Jalan Panjang Mencipta Nama

Posted by Tukya

SAYA amat yakin untuk menjadi seorang penulis sama ada penulis kreatif dalam gerne novel, cerpen, atau non-kreatif memerlukan disiplin yang kuat. Maksud disiplin ialah kemahuan menulis dalam waktu yang tidak menentu tanpa disuruh atau didesak oleh pihak lain. Oleh sebab saya termasuk dalam golongan penulis yang tidak mempunyai disiplin secara khusus dalam semua perkara maka saya sehingga hari ini menjadi penulis yang sering "tangkap muat" dan ini menjadikan tulisan saya tidak kuat.

Hal ini seperti menjadi identiti saya pula, kerana sekiranya ada orang yang benar-benar mengikuti perkembangan awal saya menulis mereka pasti akan dapat menelah bahawa itulah karangan saya walaupun tidak dicatat nama penulis. Penelaah sastera yang saya dapat kesan ialah Dr. Othman Puteh yang dapat memastikan dalam ratusan karya yang dibaca, bahawa salah satu ialah tulisan saya. Mereka akan dapat mengenal pasti cara saya menamatkan cerita dalam keadaan gopoh, terburu-buru hendak sudah. Editor pula, tanpa melihat nama saya juga dapat mengenal pasti tulisan saya berdasarkan skrip yang kotor dan tidak bersih.

Kerana itu pada peringkat awal saya menulis Allahyarham Zakry Abadi, pengelola sastera Warta Mingguan dan Utusan Zaman yang mengulas perkembangan penulis utara dalam buku Cenderamata Penulis Kedah terbitan Persatuan Penulis dan Peminat Sastera Kedah pada 30 September 1996 menganggap saya penulis pengotor dan tidak berdisiplin dan malas menjaga kebersihan. Sasterawan Negara Prof. Emeritus Dato' Hj. Shahnon Ahmad sering menegur saya dalam ceramah bahawa saya penulis yang gopoh dan mahu cepat sudah. Misalnya dalam memperkatakan novel Seorang Tua di Kaki Gunung (Hadiah Kedua Sayembara Novel Yayasan GAPENA/Sabah II 1981; DBP tahun 1982) beliau berkata jika saya berhati-hati, tidak ada keinginan hendak cepat sudah, novel itu boleh menjadi novel yang lebih baik terutamanya dalam membuat perbandingan nilai kota dengan nilai tradisi.

"Hang ni kalut. Buatlah satu-satu," kata beliau dalam satu majlis lain apabila melihat saya menulis dalam semua genre.

Ketika menulis novel saya seperti berada di satu trek ribuan meter yang perlu saya berlari cepat untuk sampai. Maka kerana itu apabila menulis jarang saya berhenti kalau belum sampai tiga jam, terutamanya waktu malam. Selepas balik mengajar, hingga petang saya menghadap mesin taip jika saya mula menulis sesuatu. Saya jarang membuat draf atau merancang nama watak atau membuat gambaran awal tentang seting. Kalau ada pun saya membuat draf, draf itu tidak terpakai.

Pada peringkat permulaan menulis saya menggunakan mesin taip adik ipar abang saya yang tinggal di Permatang Tinggi Kepala Batas (kini Dato', Pesuruhjaya Kehakiman Pulau Pinang), kemudian meminjam pula mesin taip Remington kepunyaan sepupu saya, Muslim Osman, seorang bekas askar.

Bekerja sebagai guru agama di Sekolah Kebangsaan Sungai Taka, Serdang Kedah, saya mempunyai banyak masa. Saya tinggal di berek polis yang sudah buruk bersama dua orang kawan. Dengan hanya duduk bersila, saya mengetuk mesin taip sampai lewat malam. Oleh sebab berek itu tidak digunakan lagi, saya bebas masuk ke ruang mana pun untuk mengelak daripada bunyi mesin taip mengganggu kawan-kawan. Kerana berek itu berek lama, lampu elektrik tidak ada saya hanya menggunakan dua pelita minyak tanah.Yang seronoknya di depan berek saya tinggal, rumah Penghulu. Ada seorang gadis (cucu Penghulu) sering mengintai saya menaip.

Tidak ada proses dan perancangan plot. Yang bermula hingga akhir atau permulaannya begini, di tengahnya begini, di akhirnya begini. Begitu juga soal tema, perwatakan. Saya akan menaip apabila terasa hendak menaip dan kadang-kadang memaksa diri pula. Saya akan tulis apa-apa yang terfikir waktu itu. Adakah saya ini seperti Aldous Huxley, seperti yang ditulis oleh Shahnon Ahmad dalam Dewan Sastera Disember 1975?

Hahhh! Takkan saya perasaan sampai begitu. Siapalah saya.

Kerana najis kena angkut sendiri disebabkan tandas tidak berfungsi, saya pindah ke rumah sewa lain. Jiran saya Encik Wahid, "penulis surat" yang sangat kuat membaca. Dia tahu saya seorang penulis. Daripadanya kami berbual tentang novel. Dia membaca novel-novel Inggeris seperti Sherlock Holmes. Di sebelah lagi ada pula jiran yang mempunyai dua orang anak gadis. Dari celah-celah pokok kopi saya nampak melalui tingkap dapur mereka turun naik. Mandi di Sungai Selama pun kadang-kadang sama waktu.


Apabila malam saya mula menulis untuk menunjuk-nunjuk kepada dua orang gadis di sebelah rumah sewa saya. Ketika itu tidak ada meja, tidak ada kerusi. Saya cuma menulis di atas pelenggar iaitu duduk di atas anak tangga kedua dan mesin taip di atas bangku papan. Kiri kanan pelita minyak tanah.

Saya tidak menumpukan sepenuhnya kepada novel. Apabila jemu, saya beralih pula kepada cerpen atau rencana.

Saya sebenarnya tidak banyak membaca. Novel karya Dr. Hamka kebanyakannya dibeli oleh bapa dan kemudiannya saya ambil. Melalui pembacaan yang terhad itu, apabila saya menemukan bahasa dan kata-kata yang sedap, saya garis atau menandanya. Semua itu membantu saya dalam menulis novel atau cerpen. Dalam proses menulis novel Garis Lentang Anak Haram, majalah agama yang diterbitkan oleh Majlis Agama Islam Singapura, yang dibeli oleh bapa saya menjadi rujukan penting. Di dalamnya termuat tulisan tentang agama Kristian di samping buku Agama Terbesar di Dunia.


Apabila berpeluang membeli sebuah mesin taip Oliveti, saya semakin bersemangat menulis. Bayangkan kalau dakwat ribbon taip habis, saya gunakan carbon copy. Saya jadikan menulis ini kerja wajib. Saya lekatkan di dinding rumah kata-kata "Apa yang aku tulis hari ini?" Ini adalah semata-mata untuk memperingati saya sendiri kalau-kalau saya terlalai.

Tidak seperti cerpen, proses menulis novel sangat membosankan kerana panjang dan tidak dapat dihabiskan dalam satu malam. Kalau cerpen saya pernah menulis tiga cerpen satu malam bermula dari jam sembilan hingga tiga pagi.


Proses menulis selalunya bermula daripada rasa tidak puas hati, meluat dan ingin mengkritik. Saya tidak suka memberi pandangan. Hasil daripada pembacaan, pendengaran atau pengelihatan yang menyentuh perasaan, ia akan bergelodak dan saya bawa ke mana-mana dan apabila malam saya akan menghadap mesin taip.

Ketika mula mengetuk mesin taiplah saya baru mula mencari keperihalan watak, mencari seting. Manakala plot, mesej, tema, dan teori saya tidak peduli malah saya tidak tahu langsung. Yang menggerakan saya menulis hanyalah rasa tidak puas hati, meradang, dan meluat.

Saya sediakan sebotol Livita dan minum selepas maghrib. Sejam kemudian saya terasa riang dan cergas. Kepala lapang-ringan, dan tidak pun terasa mengantuk. Rokok? Sememangnya rokok jadi teman. Pada peringkat ini saya masih jahil dengan penginapan di hotel, lagi pun wang tidak ada.

Apabila sudah berkahwin, isteri saya sudah pun memahami tabiat saya kerana sebelum kahwin dia tahu saya seorang penulis. Kepadanya saya berkata, "isteri aku yang pertama ialah mesin taip."

Kerana memahami itu agaknya isteri saya tidak pernah terganggu apabila saya sedang menaip, atau lewat tidur atau keluar rumah tanpa memberitahu sampai sehari dua. Malah sampai bertanya hendak minum apa pun tidak berani. Buku-buku yang berselerak di atas meja juga tidak berani disentuh. Dia akan membuat kopi apabila saya berkata, "Buat kopi O suam-suam!"

Tabiat tidak boleh diganggu ini sangat buruk rupanya. Satu ketika ketika saya sedang menulis, anak saya Anita yang berusia 5 tahun datang mengusap-usap manja di muka saya sambil memanggil pak, pak, pak. Saya melarangnya dua tiga kali dengan lembut tapi anak saya tidak peduli. Akhirnya saya naik bengang dan menempiknya dengan kuat.
Ya Allah! Anak saya terkencing kerana terkejut.

Apabila tengah malam saya merenung wajahnya. Saya menangis seorang diri. Ini satu perasaan yang aneh saya rasa. Kesan rasa kasihan itulah saya jadikan asas dalam penciptaan kreatif kalau yang bersifat kasih sayang.

Pernah pula suatu ketika saya sedang menaip tapi dalam waktu yang sama isteri saya meminta saya menghayun buaian kerana dia hendak ke kedai. Tengah sedap menaip, anak saya terjaga dan merengek. Oleh sebab rengekannya tidak berhenti, saya naik geram lalu saya menghayunkan buaian itu tinggi-tinggi dan menempik menyeruhnya diam.
Anak saya "terslop" (terhenti menangis tiba-tiba) kerana terkejut dan akhirnya diserang penyakit terkejut (sawan) menangis di tengah malam. Saya terpaksa mencari sirih penawar. Mujurlah lega.

Begitu saya berasa bahawa dunia penulisan cerpen/novel adalah dunia milik saya dan saya merasa bangga, seronok. Tapi sayang kerana saya tidak banyak ilmu, tidak kuat disiplin dan tidak pula dapat menguasai bahasa Inggeris, dan Arab, maka jadilah saya penulis yang tidak sampai ke tahap yang tinggi.

Sehingga sampai ke awal tahun 1970-an saya benar-benar menulis dengan proses yang tidak menentu walaupun sekali-sekala saya didedahkan pada kursus. Tujuan menulis masih tidak nyata kecuali saya ingin menjadi seperti Shahnon Ahmad, A. Samad Said, dan Abdullah Hussain.

Apabila lewat tahun 1970-an saya membuka mata dan kerana wang poket ada sedikit, mulalah saya jadikan hotel sebagai tempat menulis. Bukan apa, selain tidak ada siapa yang mengganggu, saya berasa perlu menaip sehingga selesai kerana kesuntukan masa dan ingin sekali mengambil balik wang yang saya bayar kepada hotel dan tentunya bayaran itu honorarium cerpen. Sebab-sebab yang lain ialah kerana saya bebas keluar berpeleseeran apabila jemu atau terasa lesu. Pengunjung hotel adalah satu-satunya bahan atau idea perwatakan ketika menulis. Kemudiannya buku-buku sastera mula saya beli di samping buku agama dan falsafah. Saya mula kenal siapa dia Motenggo Boesji dan Pramoedya. Mukhtar Lubis cuma satu bukunya saya beli itu pun tidak habis baca. Gaya bahasanya tidak langsung memikat.

Sebenarnya saya tidak berapa gemar menulis novel kerana lambat sudah. Di samping sukar mewujudkan plot yang panjang, saya sukar mengawal watak yang banyak. Tapi apabila bertemu sekali sekala dengan Dato' Shahnon Ahmad yang saya anggap sebagai guru saya, Shahnon selalu berkata; "Takkan nak tulis cerpen saja. Tulislah novel sama". Akhirnya saya dapat menghasilkan 27 buah novel hingga kini.

0 comments: