Bahana Malaysia Kalah Bola Sepak

Posted by Tukya Labels:

KITA TIDAK TAHU APA ITU MARUAH

Apabila pasukan bola sepak negara kalah di tangan China 5-1 dan Uzbekistan 5-0, riuh rendah jutaan peminat bola sepak menytakan rasa tidak puas hati. Di sana sini merungut. “Kalau nak kalah pun jangan sampai 5-0” begitu ada yang paling lembut menyatakan tidak puas hati.

Sehubungan itu (?) Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meletak jawatan. Tapi perletakan jawatan ini tidaklah mengejutkan seperti ramai yang terkejut sawan di atas kekalahan pasukan Malaysia.

Ketika sedang minum di sebuah warong kopi di pagi berita perletakan jawatan Timbalan Presiden FAM itu saya terdengar seorang kaki boleh berkata; “ Elok sangatlah letak jawatan.

Sepatutnya sebelum Malaysia kalah lagi jawatan itu perlu diletak.

Dan bukan saja Tengku Abdullah, yang lain-lain lagi yang sudah botak kepala mereka pun, patut letak jawatan.”

“ Hiss, takkan macam tu. Gaji dan elaun berapa sebulan?” kata pula seorang lagi.

Bola sepak sebenarnya sudah jadi satu industri dalam sukan. Rakyat Malaysia menganggap sukan bola sepak seperti maruah Malaysia yang paling berharga.

Dan maruah yang lebih berharga bilamana pasukan bola sepak negara ini kalah di tangan mana-mana pasukan. Terbaru, rakyat Malaysia menganggap seperti Malaysia tidak ada biji telur apabila kalah kepada China dan Uzbekistan.

Tercerminlah sejauh mana mentaliti rakyat Malaysia dalam sukan. Rakyat Malaysia semacam tidak sanggup menerima kekalahan atas nama perlawanan.

Rakyat Malaysia semacam nampak, pasukan bola sepak negara semacam Brazil atau gergasi bola sepak dunia yang tidak boleh kalah, sedangkan rakyat Malaysia tidak menbaca hal-hal lain, terutama kekalahan sebenarnya bukan milik Malaysia dan begitu juga kemenangan bukan milik Malaysia. Kekalahan atau kemenangan milik setiap pasukan yang berlawan.

Tapi peminat bola sekap kita lupa ketika pemain kita terlelong-lelong, tercungap-cungap, ketika menghantar bola ke kanan, junamnya ke kiri, menghantuk bola kena kepala lawan, mereka tidak terfikir pun kalah akan berlaku bila-bila masa.

Mereka menyalahkan FAM, jurulatih, pemain. Sedangkan mereka tidak sedar, Brazil pun kalah, England pun pernah kalah, mancester pun pernah kalah.

Habis, kalau semua hendak menang, siapa yang boleh terima kalah?

Memang benar kekalahan itu bersebab dan mungkin kekalahan pasukan Malaysia itu juga bersebab.

Tapi apa yang kita kesalkan sekarang, rakyat Malaysia telah menganggap bola sepak melebihi apa-apa, sehingga lupa bola sepak tidak akan dapat membawa negara ke mana-mana, melainkan dari segi nama sahaja. Bola sepak hanya dapat mengubah nasib si Dali yang menganggur menjadi pemain dengan elaun RM2,000 sebulan.

Bila sepak menjadikan sebahagian rakyat membuang duit, mempertaruh sebagai judi, membuang masa, bernostalgia dan menjerit-jerit mengusung bendera, menconteng cat di muka dan kemudian balik tanpa apa-apa.

Selebihnya bola sepak menjadi satu industri, tetapi yang mengutungkan hanyalah segelintir orang dan pegawai-pegawainya. Dan yang anih, di antara pegawai-pegawai itu dari kalangan pencen politik, yang tidak pernah sepak bola.

Kerana keghairahan mahu memang, sukan bola sepak telah membuka pintu seluas-luasnya kepada orang luar dengan mempertaruhkan nasib kepada mereka dengan belanja yang tinggi hanya semata-mata mahu menang dan nama. Apabila pasukan itu menang, akan dihamburkan lagi imbuhan, sagu hati, intensif dan lain-lain kononnya itu adalah kemanangan. Sedangkan di tahun yang lain, dengan orang yang sama, mereka tersungkur pula.

Tetapi kita tetap memuja dan memberi tumpuan utama. Berjuta-juta ringgit kita habiskan. Maka apabila kalah, kita menyalahkan sesama sendiri sedangkan sebahagian pegawai-pegawai dari atas hingga penebas rumput padang tidak pernah berfikir tentang maruah negara.
Tulisan ini bukan membawa pertunjuk yang kita menentang sukan. Sukan memang penting.

Tetapi jika sukan telah menjadikan rakyat gila sawan, tentulah mendukacitakan. Ada pegawai-pegawai tertinggi sukan yang mempunyai tugas dan kewajiban lain, sanggup menghabiskan masa hanya kerana jawatan di dalam sukan.

Apakah ini baik untuk negara? Ada orang-orang berjawatan politik, setelah tidak berapa laku di dalam politik, beralih kepada menjadi pegawai sukan, yang kononnya mahu berkorban, sedangkan tanggung jawabnya dalam politik lebih besar.

Dan yang lebih menjadi tanda tanya kita, apakah ia merupakan maruah negara apabila belanja untuk sukan dengan angka berjuta-juta setahun. Rakyat berebut-berut hanya untuk melihat sebiji bola di kaki pemain supaya masuk ke gol, lalu mengeluarkan belanja yang bukan hanya tiket, tetapi sampai menggadai nyawa (kemalangan dalam perjalanan) dan kemudian wang ratusan ribu hasil jualan tiket, ke mana perginya?

Sekali lagi kita tidak bermaksud menghina sukan ini. Sukan penting tapi kita sudah melampaucdan kita dibius bagaimana sukan dianggap sebagai maruah negara, sedangkan yang lain kita tidak pernah peka.
Kita marah kepada FAM yang lemah pengurusan, kepada jurulatih, kepada pengurus pasukan, kepada pemain yang hanya sekali sekala kalah di kaki orang lain, seolah-olah kita menghabiskan berlanja percuma.

Tetapi kita tidak pernah berfikir, marah, kesal dan tidak pernah bertindak sesuatu apabila misalnya; Kita menghabiskan wang memberi untung kepada Astro sebanyak RM31.9 juta untuk suku tahun pertama sehingga April 2007. Siapa pernah marah, siapa pernah kesal?

Kita tidak pernah protes dan bantah apabila yuran Astro naik RM15.
Kita tidak pernah persoal, maruah bintang-bintang kebesaran negara di mana 10 negeri terbabit menjual pangkat dan darjah orang kenamaan yang dikeluarkan oleh institusi berdaulat dengan hanya RM50,000 untuk datuk sehingga RM150,000.

Kenapa sukan bola sepak saja dianggap maruah?

Kita tidak pernah menyoal bagaimana seorang anak muda 24 tahun, yang digahkan berkahwin dengan seorang artis, sudah ada gelaran datuk? Apa yang dilakukannya kalau ketika 18 tahun baru lulus SPM, 21 tahun baru masuk U, tiba-tiba 4 tahun selepas itu sudah ada datuk?

Kita bercakap tentang maruah bola sepak demi negara. Tetapi orang yang minat bola sepak yang juga warga negara tidak pernah menyoal bagaimana belanja pemimpin dan isteri pemimpin mencecah dengan angka melampau.

Orang sukan macam tidak peduli kalau ada di antara pembesar kita membeli belah di luar negara dengan menggunakan 8 buah kereta dengan 74 beg untuk diisi barangan-barang dan 15 buah kereta lagi disedia khas untuk membawa barang-barang yang dibeli.

Orang tidak pernah menyoal betapa sebuah bilik bernilai ratusan ribu hanya untuk tidur semalam.

Dengan sukan kita dihantui untuk tempat pertama. Kita gila dengan ‘yang pertama’ atau ‘orang pertama’ seperti gila mimpikan sukan bola sepak mesti berada di tempat pertama.

Lalu kita pun, atas nama sukan, kita membiayai puluhan, ratusan ribu untuk perenang utama dunia, pendaki gunung utama, pengembara solo utama, pengayuh basikal utama, penjelajah khutus utama. Kembalinya mereka kita jadikan mereka wira.

Berapa yang kita belanja? Harumkah negara jika seorang rakyat kita berusia 65 tahun berjaya mendaki puncak Everis? Harumkah negara jika warga kita menjadi orang pertama mendaki gunung secara solo, tetapi sebenarnya ada sepuluh orang lagi yang mengawasi, menjadi juru photo, pembekal ubat, penunjuk jalan dan menyediakan khemah?
Herokah negara Malaysia jika perenang selat berenang secara solo tetapi diikuti bot-bot penyelamat? Herokah negara kita jika pengayuh basikal merentas benua, ditemani sanak saudara dan juru photo untuk publisiti.

Maruah negara dan rakyat Malaysiakah kalau tendangan ke gol sepantas 15 saat sejauh 400 meter oleh seorang pemain import yang setahun selepas itu balik ke negaranya? Mana dia pemain Malaysia yang dieksport untuk kita banggakan? Sedangkan seorang kerani yang sanggup menderma hati dan buah pinggang, kita biarkan sahaja

walaupun kita mampu membelanja ratusan ribu untuk sukan.
Semua perkara ini perlu kita nilai dan berfikir kembali. Kita sudah lama dihantui dengan kebanggaan yang tidak membei apa-apa makna. Kita dimabukan dengan sukan tetapi kita tidak mendapat apa-apa dengan sukan.

Kita sanggup membina bangunan keperluan sukan tetapi kita tidak pernah melihat pondok buruk seorang petani atau seorang penoreh. Kita memberi peruntukan kepada seorang atlit dengan mengharapkan ia kembali menjadi juara tetapi kita tidak peduli hendak menyambung nyawa seorang pemuda miskin jantung berlubang.

Demikianlah, jika ramai yang menganggap kekalahan bola sepak kita kepada China dan Uzbekistan sebagai menjatuhkan maruah, apakah Brazil yang kalah di piala dunia dulu juga hilang maruah keBrazilan mereka?

Yang sebenarnya kita tidak tahu menilai apa itu maruah sebenarnya?

0 comments: