Layang-Layang Tak Bertali
Posted byLAYANG-LAYANG TAK BERTALI
-Azizi Hj Abdullah
-Azizi Hj Abdullah
Tiba-tiba saja penduduk sekitar kampung dan kawasan persawahan yang baru dituai itu heboh. Sah, bukan layang-layang. Tapi yang melenggok melenggang, melilau ke kiri ke kanan, melayah menurun macam pula layang-layang. Hairan! Apakah itu malaikat? Mana mungkin malaikat seperti itu. Apa pula misi malaikat kalau betul malaikat?
Bigfoot lagi mustahil. Masakan Bigfoot boleh melayah-layah ke angkasa ke sana ke mari. Jadi kalau bukan Bigfoot, apa?
Tak seorang pun dapat menjawab. Leha yang termonok-monok mancari ikan sepat dalam londang dan kubang, hanya melangut dengan mulut terbeber, menjegil melihat penuh hairan. Pak Dahaman yang sedang terbongkok-bongkok mengerbok lubang batas kalau-kalau ada tikus membuat sarang, berdiri melentik-lentik badan kerana lenguh kerinjal, terlopong mulut sampai meleleh air liur. Dalam kepalanya jenuh memikir benda apa sebegitu rupa.
Yang lain jadi keranjat. Mengerubut hairan. Saling bertanya tetapi tak seorang pun tahu apa bendanya.
Benda itu bukan ternampak kelmarin, tetapi sejak kelmarin dulu, sejak kelmarin dulunya, sejak kelmarin dulunya lagi melayang melayah, melenggok-lenggok berseni macam lenggang Kudang Kepang di Dataran Pasir Gudang.
“Mustahil layang-layang!” kata Pak Dahaman, satu-satunya orang lama di kampung itu. Badannya yang sudah melengkong tua, kulit lengan yang kendur kering kerana tikaman mentari seharian, menolak-nolak tudung daun nipahnya, mendangak melihat benda yang melilau melayah melayang itu.
Lima enam orang yang turut bersamanya ketika matahari segalah hendak jatuh mengakui hakikat itu dengan menganggup-ngangip hairan juga. Masakan layang-layang. Pertama kerana mereka tidak nampak seutas tali pun dari benda itu. Kedua, benda itu melilau lebih dari had kemapuan lenggok layah, ke bawah ke atas tanpa ikut arus angin. Layang-layang hanya mampu melayah, menurun menaik bercanggah angin. Kalau layang-layang masakan ia mampu ke mana-mana sekitar kawasan ruang sempadan persawahan tanpa tali, tanpa ada kontrol dan tanpa mengikut sistem arah angin. Masakan layang-layang kalau bentuknya tidak sedikit pun berciri layang-layang.
“Tengok, sayapnya panjang dua meter. Kepalanya seumur hidup aku tak pernah tenguk kalau itu layang-layang. Ekor layang-layang biasanya berambu-rambu, mengibar-ngibar seperti renda. Ini tidak. Empat segi, berpalang macam tangga kayu rumah kita!” kata Pak Dahaman untuk mengukuhkan lagi dakwaannya.
“Hairan, tak bertali!”
“Memang pun tak ada tali!” tukas yang lain kerana begitu lama mereka mengamati benda di ruang udara sempadan persawahan itu. Dan yang peliknya, apabila gumpalan awan berat berarak, benda itu tersusup ke dalam gumpalan kemudian muncul pula dengan dengung nyaring yang membingarkan.
“Fuh, dengungnya hebat!” Hajah Bibah yang sangat tidak berkenan cucu-cucunya bermain layang-layang turut meluahkan hairan. Layang-layang yang cucunya bermain pun berdengung juga, tapi dengungnya dari daun nipah yang dikoyak nipis. Bunyi pun macam tebuan dalam buluh.
“Tentunya dibuat dari tali keset Syarifah Aini yang dah tak pakai!” begitu pula kata Saidin, pemuda yang jadi broker jentera menuai di kawasan itu.
Pak Dahaman memang tak berapa sedap dengan kehadiran benda yang melayang melayah di ruang sempadan persawahan itu, lalu menawarkan diri rumahnya menjadi tempat perjumpaan malam itu untuk membincangkan apa sebenarnya benda yang melayah melilau, berdengung membingar di ruang persawahan mereka yang baru saja dituai itu. Kalau perlu, kata Pak Dahaman, perkara itu akan diadu kepada ketua kampung atau JKKK.
“Biarkanlah Pak Dahaman,” tiba-tiba Husin, satu-satunya pemuda yang yang menjual baja subsidi sawah menyanggah. “Lagi lama benda itu melayang melayah di ruang dekat kawasan kita, lagi bagus, seronoklah sikit!”
“Apa yang bagus?” Pak Dahaman seakan mengherdik. Hidungnya berair selsema, ditenyih-tenyihnya geram.
“Sekurang-kurangnya kita boleh tenguk hari-hari. Itu kan satu show. Jom Heboh! Dia bukan kacau ganggu kita!” tukas Husin lagi. Dia jelepok di atas batas kering, di sisi Leha, janda anak tiga yang masih tring-tring itu.
Memang pun semua orang kampung keluar beramai-ramai petang itu apabila Pak Dahaman kerah keriau suruh berhimpun di hujung permatang untuk mempastikan benda apa yang melayang melayah, melenggok lenggang, senget kulai ke kiri ke kanan tak ketahuan hala. Berdengong macam langsuir kena paku. Maka berhimpunlah mereka di bawah pokok cenerai, bertenggek di atas batas, menyandar di perdu mempelam tua. Dan akhirnya membuat keputusan satu perjumpaan akan di adakan di rumahnya.
Bukanlah menggemparkan sangat, tetapi menghairankan. Layang-layang tak bertali itu, apakah sebabnya melilau melayah, melenggok senget ke kiri ke kanan, menjunam turun, menyacak naik, berdengung bersipongang, kemudian sekejap hilang, sekejap muncul. Kadang-kadang masuk ke dalam gumpalan awan, kadang-kadang tak bergerak seperti helang mematikan kepak sayap mengintai tikus di celah pokok menerung.
Yang gegetun pasal tak bertali, berlegar-legar berhampiran sempadan sawah yang sudah kering kontang. Yang anehnya, tidak ada siapa yang tahu benda yang melayang melayah di ruang angkasa itu untuk apa. Sempadan kawasan sawah itu hanyalah dipisahkan sedikit pokok bakau, kemudian sungai lebar dan kemudian laut. Kawasan itu termasuk dalam sempadan kuasa persawahan.
Tapi itulah. Betapapun heboh dan gegetun, tak seorang pun anggap berbahaya. Bahaya apa kalau layang-layang tak bertali berlegar-legar di ruangnya sendiri. Lainlah kalau dalam ruang udara sebelah sini. Pak Dahaman bolehlah tenggalung atau lastik layang-layang tak bertali itu atau mencari punca dari mana layang-layang pelik itu dinaikkan.
Layang-layang tak bertali? Tak seorang pun berani mengakui ia layang-layang, baik layang-layang tradisional atau layang-layang teknologi moden. Tapi tak pula seorang pun berani menafikan, ia memang semacam layang-layang kerana kelegaran dan kelilauan, kelenggokan ke kiri ke kanan, naik turunnya macam layang-layang juga. Cuma yang lain sikit, benda itu mampu menahankan dirinya, berlegar melayah walaupun bercanggah angin.
Malam itu perjumpaan pun dibuatlah. Selepas solat isya, semua datang hendak buat resolusi dan akan diajukan kepada ketua JKKK dan ketua JKKKlah akan memanjangkan rosulusi itu. Pak Dahaman sudah menetapkan setidak-tidaknya tiga empat orang mesti melapurkan persepsi masing-masing tentang layang-layang tak bertali itu. Jika hujah mereka logik, hujah itu akan dipakai. Lalu ditetapkan, Leha, perempuan separuh umur yang mula-mula nampak benda itu melayang-layang di ruang udara bersempadan dengan kawasan persawahan memberi laporan. Kemudian Hajah Bibah yang sangat marah pada cuc-cucunya bermain layang-layang. Kemudian Saidin, broker jentera menuai padi setiap musim dan pelapor terakhir ialah Husin, pemuda yang gilakan janda anak empat, yang selalu mengambil kesempatan menjual baja subsidi padi.
Pak Dahaman yakin mereka dapat memberi laporan lengkap dan dari laporan itu akan dibuat resolusi dan akan di kemukakan kepada ketua JKKK untuk tindakan.
Laporan pertama daripada Leha, janda yang tinggal seorang diri itu pun dibaca: “Terbang dan lenggok sengetnya macam layang-layang, tapi bukan layang-layang kerana tak ada tali, sayapnya tak macam layang-layang, kepalanya bukan kepala layang-layang, ekornya bukan macam ekor layang-layang.”
Kebimbangan: oleh kerana dengungnya kuat dan hingar, saya bimbang segala ikan-ikan yang ada dipermukaan kubang dan londang akan terkejut dan tidak akan timbul lagi. Susahlah saya nak cari makan, ‘ demikian laporan Leha.
Laporan kedua: “Benda itu sangat lain dari layang-layang cucu aku. Aku pun tak pernah tenguk seumur hidup. Tapi aku juga tak yakin dia layang-layang kerana tak bertali. Aku hairan macam mana benda yang macam besi itu boleh melilau, terapung dan terlayah-layah di udara tanpa diikat apa-apa. Yang peliknya benda itu macam ada orang kontrol. Kesimpulannya, aku takut benda itu jin globalisasi atau langsuir jelmaan.’
Tiba-tiba semua ketawa kukkik-kukkik.
Laporan ketiga: “Apa benda pun aku memang tak suka. Mungkin itu teknologi yang berkuasa menyedut dari atas buah-buah padi kita sebaik-baik saja padi menguning. Mana tahu dengan benda itu, dia sedut sebiji demi sebiji padi kita dari tangkainya. Habis, saya yang jadi broker jentera setiap kali menuai, nak makan apa? Bukankah itu haram jadah punya benda?”
Laporan keempat: “Saya adalah orang yang bertanggung jawab membeli baja subsidi yang kalian dapat. Sama ada dia layang-layang betul atau benda ciptaan manusia, satu saja yang saya bimbang.”
“Apa dia?” tiba-tiba ramai yang bertanya. Suasana sudah berubah.
“ Mana tahu benda itu dari kompeni mana-mana korporat nak ambil alih menabur baja dari atas ke sawah kita. Kalau macam tu, baja subsidi kita tak ada faedah lagi. Tapi bukan itu yang menakutkan.” Tiba-tiba Husin memberi suspen lagi.
“Laaa...” semua hairan pada Husin yang berdiri dengan hanya ber T-Shir hitam dengan seluar Jean lusuhnya.
“Saya bimbang, benda tu tabur kimia. Macam kimia beracun di Afghanistan, di Iraq dulu, macam kimia bom Atom untuk memusnahkan padi-padi kita.”
“Masakan tak pasal-pasal ada orang dengki macam tu?” entah siapa mencelah pertanyaan dekat pintu hendak turun ke dapur.
“ Oi, zaman sekarang berlambak-lambak orang bersifat dengki. Apa kata kalau sawah kita disembur racun? Padi tentu rosak. Tanah-tanah tak subur lagi. Kemudian bila tanah tak menjadi, adalah alasannya yang tanah itu boleh dibeli dengan pampasan, lalu dibangunkan rumah-rumah mewah. Kita gigit jari. Nak beli tak mampu.”
Barulah yang hadir malam itu membeliak mata. Yang kiri perhati yang kanan. Yang kanan perhati yang kiri. Jengok sana, jengok sini. Angguk-angguk dan berdehem.
Pak Dahaman melenting di tengah hadirin. “Aku sangat setuju laporan terakhir. Inilah kemungkinannya!” seakan-akan ia menjerit. “Tapi sayang, tak seorang pun yang lapor benda apa sebenarnya. Kita belum putuskan!” katanya pula dengan nada kesal.
“Macam mana kita nak lapor,” Saidin, broker jentera menuai pula bangun. Punggung seluarnya yang carik itu tidak disedari. “ Benda tu memang kita tak tahu, layang-layangkah atau burung besikah, Bigfootkah, malaikat dari langit ke tujuhkah, iblis neraka jahanamkah?
“Tapi dia merbayaha,kan?” Pak Dahaman bertanya.
“Mana boleh berbahaya! Dia bukan apa-apa. Dia cuma melayah melayang, turun naik, melilau macam layang-layang putus ekur. Dia tak bawa apa-apa dan tak pun gugur apa-apa. Lagipun lantaklah, dia melayah melayang di kawasan udaranya, bukan di atas ruang tanah sawah kita. Dia punya pasallah!”
Sangat sakit Pak Dahaman dengar kata-kata itu. Leha yang melaporkan mula-mula tadi kelihatan gelisah macam hendak bangun menonggek pounggungnya. Kata-kata dari Mat Bongok rupanya. Siapa yang jemput tak seorang pun tahu. Tapi nampaknya ramai bersetuju dengan alasan Mat Bongok, yang kelihatan sopak di bibir kiri mulutnya.
“Biarkan. Benda tu tak kacau kita. Dia melayah dalam ruangnya. Dia tak minta makan pada kita. Bunyi bising, memanglah tapi nak buat macam mana. Bunyi bukan benda boleh ditanam dalam tanah. Apa alasan kalau kita nak marah pada tuan punyanya? Ruang itu ruang dia. Seinci pun tak masuk ruang kita!”
Alangkah sedihnya Pak Dahaman apabila ramai yang hadirr serentak bersuara agar menghantarkan resolusi kepada Ketua JKKK bahawa penduduk tidak merasai apa-apa dengan kehadiran layang-layang tak bertali itu. Biarkan, biarkan, biarkan! Dia tak kacau kita. Dia bukan apa-apa.
Pak Dahaman jadi tersentot. Keputusan itu keputusan ramai dan dia tidak mampu mengubahnya. Itulah jauhnya mentaliti petani yang sekian lama merdeka, fikirnya. Tak ada pemikiran masa depan. Statik. Jumud.
“Tuan-tuan tahukah, menjelang malam, apa yang tuan-tuan nampak di kepala benda itu?” Pak Dahaman seperti pakar saintis bertanya. Dia ingin semua yang hadir berfikir lebih jauh.
“ Pak Dahaman, kaca botol yang pecah pun, nampak berkelip-kelip kalau kena cahaya!” tukas Mat Bongok lagi dengan berani.
Malam itu kerana terpengaruhnya dengan hujah Mat Bongok, Pak Dahaman terpaksa akur dengan kehendak ramai. Satu resolusi akan dibuat dan dikirimkan kepada ketua JKKK menyatakan, seluruh penduduk kampung tidak merasai apa-apa curiga dan bimbang dengan kedatangan benda itu; layang-layang tak bertali!
Malam itu Pak Dahaman tidak dapat melelapkan matanya. Tak disangka keputusan seperti itu dibuat. Mat Bongok memang haram jadah. Mat Bongok memang Si Kitul Raja Mandaliar. Mat Bongok memang waris zamanTemasik dilanggar Todak. Babi! Haram jadah!
Dengan apa hendak diberitahu sedangkan pengetahuan sainsnya amat sedikit. Dia hanya mampu mengerti sendiri, bahawa muncung layang-layang tak bertali itu memiliki cahaya yang berkelip berkedip, baik siang atau malam, yang mempunyai makna misi tertentu.
Mahukah ketua JKKK memahaminya kalau dia bercerita? Tapi malam semakin jauh. Esok saja dia akan menemui ketua JKKK. Pak Dahaman terasa bininya mengodek-ngodek kaki. Itu satu misi penting. Misi itu perlu dipenuhi juga.
0 comments:
Post a Comment