2 'Tokoh Nyanyuk' Dalam Gapena

Posted by Tukya Labels:

Oleh: Profesor Melayuwiyah
Wed Jun 27, 07 06:19:56 AM

Sekonyong-konyong muncul dua tokoh besar ilmuan yang sudah pikun, yang merupakan orang besar dalam Gapena (Gabungan Persatuan Penulis Nasional) bercakap tentang bahasa Melayu.

Sila layari www.englishsection.com untuk Laman Utama English Section atau www.harakahdaily.net/wap/ untuk melayari HarakahDaily.Net menggunakan telefon bimbit GPRS (General Packet Radio Service) anda.

Saya pinjam istilah ‘pikun’ ini yang digunakan oleh Azizi Hj Abdullah melalui novel terbarunya Sangeetha yang diperkata di mana-mana sekarang ini. Tapi pikun dua tokoh besar dalam Gapena ini tidak seperti ‘Sangeetha’ atau ‘Derus’ dalam novel Sangeetha.

Mereka melampaui tua tetapi tidak nyanyuk, sedangkan dua tokoh pikun dalam Gapena ini melampaui nyanyuk.

Saya ingin merujuk kenyataan Prof. Dato' Dr. Zainal Kling mantan pensyarah Antropologi dan Sosiologi di Universiti Malaya dan wawancara wakil Siasah dengan Ketua Satu Gapena, Tan Sri Prof. Emeritus Datuk Dr. Ismail Hussein di dalam mingguan Siasah keluaran 24-30 Jun 2007 yang lalu.

Memanglah mereka berhak kerana mereka pejuang bahasa, sementelah pula duduk dalam Gapena, satu badan induk yang berparasait di atas pundak persatuan penulis tanah air. Tapi kelantangan suara mereka merupakan suara pikun dari tokoh budayawan yang boleh dianggap mereka sudah tidak laku.

Pertamanya kita amat terkejut apabila Datuk Dr. Zainal Kling senada dengan Tan Sri Ismail Hussein menafikan peranan pembangkang (parti yang dianggotai orang Melayu) terhadap perjuangan memartabatkan Bahasa Melayu.

Walaupun nada awal dan di akhir kenyataan dua orang pikun ini semacam benci sangat pada Umno dan sesekali menyalahkan Umno, tetapi firasat ilmu pemujukan, kita yakin bahawa mereka menyintai Umno dan mengharap sesuatu yang klasik dari Umno.

Yang terlebih hairan ialah daripada Dr. Zainal Kling yang tiba-tiba menunjuk benci kepada Umno, sedangkan dulu, beliau di antara orang yang mencemik kalau ada orang yang mengkritik Umno. Manakala Tan Sri Ismail Hussein, beliaulah orang yang tersangat baik, menyokong Penasihat KeADILan, tiba-tiba beliau melekehkan KeADILan.

Sama-sama ketawa

Marilah kita sama-sama ketawa kepada dua tokoh pikun ini apabila mereka bercakap tentang bahasa Melayu yang sudah dinobatkan menjadi bahasa Malaysia. Kita ketawa kerana merekalah pejuang bahasa Melayu tetapi dengan tiba-tiba menyokong bahasa Malaysia. Ini bukan kertas kerja atau tesis yang boleh diubah tetapi satu tanda bagaimana dua tokoh pikun ini hilang pendirian dan penakut menghadapi tekanan yang mungkin timbul.

Kesimpulan kenyataan misalnya;
1. Umno, PAS, KeADILan yang ditunjangi orang Melayu, penakut kerana mempertahan kepentingan.
2. Dalam keadaan penerimaan bahasa Melayu ini tapi boleh dipertikai peranan pemimpin Melayu sendiri. Mereka terlalu bertolak ansur.
3. Gapena sudah lama memain peranan memertabatkan bahasa Melayu, termasuk menjemput berbincang dengan pemimpin.
4. Pembangkang, terutama PAS tidak berani menyentuh isu ini kerana PAS berpegang hadis Nabi tentang asobiah.
Manakala Tan Sri Ismail Hussein pula sering menyebut ‘kami dalam Gapena.’ Kita ingin bertanya, siapa ‘kami’ dalam Gapena? Setahu kita Gapena tidak pernah membuat keputusan bulat dengan kerabat tentang isu bahasa Melayu menjadi bahasa Malaysia.

Bila mesyuarat? Kalau kongres ya, tapi itu bukan kami dalam Gapena.

Ternyata Tan Sri Ismail Hussein keseorangan tetapi cuba menimbulkan ‘kevitalan’ perjuangan Gapena yang sudah luntur.

Sangat luka sekali, ketika sejumlah besar cendekiawan, ilmuan, budayawan dan pejuang bahasa dari peringkat boroh, kerani, guru-guru, pegawai yang mempertahan bahasa Melayu sekian lama, tiba-tiba dengan senang Tan Sri menyatakan ‘kami dalam Gapena’ mengambil sikap menyokong.

Dan seperti ucapannya yang berbelit-belit, tentang tamadun bangsa, dunia Melayunya, maka jawapannya juga berbelit-belit sehingga sukar orang hendak melihat di mana pendirian Tan Sri Ismail Husein, sebagai Pendeta Bahasa, yang diiktiraf di kawasan kepulauan Melayu ini. Sangat aneh bahasa Melayu disokong menjadi bahasa Malaysia sekadar di Malaysia tetapi tetap menggunakan Melayu di nusantara. Dengar khabar di Komboja baru-baru ini, pikun-pikun inilah juga yang lantang mempertahankan nama bahasa Melayu tetapi bila balik, lain pula yang dikata.

Sebagai aktivis budayawan, Tan Sri Ismail Hussein dan Dato' Dr. Zainal Kling sepatutnya tidak mengeluar kenyataan begitu. Menyalahkan pembangkang dan NGO adalah satu dakwaan yang ketinggalan bukti.

Sepatutnya darah Umno yang masih mengalir dalam diri Dato' Dr. Zainal Kling dan Tan Sri Ismail mengutuk sekeras-kerasnya bagaimana Umno telah hilang jati diri, membuang sejarah, mengenepikan maruah bangsa dan melanggar Perlembagaan 152.

Sebagai ilmuan dan cendekiawan, kedua-dua pikun ini sepatutnya tahu sejarah bagaimana bahasa dimertabatkan, penguasaan dan kehebatan, kemampuan penggunaannya dan tentulah dengan jati diri yang tinggi, menolak jika ada sebarang usaha meMalaysiakan bahasa dari bahasa Melayu.

Ini bukan soal bahasa Melayu hendak dijadikan bahasa masyarakat Malaysia. Ini soal maruah, jati diri bangsa dan kedaulatan Perlembagaan yang tercatat. Mengapa kita mesti mengubah keyakinan dan penerimaan masyarakat Malaysia apabila semua menerima bahasa Melayu sehingga dijadikan Perkara 152 di dalam Perlembagaan?

Hujah yang sangat lemah. Jika bahasa menjamin penerimaan masyarakat, ianya bukan mustahil seperti pemimpin sebelum ini berhujah bahawa bahasa Inggeris dalam matematik, sains menjadi faktor kecemerlangan anak Melayu.

Patutlah apabila univertsiti menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar, pikun-pikun budayawan dan ahli bahasa Gapena tidak pun membantah. Rupa-rupanya pendirian itu pendirian yang sama; menjamin penerimaan masyarakat.

Ertinya kepada ‘kami dalam Gapena’ jika masyarakat itu menerima dan jika boleh menjadi unsur penerimaan masyarakat, lakukanlah apapun, hatta maruah bangsa tergadai?

Tercabut jati diri

Inilah roh dan jiwa Umno. Inilah yang dilakukan oleh Umno selama ini. Sikap bertolak ansur tentang bahasa, ketuanan, tanah rizab, hak dan segala macam yang sepatutnya diutamakan kepada orang Melayu ditolak, adalah budaya Umno.

Maka apabila dua pikun dalam Gapena menyokong bahasa Melayu menjadi bahasa Malaysia, ia sama saja, iaitu melambangkan bagaimana tercabutnya jati diri mereka dan mereka sama seperti JKK patuh kepada wakil rakyatnya.

Bacalah dengan teliti wawancara di dalam Siasah keluaran 24-30 Jun yang lalu. Siapa pun akan dapat mengagak betapa wawancara dan kenyataan itu sekadar memberitahu bagaimana Gapena masih prihatin tentang bahasa dan dalam masa yang sama Umno dan BN mestilah mengambil kira kenyataan itu, setidak-tidaknya dalam apa cara jua pun, pemimpin Gapena dijamin menerima kad jemputan.

Lihat saja apabila ditanya adakah terjejas jati diri akibat pertukaran bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia? Jawapannya ialah; Ini bergantung kepada tindakan khusus semangat yang dibayangkan oleh bahasa Melayu itu, sama ada dipegang kukuh atau dituruti.

Apa maknanya ini? Mengapa dijuruskan kepada ‘semangat bahasa Melayu?’ tidak kepada ‘kita dalam Gapena,’ kepada pemimpin Melayu, kepada penguasa Melayu dan kepada bangsa Malaysia yang telah menerima sekian lama sejak terciptanya Perlembagaan?

Bagaimana dengan semangat bahasa Inggeris yang menafikan kemampuan bahasa Melayu, sehingga para menteri sendiri gagap berbahasa Melayu dan senang berbahasa Inggeris?

Menyalahkan PAS tidak berjuang ke arah ini adalah satu dakwaan menafikan sejarah. Tetapi sekiranya menyalahkan Gapena, barangkali ada benarnya, kerana bermula dari zaman Mahathir mahukan bahasa Inggeris menjadi bahasa pengantar dalam matematik, sains hinggalah kini, Gapena tidak pernah bangun bersuara lantang. Yang terdengar hanyalah ‘kesal.’

Demikianlah kita melihat dua budayawan intelektual yang pikun (sekali lagi mengguna istilah novel Azizi Hj Abdullah dalam Sangeetha) tersalah sasar mengeluarkan kenyataan untuk mencanangkan bahawa mereka pejuang bahasa dan tetap.

0 comments: