Drama Radio SANGEETHA
Posted byJodol : SANGEETHA
Tulisan : Azizi bin Abdullah
424 Taman Bersatu,
09000 Kulim Kedah.
Pelakon:
SANGEETHA : 90 tahun.Nada tua, ala India. Lemah
DERUS : 70 tahun. Nada tua. Lemah
HUSIN : 40an.
RAVI ; 40an, India, bercakap ala India.
Persediaan penting:
Pemain gambus dan pemain tabla.
Bunyi burung merbok
Injin kereta dan motosikal
Dll.
----------------------------------------------------------
DERUS:
(BERNADA TUA. SEDIH)
Kain basahan ikat di beranda
Letak belati di hujung perahu
Kasihan ada ingat pun ada
Retak di hati siapalah tahu.
KESAN BUNYI:
PETIKAN GAMBUS (Sebarangan lagu)
DI SUSULI BUNYI PUKULAN TABLA (Sebarangan rentak)
SANGEETHA:
(BERNADA TUA. TERHARU)
Temilang dua berselang
Penggali urat si jemertas
Sama luluh sama hilang
Seperti dakwat dengan kertas.
KESAN BUNYI:
BUNYI PUKULAN TABLA (Sebarang rentak)
DISUSULI PULA PETIKAN GAMBUS ( Sebarang rentak)
JH:
(LEMBUT DAN LUNAK)
Di antara nyala api rindu
Ada sepi yang terbakar
Di sebalik mesra mata bertembung
Ada kasih yang terlindung.
Di atas tanah yang ku pijak
Ada cinta yang ku tanam
Di bawah langit yang kujunjung
Hidup matiku taat kutanjak.
GRAM : MUSIK PEMBUKAAN (PILIHAN PENERBIT)
JH :
Sempena menyambut bulan kemerdekaan, FM Klasik mempersembahkan sebuah drama, pertemuan pikun dua insan, kasih nan membara, simpati yang ketara, sepi hidup yang melanda, dengan jodol SANGEETHA, hasil tulisan Azizi Abdullah. SANGEETHA.
KESAN BUNYI:
BUNYI PETIKAN GAMBUS SECARA GOPOH, KALUT (Sebarang lagu)
HUSIN:
Hai, seharus suntuk asyik petik gambus, apa ke hal ni, Pak Derus? Tak ke rumah Sangeetha ke?
DERUS:
(SEDIKIT MENGELUH) Aku petik ni Husin, bukan saja-saja. Bukan macam petik gitar orang sekarang.
HUSIN:
(KETAWA KECIL) Saya tahu....saya tahu Pak Derus (KETAWA KECIL)
DERUS:
(CEPAT BERTANYA) Tahu? Tahu apa? Apa yang kau tahu?
HUSIN:
Pak Derus main gambus. Perempuan tua, Sangeetha tu main tabla. Hari-hari Pak Derus ke rumahnya, jadi tukang kebun, jadi derebar bawanya dengan Morris Minor.(KETAWA KECIL) Pak Derus, gambus dengan tabla mana sama. Tak ngam.
DERUS:
Tapi kau mesti ingat Husin, kalau dua budaya boleh disatukan dalam sebuah negara, takkan dua musik tidak boleh disatukan iramanya?
HUSIN:
(KETAWA LUCU) Hahhh, nak jadi P. Ramlee pula. (KETAWA) Sudahlah Pak Derus. Lebih baik jaga burung merbuk Sangeetha tu, atau basuh Morris Minor Sangeetha saja. Kalau tidak, haaa cangkul rumput, buang sampah.
DERUS:
Kau fikir aku kuli?
HUSIN:
Kulilah tu....semua orang kata Pak Derus kuli Sangeetha, perempuan tua yang kematian suaminya tu. Kalau tidak, masakan Pak Derus ke sana setiap hari.
DERUS:
(CEPAT MENJAWAB) Aku ke sana nak mandikan burung merbuknya, aku hidup injin Morris Minornya, aku beli ikan untuk kucingnya. Aku ke sana kerana aku ingat pesan Viralal, suaminya yang mati dulu.
HUSIN:
(KETAWA) Atau gilakan perempuan tua kurus kering yang dah bergelambir tu? (KETAWA. SUARA SEMAKIN JAUH) Pak Derus...Pak Derus....(KETAWA SEMAKIN JAUH)
DERUS:
(MENDENGUS) Huhhhh!
KESAN BUNYI:
BUNYI PETIKAN GAMBUS SECARA GOPOH GAPAH.
GRAM:
MUSIK. PILIHAN PENERBIT.
BUNYI BURUNG MERBUK MERATUS GALAK.
KUCING MENGIAU-NGIAU.
SANGEETHA:
(MERUNGUT-RUNGUT DENGAN TELOR BAHASA TAMIL) Itulah kau Meo, kalau tak tenguk Derus sehari, dah mengiuau sana sini. Merbuk ni pun satu. Sabarlah...sekejap lagi datanglah Derus tu. Derus tentu tambah air, tambah padi. Derus tentu akan mandikan kau nanti.
GRAM:
KUCING MENGIAU BERKALI-KALI.
MERBUK MENGUKU-NGUKU GALAK.
KESAN BUNYI:
BUNYI PUKULAN TABLA SECARA GILA.
DERUS:
(TERBATUK-BATUK) Saya datang ni Puan Geetha. Saya dah datang. Maafkan saya kerana tak dapat datang semalam.
GRAM:
BUNYI INJIN KERETA LAMA DIHIDUPKAN. ( BUNYI INJIN KERETA MENGIRINGI DAILOG DI BAWAH)
KESAN BUNYI:
BUNYI PUKULAN TABLA SEMULA.
DERUS:
Puan Geetha...maafkan saya.
BUNYI PUKULAN TABLA TERHENTI.
SANGEETHA:
(SEAKAN SEBAK. SEDIH) Kenapa kau tak datang semalam, Derus? Kau bencikan aku? Kau...kau lupa pesan Viralal, suamiku dulu. Kata Viralal, kau mesti selalu datang ke rumahku. Viralal kan baik? (SEDIKIT MENANGIS) Dan aku....kau...kau saja dalam dunia ni. Tak ada orang lain lagi. Kenapa kau tak datang semalam, Derus?
DERUS:
Maafkan saya Puan Geetha. Saya...saya....
SANGEETHA:
Jangan berpuan-puan lagi. Sudahlah. Kau ke sini bukan sehari, Derus.
DERUS:
Errrr, macam mana merbok tu.? Biar saya mandikan. Dah seminggu saya tak mandikannya.
SANGEETHA:
(SEPERTI MARAH) Itu haaa, injin kereta tu kenapa tak matikan dulu (KETAWA LUCU)
DERUS:
( KETAWA JUGA) Kan orang tua mudah lupa? (KETAWA)
GRAM:
BUNYI BURUNG MERBUK MENGUKU-NGUKU. KEMUDIAN DISAMBUNG BUNYI PUKULAN TABLA TETAPI TIDAK LAMA. SENYAP.
SANGEETHA:
Derus, aku amat berterima kasih kerana kau tak jemu-jemu datang, sama seperti Viralal, suamiku ada dulu. Aku tak dapat bayangkan kalau kau tak datang. Siapalah yang akan jaga burung Merbok peninggalan Viralal? Siapa yang nak bawa Moriris Minor antik ini? Siapa yang nak bawa aku ke pasar, ke bank. Siapa yang nak mengurus derma dan sumbangan aku untuk badan-badan amal...melainkan kau Derus. (SEBAK DAN TERISAK) Kau saja Derus.
DERUS:
Janganlah Puan risau. Selagi saya ada, dan selagi Puan benarkan saya menyewa rumah kepunyaan Viralal tu, saya tetap datang. Saya kenang budi baik Viralal.
SANGEETHA:
Baguslah....kau mesti ingat, walaupun aku ni dari Mumbai, Viralal orang Delhi, tapi kita sudah jadi satu bangsa. Bangsa Malaysia. Kau jangan curiga aku, seperti aku tidak pernah curiga pada kau.
DERUS:
Tapi saya cuma penyewa rumah...
SANGEETHA:
(MARAH) Derus!
DERUS:
Saya...saya cuma posmen pencen yang terhutang budi pada Viralal, suami puan dulu.
SANGEETHA:
(MARAH) Derus!
KESAN BUNYI:
BUNYI PUKULAN TABLA KALUT-KALUT. BERHENTI.
SANGEETHA:
(SEBAK, SEDIH) Aku tak pernah anggap kau begitu, Derus. Bagi aku, kau Viralal.... Viralal, tau tak?
GRAM:
BUNYI BURUNG MERBUK TERKUKU-KUKU.
DERUS:
Maafkan saya Puan Geetha.
SANGEETHA:
(MARAH) Geetha!
DERUS:
Maafkan saya Geetha.
KESAN BUNYI:
BUNYI PUKULAN TABLA SEPERTI SATU KERIANGAN. BERHENTI.
SANGEETHA:
Derus...Viralal suamiku dulu tak pernah ajar aku memukul tabla. Kau pula pandai bemetik gambus. Mahukah kita satukan dua bunyi ini menjadi satu irama, satu nada, seperti Malaysia menerima baik budaya aku?
DERUS:
Saya juga tak pandai bermain gambus. Saya Cuma melepas perasaan.
SANGEETHA:
Perasaan? Perasaan apakah itu, Derus. Aku juga memukul dengan penuh perasaan walaupun aku tidak pernah belajar cara bermain.
DERUS:
Entahlah...saya sendiri tak tahu.
SANGEETHA:
Derus...rumah aku ini sepi. Aku sudah semakin pikun. Usiiaku sudah sembilan puluh.
DERUS:
Saya juga sudah lapan puluh.
SANGEETHA:
Kita isikan sepi ini dengan dua irama satu nada. Kita isikan dengan perasaan kepikunan. (SEBAK) Viralal dah tak ada. Dia tak akan kembali lagi, sedangkan aku masih hidup. Bagaimana Derus? (SEAKAN TERISAK-ISAK)
DERUS:
(CUBA MENGALIH KEPERSOALAN LAIN) Errr Geetha....lupa pula saya. Ini...ini dua ratus...dua ratus ringgit, sewa rumah bulan ini. Maaf lambat sikit bulan ni.
SANGEETHA:
(MARAH DENGAN NADA GEMENTAR) Derus! Apakah kau anggap aku ini tuan rumah dan kau penyewa? ( MARAH) Sudah! Kalau kau masih anggap kau penyewa dan aku ini isteri Viralal, tuan punya rumah....
KESAN BUNYI :
PUKULAN TABLA SECARA KALUT-KALUT. BERHENTI.
GRAM:
BUNYI BURUNG MERBUK TERKUKU-KUKU.
SANGEETHA:
(MENYESAL) Maafkan aku, Derus. Maafkan....errr...errr, duit tu...oh ya, selama ini aku tak berapa peduli upah kau membuang sampah, menyiram pokok bunga dan menjaga Merbuk. Duit tu, ambillah sebagai upah kau.
DERUS:
(GERAM) Geetha...tak payah....tak payah ....errr...terima kasih.
SANGEETHA:
(CEMAS) Derus! Nanti....nanti Derus....ini, duit upah kau ni...
DERUS:
(SUARA JAUH. MENAHAN MARAH) Apakah selama ini Puan Geetha anggap saya ini kuli? Apakah saya ni kuli? (TERBATUK-BATUK)
SANGEETHA:
Derus! Derus! Bukan gitu Derus.
DERUS:
(SUARA JAUH. MENAHAN SEBAK DAN SEDIH) Sampai hati Puan anggap saya kuli? Kalau tidak masakan saya diberi upah? Nah, ambil kembali duit upah ni. Berpuluh tahun saya di sini, saya tak pernah anggap saya kuli.
SANGEETHA:
(MELAUNG CEMAS. ) Derus! Derus! Tunggu sekejap, Derus....
KESAN BUNYI:
MUSIK TABLA BERCAMPUR DENGAN GAMBUS.
GRAM:
MUSIK. PILIHAN PENERBIT.
KESAN BUNYI:
BUNYI SIULAN SEBUAH LAGU LAMA IRAMA ZAPIN
BUNYI KERIUT PINTU PAPAN DI BUKA.
BUNYI PETIKAN GAMBUS TIDAK TERATUR, SEPERTI BARU
MENCUBA-CUBA.
HUSIN:
Hai, rilek nampaknya. Tak ke mana-mana ke?
KESAN BUNYI :
BUNYI PETIKAN GAMBUS SEPERTI MENCUBA-CUBA. TANPA LAGU-LAGU TERTENTU.
HUSIN:
Nampak Pak Derus macam merajuk (KETAWA KECIL) Hai, takkan tua-tua pun merajuk. Huduh Pak Derus. (KETAWA MENYINDIR)
KESAN BUNYI:
BUNYI PETIKAN GAMBUS TANPA LAGU TERTENTU.
HUSIN:
Takkan dengan perempuan tua tu pun nak jatuh cinta? (KETAWA) Tukang kebun katakan...(KETAWA) Takkan nak berkasih dengan tuan rumah. Malulah Pak Derus. (KETAWA)
KESAN BUNYI:
PETIKAN GAMBUS TANPA LAGU TERTENTU.
HUSIN:
Jangan-jangan mahukan Moris Minornya atau harta? (KETAWA) Aduhhh, cinta kasih rang tua, katakan (KETAWA TERUS)
KESAN BUNYI:
BUNYI PETIKAN LAGU ‘TIGA DARA’ DENGAN SERIUS. CEPAT (Atau lagu pilihan penerbit) DAN TIBA-TIBA BERHENTI MENGEJUT.
DERUS:
(NADA SEDIH BERCAMPUR GERAM) Jangan kau ulangi tuduhan itu, Husin. Sakit jantung hatiku. Lebih baik kau diam, kalau kau tidak tahu apa-apa.
HUSIN:
(KETAWA KECIL) Maaflah Pak Derus...tapi macam mana saya tak kata, kan dah jelas semuanya. Hari-hari, pagi petang asyik berada di rumah Sangeetha, perempuan India tu. Kebetulan suaminya dah meninggal. Kalau tak ada sesuatu, masakan Pak Derus begitu.
DERUS:
(NADA GERAM BERCAMPUR SEDIH) Husin, aku ke sana sejak aku jadi posmen hinggalah aku pencen posmen. Aku merawisi wasiat Viralal, suaminya. Di sana ada merbuk galak yang aku perlu jaga. Di sana ada Moris Minor antik, yang perlu dihidupkan injin setiap hari. Di sana, aku menerima amanah, menyampaikan derma-derma yang diminta oleh seiapa saja. Salahkah jika aku ke sana membuat kerja-kerja begitu?
HUSIN:
(SUARA JAUH. KETAWA KECIL) Tapi Pak Derus ni Melayu, dia tu dari Mumbai, India. Masakan...
DERUS:
(CEPAT MENJAWAB DENGAN NADA TEGAS) Salahkah jika dua budaya ini kita satukan? Kemerdekaan menuntut kita bersatu, bersefahaman. Bukankah menyatukan budaya bererti menyatukan bangsa Malaysia?
HUSIN:
(SUARA JAUH. KETAWA LUCU) Gambus dan Tabla? Nak menyatukan dua irama? Kemudian sepadukan dua jiwa, dua cinta?
GRAM:
SECARA MENDADAK BUNYI INJIN MOTOSIKAL DIHIDUPKAN.
KEMUDIAN MOTOSIKAL BERLALU.
KESAN BUNYI:
BUNYI PETIKAN GAMBUS DENGAN GOPOH, KALUT.
MENGASYIKKAN. (Lagu pilihan penerbit)
DERUS:
(BATUK-BATUK. TERDENGAR MENGELUH. BATUK LAGI)
KESAN BUNYI:
DARI PETIKAN YANG KALUT DAN GOPOH, MENJADI SEMAKIN PERLAHAN, PERLAHAN DAN BERHENTI.
KESAN BUNYI:
BUNYI KERIOT PINTU DI BUKA PERLAHAN-LAHAN.
SANGEETHA:
(LEMAH. SEDIKIT BATUK) Derus...Derus...
DERUS:
(SEPERTI MEMBISIK SENDIRI) Terlebih garam, rosaklah gulai. Terlebih gula, badan binasa. Terlebih belanja, papa akhirnya. Terlebih kata, perahu terlajak, tertinggal pengkalan, menangislah kita.
SANGEETHA:
(SEBAK. SEDU) Derus...Derus...kenapa jari-jari kau berdarah? Jangan Derus...jangan mainkan lagu luka, irama nestapa. Kenapa kau bermain seorang. Kenapa tidak mengajak aku, Derus?
DERUS:
(HAIRAN. NADA DUKA. SEDIH) Geetha....baliklah Geetha... baliklah. Biarlah tangan ku luka bermain gambus ini. Biarlah aku bermain seorang dengan irama yang sumbang.
SANGEETHA:
(SEDIH. TERHARU) Jangan Derus. Jangan main seorang. Mari kita adunkan gambus dan tabla. Kita adunkan dua irama seperti kita adunkan dua bangsa menjadi satu rakyat merdeka.
DERUS:
Baliklah Geetha. Tak guna di sini kalau aku hanya tukang kebun dan orang suruhan. Rumah ini pun rumah kepunyaanmu. Aku hanya penyewa.
SANGEETHA:
Derusss! Jangan cakap begitu. Aku dan Viralal, suamiku dulu tak pernah menganggap kau tukang kebun.
DERUS:
(BERSAHAJA) Memang Viralal, suami kau dulu tidak menganggap aku tukang kebun, tapi kau...? Baliklah Geetha.
KESAN BUNYI:
BUNYI PETIKAN GAMBUS TANPA LAGU SEKALI LALU.
SANGEETHA:
(MERAYU) Derus...siapa nak mandikan burung Merbok tu? Siapa nak bawa Moris Minor Viralal? Siapa nak belikan ikan untuk kucing aku, Meo? Siapa nak tolong belikan aku bunga-bunga? Derus...(BATUK-BATUK) Sipapa nak urus derma dan khairat setiap bulan?
KESAN BUNYI:
BUNYI PETIKAN GAMBUS DERUS KALUT, SERIUS.
SANGEETHA:
(MENANGIS DAN BATUK-BATUK) Sampai hati kau Derus.
KESAN BUNYI:
BUNYI PETIKAN GAMBUS BERTERUSAN.
GRAM:
MUSIK. PILIHAN PENERBIT.
DI SUSULI BUNYI BURUNG MERBUK MERATUS, BERTEKUKU-KUKU.
SANGEETHA:
Vahhh! Vaahhh! Vaahhh!
GRAM:
KUCING MENGIAU SEPERTI TERKEJUT.
SANGEETHA:
(KUAT) Vahhhhh! Lain kali tengok sikit. Ekur tu jangan kodek-kodek.
GRAM:
BUNYI BURUNG MERBUK MERATUS GALAK.
KESAN BUNYI:
BUNYI PUKULAN TABLA TAPI BUKAN PUKULAN PROFESIONAL.
SANGEETHA:
(MERENGEK-RENGEK MENYANYI LAGU TAMIL MENGIKUT RENTAK TABLA)
GRAM:
MOTOSIKAL DARI JAUH, SEMAKIN DEKAT. MEMATIKAN INJIN.
RAVI :
(JAUH) Ammah! Ammah! (DEKAT) Ammah Geetha...err....err...
SANGEETHA:
( SEDIKIT MARAH) Haaa, kacau lagi. Apa mau, Ravi? Apa itu bawa, Ravi?
RAVI:
( SEPERTI PENAT) Amma Geetha...ini surat...ini surat...ini....
KESAN BUNYI:
TABLA DIPALU SEKALI DENGAN KASAR
GRAM:
MERBUK TERKUKU-KUKU.
SANGEETHA:
(KUAT) Cakaplah! Apa surat- surat? Cakap!
RAVI:
Tarakkkk...ini surat...ini surat, tadi posmen ada bagi.
SANGEETHA:
Posmen? Kan Derus tu dah pencen.
RAVI:
Tarakkk Amma Geetha. Ini surat posmen kasi. Dia cakap, mustahak.
SANGEETHA:
Kalau gitu, panggil Derus. Derus boleh baca. Amma rasa, ini surat lagi minta derma anak-anak yatim. Kalau betul, suruh Derus tulis cek.
RAVI:
Amma....Amma Geetha....saya pun...saya pun boleh baca ini surat.
SANGEETHA:
(Kasar) Taarraaakkkkk! Semua surat Derus saja yang baca. Semua derma Derus saja yang bagi.
RAVI:
Terima kasih....saya balik Amma. Sorry Amma.
SANGEETHA:
Hmmm...tolong panggil Derus.
GRAM:
BUNYI INJIN MOTOR DIHIDUPKAN, MOTOR BERLALU.
BURUNG MERBUK BUNYI MERATUS-RATUS.
MUSIK. PILIHAN PENERBIT.
KESAN BUNYI & GRAM:
BUNYI PUKULAN TABLA SEKALI SEKALA DI SELANG SELI DENGAN
BUNYI MERBOK MERATUS MENGUKU-NGUKU.
( INI HENDAKLAH DISELIT DI ANTARA DIALOG SANGEETHA)
SANGEETHA:
(SEPERTI MERUNGUT DALAM KESEDIHAN, KERINDUAN) Derus...kenapa tak datang...engkau merajukkah Derus? Ikan Meo, kucing aku ni dah habis ikan. Padi dan air dalam sangkar Merbok ni, dah habis. Moris Minor dah dua hari tak dihidupkan....
Derus....kenapa tak datang pagi tadi? Kenapa tak datang petang ni? Luka jari-jarimu dah sembuh? Itulah, bukanlah elok kalau petikan gambus tu, bersama aku memukul tabla. Kan indah dua irama dari dua budaya, kita satukan...
Derus, negara ini negara kita. Mari kita bersatu...
KESAN BUNYI:
PUKULAN TABLA KEMBALI MENGGILA.
SANGEETHA:
Derus....
KESAN BUNYI:
PUKULAN TABLA SEMAKIN HEBAT.
SANGEETHA:
(SEBAK. GERAM) Derus....tanganku...jari-jariku....sakit Derus...Derus...jar-jariku...
KESAN BUNYI:
PUKULAN TABLA SEMAKIN MENGGILA.
SESEKALI TERDENGAR MERBOK MENGUKU-NGUKU.
SANGEETHA:
(SUARA MENGERANG-NGERANG KESAKITAN) Derus....jari-jariku Derus...aduh sakitnya.....jariku...jariku kejang (MENANGIS PERLAHAN-LAHAN, KEMUDIAN SEPERTI MEMBISIK SENDIRI) Derus...sampai hati kau....kau merajukkah Derus...
KESAN BUNYI:
PUKULAN TABLA YANG MENGGILA ITU TIBA-TIBA BERHENTI.
TERDENGAR MERBOK MENGUKU SEKALI.
DERUS:
(DENGAN NADA GEMENTAR) Kain basahan ikat di beranda
Letak belati di hujung perahu
Kasihan ada ingat pun ada
Retak di hati siapalah tahu
SANGEETHA:
(TERPERANJAT) Derus....kau...kau datang juga Derus...
(DENGAN NADA SEDIH TAPI GEMBIRA)
Di antara nyala api rindu
Ada sepi yang terbakar
Di sebalik mesra mata bertembung
Ada kasih yang terlindung.
DERUS:
(PERLAHAN DAN MESRA) Geetha...saya sudah tua...sudah 80 tahun lebih.
SANGEETHA:
Derus...aku juga sudah tua...90 tahun lebih. Tapi...
DERUS:
Geetha sudah mempunyai segala-galanya. Rumah, kebun, tanah, harta peninggalan Viralal dan sudah banyak amal yang Geetha lakukan.
SANGEETHA:
Tapi aku kehilangan Viralal, suamiku yang menggerakkan hidup kita.
DERUS:
(HAIRAN) Kita? Kenapa kita, tidak Geetha?
SANGEETHA:
Memang benar aku kehilangan Viralal. Dia suami yang baik. Tapi engkau sudah menggantinya, Derus.
DERUS:
(HAIRAN) Geetha? Puan Geetha....
SANGEETHA:
Panggil saja Geetha, tidak puan. Engkau sudah lama mengganti Viralal yang mati di atas riba kau dulu. Memang Viralal tinggal banyak harta, tapi yang berharga bagiku hanyalah Tabla dan Daga.
DERUS:
Geetha, saya seorang bujang tua. Tak punya apa-apa. Saya seorang bangsat, posmen tua. Tapi saya juga punya kesayanganku; Gambus. Dia sangat berharga.
SANGEETHA:
( NADA RIANG. GEMBIRA) Derusss...Derus...rupa-rupanya kita sudah bertemu....terima kasih derus...terima kasih.
DERUS:
(HAIRAN) Tapi...tapi...
SANGEETHA:
( DALAM KEADAAN GEMBIRA) Dengar sini....dengar baik-baik Derus. Aku dari Mumbai, Viralal juga. Kami kahwin, datang ke sini. Viralal kerja kuat. Bila engkau membantu Viralal selepas engkau berkerja, Viralal sangat sayangkan kau kerana kau jujur. Bila Viralal dalam keadaan nazak, engkau hantarkan syahadah kepadanya.
GRAM:
BUNYI MERBOK MENGUKU DUA TIGA KALI.
SANGEETHA:
Viralal meninggalkan banyak harta. Tapi dia amanahkan kau menjaga merbok, kucingku, Moris Minor. Dan aku, aku serahkan semua urusan hidup aku kepada kau hanya kerana kejujuran.
DERUS:
Terima kasih Geetha.
SANGEETHA:
Cuma yang aku miliki hanyalah Tabla kesayangan Viralal. Dan kau yang menganggap miskin dan tua, tetap memiliki gambus.
DERUS:
Geetha...memang saya sayangkan gambus.
SANGEETHA:
Harta tidak boleh menyatukan dua bangsa, tapi budaya dua bangsa, sudikah kita satukan demi satu negara, Derus? (SEBAK DAN TERISAK-ISAK) sudah lama aku memukul tabla dan daga, aku memanggil kau dengan perasaan, aku isikan kekosongan hidup aku dengan bunyi tabla ini.
DERUS:
Saya juga mengisi kekosongan ini dengan gambus. Saya lontarkan rasa sepi ini kepadanya.
SANGEETHA:
Derus...tidakkah engkau terfikir, dua alat budaya ini kita satukan?
DERUS:
Kita sudah tua, Geetha.
SANGEETHA:
Kau fikir aku nak bercinta? (KETAWA KECIL) Ohhh...apa yang aku rasa kini, sama juga seperti yang engkau rasa, iaitu sepi, sunyi, kosong, lohong. Tak mahukah kita isikan dengan dua rasa yang kita curahkan melalui tabla dan gambus? Alangkah baiknya dua irama ini kita satukan? Jika negara mampu menyatukan berbagai bangsa untuk satu negara, mengapa dua irama ini tidak boleh kita satukan .
DERUS:
(MENGELUH) Geetha...
SANGEETHA:
Kenapa?
GRAM:
TIBA-TIBA MERBOK MENGUKU-NGUKU, MERATUS-RATUS GALAK.
DERUS:
Hahhh, merbok pula yang mengaku (KETAWA TERKEKEH-KEKEH)
SANGEETHA:
(TURUT KETAWA) Sudahlah....tolong papah aku. Dah lama kita di bendul ni. (MENGERANG SAKIT) Aduh....pinggang aku....aduh...sesak dada aku...
DERUS:
Kau penat, Geetha?
SANGEETHA:
Tidak....kan aku ni sudah pikun...dah tua...dah 90 tahun lebih...
DERUS:
(KETAWA)
GRAM:
MUSIK. PILIHAN PENERBIT.
KESAN BUNYI:
BUNYI KETUKAN DI KAYU, SEPERTI ORANG MEMAKU SESUATU
GRAM:
BUNYI MOTORSIKAL DARI JAUH. BERHENTI. MEMATIKAN INJIN.
HUSIN:
(MENYINDIR) Alaaa Pak Derus, apa nak susah-susah baiki rumah tua ni. Kan tuannya pun dah tua? (KETAWA MENYINDIR)
KESAN BUNYI:
BUNYI KETUKAN DUA TIGA KALI LAGI.
HUSIN:
(BATUK-BATUK) Pak Derus baiki, rumah ni tetap rumah Sangeetha, perempuan India tua tu. Apa yang kita dapat? Sewa tak pernah turun pun.
DERUS:
(SEDIKIT BATUK) Husin, di rumah sewa inilah yang kita terus hidup, tau. Kalau orang baik budi dengan kita, takkan tak boleh kita berbudi pula?
HUSIN:
Tapi Pak Derus bolehlah. Perempuan tua tu sayangkan Pak Derus. Saya?
DERUS:
(CEPAT MENJAWAB) Sangeetha tidak pernah benci sesiapa.
HUSIN:
(KETAWA KECIL, MENYINDIR SAMBIL MENYANYI-NYAYI KECIL. SUARA SEMAKIN JAUH)
Anak lah ayam, anak ayam turun sepuluh.
Mati seekur, mati seekur tinggal sembilan.
Gila lah bayang, gila bayang tidur tak sungguh
Tidur berdengkur, tidur berdengkur mimpilah sakan.
(KETAWA)
KESAN BUNYI:
PETIKAN GAMBUS SEPERTI MENCUBA-CUBA
HUSIN:
(SUARA JAUH) Haaa, dah mulaha tu.
DERUS:
(MERUNGUT SENDIRIAN. KESAL) Mereka tuduh kita tua, Geetha. Mereka kata aku gila, Sangeetha. Tapi...tapi...(SEDIKIT SEDIH) tapi mengapa mereka tak mahu faham kepikunan kita? Apakah mereka tidak tahu, kepikunan hidup bererti sepi, sunyi.
KESAN BUNYI:
PETIKAN GAMBUS DENGAN LAGU RANCAK.
KEMUDIAN BERHENTI MENGEJUT.
DERUS:
Hanya dengan gambus inilah saja, temanku. Kemudian...kemudian engkau mengajak aku, Geetha, mengadunkan dua irama ini menjadi satu....(MENGELUH) Huhhh.....mustahil....mustahil....
SANGEETHA:
(SUARA GEMA. MELANTUN-LANTUN) Derus...mari kita satukan....
KESAN BUNYI:
TEPUKAN TABLA SEKALI SAHAJA.
DERUS:
(BERCAKAP SENDIRIAN. SAYU) Engkau kata, kalau negara kita mampu menyatukan berbagai bangsa dan budaya...kenapa...kenapa...
SANGEETHA:
(SUARA GEMA. MELANTUN-LANTUN) Mari kita satukan dua irama dari dua budaya ini, Derus...mari...mari.
DERUS:
(MENGELUH BERAT) Geetha....
KESAN BUNYI:
PETIKAN GAMBUS GILA-GILA. BERHENTI.
HUSIN:
(MELAUNG KASAR DARI JAUH) Hoiii Pak Derus! Sudahlah. Jangan buat sasau tengah malam buta ni! Kalau pun gila gambus sangat, pergilah ke rumah janda tua perempuan India tu.
GRAM:
MUSIK. PILIHAN PENERBIT.
KESAN BUNYI:
BUNTI PUKULAN TABLA HANYA SEKALI DUA.
SANGEETHA:
(BERCAKAP SEORANG DIRI. LEMAH. SAYU) Viralal, lima belas tahun sudah kau tinggalkan aku. Aku sepi Viralal. Aku sunyi Viralal. Cuma tabla ini yang dapat mengisi kesepian dan kepikunan aku....
KESAN BUNYI:
PUKULAN TABLA SEKALI DUA SAHAJA.
SANGEETHA:
(NADA SEPERTI DI ATAS) Tapi...tapi...tabla ini berentak sumbang. Pincang Viralal. Maafkan aku, kalau aku satukan rentak tabla ini dengan gambus Derus. Kau tak marahkan? Derus sudah mengisi kesepian aku, Viralal, sedangkan kau pasti tak kembali lagi.
KESAN BUNYI:
PUKULAN TABLA DISAMBUNG SEMULA.
DARI JAUH TERDENGAR PETIKAN GAMBUS, SEMAKIN DEKAT,
SEMAKIN DEKAT. (PERINGATAN: PETIKAN GAMBUS KALI INI
HENDAKLAH SAMA RENTAKNYA DENGAN TABLA; SATU
LAGU.
SANGEETHA:
(SEPERTI BERBISIK) Derus...Derus...kau...kau datang juga Derus...
KESAN BUNYI: PETIKAN GAMBUS LEBIH JELAS DARI TABLA. SATU RENTAK.
DERUS:
(SEPERTI BERBISIK) Geetha... izinkan aku masuk ke dalam rasamu, Geetha.
KESAN BUNYI: PUKULAN TABLA LEBIH NYATA DARI GAMBUS.SATU RENTAK.
SANGEETHA:
Derus....
DERUS:
Geetha...
SANGEETHA:
Derus...Derus...ke sini Derus...sini.
DERUS:
Geetha...buka pintu hatimu. Izinkan aku masuk, Geetha.
KESAN BUNYI:
PALUAN TABLA MEMUKAU-MENGASYIKKAN.
PETIKAN GAMBUS SENADA DENGAN TABLA.
( TERPULANG PADA PENERBIT LAGI YANG DI
MAINKAN. SEELOKNYA BERUNDING DENGAN
PEMETIK GAMBUS DAN PEMUKUL TABLA.)
RAVI:
Cit-cit-cit....ayo-yooo....ini macam, haaabbiiissss saya punya rasa. Luluh saya punya sendi. Aiyaaaa, ini sudah jadi satu bangsa!
SANGEETHA:
Ravi, tidak bolehkan dua irama, dua rentak, dua bunyi ini aku satukan?
RAVI:
Tarakkk Aamma Geetha. Saya bukan kata tarak boleh, tapi saya hairan.
SANGEETHA:
Jangan hairan. Penyatuan dan perpaduan sudah lama kita amalkan. Tapi kita tidak pernah berusaha menyatukan bunyi dan rentak dalam satu budaya.
DERUS:
Ravi, yang penting dalam perpaduan budaya ialah rasa, sentuhan. Kami sudah berjaya mengadun penyatuan ini, Ravi.
RAVI:
Ayooo....teruskan....teruskan....vah...vah...vah! (KETAWA)
KESAN BUNYI:
PUKULAN TABLA DAN PETIKAN GAMBUS SERENTAK DALAM
SATU RENTAK DAN IRAMA.
(KESAN BUNYI INI MENGIRINGI DIALOG DI BAWAH)
SANGEETHA:
(SEPERTI PENAT-PENAT) Temilang dua berselang
Penggali urat si jemertas
Sama luluh sama hilang
Seperti dakwat dengan kertas
(KETAWA KEMALU-MALUAN)
DERUS:
(JUGA SEPERTI TERMENGAH-MENGAH)
Di antara nyala api rindu
Ada sepi yang terbakar
Di sebalik mesra mata bertembung
Ada kasih yang terlindung
SANGEETHA:
(KETAWA KECIL DALAM KERIANGAN)
Di atas tanah yang ku pijak
Ada cinta yang ku tanam
Di bawah langit yang kujunjung
Hidup matiku taat kutanjak.
RAVI:
(MENJERIT KUAT) Merdeka! Merdeka! Merdeka!
HUSIN:
(MENEMPEK KUAT) Hoiii Ravi, gila ke? Kau pun turut gila macam dua orang tua tu?
RAVI:
Hisssss, jangan cakap macam tu. Dia orang sangat asyik.
HUSIN:
Asyik? (KETAWA) Asyik kepala otak kau. Seorang tua gilakan gambus, seorang lagi gilakan tabla, kau kata asyik?
RAVI:
Mereka dah berjaya bersatu. Mereka dah berjaya bersefahaman. Kan itu unsur perpaduan?
HUSIN:
(MENJERKAH KUAT) Hahhhhh! Itu gila namanya.
KESAN BUNYI:
TIBA-TIBA PUKULAN TABLA DAN PETIKAN GAMBUS TERHENTI
SECARA MENGEJUT.
DERUS:
(NADA KESAL DALAM KEADAAN PENAT) Cik Husin, kalau tak tahu lebih baik diam. Jangan menghina orang yang cuba memupuk penyatuan budaya.
HUSIN:
Penyatuan budaya? (KETAWA)
SANGEETHA:
(SUARA LEMAH. SEPERTI PENAT) Derus...biarkan...biarkan saja Derus. Mari kita main semula...kita satukan dua rasa dari dua bangsa ini. (BATUK-BATUK DAN PENAT-PENAT. TERMUNTAH)
HUSIN:
( CEMAS) Geethaaa
SANGEETHA:
(PENAT-PENAT. BATUK-BATUK. TERMUNTAH-MUNTAH) Derus...biarkan dia. Mereka tak faham, Derus. (BATUK-BATUK)
DERUS:
( CEMAS) Geetha...
SANGEETHA:
(PENAT-PENAT. BATUK-BATUK. MUNTAH-MUNTAH) Derus, aku...aku penat Derus...aku penat...jari-jari ku...jari-jariku kejang, Derus.
HUSIN:
Itulah...kalau dah tua, buatlah macam tua.
RAVI:
Heee Husin!
SANGEETHA:
(DALAM BATUK-BATUK DAN PENAT) Derus...selimutkan aku...selimutkan aku dengan jalur gemilang tu...ajarkan aku Derus...ajarkan aku macam kau ajar Viralal dulu.
DERUS:
Tapi...tapi....(BATUK-BATUK PULA)
SANGEETHA:
Cepat ajarkan aku, Derus...cepat....
RAVI:
(CEMAS) Amma....Aamma...
SANGEETHA:
(DALAM KEADAAN PAYAH) Derus...dekatkan telinga kau ke sini...(MENGAH-MENGAH) sembilan puluh tahun...aku sudah pikun. Lima belas tahun, jiwaku kosong. Hari ini kita sudah isikan dua budaya dalam kekosongan ini...kita dah berjaya Derus...terima kasih Derus (BATUK-BATUK)
RAVI:
(MENJERIT KUAT) Merdeka!
SANGEETHA:
Tolong unjuk tabla aku. Tolong unjuk Dagga aku....Derus...Derus, mari kita main bersama. Petiklah gambus tu.
HUSIN:
Hahhh, semakin meracau orang tua ni.
KESAN BUNYI:
PALUAN TABLA DAN PETIKAN GAMBUS DALAM SATU LAGU.
SANGEETHA:
(DALAM KEADAAN PAYAH BERSUARA) Kalau ada sumur di ladang...mari kita bersama mandi. (BATUK) Kalau pikunku masih panjang... ( BATUK) tabla dan gambus....(BATUK) tabla dan gambus....(BATUK) Derus...Derus...tablaku jadikan saksi. DERUS:
( CEMAS) Geethaaaa.
GRAM:
MUSIK AKHIR. PILIHAN PENERBIT.
JH:
Demikian tadi, sebuah kisah, orang tua memendam rasa, dua budaya bersatu irama. Kasih terpendam tak terucap. Dua bangsa bersatu rentak dalam rumah kemerdekaan. SANGEETHA di tulis oleh Azizi Abdullah, Kulim Kedah, satu cebisan episod dari novel SANGEETHA.
Yang mengambil bahagian tadi ialah:
.....................................SANGEETHA
.....................................DERUS
.....................................HUSIN
.....................................RAVI.
Sangeetha diterbitkan oleh........................................................
-selesai-
Ditulis mulai 5 Jun 2007 11.35 mlm. Siap pada 22hb Jun 2007 jam 4-04 ptg
0 comments:
Post a Comment