Cerpen: Ditulis pada 9hb Ogos 2007. Di rumah 5-23 ptg
Disiar: Minguan Malaysia 9 Sep 2007
NILAI CINTA KAMI
-Azizi Hj Abdullah
Cinta?
‘Apa benda cinta tu?’ itu yang akan ditanya balik dengan beliak mata pada bininya, manakala bini pula menyepet-nyepet mata kepada lakinya.
Tapi itulah yang mereka dengar dari hujung telinga ketika hendak melintas jalan di garisan kuning, apabila si laki pegang tangan bini, si bini cakuk tangan laki. Bukan kata-kata itu sahaja tetapi di susuli dengan ketawa terkekeh-kekeh, put-pet, put-pet sekumpulan anak muda yang sedang menghirup kopi dan mentye4dut rokok di kepala simpang itu.
Biarkan! Si laki tidak peduli dan si bini pun tidak acuh.
Cakuk tangan bini ke tangan laki sangat kuat. Memang pun laki suruh cakuk kuat-kuat. Jangan melintas melulu nanti kereta rempuh atau motosikal rojoh. Manalah tahu kalau lori haram jadah yang bawa balak haram pula tiba-tiba merojoi.
Jangan cepat atau jangan kalut sangat langkah. Kita sudah tua. Orang tua yang sudah berusia 85 tahun mana boleh gopoh gapah. Jalan bulan lebar sangat. Jalur kuning memang khas untuk kita lintas.
Tunggulah sampai habis kereta, kata bini kerana amat bimbang kereta rempuh laki. Tak payah, garis kuning ini kata cucu kita, untuk orang melintas. Kereta kena berhenti. Lori kena berhenti. Apa pun kena berhenti.
Bini pun tersenyum sumbing. Kain kelumbung yang terkeleweh di bahu, dibetul-betul tapi tangan sebelah tetap cakuk tangan laki.
Langkah satu-satu, nanti penat Cik juga kena hurut dada dengan minyak angin. Baik-baik jangan terpelecok, nanti aku juga yang kena sentap tarik urat yang mengkerekau.
Laki ketawa kukkik-kukkik. Bini senyum melebek. Hasil dari hati-hati dan cermat, selesailah melintas jalan untuk ke kelinik.
Terdengar juga anak-anak muda di kedai kepala simpang mencerus ketawa kerana geli hati melihat orang tua dua laki bini berpegangan tangan melintas jalan menuju ke kelinik.
Bila misi panggil nanti, bagi tahulah yang awak tu sakit belikat, lenguh pinggang. Untung-untung dapat ubat bagus, legalah. Tak payah lagi kita jual sekerap beli ubat itu ubat ini. Yang penting bukan itu saja. Cik tak penat-penat urut sampai tengah malam.
Awak pun sama. Kalau jumpa doktor cakaplah mengah angin segugut. Aku pun naik naik meluat, sentuh sikit asyik berlehak sendawa yang bukan-bukan.
Cik ketawa terkekeh-kekeh tapi cakuk tangan tak juga lekang. Laki pun tergelak bukan main. Bini tahan melawak sungguh.
Tiba-tiba dua laki bini itu berdiri tercegat seperti ditegah melangkah. Apa tidaknya. Di anjung kelinik sangat ramai orang yang masih tunggu giliran. Ada yang mengandung, ada yang luka, ada yang bawa anak kecil.
Begini saja Cik. Cik pergi ambil nombor. Aku tunggu bawah pokok sana. Nanti misi panggil, kita masuklah. Bini pun melepas cakuk di tangan. Terangguk-angguk, menongkat pinggang, membongkok-bongkok melata di atas titik yang merentangi parit kecil.
Jaga-jaga Cik. Naik tangga tu nanti hati-hati. Aku tentu tak sempat paut. Aku di sini.
Yalah. Jangan bimbanglah. Duduklah di bawah pokok tu. Tengok-tengok sama kalau ada semut api. Tua-tua kita pun sakit juga kalau ketit.
Cik pun naik terketar-ketar. Misi pun hulur nombor. Misi tegur, kenapa tak ajak anak atau cucu teman. Cik kata, laki aku ada, buat apa orang lain teman. Laki aku boleh pimpin, aku juga boleh cakuk tangan. Dia pun sakit, aku pun sakit.
Yang ada semua ketawa. Misi sudah biasa. Kalau pasangan tua ini, dia cukup tahu. Tak pernah renggang.
Ketika hendak turun tangga kelinik, Cik macam hendak terduduk. Laki pun menempik; aku dah kata, jagalah sikit. Cik pun bangun megah, terkedek-kedek mendapatkan laki yang berehat di bawah pokok.
Nombor berapa, tanya laki. Cik kata nombor dua puluh tujuh. Lambat, jenuh kita tunggu, kata laki. Sabarlah, kalau dah lewat, lewatlah. Ikut giliran, kata Cik.
Cik pun duduk tepi laki. Diraih-raih daun kering yang jatuh di atas bahu. Dijentik-jentik habuk di belakang laki. Ditanggal songkok hitam yang sudah lusuh, dihempap-hempap menanggal habuk kemudian diletak semula.
Laki pun merasa megah. Diambil tangan kiri Cik. Di belek-belek dan dikerunas-kerunas urat-urat yang timbul. Ada anak pipit keputihan di atas cuping telinga, laki selak-selak dan perosok disebalik kain tudung. Pakai tudung apa, aurat masih nampak, kata laki.
Cik membeber. Dia selalu tenguk dalam TV berapa ramai orang artis yang pakai tudung tapi tonggek sana tonggek sini. Awat? Jerkahnya.
Setengah jam misi masih tidak panggil. Entahkah sudah panggil tapi telinga yang tuli. Cik ambil beg mengkuang. Ada sebungkuk nasi dalam daun pisang yang sudah dilayur. Buka saja, aroma ikan gelama masam dengan sambal buah petai menghibur nafas.
Kita makan dulu? Laki menolak. Makanlah sikit, awak tu mudah sakit perut. Laki masih menolak. Ketika itu juga Cik menjemput sejemput menyuap ke mulut laki. Laki dengan gigi palsunya mengunyah-ngunyah lazat.
Entah berapa lama asyik dan maksyuk Cik dengan lakinya di bawah pokok tepi kelinik itu. Tiba-tiba melintas misi sambil menonton basikalnya hendak pulang. Cik tanya, sudah tutupkah kelinik. Misi jawab waktu rehat tengahari. Habis, kami bila nak panggi, tanya pula laki Cik. Nombor berapa, tanya misi. Nombor kami dua puluh tujuh, beritahu Cik. Laaa, nombor dua puluh tujuh sudah dipanggil tiga kali. Tak ada. Habis, kami nak buat macam mana? Cik tanya lagi. Tunggu pukul dua petang pulalah, kata misi.
Cik lunjur kaki kanan, laki lunjur kaki kiri. Dua-dua kaki itu kematu tumitnya. Cik kernuas tumit kaki laki. Laki pun terherot-herot mulut kerana sedap-sedap gatal. Cik hurut lagi betis anak anjing. Tapi isi betis sudah kendur benar. Tak berapa selesalah. Laki pun beralih membelakang. Cik selak baju kemeja. Cik urut tulang belakang, tulang belikat.
Oiii, mana adil. Kita saja yang urut,awak tidak, komplen Cik dengan sopan tuanya. Maka laki pun mengalih sila. Di picit-picit bahu dan lengan. Itulah tubuh lembik dan isi kendur bini. Bukan orang lain.
Cinta?
Cik tidak tahu apa itu cinta. Laki pun tidak tahu apa itu cinta. Tapi mereka sudah 60 tahun lebih bersama, serumah di tepi sungai, sekelambu dan setilam sampai dapat anak dan cucu. Laki balik dari hutan, Cik sedia makan. Malam-malam Cik huli tepung gandum, laki raut rotan buat raga.
Pukul sebelas tidur. Cik urut belakang laki dengan minyak angin. Laki urut kaki Cik dengan minyak lintah.
Tiba-tiba Cik sendawa kuat. Laki tergelak. Uhhh, ditolak meluat tapi kedua-duanya sama-sama ketawa.
Sebentar lagi pukul dua baru klinik buka.
Cerita 2:
Cinta?
Ahhh tak payah kata cinta. Lihat cara berdua siapa pun sangat yakin bahawa mereka memang cinta habis. Pakai mesti sewarna. Makan mesti seselera. Melancong mesti satu destinasi. Dalam diri you, ada I. Dalam diri I, ada you. Tidak ada sesiapa yang boleh pisahkan. Tak percaya, berak pun dalam tandas yang sama tapi jadahnya busuk berlainan. Yang anu masam perit, yang ini bengit habis.
Maka merancanglah mahu buat pesta kahwin atas nama cinta yang unggul. Pertama you kena isytihar belanja kahwin mesti angka ratus ribu, berderet sama macam anak itik. Kedua you mesti isytihar persalinan lebih dari 1o kali di raja. Kalau boleh tempah siaran langsung, tempahlah.
Ini nilai cinta kita, ling!
Kita buat hari Valentine. Pesta secara maraton. Pangil pawang tahan hujan. Kita kena tunjuk hebatnya cinta kita. Ruang masuk dewan tampilkan keemasan jika tidak sempat mengecat, cukup dengan kertas Elyza`s warna putih hijau pekat. Gantungkan rantai patung itik dan angsa tanda kita arah tuju. Cari cermin besar bingkai dari Italy. Selebihnya mesti seramik mahal. Ruang tamu mesti langsir kuning jagung berlapis renda putih. Sofa pabrik berkulit lembut. Kerusi bersayap mesti macam geruda muda. Pinggan mangkuk mesti Jonshon Brothers.
Pelamin mesti berkonsep ‘Mahligai Hati’ tanda unggul cinta kita. Cadar mesti sehening hijau dari fabrik Lance Court himpunan Soff & Suede Ivori, hiasi fabrik organza, labuci. Bidainya mesti dari Australia.
Ini nilai cinta kita, ling!
Jangan lupa, pelamin mesti peterana emas, warna telus sheer dan kapas. Bumbung mesti berkubah berlambang Islam. Tabir satin digantung tinggi, berhias siku keluang.
Ketika mahu menepung tawar, jangan lupa jemput wartawan semua majallah. Suruh mereka buat cover. Buatlah gubahan terbaik dengan gaya Ikebana beradunan bunga cuping telinga gajah, sepit udang, kekwa, misty blue summer.
Cinta? Memang kami bercinta. Kami sudah mengenali hati antara satu sama lain. Walaupun profesion berlainan, tapi kami amat faham dan kami tidak akan kacau peribadi masing-masing.
Tenguklah, sebagai hadiah pertunangan pun, sebuah kereta Harere diberi untuk I ke market. Rantai berlian I tak dapat tahu junmlahnya. Maklum, dia Datuk.
I memang cinta habis padanya. I tak kisah dia nak berlakon, nak menyanyi. Yang penting kami sama-sama menyintai.
Maka tiba hari penghantaran serta dua dengan nilai RM 0101,010.111 berserta dengan akad nikahnya sekali, ramailah yang hadir dari semua peringkat datuk datin, tan tin tun. Esoknya melalah melilau sang kekasih kerana sekeping cek tidak tahu hendak ditukar ke bank mana. Pada cek itu tidak tercatat mana-mana bank di Malaysia.
Pengsanlah sang kekasih. Terjelepuk di tepi parit. Sasau jadinya.
Cerita 3:
Penat sungguh berjalan kaki siang tadi. Naik bas turun bas, mujur Cik yang pimpin. Jemerang jalan pun Cik yang tuntun. Tunggu lama di bawah pokok dekat klinik pun, Cik yang urut gosok, buka bekal, sua minum.
Jam 10.30 sudah pakat-pakat terkedang. Pasang kelambu, kibas sana sini, tepuk bantal, semuanya Cik. Dan bila Cik rebah tidur, Cin pula ke dapur. Berkomor semau-mau dan seperti biasa Cin tanggal dan letak di situ.
“Dulu, baru lepas kahwin, kalau belum lena, awak garu lengan kita dulu, baru kita boleh lena,” kata Cik sambil mengiring memberi belakang.
Cin tak kata apa-apa. Atas nama cinta Cik terus garu pelan-pelan lengan Cik. Cik terkerisin dalam samar malam.
“Dulu, sebaik saja lepas bersalin anak pertama, awak selalu picit-picit kepala kita sampai lena.”
Atas nama cinta, Cik mengubah sasarannya. Dia memicit-micit kepala Cik lembut mesra. Memang itulah tanda kasih sayangnya pada Cik. Cik tidak pernah berterima kasih tapi dia tahu Cik memang isteri yang baik.
Tapi malam itu Cik agak melampau minta manja dan minta bukti setia cinta kasihnya. Lalu selepas kepalanya dipicit, Cik berkata lagi: “ Dulu, sebelum lena, awak mesti urut belakang kita dulu, bari kita boleh tidur.”
“Heee, apa ke jadahnya awak malam ni. Asyik suruh saja,” akhirnya Cin naik hairan.
“Tanda cinta kita sampai tua.” Kata Cik.
Maka Cin pun, atas nama setia taat dan cinta diurutlah belakang Cik. Tapi alangkah meluatnya, setiap kali diurut, setiap kali pula Cik berlahak, sendawa macam orang hendak muntah hijau.
‘Itulah, angin banyak sangat.” Kata Cin.
“ Terima kasih. Tapi ada satu yang awak tak buat, sebelum kita lena,” kata Cin sambil membelakangkan Cin.
“Apa dia? Tak habis-habis awak ni.”
“Tanda cinta. Macam orang muda-muda jugalah.”
“Yalah...apa dia?”
“Dulu, awak selalu tokak dan gigit tengkuk kita. Bari kita boleh lena.”
“Ahhh, lupa aku,” kata Cin lalu bingkas bangun seperti kucing lena terkejut ular.
“Tenguk tu. Kita suruh tokak gigit tengkuk, dia bangkit. Nak ke mana pula?” Cik naik radang.
“Tunggulah sayang. Aku nak ambil gigi palsu yang aku rendam di dapur. Kalau tidak, macam mana aku nak tokak!”
Cik ketawa kukik-kukik sampai bergembar-gembar rumah. Malam itu mereka lelap dengan nilai cinta yang tinggi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment