan isu itu. Datuk Seri pasti faham. Inilah satu penyakit yang saya sangat-sangat takut Datuk Seri, apabila melanda ke atas pemimpin dan perjuangan Pas. Siang malam menjeri mengatakan kerana Allah, jihad, demi Islam tetapi sebenarnya tingkah laku, gerak dan feel, malah kelip mata pun orang tahu, yang dikejar bukan itu. Kata ulama, inilah ‘hubbun dunya.’
Betulkah?

Datuk Seri, maafkan saya.

Bagaimana kalau kita buat bacaan begini dalam situasi sekarang:
PKR sekarang ada 15 kerusi
DAP sekarang ada 13 kerusi
Umno sekarang ada 20 kerusi
PAS sekarang ada 8 kerusi

Yang peliknya, 8 kerusi ini, parti yang Datuk Seri terajui, hingar bising, kelupur melenting lebih dari 15 kerusi atau lebih dari 20 kerusi. Mereka menaruh impian yang sangat tinggi, melaram yang tak menasabah. Bercita-cita tak kesampaian. Bagi mereka walaupun 8 kerusi, mereka boleh perintah.

Kalau yang 20 kerusi melenting dan kacau, tidak menghairankan. Kan itu pembangkang. Tapi yang 8 ini, apa jadahnya?

Kalau hanya 8 kerusi berimpian boleh memerintah, formulanya apa?

Saya nak peringatkan Datuk Seri, Nasaruddin, Salehuddin Ayub, Datuk Mahfuz dan Setiausaha dan lain-lain diperingkat pusat ini, hubaya-hubayalah dengan melenting dan menggelupur mereka yang bertaraf pesuruhjaya ini kerana pesuruhjaya memungkinkan terus melompat menjadi Menteri Besar.

Formulanya sangat senang:

Bersusik-suksik, berbisik, mengenyit mata dan keremot hidung dengan hidung mancung berkilat merlit, maka akan terjadi 8 kerusi menduduki bersama dengan 20 kerusi. Akan jadi 28 kerusi.

28 kerusi akan sama dengan PKR dan DAP: 15+ 13= 28.

Apabila seimbang begini, berlakulah beli membeli untuk melebihi hanya satu jari kelingking, maka pihak itulah yang akan jadi kerajaan. Atas muslihat busuk dan khianat yang dirancang sekian lama, maka apakah tidak mustahil seorang dari yang 8 ini menjadi MB dan ia tentulah dipilih dari kalangan Pesuruhjaya kerana itulah tarafnya pun.

Bukan mustahil Datuk Seri. Ketika itu Datuk Seri akan melihat terpelantingnya prinsip Islam, perjuangan Islam, Lillahita`ala, jihad demi hanya gilakan sedikit kuasa. Katika itu Datuk Seri akan menangis kerana begitu jadinya setelah berpuluh tahun tarbiah dan usrah Tuan Guru tidak menjadi.

Jadi Datuk Seri, maafkan saya kerana saya tak percaya apa yang bergolak sekarang hanya kononnya nak mempertahankan prinsip, demi Islam dan demi maruah. Yang sebenarnya formula seperti di ataslah yang menjadi kegilaan. Kemungkinan akan berlaku. Jangan tidak percaya dan jangan terkejut kalau ada ‘press confren’: kami 8 orang mengisytiharkan keluar dari pakatan dan menyertai Umno.

Bukankah politik itu seribu kemungkinan Datuk Seri.
Wallahu aklam. Maaf.

Sasterawan Negara Ke 10, Tahniah!

Posted by Tukya Labels:

Sebaik-baik saja Timbalan Perdana Menteri mengumumkan Sasterawan Negara ke 10 pada 11 Ogos lalu, saya terima banyak SMS dari kawan-kawan kerana bagi mereka seperti merekalah yang terawal menerima berita itu.

‘Datuk Anuar Ridwan Sasterawan Negara ke 10’ begitu satu SMS, iaitu Ridzuan Harun, pensyarah di ASWARA. Datuk Anuar juga menjadi dekan di situ.

Tapi ada seorang yang saya tak berapa kenali cuba menojah dan mencubit perasaan saya. Saya tidak tahu maksudnya untuk apa dia memprobok saya. Mungkin dia nak tahu sejauh mana penerimaan saya tentang anugerah Sasterawan negara ke 10 ini.

“Sepatutnya saudara, kalau dilihat dari segenap sudut,” smsnya.
“Eloklah tu. Datuk Anuar Ridzuan kan dah tepat. Dia datuk, orang berkelulusan,” jawab saya.

“Anugerah SN bukan itu ukurannya.”
“Semuanya sudah diukur. Panel yang menilai dan mengukurnya.”
“Tidak. Mereka tidak mengukur dengan betul.”
“Aikkk, saudara ni sapa?”
“Jangan tanya saya siapa, tapi tanya siapa saudara dengan Datuk Anuar Ridwan!”
“Pulakkk.”

“Sejak bila dia menulis dan sejak bila saudara menulis? Sudara muncul sebagai penulis pertama menerima Hadiah Sastera bahagian novel dari kerajaan (1971) kemudian lima tahun berturut-turut, kemudiannya lagi Hadiah Sastera dari kerajaan dalam bahagian cerpen. Saya baca biografi saudara, sehingga kini lebih 35 novel saudar hasilkan. Menurut Allahyarham Othman Putih, saudara menghasilkan lebih 300 cerpen, puluhan drama TV, Radio, artikel sastera.” Demikian sms kawan itu lagi.

Saya menjawab: “ Ni, tak payahlah ungkit-ungkit. Mungkin karya saya tak setanding dan hebat dengan SN kita ni.”

“Hahhh, mari kita buat ukuran. Sdra ada Senja Belum berakhir, dia belum tulis lagi. Sdra ada Seorang Tua di Kaki Gunung, dia Hari-hari Terakhir Seorang Seniman. Sdra ada Wi & Wiliam, Kawin-Kawin, Ayahanda, Harga Sebuah Maruah, Sangeetha. Sdra skrinplay terbaik, Drama TV terbaik. Ini saya senarai yang pokai-pokai di antara 35 yang pernah sdra terbit. Sdra juga penerima anugerah SEA. Write Award lebih dulu daripadanya, iaitu tahun 1988 sedangkan dia tahun 2002. Karya Datuk Anuar Ridwan berapa? Menurut catatan laporan hari pengumuman, dia hanya ada empat novel, itu pun tidak semua terbaik. Hanya ada empat antologi, itupun boleh dipertikai.”

“Tapi ada sudut lain yang saya tak ada.”
“Apa, cuba cakap.”
“Saya tak ada PhD. Saya tak banyak menulis ilmiah. Saya tak banyak kertas kerja.”

‘Bukan. Bukan kerana itu,” kata kawan saya.
“Tak apalah. Saya gembira dan itu haknya.”
“Bukan. Sebab utama saudara tak dipilih, kena tenguk siapa dia panel. Lapan puluh peratus kaki bodek kerajaan BN.”

“Hiss, tak betul tu!”

“Sebab utama, saudara orang PAS. Orang PAS tidak ada dalam pemilihan anugerah apapun. Lain kali keluar saja dari PAS. Masuk Umno, tahun depan gerenti dapat!” demikian sms terakhirnya.

Saya ketawa terbahak-bahak. Apakah saya perlu keluar dari PAS?

Catatan Awal Ogos 2009

Posted by Tukya Labels:

1. 9hb Ogos


Menteri Pelajaran


Naik gila, bengung, terpelengong, tarik sawan, gilababi apabila membaca muka 3 Mingguan Malaysia 9 Ogos 2009, berita dari Perth Australia.

Dianggar 3 juta murid akan keciciran dalam penguasaan bahasa Inggeris jika dasar PPSMI tidak dimansuhkan.

Aik, betulkah berita ini. Macam tak percaya berita ini dari menteri.

Baca lagi, baca lagi dan baca lagi. Memang Ya Aini Ya maulana berita itu dari menteri yang menidak menghuduh, mengkondem memperlekeh seratus peratus bahawa PPSMI ini tak berguna langsung.

Aik, kenapa dulu kata kuah rojak sedap dan bagus, kini kata pula kuah rojak tak sedap dan basi?

Ya Aini, beginilah kalau tidak begitu kerana begitu tidak jadi begini dan begitu-begitu tidak jadi begini-begini. Akhirnya jadi begitu kerana dulu tidak begini.

Yeeebabbb! Boria Pulau Pinang seronok plum-plam, plum-plam.



2. 6hb Ogos


Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng bersama PAKSI


i.
Rupanya nak berjumpa dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Lim Guan Eng tidaklah susah sangat. Bersama rakan-rakan dari PAKSI, Dinsman, Kasim Mohamad, Syukur Harun dari Harakah, Hasni Abbas dari GMP, menunggu sedemikian lama, tiba-tiba terus dipanggil dan mengemukakan dua projek teater Menunggu Kata Dari Tuhan untuk Negeri Pulau Pinang, terus diterima dengan sponsernya sekali.

Saya tidak ada pengalaman meminta projek dari sesebuah kerajaan walaupun kerajaan PR sebelum ini. Rupa-rupanya begitu…seorang sahabat, PR Mohamad Sabu, Radzi namanya, kami terhutang budi.

3. 4hb Ogos


Anak Perempuan Salleh, Peneroka Kg Kota Aur Belantik


Menulis buku LUKA RAKYAT tahun 2003, yang sudah masuk cetakan ke empat kini, rupa-rupanya dianggap serius oleh anak cucu Allah Yarham Salleh Lebai Noh, Kampung Kota Aur, Belantik, Sik sehingga hari ini.

Di dalam buku LUKA RAKYAT ditulis prihal Salleh Lebai Noh (67 tahun pada 2003) yang memugar tanah belantara di Kg.Kota Aur, Belantik Sik menjadikan sawah bendang. Kemudian di ambil oleh FELCRA menjadi tanah rancangan di mana sekupang pun Salleh Lebai Noh tidak dapat.

Hari ini anak cucu Salleh menjemput saya, mengadu hal lagi kerana permohonan mereka tidak juga mendapat perhatian kerajaan.

Saya melihat salah seorang anak perempuan Salleh ini sangat gigih, bijak dan pandai berinteraksi. Kepada kami diceritakan hal-hal yang menjadi masalah selama ini. Yang mengkagumkan saya, anak kampong yang sudah bersuami ini mampu membuat catatan satu demi satu sejak ia sudah pandai menulis.

Memang kami berjanji akan proses hal ini melalui CAP. Berhasil atau tidak, Wallahu aklam. Buah cempedak seguni itu, elok masaknya.

4. 3 hb Ogos


Budak ni memang bodoh. Bodohkah?


Jam 9.50 pagi saya terima satu SMS dari seorang veteran Umno yang saya kenali sejak dulu. Mungkin kerana 1 Ogos satu demonstrasi di KL, maka beliau pun (Datuk) mengirim SMS kepada saya. Bunyinya begini:

Dari demonstrasi mutakhir ini jelaslah Melayu sendiri yang menentang ISA. Bukan Cina atau India.Sama dengan peristiwa mendurhakai Raja di Perak dulu. Setinggi tahniah di atas kebodohan dan sanggup dicucuk hidung. Nasib baik lain-lain NGO Melayu tidak turut serta, kalau tidak percuma pecah kepala sesama sendiri. Kalau dulu ada 13 Mei, kini ujud pula 1 Ogos. Bumi VS Bumi. Betapa dungunya kita. Setinggi tahniah penghargaan kepada polis dan kerajaan kerana cepat bertindak kepada pemimpin-pemimpin pembangkang, Melayu dan pengikut. Muhasabahlah sebelum bertindak. Jangan ikut si Luncai. Letaklah otak di kepala bukan di lutut.

Saya pun tergelak. Mungkin Datuk ini agak saya berada di barisan depan di demo itu. Tapi saya tahu sebabnya. Dulu ada beliau kirim SMS, minta saya sokong apabila Umno nak bersatu dengan Pas. Saya jawab; Maaf kerana saya tak pernah percaya kepada Umno. Beliau jawab balik mengatakan, itulah orang Pas, lebih percaya kepada kafir.

Saya tergelak sampai terkencing. Haa…haa…haa…ya bedak beduk.

SMS ini pula, tidaklah ada niat nak jawab. Tapi benarkah demonstrasi itu kerja bodoh dan siapa yang lakukan, bodohkah namanya?

Cup-cup hari ini (Ahad 9hb Ogos 2009) Zainuddin Maidin mantan YB Merbok (Datuk pun satu seh, bukan) tulis dalam Mingguan Malaysia. Tentang Tunku, semacam ada juga demonstrasi. Saya baca perjuangan Umno menentang Malayan Union, Jussulay ada juga apa yang dikatakan demo. Buka buku Dr.Ramlah Adam seorang sejarawan, baca Memo Tunku yang ditulis oleh sarjana sejarah, rupa-rupanya demo ini berulang kali dilakukan oleh orang Umno.

Kalau gitu, Umno juga bodoh!

Yang syoknya, Ibrahim Ali yang dulunya Umno, kini tonggek jubur kepada Umno dengan NGOnya, turut nak adakan demo juga. Tapi kerana orang penakut kena sembur air gatal, tak jadi pula.

Kenapa? Apakah demonstrasi ini satu kegiatan terkutuk? Demo yang diadakan itu bukan ganas. Ia bersifat aman tetapi ia diganaskan oleh pihak lain. Apakah itu hujjah mengatakan demo itu mencetuskan keganasan, porak peranda?

Cuba biarkan mereka berarak sampai hujung KL pun. Jangan usik, jangan sekat mereka. Biarkan mereka bawa seguni memo. Jangan pagar dengan FRU.
Tengok sekali, sekali saja; apakah akan ada bangunan pecah, kereta pecah, rusuhan, samunan? Saya fikir tidak, malah sehelai daun pokok bunga di depan Istana Negara pun tidak akan gugur.

Ini tidak. Kita kata nak buat cara aman, depa dah sedia kereta water canon. Kita dah bagi syarat jangan ganas, depa dah atur FRU. Kita berarak berpegang tangan, depa hambat dengan belantan. Kita takbir bukan nak perang, depa tembak ges pemedih mata.

Ini apparaaaaaaaaa! Siapa yang letak otak di lutut. Oppppp! Saya sebenarnya suka otak lembu nasi kandar.

Begitulah adanya. Yang demikian, tidaklah begitu. Yang begitu tidaklah begini kerana begini tidak begitu, maka begitu tidak jadi begini.

Wallahuaklam.