Catatan 25 April 2010 Di Ulu Selangor

Posted by Tukya Labels:

Berkampung di Kuala Kubu Baru, menziarahi Batangkali, meninjau ke Kelompang, terkejar-kejar ke Felda Gedangsa dan lain-lain, terlajak ke Ulu Yam untuk mengikuti perkembangan pilihanraya Ulu Selangor sangat memenatkan.

Masjid Kuala Kubu Baru temuak air dari tangki najis. Tandas terpaksa beratur dan bandan sudah jadi kambing hapak.



Mereka ini tidak mendapat apa-apa pun upah, tapi bersedia berkerja.

Tiba-tiba sekitar 9 malam 25 April 2010 sudah dapat tahu PKR kalah. Ketika itu baru terdengar berdengung - ngiung siren menjerit menghantar menteri ke tempat pengisytiharan calon yang menang.

Tapi seronok. Bersama puak pembangkang dalam pilihanraya kecil memang seronok, walaupun berak tak ketahuan hala dan keadaan serba tidak selesa.

Ketika mengamin bacaan Fatihah Imam Masjid Kuala Kubu Baru setiap maghrib dan Isya tertanya-tanya juga hati, adakah sekian ramai yang ‘mengaminkan’ bacaan Fatihah itu pihak pembangkang sahaja? Jawabnya tidak. Pihak Barisan sendiri pun ada. Tapi bagaimana mereka mengaminkan Fatihah? Demikian jahatnya hati berbisik.


Mereka tidak tahu apapun apa yang mereka pegang.

Ternyata politik memberi berbagai tafsiran, termasuk dalam memahami agama. Tapi yang pasti ialah betapa ramai yang memahami politik tidak memahami tuntutan agama.

Saya percaya kemenangan BN dengan majoriti 1725 berbanding tahun 2008 pihak PR hanya mendapat 128, ramai dari kalangan Umno (bukan MIC atau MCA) sangat mengembirakan walaupun gembira itu bagi mereka tidak tahu apa maknanya dan gembira itu sampai ke mana. Yang pasti Umno bergembira kerana Kamal menang, kerana Kamal dari MIC itu komponen Barisan.

Saya sendiri yang termangu-mangu di celah-celah ribuan petugas dan orang di Kuala Kubu Baru termangu-mangu, apakah sebenarnya yang mengembirakan mereka (Umno?)

Rupa-rupanya yang mengembirakan mereka, tidak ada apa-apa selain dari calon Kamal menang kerana kerja berbaloi dengan apa yang mereka kerjakan di samping menunaikan perentah yang menabur wang.


Sudah berlalu dan orang tua ini tidak tahu untuk apa turun mengundi.

Lebih dari itu mereka tidak merasa ada apa-apa nikmat dan boleh berbangga.

Saya juga masih terfikir sekarang, apakah pengundi Melayu seramai 24,997 yang memangkah Kamal sehingga menang, sama dengan pengundi Melayu di dalam 23,272 yang memihak kepada Zaid?

Begitu juga, apakah Melayu yang ada dalam angka 23,177 di tahun 2008 yang lalu yang memihak kepada Allahyarham Dr. Zainal Abidin, sama dengan Melayu yang ada dalam 22,979 yang memihak kepada G. Palanivel?

Yang sangat mengejutkan ialah kaum Cina yang memberi sokongan 100% kepada PKR. Barangkali bukan saja saya yang tersentak, tetapi pengundi Melayu yang menyokong Kamal juga tersentak, terutama pengundi Melayu di felda-felda.

Bagaimanapun ada jawapan yang mungkin bukan jawapan bersifat cerdik pandai atau penganalisis politik. Hanya sanya itulah gambaran jauh dekat, tinggi rendah, mentaliti pengundi Melayu. Itulah sahaja sukatan yang mampu diukur oleh orang Melayu yang dianggap layak bertateh ke saluran 1,2.

“Islam apa minum arak?” itulah mentaliti orang Melayu, terutama perempuan-perempuan di pihak Barisan Nasional, sambil menjulang gambar calon India (MIC) untuk menarik sokongan pengundi yang hendak masuk ke perkarangan mengundi.


Yang di pandang bukan orang tapi masa depan.

Tapi saya tidak pula mendengar itu di kawasan Felda. Di sana terdengar ucapan rasa syukur kerana penantian sekian lama, kini sudah terletak di tapak tangan, selain menunggu bankdraf RM50,000.

Jadi apa yang digusarkan apabila BN dapat merampas semula dari PKR?

Tapi apapun yang sangat jelas betapa orang Melayu masih dalam keadaan mengeliat membaca nasib bangsanya dan masih menunggu sesebuah janji. Kelemahan inilah yang digunakan oleh sesiapa saja untuk mengekalkan kuasa. Hal ini akan terjadi juga kepada PR jika PR memerintah sekalipun sekiranya sikap dan cara berfikir orang Melayu tidak berubah dan mahu diubah oleh pemimpin.

Golongan orang Melayu seperti di Felda, atau pekebun kecil, penoreh, peniaga kecil sebenarnya takut kepada kehidupan yang mereka alami sekarang dan kesenangan, masa depan bagi mereka berada kepada orang yang berkuasa.

Saya tidak berhasrat tidak menghormati kemenangan BN. Tetapi tentu sekali sedih kerana orang Melayu mengambil sikap ‘sedar’ dalam keadaan terdesak dan memiliki kesedaran dalam keadaan sedang tetapi akan ‘berpada-pada’ ketika ia digula-gula.

Kenapa bangsa Cina tidak begitu? Saya melihat ini kerana tanggung jawab pemimpin kedua-dua bangsa ini berlainan. Peranan dan tanggung jawab pemimpin Melayu terhadap bangsanya hanyalah tanggung jawab mengekalkan kuasa, bukan mencerdikan bangsa. Pintu kekritisan, pintu berfikir, malah apa lagi pintu bertindak tidak pernah dibuka. Jika hendak terbuka, ia cepat-cepat dipalam.

Ulu Selangor hanya pada nama sebagai kawasan terpencil dan ketinggalan. Sebenarnya tidak. Tetapi apabila beberapa ribu orang Melayu yang tinggal di daerah yang dikatakan ‘ulu’ ini, di sinilah kesempatan diambil agar orang Melayu tidak bangkit. Orang Melayu akan di suruh diam-diam dan jika hendak bangkit juga, satu sogokan mestilah diberi.

Ternyata hal ini menjadi. Ternyata orang Melayu terima. Maka jika ini menjadi permulaan analisis, elok sekali hal ini dibetulkan.

Malam terakhir penerangan PKR di Mini Stadium sangat baik. Prenuh dengan huraian fakta dan hujah. Tetapi fakta dan hujah yang baik tidak semestinya diterima dengan baik. Kegagalan PKR dan juga Pas ialah tidak membaca dari peristiwa yang lalu, 50 ribu yang hadir bukan pengundi. Jadi untuk apa mereka menyemak kawasan ceramah sahaja?


Yang dipegang ini ialah iklan ayam sembelih.

Ketika pulang saya berhujah dengan kawan-kawan. Ceramah memang baik tapi kita gagal memberi rakyat faham apa itu servis caj, sebab pembeli yang membeli tidak mengambil nilai atau harga barang tetapi membeli dengan kuantiti barang. Kenaikan minyak dulu, rakyat bukan membeli minyak menggunakan liter, tetapi menggunakan ringgit. Dia membeli RM10, RM5 sedangkan dia tidak tahu nilai RM10 atau RM5 itu banyak mana?

“Islam apa minum arak!” saya tetap ingat laungan wanita Umno di peti undi Kelompang. Dan waktu yang sama saya akan tetap ingat, bagaimana wanita Umno itu memeluk poster Kamal, calon MIC yang seolah-olah kalau tak Islam, apapun diizinkan.

Terima Kasih Hospital Bukit Mertajam

Posted by Tukya Labels:


Di Wad 5 Hospital Bukit Mertajam 18 April 2010


Ahad 18 April 2010: 2 pagi: Tak semena-mena perut jadi mengah dan segah selepas makan sup ekur. Rasa macam nak mati kerana jantung malas berdegup. Pukul tiga pagi minta anak hantar ke hospital.

“Hospital mana?” Tanya anak.

“Hantar ke Bukit Mertajam.”

“Kan hospital itu jauh, yang dekat ada, kenapa?”

“Hantar saja yang aku suruh,” saya jerkah dalam keadaan sakit macam nak tercabut nyawa.

Alhamdulilah, saya amat tidak sangka begitu baik layanan kakikatangan bahagian kecemasan di dinihari, kira-kira jam 3 pagi.

Saya menulis ini bukan kerana saya dilayani begitu rupa tapi saya dapat melihat bagaimana sikap dan budi bahasa, sikap bertanggung jawab atas nama pekerja hospital dan khidmat yang sangat tinggi nilai pahalanya. Bersama saya seorang gadis Vietnam juga sakit sampai kerekot badannya. Alhamdulillah, saya dan gadis itu tidak di minta berlama-lamaan, tidak dibiar di atas kerusi sorong dan tidak bersikap tidak peduli.

Mereka berusaha sebagai tanggung jawab walaupun mereka terpaksa menahan menguap. Doktor yang saya lihat keletihan, juga memeriksa dan minta bersabar.

Saya di x-ray selepas itu , darah diambil. Saya tidak dibiarkan sakit lega sendiri. Saya diberi makan ubat dan akhirnya tanpa disangka dalam keadaan sedikit lemah, saya diminta masuk wad.

Di Wad 5 kelas dua layanan jururawat begitu mesra, baik. Ini bukan saja kepada saya tetapi juga kepada pesakit lain.

Saya tertanya-tanya, mengapa mereka mampu bersikap seperti ini. Mengapa mereka sanggup berkorban menyorong kerusi roda walaupun saya ditemani anak dan kawan? Mengapa doktor memerintah mempastikan perjalanan darah dan jantung berulang kali? Mengapa saya dipelawa duduk di wad tanpa saya merayu, sedangkan pengamalan saya yang lalu di sebuah hospital, saya yang tidak boleh berjalan tak dibenarkan saya masuk wad.

Terima kasih Hospital Bukit Mertajam! Terima kasih kepada semua jururawat, doktor.

Selepas keluar, seorang kawan ziarah di rumah. Kawan saya hairan saya ke Hospital Bukit Metajam. Saya beritahu, saya yang pilih.

Kawan saya tiba-tiba bercerita, emak saudaranya, satu pagi dirempuh motosikal selepas balik solat subuh di surau. Motosikal itu langgar lari. Kebetulan lalu pula dua orang India. Merekalah yang menolong. Ambulan dipanggil dan di bawa ke hospital (bukan Bukit Mertajam) malangnya mangsa langgar itu tidak dirawat kerana kononnya tidak ada pakar (mungkin doktor juga) Mangsa itu, menurut cerita kawan saya di bawa ke Hospital Seberang Jaya. Malangnya entah apa yang tak kena atau tidak ada kepakaran (menurutnya di bahagian kepala berdarah) mangsa itu di hantar balik ke hospital mula tadi. Tapi ajalnya sudah sampai.Di pertengahan jalan mangsa itu meninggal dunia dalam ambulan.

Kawan saya tertanya-tanya kenapa tidak dihantar ke Hospital Pulau Pinang walhal Seberang Jaya dengan Pulau Pinang tujuh kali penat juara pecut lari sahaja.

Begitulah…adanya. Rupa-rupanya ajal manusia ini ada juga dalam ambulan.

*** *** ***

Untuk Abi Qalam,

Ketika di Wad terbacalah buku yang baru dibeli pada Pesta Buku 2010 di PWTC pada 27 Mac yang lalu, Ensiklopedi Hikmah, karya Abdul Hakim Fathani. Sangat tertarik dengan artikel AHSANU TAQWIM.

Sudah lama baca buku dan banyak juga, tapi inilah kali pertama saya temui huraian yang sangat bagus.

Manusia dicipta dengan standar kelayakan, dengan anggota yang lengkap, sehat jasmani dan rohani. Tapi rupanya yang dimaksud Ahsanu Taqwim bukan kaitan dengan persoalan estetika erotis: cantik, tanpan dan kesegakan.

Itu bahan mentah, katanya.

Jadi mengapa kita kadangkala temui anak-anak yang lahir tidak normal, tidak selazimnya; cacat, oku.

Siapa yang salah?

Masyaallah, huraiannya sangat bijaksana. Baru saya tahu, Abi Qalam, apa maksud Firman Allah yang menyebut AKU dan pada tempat lain menyembut KAMI.

Hahhh, ceteknya pengetahuan saya. Saya syor kepada Puan Juliana yang kuat baca, dapatkan buku setebal 800 muka lebih itu..

Jangan Bunuh Kami!

Posted by Tukya Labels:



Proses Kelahiran Manusia



Seramai 2 juta kami diseluruh dunia di gugurkan setiap tahun. 750 ribu dilakukan oleh remaja yang belum berkahwin dan 6 daripada 10 gadis sudah tidak ada perawan lagi.

Kamilah, janin!!

Apa salahnya dua juta kami ini? Kami tidak berdosa dan tidak punya apa-apa dosa tetapi kamilah generasi alam rahim yang sangat malang, si janin.

Seorang cendiakwan Pilipina, Kardinal Sin berkata; “Tempat yang paling berbahaya di dunia adalah dalam rahim.”

Memang benar pun. Akan kami cerita akibat kebiadaban ini. Yang demikian kekejaman apakah yang dilakukan oleh engkau dan bolehkah kami panggil ibu, yang memiliki rahim yang bererti penyayang?

Barulah kami tahu, dunia bukan saja diporakperanda oleh orang-orang politik, kekejaman jenayah dan bencana alam tetapi juga oleh engkau-engkau yang mengakhiri sebuah kehidupan kami.

Maaf, walaupun risikonya dari kebajingan dan kebinatangan sang lelaki tetapi oleh kerana engkau memiliki rahim janin kami maka yang bertanggung jawab mengakhiri hayat kami tentulah engkau-engkau.

Janganlah bunuh kami, wahai... yang sudah engkau lakukan berabad lamanya.


Proses Kelahiran Manusia


Kami mau menyebut bahawa engkau adalah pengguguran, yang melupus dan melekangkan kami atas nama tiket ini. Engkaulah wahai pengguguran yang paling celaka. Engkaulah yang menghancur kehidupan kejaninan kami yang bakal menjadi umat manusia, yang bakal mewarisi khalifah-khalifah untuk mewarisi sejarah dunia.

Tadi dikatakan satu anggaran seramai 2 juta kami digugurkan, menafikan hak untuk hidup. Bagaimana pun hasil kajian Allan Guttmacher Institute melaporkan setiap tahun sekitar 55 juta kami digugurkan. Ini bererti setiap hari seramai 150,658 warga kami digugurkan, atau setiap minit seramai 105 nyawa diragut sewaktu kami masih dalam rahim.

Kenapa? Apa salah kami?


Proses Kelahiran Manusia


“Bacalah dengan nama TuhanMu Yang Menciptakan.
Dia telah mencipta manusia dari segumpal darah.
Bacalah, dan TuhanMulah Yang Maha Pemurah,
Yang mengajar manusia dengan perantaraan kalam
Dia yang mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya

-Al-Alaq 1-5.

Huduhkah kami? Hinakah kami? Aibkah kami? Masakan boleh dihukum huduh kalau kami masih setitik mani, segumpal darah beku dan kami yang bernama janin?

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.” –At-Tin 4

Tolong hentikan perbuatan ini. Tolong! Baik dalam bentuk sains atau pun perbomohan tradisional. Kami adalah generasi janin. Jangan nafikan hak kami untuk hidup.

Jangan! Janganlah, baik dalam bentuk aborsi alami mahupun aborsi buatan. Jangan, jangan masukkan kami dalam abortus provocatus criminalis.

Baik yang berstatus ibu atau belum berstatus ibu... jangan! Janganlah menghentikan kelangsungan kandungan. Kami ada di dalamnya.

Ini masalah komplek, perkara kekejaman dan tidak berperikemanusiaan. Ini mencakupi nilai agama, moral, etika kemanusiaan. Ini masalah biologi.

Seperti surah Al-Alaq di atas, para pakar biologi telah lama memberitahu bila dan di mana kehidupan kami bermula. Ilmu moden sudah sampai kepada satu tahap bahawa kehidupan manusiawi bermula pada saat kamilah: janin, titik yang akan melahirkan nasab dan generasi. Ini fakta ilmiah, bukan omongan, bukan falsafah, bukan spekulasi, bukan sebuah teori.

Ulangilah baca Al-Alaq.


Proses Kelahiran Manusia


Maukah kami dibunuh juga atas nama janin, atas nama setitik mani, atas nama segumpal darah? Jangan... jangan!

Sejak dulu ada satu kelompok para doktor terkemuka dalam laporan ilmiah mereka, ‘amicus curiae’ kepada Dewan Berdaulat Amerika, menunjukkan satu silkus pembentukan peribadi kami terjadi di saat setitik mani. Ilmu moden yang merangkumi embriologi, fetologi, genetika, perinatologi dan biologi membuktikan terbentuknya syahsiah seorang manusia sudah bermula dari dalam rahim lagi.

Kamilah itu!


Proses Kelahiran Manusia


Ia bukan saja ilmiah tapi ada faktanya. Seketul janin di saat memasuki minggu ketujuh kami sudah menunjukan bentuk dan juzuk-juzuk organ tubuh orang dewasa. Struktur otak kami pun menyerupai struktur dewasa yang mampu mengirimkan rangsangan untuk penyelarasan fungsi organ lain. Jantung kami mula berdenyut. Perut sudah mencairi pencernaan. Hati kami mewujudkan sel-sel darah dan ginjal kami mulai berfungsi menapis asam urin dari darah kami, janin. Otot dan lengan kami mampu bergerak.

Mahu juga membunuh kami? Apa dosa kami. Bukankah yang berdosa engkau?


Proses Kelahiran Manusia


Sudah lama dunia ditempek dengan sipongangnya bahawa sains perubatan telah berhasil mengembangkan teknologi kedoktoran moden. Mereka mampu membuktikan kehidupan kami dimulai pada saat-saat putik pembuahan. Jangan terkejut. Engkau sendiri yang makan buah asam, asalnya sebiji putik, hasil dari debunga dan pergelutan sperma.

Maka teklonogi ultrasound telah menjadi peralatan perubatan yang upaya menggambarkan keadaan dalam rahim, sarang kepompong kamilah. Teknologi inilah yang mampu manusia, termasuk engkau dapat melihat kami dalam rahim engkau. Aduh, alangkah bahagianya janin berada dalam rahim, satu-satunya nama Tuhan Yang Maha Penyayang.

Di sana engkau dapat melihat kami menghela nafas, menggerak-gerak tubuh, menendang menerjah lembut kulit engkau yang memborol. Engkau akan dapat melihat kami kencing. Transvaginal sonography telah menampakan kepada engkau jantung kami yang berdenyut pada usia kami 3 minggu sahaja.

Tidak kasihankah engkau? Bukankah kami dalam keampunan dan kerahiman rahim?

-------------------------------------
-Kolum Tepi Harakah 16-18 April 2010 Bil 1531

WOI, ISLAM ITU TINGGI MANA?

Posted by Tukya Labels:



Dalam tahun 60an yang lampau, ketika saya sedang bersyarah penuh semangat di dewan Sekolah Dairatul Maarif Al Wataniah Kepala Batas Seberang Perai, (sekolah kepunyaan Allah Yarham Datuk Hj Ahmad Badawi, ayahanda kepada Mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi) atas tajuk “Islam itu tinggi” (Islam, Yukla Wala Yukla Alaih) Saya menghurai secara budak-budak hingus bahawa Islam itu tinggi, tiada ada yang lebih tinggi darinya.

Hampir lima ratus orang pelajar yang mendengar. Begitu setiap Khamis, jam 9 pagi kami di pilih membuat syarahan dengan tajuk tertentu, selama setengah jam mesti berpidato.

Mudir Dairatul Maarif, Tuan Guru Hj. Ahmad Badawi dan guru-guru lain sedang duduk dalam bilik untuk mendengar kami pidato. Tuan Guru Hj. Ahmad Badawi bermisai melentang, mata terbeliak. Cukup garang. Kami semua takut. Tapi sebenarnya dia guru yang baik, berhati lembut.

Entah apa salah saya, sama ada bacaan atau tajiwd saya atau tafsir saya atau makhraj saya atau saya mirip kepada semangat Pas, tiba-tiba Tuan Guru Hj Ahmad Badawi keluar dari bilik lalu merampas pembesar suara yang saya pegang. Semua pelajar tersentot, terkejut beruk. Saya sendiri naik berpeluh. Mampueh saya.

“Islam itu tinggi mana,haaa? Tinggi pokok nyok (kelapa) ke? Tinggi mana?” jerkah Tuan Guru Hj Ahmad Badawi. Urat di bawah lehernya timbul.

Saya tergamam. Kalau tahi nak keluar tentu tinggal secamca. Kecut habis.

Maka Tuan Guru Hj Ahmad Badawi bersyarah dengan lantang, bersemangat menghurai ayat yang saja baca. Yang saya masih ingat ialah kata-katanya berulang kali; siasah syariyah. Assiasi…maqasid, Umno tidak Pas pun tidak.

Maka sejak hari itu saya sangat yakin bahawa Islam itu tinggi. Tidak ada yang lebih tinggi darinya. Menurut Tuan Guru saya ini, dalam semua bidang, tidak ada yang mampu mengatasinya, apa lagi tentang hukum hakam, malah bahasa Al Qur`an itu sendiri tiada siapa yang boleh tanding.

Tapi saya hairan pula, kalau sudah Islam itu tinggi, undang-undang itu tinggi, kenapa Tuan Guru saya ini tidak masuk Pas ketika itu, sebaliknya dia masuk Umno dan berkedudukan pula?

Lama saya pendam tentang Islam itu tinggi dan tidak pernah berubah sehinggalah menjelang bulan April 2010 ini tiba-tiba saya diubah (di...bukan ber...) dan mengajar pengertian bahawa sebenarnya Islam itu tidaklah tinggi.

Saya teringat jerkahan Tuan Guru saya; “Tinggi? Tinggi mana? Tinggi pokok nyok ke?”

Jika Tuan Guru saya itu masih hidup kelmarin, akan saya terkam ke rumahnya dan saya akan jawab jerkahannya; “Memang benar Islam itu tidak tinggi pun, Tuan Guru! Sekarang sudah jelas, Islam tidak tinggi pun!”

Memang pun. Yang mendakwa Islam itu tinggi bukan Islam saja tetapi umatnya juga.

Hari ini apabila ada sesiapa saja yang mengatakan Islam itu ‘Yukla’ atau tertinggi, itu adalah pembohong.

Takkan kata begini jadi kafir? Saya tak kata Islam itu rendah tapi umat Islam yang pembohong itulah kata Islam itu rendah, terumata umat Melayu yang terdiri dari fatawa fatawi, mutawa mutawi, ulama ulami yang duduk di sebelah sana bukan di sini.

Tinggi apanya kalau sejak dulu Islam disektor-sektor, di juzuk-juzuk dengan jabatan dan pejabat. Tinggi apanya kalau bertahun-tahun lamanya, ulama bertukar ganti, tapi syaraknya hanya ada dalam kitab? Tinggi apanya kalau hukum dijatuhkan gedebuk macam nangka masak, tiba-tiba bila diambil, buah itu busuk meneneh. Tinggi apakah dalam masalah hukum, mahkamah yang Islam kena tunduk koro kepada mahkamah bukan Islam? Tinggi apanya kalau junjung Qur`an tapi tak junjung ajarannya. Tinggi apanya kalau undang-undang tertinggi hendak dijatuhkan ke atas umat Islam, dikelencong ke undang-undang; permudah, ehsan, kasihan, pindaan dengan alasan yang dikeluarkan oleh pemetua-pemetua setelah hukuman itu dihempap ke atas pundak mereka.

Tinggi apanya kalau sudah ditetapkan oleh mahkamah syariah yang boleh gagah jalan kuasa Islam, tiba-tiba diubah hukum hanya dengan kuasa istilah. Dan yang lebih saya meraung, kalau boleh mahu kerobek gali kubur Tuan Guru hendak memberi tahu; Ustaz, tinggi apakah namanya kalau hukum lima kilo tiba-tiba diubah jadi setengah kilo. Ustaz, tinggi apakah namanya, undang-undang dan hukum yang dipersetujui, yang dibahas oleh semua ulama dari segenap ayat dan sunah, dari segenap kitab fekah dan tafsir dan hadis dan ijmak tiba-tiba disentot dan dicabut bulu pahatnya lalu Islam itu menjadi seumpama ayam dogiang yang terkepak-kepak di atas selut.

Tinggi apanya kalau hukum Islam sama dengan hukum sapu sampah tepi jalan!

Bukan payahpun Islam itu direndah dan tidak mahu mengakui tingginya. Ia dilakukan dari kalangan umat Islam sendiri. Waooo, kalau orang lain buat onar tentang Islam, macam lukis karton Nabi Muhamad, bukan main melenting kita. Tapi bila Islam itu dicabut bulu pahatnya oleh umat Islam sendiri, timbullah berbagai daleh helah kononnya, dari segi bahasa, bla...bla...bla. Dari segi pengertian istilah hukum, sebutan buluh kasap itu tak betul, sebenarnya qazaf.

Kenapa, kenapa hal ini boleh berlaku? Jikalah Islam itu tinggi, sepatutnya jika sesuatu hukuman itu dijatuhkan, jika hendak diubah, ia mestilah lebih wibawa, martabat, memacu, upaya, bukan belok turun kepada yang lebih rendah seperti batal wuduk kerana bersetubuh diubah kepada batal wuduk hanya kerana kentut.

Satu perkara yang sangat mustahak sekarang ialah bagaimana kita umat Islam terutama mereka yang berkuasa dan para ulama yang masin air liur dalam kerajaan ialah menggilap dan manik taraf imej undang-undang kepada tahap yang sepatutnya.

Tugas kita sekarang, bukan saja mampu melaksanakan hukum yang sudah sedia ada dalam undang-undang, tetapi mencerna imej keyakinan tentang hukuman itu sendiri menjadi wibawa.

Satu contoh yang paling kecil misalnya; siapa peduli hukuman mahkamah syariah apabila waran tangkap pesalah memukul isteri? Siapa yang menggeletar apabila waran dari mahkamah syariah minta potong gaji saraan untuk anak atau nafkah. Malah denda dan tuntutan bernilai juta-juta pun, yang kena saman itu masih tersenyum.

Bukankah itu imej? Bukanlah itu satu nilai yang rendah dianggap oleh kita sendiri, maka apatah pula jika ada pihak lain yang merombak atau mengubah hukum lalu menjadikan pihak lain terpaksa tunduk kerunas kuku.

Tuan Guru, maaflah murid tua ini. Hukum Islam itu sebenarnya tidak tinggi . Kita cuma merak buih!

-Tersiar dalam ruangan Kolum Tepi, Harakah 12-15 April 2010.

Yang Buta Datang Berpimpin, Yang Capik Datang Bertongkat.

Posted by Tukya Labels:

Saya cuba sedaya upaya mencari ciri-ciri intelektual ketika membaca dan meneliti ucapan Dr. Mahathir ketika beliau bercakap tentang orang Melayu dan Umno. Jika Dr. Mahathir bukan Presiden Umno, jika beliau bukan mantan Perdana Menteri, jika beliau bukan pahlawan Melayu dalam Umno, saya tentu sekali tidak hairan dan bersusah payah meneliti apa yang diucapkannya.

Bagi saya ucapan dan teguran Dr. Mahathir selepas beliau merajuk dan rujuk kembali dalam Umno sering menimbulkan tanda tanya; apakah betul Dr. Mahathir ini? Soalan lain yang sangat bosan hendak diterjah ialah, kenapa beliau bercakap macam beliau tak pernah wujud, macam beliau tak pernah jadi Umno, macam beliau tak pernah melakukan apa yang beliau kata?

Ketika merasmi satu NGO baru yang diterajui oleh Ibrahim Ali MP Pasir Mas Kelantan di PWTC pada 27hb Mac yang lalu, Dr. Mahathir mengulangi lagi seperti ucapan pekasam dan budu yang lalu. Umno,lemah kepimpinan, nasib Melayu yang tak terbela, ekonomi, pelajaran anak-anak Melayu dan lain-lain lagi, seolah-olah Melayu di waktu beliau menerajui Umno dan menjadi Perdana Menteri tidak wujud Melayu-Melayu seperti yang telah menjadi budu dan pekasam selama ini.

Saya ingin memetik jerkahan Mat Katib dan Hj Lawas dari hulu Hutan Melentang ketika menjerkah beruk panjat pokok kelapa. “Heee, ketika tuan menjadi orang nombor satu yang boleh mengubah wajah politik dan bangsa, Melayu naik ke langit ke?”

“Piiirrraahhh, sewaktu hangpa dulu pun, lebih teghookkk lagi!” kereyau orang Tanjong Tokong, tepi projek yang pernah ditinjauan Dr. Mahathir dulunya.

Mat Zaki dari Wang Tepus Kedah pula jerkah: “ Dia cakap sekarang, dulu pun macam tu. Dia cakap tentang rasuah, apa dulu tak ada rasuah? Dia cakap tentang biasiswa Melayu, waktu dia dulu apa dah jadi tentang biasiswa. Dia cakap tentang nasib Melayu, selama 21 tahun jadi PM, apakah orang Melayu begitu maju? Pasal bahasa sampai sekarang pejuang bahasa sakit. Banyak lagi...bla...bla...bla...weekkkk!”

Saya bukanlah seorang yang perongos meletak kesimpulan terhadap ucapan dan kata-kata, saranan seorang pemimpin, bekas pemimpin yang idiologinya tidak sama seperti Dr. Mahathir. Tetapi setiap kali mengulang baca apabila beliau mengulang kata, saya rasa bukan masanya lagi dan bukan Dr. Mahathir yang sepatutnya bercakap begitu.

Kerana itu menjelang 27hb Mac 2010 apabila Ibrahim Ali menjemput Dr. Mahathir
merasmi PERKASA satu-satunya NGO hebat kononnya, awal-awal lagi saya mendapat maklumat dari kawan di PWTC yang mengatakan Mahathir hentam Ibrahim Ali.

Saya tersenyum.

Ketika saya sampai di PWTC hari tersebut, persidangan NGO PERKASA sudah selesai. Ramai yang saya temui, kalangan lelaki tua-tua menggunakan tongkat, berpakaian sampin, bertanjak dan songkok hitam.

Saya bertanya seorang kawan. Dia memberitahu itulah peserta NGO Ibrahim Ali, PERKASA. Saya terfikir, masakan semua bertongkat? Adakah tongkat itu lambang atau tongkat itu kerana sudah tua tak mampu lagi berjalan? Saya teringat bidalam dari hikayat; Yang buta datang berpimpin, yang tua datang bertongkat.

Kawan saya ketawa dan maki hamus saya; hang memang pelaq, katanya.

Saya melihat ucapan Dr. Mahathir bukan ucapan yang jujur sebaliknya ucapan menyindir kepada pemimpin Umno, dulu kini dan selamanya yang dia tidak sebulu, yang dia anggap budak hingus dalam kepimpinan.

“Wujudnya NGO Melayu yang memberi tumpuan masalah Melayu kerana terhakisnya kepercayaan mereka kepada Umno sebagai pelindung nasib mereka,” kata Dr. Mahathir.

Soalnya siapa? Tak akan ada orang Umno yang bukan dari kalangan orang yang kritis mahu mengatakan zaman Dr. Mahathir sebaliknya akan menganggap itulah Umno di bawah kepimpinan sebelum beliau dan selepas beliau.

Peranan beliau ketika tidak setuju dengan kepimpinan salah seorang Perdana Menteri yang lalu sudah cukup bukti untuk kita berkata begini.

Jika ini hendak dikatakan satu analisis ternyata analisa ini tidak berdasarkan kepada punca dan awalan. Salah satu alasan yang boleh kita katakan, ambil saja ketika peristiwa pemecatan dan penjara Anuar Ibrahim. Bagaimana keadaan politik waktu itu?

Tapi ternyata Dr. Mahathir mengambil kata-kata melindungi kata-kata. Meletak isu melindungi isu. Membongkar kelemahan untuk menutup kelemahan. Menginjak kecacatan untuk melindungi kecacatan.

Dengan membuat pengakuan ‘kecuali tahun 1969 dan 1987’ Dr. Mahathir seolah-olah juara kesempurnaan bangsa dan kemercuan negara. Tapi apakah benar semuanya itu?

Bijak pandai ada mengatakan, banyak bercakap memberi makna banyak melakukan silap. Dalam pemerintahan juga begitu, sedemikian lama menjadi pemimpin, memberi erti memanjangkan membuat kesilapan. Membuat kesilapan bukan bererti tidak sengaja dan saya tidak pernah terfikir apa yang dilakukan oleh Dr. Mahathir ketika pemerintahannya bukan satu kesilapan tetapi satu unjuran dengan maksud berbagai. Dan semua itu atas jenama Umno. Presiden parti adalah juga Perdana Menteri. Presiden Umno adalah pengerusi mesyuarat kabinet. Perdama Menteri semestinya memakai baju Umno ketika masuk ke balai rong seri untuk membuat keputusan.

Jangan fikir nanah dan usus hanya meroyak dan tersembol ketika Najib menjadi Perdana Menteri. Jangan fikir rasuah dengan indeknya hanya ketika Najib. Jangan fikir Rosmah memain peranan yang lebih dari Najib sedang Perdana Menteri lain berbini seperti itu jugalag.

Apakah nasib bangsa Melayu ketika itu begitu baik, kuat dan berjaya?

Kalau zaman Dr. Mahathir, Datok Azhar Mansor boleh keliling dunia dengan perahu layar, jangan ingat itulah saja wira dunia Mahathir. Bagaimana dengan pendaki solo gunung Kinabalu yang menghabis usia ulang aliknya puluhan kali?

Saya masih tidak menemui jawapan dan huraian yang tepat tentang peribahasa; Kalau guru kencing berdiri, murid kencing berlari. Bapa borek anak rintik. Tapi salahkah jika
kita membuat huraian bodoh dari peribahasa ini dengan mengatakan, yang menyebabkan murid kencing berlari tidak bermakna perlakuan itu dalam masa yang sama. Mungkin si bapa kencing berdiri di tahun 1987, ketika itu anaknya baru merangkak. Tapi bukan mustahul tabiat itu dilakukan oleh anaknya pada tahun 1997, setelah anaknya sudah boleh berlari dan dewasa.

Begitu juga bapa borek anak rintik. Mungkin borek bapa ketika hujung usia dan rintik anaknya ketika anak itu sudah dewasa sedangkan si bapa sudah nyanyuk ketika itu.

Yang demikian kita tidak boleh mendabik dada apa saja kelemahan dan kecatatan, mundur maju orang Melayu tidak ada kaitan dengan sikap dan bobrok pemimpin sebelumnya.

Mendapat durian busuk dan buah macang yang berulat, bukan ketika si bapa menanam pokok itu tetapi tentulah setelah pokok itu besar dan buah itu dinikmati oleh anak-anak.


Satu trend pemimpin Umno yang kita lihat sejak zaman permulaan hingga kini ialah, mengakui dengan sesungguhnya bahawa ia adalah Perdana Menteri Malaysia untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum. Tapi malang ketika itu ia tidak meletak dirinya sebagai pemimpin Melayu, malah ia lupa bahawa dia dari akar umbi Melayu.

Tetapi ketika dia berhadapan dengan ahli partinya, dengan bangsanya sendiri ia terus terang mengatakan dia Melayu, perjuangannya perjuangan Melayu. Di tukarnya ketika itu dari tali leher dan boo kepada keris dan gong. Di tukar secepat kilat dari karpet kepada sampin dan kain kuning. Di tukar dari Apple Jus kepada air kelapa.

Apabila ia berada di atas pentas Perdana Menteri, ia tidak melihat bangsanya kerana dia tahu bangsanya bangsa bodoh dan tidak berani menderhaka. Dia akan ikut kehendak bangsa lain kerana hendak menjaga kedudukannya.

Inilah yang berlaku dan inilah diantara sebab munculnya ucapan-ucapan menyalahkan orang lain ketika ia tidak lagi berada ditempat itu.

Kerana itu ucapan perasmian Dr. Mahathir di perhimpunaqn NGO PERKASA pada 27hb Mac lalu di PWTC tidak ada apa yang membanggakan apa lagi kalau kita menjenguk kembali pada zamanya.

-Tulisan ini disiar dalam Harakah keluaran 5hb April- 8hb April 2010 dalam ruangan Kolum Tepi