Jalan Lain Mencari Tuhan

Posted by Tukya Labels:


Ketika saya asyik membaca sebuah buku Indonesia bertajuk ‘Tuhan Singgah Di Pelacuran’ tulisan Asmar Mahardika terbitan Kreasi Wacana tahun 2004, saya terbalun rasa apabila melihat berita TV 3 ( tak perlu disebut bila) bagaimana sebuah jabatan yang berautoriti keagamaan bersama dengan seorang yang dipilih rakyat menyelongkar sebuah bandar yang dijadikan perkampungan perniagaan.

‘ Jalan lain mencari Tuhan?’ saya ditanya oleh seekur iblis. Dan di blurb buku ‘Tuhan Singgah Di Pelacuran’ ada tulisan berbunyi; Bagaimana pun, Tuhan tidak hanya singgah di hati kaum rohaniwan, budayawan atau orang-orang normal lainnya, melainkan singgah pula di hati orang-orang yang menjalankan kegiatan tidak normal. Jika Tuhan singgah di masjid, gereja, gapura atau wihara, Tuhan juga pasti singgah di pelacuran. Itu kerana Tuhan ada di mana-mana dan ia melingkupi segala ruang dan waktu.’

Saya sangat teruja ketika melihat berita TV3 itu dan membaca pula blurb buku di tangan saya.
‘Adakah sekumpulan anak-anak muda yang diperintahkan dengan ditemani oleh seorang yang kononnya berasa bertanggung jawab tentang agama, maka mereka telah pergi ke ‘Jalan Lain Mencari Tuhan?’ Jika kiranya dengan tujuan membasmi kebengkukan aqidah dan ingin membetulnya, masakan mereka boleh sampai ke jalan seperti itu mencari aqidah yang bengkuk ?

Bagi saya, mereka yang di antaranya termasuk orang besar yang pastinya mempunyai aqidah yang maha benar, sedar seperti tulisan di blurb buku ‘Tuhan Singgah Di Pelacuran’ bagaimana Tuhan ada di mana-mana dan ia bukan pencarian secara teknikal dan selongkaran, sebaliknya kaedah.

Tersangat lucu apabila angkatan yang cuba hendak membaiki dan membetuli kebengkukan akidah, dengan perintah pihak berautoriti, mencari tuhan lain yang konon-kononnya diamal oleh segolongan itu.

Apa yang menyebabkan serombongan anak-anak muda yang tidak mengerti apa-apa, tidak faham apa-apa menyerbu ke perkampungan itu setelah di arah oleh seseorang bahawa di sana ada penyelewengan dan kebengkukan aqidah, lalu membawa pencungkil besi, pemotong pedal, pengerat dawai dan lain-lain peralatan yang tentunya dapat mengopak ngopek sebuah bangunan.

Caranya seperti mengopak kedai yang menyimpan VCD haram.

Memang pemergian itu pemergian diarah kerana di perkampungan itu kononnya ada label yang diharamkan. Tapi ada perkara lain yang boleh mentertawakan tindakan itu yang tentunya tidak diarah oleh undang-undang sebenar.

Begini saja: Itulah satu-satunya perkumpulan atau jemaah Melayu Islam yang sudah lama berusaha bangkit bangun hendak meninggikan ekonomi ala Islam. Mereka berusaha dengan titik peluh, mereka mengamalkan modal insan seharian dengan kejujuran, ketelusan. Mereka lempar keringat penipuan seperti di kalangan lain menipu dan tidak jujur. Mereka latih pula anak-anak muda berdikari. Dan apabila dihetung congak, tidak ada golongan umat Melayu/ Islam yang mampu seperti mereka berusaha memperkayakan dunia tetapi tidak lupa tentang akhirat.

Mereka menyeru; Mari bersama kami lakukan tentang kejujuran dalam berkorporat. Mari bersama kami mengamalkan telus dalam perebutan jawatan. Kami bersama kami, bermodalkan Allah, menyerah kepadaNya, sujud kepadanya dan jangan sertai golongan yang hasad dengki, yang tidak bersolat. Mari kita makan minum bersama dalam sila yang serupa. Mari kita minum bermula dengan Bismillah. Mari kita berzikir sesudah kita berkerja. Mari kita bertarbiah dengan anak isteri tentang keluarga soleh.

Tapi sayang seruan ini sudah dianggap menyeleweng. Barangkali ya berlakunya penyelewengan aqidah. Mungkin ia dilakukan oleh naqibnya. Tapi ingatlah pula barangkali itu satu pendekatan (metode) mengakrabkan diri dengan Tuhan. Apakah ia menyeleweng?

Kita tidak pernah berbahas dengan ilmu. Kita hanya mengharam atas motif lain. Ahhh, pedulikan. Saya tidak mahu bercakap tentang itu. Itu soal lain.

Tapi apabila berlaku kejadian menggelidah seluruh perkampungan itu, ada semacam sesuatu yang tidak kena dan melucukan pula. Mungkin ya, di sana ada manusia yang aurat dan tulang kulit kepercayaannya yang membawa kononnya menyeleweng aqidah. Tetapi apakah ia menghembus meniup dengan segala puja memuja kepada kopi gula, sos tomato atau kueh baulu, caffetria, klinik, restoran atau kain songket atau karas atau kicap atau inn-inn atau kedai runcit atau pasaraya atau apa-apa keperluan makanan harian?

Yang mendiami perkampungan tersebut adalah anak-anak Melayu/ Islam, termasuk kanak-kanak yang sedang belajar agama (menyeleweng?) tiba-tiba satu gerak petaka mengkucar kacirkan kehiduan mereka. Mereka seolah-olah satu kumpulan militan yang tidak harus dibiarkan beroperasi dalam perniagaan.

Di pendek cerita, sesiapa saja yang menyaksikan kejadian itu akan bertanya; Apa salah mereka?
Lalu kita bertolak persoalan ini secara rasional, secara adil dan secara terbuka. Buang sikap dengaki, busuk hati dan salah sangka. Buang ego dan mari kita berfikir secara insaniah.

Apa salah mereka?

Itu pun berdasarkan tontotan berita melalui TV dan huraiannya.

Kononnya di perkampungan itu dianggotai satu kumpulan yang jenama mereka sudah diharamkan. Tentulah satu penyelewengan dalam bentuk aqidah ini pasti soal-soal dalam diri, iman, dalam jiwa, dalam akuNya. Aqidah bukan ada dan nampak di pintu pagar. Aqidah tidak di tirai bilik. Aqidah tidak di papan tanda. Aqidah bukan pada gula kopi. Aqidah bukan ada di barangan pasar raya.

Aqidah dalam jiwa. Dalam aku, dalam engkau dan dalam ego akuNya.

Maka apabila mendapat arahan yang kononnya hendak bertindak ke atas mereka yang menyeleweng, mengagung-agungkan dewa dan puja, maka apakah lojik kumpulan ini membawa penyakuk besi, membawa rangkum untuk memokah pintu dan lain-lain alatan seperti hendak memecah premis haram?

Dan yang lebih menghairankan, dengan wajah selamba, seolah-olah sesiapa pun tidak boleh berbuat apa-apa, orang yang jadi kepala itu senyum kepada kakitangannya, itu dan ini mesti di ambil, mesti dibawa untuk bahan bukti.

Bayangkan dalam siri menyekat kebengkitan aqidah dan operasi membasminya, apakah aqidah itu ada pada kueh karas? Apakah aqidah yang busuk itu ada pada sos tomato, cili, tepung atau sabun? Apakah aqidah yang tidak betul itu ada pada akademi yang memperkembangkan budaya yang rohnya Islam? Dan yang menyedihkan lagi, selongkaran mencari tuhan lain atau pancang aqidah lain dari Ahlussunnah Waljamaah, maka dicarinyalah secara selongkar glass, tiling, pasarraya dikopak pintunya kalau-kalau ada aqidah yang menyeleweung itu bersembunyi di dalam pasaraya, ditarik segala banner, bunting, grill & awning. Dan marilah kita ketawa apabila melihat kueh baulu, karas, kueh bakar, kek, roti yang tahannya selama sebulan itu, ada aqidah di situ, sedangkan aqidah pegangan dalam kehidupan.

Apakah aqidah yang mereka cari itu akan dijangkiti bakteria? Ini sangat lucu.

Pada hal matlamat dan cara mereka ini jelas bahawa mereka menawarkan khidmat masyarakat sebagai tanggung jawab sosial, bukan berasaskan komersial. Sebagai contoh, apabila seorang pesakit yang datang ke klinik, mengadu sakitnya ketika selesai rawatan sang doktor bertanya, apakah makcik ada wang untuk pulang. Si pesakit menjawab, tidak cukup. Lalu sang doktor menyua RM10.

Kita ingin mencabar, di klinik mana yang berbuat seperti ini? Sebuah kedai khidmat masyarakat, diberi percuma kepada sesiapa yang ‘memerlukan’ dan dibiar mereka mengambil bersama sekeping keikhlasan. Maka yang mengambil pun mengambil sekadar yang dia perlu. Dia adalah manusia yang sudah dibangunkan insannya. Dia tidak mengambil lebih dari yang diperlukan.

Tiba-tiba di sini kumpulan yang berautoriti dan diketuai oleh seorang penguasa mencari penyelewengan aqidah. Apakah aqidah yang dicari itu seperti sekeping bingkai gambar yang bertulis nama Allah yang salah?

Dari rakaman vedio bagaimana penyelongkaran berlaku di perkampungan tersebut nyata, pengelidahan mencari aqidah yang salah itu tidak menepati kebenaran perintah. Ia dilakukan oleh seorang yang mengepalainya, yang barangkali mempunyai sifat ‘qanaah, benci, dendam atau tidak ikhlas.’ Memang kita mengakui jika perintah itu perentah dari yang berautoriti, yang mengharamkan lambang dan lebal, nama pertubuhan. Tapi yang digelidah dan diusung cempung masuk ke dalam van bukan lambang dan lebal, melainkan sebuah nama ‘copration’ yang didaftar melalui ROC, bukan intsitusi keagamaan? Di sini nampak pada pandangan kita, kegelojohan dan silapnya mereka.

Tidaklah ada sedikit simpati dan merasa bertanggung jawab terhadap usaha kebangkitan anak bangsa/ Melayu dalam dunia perniagaan. Mereka bangun dengan titik peluk, siang malam berusaha menyumbang sedikit dari pendapatan ekonomi negara secara halal, tiba-tiba kueh baulu yang dirampas, sos cili yang diambil.

Apakah di situ ada penyelewengan aqidah? Kita nak tergelak. Ternyata mereka tidak jelas apa yang mereka lakukan akibat diperintah oleh seorang yang tidak tahu apa-apa pula.
Penyelewengan aqidah jika benar berlaku, lakukanlah dengan kaedah yang betul. Kenapa mesti dikait dengan perniagaan? Kita menghormati perentah itu jika perintah menghapus penyelewengan aqidah, tapi mengapa pada kueh baulu, karas atau sos cili? Ini persoalannya.

Satu ketika saya ke Rompin, di Tanjung Gemuk. Alangkah kagumnya saya apabila mendapati belasan anak muda yang lulus SPM, yang tidak ada kerja, diambil oleh mereka yang dianggap menyeleweng, lalu dilatih anak-anak muda ini membela ikan, berkebun, membuat rumah, menjadi tukang cat. Bukankah pendekatan mereka ini cukup baik dalam menangani masalah sosial? Tidak pula pihak berkuasa di situ menangkap ikan di kolam, mencabut sayur mencari kebengkukan aqidah.

Ini, apa yang berlaku di sebuah perkampungan, seolah-olah melalui jalan lain mencari Tuhan.
Demi kebenaran, marilah kita berfikir, apakah kita ‘saja’ yang betul. Saya teringat, apa kesudahannya buku yang ada ditangan saya ini; Tuhan Singgah Di Pelacuran, tulisan Asmar Mahardika.

Anda bagaimana?
Azizi Hj Abdullah
aziziabdullah.blogspot.com

7 comments:

  1. Aidil Khalid

    Pernah seorang ustaz berkata, di akhir zaman nanti, yang merosakkan agama itu adalah orang-orang agama itu sendiri. Orang-orang agama yang punya autoriti.

    Sepertinya mereka ini alahan apabila melihat ada kumpulan berwajahkan Islam bangkit. Lalu dengan rakusnya, dengan menggunakan autoriti yang ada pada mereka, kemaraan kumpulan itu cuba mereka sekat.

  1. BaYu SenJa

    ramai orang agama selalunya terkejut dengan suasana dan cepat pula melatah bila mula mengenal dunia...

    dunia mereka ketika belajar tidak sehebat onar yang menduga ketika habis belajar...

  1. BaYu SenJa

    bagi bayu, pendekatan beberapa NGO seperti Teras terutamanya sangat bagus bila mendekati golongan pelajar agama di sekolah2 agama dan bukan sahaja mendekati pelajar2 universiti...
    pendedahan tentang keperluan agamawan dalm memurnikan semula barah moral masyarakat amat perlu sekurang-kurangnya untuk menyedarkan tanggungjawab ilmunya :)

  1. BaYu SenJa

    Tuhan itu memenuhi ruang maya dan masa...
    Tuhan itu di mana2...
    cuma Ulama menghukumkan makruh menyebut Tuhan berada di tempat-tempat kotor kerana tempat sebegitu terlalu kotor dengan kemuliaannya yang MAha MUlia..

    cikgu, saya terkadang bimbang untuk pulang ke Tanah Air dengan kebobrokan yang wujud... tapi manakan lagi tempat yang paling layak saya pergi?!

  1. Unknown

    Dear bloggers

    (Listed in SOPO Sentral of Malaysia)

    This kutu is trying to develop a new hobby - listing your latest posting in my blog, Malaysiakita

    This kutu really hopes you can update me on your latest posting in
    Malaysiakita comment section or by email. You can reach me at sangkutu@gmail.com

    To surf from blog to blog really consumes a lot of time. Mintak tolong la sangat-sangat! Harap sangat ni!

    I'm seeking your kind help! Tolong! Tolong!

  1. elhamy

    salam,
    tuk ya,
    elhamy belajar kat syria,macam
    mana cara nak dapatkan buku2 tuk ya?

  1. Unknown

    Hogan scarpe are ideal for anyone who wants a comfortable shoe that does not lack on style. No matter what type of Hogan scarpe donna you end up buying you will be able to have the most comfortable hogan donna on your feet and you will always be happy with the way that they look. These are the Hogan scarpe uomo that will be able to take you just about anywhere without having your feet ache after the long haul.