Hari-Hari Yang Menakjubkan; Sebuah Catatan

Posted by Tukya Labels:


Setelah melalui hari-hari yang menjemukan selama 3 hari, kemudiannya enam hari lagi di hospital Bukit Mertajam, akhirnya balik ke rumah dengan hasil yang tak menentu.

Syak yang paling besar tentulah akibat dari kemalangan yang sampai menghempaskan dan berguling-guling kereta yang saya pandu di atas Jambatan Pulau Pinang pada jam 8.30 pagi, 25hb Januari 2010 yang lalu. Segera terpa ke KPJ Perda, menemui pakar jantung Dr. Safari Elis. Rupanya lain pula keputusan apabila seminggu di situ.

Keputusan memang tak pernah diduga. Rupa-rupanya kehidupan hari-hari yang lalu sangat menakjubkan. Tanpa ada gangguan tidak pernahpun bersin melampau, tak pernah sakit dada, tak pernah pedih dan tak pernah berpeluh tak berpasal.

Tapi sakit hati, cemburu, dendam, khanaah, mazmumah, fasik, busuk hati dan segala yang berunsur amarah, riak, ujub, suk-uzzan memang selalu menyerang.

Akhirnya saya diberitahu, urat-urat si jantung hati yang menjadi kesayangan semua manusia, tersumbat. Masuk ke dalam alam lain, melihat urat-urat seperti rambut bersimpul, bercengkerawang, denyut dan degus kelopak jantung, rupa-rupanya itulah keajaiban Allah.

Saya tidak akan percaya dan tak akan percaya jika dikatakan itulah PERENCANAAN, peraturan, sistem yang Allah susun. Tidak. Saya tidak percaya. Saya lebih percaya itulah KUN FAYAKUN: Jadi, maka jadila!

Manusialah yang perlu membuat kajian, penyelidikan apa yang dikata sistem, peraturan itu. Sistem, peraturan memerlukan perancangan. Apakah KUN FAYAKUN itu perancangan?

Maha Bijaksana Allah!

Hari Isnin atau 1 Jun atau selepasnya mungkin saya akan alami satu dunia lain, seperti yang pernah dilalui oleh kawan-kawan lain dan di antaranya ada yang tidak kembali. Saya akan bermukim di Hospital Besar Pulau Pinang. Terpulang kepada kehendak Allah. Itulah hakNya dan FAYAKUNNYA.

Menghabis hari-hari yang menjemukan, dalam fikiran sangat kukuh sebuah buku: PENAMAT SEJARAH DAN MANUSIA TERAKHIR, oleh Francis Fukuyama,setebal hampir 500 halaman, yang kononnya buku terlaris dalam senarai New York Times.

“Jika manusia ditentukan oleh keinginannya untuk berjuang bagi mendapat pengiktirafan dan menerusi kerjanya dalam menguasai alam semula jadi, dan sekiranya pada akhir sejarah dia mencapai dua-duanya sebagai pengiktirafan terhadap kemanusiaannya dan limpahan material, maka ‘manusia yang kononnya manusia’ tidak akan wujud lagi kerana dia tidak lagi berkerja dan berjuang.”

‘Oleh yang demikian lenyapnya manusia pada penamat sejarah bukannya bencana alam sejagat: dunia alamiah kekal seperti yang sedia ada sejak lestari. Oleh itu lenyapnya manusia pada penamat sejarah bukan juga bencana biologi: Manusia hidup kekal sebagai haiwan yang hidup harmoni dengan alam semula jadi. Apa yang lenyap ialah manusia yang kononnya manusia- iaitu tindakan menidakan apa yang ditetapkan....’

Demikian yang dapat dipagut-pagut. Entah bila dapat dihabiskan. Dunia lain mustahil dapat membaca ini. Teringat, sangat sedikit bekerja dan berjuang demi tuntutan kebajikan!

Catatan Sabtu 11:19 mlm di bilik 417, Madical Center KPJ Bandar Perda

Kepada Kawan-Kawan, Sahabat Handai

Posted by Tukya Labels:


Tak pernah ku duga...


Untuk kesekian kalinya, saya tidak mampu lagi menulis secara manual buat hari-hari terdekat ini di blog ini.


Yang penting bagi saya, saya memohon maaf dan anda mendapat rahmat Allah.


Saya sedang menjalani peperiksaan kesihatan sekarang.


Panjang umur, dianugerah kekuatan pemikiran, Insyaallah kita bertemu nanti.


-azizi hj abdullah

Budaya Lapor Melapor

Posted by Tukya Labels:

Sekarang budaya baru sudah muncul. Dulu tak ada. Hari ini cuba kira, teliti dan analisa, siapakah yang paling banyak buat laporan polis dan berapa ratus ribu pula laporan itu dibuat, dibentang, dihantar, diunjuk dan diserah ke balai polis.

Kalau boleh buat statistik, orang Melayulah dan NGO Melayulah yang paling ramai, paling banyak, paling pandai, paling emosional, paling gatal, paling cepat mengambil kesempatan membuat laporan polis ini.

Seman derebar teksi dari Jalan Dang Wangi pernah ikut sekali. Dia tergelak kukkik-kukkik. Esok, lusa dan tulat dan tulatnya lagi dan tulat,tulatnya lagi, habuk pun tak ada.

Apabila ditanya kenapa, Seman yang cepoh itu geleng-geleng kepala. Dia tergelak lagi sampai tersembur air liur.

Memang pun kita tidak ada jumlah tepat mahu pun tidak tepat, sudah berapa ribu laporan polis yang dibuat oleh pertubuhan, NGO, parti politik dan mereka yang kononnya wira membela Melayu, pahlawan membela agama.

Dan dari jumlah yang tidak tahu itu pula, berapa pula yang telah diambil tindakan, yang berkesan?

Tidak tahu! Yang kita tahu, hari ini buat laporan polis, esok keluarlah dalam surat khabar empat lima cangok berdiri tengah panas menjulang sepanduk, kain rentang, kononnya mereka bantah itu ini.

Din Beruang tak pedulipun. Lebih baik dia buka surat khabar yang ada keputusan empat nombor ekur.

Demikianlah kalau kita hendak bercakap tentang laporan polis. Sebenarnya budaya ‘lapor melapor’ ini baru sangat. Tapi sangat jenuh. Dari isu-isu karton Nabi Muhamad hinggalah ke murtad, dari kes yang dianggap rasuah hinggalah kepada politik tikam menikam, dari silap cakap sikit, hinggalah kepada mendakwa bla-bla-bla.

Yang syoknya, paling banyak laporan ialah dari kalangan NGO Melayu, ahli politik Melayu kepada politik Melayu, dari aku Melayu kepada hang Melayu.

Dalam keadaan kita berhati-hati betapa tidak boleh sangat cakap tentang Melayu, tentang Melayulah yang dibuat laporan. Dalam keadaan kita tidak boleh melampau cakap pasal agama, tentang agamalah yang dibuat laporan.

Yang seronoknya mereka yang ingin mertabatkan Melayu lalu dibuat laporan, merekalah sebenarnya yang ‘kongkiak’ Melayu. Yang hebatnya mereka yang buat laporan tentang isu agama, mereka sendiri mencabul kemuliaan agama.

Kini sudah melarat laporan itu tentang raja, tentang sultan. Yang kita naik bengung, laporan apa pun kita tak tahu biji buahnya. Ada semacam main badminton. Silap sikit bagi bola tanggung, nahaslah jawabnya.

Budaya lapor melapor ini sudah jadi semacam berita rogol, buang anak dan rompak kedai emas.

Apa hasilnya?

Ini yang kita tidak tahu. Mungkin kita tidak ada pengetahuan perihal lapor melapor ini. Mungkin ada kelebihan apabila cara mengadu kepada polis ini. Tapi apa yang jelas perihal lapor melapor ini sudah jadi permainan ‘biliard’. Engkau tojoh aku, aku tojoh hang. Ada bola terpelanting ke kiri, ada masuk poket. Tapi semuanya diambil semula, tojoh lagi, dijolok lagi.

Macam main biliard:
Ada orang politik buat laporan terhadap polis :Hua-hua-hua.
Ada SPRM buat laporan terhadap polis: Ehem-ehem-ehemmm.
Ada polis buat laporan terhadap pemimpin politik: Hisss-hhiiisss-hiisss.
Ada golongan politik buat laporan terhadap golongan politik: Kah-kah Ada parti buat laporan polis terhadap kerajaan: Cit-cit-cit.
Ada artis buat laporan sesama artis: Bla-bla-bla.

Yang menjadi mulut kita ternganga dan terus menguap, ada laporan dibuka, ada laporan ditutup dan ada laporan tak buka langsung.

Jangan terkejut, oleh kerana kita telah berbudaya dengan laporan polis, satu hari nanti akan timbul generasi yang bencikan agama, maka akan muncul laporan polis membantah Tuhan kenapa haramkan arak, sedangkan arak minuman antarabangsa. Mungkin akan ada laporan, kenapa judi sedangkan industri judi itu memperkayakan negara. Mungkin akan ada laporan minta Allah tangguhkan kiamat kerana ada agenda belum selesai.

Maka melaunglah Hishamuddin Rais, bloger Tukar Tiub; Woooeeettt!

Saya kira masyarakat politik kita dari mana-mana parti sekalipun, yang galak dan gila isim membuat laporan polis, haruslah ada kotakfikir pada teks-teks politik dan isu yang hendak dibuat laporan. Ia bukan emosional dan fanatik karat. Teks-teks itu mestilah yang ada berkaitan dengan masalah politik.

Bertindak dalam hal ini seseorang atau NGO atau parti itu sendiri mestilah mampu mengikuti terus menerus isu, apa lagi dalam bentuk berita.

Perlu memiliki pengetahuan isu yang hendak dilaporkan, jika tidak orang akan ketawa begitu sahaja. Sebagai contoh ada NGO yang berselindung dibalik parti politik membuat laporan tentang Melayu, sedangkan mereka sendiri menjadi mala`un Melayu.

Cubalah mengidenttifikasi peristiwa, perkara, kejadian dengan cara memeriksa secara teliti dan sumber yang adil.


Kita sebenarnya tidak memusuhi sesuatu laporan tetapi selalunya laporan yang dibuat, bukan Mat Sudin kopral polis saja yang hendak tergelak, tetapi Lebai Karim siak masjid Batu Lima juga tergelak.

Yang sangat menggelikan hati ialah bentuk laporan polis yang nampaknya begitu hebat, pelapornya terdiri dari wakil-wakil berperut buncit, berjawatan Ketua Biro Cawangan. Isi laporan itu bukan main hebat kerana ia melibatkan raja, sultan,perlembagaan, agama. Tanya sana, selidik sini, dia sendiri pun tak tahu.

Patutlah Pak Taha nak tergelak kukkik-kukkik.

Demikian adanya. Alangkah baiknya ada dari kalangan penyelidik boleh buat kiraan, berapa semuanya laporan polis yang telah dibuat. Kalau ada bolehlah hantar satu. Terima kasih!

Bukan Sahaja Yahudi, Tapi Anak Cucu Juga.

Posted by Tukya Labels:


Lambang Yahudi seperti ini ada di mana-mana.


Sahabat saya, Dinsman menulis dalam ruangan ‘Wacana Budaya’nya keluaran 16-18 April 2010 bilangan 1531 mengatakan bagaimana Yahudi Israel sudah masuk ke rumah kita.

‘Masuk buat apa?’ Tanya Makngah Piah dari Felda Gedangsa yang baru habis letih mengurus makan minum Wanita Umno di pilihanraya kecil Ulu Selangor. ‘Masakan jantan Israel ada selesa nak rogol perempuan Melayu?’ Tanya pula Siti Som, jiran tetangganya.

Memang pun Yahudi Israel sudah masuk ke dalam rumah, setiap rumah kita. Kalau ada yang rajin nak buat kira banci, rumah orang besar-besar, pemimpin-pemimpin lagi banyak yahudi Israel masuk. Dari perabotnya sehinggalah seluar dalam. Sudah lama mereka rogol budaya dan maruah negara. Sudah lama ‘Millah’ mereka bermaharajalela.

Kalau rajin teliti, di Palestin dan di Gaza sendiri belambak-lambak Yahudi Israel masuk dan diguna pakai pula oleh ramai rakyat Palestin mahupun di Gaza.

Tenguklah pakaian anak-anak muda Palestin ketika membaling batu ke arah kereta kebal Israel. Seluar jenama apa yang mereka pakai? T-shirt jenis apa yang mereka pakai? Tali pinggang apa yang membelit mereka? Itu tak periksa beg kulit, dompet duit lagi. Itu tak tenguk Coca-Cola yang mereka minum. Multimedia dan telekomunikasi siapa punya agaknya.

Jadi tak hairanlah kalau di rumah kita di Malaysia berlambak-lambak Yahudi Israel dah masuk, malah ‘mencabul’ pun sudah.

Perihal masuknya sesuatu ke dalam rumah kita sama ada sedar atau tidak, baik yang halal atau yang haram sudah tidak terkata lagi. Saya juga seperti yang lain, termasuk rumah-rumah ulama, banglo atau rumah mewah korporat, rumah menteri, rumah mufti, rumah lebai, rumah haji, rumah tuan guru dan rumah-pondok pondok sudah dimasuki tanpa sedar hal-hal kemaksiatan, kesyirikan, kebejatan.

Jangan tak sedar, rumah tuan guru yang kedepang-kedepong bersyarah dengan aqidah setiap minggu di masjid, sudah masuk gambar berhala melalui program tertentu. Jika tuan guru tak izin, anak atau isteri pula yang tekan punat TV. Jangan hairan pendakwah yang berleter tentang aurat muda mudi, seluar ketat atau sekarang nampak lurah punggung, sekarang bukan rumah pendakwah saja, malah rumah menteri yang menjaga hal ehwal wanita juga sudah ada hal-hal tersebut.

Ada ulama yang bercakap tentang syubhah, bagaimana arak jika tidak minum pun, kalau simpan atau beli barang dalam peti ais yang ada botol arak, sudah dikira syubhah. Kita marah-marah kepada anak gadis yang bekerja di bar atau coffe house yang hanya tukang angkat gelas dan botol Ancor atau Wain kononnya itu kerja syubhah. Tapi bagaimana yang meniarab tiap-tiap malam waktu musim piala dunia bola sepak? Pada satu musim yang lalu kira-kira RM7 juta tajaan dari syarikat arak? Bagaimana Babuji atau Murjit Sing minum todi dalam babak melarikan kekasih Sunil? Bagaimana persembahan Bollywood yang masyhur dengan tarian gedik? Nampak pusat dan perut? Bagaimana kita sendiri dalam rancangan Astro Ria dan lain-lain program, sang pondan menjadi penari latar atau suami isteri sedang tidur atas katil sedangkan mereka hanya pelakon?

Hahhh, macam-macam lagi boleh kita sebutkan apabila memperkata sesuatu yang lebih dari Yahudi masuk ke dalam rumah. Jadi, jikalah hal-hal yang disebutkan tadi begitu senang masuk ke dalam rumah, sama ada sedar atau tidak dan Yahudi Israel pun turut masuk seperti yang ditulis oleh Dinsman, maka apakah kita hairan jika Yahudi Israel sudah lama masuk ke dalam mehrab masjid nak jadi tukang azan??

Persoalan kita sekarang, berapa peratus agaknya kemasukan Yasudi Israel ke dalam rumah kita dan berapa peratus pula unsur lucah, khurafat, maksiat, berhala, arak, bogel, telanjang, judi, tipu, rasuah yang sudah lama masuk hingga ke bilik tidur kita?

Huhhh, sungguh kacau. Ke manakah tempat yang selamat untuk kita berhadapan dengan perkara ini? Apakah perlu umat Islam kini hidup dan berumah tangga tanpa TV? Bolehkah hidup sekarang tanpa TV?

Saya amat tidak yakin, dengan adanya TV lalu ditempahnya pula Astro dan yang lebih berada diletak pula Parabola dan lain-lain alat komunikasi, maka apakah semua itu boleh ditapis? Katakan seorang mufti mengelak dari rancangan maksiat itu, apakah ia terjamin tidak dibuka oleh anaknya apabila beliau tidak ada di rumah?

Sebelum saya menulis artikel ini, saya sudah berhadapan dengan S.M. Mohamed Idris, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang. Beliau menghentak beberapa persoalan kenapa, mengapa masyarakat kita terjadi begini sekarang, rogol, sosial, tipu, rasuah dan anak-anak bertindak liar. Dia memberi kesimpulan, ‘Amal makruf nahi mungkar’ sebenarnya bukan kenyataan Tuhan sahaja tetapi suruhan Tuhan di mana semua manusia mesti lakukan, mesti bertindak.

Salah satu kesimpulan yang diberi ialah pengaruh TV. Bukan TV yang salah tetapi rancangan dan pihak yang membenarkan itulah yang sedikit sebanyak memberi pengaruh kepada masyarakat, khasnya golongan remaja. Manakala penonton sebagai pengguna juga mesti bijak berindak.

Saya pun terfikir begitu juga. Kenapa kita tidak pernah berbahas mengcari jalan mengelak gejala sosial ini? Apakah rancangan-rancangan TV yang membolehkan serba ada di dalamnya hanya memberi kesan buruk kepada sosial bangsa Melayu, maka demi untuk kepentingan bangsa lain, maka ia mesti dibiarkan?

Ada banyak persoalan sebenarnya. Kita rasa kalau pun kita mendapat punca dan sebab, pihak berkenaan akan merasa satu tekanan lain yang tidak upaya dibuat keputusan. Kementerian yang berkaitan dengan multimedia dan telekomunikasi misalnya, apakah berupaya menahan gelombang globalisasi dari mereka yang menguasai tampuk ini?
-Saya teringat kitab Ehya...rupa-rupanya pemikiran Al-Ghazali sudah tak relevan

(Tersiar dalam Kolum Tepi Harakah 30 April dan 1,2, May 2010)