Wednesday, February 10, 2010

Catatan


Ustaz Sidek Nor




1. TENTANG HARAM JADAH

Saya mengikuti kuliah/ceramah Ustaz Sidek Noor (Haji) di Masjid Junjung, Kulim pada Selasa malam (9hb Feb 2010). Sangat menarik dan sangat berkesan. Beliau bercakap tentang metedologi taubat dari perspekrif Al-Ghazali. Sesekali diselit cerita yang penuh iktibar.

Rupanya ‘haram jadda’ yang ditakuti oleh mereka yang bersopan dan berakhlak, bukanlah kata-kata biadap atau kurang ajar. Ia adalah kata-kata sopan setelah sehabis bicara mahu menamakan sesuatu keadaan yang paling buruk. Orang Melayu sebut ‘haram jadah.’

“Haram jadah’ ialah haram ‘Jadda’. Jadda dari perkataan Arab bererti sungguh. Jadi, haram jadah bererti haram sungguh-sungguh. Lalu diberi cerita untuk mudah faham. ( Ustaz Sidek Noor ini, kalau orang tak ketawa mendengar kuliahnya bererti ajalnya sudah hampir. Kalau tidak terkedu, bererti iman seseorang itu sudah majal. Kalau tak tergenang air mata, bererti orang itu hati kering.)

Bapa aku ada kebun lima ekar. Tapi kebun itu di Bagan Datok, bapa aku tinggal di Tanjung Dawai. Mana termampu nak urus kebun itu. Maka selalulah bertaburan buah kelapa gugur dan di ambil orang. Bapa aku merelakannya sebagai sedekah.

Satu hari datang seorang syaikh berbincang dengan bapa aku. Katanya dia sanggup menjaga dan mengusahakan tanah lima ekar di Bagan Datok dan hasilnya nanti bolehlah kita bincangkan pula.

Bapa aku fikir, dari biarkan menjadi semak, lebih baiklah syaikh itu usaha. Lalu di katakan setuju. Maka penjanjian pun di buatlah. Kebun seluas lima ekar akan dijaga dan ditebas. Di tanam juga pokok kelapa baru. Maka hasilnya, jika seratus biji kelapa, bapa aku patut mendapat lima biji. Bapa aku terkejut tapi akhirnya mengalah juga.

Tiba musim mengait kelapa setelah beberapa tahun terbiar dan lupa perjanjian, datanglah syaikh itu kepada bapa aku. Pendapatan buah kelapa sebanyak 2,000 biji maka bapa aku berhak mendapat 400 biji. Tapi syaikh itu kata, ambillah 400 biji ini sebagai sedekah atau 400 biji ini sebagai ehsan saya.

Bapa aku terbeliak biji mata. Inilah yang dikata ‘haram jadah!’ katanya.
Saya tergelak sampai terasa hendak terkencing.

Ikut Sana



2. TENTANG PEMIMPIN


Buka surah Saba’. Cari ayat 31,32,33, kata Ustaz Sidek Noor lagi. Tasfir yang amat mudah, tanpa perlu merujuk mana-mana mufasirin lagi perihal sifat dan sikap pemimpin yang zalim dan rakyat juga yang dikatakan zalim.


Akan berlakulah penyesalan pemimpin yang zalim itu dan akan berlaku bagaimana pengikut menyalahkan pemimpin kerana membawa mereka kepada melakukan kezaliman, tapi akan dijawab oleh pemimpin itu: aku tidak suruh pun kamu melakukan seperti itu. Kamu yang melakukannya.


Tapi malang, menurut Ustaz Sidek Noor lagi, pengikut selalunya macam masyarakat itik (bukan sistem matematik, seperti yang ditulis sebelum ini). Katanya, cuba tengok itik. Bagi-pagi keluar dari reban, berduyun-duyun, sebaris lurus ikut kepalanya. Papp,papp,pappp kata kepala, yang lain pun ikut pappp,ppappp, papppp.


Ke mana yang di tuju? Tak lain tak bukan ke bawah dapur rumah, sodok dan sudu acar (air dan lumpur kotor, hasil dari basuhan di dapur dan di curah ke situ. Rumah sekarang sudah tidak ada= sama dengan air limbahan) Malangnya yang mengikut juga pakat-pakat sodok air acar itu.

Kemudian kepalanya terkedek-kedek pula ke tepi parit. Sodok lagi cari cacing-cacing dan ulat. Yang lain juga tak berdeuh-de eh, terus juga sodok.

Pengikut bagi pemimpin sekarang ini pun macam itulah. Asyik ikut tak tentu hala.
Saya tergelak sungguh tapi berkesan.

3. TENTANG ANAK DERHAKA


Anak-anak sekarang sangat mudah terjebak kepada jadi anak derhaka, yang bererti anak tidak ingat lagi kepada ibubapa.

Prof K tinggal di banglo mewah Bukit Antarabangsa. Dia anak yang baik. Tidak pernah derhaka. Tapi kerana sedikit sebuk, Prof K terlupa telefon ibunya

.
Satu malam ibunya telefon. Ibunya hanya bertanya, adakah dia sihat, adakah isteri sihat, adakah cucu-cucunya sihat. Jawab Prof K, semunya dalam keadaan baik.


Si ibu menyatakan, bukan apa yang dia telefon cuba takut anak cucu sakit demam kerana LAMA TAK TELEFON.

Kerana lama tak telefon bererti anak sudah ada jarak waktu melupakan ibu sedangkan ibu tidak pernah lupakan anak.

Melupakan ibu, walaupun dalam jarak yang singkat, bukankah itu derhaka namanya?

Ya Tuhan....sesungguhnya sangat ramai anak yang derhaka ibubapa.

Saturday, February 06, 2010

HIIKK,HIIKK,HIIKK. KAH,KAH-KAH,KAH.




Pesta ini dikatakan berlaku di Pulau Tikus. Tak buang air besar seminggu


Saiful: Dua hari tak buang air besar
Feb 5, 10 12:17pm
Mohd Saiful Bukhari Azlan memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa dia tidak membuang air besar selama dua hari selepas didakwa diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Petikan di atas dipetik dari Malaysiakini pada tarikh dan masa yang tercatat.
Tidaklah ada hasrat nak ganggu perjalanan mahkamah dan tidaklah nak letak hukum sendiri, siapa yang salah dan siapa yang betul. Nak kata siapa salah dan siapa betul bukan kerja kita. Ia kerja mahkamah.

Tapi apabila selesai membaca berita di atas, cucu pun tanya; “Tokwan, apa ke benda sampai tak buang air besar tiga hari?

Tokwan pun tergelak; hiikkk,hiikkk,hiiik.
Cucu tanya, kenapa Tokwan tergelak sampai terhindik-hindik. Tokwan pun beritahu, tak ada apa-apa. Budak-budak bukan masanya nak tahu. Tapi di balik pintu, Tokwan pun berbisik kepada Atuk perempuan, hisss, sampai macam tu bahadi si Anuar. Hiikkk,hiikkk,hiiik.

Atuk perempuan pun tergelak pula; Kahhh,kahhh,kahhh. Hua..hua...huaaa. Ini macam lebih dari cerita Tok Mat Bukit Selambau menikah 99 orang di tahun 60an dulu.

Tokwan berbisik pada Atuk, setahu aku kalau orang kena macam tu,berak lagi senang. Hiikkk,hhikkkk,hiikkk. Ini tidak, ekzoz tersumbat apa sampai tiga hari tersekat saluran. Kahhh,kahhh,kahhh.

Sekali lagi kita tidak ada niat nak campur urusan pendakwaan yang berjalan di mahkamah. Tapi dari segi moral mereka yang terlibat, apakah begini caranya walaupun mahkamah itu tempat mencari keadilan.

Moral kita di mana? Ternyata moral mampu diketepikan kerana sesuatu dan sesuatu itulah yang mencerminkan adil atau tidak lalu terkeluar cerita sampai Atuk perempuan berbisik kepada Tokwan; besar mana haaa?

Kahhhh, kahhh, kahhhh. Kikkkk,kikkk,kikkkk. Sumpah, saya tak masuk sebelah mana tapi nak tergelak saja baca berita ini. Pelik dan sampai hati. Hisss,hiisss,hiiisss

Wednesday, February 03, 2010

Cerita Yang Diubah Suai Dari Cerita Lain:



Cerita Yang Diubah Suai Dari Cerita Lain:
Kisah 2Z.

Entah macam mana, mereka bertemu di satu lapangan terbang ketika hati dalam keadaan merajuk, panas baran di sebabkan haba dan cuaca politik kawasan tak begitu selesa.

Si Z 1 membawa begitu banyak buah genuak. Manakala si Z 2 membawa ratusan bungkus laksa dengan kuah-kuahnya sekali. Di atas kesepakatan yang padu, mereka menyewa helikopter yang injinnya telah diganti dengan injin Kobuta disebabkan injin asalnya dicuri entah siapa.

Mereka menyewa pilot untuk membawa mereka round pusing keliling kawasan yang mereka menangi. Mereka mahu ziarah dan tabur sumbangan kepada pengundi kawasan masing-masing kerana jikalau hendak datang dengan kereta, masuk segala jalan dan lorong, takut ada yang naik kelabu mata, hentam mereka tak pasal-pasal. Dua tiga hari yang lalu mereka sudah keluar kenyataan yang busuknya lebih dari tahi kerbau keweh tengah londang.

“Aku bawa buah genuak,” kata Si Z 1.
“I bawa laksa Penang, best,” kata Si Z 2.

Maka mereka pun arah pilot bawa ke kawasan Z 1 dulu. Dilemparlah buah genuak satu demi satu. Berkukkiklah mereka ketawa kerana sumbangan mereka tidak ternilai.

Akhirnya habislah buah genuak. Si Z 1 tak nampak pula segala rakyat dan pengundinya pakat-pakat terkam ambil buah genuak itu. Maklumlah buah genuak berlambak-lambak di sekitar Gunung Bungsu, Gunung Inas, Bukit Bertam, Sedim dan Bandar Baharu.

“Bawa aku ke Bayan Baru pula!” arah Si Z 2 kepada pilot.

Maka pilot yang buta arah mata angin dan kompas pun melilau ke sana sini cari arah. Mujur ada petanda Komtar dengan Jambatan Pulau Pinang.

Sampai di kawasan Bayan Baru maka Si Z 2 pun campaklah sebungkus demi sebungkus laksa Penang. Tapi jadahnya ramai yang tidak berapa peduli. Mereka asyik bergencok boria.

Selesai bungkusan laksa Penang ditauk ke bawah, maka mereka pun berAlhamdulillah, bersyukur kerana pengorbanan mereka yang paling besar, akan diketahui juga nanti oleh rakyat yang memilih mereka.
“Aku pasti puluhan ribu pengundi kawasan aku tentu gembira bila dapat tahu aku mencampak buah genuak kepada mereka,” kata Si Z 1 dengan ketawa berdekah-dekah, dengan hidung kembang kempis.

“You…bukan saja you, tapi I juga merasa bangga dan puluhan pengundi I juga tentu seronok bila dapat tahu I campak bungkusan laksa Penang ni,” kata pula Si Z 2 sambil menjengok-jengok ke bawah.

Si pilot yang buta mata angin dan kompas terdengar perbualan mereka. Kebetulan dia penyokong PR. Dengan batuk sekali lalu dilayahnya helikopter ke laut, dia menjerit:

“ Hayooo, kalau dua-dua tuan-tuan ini saya campak ke laut, bukan saja pengundi dua kawasan tuan-tuan merasa seronok, tapi seluruh PR satu Malaysia akan buat kenduri pulut kuning! Mereka lagi seronok!”

Maka kecutlah perut, sayulah rasa kedua-dua mereka. Rupanya ada yang lebih benci kepada mereka.

Thursday, January 28, 2010

Masih Panjang Umur

Kereta yang ditutuh dari belakang.

Masih Panjang Umur
(Ini sekadar catatan. Maaf kerana agak lama tidak menulis laman ini kerana berlaku sedikit musibah. Apapun sangat bersyukur)

1.
Kemalangan memang tak diduga. Saya seperti mati hidup semula. Pagi 25hb Januari 2010, kira-kira jam 8-30 pagi di atas jambatan Pulau Pinang, di kilometer 7.0, tak semena-mena kereta saya disondol dengan kuat, menyebabkan kereta Kelisa yang kecil macam siput ini terdorong, terhantuk di belakang sebuah kereta lain kemudian kereta saya melambung, berguling-guling dan berputar berkali-kali.

Saya macam tikus dalam sangkar yang digolek-golek. Sedar-sedar saya terkangkang dua kaki ke atas tapi masih mampu keluar dengan keadaan baik.

Kereta remuk depan belakang. Berkecai semua cermin. Muka sedikit berdarah, kepala bertaburan dengan serpihan kaca cermin.

Begitu kejadian yang tidak diduga. Saya rasa seperti mati hidup semula. Masyaallah.

2.
Hampir lima belas minit saya dirawat di situ dan mengemas segala kertas yang berkecamuk di dalam kereta, Alhamdulillah 6 pendrive saya masih ada. Kemudian datang ambulan yang kebetulan membawa pesakit dari Lunas Kedah hendak ke Hospital Pulau Pinang. Saya ditumpangkan dengan seorang perempuan, yang keretanya saya tersondol.


Pemandu ambulan panas baran

Naiklah kami dengan terkakap-kakap tanpa ada kakitangan ambulan yang menolong. Perempuan yang naik bersama saya sebenarnya hendak ke hspital Pulau Pinang juga, yang hendak menemai bapa dan saudaranya, yang di bawa oleh ambulan yang kami naik ini.Katanya dari Lunas. Tentunya kereta ambulan dari hospital Kulim barangkali.

Di dalam ambulan itu ada dua pesakit. Tiga juturawat dan seorang kakitangan lelaki, seorang drebar.. Mereka sangat selesa di kerusi. Tanpa ada rasa simpati dan budi bahasa, jururawat dan kakitangan itu buat ‘dekkk’ dan buat ‘dono’ saja kepada saya sebagai mangsa kemalangan dan seorang perempuan lagi.

Tak kisahlah, saya bukan nak minta dihormati dan dimuliakan.

Pemandu yang membawa ambulan itu macam di tokak pelesit. Macam jin meradang. Panas baran. Saya dengan perempuan yang menumpang, hanya berdiri dekat pintu belakang, teroleng-oleng, tersenget dan terlambung-lambung apabila ambulan itu kona mereng, terhentak kerana pemandu ambulan itu memandu macam babi gila betina. Melambung dan terhentuk-hentak sehingga pasakit mengaduh-ngaduh.

Saya tidak dapat berfikir, macam mana orang seperti ini boleh jadi pemandu ambulan’ satu-satunya kenderaan penyelamat nyawa.’

Ketika ambulan membeluk-beluk dengan kasar, perempuan yang berdiri di sisi saya tiba-tiba tertonyoh jatuh, tersepit antara bangku dengan pintu. Pemandu ambulan itu buat dekkk, buat dono saja. Dia macam hendak kejar babi hutan makan kebun pisangnya.

Saya tak pernah berjumpa dengan pemandu ambulan pelesit macam ini. Saya sudah tiga kali naik ambulan sebelum ini. Fungsi ambulan, membawa pesakit yang kritikal, untuk menyelamat nyawa, bukan mengejar perompak atau bukan dipandu oleh pemandu gila sawan.

Di hospital Pulau Pinang, saya dirawat sebagai pesakit luar dengan memeriksa kepala dan membuang kaca di kepala, bengkak mata. Kerana keadaan saya waktu itu terasa tidak apa-apa, saya dibenar balik setelah diberi ubat. Tapi perempuan bersama saya dalam ambulan itu pula yang terpaksa di Sinar X dan diberi rawatan. Sedangkan kedatangannya hendak menghantar bapanya yang sakit.

3.
Saya segar dan boleh berjalan. Tapi sejam selepas itu baru saya terasa menggigil. Anuar Asmadi dengan Said Man datang ambil saya. Apabila berada di rumah saya diserang sakit lenguh dan bisa, menyebabkan saya sukar hendak berdiri, apa lagi hendak berjalan. Saya terpaksa kena papah. Saya benar-benar macam lumpuh.

Sahabat saya Anuar Asmadi, Said Man dan Yusuf Market sangat mengambil berat.

Keesokan harinya sakit bisa dan sukar hendak berdiri menyebabkan saya mengambil keputusan ke hospital. Jam 5-30 petang Sdra Anuar Asmadi dan Yusuf Market pun datang membawa saya.

Karenah Bahagian Kecemasan Hospital Kulim

Bayangkan, untuk nak dirawat ke bilik kecemasan, saya terpaksa menghabiskan masa sehingga jam 8-30 malam. Sesudah di Sinar X, saya diberitahu, saya tidak ada apa-apa kecederaan luar dalam. Saya tidak diperlukan masuk wad. ‘Pakcik boleh balik,” kata doktor muda yang merawat.
Tapi macam mana keadaan saya yang tidak boleh bangun dan berjalan sedangkan mereka lihat dengan jelas saya dipapah di depan mata mereka? Saya memohon masuk wad untuk mendapat rawatan susulan, termasuk pakar. Tapi pihak yang merawat mengatakan tidak perlu. Saya boleh berehat di rumah, makan ubat, kata mereka.

Saya merayu dan memberitahu sebab saya hendak masuk wad. Setidak-tidaknya rawatan susulan dapat dibuat.

Pihak yang merawat mengatakan lagi saya tidak perlu. Seolah-olah saya yang tidak boleh berdiri dan berjalan ini sama dengan seekur kucing kena balun. Akhirnya saya berkata, kalau begitu tak mengapa. Saya terpaksa ke hospitak swasta (specialis) untuk dirawat. Saya bimbang kerana saraf kaki dan betis saya. Apa sudahnya kalau saya tak boleh berdiri dan berjalan, kata saya.

Barulah seorang doktor perempuan cuba berikhtiar tapi saya terpaksa kena tunggu kerana nak dapat kelulusan pihak satu lagi. Berapa lama pula? Sedang untuk di Sinar X tadipun kami terpaksa menunggu kerana ‘tukang ekstrey’ belum datang.

Saya mengalah. Saya minta balik, tak perlu masuk wad lagi. Doktor yang merawat pun beri surat cuti dan resip suruh ambil ubat.

Taukah anda apa ubatnya? Beberapa biji kapsul tahan sakit dan ubat sapu, seperti ubat sapu gatal celah kangkang yang saya beli di farmasi.

Bayangkan, 3 jam menunggu dan di rawat, berjalan orang papah tiba-tiba ubat itu saja yang diberi. Mata saya yang lebam, bengkak dan pendarahan beku, disebut oleh seorang doktor, macam Anuar Ibrahim kena tumbuk. Tapi tak pula dipeduli.

Ayooo, ini macamkah rawatan hospital di bilik kecemasam Hospital Kulim?

Ya Tuhan, mereka adalah orang-orang pakar perubatan dan memang sesuailah ubat seperti itu yang diberikan. Seorang pesakit yang tidak mampu berdiri akibat kemalangan, hanya ubat tahan sakit? Haa...ha...ha... kalau begini baca Yasin saja di rumah.

Ketika saya hendak pulang, saya beritahu dua tiga orang yang ada di luar ruang kecemasan. Mereka berkata; inilah hospital kerajaan.

Bravoooooo! 1Malaysia! Jom ke klinik 1Malaysia! Kononnya, klinik 1Malaysia mendapat sambutan, mengikut laporan Sinar Harian 27 januari 2010. Barangkali kerana larisnya klinik 1Malaysia, maka kualiti hospital tersorot.

Dan dari sungutan pengguna-pesakit hospital Kulim, keadaan seperti ini sukar berubah disebabkan sikap pegawai-pegawai itu sendiri tidak mahu mesra pelanggan.

Maaflah Pengarah.

Saya yang benar
Azizi Hj Abdullah

Friday, January 22, 2010

Sekadar Perbandingan


Penerima anugerah SDK sempena keputraan tuanku sultan Kedah ke 82 pada 21.1.2010


Ketika Pas mengambil alih memerintah negeri Kedah 8 Mac 2008 yang lalu, saya kurang percaya apabila Embinya beritahu, Kedah berjaya mengurang perbelanjaan membazir. Di antara doktrin Embi ialah, jika waktu Be En perintah dulu, jamuan makan rasmi kerajaan satu kepala tidak kurang dari RM29, tetapi Pas berjaya hanya berbelanja sekitar RM9 satu kepala.

Saya anggap itu satu kelentong. Tapi kerana Embi dari Pas, mau tidak mahu kena akur jugalah. Kan ia satu amanah?.

Dan apabila kerajaan Be En dalam kemelut ekonomi sekarang, meminta semua pihak berjimat cermat, saya tidak terpanggung kepala pun. Minta rakyat berjimat ketika ekonomi merudun, kenaikan harga barang, itu hanya retorik. Pembaziran tidak ada kena mengena dengan kemelesetan ekonomi. Tidak ada kena mengena dengan kemiskinan. Yang dikatakan jangan membazir tentunya kepada mereka yang kaya, mewah. Yang miskin nak membazir apa?

Tapi benarkah ianya berlaku dan menjadi kenyataan? Baru-baru ini sempat saya membuat perbandingan tanpa bertujuan menjatuh dan menaik mana-mana pihak. Ia sekadar laporan untuk berfikir.

18hb Januari 2010, jam 8 malam berlangsung Hadiah Sastera Perdana 2006-2007 dan hadiah tertonggak 2004-2005 di Hotel Legend Kuala Lumpur. Saya terkam sejak pagi lagi kerana cerpen ‘Nilai Cinta Kami’ terpilih.

Timbalan Perdama Menteri menyampaikan hadiah.

Baliknya pada 20 dan 21hb Januari ke Instana Anak Bukit, Alur Setar, menghadiri Istiadat Pengurniaan Bintang-bintang, Pingat Kebesaran, sempena Ulang Tahun Kebawah Duli Tuanku Sultan Kedah ke 82.

Dua keadaan ini sangat berbeza rupanya. Tanpa merendah Dewan Bahasa dan Pustaka dan tanpa niat memuji kerajaan Kedah dan pihak Istana, saya cuma nak buat sedikit perbandingan apabila semua pihak termasuk kerajaan meminta kita berjimat cermat. Mungkin ada yang tak setuju kerana kedua-dua ini berbeza status dan kewangan. Tapi saya nak jelaskan, bagaimana pembaziran ini berlaku dengan mudah.

1.Perkara yang berlaku seperti berikut:

1.2. Penyampaian Hadiah Sastera Perdana dibuat di Ballroom Hotel Legend.


1.3. Penyewaan dewan Ballroom pastinya bermula dari pagi hingga ke malam. Beberapa bilik terpaksa di sewa kepada petugas dan juga makan berbentuk buffet.

1.4. Jemputan terpaksa membayar parking kereta tidak kurang dari RM5.

1.5. Jamuan makan malam satu meja untuk 10 orang. Ada kira-kira 50 meja. Menunya lebih kurang 6. Kemudian ditambah dengan pemanis mulut dan minum terakhir. Di antara menu ialah udang sederhana (kalau kedai mamak pasti RM4), ayam, ikan kari, daging rendang, sup, sayur dan lain-lain yang saya kira untuk 10 orang satu meja sekurang-kurang RM300.


2. Pada 20 & 21hb Januari 2010 berlangsung upacara Istiadat di Istana Anak Bukit.

2.1. 20.1.2010 jam 2.30 ptg hanya upacara raptai. Jamuan petang hanya teh, bihun dan bengkang, pulut udang.

2.2. 21.1.2010 berlangsung upacara penyampaian di Balai Istana. Peserta tidak kena bayaran parking.

2.3. Penyampaian di sampaikan oleh Ke bawah Duli Tuanku.

2.4. Selepas penyampaian, tetamu dijemput makan tengahari. Menunya yang saya ingat ialah, Serabai berkuah isi durian (4 keping ini sahaja yang saya makan), Mee kuah, pulut kepal dengan serondeng, tiga jenis kuih basah dan satu yang saya tak tahu namanya, macam ‘meepi’ (mee macam pizza). Minum teh, kopi dan air limau.

Minta maaf. Kedua-dua yang saya hadir ini bukan nak menunjuk-nunjuk atau bermegah, tetapi nak minta kita berfikir, di mana ketelusan dan kereyau kita tentang penjimatan.

Bukan soal Dewan Bahasa yang mengadakan majlis tersebut, pun bukan juga kerana kerajaan Pas Kedah yang menganjur atas dasar penjimatan dulunya, tapi cubalah kita bandingkan secara terbuka.

Kenapa pihak Dewan Bahasa tidak mengadakan di dewannya sendiri, sedangkan Dewan Bahasa mempunyai 2,3 banquetnya, dewan seminarnya. Apakah Dewan Bahasa akan dikenakan juga sewaan? Jika kena sewa pun takkan sama dengan ballroom hotel enam bintang.

Kerajaan negeri Kedah dan Istana (walaupun ini tradisi) telah menjimatkan kos yang begitu tinggi di samping menjimatkan tetamu dari membayar segala macam tol dan parking.

Anda bandingkan menu makanan di majlis Penyampaian Hadiah Sastera Perdana dengan menu sebuah kerajaan negeri, menu jamuan di raja.

Soalnya mengapa hal ini boleh berlaku dan hal itu tidak boleh berlaku?

Sebenarnya barulah saya tersedar, untuk berlaku penjimatan ia mesti diarah oleh mereka yang benar-benar sedar tentang pembaziran dan bukan dari cakap dan kata tetapi mereka sendiri yang mampu melakukan pembaziran.

Pembaziran yang dikaitkan dengan kemelesetan ekonomi atau kemiskinan sebenarnya tidak ada kena mengena dengan tuntutan berjimat cermat dan jangan membazir. Sepatutnya tidak membazir dan berjimat cermat dilakukan sepanjang masa dan bukan waktu negara meleset ekonomi.

Mungkin Pengarah Dewan Bahasa tersangat ingin hendak melakukannya tetapi tentu ada sebab sekadar itu yang mampu ditunjuk. Tidak seperti di Kedah, walaupun dua majlis ini berlainan taraf dan status, tetapi kalau ada dari mereka yang muluk-muluk, yang kepingin berdehem-dehum, yang ingin mengejit mata, alaaa, apa salahnya. makan sajalah, maka ia tentu tidak terjadi seperti menu pada hari 21.1.2010 itu.

Alhamdulillah, tak pula terdengar tetamu bersungut, mee macam mee mamak dan di Hotel Legend, tak pula terdengar jemputan belehak, bersendawa auk-auk kerana kenyang dan sedap.