Catatan Di Pesta Buku Antarabangsa 2010

Posted by Tukya Labels:

ITNM DAN PESTA BUKU 2010



1. Bersama peminat dan pembeli di sudut bual bicara 2 novel gerai ITNM di Pesta Buku Antarabangsa 2010 PWTC pada 21 Mac 2010


I.
Kelamkabut Encik Mohd. Khir Ngadiron, orang kuat ITNM ( Insititut Terjemahan Negara) apabila mendapat tahu, tiket kapal terbang yang ditempah untuk saya, tak ada nama dalam senarai penumpang ketika saya check- in di Bayan Lepas.

Mungkin sangkanya saya nak komplen atau marah-marah. Saya ketawa berdekah-dekah. Tak apa, kesilapan yang tak disengaja, kata saya. Tapi itulah kelemahan kami, katanya merendah diri. Jangan marah pegawai tuan, nak buat macam mana. Ini bukan perkara besar. Saya boleh kendali sendiri asalkan program berjalan, kata saya lagi.

Mohd Khir Ngadiron saya tahu, selaku bos di ITNM, dia sangat mengambil berat dengan tetamu mereka. Saya sendiri naik rimas kalau saya menjadi tetamu, seperti hari 20hb Mac 2010 yang lalu kerana menjadi tamu ITNM dalam sesi penulis buku dengan pembaca. Dikerahnya pegawai-pegawai menjaga tetamu sehingga saya sendiri mati langkah.

ITNM bagi saya sangat mendahului wawasannya dalam penerbitan dan aktiviti penterjemahan. Saya baru terasa tiga empat tahun ini, walaupun ITNM sudah bertahun-tahun lamanya. Itupun setelah inisiatif Mohd. Khir Ngadiron menjemput semua penulis/sasterawan memberi persetujuan untuk buku-buku mereka nak diterjemah.

Barangkali bukan melampau dakwaan saya ini, atas inisiatifnyalah sastera Melayu, seperti Hang Tuah sudah ada di Frankfurt Jerman.

Saya melihat strateginya mengena walaupun Pesta Buku Antarabangsa 2010 ini bukan layak dibuat bandingan. Tapi saya melihat di antara gerai yang agak menonjol, pandai memancing pelanggan/pembaca di antaranya ialah di ITNM. Di sediakan ‘Sofa Putih’ untuk perbincangan. Hari temujanji saya, pihak ITNM menjemput Google berbicara tentang peranan buku-buku ke alam maya.


2. Fatini Yaakob, penulis buku Natrah, Sayed Munawar Pengelola program TV 1 yang menjadi moderator di ITNM dan pegawai ITNM

II.

Berbual dengan Puan Fatini Yaakob, penulis buku Natrah ketika minum sangat menarik. Bagi Fatini, beliau menulis Natrah bukan kerana Natrah atau menghidupkan cerita Natrah yang sudah lama dalam sejarah. Tetapi, menurut Fatini, dengan munculnya buku Natrah, saya mahu orang sedar apa yang patut kita lakukan demi agama kita (Islam), di mana maruah dan masa depannya bagaimana? Di sebalik peristiwa itu, agama Islam macam mana?

Saya kagum kerana perempuan yang bernama Fatini ini melampaui kesanggupannya membuat kajian, seperti yang pernah beliau membuat liputan di Palestin dulu. Ini wartawan yang hebat. Sayang ketika Sayed Munawir mewawancaranya, saya tak kesempatan.

Sangat bangga kalau seorang Pustakawan di Shah Alam yang bernama Juliana, dapat kongsi bersama Fatini.



3.Mereka juga kaki buku di satu majlis Ceramah di Institut Perguruan Sultan Abdul Halim Di Sg. Patani pada 9 Mac 2010

III.

Sangat hebat Pesta Buku Antarabangsa 2010 kali ini. Sesak dan padat. Yang seronoknya, setiap kaki buku yang bertembung dengan saya memberitahu, dia sudah beli ‘Beruk’ novel saya yang belum dilancarkan lagi. Seorang lelaki dari Klang, mencari saya dan keesokannya baru temui, semata-mata hendak minta tanda tangan di buku Beruk.

Tapi apapun, buku-buku kita masih diperingkat ‘mahal’ lebih-lebih lagi buku Indonesia. Sebuah buku tebalnya 300 halaman, berharga RM176 dan kita masih tidak berupaya menghapus gaya dan pangdangan tentang buku; indah kulitnya lebih dari isi. Buku cinta dan asmara lebih mendapat tempat. Hiburan tetap menjadi acaran penting.



4.Sempat juga beli satu dua buku. Teringin nak hadiah kepada Aby Qalam untuk kongsi bersama

IV

Terima kasih kepada semua pegawai ITNM. Nampaknya Mohd Khir Ngadiron pandai mengambil hati ‘kakitangannya’ sehinga mereka tidak merasa letih. Satu perkara yang sudah lama saya melihat kakitangan ITNM ini dari semua peringkat, mereka bekerja dengan ‘tanggung jawab’, ‘sayang’ kepada kerjaya mereka, menyintai bidang kesusasteraan, bahasa dan mereka tahu apa yang mereka lakukan.

Bertemu seorang bloger yang saya sering ikuti blognya, NOBISHA, SN Pak Samad. Terima kasih kepada Shida, Eksikutif Komunikasi, Sakri Abdullah yang tak habis-habis bercerita tentang penerbitan buku, Nini, Anuar, Khalil dan kepada Pegawai Sumber Manusia ITNM yang telah menghidupkan suasana sesi soal jawab.semua.


V

Padan muka, datang tiket tak ada. Balik ‘delay’ sampai tiga jam. Kah! Kah! Kah!!

Dua Buku Azizi Dalam Bahasa Inggeris.

Posted by Tukya Labels:

Kulit buku Bibit Cinta dalam bahasa Inggeris


Kulit novel Seorang Tua di Kaki Gunung dalam bahasa Inggeris



Atas inisiatif Institut Terjemahan Negara (ITNM) dua buku Azizi Hj Abdullah baru saja siap diterjemah. Buku yang diterjemah itu ialah Seorang Tua di Kaki Gunung dan Bibit Cinta, manakala Sangeetha sudah pun diterjemah tahun lalu.

Buku ini akan menemui anda di Pesta Buku Antarabangsa 2010 di PWTC pada 19hb Mac hingga 28hb Mac 2010.

Azizi juga akan berada di gerai ITNM untuk menanda tangangi bersama pengarang lain di mana buku mereka diterjemah.

Seorang Tua di Kaki Gunung sebenarnya sudah diterjemah ke bahasa Jepun oleh Yayasan Dokaido. Novel ini adalah di antara novel yang terkuat dan berjaya di antara novel-novel Azizi di mana menceritakan Tukya yang menghadapi cabaran anak cucunya yang sudah bertukar budaya. Tukya akhirnya mati ditimpa pokok Cengal.

Bibit Cinta adalah himpunan cerpen Azizi sekitar tahun 60an-hingga 90an yang membawa pelbagai tema.

-catatan; Pian, Pengelola Blog

BERUK : Satu Lagi Buku Terbaru Azizi

Posted by Tukya Labels:

Kulit Novel BERUK, Karya terbaru Azizi Hj Abdullah

Satu lagi buku terbaru Azizi Hj Abdullah, diterbitkan oleh Penerbitan Al-Ameen Holdings Sdn.Bhd. Pelancaran akan diadakan pada 27hb Mac 2010 jam 6 petang di Dewan Utama Pesta Buku, di PWTC.

Selain buku Azizi, novel Faisal Tehrani juga akan turut dilancarkan.

Novel BERUK berasal dari cerpen Beruk yang ditulis dalam tahun 60an dan pernah menjadi teks sastera dalam antologi Hadiah terbitan Dewan Bahasa.

Azizi telah mengembangkannya menjadi sebuah novel yang sangat menyentuh perasaan. Alias seorang murid yang miskin, tinggal di daerah pendalaman, hanya bersama Beruk peliharaannya menjadi sumber mencari rezeki setiap hari. Beruknyalah yang memanjat kelapa tetapi memiliki kasih sayang yang sangat kental terhadap tuannya.

Alias menyayangi Beruknya, tapi harus pula membela gurunya. Dikorbankan kasih sayangnya demi melindungi gurunya.

Terharu jika membacanya.

Azizi juga akan menyampaikan pengalaman menulisnya dalam sessi ‘ Lorekkan Penamu’ di Universiti Utara Malaysia pada 12 Mac ini.

Bersama tokoh, Azizi juga akan berada di Sekolah Menengah Temenggung, Kati Kuala Kangsar pada 26 Mac 2010.

Yang berminat, dipersilakan.

- Pian: Pengelola Blog