Catatan 25hb Oktober 2010

Posted by Tukya Labels:


Dari kanan, Pak Shukur Harun, Razali Indun, Kasim Mohamad dan Dinsman, di Subang Airport


Sangat mengujakan apabila ‘Paksi’ (Kumpulan penulis dan seniman rakyat) membuat temujanji dengan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Selangor (PPAS) Puan Mastura, jam 2 petang pada 25hb Oktober 2010 yang lalu.

Paksi dengan delegasinya Dinsman, Kasim Mohamad, Razali Indun dan Shukur Harun menemui Pn Mastura bersama pegawai-pegawainya yang baik hati, dalam siri perbincangan bagaimana buku-buku yang ditulis oleh penulis, yang terpinggir dari syarikat penerbitan gergasi itu mampu sampai kepada pembaca, terutama melalui ‘rumah buku’ yang lebih dikenali dengan nama ‘perpustakaan awam.’

Pertemuan yang singkat itu sangat memberi makna. Pn Mastura diluar jangkaan saya dari segi apapun kerana keramahan, layanan atas nama seorang ‘boss’ kepada penulis.

Rupa-rupanya sangat banyak rintangan untuk buku-buku yang ditulis oleh penulis untuk sampai ke tangan pembaca memalui Perbadanan Perpustakaan Awam. Sangat banyak rahsia dan peraturan yang tidak diketahui oleh penulis dan sebahagian besar perpustakaan awam memeram peraturan itu yang entah apa sebabnya.

Dalam pertemuan itu barulah tahu rupa-rupanya bukan semua Perbadanan Perpustakaan Awam mengenakan peraturan kemasukan buku yang sama. Ada sesetengah perpustakaan nampaknya sengaja menyembunyikan untuk bagaimana buku penulis itu sampai ke perpustakaan atas sebab-sebab tertentu. Tapi ini menggambarkan seolah-olah, buku-buku yang hendak sampai ke perbadanan perpustakaan bukanlah dari penulis tetapi mestilah ‘sebuah rekomen’ dari sebuah syarikat yang diberi ruang mendaftarkan diri.


Pn.Mastura dengan dua pegawainya sedang berbincang


Banyak hal yang kami mendapat maklumat apabila Pn. Mastura berkongsi saranan. Nampaknya Pn Mastura sangat bersedia membuka jalan dan ruang untuk penulis yang hendak menyampaikan buku-buku mereka kepada Perbadanan Perpustakaan.

‘Tidak susah, cuma mahu atau tidak saja,’ begitu kami berpendapat.

Tapi soalnya mengapa kebanyakan Perbadanan Perpustakaan Awam seakan tidak berminat, tidak berupaya, apa lagi berusaha mendapatkan buku-buku dari penulis itu sendiri. Yang berlaku sekarang, sesetengah Perbadanan Perpustakaan Awam boleh membeli buku penulis anak negeri tersebut tetapi tidak membeli dari penulis negeri lain, melainkan kena membeli melalui syarikat yang sudah dilantik.

Pn Mastura saya dapati sangat mengerti masalah buku-buku seperti ini. Selain memberi penghargaan kepada penulis, beliau mahu sesebuah buku itu mesti sampai dan ditatap oleh semua orang.

Terima kasih Pn. Matura dan pegawai-pegawainya. Semoga hajah yang akan dikerjakan pada 28hb Oktober 2010 akan dimabrurkan oleh Allah .

Pemudaiman dan Mutiara Wahyu

Posted by Tukya Labels:

Aidil Fitri hari ke empat 1431 yang lalu, saya dikunjungi oleh tiga anak muda dari pengajian tinggi. Seorang pensyarah dari UIA, seorang dalam proses PhDnya di USM yang bukan bidang keagamaan dan seorang lagi saya sudah lupa, tapi berperanan dalam ilmu-ilmu kebajikan.

Mereka datang menziarahi orang-orang yang mereka rasa patut diziarahi dan mereka memberitahu, mereka adalah kumpulan dari blog http://pemudaiman.blogspot.com. Mereka mewujudkan blog tersebut hanya semata-mata sebagai wadah dakwah, menyampaikan apa yang dirasakan patut, sesuai dengan ilmu dan perjuangan mereka.

Saya tersentak kerana ada juga golongan anak muda yang begitu prihatin tentang perlunya ilmu disebarkan dan ia tentunya secara percuma. Saya berfikir, alangkah baiknya jika ramai lagi yang dengan sukarela berbuat begini. Mereka dari kalangan terpelajar dan tentunya ilmu yang mereka lontarkan tidak sia-sia.

Baru-baru ini saya ke Medan Indonesia dengan hasrat mencari sedikit buku-buku. Di antara buku yang saya beli ialah “Menyibak Rahsia Sains Bumi Dalam Al-Qur`an’, ‘Mencari Tuhan Yang Hilang’, ‘Islam & Ekologi Manusia’ dan ‘The Amazing Stories of Al-Qur`an’. Buku-buku ini sangat hebat, termasuk juga dari segi jodolnya. Kehebatan jodol buku-buku Indonesia, menjadikan saya melontar kata dalam wacana TVRI SUMUT di hari saya ke sana, sebagai buku-buku yang penuh dengan penipuan jodol, touching dan memancing.

Kembalinya, saya menemui sebuah buku kecil dan nipis dari Pemudaiman ini, yang ditulis oleh Mohd. Syauqi Mod Zahir, salah seorang penggerak blog dan kerjamal ini bertajuk ‘Mutiara Wahyu.’


Huraian dan penulisan buku ini tidaklah sehebat mana, tetapi pemilihan mauduk (tematik) yang kemudian diadakan sedikit rengkasan, ulasan menjadikan buku ini sangat perlu dibaca oleh semua peringkat.

Saya tertarik dengan pancingan tajuknya seperti Qur`an dan Gunung, di mana sebuah buku Indonesia yang saya beli bertajuk Murka Alam, seakan begitu persamaannya. Kemudian ‘Manusia Pemakan Bangkai’, ‘Anak dan Isteri Menjadi Musuh,’ ‘Eksperimen 4 Ekur Burung,’ dan lain-lain.

Buku setebal hanya 104 muka, tidak membebankan untuk menghabiskan bacaan bagi mereka yang pemalas. Ia rengkas dan padat. Setiap ayat akan diulas dan disisip dengan maksud, dititip untuk amal.

Memang tepat hanya untuk mereka yang ingin Tadabbur dan tafakkur. Pelajar university sangat sesuai menjadikan ia ‘halaqah’.

Alangkah baiknya mana-mana korporat atau individu yang memiliki kelapangan kewangan, membelinya beberapa nakshah dan disedekah kepada setiap masjid sebagai pengisi khutub khanah. Ia pasti berfaedah.

Catatan Awal Oktober 2010

Posted by Tukya Labels:

Wacana dalam rancangan Pantun Empat Tujuh TVRI Sumatera Utara, Medan, dalam kontek sastera & Budaya Malaysia-Indonesia. Dari kiri: Hj Amir Arsyad, moderator I, Hj Anuar Asmadi dari 2PNP, Dr. Takari dari UUSU, Azizi Hj Abdullah dan Retno Ayuni moderator II.

(I)

Medan, Sumatera, sebuah kota metropolitan yang sebuk dan padat sudah banyak berubah. Saya sudah lama tidak ke sana. Tanggal 4-6 Oktober 2010 saya bersama seorang kawan tiba di sana dengan hasrat hendak membeli buku-buku dan berehat.

Niat begitu tidak berapa kesampaian kerana tiga hari di sana, kawan yang menemai kami, Saudara Fadli, seorang pensyarah di Universiti Sumatera Utara, juga seorang taukeh kek di Medan dengan nama syarikatnya Nazwa, melantakkan kami dengan makan setiap waktu.

Tanpa Fadli tentunya kami sangat sukar hendak bergerak kerana kereta Kijangnya sedia ke mana-mana saja. Fadli seorang sahabat Anuar Asmadi yang tidak banyak karenah.

Dengan usahanya juga, kami ke TVRI Sumatera Utara yang stesennya tidak jauh dengan hotel kami. Selama satu jam kami diminta memberi maklumat, bertukar fikiran tentang Sastera dan Budaya antara dua negara.

Anuar Asmadi yang mewakili persatuannya 2PNP bercakap tentang kegiatan dan aktiviti badan-badan penulis di Malaysia, khususnya 2PNP dalam menyemarakkan sastera dan budaya.

Saya, selain dari sedikit pengkesahan tentang menulis, novel Sangetha menjadi tajuk perbincangan. Saya juga ditanya bagaimana pengaruh penulis Indonesia terhadap proses penulisan sepanjang saya terlibat.

Ternyata rancangan ‘Pantun Empat Tujuh’ sangat memberi makna. Apa lagi moderator 1, bagi saya melampaui budayawan biasa. Beliau menutur pantun secara sepontan yang tidak ditekad skripnya terlebih dahulu. Saya amat kagum. Saya belum pernah menemui pemantun di Malaysia begitu rupa.



Di depan Stesen TVRI Sumatera Utara (SUMUT) Dari kiri Fadli dari Universiti USU, Hj Anuar Asmadi 2PNP, Azizi Hj Abdullah dan Dr. Takari dari USU.

(II)

Seharian menghabiskan masa di Tokok Buku Gramedia, di lantai 2 sangat mengkagumkan. Bagaikan mahu gila melihat buku-buku dari pelbagai jenis.

Di Malaysia, walaupun ada kedai-kedai buku yang hebat, seperti Konikuya di KLCC, Mid Valley, tapi di Gramedia menampakkan bagaimana rakyat Indonesia suka membaca.

Menulis buku dan diterbitkan di Indonesia sangat berlainan dengan Malaysia. Di Malaysia lebih menjurus kepada keuntungan bertunjangkan kepada kepopuleran. Tapi di sana ia lebih kepada mencambahkan ilmu yang berbagai.

Bayangkan, sebuah bioghrafi dari seorang yang tidak pernah muncul namanya sebagai penulis hebat, diterbitkan dan ia dijual di gedung buku seperti Gramedia. Sedangkan di Malaysia, buku seperti itu dianggap tidak laku jika di jual, kerana buku seperti itu tidak layak di toko buku.


Cardboard yang digubah dengan bunga-bunga kain menjadi ucapan selamat.


(III)

Di sana juga kita melihat betapa kreatifnya penduduk. Mereka mampu mencipta sesuatu yang baru.

Barangkali saya sudah ketinggalan masa, tapi bagi saya agak baru apabila melihat bagaimana perca-perca kain yang berbagai warna, digunting dan dijadikan berbagai bunga. Dari bunga-bunga itu dilekat pada papan besar (Cardboard) lalu dibentuk huruf-huruf berbagai gaya.

Diucapkan untuk harijadi, pengantin dan lain-lain. Sesiapa saja boleh menyewanya.



Dalam Toko Buku Gramedia.


(IV)

Tidak banyak buku yang dibeli. Saya sedang menekuni dua buku yang saya rasa menarik. Pertama, Dia, Muhammad Rasulullah, yang diolah tekniknya menjadi novel, Kedua, tentang Mencari Tuhan Yang Hilang.


Hotel Deli, sebuah hotel bertaraf sederhana.


(V)

Belum ada pengkaji bahasa kita di sini melihat perkataan-perkataan sumbang yang diucapkan oleh penulis/ pengarang Indonesia, walhal buku-buku mereka bercambah-cambah di pasaran kita.

Apakah betul jika menggunakan perkataan ‘Sang’ yang diucap bersama perkataan ‘Tuhan?’. Apakah tidak kurang ajar atau menyalahi akidah jika di sebut ‘Sang Tuhan?’

‘Sosok’ juga sering digunakan. Ada disebut mencari ‘sosok Tuhan’. Sosok membawa erti bentuk. Apakah Tuhan mempunyai bentuk?

Pada 6 Oktober 2010, walaupun waktu berangkat jam 11, tapi FireFly tidak berapa peduli. Kerana tidak ada lagi penumpang, sekitar jam 10.45 sudah terbang.

Saya tidak tahu, apakah ini jam Melayu atau jam bukan Melayu.