APA KHABAR TUAN HAJI?

Posted by Tukya Labels:

-Azizi Hj Abdullah
Azmi Abd. Hamid, Presiden TERAS
Mohd.Ridzuan Mohamad
Zarinah Osman.


Dari Seramai 26,000 jemaah haji tahun lalu, 0.1% dari 26 juta yang dibenarkan oleh Arab Saudi mengerjakan haji, pastinya pulang dengan satu kepuasan dan kelegaan kerana rukun ke lima sudah pun tertunai.

“ Aku puas. Setiap kali aku tawaf, aku dapat kucup Hajar Aswad. Aku tak kira, aku tembi sigung Tok Arab. Mana boleh bagi can,” kata seorang lelaki sebaya 40an, berbadan tegap sasa ketika sebaik-baik saja dipeluk oleh seorang rakannya di rumahnya di Taman X, sekembali dari Mekah.



“ Tak banyak. Serban dua puluh helai. Kopiah putih dua puluh. Jubah Duffah lima helai. Minyak wangi Malikussubuh adalah sepuluh kotak. Air Zam-zam 10 liter. Hajah aku tu, sempat juga beli paun emas sebesar syiling lima kupang.” beritahu Hj Kasa dari Sungai Mas kepada Hj. Dahaman yang ke Mekah lima tahun yang lalu.

“ Lima kali dah aku ke Mekah, tak macam tahun ni. Tahun ni kedai jualan habis kena runtuh. Hiii, susah orang nak belibelah. Aku berkelahi dengan Tok Arab yang cuba nak tipu aku. Kalau tak sebab dekat Makam Ibrahim, aku tentu sepak!” Hj Husin yang sudah lima kali ke Mekah bercerita kesamsengannya sewaktu bergeser dengan Arab Badawi ketika tawaf.

Tiga cerita di atas adalah lumrah setiap tahun bagi jemaah haji yang baru pulang. Selalunya ketika membuat kenduri kesyukuran kerana pulang dengan selamat, cerita-cerita begini didedah untuk membuktikan seseorang itu bukan ‘jakun sangat’ berada di Mekah.

Itu tidak lagi cerita bagaimana mereka bertolak-tolak ketika tawaf, mencium Hajarul Aswad. Tidak bercerita lagi bagaimana marahnya dengan maki hamun hanya hilang sepasang kasut di Masjidil Haram dan marahkan kepada pengawal masjid kerana tidur di tingkat atas. Itu tidak dicerita lagi bagaimana berebut tolak menolak hendak berada di Raudah.

Tak seorang pun yang pulang yang kita dengar bagaimana dia menangis, bermunajat di Arafah atau ketika di Jabal Rahmah memohon kepada Allah agar memberi kemenangan kepada umat Islam yang tertindas di Palestin. Tak ada seorang pun yang bercerita bagaimana ada satu kegiatan menginfakkan wang ringgit bagi menolong umat Islam yang jadi mangsa kekejaman Zionis. Mekah bagi mereka kesempatan yang perlu dilakukan ialah amalan khusus untuk diri sendiri. Hal-hal umat Islam di seluruh dunia dinyahkan begitu saja.

Malah ribuan yang bertalbiah, hanya sekadar bertalbiah untuk mendapat ribuan pahala dan lain-lain amalan khusus dalam bentuk kepentingan peribadi. Tidak ada amalan dalam bentuk kepentingan umat Islam.

Ketika mereka mendadah tangan berdoa, kebanyakannya menadah meminta keampunan, kebahgiaan diri dan keluarga. Kalimah Muslimin Muslimat hanya terucap kerana kalimah itu ada di dalam doa. Ia bukan bacaan yang penuh dengan penghayatan. Bagi mereka biar mereka saja masuk syurga. Pedulikan sangsara dan nasib buruk umat Islam yang lain.

Yang demikian, ketika berada di lapangan terbang Jeddah atau dari Madinah atau ketika tawaf wida’, meledaklah apapun berita tentang Palsentin, di Gaza atau di Mindanao, mereka tidak peduli. Yang penting air Zam-zam mesti sampai ke tanah air untuk diberi kepada jiran-jiran disamping menjadi penawar untuk anak-anak lulus peperiksaan.

Hal-hal di atas bukanlah satu gambaran buruk atau satu sangka buruk. Ia adalah tradisi yang sukar diubah. Haji bagi mereka yang digambarkan di atas adalah ibadah yang sangat penting tetapi penuh dengan kepentingan diri dan peribadi sedangkan falsafah mengerja haji lebih jauh dari tujuan itu.

Lima kali mengerjakan haji dengan wang yang direngkuh mengompolnya, mereka tetap beranggapan belanja ke Mekah tetap mendapat berkat Kaabah dan Makam Nabi walaupun di sisinya ada seorang Palestin yang kudung kakinya atau jiran di rumahnya ketandusan wang hendak menghantar anaknya belajar ke Azhar.

Apakah 0.1% dari 26 juta jemaah haji kita yang baru pulang sedar tentang punggung King Saudi disumbat pisang oleh Amerika atau pendapatan berjuta atau berbilion paund hasil dari cukai jemaah haji sedunia, tidak pernah mengalir ke daerah Palestin yang sangsara?

Apa khabar tuan haji?
Ketika soalan ini dilontar, kebanyakannya akan menjawab, baik dan Insyaallah lambaian Kaabah akan berulang, sedang lambaian tangan anak-anak Palestin yang kudung dan kibaran bendera Hamas tidak pernah ada dalam kehangatan udara Mekah ketika itu.

Sesunggunnya ibadah haji memiliki banyak dimensi dan ia sangat mencabar. Ada banyak perkara yang dilupakan dan para tuan guru sering mengabaikan huraian ini kerana kalut dengan doa-doa mustajab di makam Ibrahim.

Apa khabar tuan haji?
Sayang pertanyaan ini tidak dijawab oleh egen-egen dan pemimpin yang memiliki pengetahuan agama. Tidak pernah timbul bahawa haji adalah satu perjalanan dalam mematuhi serta kesedaran tindakan keingkaran politik terhadap taghut, penjenayah kemanusiaan dan bendera agama yang dikoyak
.
Tidak pernah disedari ketika mengusung air zam-zam atau karpet dari Iran bahawa haji adalah perjuangan berterusan terhadap godaan kebendaan. Tidak ada dua dari sepuluh jemaah kita rasanya yang bertemu dengan jemaah Palestin atau Afghanistan bertanya khabar berapa batang tubuh yang telah direbahkan oleh Amerika di Afghanistan, di Iraq atau kebuluran di Sudan.

Talbiah hanya sekadar laungan memenuhi perjalanan dan bukan satu laungan kesedaran. Ehram hanya sekadar dipakai kerana itu syarat dan bukan satu sentakan kesedaran bagaimana yang sepatutnya ada di dalam hati.

Apa lagi apabila berada di Arafah, di Mina. Satu perhimpunan raksaksa yang tidak ada taranya. Tetapi untuk apa perhimpunan seperti itu. Lalu masing-masing mencebik mulut apabila kembali ke tanah air bilamana ada kawan mengajak sama-sama demonstrasi membantah kedurjanaan kuffar. Bagi mereka, perhimpunan di Arafah hanya perintah, tidak ada falsafah atau hikmah daripada perhimpunan itu.

Bagi mereka perhimpunan bererti menentang kerajaan.

Pernah adakah ingatan di dalam kepala ketika bertalbiah betapa seorang Yahudi menembak seorang budak atau sebuah kereta perisai memusnahkan sebuah masjid?

Apa khabar tuan haji?

Tuan haji akan bercerita, di Masjidil Haram solat tidak pernah susut setiap waktu. Di Masjid Nabawi setiap waktu tidak punya ruang kosong. Jemaah Malaysia pun berdoa dengan lenangan air mata. Tetapi tak seorang pun sedar bagaimana Sayed Hasan Nasrallah merayu Muslim sedunia berdoa menyelamatkan umat Islam yang dizalimi oleh Israel, umat Islam yang ditindas.

Tidak pernah tersedar ketika berdiri sesak, serentak bertakbiratul ehram, dengan sentuhan bahu-bahu dan berlaga siku, umat Islam sebenarnya telah membuat kenyataan politik; kita semuanya sama. Kita semuanya berkewajipan. Kita semuanya bersaudara. Dan kita sama-sama berikrar hidup mati hanya kerana Allah. Tapi apa yang berlaku, sekilo kurma atau sebotol minyak Atar bagi mereka lebih mahal dari sebiji peluru Israel.

Apa khabar tuan haji?

Lebih jauh untuk menjawabnya, rombongan yang pulang tetap dengan jamuan syukur bersama kurma Madinah, kismis, buah ara lepong dan kacang cerdik. Pedulikan rayuan derma, seringgit dan boikot barangan Amerika. Tidak tersedar pun, ketika menjadi tetamu Allah di hadapan Kaabah, sesungguhnya ada halangan secara tidak langsung terhadap umat Islam yang lain untuk menjadi tetamu Allah. Sebahagian umat Islam yang lain sebenarnya telah dihalang oleh penjaga Haramain-keluarga yang sekian lama menjadi pembodek Amerika. Lalu merekalah yang menghadkan, membuat kouta. Alasan mereka mudah. Mereka tidak mampu membenarkan semua umat Islam menjadi tetamu Allah kerana mereka tuan punya bumi Mekah dan berhak membuka atau menutup pintu Haramain.

Tetapi dalam masa yang sama, mereka membenarkan Zionis dan pembelasah kemanusiaan masuk dengan sikap kurang ajar setiap penjuru tanah umat Islam dan membiarkan kaki kuffar menginjak masjid-masjid. Mereka tidak merasa apa-apa betapapun Al Aqsa dilontar najis.

Mereka memiliki sempadan tetapi menutup pintu. Mereka tidak berkata ‘jangan masuk’ tetapi mereka mengunci pintu itu rapat-rapat.

Tak seorang pun sedar apa yang dilakukan oleh Husni Mubarak dan tidak pula pernah marah tentang diamnya King Abdullah di Saudi. Yang pulang setelah bergelar haji, masih mendewa-dewa itulah Raja Mekah yang penuh barakah yang mengsedekahkan syafaat mereka. Mereka gelisah apabila air Zam-zam hilang di terminal atau serban tidak cukup untuk sedekah dari nama Obama. Mereka tidak tahu pun siapa betina Rice atau Olmert.

Apa khabar tuan haji?

Jawapan memang sedap didengar. Tetapi tidak ramai yang sedar haji yang bermula dengan sejarah para Nabi-nabi termasuk Ibrahim. Tak tersedar pun tentang Ibrahim ketika di makamnya betapa Ibrahim merengkuh tenaga dan perjuangannya menentang taghut sehingga dia dibakar. Tak terdengar pun sebahagian yang pulang bersedia menentang taghut seperti Ibrahim.

Apa khabar tuan haji?

Kami tidak pernah doa di Multazam atau di Safa atau di Raudah untuk memenangan perjuangan Islam. Kami memang berdoa tetapi untuk kebahgiaan kami sendiri. Kami mahu masuk syurga dan balik nanti kami mahu 24 jam di penjuru masjid. Kami tak mahu lagi sertai pergerakan massa. Kami tidak mahu lagi berjuang. Kami mesti wirid banyak-banyak.

Ada tong-tong derma untuk membantu perjuangan umat Islam tidak perlu diindah. Yang penting duit mesti dikompol untuk haji dua tahun lagi. Buat apa pedulikan tentang pegerakan umah bagi mempertahankan umat Islam di tempat lain. Haji kami tidak ada sangkut paut dengan penduduk Palestin, tidak ada kaitan dengan Zionis. Haji kami pedulikan Iraq, Afghanistan, Khasmir. Haji kami bukan penggerak umah.

Apa khabar tuan haji?

Tahun depan kami akan sekali lagi dan Alhamdulillah jika dapat mengucup Hajarul Aswad. Pedulikan martabat agama yang diperjuangkan. Pedulikan bahasa dan masalah PPSMI. Anak kami sudah besar, masakan mahu sebuk dengan PPSMI sekolah rendah dan menengah.

14 comments:

  1. abdrahim kassim

    Telah disabda oleh Rasulullah bahawa umatnya di akhir zaman tidak ubah seperti bueh di lautan...

  1. Anonymous

    sdra abdrahim,
    terima kasih. saya faham kata-kata ini.
    -azizi

  1. Anonymous

    Salam.

    Tuan memang benar-benar memanfaatkan bakat yang dikurniakan Illahi untuk menyampaikan pesanan. Alhamdulillah bakat ini tidak larut lesap hilang dalam arus penulisan yang berkiblatkan keseronokan. Terima kasih kerana sentiasa menyedarkan.

  1. P.E.N.S.I.L L.A.N.G.I.T

    salam...

    tumpang, anak lalu..

    Fardu Ain telah jelas dan Mutlak. Tapi ramai orang tidak jelas dengan Fardu kifayah. Seperti juga antara Wajib dan Sunat, masing-masing ada kelebihan tersendiri sehingga manusia keliru untuk penghambaan diri kepadaNYA.

    Mungkin alasan Wajib itu terjadinya obses manusia untuk mengikut, atau abdi dengan TUHAN. Hanya yang WAJib. Tapi, tidakkah hukum Sunat bila-2 masa saja akan jadi Wajib dan begitu sebaliknya.

    Tapi, manusia hanya tahu taklid. Itu sifat mereka. Kerana kejahilan atau proses penjanaan manusia itu sendiri yang kurang berperanan dalam masyarakat. Akibatnya, ramai tidak tahu, jahil, bodoh dalam celik, sambil berbangga2 dengan ibadat mereka. Tengok saja, keluar dicorong2 television.

    Ada Sabda Nabi bermaksud; Allah lebih suka kepada orang-orang yang membuat perkara sunat. (aw kama qol)

    Tapi, anak-anak di Palestin takkan tahu ini semua.

    http://duwenk.wordpress.com

  1. Genta

    sedih dan malu tatkala membaca setiap bait tulisan saudara mengenangkan betapa rendahnya nilai Hj. yang mengambarkan mentaliti bagi masyarakat Melayu kita..inilah hakikat yang terpaksa kita akui.

  1. Ust Halim Nasir

    Alhamdulillah, artikel bernilai untuk renungan dan keinsafan, especially pak haji semua....

  1. NIZAM MAT SAARI

    Terima kasih cikgu,

    Tulisan cikgu banyak membuatkan saya berfikir dan merenung. Ia membawa kesedaran dan keinsafan dalam diri.

    Saya sering menulis tentang "orang yang memakai imej-imej Islam". Islam hanya umpama dipakai macam pakai baju, macam pakai seluar saja. Islam tidak dihayati dan nilainya tidak diamalkan. Diamalkan tetapi tidak istiqomah.

    Saya sering umpamakan begini: Orang yang sama tadinya sama-sama bersolat jemaah, tunduk tafakur dan khusyuk bermunajat, alih-alih apabila dia memegang stereng kereta, kereta itu dipandu macam haram jadah. Mencilok dan memintas sesuka hati dan tercokoh depan kereta saya hingga saya membrek terjungkit punggung dan bahu. Tidak ada signal, tidak ada angkat tangan, tidak ada senyum dalam wajah berketayap putih itu. Mukanya menyinga!

    Itu hanya contoh kecil di mana Islam itu tidak dihayati pun. Cikgu memberikan contoh yang besar.

    Nizam Mat Saari
    Kulim, Kedah
    http://nizammatsaari.com/blog

  1. Leenoh

    Memang terdapat mereka yang pergi mengerjakan Haji membawa ego dan kembali dengan ego yang sama.

    Apa tujuannya diceritakan diri sendiri setiap waktu bersolat di masjid dan dapat mencium hajarul aswad dengan menonjolkan kecemerlangan diri, biarlah perkara itu menjadi rahsia diri bersama Allah.ditambah pula cerita sepak terajang dengan tok Arab, lagi parah nampaknya.

    Apa boleh buat Sdr.Azizi itulah realiti minda Islam masyarakat kita. seperti kata Sdr.abdrahim kassim.

    Wassalam.

  1. Anonymous

    ini keresahan kita menanti kemandulan bangsa

    Oh, kenapa kita ditakdirkan memiliki pemimpin seperti mereka?

  1. Cikli

    haji juga orang yang balik saja terus cakap tadika kemas di kunci.

  1. MatMinTanjung

    salam cikgu,
    terima kasih dan akan dibuat panduan

  1. Anonymous

    keberkesanan ibadah haji itu berkait rapat dengan perasaan benci kpd musuh Allah, kerana benci kpd musuh Allah itu salah satu syarat untuk hadirkan kemanisan iman di dalam hati.yang penting kita hendaklah sentiasa sedar yang kita sedang tidur lena berselimutkan kedukaan dan ratapan umat islam di gaza

  1. razak

    salam,

    aku adalah anak jati kulim. aku mengenali sdr ust azizi hampir 25 tahun dulu.apabila kita membaca karya penulisan beliau memang bolih laa di kagumi.
    terkadang kadang terdapat karya karyanya berunsur lucah. jika dibandingkan dengan beliau seorang ust tak layak lah penulisan nya begitu.
    buat masa ini ust azizi bertugas di CAP Pulau Pinang. apa yang aku dapat tahu ust pun bukanlah seorang ust yang betul betul bolih dipanggil USTAZ............ TEPUK dada tanya selera dan IMAN ...... jawab sendiri atau tunggu masa diMAHKAMAH ALLAH. Memang betul dan tepat sabda Rasulullah bahawa umatnya di akhir zaman tidak ubah seperti bueh di lautan...

  1. Anonymous

    salam,

    aku adalah anak jati kulim. aku mengenali sdr ust azizi hampir 25 tahun dulu.apabila kita membaca karya penulisan beliau memang bolih laa di kagumi.
    terkadang kadang terdapat karya karyanya berunsur lucah. jika dibandingkan dengan beliau seorang ust tak layak lah penulisan nya begitu.
    buat masa ini ust azizi bertugas di CAP Pulau Pinang. apa yang aku dapat tahu ust pun bukanlah seorang ust yang betul betul bolih dipanggil USTAZ............ TEPUK dada tanya selera dan IMAN ...... jawab sendiri atau tunggu masa diMAHKAMAH ALLAH. Memang betul dan tepat sabda Rasulullah bahawa umatnya di akhir zaman tidak ubah seperti bueh di lautan...