Surat kepada SS Mufti Perlis

Posted by Tukya Labels:

SEJARAH BUKAN SEKADAR MELIHAT
-Azizi Hj Abdullah

Mengimbau sejarah memang baik. Tapi sejarah bukan saja untuk diimbau melainkan memetiknya lalu dijadikan iktibar. Iktibar tidak boleh diklasifikasi atas sebab status atau kedudukan. Apabila dikatakan iktibar, ia tidak sekadar imbauan dengan catatan nama dan fakta tetapi ia perlu menjadi asas teguran masa kini.

Jika di zaman sahabat, Mu`awiyah (sekadar sebutan contoh) dianggap melakukan hukuman dan tindakan melampau, ia bukan sekadar sebuah cerita menganggap Mu`awiyah melampau tetapi mereka yang melakukan seperti Mu`awiyah masa kini mesti juga dianggap melampau dan diperlukan tindakan. Dan sebutan bukan lagi ‘mereka’ tetapi mestilah A atau B.

Mahu menyalahi kesalahan Mu`awiyah mengikut cerita sejarah tentulah mustahil kita hendak menggali kubur Mu`awiyah untuk membuktikan batang tubuh itu salah. Tetapi jika yang melakukan seperti Maayiwah kini, ia bukan sejarah tetapi ia mengulangi sejarah seperti Mu`awiyah maka ia perlulah disebut siapa dan perlu dihukum.

Saya melihat tulisan Dr.Asri Zainul Abidin, Mufti Kerajaan Perlis di dalam MM muka 6, keluaran 28 Oktober 2007 sangat tidak adil, mempunyai unsur ketidakberanian menyatakan melalui imbauan sejarah, tidak berani berterus terang dan mempunyai agenda yang berat sebelah.

Saya melihat sejak akhir-akhir ini tulisan Sahibussamahah seakan membodek pihak tertentu dan menyalahkan pihak tertentu dari tiupan nafas politik yang disenangi dan tidak disenangi, dari roh politik yang terjamin dan tidak terjamin.

Jika atas niat ingin menyatakan ramai manusia yang teraniaya disebabkan berita palsu yang direka, kemudian memberitahu penderitaan atau kezaliman, cerita bohong, penyelewengan fakta melalui imbauan sejarah Nabi Isa, sesungguhnya malang fakta dan hujjah ini bukan saja diketahui umum tetapi seakan nampak Sahibussamahah ingin menyatakan sesuatu yang terkini tetapi agak takut pernyataan itu melantun ke muka kembali.

Sepanjang setengah muka surat akhbar Mingguan Malaysia yang lebar itu, tidak ada satu contoh, sebutan kes, fakta, pembohongan, penyelewengan, kezaliman yang disebut berlaku masa kini, yang tentunya belum lagi menjadi pekasam sejarah. Sepatutnya inilah yang mesti disebut, diberi peringatan dengan hujah dan dalil Al-Qur`an serta hadis.

Misalnya penyelewengan hakikat Nabi Isa, penyelewengan tentang Saidina Ali sampai lahirnya fahaman Syiah, apakah relevannya kes beribu tahun itu sedangkan masa kini penyelewengan tentang konsep, dasar Islam termasuk penambah baik Hadhari yang masih dipertikai? Mengapa tidak ada sebutan dan ganjaran pembalasan terhadap si anu dan si dia yang melakukan penyelewengan itu.

Ini bukan kes CIA atau SB. Ini bukan sejarah tapi realiti.

Dinukilkan surah Al-Baqarah ayat 79, dipetik juga Al-Hujurat ayat 6 tentang dosa penyelewengan, pembohongan dalam sejarah yang lalu. Ayat 79 surah Al-Baqarah, ayat 6 surah Al-Hujurat sememangnya mempunyai sebab turunnya ketika itu, tetapi ayat-ayat ini relevan, menjadi peringatan, panduan hingga akhir zaman. Tulisan Sahibussamahah hanya menyebut permulaan para nabi, sahabat sedang ayat tersebut boleh diguna pakai, bagaimana penyelewengan wang negara, perbelanjaan yang tidak telus seperti yang dilaporkan oleh Audit Negara. Kenapa tidak disebut langsung?

Kenapa tidak menyebut kementerian itu, jabatan ini dan anu-anu yang bertanggung jawab dalam sesuatu jabatan atau kementerian tersebut?

Kenapa pula mesti disebut Syiah zaman lampau sehingga memetik kata-kata Al-Ghazali sedangkan pakar-pakar ekonomi kita, ulama, agamawan sudah membongkar tentang berlaku tidak telusnya golongan tersebut. Apakah dengan menyebut Al-Ghazali, kita seperti tidak ada apa-apa yang berlaku?

Al-Ghazali dan imam-imam yang empat menulis dan menegur pemerintah atau khalifah di waktu itu dengan menyebut si polan – si polan, penguasanya tetapi kita tidak pernah menyebutnya. Kita hanya mengimbau sejarah dan memberi gambaran sejarah ribuan tahun yang lalu sedangkan di depan mata kita, kita tidak berani. Bukankah Al-Ghazali telah menegur Sultan Sanjar anak Raja Seljuk Gavenor Wilayah Khurasan di dalam satu majlis, di hadapan pengiringnya?

Ghazali juga menulis kepada seorang menteri, Fakhrul Mulk, Mujiruddin. Ghazali tidak menulis mengesahkan sejarah. Ghazali menghala tulisannya kepada individu.

Tapi malangnya tulisan seorang yang berkedudukan tinggi, yang tulisan tersebut mempunyai nilai yang tinggi, yang mempunyai kesan yang kuat, tidak mampu dilakukan seperti sejarah yang diceritakan.

Di zaman pemerintahan Dr. Mahathir selama 21 tahun bukan tidak ada penyelewengan, korup dan kezaliman dan bukan kita tidak tahu siapa yang telah ditentukan oleh pengadilan, mengapa kita ‘sereyau’ hendak menyebutnya?

Para sahabat, ulama, para imam-imam sering menegur dan menulis surat secara peribadi dan mengkritik secara terbuka tetapi kita masih juga memetik kisah sejarah ribuan tahun. Masalah pembunuhan beramai-ramai tahun 1985 di Mamali memerlukan orang-orang seperti Sahibussamahah mengkritik, menegur, kerana ia melibatkan umat Islam, tetapi kita tidak pernah membaca buah fikirnya. Penutupan sekolah agama, juga tidak pernah cuba memberi pandangan.

Kita tidak mendesak para Sahibussamahah seperti Mufti Kerajaan Perlis membuat hukuman di atas peristiwa yang berlaku. Tapi sebagai agamawan yang berstatus, kita ingin mendengar sesuatu; sama ada benar atau salah perkara tersebut. Tidak pernah ada sepucuk surat dari kalangan Sahibussamahah menulis kepada Perdana Menteri, baik kepada Dr. Mahathir atau sekarang menyatakan itu tidak betul, ini tidak betul berdasarkan surah dan ayat Al-Qur`an, seperti Al-Ghazali menulis kepada Sultan Sanjar., sedangkan kebobrokan dan penyelewengan berlaku berbilion-bilion.

Ini bukan soal politik. Al-Ghazali pernah menulis minta rakyat menjauhi pemerintah yang zalim, yang tidak adil. Tetapi kita, walaupun kezaliman dan tidak adil berlaku di depan mata, kita tidak pernah menulis seperti Al-Ghazali.

Dalam tulisan itu juga Sahibussamahah Mufti Kerajaan Negeri Perlis menulis tentang kebohongan di zaman Harun Aminurrashid. Tapi sayang sekali beliau tidak menyentuh langsung bagaimana saksi-saksi bohong bersepah-sepah dalam perbicaraan zaman kita, terutama di zaman pemerintahan Dr. Mahathir. Apa ertinya imbauan sejarah kalau realitinya kita membisu?

Lupakah kita bagaimana pendakwaan dan saksi mengubah tarikh-tarikh, saksi-saksi fasik, tuduhan liwat dan zina tanpa ada saksi syarak. Mengapa tidak disebut sedangkan imbauan sejarah disebut panjang lebar. Apakah saksi dan tuduhan di abad ini tidak ada nilai buruk seperti yang berlaku di zaman Aminurrashid? Apakah sesuai disebut imbauan sejarah sahaja?

Memang benar apa saja yang berlaku kini dilihat sebagai isu politik. Mungkin para mufti dan ulama, cerdik pandai tidak mahu mencampuri politik. Tetapi apakah kita mesti memejam mata tentang ketidak adilan, kezaliman, penyelewengan dalam politik? Apakah kezaliman, ketidak adilan, penyelewengan dalam politik menghalal cara, termasuk soal hukum agama?

Apa relevannya kisah kaki buli di zaman Abu Nawas ratusan tahun yang lampau sedangkan kaki belit dan penipun, penyelewengan sekarang ini berlambak-lambak? Jika kebenaran itu perlu dinyatakan mengikut persepsi agama, kenapa mesti dilindungi sebutan si A dengan sikap belitanya sehingga berjuta-juta. Di dalam Umno berlambak-lambak kaki belit, penipu. Di dalam kementerian juga ramai. Di dalam jabatan juga ramai, malah dalam urusan pembinaan masjid juga ramai.

Kenapa mesti disebut tentang dendam dan kebencian Yazid bin Muawiyah ratusan tahun yang lalu, sedangkan dendam dan benci yang berlaku di tahun 2000-2007 seperti tidak ada sebutir dosapun dilakukan oleh orang-orang seperti Yazid? Apakah tidak ada Yazid bin Muawiyah sekarang, seperti tidak adanya Abu Lahab sekarang?

Kenapa memetik ‘kod’ Ibn Taimiyah bagaimana tidak adilnya hakim-hakim ketika itu, sedangkan hakim-hakim yang tidak adil, hakim diperlekeh, hakim boleh dibeli tidak disebut masa kini.

Kenapa kita berkata pembunuhan Hussain bin Ali tidak ada bukti keterlibatannya sedangkan berapai ramai yang tidak terlibat dengan jenayah dan rusuhan merengkuk di dalam penjara hingga kini?

Saya secara peribadi tidak menafikan ilmu dan sejarah untuk dijadikan pengajaran sepanjang zaman. Tapi dengan hanya menyebut sejarah kemudian kita memejam mata apa yang berlaku sekarang, ia tidak membawa apa-apa makna.

Ulama, agamawan, apa lagi yang berkedudukan tinggi tidak sekadar memiliki ilmu tetapi kita memerlukan juga keberanian. Keberanianlah yang tidak ada kepada ulama dan agamawan sekarang. Sepanjang penulisan ulama, agamawan ataupun ceramah, kuliah, yang disebut hanyalah sejarah bukan realiti.

Dr. Mahathir yang melakukan kesalahan banyak perkara yang bersangkutan dengan agama, apabila ada golongan yang mengkritik, mereka dianggap ‘pembangkang’. Mana dia golongan yang berkedudukan tinggi dalam institusi agama, para mufti melainkan hanya seorang dua yang sanggup dipecat. Jika begitu keadaan, apa perlunya mengimbau sejarah?

Oleh yang demikian, bagi saya mengimbau sejarah tentang dosa penyelewengan, kezaliman dengan hujah Al-Qur`an dan fakta tidak membawa apa-apa faedah, melainkan untuk melengkap sebuah tesis kesarjanaan. Akan tetapi jika kritikan, teguran berdasarkan seperti apa yang berlaku dalam sejarah kemudian diikuti apa yang berlaku kini secara ‘khusus’ adalah lebih bermakna. Yang berlaku sekarang umum, bukan khusus. Disebut kezaliman tapi tidak disebut siapa yang melakukannya. Di sebut tidak adil tapi tidak disebut siapa. Disebut dosa penyelewengan, walaupun Laporan Audit Negara menyatakan berlaku, tapi tak siapa berani menyebut sebagai contoh.

Apabila kes di bawa ke mahkamah, disebut pula biarlah mahkamah yang menentukan. Tetapi apabila didapati bersalah, sepi semuanya. Tidak pun di sebut si A sama sejarahnya dengan Yazid bin Muawiyah yang memiliki sifat benci dan dendam.

Kita hanya berani menyebut, ‘sesetengah pihak, di antara mereka, mereka yang melakukannya.’ Tidak ada yang berani menyebut si A atau si B. Para ulama, agamawan, mufti, cerdik pandai yang mengimbau hal-hal sejarah buruk tidak berani membuat penilaian masa sekarang, sedangkan dalam soal ibadah merekalah yang selalu membuat penilaian dan perbandingan; misalnya solat berjemaah 37 kali pahala dari solat seorang diri.

Sampai bila kita hendak jadi berani? Memetik kata-kata Dr Sidek Fadil di Perhimpunan NGO Islam di Kelantan baru-baru ini; Kita tidak ada ‘jantan’ lagi.

12 comments:

  1. Unknown

    Pertamanya; Saya masih seorang budak yang hendak belajar dan akan terus belajar..

    Bercakap tentang sejarah, satu minat dalam diri saya yang kini sedang di pupuk. Saya tidak menolak kenyataan bahawa "tidak berguna sejarah itu jika hanya sekadar lidah menuturkan tanpa diambil pengajarannya sebab memang sejarah itu akan sentiasa berulang.."

    Apapun saya berpandangan bahawa sejarah itu perlu di "perdendangkan" kepada semua walau bagai "mencurah air ke daun keladi.." sebab di dalamnya mengandungi 1001 cerita yang perlu dibanggakan oleh masyarakat pada hari ini. Mungkin juga sekadar bangga pada zaman lampau! Akan tetapi fitrah manusia itu mengkehendaki sesuatu yang ideal untuk di jadikan tauladan. Lantas sejarah perlu diceritakan walau pada pengamatan seolah-olah tinggal cerita.

    Penulis tidak berkesempatan menelaah artikel SS Mufti Perlis di MM. Namun penulis melihat bahawa surat ini perlu di "post" kepada SS Mufti Perlis.

    Bersetuju dengan kenyataan bahawa masyarakat pada hari ini bimbang untuk menyuarakan kebenaran, seakan-akan lupa pada kalimah "berkata benar sekalipun pahit.." Perumpamaan yang boleh di berikan ialah seperti sang kura-kura yang berselindung disebalik cenkerang walhal sistem pertahanan sang kura-kura itu cukup hebat.

    Akhirnya, penulis ingin memperbetulkan mengenai ganjaran pahala solat berjemaah iaitu 27 kali ganda. Penulis juga sedia maklum bahawa fitrah manusia itu akan melakukan kesilapan

    -Sekadar perkongsian-

  1. Hasrizal Abdul Jamil

    Assalamualaikum.

    Sejarah, sebagaimana ia dibentangkan di dalam al-Quran, bertujuan mengajak manusia meneladani IBRAH yang terkandung di dalamnya (Yusuf : 111). Ibrah itu pula bermaksud, teladan yang sifatnya mengaitkan sesuatu dengan sesuatu. Maka maksud al-Quran membentangkan sejarah, ialah supaya isi kandungan sejarah itu, diguna pakai untuk melihat SEMASA, iaitu secara mengaitkannya dengan kehidupan realiti.

    Jika sejarah hanya diguna pakai untuk melakar realiti silam, tetapi enggan diguna bagi menganalisa realiti semasa, ia adalah pengkhianatan kepada mesej penting al-Quran.

    Saya berkongsi kerisauan yang sama dengan Pak Azizi yang saya kasihi, dalam isu kali ini...

  1. MalayMind

    Dalam menyelesaikan sesuatu masalah, terdapat beberapa cara untuk digunapakai.

    Tidak hanya satu cara.

    Pilihan SS Dr Asri, ialah dengan menguatkan masyarakat, dan menjadikan perkara terpencil dalam hal rasuah, kepincangan itu sebagai perkara yang boleh diselesaikan dengan cara lain.

    Pilihan SS Dr Asri ialah dengan menyatupadukan ummah, mempromosi iman dan ihsan dan membiarkan pihak Polis, BPR menyelesaikan hal2 hukuman.

    Beliau mempunyai caranya sendiri dan kalau dilihat dari segi hasilnya, masyarakat sudah mampu berfikir, bukan hanya pandai menghukum.

    Kita perlu bertindak mengikut kecerdikan yang dianugerahkan Allah.

    Menjadi Mufti dan mempunyai kuasa mengubah perkara sedikit demi sedikit adalah lebih baik dari menyalak di luar kerana takut dilabel tidak jantan, dan akhirnya, tiada apa yang masyarakat dapat daripadanya.

  1. nikabduh.wordpress.com

    Salam Kamunting,

    Sejarah hanya untuk mereka yang berani. Penakut hanya beribrah daripada balam - balam kesangsian sendiri.

    Kesempurnaan ulama adalah pada kebijaksanaannya memahami cabaran ugama dan umatnya lalu menggalasnya dengan berani, bukan pada kebijaksanaannya memilih keselamatan diri dan keselesaan.

    Kerosakan ulama adalah pada keengganan untuk bersama para ulama lain yang telah berjaya menyatukan umat untuk kembali, dengan angan - angan untuk menyatukan juga. Itu hanya menyatukan kelompok, bukan umat.

    Bagus sekali teguran cikgu. Saya ambil manfaatnya.

  1. BaYu SenJa

    pendekatan dan saluran dakwah itu pelbagai.
    jadi bagi penggerak agama harus saling memahami dan meraikan uslub dakwah masing-masing tanpa perlu sebarang kecaman. Hakikatnya, yang berani mesti tunjukkan keberanian dan yang masih ada kepentingan harus cuba juga menegur.. dalam teguran yang masih boleh menjaga kepentingan.

    tetapi ss mufti yang sepatutnya menjadi suara pengimbang dan penegur kepada daulah harus bercakap danmenyentuh isu-isu penyelewengan dengan serius. Halaannya harus tepat. Hujah dan tuuannya harus jelas.
    memandang kepada pelagai tohmahan yang mengaitkan mufti degan kepentingan pihak tertentu dan tohmahan mengampu dan sebgainya yang sememangnya tidak layak bagi seorang mufti, pelbagai kontreversi harus diminimakan. Pertikaian dan salah anggap masyarakat kepada mufti harus dipadam dengan tindakan bijak oleh mufti..

  1. Ahmad Humaizi Bin Din Mustafaha

    Alhamdulillah, kita dpt juga membina satu sifat tegur menegur dikalangan pendakwah.. Si A menegur si B, Si B menegur si A...

    Moga ianya menjadi rahmat kepada kita semua...

    sekadar perkongsian satu hadis.

    Nabi saw bersabda, "Barangsiapa yg ingin memberi nasihat kepada pemimjpin, maka jgnlah dgn terang terangan. Tuntunlah tangannya lalu nasihatlah secara diam2, (tak diketahui org lain.) Jika dia (pemimpin) menerimanya, itulah (cara yg tepat), tapi bila tidak, maka dia telah menunaikan kewajibannya" - Riwayat Ahmad, disahihkan oleh Syaikh Al-Albani..

    Kata Imam As-Syaukani - "Seseorang yg mengetahui kesilapan seorang pemimpin, dia harus menasihatinya dan menegurnya, tetapi tidak di hadapan org banyak.

    (Pokok-pokok dakwah manhaj Salaf - Fawaz Bin Hualail bin rabbad as suahimi - Griya Ilmu, Jakarta)

    Kesimpulan - Ana tak setuju utk disebut si A atau si B... kerana itu ditegah dlm agama, kecuali kalau niat dakwah kita semata2 nak menang dlm pilihan raya.. :) .. tapi sayangnya, tujuan dakwah bukanlah untuk memenangi pilihan raya, tapi menyampaikan mesej Islam kepada manusia....

    lihat surah Taha: 44 - Adab nabi musa berdakwah kepada firaun... (manusia zaman sekarang ini tidak lebih baik dari nabi musa, dan tak lebih jahat dari firaun, - dlm Islam, ada adab2 yg perlu kita patuhi..Semoga dgn manhaj yg betul, Islam akan tertegak di muka bumi ini.. insya-Allah..)

    wallahua'alam..

  1. nota untuk Syiah

    Salam Ustaz...

    Saya fikir kita kena buat dialog tertutup dengan SS Mufti Perlis. Nak tahu dalaman hatinya sendiri.

    Dia berani ke tegur atasan? Kalau masyarakat bawahan selalu sangat dia bercakap dalam rancangan Bicara Mufti sebelum akhir siaran di TV.

    Mufti Perak berani pun sebab ada backup daripada Sultan Perak. Cuba kalau tak dak backup macam tu. Dah lama dah dia terbuang macam bekas Mufti Selangor tu.

    Perangai takut menegur pihak atasan secara terbuka ini memang ada di mana-mana pun. Dalam PAS pun lebih kurang jugak. Berapa banyak artikel, pandangan saya yang tak boleh menyinggung pimpinan parti.

    Bila difikirkan balik, sama juga sikap pimpinan PAS dan Umno dalam hal ini. Sesekali pandangan saya keluar kritik pembangkang tu, macam kiranya nasib baiklah.

    Tu pun, kadang2 bahan tu tak bertahan lama. Tak sampai sehari di Harakah Daily, lepas tu kena reject. Saya cakap atas pengamalan ustaz.

    Apa-apa pun, macam mana dengan idea berdialog secara tertutup dengan SS Mufti Perlis tu? Ok? Bila boleh jumpa dia.

    Kalau jadi, call saya +6014-3233287

    H Fansuri
    http://karyafansuri.blogspot.com

  1. hambali

    seorang pengkritik yang hebat ialah seorang yang adil dalam membuat kritikan. erti kata adil beliau sedalam-dalamnya manhaj tulisan seseorang itu, lebih-lebih lagi dalam menilai tulisan, hujah atau karya seorang ahli ilmu. setiap manusia sama ada diterima atau ditolak pendapatnya tidak kemaksuman Rasulullah s.a.w (Imam Malik r.a)

  1. hambali

    kita tidak boleh cepat melatah, gelojoh dan terburu-buru dalam dakwah kelak akan membawa natijah yang buruk kepada masyarakat. makanya matlamat dan hasrat tinggal bersepah begitu sahaja. usaha dakwah perlulah mengikut standard operating prosedur yang betul tetap dan efektif bukan mengikut metod yang longgar. Allah telah berfirman di dalam surah Al-Dzariyat yang bermaksud "Aku turunkan Al-Quran secara sedikit demi sedikit maka kamu sampaikanlah ianya secara beransur-ansur". Syeikh Prof Dr. Yusuf Al-Qardhawi telah membahaskan dengan panjang lebar mengenai ayat ini di dalam bab Keutamaan Pembaharuan Mentaliti Ke atas Pembaharuan Organisasi di dalam Karya terkenalnya Fiqh Al-Awlawwiyat. pesan saya kepada diri saya sendiri dan para pengkritik luaskan minda anda agar subur keadilan di dalam sebarang komentar....

  1. hambali

    kita tidak boleh cepat melatah dan menghukum Dr. Asri sebegitu rupa..seolah-olah beliau seorang yang pesimistik dalam dunia dakwah. pandangan terhadap seseorang perlu di dalam dalam acuan yang adil dan ilmiah sifatnya. Dr. Asri mempunyai pendekatan yang berbeza daripada kebanyakan pendakwah lain. Saya ingin bertanya kepada pengkritik Mufti tersebut kenalkah anda dengan Mufti itu?, berapa banyak tulisan mufti itu yang anda baca?, berapa banyak buku yang ada baca hasil daripada tulisannya?. berapa kerap anda dengar kuliah dan forum beliau? dan berapa helai tulisan beliau yang anda hadam?.

  1. Anonymous

    sdra hambali,
    maaf kerana lambat menjawab komen sdra.
    dr. mohd.asri mufti perli bukan orang bvaru bagi saya.saya kawan baik walaupun dia akamt muda ddari saya. sayalah orang pertama memuji beliau,seorang anak muda yang akan jadi gah satu hari nanti keranah ujjah dan ilmunya.saya hormatnya.dia bijak. saya selalu ke rumahnya. tapi jangan salah anggap, bukan semua pandangan, buah fikirnya saya tak setuju.saya belajar darinya banyak, terutama hadis.tapi salahkah saya menyatakan tak setuju hanya dalam satu pandangan beliau. takkan ini akan menjadi musuh?
    salam.
    azizi

  1. Atui Dtabasan

    salam..........
    Kalaulah Agama Islam bertambah baik dengan teguran sedemikian teruskanlah. Kalaulah teguran itu bukan satu dosa dan tidak menyakitkan hati orang lain teruskanlah. setiap yang beriman sudah tentu dengan seupayahnya akan mencurah sesuatu demi agamanya. teruskanlah. Dr.Mahathir amat besar sumbangannya terhadap Islam dan mendapat lebih ramai doa yang mensejahterakannya berbanding para mufti tapi kalau belum cukup lagi sumbangan tersebut teruskanlah mencerca kerana Allah jugalah yang tahu mana satu yang paling banyak sumbangannya. Agama Yahudi pernah hampir pupus; punya kepercayaan kepada tuhan tiada bezanya dengan kita. Cuma kepercayaan! mereka mentakdirkan selain mereka semua agama lain masuk neraka. Seperti kita juga.Kalau anda dilahirkan dalam bangsa yahudi anda juga akan mempertahankan agama yahudi. Tapi kununnya kita ditakdir lahir dalam Islam. Mengapa, kalau Islam itu agama kebenaran yang sahih tetapi penganut agama lain tidak menganutinya mengapa. adakah dengan teguran sedemikian akan dapat menarik perhatian penganut lain, penganut sendiripun turut terkeliru.
    Yahudi demi agama mereka, demi suvival mereka, banyak ajaran agama mereka sendiri dilanggari.
    Tapi kalau demi survival Islam dan tamaddun barunya teruskanlah mencarut. kerana pandangan kita berlainan. Tapi sama-sama berjuang untuk Islam. KAlau ini juga dikatakan tidak islam teruskanlah.