Sangeetha Dalam Diri Pengarangnya
Posted byOleh
Dato’ Dr. Hj.Muhd Mansur Abdullah
Presiden Lembaga Kaunselor Kem.Pemb.Wanita, Keluarga & Masyarakat
Dato’ Dr. Hj.Muhd Mansur Abdullah
Presiden Lembaga Kaunselor Kem.Pemb.Wanita, Keluarga & Masyarakat
I. PENGENALAN
AZIZI YANG SAYA KENALI
Saya mula mengenali nama Azizi Haji Abdullah kira-kira 35 tahun yang lalu lewat hasil-hasil cerpennya. Kami sama-sama menulis dalam ruang sastera di akhbar mingguan dan juga majalah mastika, wanita, pemimpin, dewan sastera dan UFF. Pertama kali saya mengenali beliau secara bersemuka, apabila kami menyertai satu seminar kesusasteraan di Ipoh, awal tahun 70. Orangnya banyak cakap, tidak sombong, pandai bercerita, sentiasa ceria, ikhlas dan terbuka, kuat mencarut dan melawak hingga tak kering gusi barang siapa mendengar sembangnya.
Selepas itu kami selalu bersama dalam setiap pertemuan Hari Sastera yang dianjurkan GAPENA, dan majlis kurang berseri kalau tidak mendengar celoteh dan gelak ketawanya. Pengalaman unik sekali, ketika kami berpeluang menghadiri bengkel penulisan kreatif anjuran DBP di Tk.Kemang, Melaka sekitar 1972. Ramai di antara teman sebengkel kami itu yang sudah pergi dahulu, seperti Allahyarham T.Alias Taib, Aziz HM, Darmawijaya, Hashim Yassin dan juga pembimbing drama kami, Krishen Jit.
Gelagat lucu yang ditampilkan oleh Azizi, apabila pagi-pagi buta selepas solat Subuh dia dan rakan-rakan lain berkelubung kain pelekat di varendah Rumah Rehat Teluk Kemang, Sedang baru semalam mereka ini diperkenalkan oleh Allahyarham Pak Kris Mas kepada penjaga Rumah Rehat itu kononnya sebagai Pegawai Kanan Kerajaan. Sepanjang-panjang bengkel itu tidak pernah sunyi apabila Azizi turut sama membicara dan membincangkan hasil karya cerpen, novel mahu pun drama dalam suasana gembira dan ceria.
Pada tahun 78-79 saya berkesempatan belajar bersama-sama beliau di USM dalam bidang penulisan kreatif. Sebagai seorang sahabat, beliau setia, terbuka dan tidak hipokrit, malah berani berdepan mengutuk apa saja yang tidak kena dalam nada penuh jenaka. Sifat berterus terang beginilah yang saya kira membuatkan diri Azizi dengan novel-novelnya bersepadu sehingga menyerlah dengan kekuatan daya ciptanya yang secara jujur dan terbuka menceritakan apa yang dia tahu dan alami lewat pengalamannya yang luas sekali.
II. CORAK DAN GAYA PENULISAN AZIZI
Azizi menulis sesuatu yang dia benar-benar tahu. Bukan hanya direka-reka dan bukan cuma di dengar daripada orang sahaja. Dia sungguh perihatin dan peka tentang apa yang berlaku di sekeliling disebabkan dia suka bertanya dan melakukan penyelidikan. Justeru itu, setiap hasil kerjanya dilaporkan dengan terperinci sekali. Pendek kata, sesuatu gambaran yang dilukiskannya itu amat jelaskan dan berkesan sekali akibat daripada pendetailan serta menghalusi setiap satu, sehingga kepada perkara-perkara yang kecil-kecil dan kurang penting bagi orang lain.
Penerokaannya mendasar ke akar umbi, dan inilah yang menguatkan teknik dan gaya penceritaan Azizi dalam semua novelnya. Kadang-kadang kita terasa seperti tidak ada yang tercicir atau tertinggal langsung sesuatu perkara itu di dalam diskripsinya. Begitulah cara penerapan dan pemaparan novelis yang saya kagumi dalam setiap penulisannya yang saya ikuti. Kepuasan begini terserlah apabila kita selesai membaca novelnya hingga ke sudah!
Cara penceritanyanya lancar dan menarik minat pembaca untuk meneruskan pembacaan. Walau pun plot ceritanya tidak kronologis dan agak berselerak, namun urutan ceritanya yang berkesinambungan itu membuatkan pembaca asyik dan ternanti-nanti kesudahan sesuatu peristiwa atau kejadian itu. Kepintaran Azizi menganyam jalin ceritanya dengan lenggok bahasa dan gaya bahasa klasiknya, amat menawan. Contohnya pengulangan ungkapan dan parafrasa menambah kuat dan menekankan lagi kehendak atau tujuan penceritaan itu sendiri.
Cuba kita lihat bagaimana Azizi menggambarkan tentang misai Viralal yang dikatakannya ‘seperti misai Rabindranath Tagore, tajam hujungnya dan melengkung ke atas seperti tanduk sapi jantan’(ms.5) Ini memudahkan kita menggambarkan betapa lentiknya misai itu dan menambah garang lagi tokoh yang digambarkan. Dalam menceritakan pula tentang bulu dada Viralal yang lebat itu, Azizi menyebutkan, ‘...bulu dada Viralal semerngam lebat malah berserabut jika dikesat selepas mandi…..bulu dada itu tidak sekadar subur di bidang dada malah bertali arus semaknya hingga memintal-mintal ke bawah dan ke bawah…(ms 5) Pilihan kata-kata dan ungkapan seperti serabut, semerngam, semak dan memintal-mintal cukup menggambarkan betapa huduh dan kusut masainya bulu-bulu tersebut.
Begitu juga Azizi menggambarkan kelazatan dan betapa nikmatnya seseorang itu menerima hembusan sang bayu pagi. ‘…Angin pun memang terasa hembusannya dan dia yang hanya memakai baju panas leher bulat dengan kain pelekat yang digulung hingga ke paras lutut seperti mahu mendedah habis-habisan pada angin. Dia mahu menghabiskan pagi itu dengan memandang ke luar dan berfikir bagaimana dia telah memboroskan masa mudanya...’
Sebagaimana yang saya katakan tadi, Azizi bukan setakat tahu sesuatu benda, tetapi dia mengkaji agak mendalam tentang sesuatu benda atau objek tersebut. Contohnya dalam permainan alat-alat bunyian yang dipunyai Viralal. Misalnya tabla dan dagga. Bukan setakat nama setiap alat seperti vadi, syahi or gab, kinar or chat, garja, dan nama jenis rentak pukulan seperti 6 ½, 8 ½., vilambit, tempo madhyan, drut, theka, tintal, maidan, tal, tin, na, bol, kaida, gat, peshkar, tukda atau rela. Sehinggakan cara dan gaya Viralal memalu tabla itu sendiri digambarkan sejelas-jelasnya,. Katanya, jari jemari Viralal seperti kaki belalang melompat-lompat di atas perut kulit belulang yang tegang itu.
Azizi menceritakan tentang rumahnya besar milik Viralal itu cukup terperinci sekali, dengan katanya, ‘….rumah besar atas bawah, bawah satu bilik dan ruang kosong yang luas, di atas pula ada empat bilik, tiga bilik air dan tiga tandas serta ada ruang legar yang besar di tengah-tengah.(ms35) Dindingnya papan kayu dimasak, tetapi ada yang terkopak kapik. Rumah limas potongan perak itu berbumbung tajam, atapnya genting banyak yang retak dan pecah. Anjungnya besar, ruang dapur luas, ada serambi ibu dan serambi anak, lantainya papan tebal dari kayu baik-baik. (ms39) Sayang tak berjaga, macam rumah berhantu kerana di kirinya ada pohon jejawi besar, ia terletak di tepi belukar. Jalan masuknya sempit dan tidak berturap, selalu becak kalau musim hujan…’ (ms 40)
Sama juga sepertimana dia menjelaskan tentang bentuk dan rupa gambusnya yang diperbuat daripada kayu nangka itu, Azizi menjelskan lagi, ‘..gambusnya …’badan gambus itu buncit macam labu air, di permukaannya ditutup kulit kambing yang kering dan tegang, licin tidak berbulu, manakala leher gambusnya itu agak panjang dan kepalanya melengkok ke atas semula merupai kepala kuda laut, sedangkan telinga pemulasnya seperti kayu hoki kecil, dan gambus itu bertali sepuluh. (ms.83) Pendeknya orang buta pun dapat menggambarkan dari diskripsi yang diutarakan Azizi ini.
Ternyata, Azizi banyak sekali bertanya, dan membuat penyelidikan untuk memperoleh sesuatu maklumat itu secara terperinci dan betul, bukan diada-adakan benda yang tiada. Misalnya dia menyenaraikan nama ubat-ubat yang diberikan kepada burung peliharaan bagi menjamin kesihatan unggas tersebut. Antaranya viralal dikatakan menggunakan ubat Amplexol, Canary Post, Gowvt, Juvero Power, Supervit drop dan lain-lain lagi. (ms110) Termasuklah apabila dia menggambarkan pakaian Sangeetha yang bukan setakat sari, tetapi juga mukuti, kapel, valiyel dan juga kolusu. Semuanya ini perlukan orang-orang tertentu bagi memberikan maklumat yang betul dan sahih.
III POKOK PERSOALAN
Memanglah novel ini pokok persoalannya mengenai kisah cinta. Orang akan mengatakan novel ini novel percintaan. Namun percintaan yang diutarakan Azizi dalam Sangeetha bukan cinta biasa. Ia adalah kisah percintaan yang agak unik dan luar biasa. Ia adalah mengenai cinta antara dua orang yang berusia warga emas. Iaitu cinta orang tua. Namun begitu, jikalau setakat itu sahaja, belum lagi boleh dipanggil unik dan aneh., Tetapi percintaan kali ini adalah di antara dua warga emas yang berlainan agama (Islam dan Hindu) serta bangsa (Melayu dan India).
Sesiapa juga boleh bercerita tentang cinta begitu, namun Azizi menggarap cinta ini sebagai mendukung sebuah konsep perpaduan yang dihasratkan oleh negara Malaysia. Justeru itu, sudah pastinya dia akan mengulas dan mendedahkan isu pertembungan dua budaya yang amat luas, unik dan rencam sekali. Ia bukan hanya menyangkut tentang soal kebudayaan dan adat resam semata-mata, tetapi sekaligus menyentuh soal agama yang rumit dan terlalu sensitif.
Keberanian Azizi mengutarakan isu perpaduan ini, saya kira suatu yang harus dipuji. Cara penyelesaian terhadap isu itu dibentangkannya secara legal dan bukan atas kehendak adat dan peraturan semata-mata. Soal legaliti inilah yang harus kita sanjung, walaupun Azizi tidak berani melebar dan membuat penghujahan yang meluas dan lebih berani. Ini disebabkan risikonya terlampau besar dan meminta pengorbanan yang tak setimpal dengan kerja seni yang diusahakannya.
Mari kita lihat bagaimana Azizi menambat pembaca supaya menelusuri ciri-ciri perpaduan dalam diri watak-wataknya. Melalui kersenian, iaitu bermain alat musik yang lazimnya berbentuk universal dan kepunyaan sejagat, diheret Azizi ke dalam novel Sangeethanya. Viralal dan Sangeetha pemain tabla dan dagga, sementara Derus pula pemain gambus. Siapa dapat menduga kedua-dua alat bunyi-bunyian ini bisa disatukan? Azizi cuba menelorkan hujahnya dengan mengutarakan kisah Viralal yang mengajak Derus bermain sama, bagi mengkombinasikan dua irama – gambus dan tabla.
Tetapi, isteri Viralal, Sangeetha telah menyindir suaminya, bahawa ‘Melayu dengan India mana boleh bersatu’(ms.87) Ini adalah ucapan yang biasa kita dengar di mana-mana, terutama dalam isu kahwin campur di kalangan bangsa India sendiri. Bagi kaum India, mereka membolehkan orang lelakinya mengahwini perempuan Melayu, tetapi tidak bagi perempuan India dikahwini lelaki Melayu. Kalau ada pun itu contoh yang amat kecil dan terpinggir benar.
Justeru itu, Azizi telah menggunakan Viralal sebagai penyatu perpaduan budaya itu dengan penjelasannya, ‘…kebudayaan Malaysia mesti di satukan!’ Pemimpin MIC jarang mengatakan begitu, bukan? Tambah Viralal lagi, ‘…tabla boleh masuk dalam irama ghazal….sayang kamu tidak belajar, kalau tidak, senang kita satukan irama dan rentak’(ms87). Pengakuan Viralal sama sebagaimana pernyataan Allahyarham Tan Seri P.Ramlee, bahawa irama dan lagu, tak dapat dipisahkan, jika dipisahkan pincanglah seni! Saya beranggapan bahawa hasrat Viralal ini sebenarnya sebagai suatu aspirasi kerajaan Malaysia dalam usaha mencapai matlamat Kebudayaan Nasional sebenarnya!
Satu ketika lagi, Azizi menerapkan konsep perpaduan ini melalui watak utamanya Sangeetha. Wanita warga emas keturunan India ini cuba menegah suaminya, Viralal daripada memakai kain putih yang bercawat, sebagaimana lazimnya dipakai oleh orang-orang India itu. Sangeetha berpendapat, katanya, ‘….di sini negara kita, beradatlah dengan negara ini’ Suaminya Viralal akur walau pun masih menyindir, ‘mau jadi Melayu’(ms.5-6) Itulah sebabnya saya namakan pembicaraan saya ini sebagai ‘Sangeetha Dalam Diri Pengarangnya’
Hasrat Sangeetha, adalah hasrat Azizi dan hasrat Negara Malaysia juga! Azizi menyalurkan hasrat dan aspirasi kerajaan Malaysia menerusi watak heroinnya, Sangeetha. Sangeetha yang telah berusia 80 tahun itu merasakan bahawa Malaysia ini sudah menjadi tanah tumpah darahnya, maka haruslah taat dan akur terhadap budaya dan sosial negara ini. Dalam erti kata yang lain, harus tunduk mengikut kehendak politik dan pimpinan negara sekaligus!
Keberanian Azizi tidak hanya dalam hal-hal yang menyangkut soal dan isu budaya semata-mata. Sebagaimana yang saya sebutkan awal-awal tadi, Azizi berani sekali mencetuskan polimik besar tentang agama misalnya. Keberanian ini saya kira wujud atas kesedaran yang tinggi kerana peribadi pengarangnya sendiri. Sebagai seorang guru agama, Azizi sudah tentu mahir dalam selok-belok agama Islam dan juga segala peraturan dan hukum-hakamnya! Justeru itu, dia langsung tidak bimbang atas apa yang diutarakannya, kerana dia tahu dan faham benar-benar apabila membicarakannya.
Kita disogokkannya dengan kisah bagaimana Viralal yang mesti dikebumikan di kuburan Islam walau pun ditentang oleh para sahabat karibnya. Mengikut aspek legalnya, Viralal sah sudah memeluk Islam, stelah diajar mengucap sebelum ajalnya sampai oleh Derus. Isu perundangan terbukti, dengan kenyataan saksi utama, Sangeetha dan juga jururawat yang melihat dan mendengarnya. Azizi rupa-rupanya, awal-awal lagi sudah siap menyediakan perisai sebelum serangan polimik berlanjutan! Syabas ustaz Azizi!
Keikhlasan, ketulusan hati Sangeetha digambarkan Azizi sebagai menguatkan hujahnya apabila Sangeetha yang memohon Derus melakukan sesuatu di saat-saat terakhir, iaitu mengajar Viralal mengucap dua kalimah syahadat! Jika kita imbas dari cerita ini, sebenarnya Viralal seperti sudah ada visi dan kecenderungan untuk memeluk Islam. Buktinya, teguran Viralal tempoh hari yang membawa makna, bahawa Islam bukan cuma untuk Melayu, tetapi juga untuk India dengan syarat kalau mahu belajar. Bermakna, Viralal telah diajarkan oleh Derus, dan kelihatan dia seperti mengikutnya walau pun dalam hati sahaja. (ms.15 & 17)
Perasaan cinta murni dan kasih sayang sejati kedua-dua makhluk warga emas ini, hanya ketara dalam pertengahan novel ini. Pengarangnya amat halus bersembunyi dengan memainkan sentimen pembaca melalui kaedah suspencenya. Sangeetha berasa terlalu enak dan nyaman apabila tangannya dipimpin lembut oleh Derus dengan rasa penuh kasih dan sayang, ketika mereka bersiar-siar di Padang Kota. Azizi menggambarkan, ‘…memang itulah yang sangat diharapkan oleh Sangeetha. Dia tak percaya pada kata-kata dan bahasa untuk melahirkan perasaan. Dia lebih percaya kepada sentuhan dan kemesraan…’ (ms 234)
Perasaan halus ini juga dapat dirasa dan diakui sendiri oleh Derus dengan dilukiskan oleh pengarang, ‘….Memang itu pun yang hendak diberi oleh Derus walaupun selama ini bukanlah itu yang dicita-citakannya. Dia berasa sesuatu yang perlu menepukan kekosongan kamar hati Sangeetha kerana dia sudah lama menjenguk baik siang atau malam. Memanglah kamar itu kamar yang cukup sepi…’(ms 234-235)
IV PSIKOLOGI ORANG TUA
Oleh kerana novel ini mengisahkan tentang percintaan dua orang warga tua, maka ia banyak menyentuh soal-soal Aging Psychology. Dalam psikologi orang-orang tua banyak menyentuh isu-isu kesepian, kesunyian, keharuan penyisihan dan anomi yang amat terasa. Selain daripada itu perasaan sedih dan pilu juga mudah terjelma. Manakala perasaan nostalgia dan kenangan manis masa lalu mudah muncul dalam bentuk khayalan dan ingatan. Begitu juga perasaan ingin didampingi, dikasihi, ditemani walau pun sekadar teman berbicara begitu mendesak sekali.
Dalam membicarakan psikologi orang-orang tua ini juga, akan menggarap perasaan sensitif dan cepat berasa hati, mudah tersentuh perasaan, dan merajuk. Satu lagi ciri yang terdapat pada orang-orang tua ialah degil dan tidak mahu mengalah akibat mekanisme bela dirinya amat tinggi. Selain daripada itu, orang-orang tua begini lazimnya memerlukan orang lain berada bersamanya, jika keseorangan, ini memudahkan proses penuaan dan cepat lupa, menjadi nyanyuk dan juga lumpuh. Ketiga-tiganya berpunca dari otak yang lemah tak bertenaga kerana kurang berinteraksi dan berkomunikasi.
Azizi amat berjaya menggambarkan kesepian dan kesunyian pada diri kedua-dua watak utamanya iaitu Derus 70 tahun dan Sangeetha 80 tahun. Dalam novel ini kesepian, kesunyian, pengharapan dan penantian banyak sekali diolah oleh pengarang sepertimana yang dihadapi Sangeetha sejak akhir-akhir usianya ini. Kadang-kadang kesepian, kesunyian, pengharapan dan penantian ini begitu panjang lebar dan terperinci sekali bagi menghidupkan lagi watak dan perwatakan hero dan heroinnya.
Azizi cuba mengolah perasaan Sangeetha dengan cara bagaimana pula Sangeetha sendiri mahu menghilangkan kesunyian dan kesepian itu, Ternyatalah dengan adanya harapan dan penantian menjadi perantara. Misalnya digambarkan dengan kehadiran Derus yang sering berkunjung ke rumah besarnya mengurangkan rasa sunyi sepi dalam dirinya.. Dia sekadar hanya mahukan Derus berada di rumahnya sahaja.’….dia tak harapkan apa-apa daripada Derus, kecuali Derus ada di halaman atau menambah air dan padi merbuknya, jadi drebar sekejap atau…..jikalau Derus tak lakukan apa-apa pun tak mengapa. Cukup sudah Derus ada dan dia boleh nampak di mana-mana…’ (ms.142 )
Sebagai seorang tua Sangeetha mahukan seseorang berada di sampingnya. Perasaan khuatir dan bimbangnya muncul, takut jikalau berlaku apa-apa yang mengejutkan, ada juga orang yang boleh diharapkan membantu. ’…malam-malam sunyi kalau tiba-tiba dia sakit, penat, lelah mengejut, siapa hendak tolong? ….Kenapa Derus tak memahami semua itu? Kenapa Derus tak tergerak menawarkan diri, mahu tidur di mana-mana bilik yang kosong sekian lama itu…’ (ms.144)
Waktu dan suasana juga memainkan peranan yang paling penting dalam menggambarkan sunyi dan sepi yang dirasai dan dialami oleh Sangeetha. Misalnya pada waktu malam. Waktu itulah yang menghantui dirinya, hingga menyebabkan dia benar-benar merasakan perlunya Derus hadir dalam hidupnya. Ini digambarkan oleh pengarangnya dengan panjang lebar, ‘…Malam bertambah malam. Sepi pun semakin bertambah. Yang terdengar cengkerik di tepi pagar yang berlumut. Pokok-pokok sawa tentu sudah tidur. Pokok rambutan tua juga tentu sudah tidur. Mungkin daun-daun tua ada yang gugur tetapi yang hijau pasti berasa segar apabila embun mula gerimis…’(ms 159)
Walau pun Derus hanya datang sesekali sahaja, namun kehadirannya dapat juga menghilang kesepian dan kesunyian dalam hati Sangeetha. ‘…Derus yang datang menyiram pokok-pokok, menyapu daun-daun kering di halaman, dan membakarnya, mengisikan air dan makanan merbuknya, mengibas habuk-habuk di badan kereta serta menghidupkan enginnya sekali….”(ms )
Cukup menyenangkan hati wanita tua itu. Ini diakuinya lagi dengan mengatakan, ‘…..selepas kematian Viralal lima tahun lalu, Deruslah yang menceriakan suasana, baik di dalam atau di halaman. Bukanlah apa-apa melainkan merasai satu kehadiran yang tidak dapat dinyatakan, melainkan terasa yang dia tidak keseorangan….’ (ms. ) Ini terang-terang diperjelajaskan lagi oleh pengarang,’ sepi sangat pagi itu, walaupun hari-hari yang lalu memang pun sepi, tetapi dia tidak berasa sepi seperti sepinya pagi itu. Deruslah segala-galanya….’(ms 312)
Oleh kerana Derus hanya datang sekali sekala sahaja, maka Sangeetha menjadikan Meo itulah teman yang dapat menghiburkan hatinya apabila Derus tiada. Meo digambarkan sebagai teman karib tidur Sangeetha itu, dapat juga menyukakan hatinya dan sekaligus menghilangkan kesepian dan kesunyian dalam dirinya. ‘…Meonya manja tetapi sedikit malas……Bila dipanggil datang terkodek-kodek ekornya, menggesel-gesel betisnya, menjilat-jilat buku lalinya. ….Bila dipukul tabla dan dagga, Meo mengodek-ngodek ekornya, berpusing-pusing, melompat-lompat menari. Dia ketawa geli hati melihat pesona meonya…’ (ms. ) terubatlah juga sepi dan duka lara Sangeetha melihatkan telatah nakal Meonya itu.
Bagi menghidupkan lagi suasana sunyi dan sepi yang dideritai Sangeetha, pengarangnya memperlihatkan bagaimana sekiranya Meo teman karibnya dan juga Derus pada waktu-waktu diperlukan mereka itu tiada di sampingnya. Terutama apabila dia panggil berkali-kali Meonya dan juga Derus namun mereka tak kunjung datang. Mulalah terbit perasaan risau, bimbang, marah, sakit hati, kecewa dan rindunya datang menerpa. Tambah lagi ketika cuaca petang, senja yang hampir gelap itu sendiri sebagai lambang-lambang kepikunan yang amat menyedihkan digambarkan Azizi lagi, ‘…Sangeetha mendengus, memandang halaman rumahnya seperti sebuah hutan yang belum diteroka…’ Akhirnya perasaan kecewa dan hampa itu bertukar menjadi geram, marah, kecewa dan sakit hati, sehingga digambarkan Azizi lagi, ‘….dia menutup pintu dengan keras…’ (ms. )
Selain daripada itu, perasaan cemburu, kecewa dan kemudian merajuk adalah antara sifat-sifat yang ada pada orang-orang tua. Perasaan kecewa, hampa, marah itu akibat daripada perasaan cemburu atau perasaan benci tetapi sayang. Semuanya itu adalah tanda-tanda perasaan cemburu sudah merajalela di hati. Dalam novel ini diperlihatkan Derus berasa begitu sakit hati dan cemburu sekali apabila melihat dirinya terabai, dan Sangeetha dilayan begitu baik oleh sami-sami Hindu di kuil Air Hitam, Pulau Pinang. ‘…masakan tidak terasa apa-apa kalau perempuan tua itu yang sekian lama dijaga dan dibantu, yang sekian lama menjadikannya tunjang dan sekaligus menjadi drebar, tiba-tiba menyerah kepercayaan pada orang lain secara rela?.....dia yang bersusah payah memapah dari undakan pertama turun pelan-pelan, mengapuk pinggang, memaut tangan, terencot encot…tiba tiba pada waktu yang lain Sangeetha membiarkan orang lain pula memapah….’(ms 222-223)
Perasaan cemburu Sangeetha juga dapat dilihat apabila peristiwa Meena adik kandung Sangeetha sendiri cuba memikat suaminya, Viralal. Oleh kuatnya rasa cemburu Sangeetha yang tak bertepi itu, tergamak dia meninggalkan saja adiknya sebatang kara. Apabila Derus menyuarakan pendapat supaya Sangeetha berusaha mencari adiknya lagi, Sangeetha terang-terang menampakkan cemburu butanya dengan menuduh Derus, ‘Kemudiaan dia akan gila pada kau,,,dan kau pula gila padanya?’(ms 239).
Perasaan syak, prasangka dan cemburu Sangeetha terhadap adiknya Meena ternyata sekali ketika peristiwa Meena keluar ke pasar dengan kereta Moris Minor hitam, dikhuatiri mengajak Derus sama.’…Moris Minor itu sepatutnya dipandu oleh Derus, bukan orang lain. Yang duduk di belakang sepatutnya dia, bukan orang lain. Bagaimana kalau Meena membelok ke rumah Derus, melaung-laung Derus mengajak bersama-sama ke pasar? Bagaimana kalau Derus menerima ajakan itu kemudian Derus menjadi drebar dan Meena duduk di belakang seperti Derus membawanya…’(ms480-481).
Jikalau Sangeetha mencemburui Meena dengan Derus, tetapi Derus bukan sahaja mencemburui kemunculan Meena yang tiba-tiba sahaja dalam upacara Anugerah Tokoh Dermawan itu, tetapi timbul perasaan prasangka dan curiga dalam hati Derus, ‘…Derus sedikit percaya tetapi masih banyak yang hendak diketahui mengapa malam ini tiba-tiba muncul, apakah Sangeetha sedikit pun tidak mencurigai kehadiran ‘adik’ kandungnya ini? Bagaimana kalau seorang perempuan akan memukau Sangeetha untuk merampas segala harta benda Sangeetha?...’( ms 368)
Derus berasa kecil hati dan merajuk benar pada Sangeetha kerana dicemburui dengan Meena adiknya. Ini digambarkan Azizi melalui kesunyian dan kesepian yang dirasai sendiri oleh Sangeetha sebagai timbalbalik atas perlakuannya dahlu.’…tetapi mahukah Derus datang lagi menggilap Moris Minor, menghidupkan enginnya? ...dan mahukah? Mahukah? Mahukah?….Rasa tidak mahu dia menjemput Derus. Mahu dirajuknya berterusan. Namun sampai bila? Bagaimana kalau Derus juga mengambil keputusan yang sama? Jika itu terjadi fanalah dunia ini. Dia pasti kembali ke dunia utopia sekali lagi..!’ms.251) Walaupun dia hendak membalas rajuk Derus dengan merajuk, tetapi dia takut sendiri mengambil risiko begitu.
Perasaan kesal, sakit hati dan merajuk ini banyak sekali dipaparkan pengarang. Jelas kelihatan bahawa orang tua-tua memanglah kuat merajuk dan mahu dipujuk. Daslam novel Sangeetha ini, Azizi banyak mengutarakan peristiwa-peristiwa di mana Sangeetha mahu pun Derus memperlihatkan sikap begitu. Contohnya, Sangeetha kesal dan kecewa apabila Derus menolak pemberiannya, lalu dia berkata dengan kasar kepada Derus, ‘…kau fikir kau kuli rumah ini? ‘…kalau kau anggap kuli di sini, tak payah datang lagi, tak payah buat kerja,…’ (ms.103) Ini menggambarkan Sangeetha sudah mula berasa hati dan mula merajuk.
Hal yang sama juga digambarkan pengarang melalui peristiwa Derus pula membalas dendan atas sikap Sangeetha begitu. Dia pula memulangkan semula duit sewa rumah yang didudukinya apabila Sangeetha enggan menerimanya juga. Ternyata Derus bersa hati sangat lalu dengan kasar juga dia menolak, sambil berkata dengan sinis, ‘….Geetha ingat selama ini saya makan gaji di sini….’ katanya dengan bebal terus meninggalkan Sangeetha sendirian. (ms. )
Jelas sekali diperlihatkan pengarang bagaimana Derus merajuk benar sehingga sampai hati dia hanya buat kerja rutinnya sahaja secara acuh tak acuh hari itu. ‘Engkau merajuk Derus?’...”Tidak!”….(ms 298) Sehinggakan apa sahaja yang disuruh Sangeetha, dia berdalih untuk membuatnya esok, lusa, dan lain-lain bagi memperlihatkan keengganannya. Tetapi apabila Sangeetha sebut tentang air minum merbuk kehabisan, Derus tidak sampai hati, dia buat juga tetapi ala kadar sahaja. ‘…Dan alangkah terkejutnya sebaik saja dia tiba di pintu, Derus sudah tiada. Sangkar merbuk sudah tergantung dan masih bergoyang-goyang. Dilihatnya Derus sudah di atas basikal, mengayuh ke pintu pagar dalam keaadaan linglung…’(ms )
Derus merajuk dengan harapan Sangeetha akan sedar kesilapannya sendiri. ‘…Walau bagaimanapun buat sementara waktu dia tidak kisah. Biarkan Sangeetha sedar sendiri. Satu hari, Sangeetha akan tahu juga betapa tembaga menunjukkan senam, besi menunjukkan karat, keris menunjukkan pamur, manikam menunjukkan cahaya….”(ms 528).
Namun begitu rajuknya yang melampau itu menyebabkan Sangeetha jatuh sakit merana, barulah dia seperti menyesal dan merasa bersalah terhadap dirinya, ‘… Sesungguhnya barulah timbul pada saat itu satu penyesalan bahawa sepatutnya dia tidak mengambil sikap merajuk sampai lama-lama. Terasalah menyesal bahawa selama ini, sebenarnya dia bukan kuli, bukan jongos, bukan tukang kebun, bukan tukang sapu, bukan drebar. Dia adalah Derus posmen pencen yang sudah tua yang bersedia menemani seorang perempuan pikun yang diamanahkan oleh sang suami yang baik hati dulku…’(ms 542)
Sigmung Freud dalam teori psikoanalisisnya ada menyebut tentang mekanisma bela diri. Lazimnya manusia ini mengikut Freud suka menyalahkan orang lain, walaupun kesalahan itu dia sendiri yang melakukannya. Azizi menggambarkan bahawa Derus tidak pernah rasa bersalah kerana menolak pemberian Sangeetha. Sebaliknya, dia berasa Sangeetha yang bersalah kerana sudah tak sukakan dia. Lalu dia mereka-reka gambaran yang salah terhadap Sangeetha, ‘…sememangpun dia tak pernah meminta menghambakan diri menjadi kuli di rumah itu, sebaliknya janda kurus kering tua terhegeh itu yang sangat mengharap padanya…’(ms164) Penidakan Derus inilah yang dikatakan sebagai mekanisme bela diri atau helah bela diri itu.
Selain daripada menghuraikan tentang helah bela diri, teori psikoanalisis juga ada membincangkan tentang bawah sedar. Ini terjadi apabila seseorang itu melakukan sesuatu tanpa disedarinya sendiri. Jadilah ia seperti satu ilusi dan khayalan semata-mata. Di mana, oleh kerana Sangeetha yang terlalu berharapkan Derus sangat, dalam waktu-waktu kesepian dan kesunyian itu, dia merasakan, ‘….Tiba-tiba dia nampak halimunan Derus merangkak perlahan-lahan turun. Benarkah Derus atau bayang yang memnjelma ketika malam disinar cahaya bulan? ….sesekali dia tertanya juga diri sendiri, apakah itu Derus atau apa-apa? Tetapi apa pun peduli apa, asalkan yang dia nampak ialah Derus…’(ms234-235) Di sini kelihatan Sangeetha cuba membina keyakinannya di bawah sedar, hingga menjadi seperti benar dan nyata sekali, walau pun sekadar angan-angan sahaja.
Begitu juga terjadi peristiwa Derus menghantar balik Sangeetha dan Meena balik dari upacara Anugerah malam itu. Sangeetha memang mengharapkan Derus tidur sahaja di rumahnya kerana hari sudah jauh malam. Oleh kerana terlampau mengingat dan memikirkan Derus, Sangeetha sampai terangan-angan dan berkhayal Derus kononnya bersamanya pada malam buta itu. ‘…Tetapi Derus juga tidak memenuhi syarat seperti lelaki lain. Mungkin kerana pertama kali dan kesempatan yang ada sangat terburu-buru. Dia merasa menggagahi dirinya dan memaksa Derus menggagahi perasaannya bukanlah ubat kuat. Akhirnya dia terkulai dan tidur di atas lengan Derus yang lumpuh keaktifannya…’ (ms 393-394)
Kejadian yang sama berlaku juga pada Derus yang terlampau asyik teringatkan Sangeethanya, sehingga Azizi mengambarkan pula, ‘….Tiba tiba dia nampak Sangeetha tersenyum sampai hendak tergelak pula. Kerepot tua mulut Sangeetha sangat huduh. Sangeetha yang hanya memakai baju kurung perempuan Melayu dengan kain batik Jawa dilihatnya menahan ketawa. Halimunan Sanggethakah itu?....’(ms169) Demikian Derus yang hampir gila angau itu cuba membina keyakinan sendiri di bawah sedarnya.
Soal kesedaran juga diutarakan pengarang lewat watak Derus yang sudah 70 tahun itu. Dia sering diejek-ejek dan dipersenda-guraukan anak-anak muda. Husin, bujang terlajak yang jadi teman, menyewa bilik serumah dengannya itu pernah menyindirnya,’….dah tua-tua, baca quran lagi bagus.…. Takkan nak jadi gila macam perempuan tua di sana tu…’(ms 234-235) Pengarang cuba menyedarkan watak Derus tentang kealpaannya sendiri, ‘..Derus ditojah malu juga kepada diri sendiri. sepatutnya dalam keadaan tua begitu, bukan gambus yang menjdi teman. Sepatutnya hilang dicari, terapung direnangi, terbenam diselami dalam hal agama. Bukan gambus yang dipetik. Bukan gambus yang dipeluk sebaliknya berada di masjid seyiap waktu. Quran yang dibaca atau lidah yang memetik zikir….’ (Hlm. 234-235)
Kesedaran dan keinsafan dalam diri orang-orang tua terserlah ditonjolkan dalam novel ini. Penyesalan yang timbul menguatkan iman seseorang itu untuk kembali mengingati Allah! ‘…Dia menggeleng-gelengkan kepala hairan akan tegarnya sampai Sangeetha berkeadaan begitu…(ms 539) Dalam saat-saat genting penyesalan Derus masih yakin dan berserah kepada kebesaran Maha Esa, ‘…Dengan lembut dan sopan, dengan tawaduk dan berharap. Derus mengalih hadapnya arah kiblat. Dengan suara gumam, dia munajat sepenuh hati, dengan sebak dan lelehan air mata. Diangkat tadahan tangannya seperti hendak menggapai sejambak makbul daripada Tuhan..’ (ms 542)
Selain daripada kesedaran, orang-orang tua juga memiliki sifat ingin memiliki dan menyimpan sesuatu yang antik dan bernilai sentimental sifatnya. Azizi sengaja memperlihatkan perbedaan besar Viralal, Sangeetha dan Derus dengan sifat Meena. Sedangkan Derus pun tahu menghargai barang-barang antik seperti gambus tua, basikal tua, kereta tua, kerusi tua, rumah tua, perabot antik, malah buah hati pun orang tua.
Azizi sengaja melukiskan betapa Meena yang tidak dapat menghargai dan menyanjung tinggi peninggalan Viralal yang menjadi lambang kasih sayang kakaknya Sangeetha. ‘…kenapakah kakaknya masih menyimpan pokok cermai tua, pokok sawa yang sudah melupas kulit perdunya, jambu batu yang kebanyakan daun dimakan ulat? Kenapa masih menyimpan pokok rambutan tua di belakang, pokok kelapa tua yang melayup batangnya…’ (ms 398)
V. UNSUR-UNSUR LAIN DALAM ‘SANGEETHA’
Seperti yang saya sebutkan terdahulu, Azizi amat pintar memainkan kata-kata. Unsur kias ibarat banyak digunakan dalam menyampaikan maksud dan makna dalam novel ini. Melalui tindakan dan tutur kata watak-watak tertentu dapat dilihat kecenderungan penulisnya berbuat demikian. Misalnya, Sangeetha yang sering cuba menyatakan perasaan hatinya kepada Derus, tidak secara terus-terang, tetapi berkias-kias sehingga Derus benar-benar tidak faham, atau sengaja buat-buat tidak faham? Peristiwa begini jelas digambarkan Azizi, ‘…Sangeetha duduk berhampiran Derus, merenung bola matanya, sambil tersenyum kerepot……‘Aku sayang pada tabla ini, tapi tabla ini tidak dapat mengisi hidupku,….engkaupun tak pernah memukulinya….’(ms104)
Ini adalah satu gambaran yang jelas tentang keinginan batin dan kalbunya yang tersembunyi itu. Kemudian, pengarang mengatakan dalam satu peristiwa apabila keduanya bersentuhan tangan ketika Derus cuba menyentuh birai tabla, Sangeetha digambarkan hingga terpejam matanya kerana menikmati sentuhan rasa itu. Ini satu gambaran yang amat romantis lagi syahdu! Begitu juga dengan pengakuan Derus yang jujur adalah merupakan kiasan dan simbolik, dengan katanya, ‘….maaf saya cuma pandai main gambus!..’(ms.104) Mungkin ini dimaksudkan oleh pengarang yang Derus hanya mampu atau boleh berkasih sayang hanya bersama wanita sebangsa dengannya, iaitu wanita Melayu sahaja!
Kerelaan dan kesediaan hati Sangeetha juga dihamburkan melalui kata-kata sindiran yang amat sinis sekali. Contohnya Sangeetha berkata kepada Derus, ‘…Tak apa. Hari ini kamu bersihkan sangkar…,’ Pembaca tentu tertanya-tanya, kenapa sangkar dan tidak Moris Minor pula? Ini menjelaskan, bahawa sangkar itu bukankah ada burungnya. Burung itu adalah lambang atau simbolik bagi diri Sangeetha sendiri, dan sangkar itu pula adalah lambang penjara. Bererti kehidupan dan seluruh perasaan Sangeetha bagaikan terpenjara selamanya. Kehadiran Derus membersihkan sangkar bererti, setidak-tidaknya Derus dapat mengurangkan rasa keterpenjaraannya itu pula. Sangeetha lebih rela hidupnya umpama seekor burung, matanya sahaja yang terlepas tetapi badan dan jiwanya tetap terkurung!.
Cuba kita lihat lagi kata-kata Sangeetha yang berupa pelawaan terhadap Derus itu, ’….Duduk sini, sambil kita berbual, boleh?’ Betapa halus dan tidak ketara dia menyatakan hasrat hatinya. Ia adalah diungkapkan sebagai suatu perlambangan tentang perasaan kasih, sayang dan juga harapan. Sekalipun Derus tidak dapat memenuhi kehendak batin Sangeetha sepenuhnya, itu tidak mengapa, asalkan Derus sanggup duduk di sampingnya sambil berbual-bual mesra melayani perasaannya batinnya.
Mengenai penyampaian perasaan antara Sangeetha dengan Derus pekerjanya itu, seperti yang kita tahu, Azizi jarang sekali melukis secara terang-terang bagaimana perasaan hati antara keduanya. Sepertimana yang saya katakan sebentar tadi, Azizi cuba menggambarkan perasaan halus itu dalam bentuk bayangan, kiasan dan simbolik yang tinggi. Contohnya, perasaan Derus terhadap Sangeetha, ‘…memang itu pun yang hendak diberi oleh Derus walaupun selama ini bukanlah itu yang dicita-citanya. Dia hanya berasa bertanggungjawab, dia berasa sesuatu yang perlu menepukan kekosongan dalam kamar hati Sangeetha kerana dia sudah lama menjenguk baik siang atau malam. Memanglah kamar itu kamar yang cukup sepi..’ (ms 235)
Seperti yang pernah diakui sendiri oleh Derus tentang perasaan halus mereka itu, antara lain katanya, ‘….Benih apa yang hendak dinamakan, yang tumbuh sekian lama di ladang pikun Sangeetha. Bukan benih simpati, dan jauh sekali bibit cinta. Apalah indahnya cinta kepada seorang perempuan yang sudah pikun. Namun dia tidak dapat menolak kerana pikun Sangeethalah maka dia menyelitkan hambatan pikunnya menjadi baji mengejap bilah-bilah kehidupan..’(ms 530)
Perasaan Sangeetha terhadap Derus pula dilukiskan pengarang secara halus dan masih berkias juga, ‘…Tapi dalam kesedaran itu timbul juga, pada Derus ada sesuatu, dan padanya juga, ada sesatu, namun sesuatu itu bersifat dalaman, maka mustahil dia dapat krobek-krobek untuk ditunjukkan pada Derus…’(ms 312)
Melalui Meena adik kandung Sangeetha juga Azizi menggambarkan perasaan Derus terhadap kakaknya Sangeetha. Meena bukan sahaja mengagumi Derus tetapi sekaligus mula mengesyaki sesuatu hubungan perasaan antara Derus dengan kakaknya selama masa berkerja di rumah besar itu, ‘…sangat hairan dia melihat Derus yang berkerja itu. Sepatutnya usia seperti Derus tidak lagi berkerja, walau hanya memungut daun-daun kering. Tetapi dilihatnya Derus bekerja dengan riang, seperti bukan nilai upah yang dia mahu. Ada sesutu yang dirasanya pada Derus. Dia ada sesuatu, mula tumbuh dalam fikirannya, sekiranya dia berlama-lamaan tinggal dengan kakknya…’(ms 408)
Rupa-rupanya dalam diam-diam Meena sendiri sudah mula menaruh hati sama terhadap Derus yang pikun itu. Azizi menggambarkan perasaan hati Meena sendiri dengan cara interior monolognya …’ percayalah Derus bahawa perasaanku ialah perasaan yang jarang seorang perempuan pikun seperti ini menanggungnya?..... Percayalah Derus bahawa hanya kasih sayang kepada engkau saja harapan kepikunanku dalam hidup ini….’ (ms454) Begitu secara halus digambarkan pengarang Sangeetha ini.
Tentang simbolik sangkar dan burung itu juga, membawa makna bahawa dengan menjaganya (sangkar) sudah cukup, sekalipun perasaan halusnya terpenjara selamanya! Ini diulang Sangeetha lagi bagi mengingatkan Derus,‘…Ini merbuk yang kau tangkap dulu, bukan?….Engkau tahu fasal merbuk?...’ Maksud sebenar kau telah memikat hatiku sejak dulu, bukan? Derus tak mampu menyuarakannya, dia hanya sanggup mengangguk lesu kerana dia kini telah benar-benar dapat memahami erti kasih sayang Sangeetha terhadapnya yang sebenar.
Secara sinis pula Azizi menyebutkan perkara itu sekali lagi, ‘…mujurlah meo tidak ada, kalau tidak, meo tentu faham…’(ms107) Ini merupakan satu sindiran paling tajam diajukan Sangeetha, kerana dia berasa Derus seakan-akan sengaja memperlihatkan ketidak pekaannya terhadap perasaanya selama ini. Untuk menyindir Derus, beliau menyatakan, baik pula seekor kucing, lagi lebih memahami daripadanya!
Seperti mana yang saya pernah kenali, Azizi pada umumnya suka berkelakar dan mencarut! Rupa-rupanya dalam novel juga tidak pernah ketinggalan disisipkannya unsur porno begitu, tetapi masih juga dalam bentuk simbolik dan sindiran.
Contohnya, gurauan yang berbau sek ditonjolkan apabila Sangeetha bertanya tentang ‘ubat’ berkali-kali, Derus malu hendak memberitahu ubat itu. Ada pembaca mengagakkan tentu sahaja ‘ubat kuat’ vigra, sebab itulah Derus malu hendak menyebutnya. Tetapi, akhirnya apabila sampai kepada jenis ubat Jevero Power – Sangeetha bertanya lagi untuk apa, Derus walau pun berasa segan-segan terus juga memberitahu ‘……Untuk menyuburkan bulu… dan menambah daya tahan….’ Sangeetha dengan tersenyum membalas, ‘…patutlah Viralal banyak bulu dulu..,’(ms113) Sangeeta ketawa terkekeh-kekeh.
Ini dapat kita lihat sama, apabila Azizi mahu menerangkan tentang bulu anu Viralal yang panjang itu. Dia tidak menyebut terus-terang tetapi secara biologikalnya kita amat faham dan mengerti sendiri ‘...bulu dada Viralal semerngam lebat malah berserabut jika dikesat selepas mandi…..bulu dada itu tidak sekadar subur di bidang dada malah bertali arus semaknya hingga memintal-mintal ke bawah dan ke bawah sehingga seminggu sekali Viralal terpaksa mengguntingnya menjadi pendek. ‘Jangan cukur. Berduri, gatal,’ kata Sangeetha sendiri (ms 5)
Hal yang sama juga, digambarkan apabila Sangeetha bertanya Derus tentang isu memandikan merbuknya, “…burung tak mandi?’ Derus agak malu tersenyum tersipu-sipu. Sangeetha cuba mendapatkan kepastian Derus dengan bertanya lagi, ‘Kenapa tersenyum, pelikkah kalau aku suruh mandikan burung? Sambil Sangeetha ketawa...’(ms114).
Pengarang cuba menggambarkan bahawa Derus semacam sudah mulai perasan dengan kata-kata itu, yang dianggapnya ada membawa sesuatu maknanya lain yang tersembunyi, sebab itulah dia berasa kekok, malu dan tetap berwaspada selalu. Dalam erti kata lain, Derus cuba melindungi perasaan gelojoh dan rakusnya daripada Sangeetha sebenarnya!
Seperti yang dijelaskan tadi juga, Azizi tidak menyebut sesuatu itu dengan terang-terang, tetapi dia lebih gemar berkias dan berselindung dengan kata-kata yang menyembunyikan maksud sebenarnya. Pengarang mengambarkan perasaan kasih sayang orang tua dengan orang tua - Derus dengan Sangeetha, mestilah dalam bentuk berkasih sayang yang syahdu sebagai orang tua, bukan orang muda yang rakus dan ghelojoh sifatnya. ‘…sesekali macam kakaknya. Pernah dia panggil ‘Kakak Geetha’ dan Sangeetha tidak terkejut, malah tersenyum. Pada waktu lain Sangeetha dianggapnya – entah, dia sendiri pun tak tahu….’(ms52)
Gambaran romantis yang digambarkan penulis dalam peristiwa Derus meracik merbuk hitam di belakang rumah, misalnya, amat hidup dan bertenaga sekali. Di mana, Sangeetha mempelawa Derus menghendap dari dapur sahaja bersama-samanya. Semasa menunggu, Sangeetha sengaja datang menghampiri Derus, makin lama makin dekat ke belakang Derus hingga terasa sesak nafasnya. Apabila tiba-tiba sahaja racik itu mengena, Sangeetha oleh kerana terlampau gembira, ‘…Derussss’.., Tiba-tiba Sangeetha melompat riang. Cawan di tapak tangannya jatuh dan tanpa disedari dia memeluk Derus…’(ms121) dalam keadaan bawah sedar. Apabila sedar ketelanjuran masing-masing, kedua duanya malu tersipu-sipu.
Peristiwa kedua, ketika Derus mahu bayar sewa rumah. Sangeetha merajuk kerana Derus memanggilnya, Puan Geetha dan Kakak Geetha. Tetapi setelah panggilan namanya sahaja Geetha, barulah berseri mukanya. Dia mahu pulangkan duit sewa rumah daripada Derus itu balik. Masa mengunjukkan wang itu, tangan Sangeetha terlepas pegangan lalu rebah menghempap tubuh Derus di kaki tangga.‘...sebanyak manalah sangat tenaga tua, walaupun tenaga seorang lelaki yang sudah berusia 70 tahun mampu menahan rebah sebatang tubuh seorang perempuan, walaupun sudah berusia 80 tahun. Maka tubuh Sangeetha yang dapat disambut Derus hanya sempat dipeluk tetapi Derus sendiri turut rebah…..Derus benar-benar dapat memeluk pinggang Sangeetha dan Sangeetha benar-benar dapat memaut tengkuk Derus dalam keadaan tidak sengaja. Apabila mata tua mereka bertentangan lalu mereka terkerising kemudian terus ketawa...’(ms133).
Secara implisit, pengarang sempat juga menyentuh tentang unsur realisme, iaitu seni utntuk seni. Azizi mengutarakannya melalui pendapat dan pandangan dua watak yang berbeda pegangan dan konsep bermain alat musik. Bagi Pak Derus dia bermain gambus cuma mengisi waktu luangnya, dan petikannya sekadar mahu memetik, bukan untuk mengagumi sesiapa, hanya mahu memenuhi satu tuntutan dalam dirinya yang dia sendiri tak mampu menerangkannya. ‘…saya seronok seronok saja..’ (ms.48) Tetapi berbeda sekali dengan Viralal yang memang memahami tentang musik, ‘….Ini bukan seronok. Ini seni. Seni itu makanan rohani, (ms.48) Malah ditonjolkan lagi pengarang betapa seriusnya Viralal, seorang peminat seni itu ‘…sayang kau tidak pernah belajar secara formal Derus!..... Nanti satu hari saya mahu ajar…’(ms 50)
Unsur pantun dalam novel ini adalah merupakan unsur terakhir yang akan saya bicarakan. Azizi semacam melakukan satu pembaharuan, memulakan setiap babnya dengan seuntai pantun lama, kebanyakannya dipetik dari Hikayat-hikayat lama. Apa yang menarik, setiap maksud pantun itu akan menjelaskan cerita atau peristiwa yang akan berlaku dalam bab tersebut. Lazimnya, pantun dan syair disisipkan dalam penceritaan novel itu sendiri. Saya terfikir, bukan Azizi tidak boleh berpantun, atau mengarang pantun baru. Namun dia masih menggunakan pantun klasik yang unik sebagai menggambarkan isi hati, perasaan watak-watak pikunnya jua! Syabas dan tahniah Ustaz!
Azizi memang terkenal sebagai pengarang yang lantang bersuara, Beliau banyak menyelitkan unsur kritikan sosial dalam karya-karyanya. Dalam Sangeetha ini beliau menggunakan ironi dalam sindirannya. Misalnya tentang sikap Husin, bujang terlajak, kerani bank yang suka memainkan radio kuat-kuat tanpa menghiraukan jiran sebelah; tetapi pada masa yang sama dia telah memarahi dan mencemuh Derus yang bising bermain gambus dengan katanya, ‘..tapi telinga saya sakit….kenapa malam ini Pak Derus jadi gila?...’(ms91). Ini terjadi kerana dia buta seni sebenarnya.
Ironi terhadap Husin yang juga sering menyindir dan mengutuk Pak Derus, yang tua, apabila bermain gambus.‘Dah tua-tua, baca Quran lagi bagus.’(ms91) Ironinya di sini kerana Husin hanya pandai menyuruh orang tua itu main gitar pula, sedangkan dia sendiri tidak digambarkan pernah main gitar mahu pun bersembahyang langsung. Pada hal, Pak Derus sekurang-kurangnya ada juga bersembahyang Jumaat dan sembahyang waktu, walaupun sendiri-sendiri di biliknya, dan tidak berjemmaah sahaja. Selain daripada Pak Derus juga melakukan suatu ibadah besar, iaitu mengislamkan Viralal sebelum mati, sedangkan Husin habuk pun tak ada.
Kritikan terhadap sesetengah orang yang mengaku kuat ibadah, banyak beramal, tetapi ironinya, jarang mahu bersedekah. Sangeetha pula digambarkan oleh pengarang, walaupun bukan beragama Islam tetapi dia kuat beramal jariah dengan cara berderma.‘…dan mahu juga rasanya hendak memberitahu bahawa Sangeetha adalah seorang dermawan yang bukan saja sumbangannya di Malaysia, malah ke luar negara. Banyak wang ringgitnya sampai ke Bangladesh, Pakistan, Afghanistan dan Sudan…’(ms 221) Azizi semacam menyindir bahawa ada orang macam ayam bertelur sebiji riuhnya sekampung apabila dia buat sedikit kebajikan, sedangkan Sangeetha macam penyu bertelur.
Azizi juga memgkritik orang-orang yang tidak tahu menahu sesuatu apa-apa pun, tetapi masih berani dan mudah mengutuk dan mengata-ngata apa yang orang lain buat, walaupun dia tak berbuat apa-apa. Perbuatan begini bukan sahaja ironi, tetapi dengan sendirinya ia mencerminkan sikap buruk individu itu sendiri.
Contohnya, drebar dan kelendan lori angkut sampah, Si Manat dan Karim suka sangat mengejek ejek Pak Derus bermain gambus, sedangkan mereka itu langsung jahil dan buta seni. Begitu juga Karim yang cuba mengejek Pak Derus membawa Sangeetha wanita tua dalam kereta, sangkaan buruknya Pak Derus mahu berseronok-seronok sahaja. Mereka tidak tahu hubungan perasaan orang tua berdua itu yang sebenar.‘...Kalau nak bawa perempuan pun carilah yang muda sikit. Ini….nak lepas gian, main gmbuslah sorang-sorang..’(ms 213-214).
Sindiran terhadap orang yang tak sedar diri atau tak tahu diuntung seperti sikap orang yang macam kaduk dapat junjung juga dikritik pengarang dalam nobel ini. Meena, misalnya, walaupun dia adik kandung Sangeetha, tetapi mereka telah berpisah puluhan tahun, tiba-tiba muncul dan dibawa balik. Apabila duduk di rumah besar itu dia mulai besar kepala dan tak sedar diuntung. ‘….Kak aku tengok rumah engkau ini semak, kenapa tak bersihkan? ….Macam mana kalau Moris Minor itu, dibuat bangsal asing di tepi sana…’(ms 400). Tanpa disedari Meena bahawa semua barang-barang itu adalah bermakna bagi Sangeetha. Masakan kereta antik yang bernilai sentimental itu mahu diletak berjauhan dengannya?
Bukan setakat itu sahaja digambarkan pengarang, malah ‘..dalam kepalanya terangkai pelbagai cadangan. …Bagaimana kalau bangku buruk dan sebatang dua kayu di bawahnya dilemparkan sahaja ke tempat buang sampah. Bagaimana kalau dinding papan daripada kayu jenis baik itu disapu cat baru dengan warna yang disukai Sangeetha? Bagaimana kalau jendela susun anak padi itu dicat dengan warna lain pula? Bagaimana kalau sangkar merbuk itu disangkut di belakang dapur, dll…’(ms400) Ternyata Meena semacam tidak punyai aprisiasi langsung terhadap perasaan nostalgia yang dimiliki kakaknya, sebaliknya dia hanya berfikir mengikut cita rasanya sahaja.’…Kenapa? Berpuluh tahun Derus sangkut di situ. Tak siapa bersungut kata tak elok……Jangan nak pandai-pandai, dah elok Derus sangkut di situ...’(ms 405)
. Meena rupa-rupanya sudah melampau. Dia kelihatan mula berkuasa sepenuhnya ke atas kakaknya, Sangeetha. Dia cuba menyisihkan kakaknya daripada Derus, ‘…tak payahlah kau datang tiap-tiap hari. Aku dah ada. Kau boleh datang tiga hari sekali. Pungut sampah dan tebas rumput di tepi pagar…. ‘Kau tunggu, tak payahlah ikut aku.’( ms 413) Ketika itu Derus benar-benar berasa siapa dirinya yang sebenar? Dulu baik Sangeetha mahu pun Viralal tak pernah sekasar itu terhadapnya. Dia tahu sekarang, dia hanya sebagai drebar dan sebagai kuli justeru itu, dia harus patuh atas segala arahan dan perintahnya pula.
Ironi terakhir ialah dalam pengakhiran cerita. Sepatutnya, apabila Sangeetha nazak, lazimnya Deruslah yang mengajar mengucap, sebagaimana yang pernah dilakukannya terhadap Viralal. Tetapi kali ini anihnya, ada dua perkara, pertama, Sangeetha pula yang mengajar Derus mengucap walaupun merangkak-rangkak dan tergagap-gagap, dan bukan sebaliknya. Kedua, yang nazak ialah Sangeetha sebenarnya, tetapi Derus yang lebih kelihatan segar daripadanya yang mati muntahkan darah! Azizi meninggalkan kita satu polemik lagi, apakah Sangeetha itu Islam atau tidak? Adakah Sangeetha nanti akan dikebumikan sebagai Islam? Mahukah Meena membiarkannya begitu, sedangkan dia tidak mengerti apa-apa pun. Klimak cerita Azizi sungguh tinggi, suspence, dan amat mengesankan. Sekian terima kasih.
24hb. Februari, 2007.
Bandar Kinrara,
Puchong, Slangor Darul Ehsan.
4 comments:
Kecewa saya tidak dapat hadir di majlis diskusi buku Sangeetha di Seberang Jaya.
Bagaiamana saya nak dapatkan buku Sangeetha yang bertandatangan penulisnya? :)
YA, ulasan yang cukup menarik.
Dari Orang Tua di kaki Bukit ke Sangeetha, saya hanya baca We & William dan Kawin-kawin.
Yang lain2, sukar diketemui buku2 pak Azizi.
Aduh. Mengapa?
World Of Warcraft gold for cheap
wow power leveling,
wow gold,
wow gold,
wow power leveling,
wow power leveling,
world of warcraft power leveling,
world of warcraft power leveling
wow power leveling,
cheap wow gold,
cheap wow gold,
buy wow gold,
wow gold,
Cheap WoW Gold,
wow gold,
Cheap WoW Gold,
world of warcraft gold,
wow gold,
world of warcraft gold,
wow gold,
wow gold,
wow gold,
wow gold,
wow gold,
wow gold,
wow gold
buy cheap World Of Warcraft gold l3h6g7mj
Post a Comment