Tuah Sangeetha

Posted by Tukya Labels:



Novel SANGEETHA, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka hujung tahun 2005 telah memenangi HADIAH SASTERA ASIA TENGGARA ( Hadiah Sastera Mastera ke 5) dengan hadiah RM10,000, tropi dan sijil.

Azizi juga dalam tahun yang sama memenangi tempat kedua Sayembara Novel 50 tahun Dewan Bahasa dengan hadiah RM40,000 dengan novel bertajuk HARGA SEBUAH MARUAH.

Pemilihan untuk Hadiah Mastera dibuat dua tahun sekali secara bergilir-gilir bagi Negara Brunei Darussalam dan Indonesia. SANGEETHA karya Azizi ini telah dapat mengatasi beberapa buah novel yang terbit sepanjang tempuh dua tahun.

SANGEETHA sebelum ini telah mendapat hadiah buku terbaik dari Universiti Malaya.

SANGEETHA adalah di antara novel yang paling banyak mendapat liputan, kritikan dan kertas kerja.

Novel SANGEETHA, adalah kerja buat Azizi selama setahun, dengan pelbagai penyelidikan dalam proses keterasingan dari masyarakat luar. Ia adalah projek Penulis Tamu Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 2005.

Hadiah MASTERA Ke 5 telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri kepada Menteri Luar di hotel Berjaya Times Square Kuala Lumpur pada 27hb November 2007.



(Azizi Di depan pintu majlis Mastera)


Menurut Panel Penilai, SANGEETHA menawarkan pengalaman estetika yang menarik, menghidangkan pengalaman intelektual yang baharu, kerana temanya memasuki ranah persoalan yang langka, yang wajar ditelirti oleh generasi muda, juga penting bagi mereka yang panjang umur.

SANGEETHA bukan saja merupakan novel Azizi Abdullah yang terbaik, malah merupakan salah sebuah novel Melayu awal abad XXI yang menarik dan penting.

Azizi tewaskan tiga pesaing bolot Hadiah Sastera Mastera

Posted by Tukya Labels:


Sangeetha tumpaskan Iga karya Zaen Kasturi yang layak hingga ke peringkat akhir kategori Karya Sastera Kreatif


KEMUNCULAN kembali Penerima Penulisan Sea 1983, Azizi Abdullah di persada sastera kebangsaan pada tahun ini disempurnakan dengan kemenangan novelnya, Sangeetha dalam Kategori Karya Sastera Kreatif, Hadiah Sastera Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) Ke-5 2007.

Selepas novel satira, ‘Kawin-kawin’ pada 2002, Azizi bagaikan menyepi terutama dalam genre novel sebelum kembali menggegarkan dunia sastera dengan memenangi tempat kedua Kategori Novel, Sayembara Mengarang Jubli Emas Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) lewat Harga Sebuah Maruah.

Tahun ini juga, novel barunya, Memoir Seorang Guru menjengah pasaran, manakala Tukcai diulang terbit, selain novel Sangeetha turut diangkat ke skrip drama radio dan teater serta dipentaskan di Universiti Sains Malaysia (USM), pada Ogos lalu.

Panel Penilai Hadiah Sastera Mastera Ke-5 2007 menyifatkan Sangeetha sebagai novel terbaik Azizi dan antara novel penting Melayu abad ke-21 kerana menawarkan pengalaman estetika serta menghidangkan pengalaman intelektual baru ekoran tema yang memasuki persoalan nadir.

Novel itu menewaskan kumpulan puisi Iga karya Zaen Kasturi, mengapungkan tema yang jarang diungkapkan dalam cereka Melayu moden kerana menjengah dunia sepi orang tua apabila pengarangnya menggarap dan memanipulasi peranti seninya disesuaikan dengan rentak serta warna yang menjadi latar belakang naratif.

Panel penilai turut mengakui gerak novel berkenaan agak lambat, tetapi sesuai dengan usia watak utamanya sehingga kadang-kadang wujud pengulangan kerana berlegar dalam latar yang sama dan tiada set baru, sekali gus menjadi cermin kepada perjalanan hidup manusia.

Panel penilai turut memperaku pengarang Sangeetha melakukan penelitian mendalam mengenai pelbagai aspek yang membina naratif itu, seperti Islam, kepercayaan Hindu, budaya Melayu mahupun India, selain latar alam, rumah limas Perak, alat muzik tabla dan gambus.

Melalui keterampilan seninya, Jawatankuasa Pemilih Hadiah Sastera Mastera 2003 melihat pengarang mengadun bahan dengan struktural sehingga dapat mencipta nahu naratif yang seimbang antara bentuk dengan isi, persoalan dengan gerak serta warna yang melatari novel berkenaan.

Penilai Penilai Peringkat Serantau Hadiah Sastera Mastera 2007 dipengerusikan Ketua Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr Firdaus Abdullah bersama timbalannya, Pengarah Jabatan Sastera DBP, Izzah Abdul Aziz serta panel peringkat negara, Dayang Aminah Momin (Brunei Darussalam), Prof Dr Shaharuddin Maaruf (Singapura), Datuk Dr Anwar Ridhwan bersama-sama Prof Dr Solehah Ishak (Malaysia).

Harga Sebuah Maruah

Posted by Tukya Labels:


Novel yang mendapat tempat kedua dalam Sayembara Novel 50 tahun Dewan Bahasa dan Pustaka. Ia bukan sekadar mencerita betapa petani yang dirampas sawah datuk nenek moyang mereka untuk dijadikan kolam udang, tetapi lebih dari itu menunjukan, jika begini orang Melayu berani bangkit, alangkah baiknya harga maruah bangsa Melayu yang dikatakan sebagai Bumiputera.

Anda boleh dapatkan di semua kedai wakil Dewan Bahasa dan Pustaka. Kekuatan bercerita novel ini bergantung pada kekuatan bahasa penulisnya.Di antara tiga novel terbaru Azizi Hj Abdullah, iaitu Sangeetha, Memoir Seorang Guru dan Harga Sebuah Maruah yang ditulis dalam satu masa, anda akan mendapati kelainan gaya, bahasa dan tema.

Surat kepada SS Mufti Perlis

Posted by Tukya Labels:

SEJARAH BUKAN SEKADAR MELIHAT
-Azizi Hj Abdullah

Mengimbau sejarah memang baik. Tapi sejarah bukan saja untuk diimbau melainkan memetiknya lalu dijadikan iktibar. Iktibar tidak boleh diklasifikasi atas sebab status atau kedudukan. Apabila dikatakan iktibar, ia tidak sekadar imbauan dengan catatan nama dan fakta tetapi ia perlu menjadi asas teguran masa kini.

Jika di zaman sahabat, Mu`awiyah (sekadar sebutan contoh) dianggap melakukan hukuman dan tindakan melampau, ia bukan sekadar sebuah cerita menganggap Mu`awiyah melampau tetapi mereka yang melakukan seperti Mu`awiyah masa kini mesti juga dianggap melampau dan diperlukan tindakan. Dan sebutan bukan lagi ‘mereka’ tetapi mestilah A atau B.

Mahu menyalahi kesalahan Mu`awiyah mengikut cerita sejarah tentulah mustahil kita hendak menggali kubur Mu`awiyah untuk membuktikan batang tubuh itu salah. Tetapi jika yang melakukan seperti Maayiwah kini, ia bukan sejarah tetapi ia mengulangi sejarah seperti Mu`awiyah maka ia perlulah disebut siapa dan perlu dihukum.

Saya melihat tulisan Dr.Asri Zainul Abidin, Mufti Kerajaan Perlis di dalam MM muka 6, keluaran 28 Oktober 2007 sangat tidak adil, mempunyai unsur ketidakberanian menyatakan melalui imbauan sejarah, tidak berani berterus terang dan mempunyai agenda yang berat sebelah.

Saya melihat sejak akhir-akhir ini tulisan Sahibussamahah seakan membodek pihak tertentu dan menyalahkan pihak tertentu dari tiupan nafas politik yang disenangi dan tidak disenangi, dari roh politik yang terjamin dan tidak terjamin.

Jika atas niat ingin menyatakan ramai manusia yang teraniaya disebabkan berita palsu yang direka, kemudian memberitahu penderitaan atau kezaliman, cerita bohong, penyelewengan fakta melalui imbauan sejarah Nabi Isa, sesungguhnya malang fakta dan hujjah ini bukan saja diketahui umum tetapi seakan nampak Sahibussamahah ingin menyatakan sesuatu yang terkini tetapi agak takut pernyataan itu melantun ke muka kembali.

Sepanjang setengah muka surat akhbar Mingguan Malaysia yang lebar itu, tidak ada satu contoh, sebutan kes, fakta, pembohongan, penyelewengan, kezaliman yang disebut berlaku masa kini, yang tentunya belum lagi menjadi pekasam sejarah. Sepatutnya inilah yang mesti disebut, diberi peringatan dengan hujah dan dalil Al-Qur`an serta hadis.

Misalnya penyelewengan hakikat Nabi Isa, penyelewengan tentang Saidina Ali sampai lahirnya fahaman Syiah, apakah relevannya kes beribu tahun itu sedangkan masa kini penyelewengan tentang konsep, dasar Islam termasuk penambah baik Hadhari yang masih dipertikai? Mengapa tidak ada sebutan dan ganjaran pembalasan terhadap si anu dan si dia yang melakukan penyelewengan itu.

Ini bukan kes CIA atau SB. Ini bukan sejarah tapi realiti.

Dinukilkan surah Al-Baqarah ayat 79, dipetik juga Al-Hujurat ayat 6 tentang dosa penyelewengan, pembohongan dalam sejarah yang lalu. Ayat 79 surah Al-Baqarah, ayat 6 surah Al-Hujurat sememangnya mempunyai sebab turunnya ketika itu, tetapi ayat-ayat ini relevan, menjadi peringatan, panduan hingga akhir zaman. Tulisan Sahibussamahah hanya menyebut permulaan para nabi, sahabat sedang ayat tersebut boleh diguna pakai, bagaimana penyelewengan wang negara, perbelanjaan yang tidak telus seperti yang dilaporkan oleh Audit Negara. Kenapa tidak disebut langsung?

Kenapa tidak menyebut kementerian itu, jabatan ini dan anu-anu yang bertanggung jawab dalam sesuatu jabatan atau kementerian tersebut?

Kenapa pula mesti disebut Syiah zaman lampau sehingga memetik kata-kata Al-Ghazali sedangkan pakar-pakar ekonomi kita, ulama, agamawan sudah membongkar tentang berlaku tidak telusnya golongan tersebut. Apakah dengan menyebut Al-Ghazali, kita seperti tidak ada apa-apa yang berlaku?

Al-Ghazali dan imam-imam yang empat menulis dan menegur pemerintah atau khalifah di waktu itu dengan menyebut si polan – si polan, penguasanya tetapi kita tidak pernah menyebutnya. Kita hanya mengimbau sejarah dan memberi gambaran sejarah ribuan tahun yang lalu sedangkan di depan mata kita, kita tidak berani. Bukankah Al-Ghazali telah menegur Sultan Sanjar anak Raja Seljuk Gavenor Wilayah Khurasan di dalam satu majlis, di hadapan pengiringnya?

Ghazali juga menulis kepada seorang menteri, Fakhrul Mulk, Mujiruddin. Ghazali tidak menulis mengesahkan sejarah. Ghazali menghala tulisannya kepada individu.

Tapi malangnya tulisan seorang yang berkedudukan tinggi, yang tulisan tersebut mempunyai nilai yang tinggi, yang mempunyai kesan yang kuat, tidak mampu dilakukan seperti sejarah yang diceritakan.

Di zaman pemerintahan Dr. Mahathir selama 21 tahun bukan tidak ada penyelewengan, korup dan kezaliman dan bukan kita tidak tahu siapa yang telah ditentukan oleh pengadilan, mengapa kita ‘sereyau’ hendak menyebutnya?

Para sahabat, ulama, para imam-imam sering menegur dan menulis surat secara peribadi dan mengkritik secara terbuka tetapi kita masih juga memetik kisah sejarah ribuan tahun. Masalah pembunuhan beramai-ramai tahun 1985 di Mamali memerlukan orang-orang seperti Sahibussamahah mengkritik, menegur, kerana ia melibatkan umat Islam, tetapi kita tidak pernah membaca buah fikirnya. Penutupan sekolah agama, juga tidak pernah cuba memberi pandangan.

Kita tidak mendesak para Sahibussamahah seperti Mufti Kerajaan Perlis membuat hukuman di atas peristiwa yang berlaku. Tapi sebagai agamawan yang berstatus, kita ingin mendengar sesuatu; sama ada benar atau salah perkara tersebut. Tidak pernah ada sepucuk surat dari kalangan Sahibussamahah menulis kepada Perdana Menteri, baik kepada Dr. Mahathir atau sekarang menyatakan itu tidak betul, ini tidak betul berdasarkan surah dan ayat Al-Qur`an, seperti Al-Ghazali menulis kepada Sultan Sanjar., sedangkan kebobrokan dan penyelewengan berlaku berbilion-bilion.

Ini bukan soal politik. Al-Ghazali pernah menulis minta rakyat menjauhi pemerintah yang zalim, yang tidak adil. Tetapi kita, walaupun kezaliman dan tidak adil berlaku di depan mata, kita tidak pernah menulis seperti Al-Ghazali.

Dalam tulisan itu juga Sahibussamahah Mufti Kerajaan Negeri Perlis menulis tentang kebohongan di zaman Harun Aminurrashid. Tapi sayang sekali beliau tidak menyentuh langsung bagaimana saksi-saksi bohong bersepah-sepah dalam perbicaraan zaman kita, terutama di zaman pemerintahan Dr. Mahathir. Apa ertinya imbauan sejarah kalau realitinya kita membisu?

Lupakah kita bagaimana pendakwaan dan saksi mengubah tarikh-tarikh, saksi-saksi fasik, tuduhan liwat dan zina tanpa ada saksi syarak. Mengapa tidak disebut sedangkan imbauan sejarah disebut panjang lebar. Apakah saksi dan tuduhan di abad ini tidak ada nilai buruk seperti yang berlaku di zaman Aminurrashid? Apakah sesuai disebut imbauan sejarah sahaja?

Memang benar apa saja yang berlaku kini dilihat sebagai isu politik. Mungkin para mufti dan ulama, cerdik pandai tidak mahu mencampuri politik. Tetapi apakah kita mesti memejam mata tentang ketidak adilan, kezaliman, penyelewengan dalam politik? Apakah kezaliman, ketidak adilan, penyelewengan dalam politik menghalal cara, termasuk soal hukum agama?

Apa relevannya kisah kaki buli di zaman Abu Nawas ratusan tahun yang lampau sedangkan kaki belit dan penipun, penyelewengan sekarang ini berlambak-lambak? Jika kebenaran itu perlu dinyatakan mengikut persepsi agama, kenapa mesti dilindungi sebutan si A dengan sikap belitanya sehingga berjuta-juta. Di dalam Umno berlambak-lambak kaki belit, penipu. Di dalam kementerian juga ramai. Di dalam jabatan juga ramai, malah dalam urusan pembinaan masjid juga ramai.

Kenapa mesti disebut tentang dendam dan kebencian Yazid bin Muawiyah ratusan tahun yang lalu, sedangkan dendam dan benci yang berlaku di tahun 2000-2007 seperti tidak ada sebutir dosapun dilakukan oleh orang-orang seperti Yazid? Apakah tidak ada Yazid bin Muawiyah sekarang, seperti tidak adanya Abu Lahab sekarang?

Kenapa memetik ‘kod’ Ibn Taimiyah bagaimana tidak adilnya hakim-hakim ketika itu, sedangkan hakim-hakim yang tidak adil, hakim diperlekeh, hakim boleh dibeli tidak disebut masa kini.

Kenapa kita berkata pembunuhan Hussain bin Ali tidak ada bukti keterlibatannya sedangkan berapai ramai yang tidak terlibat dengan jenayah dan rusuhan merengkuk di dalam penjara hingga kini?

Saya secara peribadi tidak menafikan ilmu dan sejarah untuk dijadikan pengajaran sepanjang zaman. Tapi dengan hanya menyebut sejarah kemudian kita memejam mata apa yang berlaku sekarang, ia tidak membawa apa-apa makna.

Ulama, agamawan, apa lagi yang berkedudukan tinggi tidak sekadar memiliki ilmu tetapi kita memerlukan juga keberanian. Keberanianlah yang tidak ada kepada ulama dan agamawan sekarang. Sepanjang penulisan ulama, agamawan ataupun ceramah, kuliah, yang disebut hanyalah sejarah bukan realiti.

Dr. Mahathir yang melakukan kesalahan banyak perkara yang bersangkutan dengan agama, apabila ada golongan yang mengkritik, mereka dianggap ‘pembangkang’. Mana dia golongan yang berkedudukan tinggi dalam institusi agama, para mufti melainkan hanya seorang dua yang sanggup dipecat. Jika begitu keadaan, apa perlunya mengimbau sejarah?

Oleh yang demikian, bagi saya mengimbau sejarah tentang dosa penyelewengan, kezaliman dengan hujah Al-Qur`an dan fakta tidak membawa apa-apa faedah, melainkan untuk melengkap sebuah tesis kesarjanaan. Akan tetapi jika kritikan, teguran berdasarkan seperti apa yang berlaku dalam sejarah kemudian diikuti apa yang berlaku kini secara ‘khusus’ adalah lebih bermakna. Yang berlaku sekarang umum, bukan khusus. Disebut kezaliman tapi tidak disebut siapa yang melakukannya. Di sebut tidak adil tapi tidak disebut siapa. Disebut dosa penyelewengan, walaupun Laporan Audit Negara menyatakan berlaku, tapi tak siapa berani menyebut sebagai contoh.

Apabila kes di bawa ke mahkamah, disebut pula biarlah mahkamah yang menentukan. Tetapi apabila didapati bersalah, sepi semuanya. Tidak pun di sebut si A sama sejarahnya dengan Yazid bin Muawiyah yang memiliki sifat benci dan dendam.

Kita hanya berani menyebut, ‘sesetengah pihak, di antara mereka, mereka yang melakukannya.’ Tidak ada yang berani menyebut si A atau si B. Para ulama, agamawan, mufti, cerdik pandai yang mengimbau hal-hal sejarah buruk tidak berani membuat penilaian masa sekarang, sedangkan dalam soal ibadah merekalah yang selalu membuat penilaian dan perbandingan; misalnya solat berjemaah 37 kali pahala dari solat seorang diri.

Sampai bila kita hendak jadi berani? Memetik kata-kata Dr Sidek Fadil di Perhimpunan NGO Islam di Kelantan baru-baru ini; Kita tidak ada ‘jantan’ lagi.

Memoir Seorang Guru

Posted by Tukya Labels:



Karya Terbaru Azizi Hj Abdullah
'Memoir Seorang Guru diwarnai dengan pelbagai gejolak rasa yang menyentuh perasaan. Padat dengan mesej yang tersirat untuk dijadikan renungan bersama'.

Membaca 'Memoir Seorang Guru' novel terbaru Azizi Hj Abdullah, terbitan Alaf21, anda akan merasa kebencian disebalik kedegilan murid. Anda akan merasa keras hati seorang guru disebalik lemah lembut muridnya.

Anda akan merasa kata-kata keras, di sebalik kemanjaan murid. Anda akan menemui kekasaran di sebalik lemah lembut murid. Tetapi diakhirnya anda akan temui dialah yang memiliki kasih sayang melalui doa dan harapan, sehingga anda akan mengalir air mata dan berkata; begitukah guru kami.

Disyorkan, semua bekas murid penulis novel ini memiliki dan membacanya kerana di situ terhimpun kasih sayangnya dan kejayaan murid-muridnya dalam bidang kerani, jururawat, doktor, peniaga, penternak, petani, peguam, majestrit dan korporat.Itulah doa dan jasa seorang guru. Anda akan membaca pada akhir novel ini bersama lelehan air mata kerana bangga.

-Bekas Murid.




abghalim said...

Novel yang MESTI dibaca oleh semua guru dan bakal guru.Novel yang berkisarkan pengalaman seorang ustaz yang berperang dengan perasaan semasa bertugas menjadi guru.Kekeliruan dengan keikhlasan dengan tugas beliau ,samada beliau seorang pendidik atau seorang guru yang makan gaji.
Ustaz juga mengutarakan isu keberkatan hasil gaji yang di perolehi.Isu ini cuma dalam bentuk kiasan dan masih boleh diterjemahkan oleh perbaca.

Isu KEBERKATAN ini membuka minda saya untuk terus memusahabah diri.Menilai balik hasil kerja saya adakah ianya baik dan berkesan.Tanggungjawap yang diamanahkan oleh majikan,adakah saya melaksanakan dengan jujur dan amanah?

Bila cukup bulan,semua hasil titik peluh saya dimasukkan kedalam akuan bank saya sebagai wang gaji atau imbuhan kerja.Pada majikan,itu imbuhan kepada nilai sebuah amanah dan kejujuran.


Bila amati dengan lebih mendalam lagi,saya bertanya pada diri?Jenis akuan bank yang saya miliki.Oh akuan perbankan Islam.Lapang dada seketika.

Bila saya menhalusi dengan lebih teliti lagi bank yang saya gunakan itu ada unsur ISLAM DAN RIBA.Persoalannya beranikah saya meminum air yang bersih tetapi dicampur dengan sesudu RACUN?Ibarat kata orang tua-tua,kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

Alias,Midun,Sakinah dan Abdul Halim apakah mereka ini didik untuk orang yang berjaya?Bukankah mereka dididik untuk mengisi jawatan tinggi?Atau mereka ini akan jadi bekas murid yang berhemah tinggi.Atau jadi seperti anak-anak saudaraku yang bapanya berjawatan tinggi tapi rendah peribadi?

Pertemuan ustaz dan bekas muridnya yang selalu diilusi semua ditempat yang mulia.Murid yang dulunya memanggil ustaz dengan "ucetad" kini megah bersolat atas keterbukaan ustas.Alias,Midun dan Sakinah di tempat yang telah banyak berjasa pada nyawa dan kesihatan manusia.Pertemuan dengan Abdul Halim pada petang Sabtu di Masjid Kulim menjadi kesinambungan jalan cerita selanjutnya.

Harapan ustaz agar ILMU yang diturunnya berkat.Setiap muridnya diharapkan menjadi umat yang berguna pada Agama dan negara.Tak dinafikan ada juga segelintir menjadi sebaliknya.

Seorang bapa yang takut Kamariah mengalami stress sepertinya.Bapa yang mengharap Kamariah faham niat bapa.Bukan kerja guru itu tidak baik,tapi mampukah Kama menghadapinya dengan tabah.

Ustaz.....dari 1975~1980 bukan seperti novel itu.Ustaz yang menjawap "saya punya suka la.itu novel saya"bila aku bertanya pada tahun 1985,"kenapa mematikan watak Tuk Ya dengan kematiannya?"Jawapan ustaz disambut gelak ketawa.Aku berbangga kerana itulah ustazku yang selalu berjenaka.

Buat bekas murid yang mengenali ustaz,anda turut akan berilusi sekiranya membaca novel ini.Novel yang penuh dengan emosi dan perlu dihayati dengan keilmuan.Novel yang bersekitar di Daerah Kulim,akan membawa kita mengimbau kenangan dizaman persekolahan.

Kepada bakal guru dan semua pembaca,novel ini adalah "HEAVY DRAMA" yang terbaik dari USTAZ AZIZI HJ ABDULLAH.

salam
abghalim ULU YAM