Sangeetha Antara Dua Budaya

Posted by Tukya Labels:

Oleh: RAZALI ENDUN

Azizi Hj. Abdullah berjaya menggarap dengan berkesan pergolakan emosi keduadua watak utama dalam novel terbarunya Sangeetha. Kedua-dua wataknya, Sangeetha dan Derus, warga emas yang dalam kesunyian dan kesepian tanpa zuriat. Kemudian terjebak di alam percintaan yang luar biasa di penghujung hidup mereka.

Sangeetha bukan sahaja memaparkan soal cinta warga emas yang unik, malah Azizi menggarap persoalan cinta itu sebagai sebuah konsep perpaduan menggunakan simbol dua budaya dan agama yang berbeza. Alat-alat muzik seperti tabla, danga dan gambus menjadi simbol penyatuan dua budaya yang berbeza rentak dan cara permainannya. Ternyata Azizi telah membuat penyelidikan yang mendalam memahami fungsi alat-alat muzik sebelum menulis novel ini.

Istilah-istilah seperti vadi, syahi or gab, kinar or chat, garja, yang agak janggal bagi kita, tentu sekali didapatinya hasil kajian, pembacaan dan penyelidikan yang teliti. Malah jenis rentak pukulan alat-alat muzik itu seperti 6 1/2, 8 1/2 , vilambit, madhyan, theka, tintal, maidan, tal, tin, na, bol, kaida, gat, peshkar, tukda sebagai ilmu bantu bagi menguat dan meyakinkan pembaca.

Gambus, alat muzik permainan orang Melayu, menurut Azizi dipelajarinya juga dengan seorang pemain muzik alat itu di Johor ketika pesta layang-layang. Katanya, kebetulan pada masa yang sama ada dipersembahkan permainan gambus di pesta itu. Dan melalui penelitiannya, dia telah berjaya menggambarkan bentuk gambus itu seperti berikut; ‘badan gambus itu buncit seperti labu air, di permukaannya ditutup kulit kambing yang kering dan tegang, licin tidak berbulu. Leher gambus itu agak panjang dan kepalanya melengkok ke atas semula menyerupai kepala kuda laut, telinga pemulasnya seperti kayu hoki kecil dan bertali sepuluh.’ Lihat betapa rincinya diskripsi Azizi terhadap gambus.

Dari segi pakaian orang India, Azizi telah memperkenalkan mukuti, kapel, valiyel, kolusu selain sari yang kita sudah maklumi. Dari segi perubatan unggas pula, Azizi telah memperkenalkan ubat-ubatan seperti amplexol, canary post, gowvt, juvero power, supervit drop dan sebagainya. Nyata sekali penyelidikan yang mendalam menjadi faktor penting kejayaan penulisan novel ini.

Dalam penulisan novel kontemporari, minat sahaja tidak memadai tanpa disepadukan dengan penyelidikan tentang ilmu-ilmu atau yang diistilahkan sebagai ilmu bantu bagi meyakinkan pembaca. Azizi telah berjaya menggarap kesepaduan ini di dalam satu hasil seni sastera yang indah dalam menyelami perasaan kedua manusia yang renta usia mereka tetapi juga berbeza latar belakang agama dan budaya.

Simbol alat muzik, burung merbuk, kucing bernama meo, kereta Morris Minor, rumah limas menjadi objek penyatuan dua jiwa dan batin yang digarap penuh seni dan indah melalui kaedah percintaan. Kedua-dua jiwa dan perasaan disatukan melalui objek-objek ini. Ternyata kaedah ini telah menguatkan lagi mesej novel ini.

Tidak banyak watak yang digunakan Azizi di dalam novel ini. Selain Sangeetha dan Derus yang menjadi watak utamanya, Viralal, bekas suami Sangeetha menjadi watak pembantu utama. Watak-watak pendukung lain ialah, Meena adik kepada Sangeetha, Husin yang menyewa bilik serumah dengan Derus, Raja serta Mamat, pemandu dan Karim kelindan lori sampah. Menurut Azizi, dia sengaja mengecilkan watak-watak di dalam novelnya agar dapat memberi tumpuan yang lebih menggarap emosi dan psikologi orang-orang tua yang sedang dilamun cinta.

Teknik penceritaan Azizi dalam novel ini mirip teknik Shahnon Ahmad iaitu mengulang-ulangi peristiwa-peristiwa di dalam penceritaan. Azizi terpaksa menggunakan teknik ini kerana watak-watak dan latarnya terhad, dan dia kena menumpukan kepada psikologi kedua-dua watak utamanya Sangeetha dan Derus dalam menempuh era kepikunan yang diselubungi oleh kesunyian dan kesepian. Lagipun latar ceritanya hanya berpusat di rumah limas milik Sangeetha. Kepintaran Azizi mengolah dan menggunakan bahasa yang indah menjadikan pembaca tidak berasa jemu dengan gaya penceritaan itu.

Selain itu, teknik sorotan kembali dan di bawah sedar diterapkan juga dalam novel ini. Oleh kerana kekuatan bahasanya, dimantapkan lagi dengan kiasan, diserikan pula dengan pantun-pantun klasik pada setiap bab, pembaca tidak akan berasa bosan menghabiskan pembacaannya setebal 560 halaman. Azizi telah berjaya memikat pembaca untuk menghabiskan pembacaannya dengan bahasa yang penuh seni dan indah yang menepati kriteria sebuah karya sastera.

Namun demikian, lazimnya, agak janggal bagi orang-orang yang sudah tua, yang hanya menunggu mati, jatuh cinta antara satu dengan yang lain. Lebih-lebih lagi bagi perempuan, apatah lagi yang berbangsa India dan beragama Hindu, yang kematian suami, jatuh cinta atau bersuami lain setelah kematain suaminya adalah satu perbuatan yang ‘hina’ pada pandangan masyarakat mereka, dan ia jarang sekali berlaku. Bagi orang Islam, waktu tua begitulah dihabiskan untuk beramal ibadat sebelum ajal menjemput. Episod cinta dalam Sangeetha bagaikan cinta ‘buang tabiat.’

Watak-watak di dalam Sangeetha semuanya merupakan watak solo. Sangeetha menjadi janda selepas kematian suaminya Viralal. Derus, posman pencen tidak pernah berkahwin apatah lagi mempunyai anak. Husin juga bujang terlajak. Meena tidak dinyatakan siapa suaminya. Meo, tidak pasti sama ada ia jantan atau betina. Kebiasaannya kucing jantan tidak duduk di rumah. Yang betina menjadi kilang mengeluarkan anak. Meo tidak beranak, jadinya ia pun solo macam Sangeetha dan Derus juga. Lebih malang lagi burung merbuk yang terkurung di dalam sangkar yang matanya terlepas badan terkurung, diseksa secara seksual dan disekat kebebasannya sebagai unggas yang seharusnya bebas berterbangan di angkasa.

Lazimnya, pada waktu-waktu tua begitu, apabila dihimpit oleh kesepian dan kesunyian, mereka akan teringatkan betapa bahagianya mereka sekiranya mempunyai anak dan cucu. Betapa anak dan cucu dapat mengisi kekosongan serta kesunyian dan kesepian mereka. Pada musim-musim perayaan seperti Hari Raya dan Deepavali, ketika kesunyian mengasak mereka tentu sekali mereka berasa kesepian dan kekosongan hidup tanpa anak dan cucu. Lebih-lebih lagi bagi Sangeetha yang kaya itu, tentu sekali memikirkan kepada siapakah hartanya akan diserahkan selepas kematiannya. Betapa Meo dan burung merbuk yang tidak beranak juga boleh difokuskan sebagai mauduk perbandingan di antara emosi manusia dan haiwan. Mungkin tema ini dianggap klise oleh Azizi, maka dia membuat kelainan dengan mengolah kisah cinta orang tua yang berlainan bangsa, agama dan budaya sebagai tema novelnya. Ternyata dia berjaya mencipta kelainan ini.

Azizi mengejutkan pembaca dengan persoalan yang berat dan sensitif di akhir novelnya. Derus menemui ajalnya sedangkan Sangeetha yang nazak. Derus tidak dapat mengucap dua kalimah syahadah pada saat-saat kematiannya. Dia diajar mengucap kalimah itu oleh Sangeetha yang masih belum memeluk Islam. Tidak ada petanda yang digambarkan oleh pengarang bahawa Sangeetha sudah memeluk agama Islam. Meskipun dia berminat dengan ajaran-ajaran Islam, sekiranya dia tidak mempunyai niat untuk memeluk agama Islam, maka dia belum Islam lagi. Cina Baba di Melaka, ramai antaranya pandai mengucap dua kalimah syahadah, malah hafal surah Al-Fatihah, namun mereka belum boleh dianggap Islam, kerana mereka tidak ada niat untuk memeluk Islam.

Sebelum Derus menemui ajalnya, dia telah membisikkan kalimah syahadah yang sama di telinga Viralal ketika Viralal di ambang sakaratalmaut. Pengarang menggambarkan Viralal mengerak-gerakkan bibirnya seolah-olah turut mengucap kalimah itu. Peristiwa itu disaksi dan didengar oleh Sangeetha dan seorang jururawat. Justeru itu Viralal mesti dikebumikan di tanah perkuburan orang-orang Islam. Azizi telah mengemukakan persoalan ini sebelum kejadian perebutan jenazah Murthi yang dikatakan telah memeluk Islam ketika hayatnya.

Persoalannya, Islamkah Viralal setelah mengucap dua kalimah syahadah yang diajar oleh Derus di saat-saat kematiannya meskipun niat dan keikhlasannya tidak jelas dan diragui dan tidak pula didaftarkan di mana-mana pejabat agama? Saksi kepada peristiwa itu ialah Sangeetha sendiri yang bukan Islam dan status keagamaan jururawat itu tidak dijelaskan.

Apa hukumnya seseorang yang belum Islam mengajar dua kalimah syahadah kepada seorang Islam yang sedang nazak? Apakah yang mengajar kalimah itu secara automatik menjadi Islam sedangkan ketika mengungkapkan kalimah itu tiada saksi yang melihat dan mendengarnya, apatah lagi dia tidak atau belum berniat mahu memeluk agama Islam. Inilah persoalan-persoalan yang ada kaitannya dengan kaedah pengislaman dilontarkan oleh Azizi untuk dicerna, difikir, didebat dan dipolemikkan.

sumber:
http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=0422&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sastera&pg=sa_01.htm

0 comments: