Mukadimah:
Pengalaman seorang penulis kreatif tidak sama dengan pengalaman penulis kreatif yang lain. Ia sangat berbeza. Namun tujuannya sama, iaitu melahirkan karya atau hasilnya.
Pengalaman bagi penulis tidak seperti pengalaman seorang ahli sukan.
Seorang ahli sukan akan terhenti apabila ia mencapai usia 40an dan pengalaman dari segi fizikal (dasar bersukan) ia tidak akan mampu berbuat demikian lagi, melainkan menjadi jurulatih. Jurulatih sekadar memberi petua atau teori tetapi tidak mampu melahirkan pengalamannya serentak dengan penggunaan fizikalnya.
Lain dari penulis. Semakin lama dan berusia, ia semakin matang walaupun ia tidak dapat berjalan atau hanya di atas kerusi roda.
Oleh yang demikian, saya memilih menjadi penulis, tidak menjadi ahli sukan. Memang sukan penting tetapi bagi saya sukan mesti berdasar kepada penyihatan badan, bukan pertandingan.
Fasa 1
Ketika usia belasan tahun (15 tahun) saya tertanya-tanya, macam mana nama seseorang boleh ada di dalam akhbar (apabila tulisannya tersiar, ada nama di bawahnya, dinamakan by line) kerana sebelum ini, bapa saya yang agak rajin membaca, sering membeli komik dan majallah, termasuk novel dan buku pengetahuan.
Akhirnya saya mengambil keputusan, melukis apa yang saya rasa minat, terutama komik kartun.
Kemudiannya saya cuba menulis hanya di kertas exercise book . Saya masih ingat saya menulis drama radio hanya dua muka. Kemudian menulis sajak, rencana dan cerpen. Namun selama tiga tahun tidak ada satu pun yang tersiar, walaupun duit stem terpaksa saya curi di dalam poket bapa.
Sekolah agama ketika itu, setiap minggu ada majlis bahas, pidato, baca syair dan lain-lain. Saya aktif dalam bidang ini. Jadi semua isi pidato, bahas, pantun saya karang sendiri. Saya di antara pelajar yang aktif dalam bidang ini.
Hasil dari perbahasan (suka menjadi pembangkang) telah melahirkan satu tulisan saya tentang baik buruk wanita bermain bola sepak dan tulisan itu saya kirim ke akhbar Warta Negara. Tersiar.
Mulai hari itu saya merasa satu dunia mengenali saya!
Saya mula menulis sajak. Sering menulis mengkritik siapa saja. Saya guna nama ‘Jamong’ ‘Qalam Adly’ ‘Ibnu Abdullah AL Haj’ dan lain-lain.
Mulai di saat itu, saya mula menjadi orang yang kuat membaca. Buku sering berada di tangan. Buku-buku yang dibeli oleh bapa saya, saya juga membacanya seperti majallah Qalam, Mustika, Aneka Warna, Warta Johor, Dian, Pengasuh Kelantan. Jika novel seperti Ibu Rukambol, Merantau ke Deli, Di Bawah Lindungan Kaabah, Tenggelamnya Kapal Vanderwick di samping Utusan Melayu dan Utusan Kanak-kanak.
Akhirnya tahun 63 barulah sebuah cerpen saya tersiar di dalam akhbar Warta Mingguan bertajuk Sisa. Pecahlah tembok bagi seorang penulis.
Fasa ke 2
Saya bergelut dan merengkuh dengan penuh kuderat dan tenaga. Namun saya tidak tahu tata bahasa, sendi nama, orang pertama, orang kedua dan berbagai ilmu bahasa. Malah saya tidak tahu apa fungsi ‘kan’ ‘meng’ atau ‘pun’ dan saya masih tidak tahu membeza fungsi ‘bila’ ‘apabila’ ‘pada’ ‘kepada.’ Saya menulis ikut sedap apa yang bergelora di dalam dada dan menurunkan ‘cakap hati’ di kertas.
Saya belajar bahasa melalui apa yang saya baca. Jika ada perkataan yang sedap, saya akan tanda dengan gurisan pen, dakwat atau saya garis-garis supaya nampak jelas. Bahasa itu saya akan guna dalam tulisan saya.
Saya tidak pernah belajar apa itu plot sebuah cerita. Apa itu tema, apa itu flash back, apa itu for shadow, apa itu naratif, apa itu watak pipih, bulat. Protoganis, anti protoganis. Pendek kata teori menulis cerita saya tidak tahu.
Saya tidak pernah belajar menulis karangan bermula dari pembukaan, tengah, akhir.
Saya menulis apa yang saya rasa nak tulis. Semuanya menjadi saya tidak sedar kesalahan saya kerana ketika itu sehingga sekarang, penuilisan sastera tidak pernah dikritik soal tata bahasa, nahu dan struktur. Ia hanya menjadi pembetulan oleh pengarang.
Kerana prolifik saya, satu masa Ketua Pengarang akhbar Utusan Melayu Datuk Melan Abdullah jemput saya ke KL. Saya temuinya tapi saya dianggap tidak layak kerana saya selekeh.
Fasa ke 3
Saya mula berjinak-jinak dengan bengkel, seminar sastera. Beberapa kertas kerja dari penulis terkenal dan ceramah mereka saya ikuti. Akhirnya satu bengkel besar saya dijemput, iaitu Bengkel Penulis yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur di Teluk Kemang tahun 1971 (?)
Bagaimana pun setiap kursus dan bengkel, kami tidak pernah diajar tentang tata bahasa kerana bagi penulis kreatif, mereka bebas menggunakan apa saja tata bahasa.
Fasa k 4
Sebenarnya sejak tahun 65 lah saya sudah mula merengkuh kerja menulis ini walaupun tidak ada sebarang kemudahan. Saya tidak ada taip writer. Saya cuma pinjam (kepunyaan biras saya Hamid Mohamad, sekarang Tun, Bekas Ketua Hakim Negara)
Meja cuma duduk di atas pelenggar depan tangga dan bangku papan bulat. Lampu dua pelita minyak tanah.
Setelah bekerja barulah saya dapat membeli taip writer Olivity. Kemudian taip elektrik dan taip writer ini sering bertukar-tukar.
Saya menulis ketika rangsangan mendesak, ketika keradangan memuncak. Tidak kira waktu, kecuali waktu mengajar. Saya berjaga lewat malam kerana sering minum Livita.
Fasa ke 5
Ketika mula hendak menulis novel pertama Garis Lintang Anak Haram, saya membaca dua buku. Pertama Agama Terbesar Di Dunia, kedua Agama Kristian dalam majallah terbitan Singapura. Saya membuat perbandingan tentang ajaran agama ini.
Kemudian saya menulis novel Sami Mekong setelah saya membaca buku Budha, seterlah saya melihat amalan Budha di Wat-wat.
Ternyata kerja menulis bukan kerja main-main. Pada pandangan mata orang, ia satu hobi dan gila tetapi bagi penulis ia satu tuntutan yang memerlukan kesungguhan dari segi: mendapat ilmu, tenaga dan idea.
Bagaimana pun pada peringkat ini saya lebih kepada melahirkan kegeraman, ketidak puasan sesuatu perkara, resah jiwa. Kerana itu saya hanya menulis mengikut perasaan tanpa membanyakan kajian atau bersifat ilmu.
Fasa ke 6
Oleh kerana sering mendapat tunjuk ajar dari penulis besar, membaca teori dan tanggung jawab penulis, kini menulis bagi saya satu tanggung jawab dan mesti bertanggung jawab.
Saya mengasuh diri sendiri menjadi orang PEKA, saya asuh menjadi perasaan saya SENSITIF dan saya ajak fikiran saya menjadi orang yang sensitiviti.
Saya tidak akan menulis sebelum saya berfikir terlebih dahulu. Saya tidak menulis jika saya tidak mendapat maklumat yang kuat (sentuhan dan desakan dari fakta atau bahan) dan saya akan berazam dengan sungguh-sungguh.
Contoh:
Novel Sangeetha. (Terbitan DBP tahun 2007-Anugerah MASTERA) bukan saja dari pengalaman tetapi hasil penyelidikan juga dan pengorbanan masa tanpa had. Pengalaman orang tua melalui perasaan tua dan melihat dengan mata kepala tabiat, kasih sayang orang tua membuat saya pertemukan watak tua dalam Sangeetha, iaitu Derus dan Sangeetha.
Pengalaman bermain gambus sedikit sebanyak, saya curahkan dengan tokok tambah penyelidikan dan usaha mencari pengalaman bagaimana orang bermain tabla, membuat saya ke sana sini, termasuk ke Pasir Gudang Johor.
Pengalaman dulu mencari makna dan bahasa, perkataan yang indah dan kuat, membuat saya sering membaca beberapa bab pendahuluan sesebuah novel apabila saya hendak memulakan bab-bab baru ketika menulis Sangeetha.
Pengalaman betapa besarnya faedah membaca kamus dan kosakata, menjadikan saya menyediakan empat kamus, pribahasa, kosakata bagi memperkuatkan setiap ayat.
Dan pengalaman akhir ialah mengorbankan masa yang panjang, mengenepikan kepentingan rumah tangga, tanggung jawab terhadap isteri selepas mendapat kerelaan dari mereka.
Saya menghabiskan malam yang panjang, menyahkan mimpi indah dalam tidur di bilik, di atas tilam empuk. Saya pisahkan kehidupan ini dengan masyarakat ketika menulis.
Inilah pengalaman secara umum bagi seorang penulis, khususnya ketika menghasilkan novel.
Kesimpulan:
Bagi mereka yang ingin menjadi penulis, anda haruslah ingat, berdirinya saya di hadapan anda, atau apabila anda membaca karya Sasterawan Negara dan penulis besar yang lain, anda jangan ingat mereka menulis tahun lalu atau mereka baru menjadi penulis dalam masa setahun.
Seperti saya, mereka juga melalui jalan-jalan liku yang sukar, perit dan mencabar. Ia tidaklah sesusah seorang petani menuai padi atau nelayan menangkap ikan, tetapi ia mungkin lebih dari seorang perempuan mengandung yang akan melahirkan anak.
Ada beberapa elimen yang sangat penting yang perlu ada kepada penulis. Ia tidak seperti seorang kerani atau seorang pemain bola sepak.
Di antara elimen itu ialah:
- Sihat tubuh badan
- Akal yang sihat
- Perasaan yang tenteram
- Mampu menyimpan pengalaman masa lalu.
- Masa yang tidak dijadual.
- Kesabaran yang tinggi
- Penambahan ilmu dari masa kesemasa
- Kepekaan, sensitiviti yang tajam
- Memiliki imajinasi (daya bayang) yang kuat.
- Dan lain-lain.
Sekian.
azizi hj abdullah
boleh dihubungi:
tukya_azizi1426@yahoo.com.my
http://aziziabdullah.blogspot.com
__________________________________________________________
* Wacana Budaya anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara- Majlis Daerah Lenggong-Anggota Seni prihatin Ulu Perak, pada 31 Januari 2009 di Rumah Rehat Lenggong Perak.
10 comments:
yakinlah dengan rezeki allah .. kerana semua makhluk yang terdapat di atas muka bumi ini .. semuanya allah yang menurunkan rezeki .. sekiranya allah tidak berkehandak rezeki pada seseorang itu .. maka tiada rezeki untuknya .. dan barang siapa yang allah kehendakkan rezeki padanya .. tiada siapa yang mampu menghalang ..
jangan sesekali kita berpegang dengan apa yang kita miliki hari ini .. kerana semua itu adalah pemberian dari allah .. :::
Pokcu,
Saya kurang faham komen ini.
Boleh jelaskan?
azizi
Ustaz,
Kan kita cuma berusaha,yang menentu segalanya ialah Allah.
wassalam.
sdra nginap
lma tak jumpa. apa macam banggol derdap.
betul, kita cuma berusaha tapi belum tentu berjaya. bagaimana pun yang berjaya itu tentunya berusaha.
azizi
Salam,
Saya telah membaca Sangeeta dan saya bersetuju bahawa penulis dan penulisannya ialah tugas yang bukan ringan untuk dilaksanakan. Lihatlah penamat novel ini suati yang tak dijangkakan saya ketika membacanya. Syabas Tukya..
dari saya,
Pengerusi Bicara Karya Sangeeta Perlis 2008
Masa saya belasan tahun dahulu pernah juga bercita2 menjadi seorang penulis dan selalu mendengar drama di radio dan membaca cerpen & novel2.Pernah juga menghasilkan karya2 tapi tidak pernah disiarkan. Semasa berusia 20-an, dua buah sajak ada juga disiarkan di Harakah. Tapi itu semua tidak memotivasikan saya. Sekarang di usia 43 tahun, agak2 masih belum terlewatkah saya memula langkah pertama dalam bidang ini?
pokmudo
menjadi penulis bukan seperti masuk insuran, 55 tahun dah tak boleh.
tulislah, ramaikan dunia ini dengan fikiran dan pandangan.
saya tunggu dan kita tunggu.
azizi
salam,menarik sungguh pengalaman tuan.Saya ni masih di fasa pertama...
salam cikgu..
saya telah email cikgu jawapan mengenai tempahan novel zikir rindu dan kuras2 kreatif..
sekiranya cikgu terima email saya, harap dapat memberitahu saya. Terima kasih.
acenico7@yahoo.com
Post a Comment