AIR : ANUGERAH ALLAH YANG DICEMAR

Posted by Tukya

Air, kerana boleh terdapat di mana-mana dengan mudah, senang, murah dan percuma, maka manusia kadang-kadang lupa betapa anugerah Allah itu sangat berharga.

Air adalah juga termasuk dari jenis perkara yang dihalal dan diharam oleh syara’ tetapi malangnya ramai yang menganggap yang diharamkan oleh syara’ hanyalah air yang mabuk lagi memabukkan seperti arak dan minuman keras. Selain dari yang tersebut, ia seolah-olah tidak dipedulikan oleh syara’. Ia diabaikan dari sudut syara’ oleh kerana ia kelihatan bersih pada asasnya apabila mendapati ia mengalir di anak sungai, mengalir dari lurah-lurah bukit dan gunung.

Apakah benar tanggapan begini?

Fiqh tradisional hanya meletak hukum hakam air apabila terdapat ditempat-tempat tertentu, di bekas-bekas tertentu sama ada rupa atau zatnya. Hukum-hukum begitu sebenarnya bertujuan menjamin kesejahteraan manusia dan kesempurnaan dalam kehidupan itu sendiri dan agamanya, dengan tujuan menghindarkan sebarang kemudaratan terhadap masyarakat dan moral, terutama hal-hal air yang memabukkan.

Soal ini sebenarnya amat jarang ditimbulkan. Malah amat jarang orang melihat secara umumnya bagaimana ‘larangan oleh syara’’ المنع الشرعي atau sebagai ‘keharusan’ الابا حه atau juga disebut sebagai makruh.

Bagi mereka yang berlajar Fiqh tradisional, air hanya dikaitkan dengan semua jenis minuman, bekas atau bijana, bentuk-bentuk yang seumpamanya. Jarang dihurai kehalalannya tetapi adakah ia mendatangkan kebaikan, berdasarkan surah al-Maidah ayat 168; حللا طيبا

Dalam kehidupan manusia air tersangat penting, terutama sebagai bahan minuman dan bersuci tetapi diminta mengawasinya supaya tidak berlaku membazir. Al-Qur`an menjelaskan melalui surah al-A’raf ayat 31 bermaksud; “Wahai anak Adam, pakailah perhiasan kamu setiap kali kamu ke masjid. Makan dan minumlah kamu tetapi janganlah sampai berlebihan, kerana Allah tidak suka kepada yang melampau.”

Air sebagai bahan minuman, dikalangan umat Islam syara’ telah memberitahu ada kadangkala air boleh jatuh ke tahap haram apabila ia berubah dan diubah bentuk dan rasanya, seperti air arak atau yang seumpamanya. Ini berdasarkan tegahan Qur’an betapa khamar خمر haram.

Beberapa hadis Rasullullah menyebut;


Setiap yang memabukkan itu adalah arak dan setiap arak itu haram. – Muslim dan al-Daruqutni daripada Ibn Umar.

Sesungguhnya daripada anggur itu dibuat arak, daripada madu juga boleh jadi arak, daripada kismis juga dibuat arak, daripada gandum juga dibuat arak, daripada buah kurma juga dibuat arak dan aku menegah kamu daripada setiap yang memabukkan. – Ahmad, Abu Daud, al-Tarmizi dan Ibn Majah.

Dasar dalam agama Islam sangat mengambil berat terhadap jiwa, roh dan juga jasad manusia, maka makan dan minum sangat dititik beratkan, seperti makan dan minum biarlah dengan kadar yang paling minima untuk memelihara kesihatan dan dengan kesihatan yang baik manusia dapat hidup sempurna dan dapat melakukan ibadah (ibadah dalam erti kata yang luas) Ini termasuk penggunaan dan minuman air.

Maka kerana itu Qur’an menegaskan, bukan sekadar mengelak yang haram tetapi juga mesti mengambil kira apakah ia mendatangkan kebaikan, khasnya dalam hal minuman seperti tajuk yang diperkatakan ini.

Sebagai bahan minuman, air yang tercemar atau pencemaran air baik air sungai mahupun di mana-mana punca air tentunya termasuk dalam perkiraan surah al-Baqarah ayat 168 tadi walaupun ia tidak termasuk dalam katagori tidak memabukan lagi haram atau sebagai makruh walaupun tidak memabukan, seperti minuman (air) yang diperbuat daripada buah kurma dan buah rutab, yang diperbuat daripada busr atau pun dari buah tamar, kismis selagi ia tidak berbiuh atau belum sampai tiga hari.

Ada pula ulama sepakat tentang kerharusan membuat minuman yang direndam buah-buahan di dalam bekas yang diperbuat daripada kulit (Usqiyah). Ulama Hanafi berpendapat semua jenis bekas untuk mengisi air boleh bagi tujuan meminumnya, sama ada tempayan, bekas yang ditampal gala atau damar, labu air atau kayu yang ditebuk. Ini berdasarkan pemansuhan yang disabda oleh Rasulullah;

“Dulu aku melarang kamu minum kecuali di dalam bekas di dalam bekas yang dibuat daripada kulit yang disamak. Sekarang minumlah kamu dalam sebarang bekas asalkan jangan kamu meminum suatu yang memabukkan.”- Muslim,Ahmad, Abu Daud dan An-Nasa’i.

Apabila dunia berubah, sains dan teknologi berkembang, bahan-bahan alam juga turut berubah dan terjejas dari keasliannya. Air termasuk salah satu bahan alam anugerah Allah turut berubah hasil dari kelalaian, ketamakan manusia tetapi adakah ia sudah sampai ketahap haram walaupun dari segi hukum kesihatan ia ditegah?

Di negara kita ada Akta Perkhidmatan Air bagi mengelak pengguna menggunakan air yang tercemar. Tetapi Akta tersebut tidak menyebut haram atau halal.

Surah al-Baqarah ayat 168 menyebut halal lagi baik. Air kumbahan umpamanya, air yang dibawa masuk dari negara luar yang dikumbah misalnya, apakah status kehalalannya? Apakah kesan negatif sama ada dari segi jiwa dan fizikal, untuk mengelak dari maksud sabda Rasulullah bahawa umat Islam akan menjadi keras hati apabila meminum benda-benda yang tidak bersih.

Masalah di negara kita sekarang umat Islam berhadapan dengan air yang halal diminum tetapi apakah halal itu diikuti pula dengan ‘lagi baik?’ ( حللا طيبا )
Masalah pencemaran air sungai bukan cerita baru dan sejarah sungai dalam kehidupan manusia sudah bertaut sejak ribuan tahun, malah penempatan Adam sendiri dikatakan terletak berhampiran sungai.

Kajian Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati sebahagian besar sungai di Negara ini mengalami pencemaran sebanyak 49%. Daripada 45 sungai, JPS sudah mengenal pasti 13 sungai tercemar teruk, 23 sederhana dan 9 sungai lagi diisytiharkan sebagai bersih.

Ertinya, di negara kita hanya 9 sungai daripada 45 sungai boleh dikategorikan sebagai bahan حللا طيبا sedangkan yang lain hanyalah ‘halal’. Sekiranya boleh penulis nukilkan tentunya sungai yang dikategorikan sebagai kelas lima pencemaran serius, di mana airnya tidak sesuai diminum, seperti Sungai Juru dan Prai di Pulau Pinang, Sungai Air Baloi, Tukang Batu, Segget, Kempas dan Rambah (Johor) Sungai Landas, Sungai Ibai (Terengganu) Sungai Balok, Sungai Cherating dan Sungai Klang.

Air dari sungai-sungai tersebut jika mengikut hukum fiqh tradisional tentunya halal kerana ulama-ulama fiqh berpendapat air yang melebihi dua qolah adalah halal, tidak najis selagi warna dan baunya tidak berubah. Tetapi bolehkah kita pertahankan hokum ini apabila mendapati sungai-sungai tersebut berkeadaan yang menjijikan?

Pencemaran air sungai menyebabkan kualiti air bersih (halal) di Negara kita merosot. Sebagai contoh, dari kajian Puncak Niaga Sdn. Bhd mendapati 23 daripada 27 sumber air minuman bagi pengguna di Lembah Klang tercemar.

Pensyarah Jabatan Sains Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Kamal Yusuf berkata, jika masalah pencemaran sungai dan sumber air semula jadi tidak ditangani segera, Negara kita akan menghadapi kirisis air yang membimbangkan di masa akan datang.

Semuanya kerana manusia, kata beliau.

Apakah yang dikata tercemar itu? Syara’ hanya meletakkan hukum haram tetapi tidak semestinya yang haram itu tercemar. Minum arak haram hukumnya seperti yang dinyatakan di dalam surah Al-Baqarah ayat 219. bagaimanapun sebahagian bahan arak ini yang dianggap mencemarkan kehalalan minuman, tidak dipedulikan, malah sebahagian besar umat Islam, badan yang mengawasi haram halal sesuatu produk sendiri tidak begitu peka meletakkan hukumnya.

Sebagai contoh: senejis minuman berbotol yang sangat popular sehingga menjadi iklan utama pertandingan piala dunia, yang dijual di 185 negara dicemari dengan bahan alkohol. Resepi kafein, asid dan jus limau dicampurkan ke dalam satu kuartz air mendidih. Vanila dan perisa ditambah apabila sejuk. Beberapa jenama lain pula, perisa dan vanilla mendapati kandungan alcohol dalam lengkungan 2.32-5,900 bahagian persejuta.Bagaimana pun JAKIM berpendapat, penggunaan alkohol sebagai bahan pemantap adalah ‘harus’ asalkan alkohol (etanol) diperolehi daripada bahan kimia dan jika digunakan dalam jumlah yang sedikit ia tidak akan memabukan.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) melalui bukunya HALAL HARAM dalam bab 26 bertanya JAKIM,apakah dasar yang digunakan oleh JAKIM untuk membezakan kedua-dua proses yang menghasilkan produk yang sama?

Pencemaran air sungai yang yang berlaku sekarang tidak pernah diperkata dari sudut hokum halal haram sebaliknya dinyatakan dari sudut kesihatan sahaja. Walaupun pada dasarnya halal tetapi ia tentulah termasuk dalam pengertian ‘tidak baik.’ Semuanya berpunca dari manusia sendiri yang mengabaikan anugerah Allah. Sampah sarap, sisa minyak, najis adalah punca utama pencemaran air sungai. Sisa kotoran, tin-tin, bangkai binatang adalah bahan yang dibuang hasil dari kejahilan manusia. Setiap tahun lebih 20,000 tan sampah terpaksa di buang dan sisa pepejal dari Sungai Klang setiap tahun.

Malaysia sebenarnya telah mengeluarkan 300,000 tan sisa industri setiap tahun, kebanyakannya toksid.

Pencemaran juga berlaku di Melaka, di mana terdapat kira-kira 172,950 ternakan babi berada disepanjang sungai. Ternakan babi menghasilkan 0.44 kilogram sisa kering dan 20 liter air sisa sehari. Jadi, berapakah jumlahnya jika terdapar 172,950 ekur babi?

Sisa babi memiliki mengandungi beban organan yang tinggi dan mengandungi parasit helmith, yang membolehkan sumber air bersih tercemar.

Oleh yang demikian apa yang dinyatakan di atas sepatutnya di atasi dengan segera dan ia bukan saja memenuhi tuntutan alam sekitar, pencemaran, tetapi juga bersih dan suci mengikut kehendak syara’, seperti yang dibahas oleh para ulama tentang air yang melebihi dua qolah yang terjatuh tahi cicak atau najis-najis lain.

Satu kaedah perbahasan dari para ulama kita sekarang harus disegerakan agar mereka yang tidak bertanggung jawab mencemar air, baik air sungai atau mana-mana punca air tersedar betapa beratnya soal ini dari sudut syara’.

7 comments:

  1. Zaid Akhtar

    Selamat datang ke dunia blog, Cikgu Azizi.

  1. abdullahjones

    selamat datang ke dunia pelik ini pak!

  1. Jong

    salam, salam, salam....

  1. Tukya

    salam utk anakanda semua..

  1. Anonymous

    Hogan scarpe are ideal for anyone who wants a comfortable shoe that does not lack on style. No matter what type of Hogan scarpe donna you end up buying you will be able to have the most comfortable hogan donna on your feet and you will always be happy with the way that they look. These are the Hogan scarpe uomo that will be able to take you just about anywhere without having your feet ache after the long haul.

  1. Unknown

    anugerah allah yg sgt penting bg kita...air tu hidup dan boleh rekod memori..ckp benda2 baik dan minum..

    Jom lawat blog saya...:)

  1. Unknown

    anugerah allah yg sgt penting bg kita...air tu hidup dan boleh rekod memori..ckp benda2 baik dan minum..

    Jom lawat blog saya...:)