MENCARI ROH PAS DALAM PKR

Posted by Tukya Labels:



Saya bukan nak cari gaduh atau melontar benci terhadap Pas atau PKR. Saya sekadar melahirkan kegelisahan agar kita sama-sama berfikir.

Jangan anggap tulisan begini tulisan yang hendak meruntuhkan mana-mana pihak. Apa yang hendak dirisaukan kalau kita sendiri mendakwa kita kuat.



Setelah kembali dari Kuala Terengganu, selepas sebahagian besar anak-anak muda yang memegang bendera Pas berkeliling Bandaraya Kuala Terengganu, bersorak-sorak menaiki motosikal, saya dibalun tanda tanya, apa ertinya PKR dan apa ertinya Pas. Saya teringat empat negeri, iaitu Perak, Pulau Pinang, Selangor dan Kedah. Negeri ini selalu mendakwa pemerintahan PR.

Sampai hari ini kepala saya dibalun dengan tanda tanya ini.

Memang benar sebelum menang kita melihat semua parti dalam PR bekerjasama. Dua malam sebelum mengundi saya dengan kawan-kawan berada di Ibu Pejabat PKR di tengah bandar. Beberapa tokoh PKR (tidak ada pun dari Pas) merengkuh habis berkempen untuk memenangkan Wahid Endut dan melecehkan Wan Ahmad Farid.

Benarlah, PKR kerja kuat. Tetapi di tempat lain Pas juga saya dapati bekerja kuat. Ternyata ‘rumah-rumah’ wakil setiap negeri yang saya dapati ialah ‘rumah-rumah’ Pas. Entahlah barangkali saya tidak ketemu rumah-rumah PKR, tetapi kawan-kawan dari negeri lain, penyokong PKR turut menumpang di ‘rumah-rumah’ Pas.

Maka kemenangan malam itu, digemuruh dengan takbir dan usungan bendera yang saya sangat pasti 80 dari anak-anak muda Pas. Kemenangan calon Pas menjadi kebanggaan PKR dan YB Husam Musa, Naib Presiden Pas pasti akan menyebut nanti PKR lebih kerap dari menyebut Pas.

Saya sangat yakin, jika sokongan yang diberikan kepada Pas seperti di Kuala Trengganu, pemerintahan PR akan semakin kuat dan kalaulah orang seperti Wahid Endut berada di mana-mana kawasan PR, pastinya di tahun 2013, PR akan tambah kerusi.

‘Tidak!” tiba-tiba seorang kawan saya yang sejak dulu totok dengan Pas melenting menyanggah.

‘Memang dasarnya peperintahan PR. Bagus. Tapi hakikatnya bukan PR sebaliknya DAP di Penang, Pas di Kedah dan Campuran di Perak ,Selangor ++ dan Kelantan Pas totok.”

‘Jadi apanya, kenapa?’ saya sangat tertarik sanggahan kawan saya ini. Dia kurus melengkong macam lantai papan jambatan. Dan kemudiannya saya bersetuju dengannya.

Memang pun saya sangat bangga apabila PR dikatakan menguasai 4 negeri dan kini khabarnya telah membentuk ‘Majlis Menteri Besar.’

Tetapi bagi saya pembentukan itu tidak lebih dari satu pakatan mendahulu bangga dari hakikat kualiti sebagai pemerintah itu sendiri. Ia lebih merupakan berlunjur sebelum bersila. Ia lebih menggambarkan ‘berat rantai dari beruk.’ Bagaimana pun entahlah jika dari kaca mata politik, ia perlu.

Kebimbangan yang ‘paling’ besar bagi saya ialah apabila berpeluang menjengok ke dalam rumah pemerintahan PR dan bukan ‘kosmetik’ PR itu sendiri. Kemenangan Datuk Sri Anwar Ibrahim di Permatang Pauh Ogos tahun lalu memang hebat, tapi ia tidak bererti jengukan kita ke dalam rumah PKR membanggakan.

Adun Penanti yang menjadi Timbalan Ketua Menteri mula diperkatakan dan kemudiannya tali TKM ditarik semula. Maka yang kuatnya dalam rumah PKR dalam pemerintahan PR ialah DAP.

Tak pun orang terfikir masa depan, setidak-tidaknya empat tahun lagi, apakah prestasi begitu akan memantapkan pemerintahan PR yang majoritinya DAP? Pas pun kena ambil peduli. Jangan asyik ber ‘Insyaallah’ saja.

Memang ini buruk sangka untuk masa depan ( seperti kata seorang pengulas blog terhadap saya) tetapi kita mesti membacanya juga untuk memperkasakan masa depan. Katakan saja YB dari PKR sangat lemah. Dalam hal ini orang tidak akan menuding jari kepada PR Pulau Pinang sebaliknya tentu kepada PKR Pulau Pinang.

Kedah ,Perak atau Selangor bagaimana?

Bacaan orang politik, Perak PR masih dan mampu bertahan tetapi majoriti komponen PR akan berubah. Kini tambah satu hasil dari lompatan YB Umno. Bagaimana pun calon DAP lebih menguasai walaupun tetap pemerintahan PR.

Bukan mustahil akan ada calon Melayu yang menjadi ahli DAP, kemudian bertanding dalam pilihanraya hanya semata-mata hendak memenuhi syarat seorang menteri besar mestilah Melayu dan beragama Islam. Ketika itu Menteri Besar dalam pemerintahan PR di Perak bukan dari Pas, tetapi dari DAP berbangsa Melayu/ Islam. Dan di Pulau Pinang mimpi ini tidak akan terjadi walaupun calon PKR hampir tepu mulut tempayan pemerintahan PR.

Mengenepikan Selangor, saya lebih merasa cuak terhadap Kedah.

Pas Kedah tetap kuat tetapi Pas Kedah mampukah menjadi pemerintah PR bagi penggal kedua tahun 2013 nanti?

Ada beberapa faktur yang PR Kedah patut merasa bimbang terhadap Pas Kedah, malah dalam PR Kedah, selain dari Pas, semacam ada duri dalam daging. PR tidak boleh berbangga dengan Pas Kedah dan Pas Kedah tidak boleh memberi jaminan kepada PR bahawa ia akan kekal atas nama Pas dalam pemerintahan PR.

Ini bukan satu hukuman atau satu tuduhan busuk. Semoga dengan andaian ini ( jika boleh dianggap andaian) Pas Kedah perlu muhasabah secara bulanan. Apa yang membimbangkan bukan pemerintahan Pas atau kerana nama Pakatan Rakyat, tetapi beberapa karenah dari tampuk yang digenggam oleh Pas sendiri.

Tertubuh kerajaan bukan kerana nama PR atau PKR atau Pas sebenarnya. Faktor yang besar ialah dari calon itu sendiri. Saya rasa kita kena kembali kepada persoalan ini. Kemenangan Wahid Endut bukan kerana calon Pas tetapi atas nama Pas, Wahid Endut menjadi calonnya, maka dia mendapat kredit kemenangan.

Memang perarakan anak muda malam kemenangan itu kerana Pas menang setelah PR bertungkus lumus selama sepuluh hari. Tetapi harus diingat, jika bukan Wahid Endut, Pas sukar menang dan PKR, DAP tidak akan lancar bercakap tentang calon Pas.

Maka sekali lagi saya menjadi fobia apabila memikirkan Kedah. Dengan faktor apa kemenangan yang kita harapkan jika bukan diri calon.

Rupa-rupanya selama ini rakyat sangat pandai memerhati dan menilai. Jika ada kebencian dan tidak suka, bukan kepada Pas atau PKR disalahkan, tetapi kepada individu yang telah melakarkan stailnya setelah dia diangkat menjadi orang penting dalam pemerintahan.

Kedah ada kelemahannya dan ini mestilah cepat-cepat disedari. Yang penting sesama anggota mesti belajar memahami antara satu sama lain. Yang perlu sedar, ketua pemerintah bukan seorang derebar teksi yang mencari penumpang, yang boleh beluk ke mana-mana, tetapi dia adalah derebar yang memuat penumpang yang mesti patuh kepada penumpang untuk sampai ke destinasinya. Ia berkewajipan menjaga teksi supaya dalam keadaan baik.

Drebar mestilah faham, jika dia membawa seorang arkitek, dia mestilah membawa arkitek itu ke pejabatnya, bukan membawa ke pejabat amanah saham. Jika penumpang itu seorang doktor, jangan bawa penumpang itu ke pasar raya. Tempat doktor di klinik atau hospital. Begitulah selanjutnya.

Saya tidak bimbang Lim Guan Eng, tetapi saya sangat bimbang Nizar. Alasannya mudah. Betapapun PR akan menguasai nanti, yang jelas Perak tidak lagi Nizar yang menjadi Menteri Besar. Apakah Pas tidak dapat membaca akan wujud calon Melayu dari DAP, hanya semata-mata untuk memenuhi tuntutan undang-undang negeri bahawa Menteri Besar mesti Melayu.

Tapi bagaimana Kedah? Jawabnya tentunya Umno sedang menunggu dan mereka bekerja keras kerana melihat kelemahan yang berlaku sekarang. Kelemahan kita bukan kerana Umno kuat, tetapi kita mencipta masalah sesama kita. Kita tidak fokus fikrah secara kolektif.

Kedah sekarang tidak menggunakan pemikiran dan cerdik pandai ahli Pas sama ada exco atau pegawai tadbirnya. Kedah, apa yang berlaku sekarang sedang dalam proses menafikan bijaksana pegawai tadbir dan cendekiawan orang Pas. Kita mengamal dasar: ‘Awak tahu apa. Awak bidang apa? Saya mahu ini, bukan itu.’

Kononnya, Kedah lebih senang berunding dan berpakat dengan mereka yang kononnya bijak dan berpengalaman tapi sayang tidak mempunyai tarbiah dan fikrah Pas. Kedah kononnya lebih menghormati orang bukan Pas. Pas Kedah semacam terlupa yang berkuasa ialah Pas, bukan orang lain.

Apakah jawapannya?

Jawapan yang mudah ialah, Umno sedang menunggu kelemahan pemandu kenderaan PR ini dan kebetulannya dari Pas. PR tidak akan rugi walaupun DAP yang menjadi komponen PR, tetapi Paslah yang akan menggigit jari.

Gaya kemenangan Kuala Terengganu sangat menyentuh. Mungkin ada solat hajat atau doa minta mana-mana kawasan kosong lagi.

35 comments:

  1. abdrahim kassim

    Sdr. Azizi,

    Teguran yang cukup bererti bagi orang yang mahu memahami.

    Soalnya PAS akan bertanya. Anda siapa? pandai-pandai nak mengajar.

    Akhirnya PAS akan alami lagi seperti hilangnya Terengganu dalam 2004.

  1. kakyong

    salam tuan,
    teman bersetuju dengan tuan.. tapi tak pandai nak komen, sbb tak brp arif. hanya org biasa yg suka amik tahu..

  1. benuasuluk

    Ustad,
    saya yang dilahirkan di Kedah juga berasa rimas sepertimana yang ustad tuliskan. Ada bagus juga tulisan ustad ni dimasukkan dalam sampul surat, lalu di pos ke rumah Ustad Azizan.
    Kita tak mau Kedah menjadi seperti terengganu dulu; dan pengalaman di Terengganu dulu sepatutnya telah mematangkan PAS dalam semua aspek tindakan.

  1. Jawiyun

    Salaam Pak Azizi,

    Setuju ngan pandangan tuan, memang membimbangkan. Cuma saya tertanya2 adakah baru2 ini sahaja tuan terperasankan isu ini?

    Secara peribadi sy sudah merisaukannya sejak sehari selepas keputusan PRU 12 lagi. Gambaran tentang apa akibat yg akan berlaku seolah2 ditayangkan dalam kotak fikiran.

    Saya bukannya pandai berpolitik, sy bukan org PAS pun. Tapi pandangan sy yg tak pandai ni, sekiranya PAS ingin kesinambungan perjuangannya yg asli, PAS perlu menjadi tunjang dlm PR. Macam mana tu, PAS kena fikir sediri. Itu strategi PASlah. Tapi setakat sehingga hari ini, PAS nampaknya tidak ada kemajuan dalam hal ini.

    PR itu ada kemajuan, PAS belum tentu dapat manfaatnya. PR tolak hudud, PAS sokong hudud, kan lain tu. Org melayu masuk DAP, PR kuat, bagi PAS macammana kesannya?

  1. Ahmad Sadiqin

    A'kum Ustaz,

    Roh DAP ada tak dalam PKR. Saya jumpa dah.

    PAS kena kerja keras lagi!! Jihad! dakwah! dakwah!

  1. Anonymous

    sdra komentar: abdrahim kassim,
    kakyong
    benuasuluk
    jawiyun dan
    ahmad sadiqin,
    terima kasih atas pandangan anda.saya sangat yakin, takbir tidak akan dapat menambah satu undi.solat hajat tidak akan mengubah mata pensel memangkah bulan. yang penting istiqamah islam ada dalam roh orang pas. syor benuasuluk, terima kasih. nak bagi aku mampueh. oppp! astaga.
    azizi abdullah

  1. me,myself n all around da world

    askm cikgu azizi yg dihormati,

    Sy kira ini adalah kesinambungan luahan dari tajuk " Bdn Pas baju PKR".

    sy sangat setuju dgn pandangan cikgu.

    Saya lihat politik Pas kini lebih banyak berbentuk kecaman terhadap parti BN, tetapi kurang penerangan ttg FIKRAH Pas kepada rakyat.

    Dan ini mungkin adalah strategi Pas, tetapi penekanan FIKRAH amat perlu kepada ahli-ahli PAS.

    Singkap balik sejarah bagaimana marxist(sistem sosialis)membawa rakyat mengecam sistem kapitalis seterusnya rakyat bangkit sehingga runtuh sistem kapitalis, tetapi pada akhirnya rakyat sedar bahaya sosialis bukanlah yang terbaik.

    Ini juga boleh berlaku, jika PAS terus mengecam corak pentadbiran/individu/sosok peribadi di dlm kerajaan tanpa adanya penanaman FIKRAH yang jelas kpd AHLI dan bakal AHLInya maka akhirnya Pas itu sendiri akan terkubur di dalam PR.PAS harus bertunjangkan kpd kekuatan ahlinya yg mempunyai FIKRAH yg jelas.

  1. lan fisherman

    harus diingat ini adalan perjuangan untuk mendaulahkan agama Allah maka bukan setakat pimpinan , rakyat juga wajar membuat pilihan yang bertunjangkan aqidah, dan fenomena lupa daratan setelah berkuasa adalah warisan golongan yang mudah lupa pada matlamat perjuangan ,dan kita kena menoleh ke zaman sejarah khulafa ar rashidin,amirul mukminin Umar,Uthman dan Ali MATI DI BUNUH OLEH SIAPA dan SIAPA inilah akan menjadi duri dalam daging dalam setiap perjuangan menegakkan ad-din.atau mungkin sudah sampai era kekacauan yang mengancam aqidah sehinggakan orang alim diharuskan bersembunyi dari masyarakat yang tidak boleh diperbaiki lagi.dan ketika itu akan muncul pimpinan yang beriman , zuhud, dan tawkkal,tapi bila?

  1. Anonymous

    Nak buat lagu mana, drebar Pas di Kedah tu ketegaq, kira kepala dia je....

  1. EMY AUTO SERVICES

    Ustaz

    ROH PAS ADA ROH ISLAM
    dan ROH PKR ADALAH ROH YANG TIDAK TAHU IDENTITI

  1. abghalim

    Salam Ustaz

    Jiwa Pas adalah jiwa Islam.Begitu jualah roh Pas.PAS bukan minta nak jadi PERDANA MENTERI dan PAS bukan berjuang nak memerintah negara tapi PAS berjuang untuk menubuhkan negara ISLAM...

    JIWA PKR jiwa kafir campur jiwa Islam.Tujuan PKR ditubuhkan cuma ingin ANWAR dibebaskan dan dibersihkan nama seorang PELIWAT.

    PAS telah bersolat HAJAT di Beberapa STADIUM bola negeri bertujuan meminta ALLAH tunjukkan kebenaran semasa ANWAR ditangkap.

    Kini Anwar dibebaskan...ucapan terima kasihnya kepada PAS cumalah memecah belahkan MELAYU ISLAM dalam PAS dan UMNO.

    Kini UMNO dalam KERUNTUHAN
    PAS kian kian LEMAH.

    Anak muda memilih PKR kerana tidak perlu bersusah payah mendalami ISLAM dan PKR parti yang sedikit KEMELAYUAN dan banyak kekafiran.

    PKR tidak perlu laungan ALLAH HU AKBAR tapi cuma sekadar refomasi.
    Ingin menjadi PEMIMPIN PKR tidak perlu mahir dalam ISLAM sedangkan didalam PAS pemimpin perlu tahu menjadi IMAM,tahu membaca doa dan mahir Al Quran.Bak kata semua PEMIMPIN PAS dari PUCUK PEMIMPIN TERTINGGI hingga ke PEMIMPIN akar umbi setakat nak buat tahlil,depa pejam mata saja.
    TAPI
    MAMPUKAH SEMUA PEMIMPIN PKR BACA DOA MAKAN?
    APAKAH SEMUA PEMINPIN PKR tahu membaca AL-QURAN

    USTAZ.....
    Kesimpulannya jangan dok tebiang cari ROH bersih dalam tempat kotor.

  1. CUCU TOK KEDU

    PR sedang berusaha menumbangkan gergasi politik negara ini yang telah berakar umbi di hati rakyat walaupun ditipu, digula-gula, disogok dan ada masanya diugut gergasi tersebut.

    Namun atas pakatan yang mula menampakkan sedikit kejayaan untuk mencabut satu demi satu taring gergasi ganas itu, tidak ada siapa yang boleh mendabik dada bahawa merekalah yang lebih kuat dari yang satu lagi atau yang dua lagi.

    Suatu permuafakatan yang sealiran kerja amat penting dengan tidak menghumbang ke belakang prinsip perjuangan.

    Jika ada yang mendabek dada, maka ada pula yang tampil mendabik lagi, lalu berlakulah kehancuran semula. PAKATAN RAKYAT adalah nama yang amat kuat untuk menumbangkan UMNO Barisan Nasional.

    Kerana itu setiap teguran yang dibuat dari akar umbi parti-parti Pakatan janganlah dipandang rengan. Masing-masing harus membetulkan haluan. Bukannya perlumbaan, siapa yang berhak berkuasa!

    Matlamat utama ialah menumbangkan keangkuhan BN. Banyak sejarah negara Iran menumbangkan Shah Iran mengajar kita!

    Dari realiti rakyat bawahan kini mulai senang dengan PAKATAN RAKYAT, mereka mula meminggirkan UMNO dan BN kerana telatah pemimpin parti gergasi itu yang kini semakin tidak bertaring.

  1. Anonymous

    me,myself n all around da world said...

    Saya lihat politik Pas kini lebih banyak berbentuk kecaman terhadap parti BN, tetapi kurang penerangan ttg FIKRAH Pas kepada rakyat.

    ============================

    itu bagi orang yang dengar ceramah pilih-pilih...
    ceramah tentang fikrah pas, pasukan lain yang buat... ceramah kutuk-kutuk pasukan lain yang buat...

    tapi pas memang mungkin akan hilang kedah, dan perak kalau masih bermentaliti pembangkang...

  1. Anonymous

    Salam.
    Setuju sangat sangat bahawa PAS Kedah dah mula jadi loklarq, ketegark, hawarq...
    Prinsip banyak tergadai diatas perlantikan yg dipilih. Dalam GLC, tiada pemantauan terhadap apa yg sebenarnya terjadi dikalangan bawahan. Kebajikan terdahulu dicantas. Teguran dianggap bantahan.

  1. Anonymous

    a'kumz
    Ustaz Azizi

    Namum itulah nama yg dikenali oleh kami.Pada pilihanraya 1999 bagi dun kulim,saya diantara salah seorang yang membantu dalam kempen ustaz azizi yang mewakili pas bagi menentang calon dari mca....Siang dan malam kami berkerja untuk memenangkan ustaz azizi namum pengundi pada masa itu lebih cenderung kepada calon MCA.....
    akhirnya ustaz azizi pun tewas dalam pilihanraya 1999.Namum niat bersama pas masihku pegang sehingga kini....dan pas berjaya dalam membentuk kerajaan negeri kedah pada pilihanraya yang lepas.....Semua parti yang menang pilihanraya baik Bn atau pakatan rakyat harus berkerja untuk rakyat...janganlah diabaikan kebajikan rakyat...

  1. Anonymous

    Tn. Hj. Azizi,

    1. Saya menghormati dan memandang tinggi tuan melalui karya-karya novel tuan yang sememangnya sering mendapat tempat kerana mutu karya tuan. Alhamdulillah... tuan dianugerahkan-Nya pemikiran dan penulisan yang hebat.

    2. Saya berumur 36 tahun, sering memantau dan membaca blog tuan ini, sememangnya ada kelainan atas pemikiran dan idea tuan. Tahniah...!

    3. Cuma saya merasa agak sedikit terkilan dengan tuan iaitu ada beberapa entri tulisan tuan (yang ini serta beberapa entri sebelum ini) seperti sering mempertikai pihak PKR, dan kadang kalanya seperti ingin memisahkan PKR dengan PAS... kenapa tuan, saya kurang mengerti? Saya akui memang ada kelemahan dalam PKR dan PAS tetapi tulisan dan isu tuan terkadang mengundang 'rasa bahagia dan gembira' buat parti yang telah memerintah negara selama 50 tahun lebih...

    4. Terkadang juga saya musykil dengan tuan atas tulisan/isu tuan seperti sering mempertikai jalinan kerjasama PKR dan PAS (saya mohon petunjuk-Nya agar tanggapan saya ini silap).

    5. Biarkan dahulu PKR-PAS bergerak dengan baik, saya akui memang ada kelemahan dalam PKR dan PAS tetapi janganlah sampai seperti ingin benar nampaknya hendak jatuhkan hubungan PKR-PAS, saya mohon ikhlas daripada tuan.

    6. Tuan sebagai salah seorang orang terkenal dan dikenali ramai dalam PAS dan PKR, maka saya cadangkan tuan agar memberi nasihat kepada pemimpin PKR-PAS dalam saluran yang betul, beri pandangan dan perbetulkan segala yang tuan arif tentang banyak hal melalui musyuarah yang baik kepada pihak PKR-PAS KERANA IANYA LEBIH BAIK DARIPADA TERUS MEBUKA PEKUNG DI DADA KEPADA PIHAK LAIN..

    7. Terakhirnya, mohon maaf jika pandangan saya ini menyinggung tuan, saya insan biasa dan kerdil namun tetap meminati karya-karya besar tuan, saya sehingga kini MASIH HORMAT DAN SANJUNG TUAN SELAKU PENULIS KARYA KREATIF YANG BERMUTU DAN BERMARUAH...

    Sekian. Terima kasih.

    Daripada:
    PEMUDA PKR-PAS (DEMI UNTUK MENUKAR PEMERINTAHAN BN/UMNO).

  1. Anonymous

    ABANGHALIM,
    Terima kasih. Bagus komnen tu. Nampaknya tak settuju sangat kat PJKR tapi tak apa, asalkan jangan berkenan dan sanggup mati dengan Umno.
    Jika pandai berfikir, baguslah.
    Salam anak muridku.

    -azizi

  1. ctkun

    Salam Cikgu Azizi,
    Kita tak bolehlah menilai menantu hanya selepas beberapa blan berkahwin dengan anak kita. Memang akan ada banyak cacat celanya. Tapi jika menantu kita dah 40 tahun lebih berkahwin dengan anak kita tapi tak ada juga kebaikan yang ditunjukkan apa guna jadi menantu. Begitulah dengan politik, kita kena bagi masa kepada parti yang baru menang dan kita nilai semula parti yang dah lama memerintah, kalau perlu buang yang lama ambil yang baru.....

  1. Anonymous

    Sdra Anak Muda PKR-PAS, entri waktu 2.59 pm.
    Terima kasih di atas ingatan dan prihatin anda terhadap tulisan saya dan sering mengikuti karya saya.
    Memang sekali pandang orang akan melihat saya sudah mula meradang dan muak dengan Pas dan tidak suka kepada PKR, seolah-olah cuba memisah kedua-dua ini.
    Mungkin inilah kelemahan saya untuk menyampaikan hasrat sebenar atau anda dan penelaah tulisan saya tidak sampai kepada maksud saya. Apapun ini kelemahan saya.
    Sangat baik nasihat anda walaupun saya sudah tua, saya terima nasihat itu.
    Cuma ada satu dua berkara yang anda tahu. Surat teguran, cadangan kepada pemimpin, elok kita lakukan dan mereka mengalu-ngalukan KETIKA MEREKA TERKINJA-KINJA mahu jadi pemimpin atau menang. Tetapi setelah mereka menang, surat teguran, cadangan, kritikan sudah tidak ada makna bagi mereka.
    Saya, untuk pengetahuan anda, pernah menulis kepada 14 pemimpin parti, memberi pandangan agar kita berhati-hati ketika mengeluar kenyataan AKHBAR. Jangan jadi bola tanggung.
    Anda tahu, tak seorang pun yang menjawab atau respon, kecuali Tuan Guru Nik Aziz. itu pun jawapan dari Setiausaha politiknya yang memberi alasan lain, bukan ingin mengambil peringatan.kerana itu kenyataan Pas sering menjadi bola tanggung kepada lawan.
    Anda lihat wawancara penuh dalam akhbar Mingguan. Apa jadi, esoknya kenyataan itu dihentam oleh mereka.
    Kedah, saya juga pernah mengirim kepada semua exco minta menerima pandangan, berfikir dan berunding dengan NGO-NGO. Dengan pandangan mereka. Kita bukan nak suruh ikut semua. Tapi apa yang berlaku? Tak sepucuk pun dijawab.
    Ini bukan gambaran sakit hati atau kecewa, tapi inilah yang berlaku dan menjadi lumrah apabila manusia sudah berjaya apa yang dimaksudnya.
    Seorang kawan saya memberitahu, dari sebuah persatuan kecil, dia menulis kepada Lim Guan Eng. Tiga hari suratnya dijawab oleh Guan Eng sendiri.
    Bayangkan.
    Dan sebebnarnya artikel saya ini, itulah inti patinya.
    Bolehkah anda, sebagai anak muda berkongsi tapi jangan membenci mereka.

    -salam; azizi abdullah

  1. Anonymous

    sdra CTKUN,

    Terima kasih. Yang saya dok pulun menulis ni pun (inilah yang saya mampu) bukan nak menilai, tapi nak bagi menantu tu kekal tahun pertama, tahun kedua tahun ketiga dan seterusnya. Kerana sayanglah ni. Kalau dah mula kelelong, macam maca tahun kedua. Orang dok tunggu tahun ke lima.
    -salam

  1. Anonymous

    Tn. Hj. Azizi,

    1. Pertamanya, saya amat berterima kasih kepada tuan kerana segera memberi maklum balas atas pandangan@tulisan saya terhadap tulisan tuan. Saya amat menyanjungi kesudian tuan itu.

    2. Untuk pengetahuan tuan, saya merupakan bekas pelajar ijazah pertama bidang Pengajian Media di sebuah universiti tempatan. Saya begitu teruja dan tertarik dengan kata dan usaha@pengalaman tuan (saya kutip langsung dari tulisan tuan) iaitu:
    "Saya, untuk pengetahuan anda, pernah menulis kepada 14 pemimpin parti, memberi pandangan agar kita berhati-hati ketika mengeluar kenyataan AKHBAR. Jangan jadi bola tanggung. Anda tahu, tak seorang pun yang menjawab atau respon, kecuali Tuan Guru Nik Aziz. itu pun jawapan dari Setiausaha politiknya yang memberi alasan lain, bukan ingin mengambil peringatan.kerana itu kenyataan Pas sering menjadi bola tanggung kepada lawan. Anda lihat wawancara penuh dalam akhbar Mingguan. Apa jadi, esoknya kenyataan itu dihentam oleh mereka.
    Kedah, saya juga pernah mengirim kepada semua exco minta menerima pandangan, berfikir dan berunding dengan NGO-NGO. Dengan pandangan mereka. Kita bukan nak suruh ikut semua. Tapi apa yang berlaku? Tak sepucuk pun dijawab.
    Ini bukan gambaran sakit hati atau kecewa, tapi inilah yang berlaku dan menjadi lumrah apabila manusia sudah berjaya apa yang dimaksudnya.
    Seorang kawan saya memberitahu, dari sebuah persatuan kecil, dia menulis kepada Lim Guan Eng. Tiga hari suratnya dijawab oleh Guan Eng sendiri. Bayangkan."

    - Sebagai pelajar yang mengikuti Pengajian Media, saya amat bersetuju dengan perihal memberi kenyataan akhbar kepada akhbar harian arus perdana itu (terutama Utusan Malaysia dan Berita Harian), termasuk kenyataan kepada media penyiaran (terutama TV3 dan RTM) itu. Pihak ini akan memanipulasi dengan sepenuh gigih kenyataan pemimpin-pemimpin pihak PR, hakikatnya rakyat kini masih terlalu ramai membaca dan menonton berita daripada pihak ini (Utusan Malaysia, Berita Harian, TV3 dan RTM) walaupun ramai yang menyatakan peranan saluran internet amat berkesan kini, tetapi harus ingat kita belum maju sepenuhnya. JANGAN SESEKALI KITA MEYERAHKAN TENGKUK KEPADA PIHAK INI... KERANA PIHAK INI PUNYAI 1000 STRATEGI UNTUK MERUNTUHKAN PR (terutama PAS dan PKR)!
    - Saya menyarankan agar pihak pemimpin-pemimpin utama PR usahlah terlalu 'melayan', maksud saya melayan berlebih-lebihan akan media-media ini. Berpada-pada dengan catatan kenyataan media melalui kertas yang diedarkan sahaja jika perlu... tidak perlu banyak berkata-kata kepada media ini kerana setiap patah kata akan dieksploitasi sehebat yang mungkin untuk menggambarkan (mencipta) kelemahan pihak PR.
    - Saya juga berharap agar teguran dan pandangan rakyat yang menyokong PR (bukannya berniat untuk jatuhkan PR tetapi untuk mengukuhkan PR daripada serangan 'menggila' BN/UMNO terutama melalui media perdana yang dikuasai mereka, teguran dan pandangan ini harus diambil berat.... seperti yang sudah tuan lakukan itu.
    - Pihak PR (terutama PAS dan PKR) jangan sesekali cuba 'ego dan tunjuk lagak' dengan kerap memberi kenyataan bersuara pada media-media ini (cukuplah dengan kenyataan media melalui edaran kertas sahaja) kerana seperti kata tuan akan MENJADI BOLA TANGGUNG kepada mereka untuk meranapkan PR (khasnya kepada PAS dan PKR).

    3. Tuan, maafkan saya jika ada tersalah anggap kepada tuan terutama dalam entri 'Mencari Roh PAS dalam PKR', namun tuan saya tetap berkeyakinan bahawa selagi UMNO masih begitu adanya iaitu 'ego besar - besar kepala - kepala angin - angin zalim - zalim berkata dan bertindak' termasuk kalangan pemimpinnya yang 'riak - berlagak - sombong - bermewah-mewah - besar kepala' terhadap orang Melayu yang di luar UMNO maka rakyat akan terus menolak UMNO tanpa ada pilihan lagi buat masa hadapan.

    Sekian tuan. Berbanyak terima kasih kerana tuan memberi maklum balas atas tulisan saya, juga maaf dari saya jika ada kata atau tulisan yang menyanggah sedikit terhadap tuan.

    Daripada:
    PEMUDA PKR-PAS (DEMI UNTUK MENUKAR PEMERINTAHAN BN/UMNO).

  1. Anonymous

    Pemuda PAS-PKR,
    Biasalah. Tulisan anda mengingatkan saya kepada wartawan Nik Khushairi, dulu Utusan, kemudian The Star,sekarang dah berkehenti. Tinggal di Kelantan. Dia pun sering memberi nasihat kepada salehuddin Ayub agar berhati-hati dengan kenyataan akhbar.
    Salam, jom kita ke Perak sertai PR kecil pula./
    azizi

  1. Anonymous

    apalah ngaji tinggi tp duk banggang.yng 50 thn rakyat menderita yang baru 1 thn lbih dah nak komplen. sama2 perbetullah.sebab tak ada bhgn periuk nasi.

  1. Abang Long

    Andainya semua pemimpin TAKUT kepada AZAB dari Allah. Maka aman negara. Rakyat merasa selesa.

    Antara (baca: antara) yang sering saya perhatikan. Bila ada jamuan MAKAN BERSAMA PEMIMPIN. HANYA Pemimpin tertinggi yang akan duduk semeja, makan, bersantai, berbual mesra dan sebagainya. Rakyat akan duduk berselerak dan berterabur. Dan ada rakyat yang datang dengan perut kosong (sebab menahan lapar kerana tidak makan akibat dari kemiskinan) hanya mendapat bee hoon sepiring dan ais sirap secawan. Sedangkan sewaktu pilihanraya, rakyat yang susah inilah yang panjat pokok dan tiang elektrik untuk menampal poster.

    Maaf Ya Ustaz. Lari tajuk.

  1. Anonymous

    Sdra Anonymous jam 11.47 PM, komen kedua terakhir,

    Kerana nak pertahan lebih daripada 50 tahunlah, maka kita perlu menegur dan membetuli.yang penting melihat sekarang, bukan nak tunggu 50 tahun lagi.jangan anggap apabila kita kritik, kerana tak dapat isi periok nasi. sdra di antara orang yang suka jadi pak turut.
    salam

  1. Anonymous

    Ada yang dilantik PAS didalam menerajui GLC Kedah tiada langsung mempunyai fikrah & tarbiyah PAS. Tidak mengambil sikap keterbukaan hati apabila menerima teguran. Sebaliknya begitu angkuh dan sombong apabila mengambil tindakan terhadap sesiapa yang dirasakan bertentangan. Kesalahan mereka disedari, tetapi dilindungi oleh PAS pimpinan.
    Dimanakah prinsip keadilan yang diperjuangkan selama ini? Ada dikalangan pimpinan PAS begitu taksub meletakkan kepercayaan keatas perlantikan pilihan, sehingga tidak mengkaji secara terperinci apa yang sebenarnya terjadi disebaliknya. Pantau-pantaulah.

  1. Anonymous

    Assalamualaikum,

    saya setuju juga dgn ulasan ustaz aziz. memang kalau di lihatkan, pemerintahan pas kedah agak lambat pick-up. lebih2 lagi dibawah pemerintahan ustaz azizan. bukan nak perkecilkan mb kedah, dia mesti mempunyai kelebihan dia tetapi mungkin itu tidak cukup dalam masa yang amat mencabar ini. mentaliti pas kedah harus bertukar kaedah dari kekampungan yang membuka minda dengan lebih luas. idea2 baru yang sebelum ini dipertengahkan ditolak buta2 oleh kepimpinan sehingga tidak ada orang lagi ingin mengemukakan idea baru. pada mereka "biaq pi lah kat dia nak buat macam mana pun". jika itu lah sikap yang diambil oleh pemimpin pas kedah maka lingkup la kerajaan negeri kedah tak lama lagi. saya berharap benar agar kedah akan bertukar arah, pertama sekali dengan melantik menteri besar baru sebelum terlambat. nampak sangat kelemahan ustaz azizan dalam menanggani skandal ahli exco menyimpan wanita tempoh hari. respon nya yang pertama agar dedahkan siapa orangnya tepat sekali tetapi komen nya yang perkara itu biasa dalam politik adalah tidak patut sekali sebab perkara itu tidak sepatutnya wujud dalam politik pas sama sekali. saya berharap benar kerajaan pas kedah akan membuka minda dan permodenkan cara pemerintahan dan bukan nya dengan cara top-down sebalik nya bottom-up.

    sekian wasallam.

  1. Anonymous

    6:39 PM, Pasal tulah kalau hangpa pi tegur ada penyelewengan salah guna kuasa dalam perlantikan dia, dia buat donno saja.. Biasala..dalam politik!
    Pening jugak kita memikio...Ilmu agama hebat.., mai tang akal..,musibat.

  1. Iris

    Saya setuju tarbiyah kena ada dalam parti2 terutama parti PKR. Kalau profesional ada contin. professional devpt. dalam parti politic kena ada contin.political development(CPD).
    Setakat ini memang kita benci dgn BN sehingga perasaan benci ini meluap2 menjadi sentimen yang menjadi tsunami GE12. Namun, sentimen tanpa diikuti dgn kefahaman dan dasar yg jelas akan hanya menyebabkan berulangnya sentimen 'mata lebam' Anwar Ibrahim sehingga akhirnya kita kalah semula pada GE2004.
    Bagi saya, usaha2 tarbiyah kena berterusan agar rakyat benar2 faham fikrah dan perjuangan Islam.

  1. Cucu Nenek Kebayan

    salam ....

    Saya hnya rakyat biasa yg mngkuti pkmbngan politik semasa, bkn politikus atau "pejuang bangsa" atau "pejuang agama" yg tegar dan penuh retorik kala berbicara ....

    Tapi kata2 tuan ada kebenaran yang nyata ... lebih2 lagi dalam kes yb nizar kat perak. Pas perlu kembali kepada fitrah pjungan mereka yg asal ...

    dan dari sudut pndgn saya, YB Azizan plu bbuat sesuatu sblum pkra yg "sama" berlaku kat kedah ...

    wassalam

    p/s: semoga islam dan bangsa melayu akan terus gagah dalam arus perdana yg bnyak memperlihatkan aksi "songsang" kehidupan ...

    Malaysia Boleh

  1. abghalim

    USTAZ

    Kita kena cari ROH ISLAM dalam MELAYU....
    Apa cerita di Taman Kenari..... ?
    Siapa kita bila RAja Melayu dicabar dan dihina?

  1. kontraktorwibawa.blogspot.com

    Kami tak tau apa akan jadi kat negara kita ni. Semenjak keputusan PRU 12 kuar, masih tak selesai lagi hal politik. Dari kaca TV sampai la ke surat khabar nyamuk, dari warung kopi pisang sesikat sampai la ke hotel mewah 5 bintang, dari pakcik nelayan sampai la ke Hang kebun. Cerita tadak lain, politik, politik, politik.

    Wahai pejuang Rakyat, Wahai Pejuang Bangsa, tolong la berhenti sejenak dan fikirkan sekejap masalah rakyat terbanyak. Kami sekarang ni berdepan dengan kesusahan akibat kos sara hidup yang meningkat di tambah pula kesan sub prima kejatuhan ekonomi global.

    Banyak kilang dah tutup, banyak premis dah lingkup, banyak kes pembuangan pekerja secara bersistematik, meningkatnya kadar pengangguran yang drastik lalu meningkatnya kadar jenayah secara automatik.

    Kini ramai rakyat bawahan yang kesusahan dan hidup penuh kesulitan. Harga getah jatuh. Harga sawit jatuh. Harga besi buruk pun jatuh. Nak berniaga, pelanggan ramai tapi ramai nak masuk akaun sebab tak berduit. Jadi kontraktor kecil, projek kerajaan turun, kroni yang pulun. Masa depan kami kabur. Masa depan anak-anak kami bercampur baur.

    Perut kami tak kan kenyang dengan politik. Anak-anak kami yang kelaparan tidak akan tido lena didendang pidato politik. Suara kami hanya akan kami terjemahkan di dalam Peti-peti Undi. Suara rakyat, suara keramat.

    Oleh itu wahai pejuang bangsa, wahai pejuang rakyat, berhentilah seketika dan ayuh duduk semeja demi kebajikan rakyat terbanyak. Makmurkan ekonomi negara,jangan biarkan rakyat hidup dalam kesusahan kerana "Kemiskinan akan membawa kepada keganasan dan kekufuran.

  1. Anonymous

    sdra kontraktor

    terima kasih. pandangan yang betul.

    saya dah kunjungi blog sdra. bagus.

    azizi abdullah

  1. Anonymous

    abanghalim,
    baguslah kalau cepat faham.
    saya kurang tahu di taman kenari, melainkan ada satu e mail yang dikirim.
    itu bukan kesedaran atau kritis tetapi anak muda perkauman.
    ustaz

  1. Anonymous

    Assalamu`laikum.

    Saya meminati karya-karya cikgu Azizi . Komen ini juga saya setuju tetapi saya tidak selesa ia diperbesarkan begini. Apa kata kalau teguran ini dibuat secara tertutup. Apakah pihak berkenaan terlalu ketegaq untuk mendengar sebarang teguran. Takkan kut... tapi tak tahulah, wallahu a'lam. Dok tengok dari jauh ja. tak pi dekat pun. Harap-harapnya tidak lah. `Ala kulli hal, kita kena sedaq bukan mudah nak mengemudi sebuah kapai yang penuh dengan macam-macam kelaku manusia. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul.