Siapa Mahu Ikut Salman Al Farisi?

Posted by Tukya Labels:



Ketika menyelak-nyelak buku sejarah untuk menulis sebuah buku tentang 10 mereka yang berani mati, terdapat kisah seorang sahabat Rasulullah yang sebelum ini saya tidak temui. Mungkin anda sudah membacanya tapi saya, inilah baru pertama kali menemui secebis kisah ini walaupun Salman Al Farisi seorang arkitek yang masyhur dalam peperangan Khandak.


1.
Ketika beliau bertuga sebagai Amir di kota Madain, ia telah menolak untuk menerima gaji walaupun satu dirham. Ia tetap membiayai hidupnya dan keluagranya dari hasil menganyam dan merajut daun-daun kurma yang dibuat bakul kemudian dijualnya. Pakaiannya tidak lebih sehelai baju luar.

Sekarang: dengar khabar ada pemimpin yang membuang sehelai baju setiap hari, kasut tumit tinggi sahaja hampir selori, membeli belah pakai van dan cerut sebatang RM250.


2.
Satu hari ketika sedang berjalan di sebatang jalan, dia didatangi seorang lalaki dari Syiria menanggung sebakul buah tin dan kurma dalam keadaan sukar dan lelah. Lelaki itu tidak mengenali Salman, lalu meminta Salman turut membawa bakul buah itu bersama ke tempat yang dituju.

Salman dengan rela hati melakukanya.

Dalam perjalanan itu, laki bersama Salman yang merengkuh membawa buah-buah itu bertembung dengan satu rombongan. Salman memberi salam. Rupanya rombongan itu mengenali Salman sebagai Amir.

Maka guguplah lelaki yang meminta Salman membawa buah-buahnya. Lalu lelaki itu pun meminta maaf dan meminta semula bakul-bakul yang dibawa oleh Salman.

Salman segera menjawab: “ Tidak, biar aku aku hantar sampai ke rumahmu.”

Sekarang: Era jangan bekerja untuk saya tapi bekerjalah bersama-sama saya, sudah berlalu dan 1Malaysia sedang digauli. Siapa sudi membawa ikon Salman Al-Farisi?


3.
Satu ketika Salman pernah ditanya orang, kenapa dia tidak menyukai jawatan Amir? Salmam menjawab: “ Kerana sangat manis ketika menjawatnya tetapi sukar hendak melepaskannya.”

Sekarang: Jawatan yang disandang sudah jadi macam pelepah pisang tua.


4.
Ketika hendak mendirikan sebuah rumah dari lebihan bangunan, Salman bertanya kepada tukang rumahnya: “ Bagaimana bentuk yang kamu hendak dirikan rumah ini?”

Tukang rumah itu sememangnya tahu Salman orang yang sederhana dan bukan dari orang yang suka bermewah-mewah, lalu dikatakan kepada Salman: “ Janganlah tuan bimbang, rumah yang akan saya lakukan ini, hanya untuk berteduh ketika panas dan berlindung ketika hujan. Jika tuan berdiri, kepala tuan akan menyentuhi langit bumbung dan jika tuan berbaring, kaki tuan akan terhantuk kepada dinding.”

Dengan selamba Salman berkata: “ Betul tu, begitulah yang saya mahu.”

Sekarang: Tertanya-tanya oleh sesiapa pun, berapa juta rumah mantan-mantan, berapa juta ladang kuda, berapa juta lagi di Prisent-prisent dan berapa juta lagi rumah anu-anu?


5.
Di saat firasatnya mengetahui bahawa ia akan dijemput Allah ke alam baqa, Salman tidak mempunyai apa-apa yang berharga, kecuali satu. Ketika menjelang nazak, Salman meminta isterinya mengambil sebungkus kasturi yang sangat dihargainya. Meminta isterinya mengambil secangkir air lalu dibancuhnya dengan tangannya. “Perciklah air ini di sekelilingku. Sekarang sudah hadir makhluk Allah (malaikat) yang tidak gemar makan tetapi gemar wangi-wangian.

Tutuplah pintu rumah dan keluarlah,” katanya kepada isterinya lagi.

Setelah beberapa ketika, isterinya pun masuk semula ke dalam rumah, alangkah pilunya apabila mendapati Salman sudah wafat.

Rupa-rupanya ketika isterinya di luar, rohnya sudah terbang melayah ke alam yang tinggi, terbang dengan sayap kerinduan, menemui janjinya.

Sekarang: Akan bertanya orang yang sedang nazak, saham aku macam mana, syarikat kita apa jadi? Dan akhirnya setelah meninggal, anak isteri bercakaran, samam menyaman kerana pembahagian harta tak memuaskan.

Demikian adanya.

Si Pikun Itulah..

Posted by Tukya Labels:


Gambar sekadar hiasan

-Azizi Hj Abdullah

(Cerpen ini hanyalah gelodak rasa. Tidak ada kena mengena dengan sesiapa pun, sama ada yang hidup atau yang mati)

“Si Pikun itulah! Si Pikun itulah…”

Aku tergamam. Kawanku berkata berulang kali kepadaku semalam, malam semalam, malam kelmarin, kelmarin dulu dan kelmarin, kelmarin dulunya lagi. “Si Pikun itulah…” demikian dia mengulangi kepadaku.

Aku sukar hendak percaya. Penekanan ‘Si Pikun itulah’ bagiku hanyalah tuduhan, andaian, tidak berasas dan sangka buruk. Aku berkata kepadanya, sangka buruk dilarang oleh agama.

Maka kawanku pun melenting mendadak, dengan keremot muka dan mencebik bibir, dia meludah sekali. Lalu diseranahnya aku; “Jika engkau mewakili seluruh bangsa Melayu, benarlah kata Si Pikun itu, bahawa Melayu mudah lupa. Tapi aku percaya, engkau bukan mewakili bangsa Melayu, malah engkaulah sebenarnya Melayu seperti Melayu mereka itu.

“Tidak, aku bukan Melayu! Aku bangsa Malaysia. Aku sudah disintuk limau dan Melayuku sudah ditalqin. Aku One Malaysia.” Aku membentak dengan kuat, sehingga tersembur air liur, sehingga dua mataku berbianglala dan terasa dua telinga capangku bergerak-gerak.

“Jika begitu, benarlah Si Pikun itu. Si Pikun itulah!” katanya dengan sinis dan kemudiannya dia berlalu.

Memang celaka dan haram jadah kawanku yang berstatus akademik ini. Dia ku anggap macam babi sondol pokok pisang; setelah kenyang terus berlalu begitu saja. Memang pun orang seperti ini jadah namanya. Dia melontar edia kemudian meninggalkan analisanya begitu-begitu. Tapi aku pun jadah juga dan adakah jadah aku ini lebih dari jadah Si Pikun yang dikata oleh kawanku tadi. Apakah aku jadah kerana tidak percaya tentang dakwaan kawanku bahawa Si Pikun itulah.

Jika dia membuat rumusan aku ini seorang Melayu di antara jutaan Melayu Malaysia yang haram jadah, apa alasannya?

‘Si Pikun itulah…’ demikian aku masih terdengar cemikannya di hadapan aku tadi.

Sah! Bukan aku yang jadah, bukan bangsa Melayu yang jadah, bukan bangsa One Malaysia yang jadah, tapi Si Pikun itulah yang jadah. Mungkin. Mungkin Si Pikun itulah.

Untuk mengenali Si Pikun itu bukanlah susah. Dalam dunia ini si pikun memang banyak tetapi di Malaysia si pikun hanyalah satu. Si Pikun itulah. Tidak syak lagi. Sahih! Soalnya mengapa Si Pikun itu, tidak si pikun yang lain? Hendakkan jawapan yang mudah, aku rasa kenalah rujuk kepada kawanku atas sifat sebagai seorang penganalisa politik dan bangsa. Disiplin akademik memerlukan pemerhatian secara berentetan dan berkesinambungan.

Si Pikun itulah… maka aku pun segera percaya lalu aku memutar kembali anggapan jadah. Memang bangsaku jadah apabila mereka tidak melihat secara rentetan dan berkesinambungan jadah Si Pikun itu.

Memang Si Pikun itulah yang jadah. Lalu aku cepat-cepat membuka Kamus Dewan mencari makna jadah agar aku tidak tersalah meletak hamun makiku. Jadah menurut Kamus Dewan Edisi Keempat muka 594 bererti kata makian bagi menunjuk kemarahan. Yeeaahh, sahlah sudah bahawa makianku ini tepat dan betul. Memang Si Pikun itulah jadah. Si Pikun itulah,Tidak syak lagi.

Bangsaku kini semakin bercelaru. Memang kerana Si Pikun itulah. Tapi bangku memang jadah kerana tidak mau melihat jadah Si Pikun itu. Bangsaku macam melepas rantai beruk dan dibiarkan beruk itu berlalu begitu sahaja.

Satu ketika dulu bangsaku hampir jadi gila sawan apabila bahasanya diterbalik keramatnya. Lalu apabila melihat anak bangsa menjadi korban, desakan kembali ke pangkal asal pun berlaku. Sampai demo berdemo. Tapi jadahnya bangsaku tidak peduli pada Si Pikun, sedangkan Si Pikunlah yang memulakannya.

Satu ketika dulu, mertabat dan kedaulatan raja-rajaku tergugat. Bangsaku memang jadah. Tidak pun dipeduli akibat dan tidak pernah melihat masa depan. Tiba-tiba apabila raja-rajaku menjadi tidak bertaring dan sebahagian imuniti dicabut, bangsaku sampai jadi macam ayam kena hawar. Tiba-tiba berlaku sesuatu, Sampai raja-rajaku dipermain. Jadahnya bangsaku tidak pernah mencari punca dari apa yang dilakukan oleh Si Pikun itu. Mereka asyik menyalah engkau dan mereka.

Satu ketika dulu berlaku agamaku dihina. Segala peruntukan ditarik macam agama aku ini kerbau keweh yang hanya layak berkeliaran di hutan. Sekarang timbul isu-isu agama. Jadahnya bangsaku, asyik berpusing sasau menuduh engkau mereka pada hal Si Pikun itulah yang mula melakukannya.

Kini hebuh tentang royalti dan ehsan. Jadahnya tidak seorang pun yang mencungkil dari mana sebab musabab. Yang berlaku asyik polimik, asyik kata boleh dan tidak boleh. Padal hal Si Pikun itulah yang mula mencipta istilah jadah itu.

Kenapa tidak mau berkata kerana engkaulah wahai Si Pikun. Engkaulah yang memulakannya. Maka sebagai balasan Si Pikun itu mestilah bertanggung jawab. Setidak-tidaknya tangkap Si Pikun itu, berkas di pokok belimbing buluh, biarkan kerengga gigit telur dan kemaluannya. Biar dia rasa pedih dan sakit walaupun tidak sama pedih dan sakit seluruh bangsanya.

“Heee, aku mau jumpa kau, sekejap pun jadi. Mustahak!” pintaku melalui HP.

Kawanku yang megah dengan akademik dan analisanya ketawa terbahak-bahak. Tentu anak lidahnya terkodek-kodek. Sehabis ketawa dia pun bertanya, bila, di mana. Tapi malam ini tidak boleh, katanya kerana ada forum tentang minyak yang masih bangsa Malaysia bengung dan bahlol mencari sebabnya. Lalu dia bercadang malam lusa. Tapi sebelum itu kawanku ini meminta aku cuba mencari pengenalan diri dulu, apakah aku sudah kenal pasti Si Pikun itu.

Memang aku yakin Si Pikun itulah. Tidak ada yang lain lagi dalam negaraku ini. Dan Si Pikun inilah juga yang dianggap wira maha jagat, negarawatiwali, pelingkuparawan dan bla-bla lagi. Maka aku sangat mudah temuinya. Dia kini berlinglong-linglong mencari kemegahan melalui kritik dan hentam, menyalah salah orang lain, merasmi sidang-sidang yang penuh dengan perwakilan yang suka kentut. Dia amat senang dikenali kini kerana dia sudah kurus, berseluar dengan tali pinggang dijerot sampai habis lubang. Dia amat mudah dikenali kerana kini bola matanya terbeliak macam mata pokka.

“Jadahnya kita, kerana kita tidak pernah kerobek kerosek, berbalik kepada punca dan keputusannya,” kata kawanku di hadapan segelas jus limau di Restoran Salamon. “ lalu kita berkelahi tak habis-habis seolah-olah soal royalti, wang ehsan, PPSMI, kedaulatan, agama, rasuah, tidak telus, politik wang itu terjadi dengan sendiri. Jadahnya kita kerana menyalah mereka yang melanjut apa yang Si Pikun lakukan dulu. Adilkah?” sambung lagi kawanku yang entah kenapa dia memakai tengkolok tapi berkot dan bertali leher, menyisip keris di bengkong sampinnya, berkain pelekat dan berkasut ala cowboy.

“Jangan hairan, aku sudah hilang Melayu,” katanya berseloroh.

Aku tidak peduli itu. Yang aku mahu alasan yang dilakukan oleh Si Pikun itulah.

“Pertama di antara seribu sebab,” kata kawanku,” Siapa yang melantik peguam bagi membenar kesalahan dari orang yang tak bersalah? Siapa yang membenar pemalsuan bukti setiap perbicaraan? Siapa yang mengkartunkan alasan lebam mata si pulan sehingga sistem kehakiman bercelaru? Siapa yang mengarah sepi senyapkan kes-kes berprofail tinggi? Siapa yang mendaulatkan bahasa lain sedangkan dia sendiri bukan dari bangsa bahasa itu? Siapa yang menyumbat puluhan ke dalam Kem Kemunting? Dan sekarang soal royalti, soal wang ehsan, siapa yang memulakan dan siapa yang menamakan istilah itu?”

“Si Pikun itukah?” aku bertanya.


“Si Pikun itulah!”

Memang benar bangsaku jadah. Dan lebih jadah lagi semua sokong apa yang diucap oleh Si Pikun, seolah-olah dia tidak pernah lakukan masa lalu. Aku sungguh harian, kenapa Pas mahupun PKR, DAP asyik menyalahkan pemerintah Umno atau BN setahun dua yang lalu apabila sesuatu projek dan berlaku ketirisan, sedangkan orang yang memulakan puncanya tidak dicungkil kerobek?

Dari mana mereka belajar mencari kesalahan sedangkan orang yang buat salah itu tidak disebut?

Memang jadah! Memang pun jadah! Si Pikun itulah yang menyebabkan jadah bangsaku.

“Dah kenal siapa si pikun itu?” tiba-tiba kawanku bertanya sinis.


“Berdasarkan ucapan Tengku Razaligh, bukan Si Pikun itu,” kataku.

“Ku Li juga penakut. Tak berani. Dia asyik mendedahkan fakta,undang-undang,perjanjian. Pada hal Si Pikun itulah yang memula melanggar undang-undang, melanggar perjanjian!” kata kawanku yang baru kini aku akui sebagai penganalisa terbaik.

Memang aku sedar dan seluruh bangsaku sedar, memang Si Pikunlah yang memula mengguna istilah ehsan. Tapi bangsaku ketika itu pengecut, jadah dan percaya kepada system undang-undang pada hal Si Pikun sudah lama menghancurkan system undang-undang.

Malam itu tidak ada keputusan tapi aku berpuas hati kerana aku diberitahu siapakah Si Pikun jadah yang menyebabkan bangsaku menjadi celaru. Kawanku pulang meninggalkan sinis yang melampau. Barangkali dia menganggap aku dan bangsaku sungguh jadah menghadapi isu-isu yang berentetan ini. Seluruh bangsaku kini tidak tahu undang-undang yang mana boleh pakai dan undang-undang yang mana mengarut. Kadang-kadang undang-undang seperti budak-budak main ceki dan acilut. Selalu cup-cup kemudian batal. PSRM yang dianggap mewakili ketelusan mengkeramatkan undang-undang sering main keremot muka dan memuncung mulut kemudian mengenyit mata.

Tiba-tiba HPku berbunyi.

“Hallo,” katanya.


Aku hanya mendengar

“Kau dengar ke?”

Memang aku dengar.

“Si Pikun itulah. Jadahnya bangsa kita tetap tidak peduli kepada Si Pikun itu.”

“Habis, apa yang boleh kita lakukan?”

“Dakwa saja Si Pikun itu.”


“Siapa yang mahu memulakannya?”


“Si Pikun itulah,” katanya dengan keras dan kemudian HPnya putus.

“Jadah!” itu yang dapat aku melepas marah.

------------------------------------------------------------------
-Tulis pada 3 Feb 2010 9-43 malam.
-Selesai 4 Februari 2010 9.34 mlm. Siaran Harakah 12 Feb 2010

Catatan

Posted by Tukya Labels:


Ustaz Sidek Nor




1. TENTANG HARAM JADAH

Saya mengikuti kuliah/ceramah Ustaz Sidek Noor (Haji) di Masjid Junjung, Kulim pada Selasa malam (9hb Feb 2010). Sangat menarik dan sangat berkesan. Beliau bercakap tentang metedologi taubat dari perspekrif Al-Ghazali. Sesekali diselit cerita yang penuh iktibar.

Rupanya ‘haram jadda’ yang ditakuti oleh mereka yang bersopan dan berakhlak, bukanlah kata-kata biadap atau kurang ajar. Ia adalah kata-kata sopan setelah sehabis bicara mahu menamakan sesuatu keadaan yang paling buruk. Orang Melayu sebut ‘haram jadah.’

“Haram jadah’ ialah haram ‘Jadda’. Jadda dari perkataan Arab bererti sungguh. Jadi, haram jadah bererti haram sungguh-sungguh. Lalu diberi cerita untuk mudah faham. ( Ustaz Sidek Noor ini, kalau orang tak ketawa mendengar kuliahnya bererti ajalnya sudah hampir. Kalau tidak terkedu, bererti iman seseorang itu sudah majal. Kalau tak tergenang air mata, bererti orang itu hati kering.)

Bapa aku ada kebun lima ekar. Tapi kebun itu di Bagan Datok, bapa aku tinggal di Tanjung Dawai. Mana termampu nak urus kebun itu. Maka selalulah bertaburan buah kelapa gugur dan di ambil orang. Bapa aku merelakannya sebagai sedekah.

Satu hari datang seorang syaikh berbincang dengan bapa aku. Katanya dia sanggup menjaga dan mengusahakan tanah lima ekar di Bagan Datok dan hasilnya nanti bolehlah kita bincangkan pula.

Bapa aku fikir, dari biarkan menjadi semak, lebih baiklah syaikh itu usaha. Lalu di katakan setuju. Maka penjanjian pun di buatlah. Kebun seluas lima ekar akan dijaga dan ditebas. Di tanam juga pokok kelapa baru. Maka hasilnya, jika seratus biji kelapa, bapa aku patut mendapat lima biji. Bapa aku terkejut tapi akhirnya mengalah juga.

Tiba musim mengait kelapa setelah beberapa tahun terbiar dan lupa perjanjian, datanglah syaikh itu kepada bapa aku. Pendapatan buah kelapa sebanyak 2,000 biji maka bapa aku berhak mendapat 400 biji. Tapi syaikh itu kata, ambillah 400 biji ini sebagai sedekah atau 400 biji ini sebagai ehsan saya.

Bapa aku terbeliak biji mata. Inilah yang dikata ‘haram jadah!’ katanya.
Saya tergelak sampai terasa hendak terkencing.

Ikut Sana



2. TENTANG PEMIMPIN


Buka surah Saba’. Cari ayat 31,32,33, kata Ustaz Sidek Noor lagi. Tasfir yang amat mudah, tanpa perlu merujuk mana-mana mufasirin lagi perihal sifat dan sikap pemimpin yang zalim dan rakyat juga yang dikatakan zalim.


Akan berlakulah penyesalan pemimpin yang zalim itu dan akan berlaku bagaimana pengikut menyalahkan pemimpin kerana membawa mereka kepada melakukan kezaliman, tapi akan dijawab oleh pemimpin itu: aku tidak suruh pun kamu melakukan seperti itu. Kamu yang melakukannya.


Tapi malang, menurut Ustaz Sidek Noor lagi, pengikut selalunya macam masyarakat itik (bukan sistem matematik, seperti yang ditulis sebelum ini). Katanya, cuba tengok itik. Bagi-pagi keluar dari reban, berduyun-duyun, sebaris lurus ikut kepalanya. Papp,papp,pappp kata kepala, yang lain pun ikut pappp,ppappp, papppp.


Ke mana yang di tuju? Tak lain tak bukan ke bawah dapur rumah, sodok dan sudu acar (air dan lumpur kotor, hasil dari basuhan di dapur dan di curah ke situ. Rumah sekarang sudah tidak ada= sama dengan air limbahan) Malangnya yang mengikut juga pakat-pakat sodok air acar itu.

Kemudian kepalanya terkedek-kedek pula ke tepi parit. Sodok lagi cari cacing-cacing dan ulat. Yang lain juga tak berdeuh-de eh, terus juga sodok.

Pengikut bagi pemimpin sekarang ini pun macam itulah. Asyik ikut tak tentu hala.
Saya tergelak sungguh tapi berkesan.

3. TENTANG ANAK DERHAKA


Anak-anak sekarang sangat mudah terjebak kepada jadi anak derhaka, yang bererti anak tidak ingat lagi kepada ibubapa.

Prof K tinggal di banglo mewah Bukit Antarabangsa. Dia anak yang baik. Tidak pernah derhaka. Tapi kerana sedikit sebuk, Prof K terlupa telefon ibunya

.
Satu malam ibunya telefon. Ibunya hanya bertanya, adakah dia sihat, adakah isteri sihat, adakah cucu-cucunya sihat. Jawab Prof K, semunya dalam keadaan baik.


Si ibu menyatakan, bukan apa yang dia telefon cuba takut anak cucu sakit demam kerana LAMA TAK TELEFON.

Kerana lama tak telefon bererti anak sudah ada jarak waktu melupakan ibu sedangkan ibu tidak pernah lupakan anak.

Melupakan ibu, walaupun dalam jarak yang singkat, bukankah itu derhaka namanya?

Ya Tuhan....sesungguhnya sangat ramai anak yang derhaka ibubapa.

HIIKK,HIIKK,HIIKK. KAH,KAH-KAH,KAH.

Posted by Tukya Labels:




Pesta ini dikatakan berlaku di Pulau Tikus. Tak buang air besar seminggu


Saiful: Dua hari tak buang air besar
Feb 5, 10 12:17pm
Mohd Saiful Bukhari Azlan memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa dia tidak membuang air besar selama dua hari selepas didakwa diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Petikan di atas dipetik dari Malaysiakini pada tarikh dan masa yang tercatat.
Tidaklah ada hasrat nak ganggu perjalanan mahkamah dan tidaklah nak letak hukum sendiri, siapa yang salah dan siapa yang betul. Nak kata siapa salah dan siapa betul bukan kerja kita. Ia kerja mahkamah.

Tapi apabila selesai membaca berita di atas, cucu pun tanya; “Tokwan, apa ke benda sampai tak buang air besar tiga hari?

Tokwan pun tergelak; hiikkk,hiikkk,hiiik.
Cucu tanya, kenapa Tokwan tergelak sampai terhindik-hindik. Tokwan pun beritahu, tak ada apa-apa. Budak-budak bukan masanya nak tahu. Tapi di balik pintu, Tokwan pun berbisik kepada Atuk perempuan, hisss, sampai macam tu bahadi si Anuar. Hiikkk,hiikkk,hiiik.

Atuk perempuan pun tergelak pula; Kahhh,kahhh,kahhh. Hua..hua...huaaa. Ini macam lebih dari cerita Tok Mat Bukit Selambau menikah 99 orang di tahun 60an dulu.

Tokwan berbisik pada Atuk, setahu aku kalau orang kena macam tu,berak lagi senang. Hiikkk,hhikkkk,hiikkk. Ini tidak, ekzoz tersumbat apa sampai tiga hari tersekat saluran. Kahhh,kahhh,kahhh.

Sekali lagi kita tidak ada niat nak campur urusan pendakwaan yang berjalan di mahkamah. Tapi dari segi moral mereka yang terlibat, apakah begini caranya walaupun mahkamah itu tempat mencari keadilan.

Moral kita di mana? Ternyata moral mampu diketepikan kerana sesuatu dan sesuatu itulah yang mencerminkan adil atau tidak lalu terkeluar cerita sampai Atuk perempuan berbisik kepada Tokwan; besar mana haaa?

Kahhhh, kahhh, kahhhh. Kikkkk,kikkk,kikkkk. Sumpah, saya tak masuk sebelah mana tapi nak tergelak saja baca berita ini. Pelik dan sampai hati. Hisss,hiisss,hiiisss

Cerita Yang Diubah Suai Dari Cerita Lain:

Posted by Tukya Labels:



Cerita Yang Diubah Suai Dari Cerita Lain:
Kisah 2Z.

Entah macam mana, mereka bertemu di satu lapangan terbang ketika hati dalam keadaan merajuk, panas baran di sebabkan haba dan cuaca politik kawasan tak begitu selesa.

Si Z 1 membawa begitu banyak buah genuak. Manakala si Z 2 membawa ratusan bungkus laksa dengan kuah-kuahnya sekali. Di atas kesepakatan yang padu, mereka menyewa helikopter yang injinnya telah diganti dengan injin Kobuta disebabkan injin asalnya dicuri entah siapa.

Mereka menyewa pilot untuk membawa mereka round pusing keliling kawasan yang mereka menangi. Mereka mahu ziarah dan tabur sumbangan kepada pengundi kawasan masing-masing kerana jikalau hendak datang dengan kereta, masuk segala jalan dan lorong, takut ada yang naik kelabu mata, hentam mereka tak pasal-pasal. Dua tiga hari yang lalu mereka sudah keluar kenyataan yang busuknya lebih dari tahi kerbau keweh tengah londang.

“Aku bawa buah genuak,” kata Si Z 1.
“I bawa laksa Penang, best,” kata Si Z 2.

Maka mereka pun arah pilot bawa ke kawasan Z 1 dulu. Dilemparlah buah genuak satu demi satu. Berkukkiklah mereka ketawa kerana sumbangan mereka tidak ternilai.

Akhirnya habislah buah genuak. Si Z 1 tak nampak pula segala rakyat dan pengundinya pakat-pakat terkam ambil buah genuak itu. Maklumlah buah genuak berlambak-lambak di sekitar Gunung Bungsu, Gunung Inas, Bukit Bertam, Sedim dan Bandar Baharu.

“Bawa aku ke Bayan Baru pula!” arah Si Z 2 kepada pilot.

Maka pilot yang buta arah mata angin dan kompas pun melilau ke sana sini cari arah. Mujur ada petanda Komtar dengan Jambatan Pulau Pinang.

Sampai di kawasan Bayan Baru maka Si Z 2 pun campaklah sebungkus demi sebungkus laksa Penang. Tapi jadahnya ramai yang tidak berapa peduli. Mereka asyik bergencok boria.

Selesai bungkusan laksa Penang ditauk ke bawah, maka mereka pun berAlhamdulillah, bersyukur kerana pengorbanan mereka yang paling besar, akan diketahui juga nanti oleh rakyat yang memilih mereka.
“Aku pasti puluhan ribu pengundi kawasan aku tentu gembira bila dapat tahu aku mencampak buah genuak kepada mereka,” kata Si Z 1 dengan ketawa berdekah-dekah, dengan hidung kembang kempis.

“You…bukan saja you, tapi I juga merasa bangga dan puluhan pengundi I juga tentu seronok bila dapat tahu I campak bungkusan laksa Penang ni,” kata pula Si Z 2 sambil menjengok-jengok ke bawah.

Si pilot yang buta mata angin dan kompas terdengar perbualan mereka. Kebetulan dia penyokong PR. Dengan batuk sekali lalu dilayahnya helikopter ke laut, dia menjerit:

“ Hayooo, kalau dua-dua tuan-tuan ini saya campak ke laut, bukan saja pengundi dua kawasan tuan-tuan merasa seronok, tapi seluruh PR satu Malaysia akan buat kenduri pulut kuning! Mereka lagi seronok!”

Maka kecutlah perut, sayulah rasa kedua-dua mereka. Rupanya ada yang lebih benci kepada mereka.