Apabila Mantan Presiden Umno Bersabda...

Posted by Tukya Labels:

Saya berdiri di depan cermin, membelek wajah, meraba kedut pipi, melihat keputihan ubat di kepala. Lalu saya bertanya diri sendiri; apakah saya nyanyuk sekarang?

Ia bukan mustahil tapi saya percaya saya belum nyanyuk. Tapi ternyata saya sedang nyanyuk membaca berita Malaysiakini semalam (27 Sep 2009) Ini dia...

Mantan Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad menasihatkan bekas naib presiden Tan Sri Isa Samad supaya tidak bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang.

"Jika saya (Tan Sri) Isa, saya akan menggesa parti supaya jangan mencalonkan saya. Kemudian saya akan bekerja keras berkempen untuk calon lain yang dipilih. Dengan itu, ia akan melonjakkan reputasinya.




Soalan saya mudah: Kalaulah zaman Dr. Mahathir jadi PM dulu boleh ditarik ke masa sekarang, atau kalaulah boleh pakat-pakat cempung buah fikir, ingatan Dr. Mahathir ke zaman di mana beliau jadi PM dulu, adakah ini boleh diterima?

Banyak sangat kenyataan dan saranan Dr Mahathir seperti sekeru kecil nak tojah ke besi besar, atau besi besar nak perosok ke sekeru kecil. Semakin banyak kenyataan yang dibuat, semakin nyata bercanggah dengan apa yang dilakukan dulu.

Pak Salleh Kerengga, petani di Canglon bukan fikir tentang Isa, tapi jenuh berfikir tentang kata-kata Dr. Mahathir, betulkah cakap beliau dengan apa yang berlaku masa PM dulu?

Seorang tukang karut boria Pulau Pinang kereyau kuat: Yeebabbbb!

Kesan Calar Aidilfitri 1430

Posted by Tukya Labels:

-Azizi Hj Abdullah

Aidilfitri 1430 sudah berlalu. Ada sesuatu yang tidak kena rasanya terhadap kemuliaan dan tuntutan aid itu sendiri kerana sikap dan cara sesetengah golongan umat Islam kita menyambut hari aid ini. Ternyata sesetengah umat Islam masih kuat berpegang kepada perkara yang tidak ada hujah melainkan terpengaruh dengan keseronkan..Hari aid telah ditunggang balik tujuan, adab, hikmah dan tuntutan yang sebenar. Golongan ini telah mentafsirkan hari gembira yang tak tahu hujung pangkal.

Apa sudahnya jika hal ini berlarutan? Siapa yang bertanggung jawab untuk membetulkan hal ini? Barangkali boleh kita letakkan tanggung jawab ini kepada:

1. Seorang menteri yang berkuasa dalam Kementerian Komunikasi yang juga berkuasa dalam lesen Astro atau dalam bidang penyiaran swasta.
2. Pengarah dan penerbit rancangan hiburan di mana-mana stesen penyiaran.
3. Pelakon, artis, budayawan, fesyen, modeling atau setidak-tidaknya pengarah/ penerbit persembahan.
4. Editor ruangan hiburan atau editor akhbar, majallah dan,
5. Sesiapa yang dirasakan ada memain peranan dengan bidang ini menjelang hariraya.

Golongan-golongan ini mestilah diberi penerangan yang sungguh-sungguh dengan hujah dan hukum. Beri ceramah dan kaunseling yang berkesan tentang salah betul apa yang dikata agama itu. Dan kemudiannya dikuatkuasakan pula oleh undang-undang, di mana menteri berkenaan dan pihak berkuasa komunikasi sudah faham segala-galanya.

Jangan jadi hukum sebat Kartika. Hukum ada tetapi pelaksaaannya uk-ak-uk-ak.

Tulisan ini akan dianggap melampau. Tetapi soalnya kita telah membiarkan hal ini sedemikian lama, maka apakah kita tidak mahu sama-sama membetulkannya?

Aidilfitri sebenarnya sebagai hadiah kemenangan orang-orang Islam dalam perjuangan mengengkang hawa nafsu di bulan Ramadhan, maka Allah membalasnya dengan satu hari yang dinamakan ‘Idulfitri atau Hari Raya Fitrah. Hari itu Allah menghalalkan berbuka dan mengharamkan berpuasa Tapi mengapa ada golongan yang mengubah tuntutan aid ini dengan imej gila dan tidak ada kena mengena dengan aid.

Dulu kongsi raya. Ada pemimpin beria-ria kata bagus. Pembodek pun kata bagus. Pada tak betul. Yang tak betul ialah amalannya. Tapi kerana kejahilan, perkara itu jadi acara Aid Islam.

Kini program hiburan menjadi program hari raya. Hari raya semacam tidak sah kalau tidak ada program ini. Siapa yang mengajar? Petua mana yang diambil? Ke mana JAKIM, IKIM pula mana dakwahnya. YADIM apa kuasanya? Menteri Penerangan Islam, Kementerian Komunikasi, masakan boleh membiar begitu saja.



Kalau ada golongan yang bawa kepala lembu di katakan mencemar kesucian. Kartun Nabi Muhamad, menghina Islam. Soal penjualan arak di katakan tak jaga maruah Islam. Sebut Tuhan samseng melenting kata kurang ajar. Rasul melayu ditangkap. Tetapi apabila ada program mencemar kemuliaan raya, digalakkan pula.

Bukan mereka tidak tahu di antara adab-adab dan perkara-perkara yang sepatutnya dilakukan ketika menyambut kedatangan hari raya, tapi sayangkan mereka degil. Tak pula dimasukkan ke ISA kerana menghina agama.

Golongan yang disebutkan di atas sebenarnya tidak memahaimi apa yang mereka lakukan itu adakah maruah hari raya atau hiburan hari raya. Bagi mereka hari raya ialah:

1. Pendedahan pelakon A bertunang dengan B, seiring sejalan menghantar tunang balik kampung di perhentian keretapi. Itulah upacara hari raya.
2. Bagi mereka hadiah hariraya ialah pengumuman ia membintangi drama hariraya?
3. Bagi mereka tidak nama hari raya jika tidak dengan Mega Raya Aidilfitri?
4. Bagi mereka hari raya ialah dengan adanya program drama Apek, Raja Azura, Nabil atau Aziz Satar.
5. Bagi mereka, kemeriahan hari raya ialah dengan adanya Roda-roda hari raya?
6. Bagi mereka hari raya mesti ada program telatah dan jeritan dan lompat gedik Aznil Nawawi dengan rancangannyanya?
7. Bagi mereka hari raya mesti ada tayangan filem Duyung, di mana Maya Karin berkemban sisik?
8. Bagi mereka petua memeriahkan hari raya umat Islam ialah hidangan I `m Not Singgle. Tasbeh dan takbir raya ialah dengan pendedahan Pierre Andre dengan Maya Karin dipaksa kahwin dalam usia muda melalui filem untuk hari raya?
9. Bagi mereka persembahan sempena hariraya hanya dengan kemunculan Farid Kamil, Lisa Surihani, Intan Ladyana?
10. Kenapa mesti meletakkan acara sempena hariraya umat Islam dengan Impak Maksima, Nana Tanjung3 yang menggambarkan seorang bapa kena main dan dibuli oleh anak-anak?
11. Apakah dengan tidak ada acara Habibi Mawi Aidilfitri maka hariraya tidak wujud?
12. Filem-filem hancai dan tidak memberi apa-apa makna selain menjerat emosi anak-anak muda, seperti syarat wajib tayang menjelang Aidil Fitri. Maka apakah rancangan hariraya dengan Kelab Pop, Fantasia, Macam-macam Aznil, Evolusi KL Drift, Monsert Reunion Af7 itu benar-benar dituntut oleh adab-adab hari raya?
13. Apakah megahnya hari raya dengan konsert Datuk Siti Nurhaliza dan akan tambah nilaikah fadilat hari raya?
14. Pihak rikod dan perushaan CD juga berebut-rebut menjelang raya, kononnya mahu mengambil sempena hariraya. Apakah hari raya hari MTV Karaoke Raya? Hari Nostalgia lagu raya? Hari Kompilasi lagu lama baru? Itulah amalan hari raya?
15. Apakah keberkatan hari raya kesahnya Abby yang sudah jadi solo dan menduduki rumah baru? Megah apa untuk hari raya hanya kesah seorang artis dikapit anak-anak yang bapanya sudah bercerai?
16. Tak jadi hari rayakah jika tidak ada Santai Bersama Seloka Lebaran.
17. Tak berserikah hari raya jika tidak menayang pakaian cantik dari modelling yang menyatakan gembira sambul lebaran dengan teman lelaki?
18. Bermaknakah hari raya yang mulia lalu diberita tentang seorang mantan johan menyanyi yang menangis di hari raya?
19. Itukah hariraya dengan barisan modeling menyatakan inilah songket sempena hariraya?
20. Hari rayakah kalau hanya dengan artis-artis kacau dodol di pakarangan rumah, kemudian pakat-pakat menyanyi hari raya?

Betulkah program seperti ini untuk hari raya umat Islam? Siapa yang mengajar mereka? Siapa yang merancang program seperti ini?

Ternyata mereka: dari peringkat kementerian, pengawal selia media, pengarah rancangan, penerbit, edtitor, pengarah drama, yang melulus rancangan, yang menamakan slot itu sempena hari raya perlu menilai semula minda, pengetahuan yang sedia ada. Setidak-tidak-tidaknya tanya minda sendiri, apakah ini betul program hari raya yang dituntut oleh Islam?

Atau yang bertanggung jawab dalam soal ini perlu berhimpun dan jemputlah pula mana-mana badan, alim ulama, cendekiawan agar hari raya tidak dicaca merbakan dengan program yang tidak ada sangkut paut dengan kemuliaan dan tuntutan hariraya dari sudut agama. Kalau sekadar menari, menyanyi, hiasan lampu dan pelita, kawah dodol dan lawak bodoh, filem-filem yang tak sampai ke mana, bukan hari raya pun boleh dibuat. Tetapi mengapa hari mulia dengan adab-adabnya yang tersendiri, kita menempelnya menjadi program raya?

Ini belum disebut tentang konsert hari raya. Dari mana nama dan konsep ini datang? Tapi sayang umat Islam tetap tidak peka. Apabila ada sekumpulan membantah, dituduh bermacam-macam. Yang anihnya, pegawai yang meluluskan permit pun tumpang sekaki dengan erti kosert raya seperti itu.

Kita sudah banyak menyeleweng. Pihak JAKIM, IKIM, YADIM, YAPEIM dan institusi keagamaan, alim ulamak dalam kerajaan, Pusat Pengajian Islam, Kementerian Penerangan, Komunikasi, ketua-ketua jabatan, pengarah-pengarah penyiaran, ketua editor akhbar, majallah, TV dan lain-lain perlu mengambil satu sikap memelihara kemuliaan hari raya. Kita sudah lama tersasar.

Gedung Akal

Posted by Tukya Labels:

(Petikan dari artikel yang akan disiarkan dalam Utusan Pengguna keluaran November-Disember 2009)

1.

Saya rasa orang-orang seperti ini ( rujuk tulisan dalam blog ini Saturday, September 05, 2009) tidak akan menuntut sebuah banglo atau sebuah apartment atau rumah kos rendah. Malah mereka tidak pernah menyembah kepada Pejabat Zakat atau Jabatan Kebajikan Masyarakat. Hari ini mereka hidup, esok mereka makan apa yang boleh. Mereka tidak pernah bertanya esok hendak makan apa dan mereka tidak sedarpun ada pertanyaan ‘esok mahu makan siapa.’

Ketika cerita ini saya masukkan ke dalam blog, simpatinya dapat dirasai. Seorang entri memberi komen:

Bagaimana mulanya kemiskinan menimpa mereka dan berterusan pula? Sebab utamanya miskin akal dan budi.

Akal gagal mmemikirkan bagaimana mahu keluar dari miskin dan budi yang miskin gagal mertabatkan diri.

Ajarlah mereka keluar dari masalah kemiskinan. Itu yang tepat. Tugas siapa?

(1) Jiran
(2) JKM-JKK
(3) Baitulmal
(4) Pemimpin setempat.
(5) Kerajaan?



2.

Seorang entry (Anonymous 6:12 PM) yang mengaku belajar di Afrika mencadangkan, siapa yang sudi menjadi pengumpul (collection) terhadap keluarga miskin yang saya bentangkan di dalam blog ini.

Bagi saya, terpulanglah. Namun saya tidak terdaya kerana ini melibatkan amanah. Takut jika tidak tertunai. Oleh yang demikian, jika anda prihatin, berusahalah setelah mendapat maklumat.

Setakat hari ini (Khamis 10 Sep 2009, saya terima dari seorang hamba Allah RM300, yang tinggal di luar negara, iaitu di Jazirah Arab. Di kirimnya melalui akaun bank.

Selain itu, pada saya sudah terkumpul dari rakan-rakan hamper RM200, dua tiga kampit beras dan barang-barang keperluan dapur, sepasang dua saya beli pakaian untuk anak-anak berhari raya.

Esok, Jumaat pagi saya dengan rakan akan ke Gunung Sali, menemui keluarga tersebut untuk menyerahkan sumbangan.

Terima kasih kepada penyumbang.

Melihat dan cuba membantu keluarga miskin sebenarnya sudah kami lakukan ( melalui Persatuan Pengguna Pulau Pinang-CAP) tapi dasar CAP tidak memberi ikan untuk makan. Ia lebih bersifat membeli jala atau pukat.

Tiga tahun yang lalu kami kunjungi di utara dan pantai timur. (Silalah rujuk buku saya terbitan CAP: Mustadh`afin) kami kunjungi Terengganu, Kelantan, Perlis, Kedah. Kami buat laporan tentang keluara miskin ini di mana-mana yang kami kunjungi. Laporan itu kami hantar kepada kementerian berkenaan dan pihak bertanggung jawab.

Alhamdulillah salah satunya yang kami dapat maklum balas, keluarga miskin ( suami lumpuh sedang anak-anak pintar) di Kg Pengkalan Nyirih, Besut Terengganu telah mendapat bantuan RM400 sebulan dan sebuah rumah sederhana.

Tempat lain kami tidak dapat maklum balas.

Maka, akan hal keluarga di Gunung Sali ini, saya sangat sedar, sekadar bantuan kewangan dan makanan tidak akan mengubah hidup mereka. Ia bergantung kepada sikap dan kesedaran.

Melalui CAP, saya akan cuba berusaha memanjangkan hal ini kepada pihak kerajaan, agensi yang bertanggung jawab selain dari meminta masyarakat Malaysia turut prihatin.

Salam
-Azizi Hj Abdullah

Menunggu Kata Dari Tuhan Di Kontar

Posted by Tukya Labels:

Tak sangka-sangka bertemu Dato’ Hj Muhamad Yusoff bin Wazir, setelah berpesan agar saya menunggu untuk berjumpa. Terkejut amat, selaku Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Negeri Pulau Pinang, sangat baik orangnya.

Bukan apa, apabila YB Dato’ Zainor Rahim Abu Seman mempengerusi mesyuarat program menutup sambutan Kemerdekaan ke 52, dengan ketua-ketua jabatan untuk perayaan Hari Kemerdekaan ke 52, kami dari PAKSI yang akan turut mempersembahkan teater ‘Menunggu Kata Dari Tuhan’ nampaknya kerajaan negeri sangat prihatin, berbesar hati dan mengalu-ngalukan persembahan pertama kali ini.

Diketuai oleh Mohd Radzi Hashim yang bijak memujuk dan membentangkan dasar teater, bersama Anuar Asmadi Ketua Satu 2PNP dan Jaafar Ahmad, mesyuarat berjalan lancar dan sangat ringkas.


Dari kanan Mohd Radzi Hashim, Jaafar Ahmad dan Anuar Asmadi.


Sangat bangga kerana projek budaya yang sebegini sangat mudah difahami oleh pegawai tinggi kerajaan negeri, kerana pertama kali pun apabila kami menemui YAB Lim Guan Eng, Ketua Menteri PP tidak lama dulu, kemudahan dan kefahaman seperti inilah juga yang kami rasai.

Maka Abdul Rahim Abdullah Penolong Pegawai Tadbir pun sibuk meminta kami menyenaraikan apa yang perlu disediakan. Azzimi Saidin, Penolong Setiausaha juga begitu. Terima kasih kerana layanan anda sangat baik.

Menurut YB Dato’ Zainor Rahim, upacara yang ‘grand’ itu akan diminta semua ketua jabatan dan pegawai-pegawai di seluruh Komtar supaya hadir menyaksikan teater tersebut.

“Ini satu penghormatan bagi kita. Semua kena menyaksikan teater ini,” kata Dato’ Setiausaha.

Teater ‘Menunggu Kata Dari Tuhan’ akan dipentaskan di Dom Kontar pada 16hb September 2009 jam 8 pagi bersama upacara khas sambutan Kemerdekaan Malaysia ke 52, dengan pelakonnya Sabri Yunus dan Sani Sudin, karya Dinsman.

‘Menunggu Kata dari Tuhan’ adalah teater yang diangkat dari sebuah hadis Nabi, berkenaan bagaimana gelisah, taubat seorang sahabat Nabi, Kaab bin Malik, ketika dia berbohong dan melengah-lengah ke medan perang Tabuk.

Siapa Peduli Mereka?*

Posted by Tukya Labels:

‘Terima kasih bang....terima kasih bang...abang orang baik.’

Anda bayangkan jika mendengar kata-kata ini dari seorang perempuan 27 tahun, yang sedang mengandung, mengilik seorang anak perempuan, berganyut pula anak lelaki ketika saya dan dua kawan dari CAP memberi sekampit beras dan sedikit barangan dapur.


Bersama anak di muka pintu


Rumah tak ada elektrik, tak ada air. Rumah buruk seluas sepuluh kaki kali 15 kaki, di situlah tidur, di situlah makan, di situlah anjung, di situlah lepau, di situlah dapur dan di situlah ruang. Katanya, rumah itu dibeli RM5 ribu, hasil duit insuran kemalangan lima tahun yang lalu.

Bertangga kayu silang, depan tangga tempat melempar udang busuk, sampah sarap dan lunggukan lain-lain. Apa nak dikata kerana kawasan setinggan itu tidak punya tanah yang terluang untuk sampah.

Air bertakung di sana sini dan lorong hanya boleh dilalui motosikal.

Bayangkan jika malam menjelang, apa yang dibuat oleh sekeluarga dua anak suami isteri ini? Bayangkan air mandi dan basuh hanya diangkut setong dua oleh suami di tengah malam dari gerai Fama.

Bayangkan jika makan hanya ikan gelama kering, pucuk pegaga atau daun-daun yang meragas di tepi rumah. Bayangkan kalau diakui sendiri oleh isteri setia ini, kadang-kadang tak makan dua hari.

Saya tidak dapat mencari jawapan, di mana pula mereka membuang air besar, kalau di depan tangga sendiri orang lain melungguk sampah dan benda busuk sampaikan lalat dan ulat tak dapat digambarkan?


Depan tangga rumah Siti Ani Sepinar


Ya Tuhan, ini sebuah kehidupan lara yang pertama kali saya temui. Saya tak dapat bayangkan bagaimana mereka merindui kibaran bendera Malaysia di dalam TV ketika lagu Negaraku berkumandang, sedangkan sekampit Melo 500 gram pun mereka tidak mampu melihatnya. Jangankan sebotol perfume, mengelak bau busuk hanya sehari pun tidak mampu.

Siapakah yang melempar mereka ke telaga miskin ini?
Siapakah yang mahu peduli nasib mereka seperti ini?
Ani Sepira seorangkah dalam Malaysia ini?
Di mana kemanusiaan dan prihatin?
Pemerintah mana yang ambil peduli?

Ya Allah,
Katanya ada manusia berpedapatan RM 49 ribu sebulan
Masakan RM 49.00 tidak boleh dicampak ke sini?
Katanya mereka ini sangat berharga
Hanya ketika musim pilihanraya.

* Temuilah kemiskinan tegar di bandar ini: Kg Gunung Sali, Bandaraya Alur Setar.

Keliru

Posted by Tukya Labels:

Dunia sekarang banyak yang mengelirukan. Kita di Malaysia juga ada beberapa agensi yang membuat kita keliru. Di antaranya:

SPRM:


Datuk Ahmad Said Hamdan, Ketua Pesuruhjaya SPRM


Siasat yang kecik, yang besar tidak.
Cari yang tak ada, yang ada tak peduli.
Tangkap ikan bilis, jerung tak apa.
Siasat kerani, boss pergi…pergi…pergi!
Laporan polis sama banyak dengan pegawai polis.

PPSMI:
Kata nak hapus tapi tangguh
Kata 3 juta murid jadi mangsa, tapi siksa depa sampai 2017.
Berbahasalah dengan BM, bercakap pula BI.

PDRM:


Ketua Polis Negara


Kawal mengelak rusuhan tapi yang jadi merempuh.
Kawal perhimpunan aman, yang berlaku sembur water canon.
Sekat jalan, sesak semakin menjadi.

SPR:


Pengerusi SPR


Isu Adun Kota Seputih, SPR main dalih
SPR kata ‘ngak apa-apa’ walaupun ‘tuang’ 2 kali sidang.
SPR kata 2 kali berasingan.
‘Mengelirukan’ kata Tim. Speaker Dun Kelantan.

PAS:


Datuk Sri Azizan Razak, MB Kedah



Datuk Mahfuz Omar, kenyataannya semakin matang


Kata MB, kita tunggu keputusan SPR. Tapi bila dah buat keputusan…
“Umno dah kalah 8-0” kata Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz.
“Pas menolak keputusan SPR yang enggan menerima kekosongan Dun Kota Seputih,” kata Ketua Penerangan Ustaz Idris Ahmad.
“Jadi ertinya bila dah kosong, kena buatlah pilihanraya?”
Wauuu, ini kenyataan sudah balun MB.
Tenguk pula yang ini: MB beri jaminan tidak akan menggunakan Perkara 52 bagi menggantung Adun Kota Seputih
“Laaa…”
Menggunakan Perkara 52 bermakna mengundang lebih banyak kecelaruan
“Hiiissss….”
Berdasarkan pengalaman di Perak, hanya SPR yang boleh menentukan…
“Laaa, akur pula ‘Hijack politik Perak ’ kata Jelani, pemuda tukang pacak bendera pilihanraya 12 lalu.
Bagi saya, ada pun tak apa, tak ada pun tak apa.
Pulaaakkkk…



Komen:
Kita macam tak berkuasa.
Macam tak ada kuasa.
Macam tak ada taring.
Macam tak bertaring
Untung apa menyimpan mempelam tak berkualiti. Lama-lama busuk.

SELAMAT HARI RAYA. MAAF ZAHIR BATIN.