ZIKIR RINDU

Posted by Tukya Labels:

ZIKIR RINDU
KINI DI PASARAN! RM 10.00- 208 HALAMAN



Novel ini adalah dalam kategori : PENAJIWA
Terbitan Alaf21



“SUDAH puluhan novel saya hasilkan, tetapi hati ini masih terasa kekurangan. Masih lagi tidak terasa nikmat bercinta, rindu dan kasih sayang. Jiwa tetap terlohong. Tiba-tiba, dengan ZIKIR RINDU ini, saya mula merasainya. Adakah perasaan ini bagaikan ilusi? Tidak! Bagaikan halimunan malam? Juga tidak! Tetapi ia adalah satu realiti hidup... agar anda dengan penuh rasa tanggungjawab bisa memahami gelodak rasa seorang tua dalam mencari erti kasih abadi...”

AZIZI ABDULLAH, penerima anugerah SEA Write Award dan penerima anugerah MASTERA 2007 ini mengajak anda berkongsi rasa, bertingkah kata dalam karya terbarunya ini. Novel ini memaparkan runtunan perasaan seorang tua, yang tiba-tiba diminati oleh seorang perempuan muda. Inilah yang anehnya dan aneh inilah yang dirasai oleh `aku’. Hal ini ditokok pula dengan gambaran bagaimana tekanan seorang isteri jika keseorangan menghadapi suami yang terlantar sakit.

ZIKIR RINDU... menjelajah erti sebuah kehidupan dan memahami betapa luasnya erti sebuah kasih. Cinta adalah fleksibel, tetapi kasih sayang adalah kesetiaan dan abadi. Ia adalah hak semua. Hayatilah `aku’ dengan penuh khusyuk agar anda dapat memahami mesej tersirat di sebalik kisah tersurat.- Penerbit Alaf21.

Pesan kepada penulis termasuk harga pos RM12.00 atas nama AZIZI BIN ABDULLAH, 424 Taman Bersatu, 09000 Kulim Kedah sesudah kiriman wang diterima.

DISKUSI HALA TUJU KEBUDAYAAN KEDAH

Posted by Tukya Labels:

Bertempat di D` Chalet Yan, Kedah (Rekriasi Titi Hayun), pada 26 Februari 2009 berlangsung Diskusi Minda Bengkel Hala Tuju kebudayaan Negeri Kedah.

Saya ditugaskan menyampai kertas kerja tentang hala tuju ini. Tempat sangat menarik. Seumur hidup saya, walaupun anak Negeri Kedah, tak terjejak kaki di situ. Chalet sangat murah, hanya RM60 semalam.


Dr. Hamdan dan Pegawai Daerah Yan


Membentang kertas kerja hampir sejam atas usahasama Majlis Kebudayaan Negeri Kedah di mana Exconya Dr. Hamdan Mohd Khalib sebagai Exco Belia dan Sukan, Kesenian, Warisan dan Kebudayaan Negeri Kedah, Jabatan Kebudayaan, Jabatan Mufti, Hal Ehwal Agama, Kolej Universiti Insaniah, Pusat Islam Universiti Utara, Pegawai Daerah Yan, dan didaya usaha kuat oleh Dr. Zahidi selaku Pengarah Perbadanan Perpustakaan Negeri Kedah, diskusi berjalan dengan baik.

Saya sangat berterima kasih di atas kehadiran dan percambahan minda oleh Prof Abdullah Hasan dari UPSI dan Isteri beliau Puan Ainon Mohamad dari PTS dan orang kuat PAKSI.


Puan Ainon dan Prof. Abdullah Hasan turut serta


Saya yang membentang kertas kerja itu tidak bertujuan mencari satu bentuk kebudayaan baru untuk negeri Kedah. Bagi saya dasar dan bentuk kebudayaan yang sedia ada sudah memadai tetapi haruslah ia ditokok tambah, di awasi dan di pantau dari masa ke semasa. Saya tidak bermaksud akan wujud satu bentuk baru tetapi cukup sekiranya Kedah dapat mencipta satu imej budayanya yang selaras dengan Islam dan nilai murni, seperti yang disebut oleh wakil dari UUM. Hanya sanya saya sering melontar pertanyaan: SIAPAKAH YANG MAHU? Atau seperti kata Ali Syariati, SIAPA YANG MAHU MEMULAKANNYA? Kerana ia sebenarnya sudah ada tetapi diselaputi oleh mereka yang tidak gemar apabila disebut Islam.

Maka Alhamdulillah kertas kerja itu diterima sebagai landas mula membentuk satu jawatan kuasa kerja bagi mengenal pasti apakah bentuk kebudayaan kini dan dapat mengnal pasti pula program atau acara tahunan yang dibiayai secara rasmi oleh kerajaan. Cadangan yang baik ini dilontarkan oleh Puan Ainon Mohamad dari PTS.

Lainnya beliau berharap satu garis panduan budaya, menghasilkan buku induk agar dapat diikuti oleh pihak Kerajaan Tempatan dan Daerah.

Manakala Prof Dr. Mohd Isa Othman menyarankan supaya forum dan bebngkel kebudayaan ini diadakan selalu dan tubuhkan badan pelaksana yang ada kuasa eksikutif.

Apapun diskusi pada hari tersebut ternyata menjadi titik tolak bagaimana kebudayaan Kedah tidak akan terbiar, dibiar hanyut begitu saja. Sudah ada tanda-tanda bagaimana ia dikawal dan dibaiki supaya menjadi nilai-nilai murni. Contohnya apabila pihak TV9 membuat ‘Suarasa’ baru-baru ini, di mana persembahan hiburan sudah dapat dibendung.

Saya fikir diskusi itu mencapai tujuannya sebagaui permulaan membentuk garis panduan, mengangkat martabat kebudayaan dan mencari nilai kebudayaan yang positif berlandaskan Islam.

Catatan 23-25 Januari 2009: ACHEH YANG MEMBALUN PILU

Posted by Tukya Labels:

Melihat sebuah kapal besi tidur tersadai, gerun tidaklah sangat. Memang kuasa Allah yang sangat Maha. Sebuah kapal besi sebesar itu mengingatkan saya kapal muatan kayu arang di mana bapa saya menumpangnya ke Culcata dalam siri mengerja haji jalan darat di tahun 50an dulu. Memang tersadainya kapal itu dalam keadaan seperti kalai, tidak ada tanda-tanda hendak kalak.

Tapi apapun keadaan, sebenarnya pada 24 Januari (Jumaat petang) sesudah solat Jumaat di Baitul Rahman, rumah Allah yang dirempuh Thunami 5 tahun yang lalu, barangkali sayalah manusia terakhir di awal tahun 2009 menjenguk ke kampung berhampiran pantai Banda Acheh untuk melihat sebongkah besi kering pejal ribuan tan yang dihempuk Allah ke atas dua buah rumah dan kemudiannya terus bermastautin di situ.

Kapal besi itu sangat angkuh tidur dan tidak bergerak, pada hal dia tidak pernah mendapat permit atau lesen tol untuk bermastautin di situ. Dan untuk menggesaknya sangat mustahil mengikut ukuran kudrat teknologi sekarang.

Saya meluku-luku dindingnya. Tak berdengung sedikit pun walaupun ia berperut. Saya menyiku-nyiku di buritannya, sangat pejal dan kejap. Tetapi kemudiannya saya terpandang pada dinding berhampiran tempat sauh dihulur. Dinding itu rata seperti dinding rumah papan.



Kapal yang dibawa gelombang thunami di pantai Acheh

Saya terpegun, tersedu, sebak dan akhirnya air mata saya tergenang.
“Bapa menangis, kenapa?” Tanya anak saya.

Masakan saya tidak sebak dan menangis. Serangkap kata-kata yang ditulis dengan cat putih, bentuk tulisan seperti tergesa-gesa berbunyi:

Di bawah ini
Ada adik-adik dan kakakku
Ada ibu dan bapaku.


Saya tidak mampu melihat rangkap ayat itu lama-lama. Ia seperti satu ratapan berpanjangan, merayu dan meminta belas kasihan. Siapakah yang mampu mengangkat kapal besi ribuan tan yang menghempap adik kakak dan ibu ayahnya? Siapa? Dan ia sendiri pasti tidak terdaya jika hanya hendak mencungkil dengan sebatang kayu.

Maka ayat itu diabadikan entah siapa, tetapi sangat menyentuh. Mungkin ia seorang gadis cilik atau si buta atau seorang gadis yang sudah yatim piatu akibat thunami yang membantai balun sekitar pantai Acheh lima tahun yang lalu.

Kuasa apakah lagi, jika bukan ‘Kun Fayakun' Allah, jika sebuah kapal penjana elektrik yang berlabuh di tepi pantai Acheh, tiba-tiba dicempung gelombang, dilambung-lambung, mengheret rantai-rantai sauh, teroleng oleng dengan sauh berlinglong-linglong lalu menghentak dengan gegar di atas dua buah rumah. Bayangkan jika penghuni rumah itu seorang tua sedang mendadah tangan berdoa minta anak cucunya selamat dari mala petaka. Bayangkan...

Dan bayangkan, tidak ada kuderat apapun untuk mengcungkil yang terpenyet di bawah perut sang besi itu.

Tersangat Maha kudrat Allah.

Saya terkesan begitu ketika pertama kali, sesudah lima tahun, saya menjejaki Acheh yang kononnya lima kali ganda menjadi padang jarak padang terkukur. Dengan berteman Pak Budiman, korporat Acheh Darulssalam, Pak Fadli, pensyarah bidang seni, saya dan kawan-kawan di bawa sehingga hujung daerah Acheh yang dibadai thunami.


Pak Budiman, aku, Dr, Fadli, pemandu, Zainab dan Zabedah

“Kini kami orang Acheh sudah bangun,” kata Pak Budiman. “Kalau dulu tak begini. Semuanya mundur. Ekonomi macet. Tapi selepas thunami, masaAllah, ia bagaikan satu hikmah. Bantuan dunia luar menjadikan warga Acheh bangun.”

Sepanjang perjalanan melihat kesan, yang terkesan ialah kawasan yang diperbaharui. Masjid di tepi pantai yang kononnya tidak terjejas apa-apa waktu thunami, menjadikan bulu roma meremang kerana setiap waktu dipasang keset munajat dengan alun suara yang menggetarkan. Di tepi jalan berdebu, berderat gerai jagong bakar tetapi di muka-muka tembok tertulis amaran; Awas, jangan bermaksiat lagi. Thunami pasti tiba!


Masjid Baitul Rahman


Memang bila-bila pun thunami mampu tiba kerana lautnya sangat terdedah sehingga ke lautan India. Biru saujana. Menurut cerita, bukan ombak yang datang, tetapi seekur Cobra Raksaksa datang dengan kepala memanggung hebat, tidak dipedulinya persisiran pantai (kerana itu masjid di tepi pantai terselamat) dan kemudiannya dia menghentak geram ke dataran. Kerana itu dia mampu mengusung sebuah kapal besi ribuan tan dan meletak seperti streka di atas alas kain baldu (di atas halaman berumput)

Dahsyatnya, cerita seperti zaman Nabi Nuh. Sebuah bukit di tepi pantai hujung daerah Banda Acheh dicecahi air hingga ke puncak.

“Bapa memegang erat tangan isteri. Tidak mahu melepas, tapi pegangan terputus. Bapa dilambung ombak raksaksa, isteri bapa entah ke mana. Hingga hari ini tak bapa temui,” cerita Hj Lukman Husain 59 tahun, mangsa thunami, yang kini masih mampu membuka toko kain batik.

“Saya tidak tahu. Saya dihempas begitu-begitu. Lelah saya!” cerita pula Ali Imran, anak Hj Lukman 22 tahun.

“Saya memeluk kuat bonet mobil. Ke mana mobil itu terusung, saya tetap. Alhamdulillah, saya selamat walaupun ibu saya tak ketemu,” cerita pula Intan Nurmala Sari, anak bungsu Hj Lukman yang kini 19 tahun usianya.

Mereka adalah di antara mangsa yang saya temui, ketika thunami melanda, sememangnya ketika thunami gila, mereka di sisi kapal besar yang terhempap itu.

23-25 Januari 2009 memang tidak lebar dan panjang perjalanan. Ia sangat suntuk waktu, tetapi sangat panjang mendengar rentetan peristiwa dan sangat panjang pilu meluka kalbu.

Seperti tidak pernah berlaku apa-apa sekiranya kita melewati gang atau lorong, singgah di kedai atau melepak di warung atau masuk ke toko buku. Warga Banda Acheh seperti tidak pernah di timpa musibah. Anihnya, dalam keadaan sangkaan ramai, warga Acheh miskin dan melarat, namun mereka mampu memungut derma untuk tabung Palestin sebanyak sepuluh juta atau dua puluh juta rupiah seminggu. Yang merangsangkan saya, di sana sini anak-anak gadis berpurdah berdiri di simpang jalan, di lampu merah menadah kotak derma untuk Palestin.

Sayang kita di Malaysia ‘ngak ada.’

Dan bayangkan kreatifnya mereka. Mereka tidak boikot KFC atau McDonald, kerana bagi mereka boikot KFC atau McDonal bererti boikot ayam tempatan. Tetapi mereka memotong peratusan pendapatan jualan. Bererti makan tetap makan kerana bahan itu bahan tempatan. Yang dicukai ialah francaisnya. Francais itulah Amerika.

Kan itu logik,Pak?

Demikian selama 48 jam lebih sedikit. Sangat berterima kasih kepada Pak Budiman dan Pak Fadli berserta keluarga mereka. Sempat membeli Ensiklopedia Al-Qur`an, Krakatau, Mistri Ngeri Akhir Zaman, Sejarah Bangsa Israel dan Kisah Wartawan Amerika yang ditahan di Afghanistan, akhirnya memeluk Islam.