Beruk Makye Jaga Pisang

Posted by Tukya

Cerpen Simbolik; Harakah November 2001

BERUK MAKYE JAGA PISANG
-Azizi Hj Abdullah

Sejak dulu lagi Sang Beruk Makye seronok tak ketahuan hala bila dia dinobat menjadi kepala mengurus Estet Pisang. Sungguh tak disangka tapi itulah kenyataannya. “ Dalam dunia ini kita mesti tunjuk lokhom, baru orang percaya,” katanya kepada kawan-kawannya bila seluruh media simbahkata perdana menyiarkan dia; Beruk Makye menjadi kepala beruk-beruk menjaga kebun pisang setelah dituding dan dilantik oleh Maha Beruk Makye .

Bermula hari itulah ekur kontotnya terkodek-kodek bila berjalan. Bulu-bulunya pun dijilat-jilat agar nampak licin dan berminyak. Pantatnya yang kematu dan tertempek-tempek dengan tahi-tahi kering, ditenyeh gesel agar tidak kelihatan. Kadang-kadang disuruh bini Makyenya sental dengan pulur sabut.

Memang patut Sang Beruk Makye diberi kepercayaan menjaga estet pisang, komen setengah kera lutung yang terdiri dari kaki mengampu kaki bodek. Hal-hal pisang mesti diserah jaga kepada orang yang betul-betul tahu hal kepisangan, kata mereka. Dan dia; Atas nama keturunan Sang Beruk Makye akan buktikan yang dia adalah jenis Beruk Makye yang terbaik mengawali dan mengurus hal-hal pisang.

Bukan macam Tupai Pinang yang jaga estet padi. Bukan macam puak rama-rama yang disuruh jaga kebun bunga. Bukan macam kucing belanda yang disuruh jaga kebun jagung atau hutan bakau. Mereka hanya pandai melilau, tapi tidak pandai melompat. Langkah laut, jengkau udara lebih dari tujuh benua, tujuh lautan tak mampu. Bila ekonomi gawat tahi tersentot jadi secamca. Hitung-bilang, kira-congak, rugi berkandar, untung tak pernah.

Maka kerana itulah dia kena tunjuk prestasi hebat. Biar semua tahu bahawa yang bernama Beruk Makye adalah beruk yang terpintar dari beruk-beruk yang kurang pintar. Biar semua tahu Beruk Makyelah yang cerdik di antara beruk-beruk yang bodoh. Biarlah semua tahu, Beruk Makyelah yang terbaik di antara yang tidak baik.

Memang patut pun Beruk Makye diamanahkan jaga estet Pisang . Di sana terdiri dari mereka yang tanam semata-mata hendakkan hasil tapi bukan untung. Di sana tidak ada bunga faedah, tidak ada unsur riba. Memang baik mengurus orang masuk syurga. Semuanya ibadah.

“ Kerja mesti kuat. Setiap biji yang kita usaha, sepuluh gandanya. Ini kerja kebajikan. Ini amal jariah,” katanya ketika mula-mula bertemu staf-stafnya dalam majlis suai kenal.

“ Tapi Tuan Sang Beruk Makye,” tiba-tiba celah seorang Lembaga Pengurus yang sudah agak tua. Dari raut wajahnya, dia kepingin benar hendak bercakap.

“ Ya, silakan.”

“ Kita dalam estet pisang.”

“ Apa masalahnya?”

“ Bolehkah kita mengelak dari makan pisang sedangkan kita ni keturunan Beruk Makye.”
“ Kenapa dengan Beruk Makye?”

“ Tabiat Beruk Makye atau beruk-

beruk yang lain, makan pisang. Tak merbahayakah kita ni kepada estet pisang?” tanyanya dengan suara yang agak kuat.

Maka Sang Beruk Makye pun ketawa terbahak-bahak sampai hampir hendak terkencing. Mulutnya yang lebar luas bagaikan mulut karton Pokemon ternganga luas. Lucu benar ingatan dari salah seorang Lembaga Pengurusnya. Memanglah dia keturunan beruk. Memanglah dia Beruk Makye dan memanglah beruk mahupun Beruk Makye suka pisang. Memanglah kena pada tempatnya apabila Maha Beruk Makye menempatnya menjaga estet pisang.

Maka pada hari mula dia diamanahkan menjaga Estet Pisang, dia telah buat bancian. Di sebelah utara ada berhektar-hektar pisang Raja. Di sebelah selatan berekar-ekar pisang Bunga. Di sebelah barat berrelong-relong pisang Rastali. Di sebelah timur berpetak-petak pisang Mas. Itu tak kira lagi pisang Awak, pisang Nangka, pisang Berangan, pisang Tanduk dan bermacam-macam mak nenek pisang lagi.

“ Insyaallah, saya akan menjaga dengan penuh amanah,” katanya kepada sesiapa saja yang bertanya tentang kemampuannya. Kemudian dia pun lantik Lutung menjadi Setiausahanya.

Tapi satu hal yang dia tidak boleh elak ialah ‘ budaya keBeruk Makyeannya ’ yang sangat suka pada pisang tapi ‘keBeruk Makyenya’ ramai pula tidak pernah curiga, malah menurut Maha Beruk Makye, dialah saja yang paling sesuai.

Pada hari yang keseratus dia dilantik menjadi Pengurus Besar Estet Pisang, maka Sang Beruk Makye pun mulalah melawat ke setiap jengkal tanah Estat Pisang yang diamanahkan padanya. Dari sebatang pokok pisang ke sebatang pokok dia melompat. Tapi malangnya dia tidak dapat bergayut kerana pokok pisang hanya berpelepah lembut liat.

“ Bos aku dan tukang ampunya macam pelepah pisang jugalah,” bisiknya ketika cuba hendak menarik satru pelepah pisang Raja yang sudah layu, tapi semakin ditariknya, semakin liat jadinya.

Alangkah…alangkah indah dan nikmatnya melawat Estet Pisang. Masak sebiji, dipulasnya dan dimakan. Kuning dua biji, dikopek kulitnya lalu digembil ke pipi kiri dan kanan.

“ Ini pisang apa?” dia cuba bertanya kepada Sang Lutung, Setiausaha yang tidak pernah renggang dalam masa bertugas.

“ Pisang Bunga,” kata Lutung.

Maka Sang Beruk Makye pun melompat terkinja-kinja. Belum pernah dia melihat bertandan-tandan pisang Bunga yang ranum-ranum. Semuanya itu tentu manis, fikirnya.

“ Haaa, tunggu apa. Ambillah!” katanya pada Lutung.

Lutung bukan jenis Beruk Makye, maka hal-hal kepisangan bukanlah dia suka sangat. Tapi oleh kerana pisang percuma, masak kekuningan pula, tentu sedap. Lagi pula Bosnya Sang Beruk Makye kata, makanlah semau-mau kerana kaum beruk memang gemar pisang. Bila di amanah kepada beruk jaga estet pisang, tentulah kena tempatnya beruk makan pisang, katanya dengan ketawa terbahak-bahak.

Maka Lutung pun makan sampai kenyang terlentang.

Bila sampai ke kawasan pisang Mas, Sang Beruk Makye terasa perutnya sendat. Angin mengah menolak dua tiga kali, tapi tamak halobanya terus melobi-lobi .

Kali ini Sang Lutung sudah memandai-mandai. Belum pun bosnya mempelawa, dia dengan berani merabut pisang Bunga yang ranum di tandan. Di makannya sebiji demi sebiji.

Sang Beruk Makye sudah kenyang, tapi tamak halobanya terus mendesak. Anih, dia tidak pun menghalang Lutung, Setiausahanya, tapi dia juga macam budak-budak sekolah berebut kacang putih. Beberapa biji yang lembik isinya, yang ranum, dimasukkan ke uncang pipi kiri, pipi kanan. Dipolok gemben sampai pipinya kembung bulat.

Di polok-poloknya lagi pisang yang lain ke pipi sebelah kanan, ke sebelah kiri sampai termengah-mengah hendak ketawa . Kemudian dengan rasa tamak haloba, dia ajak juga setiausahanya ke rimbunan pisang yang lain.

“ Bos, macam mana kalau orang tahu kita makan pisang yang kita sendiri jaga?” tanya Setiausahanya, Lutung berkening lebat dan mata bulat hitam itu.

“ Hai, kita yang jaga, takkan kita tak boleh makan,” katanya dengan suara polokan. Kemudian dengan tenaga kenyangnya Sang Beruk Makye pun mengajak Setiausahanya lagi ke rimbunan pisang-pisang Rastali. Di situ juga banyak yang sudah masak.

“ Katakan saja kita nak rasa. Kita nak cuba,” katanya pada Lutung yang semakin seronok dapat makan percuma.

Selama hampir sebulan Sang Beruk Makye berbuat demikian. Setelah kenyang, di bawanya pulang untuk diberi pada bini, pada anak-anak. Yang mana pisang tua, disuruh bini peram dalam peti kemudian peti itu dikunci. Takut juga kalau-kalau ada beruk lain yang tahu.

Bagi Beruk Makye, makan pisang dalam estet yang dijaga bukanlah satu dosa atau pecah amanah. Sememang pun beruk makan pisang dan apabila sudah berada dalam estet pisang, bodohlah kalau tidak makan pisang. Rasa-rasanya mana-mana beruk pun tidak merasa hairan, malah Maha Beruk pun tentu tidak marah kerana sememangnya adat beruk,makan pisang.

Tapi sesekali dia terasa juga betapa bodohnya mereka melantiknya mengurus estet pisang. Bodoh yang utama ialah Maha Beruk Makye. Kalau sudah tahu beruk memang suka pisang, mengapa mesti lantik juga jenis beruk mengurusnya. Bukankah selamat kalau dilantik arnab atau anjing jaga estet pisang.

Persoalan itu tidak pernah dijawab oleh beruk-beruk lain atau bukan beruk. Semua tidak pernah mencurigai kerana estet pisang adalah satu-satunya estet syarikat kebajikan, lembaga amal dan institusi ibadah. Mana boleh sebarang orang cuba main kayu tiga. Lagi pula para pelabur yang menanam sepokok demi sepokok dulu terdiri dari mereka yang tongong bahlul yang sudah ditanam dengan kepercayaan bersih, cekap dan amanah.

“ Bos! Bos!”

Tiba-tiba Setiausahanya, Lutung Kengkang bergayut melompat datang ke rumahnya dan melaung sekuat hati dengan nada yang cukup bimbang. Dan dia yang baru buang tahi mata, yang baru sapu air liur basi kerana meleleh air pisang, terkejut sampai terkentut sulung. “ Apa hal?” tanyanya.

Bini yang gedempol yang baru saja kencing dicelah dahan juga hairan. “ Kenapa ni?” tanyanya.

“ Semua dah tahu,” kata Setiausahanya dalam keadaan mengah-mengah.

“ Tahu apa?”

“ Semua pisang yang masak ranum, mereka kata Bos yang makan.”

Lalu dia pun tersenyum. Mata beningnya direnung pada Setiausahanya. “ Habis, yang kau sebuk-sebuk ni kenapa?” tanyanya.

“ Mereka kata kita salah laku. Mereka kata Bos makan pisang-pisang haram!”

“ Takkan pelik?” tanyanya.

“ Taklah…tapi bukankah ini satu kesalahan. Bos cuma jaga pisang, bukan makan pisang!” kata Setiausahanya lagi sambil menggaru-garu celah kangkang yang berkurap panau.

“ Itulah bodohnya kau. Mereka pun bodoh. Adakah pula beruk tak makan pisang. Cuba tanya mereka, beruk mana yang tak makan pisang?” katanya dengan ketawa berdekah-dekah.

“ Yang bodoh ialah mereka yang melantik Sang Beruk Makye ini,” bininya pula mencelah. “ Macam kau juga yang bodoh, macam Maha Beruk Makye yang lantik laki aku juga yang bodoh. Kalau dah tahu beruk makan pisang, kenapa lantik beruk jaga estet pisang?” kata bini Sang Beruk Makye sambil tergelak sampai bergembat tetek landurnya.

Setiausahanya termenung. Kepala berbulu cering digaru-garunya.

“ Sudahlah… baliklah. Beruk makan pisang bukan perkara pelik. Lainlah kalau ular sawa atau arnab,” katanya.

“ Jadi…”

“ Jadi apa lagi?”

“ Jadi tidaklah pelik Bos makan pisang walaupun sampai berjuta-juta mayang?”

“ Ya, bukankah aku ni beruk. Kalau bukan beruk sukakan pisang, siapa lagi?”


“ Tak salahlah?”

“ Memang tak salah kerana kita jenis Makye makan pisang. Yang salah mereka yang lantik kita suruh jaga estet pisang. Faham tak? Kalau sudah kucing makan ikan, kenapa suruh kucing tunggu ikan? Kalau sudah musang makan ayam, mengapa lantik musang jaga reban?”

“ Bos memang betul. Saya tebik buah fikiran Bos,” kata Setiausahanya.

“ Cuma yang aku minta, jangan sekali-kali kau beritahu, cara mana kita lugas pisang-pisang yang masak di tandan. Jangan kau beritahu cara mana kita ambil pisang-pisang tua dan jangan beritahu di peti mana pisang-pisang tua itu kita peram.”

“ Walaupun sampai lapan juta tandan?”

“ Hahhh, kau diam sajalah. Kalau kita tak makan, lutung kera lain juga akan makan. Dari segi konsepnya, sama saja. Tak gitu?” kata Sang Beruk Makye dengan ketawa terkekeh-kekeh.

Lalu Setiausahanya pun turut ketawa terkekeh-kekeh. Bini pun senyum kerepot, turut juga ketawa terkekeh-kekeh. Di pagi itu mereka bertiga melompat-lompat keriangan kerana berita yang terakhir diberitahu oleh Lutung yang setia taat itu, semua pisang yang di makan, akan diganti dengan pisang-pisang yang akan diimport.

0 comments: