Luka Rakyat: Seorang Rakyat Dan Secebis Derita

Posted by Tukya

Perjuangan rakyat memugar tanah untuk sekadar melanjutkan hidup buat disambung oleh anak cucu dikisahkan dalam Luka 1 ini. Betapa atas nama pembangunan, rakyat miskin dipaksa memberi laluan. Kuasa dan akta menjadi senjata perampas tanah daripada golongan lemah sehingga ahli politik hanya menjadi petualang meminggir rakyat untuk kemudiannya melahap keuntungan di atas derita rakyat.

Untuk melihat kemiskinan yang menghimpit orang kampung bukannya susah. Kemiskinan ada di mana-mana. Di kampung-kampung memang kaya dengan kemiskinan. Kita juga tidak sukar mencari orang miskin, apalagi untuk mengenali mereka. Yang sukar kita temui ialah usaha daripada pihak yang bertanggungjawab meringankan kemiskinan mereka.

Mereka tidak tahu politik apalagi hendak berpolitik. Tetapi politiklah yang sering menekan mereka, menjadikan mereka tidak mendapat keadilan dalam kehidupan. Bayangkan dengan lima anak, dengan hanya menoreh getah, menjual sekerap yang hanya sekitar 1 kilo berharga 80 sen, jika berusaha keras pun, seseorang yang miskin hanya akan mendapat 10 kilo. Itu pun tidak dapat menampung perbelanjaan selama 30 hari sebulan. Paling banyak 20 hari atau 15 hari.

Bayangkan untuk meneruskan kehidupan bersama anak isteri. Bayangkan jika rancangan seorang bapa untuk menghantar anak-anaknya ke peringkat universiti.

Bayangkan …
Kota Aur, Pulau Belantik, Sik bukan satu tempat terkenal. Ia bukan Bandar Laguna atau Bukit Merah Lake Town Resort. Atau tasik di Putrajaya. Ia hanya perkampungan tersorok yang kaya dengan belukar dan pokok-pokok getah tua yang diiringi muzik mergastua. Di sanalah penghuninya kaya dengan kemiskinan dan kemiskinan adalah klasik yang dibiar oleh tangan-tangan yang berkuasa.

Mencari rumah Salleh bin Lebai Che Noh, 67, salah seorang yang dicakar takdir agak sukar kerana rumahnya tidak bernombor dan halaman rumahnya tidak ada gapura. Kemiskinanlah yang menjadi pasport untuk cepat sampai ke rumahnya. Tidak kurang lima orang yang berselisih di jalan, ditanya. Sifat mereka ramah, tapi mereka hanya menunjuk ke satu arah yang cukup samar untuk sampai.

Akhirnya, masuk ke satu jalan kecil yang berturap tar yang sudah lama. Sukar untuk kereta berselisih. Sekali lagi bertanya pada sebuah rumah di tepi jalan, barulah sah rumah Salleh bin Lebai Che Noh. Rumahnya agak kemas, terletak di atas banggul yang sedikit tinggi, dalam celah pokok-pokok kopi yang tidak terjaga, getah dan pokok buah-buahan lain yang tidak teratur.
Di permukaan lorong hendak masuk ke rumahnya, ada satu bangsal buruk. Di situ terdapat sebuah lesung penumbuk padi dan beberapa bakul biji kopi yang belum diproses.

“Pak Salleh tak ada,” beritahu seorang perempuan yang sedikit gemuk. Itu pasti isteri Salleh.

“Ke mana?”
“Dia ke sungai, tahan bubu.”
“Boleh panggil tak?”

Sifat orang kampung dengan budi bahasa yang tinggi, permintaan disambut dengan tergocoh-gocoh menuruni banggul. Tentu sungai tidak jauh dari rumah. Menunggu Salleh bin Lebai Che Noh di bangsal sambil melihat keunikan lesung penumbuk padi yang sudah kian pupus. Sebentar kemudian terdengar batuk-batuk dan dehem. Dari celah-celah pokok kopi, kelihatan seorang tua berketayap putih yang lusuh, berkain pelekat singkat tanpa baju, dengan terbongkok-bongkok melangkah gagah menaiki banggul. Di tangannya sebilah pisau cakuk.

“Assalamualaikum!” Dia mula menyapa dulu.
Itulah Pak Salleh yang tersangat berhajat menemuinya. Salleh bin Lebai Che Noh, yang usia mudanya telah dihabiskan menjadi peneroka tanah, tapi kemudiannya menggigit jari sahaja.

Salleh, seperti pemuda lain ketika berusia 20-an dulu, memiliki tenaga yang luar biasa. Ia bukan sahaja menghabiskan tenaganya dengan bersilat dan menabuh gendang, tetapi juga memerah keringat setiap hari kepada tanah, membanting tulang menebang dan menebas pokok dan semak samun bagi persediaan penempatannya dan juga sebagai kawasan pertanian. Bersama datuk dan ayahnya yang inginkan satu penghidupan baru, Salleh ditanam dengan semangat cintakan tanah dan pada tanah, rezeki akan melimpah.

Setiap hari mereka perhambakan tenaga. Dengan azam yang kukuh, mereka menukarkan hutan belantara dan paya rimba menjadi sawah, kebun, dan dusun buah-buahan. Rupa-rupanya usaha itu telah mendapat sokongan, galakan, dan restu daripada pihak berkenaan.

“Di sini kehidupan baru kita,” kata datuknya yang sudah kering cengkung kerana sekian lama tenaganya dicurah pada rimba belukar itu.

“Atuk mahu kau hidup di sini. Ayah kau pun mesti di sini,” kata datuknya lagi ketika berehat di dangau sambil menjamah nasi berbungkus daun pisang.

“Jika kita boleh hidup di tanah pugaran kita, Leh, kenapa kita tidak boleh mati di sini?” Kata ayahnya pula.

Memang benar, fikir Salleh sambil melihat tegap sasa tubuh ayahnya yang belum pun berusia 40-an. Setelah berhari-hari disiram dan diminum kata-kata yang sangat meyakinkan, dia pun berazam. Dia yakin seperti datuknya, seperti ayahnya bahawa mereka adalah kumpulan awal meneroka di situ dan biarlah mati sahaja yang mengakhiri kehidupan mereka.

Tapi, apa yang diidamkan dan apa yang mereka cita-citakan hanya sebagai mimpi. Sumbangan tenaga dan titik peluh bertahun-tahun seperti tercurah di atas daun keladi. Apa yang diberitahu kepada mereka, mereka tidak punya hak apa-apa dari segi undang-undang tanah.

Bersama dengan kawan rakan demi menyambung amanah arwah datuknya dan bapanya, Salleh terus merayu supaya diberikan hak milik kepada mereka. Tapi malang, padi yang ditanam, jagung yang tumbuh. Salleh dan kawan rakannya yang sama-sama dulunya meneroka, hanya mampu melihat tanah yang dipugar mereka diambil dan diberikan pula kepada syarikat, agensi kerajaan, dan orang-orang yang berpengaruh.

“Sebelum zaman darurat lagi, Pak Leh sekeluarga telah meneroka hutan tebal itu untuk dijadikan kawasan kampung. Kami pugar belantaranya, kami luaskan tanah dusun, kami tanam dengan pelbagai pokok buah-buahan,” kata Salleh yang kini sudah menjangkau usia 67 tahun, tapi masih mampu mengunyah sirih pinang.

“Di mana kawasan tu?” Pertanyaan disambutnya dengan riang walaupun hanya duduk berjuntai di bangku panjang daripada batang halban yang ditarahnya.

Pak Salleh menunjuk-nunjuk ke arah matahari naik. Dia yang tidak berbaju itu jelas nampak bulu ketiaknya ketika tangannya dijulang-julang. Badannya yang tegap dan berulas-ulas memberi keyakinan pada dirinya bahawa Pak Salleh ini mampu meneroka puluhan relung bersama keluarganya ketika usia mudanya.

“Di Pulau Belantik sana tu,” beritahu Pak Salleh sambil menyeka air pinang yang meleleh di tepi bibirnya. “Pak Leh dengan keluarga memugar seluas 80 relung di empat kawasan. Setiap kawasan kami teroka seluas 20 relung,” katanya lagi dengan megah.

Alangkah gagahnya Pak Leh dengan keluarganya memugar seluas 80 relung pada zaman yang tidak ada jentolak, bulldozer atau mesin pemotong pokok. Siapa pun akan kagum kiranya mengukur kemampuan yang ada. Mustahil rasanya.

“Mana-mana bahagian yang kami teroka, kami namakan dengan nama orang tua kami. Semua tanah itu kami bayar hasilnya di Pejabat Tanah,” beritahu Pak Salleh lagi.

“Bererti tanah-tanah itu sudah diiktiraf oleh Pejabat Tanah, kalau tidak masakan cukai dibayar?”
Pak Salleh mengangguk-angguk mengakuinya.

“Bila tiba peristiwa darurat tahun 1948,” kata Pak Salleh sambil melipat sepiak lagi sirih, “nasib kami juga turut berubah.”

Sememangnya menghairankan. Apakah nasib yang berubah itu bererti semua peneroka telah menjadi orang kaya baru atau tanah terokaan mereka mengandungi bijih timah?

Menurut Pak Salleh, apabila darurat diisytiharkan pada tahun 1948, kawasan Pulau Belantik yang sememangnya kawasan hutan belantara, berbukit, dan bergunung turut diisytiharkan sebagai kawasan ‘hitam’ dan semua penduduk dikehendaki berpindah ke satu tempat yang disediakan oleh kerajaan.

“Pak Leh sedih. Tanah yang Pak Leh basahi dengan peluh, masakan boleh ditinggalkan begitu saja. Tapi apa boleh buat, itu perintah,” kata Pak Leh dengan sedih. “Tapi jangan lupa,” katanya lagi, “tanah yang kami terokai itu, cukai tanahnya semua kami bayar. Tapi malangnya ketika itu kerajaan telah membekukan bayaran hasil. Dalam keadaan darurat, semua orang tidak bebas berjalan. Kami yang meneroka kawasan yang dihitamkan oleh darurat itu diberi permit untuk memasukinya. Selama tiga tahun kami diberi permit untuk memasuki tanah pugaran kami,” terang Pak Salleh lagi. Semakin lama nampaknya gugup gagap Pak Salleh semakin hilang.

Riak dan kedut wajah Pak Salleh yang sudah menjangkau hampir 70-an ini ada cahaya kebenarannya. Tapi mungkin ingatannya sedikit pudar. Di wajah itu ada garis-garis jujur, tapi nampak juga garis-garis kehampaan.

Sejarah zaman darurat memberitahu perisytiharan kawasan hitam tidak selamanya. Di sana sini, apabila ancaman komunis sudah bersih, maka kawasan hitam itu pun diisytihar putih semula. Demikianlah juga dengan Pulau Belantik. Menurut Pak Salleh lagi, apabila Pulau Belantik tidak lagi menjadi kawasan hitam, mereka pun dibenarkan kembali memugar, menjaga, dan memelihara tanaman mereka. Jadilah kami, kata Pak Salleh, bagaikan belut pulang ke lumpur.

“Kami tukarkan tanah terokaan kami kepada taraf kampung, ladang getah, dan dusun-dusun,” terang Pak Salleh lagi. “Tapi pada tahun 1985, kami semua terkejut apabila menerima notis meminta kami berpindah kerana tanah terokaan kami telah diserah kepada FELCRA untuk dimajukan sebagai estet getah.”

Masakan tidak gelisah dan bimbang, kalau tanah yang diteroka yang sudah jadi darah daging kehidupan, tiba-tiba beralih milik. Maka, Pak Salleh dengan kawan-kawannya pun segera menemui pegawai daerah untuk meminta kepastian ke mana agaknya mereka hendak ditempatkan? Di mana mereka akan tinggal? Tapi alangkah kecewanya apabila mereka disuruh membuat rumah di atas rakit dan tinggal di situ.

“Bayangkanlah kalau selama lapan tahun kami hidup dalam keadaan tak menentu, kais pagi makan pagi akibat tanah daripada titik peluh kami diambil oleh pihak FELCRA,” kata Pak Salleh lagi sambil menggetu-getu serpihan pinang di dalam bekasnya.

“Kami sangka segala-galanya berjalan lancar. Tapi, ternyata tanaman asal getah yang dimajukan sebagai estet getah pendapatannya tidak begitu lumayan,” katanya lagi.

Pak Salleh adalah di antara puluhan kawannya yang cukup gelisah dan bimbang dengan keadaan itu. Walaupun FELCRA telah mengambil alih kawasan tanaman getah asal bertujuan hendak memperbaiki taraf hidup, tetapi nampaknya mereka menghadapi kemerosotan pendapatan.

Pada awalnya mereka menerima hanya RM100 untuk setiap enam bulan dan kemudiannya dinaikkan kepada RM200 dan dinaikkan lagi kepada RM250. Tapi, itu tidak lama. Ia sebagai umpan sahaja. Selepas beberapa kali dibayar, akhirnya bayaran itu turun kepada RM170 sahaja.

Kenapa?
Tiada jawapan. Tiada penjelasan.

Akhirnya, Pak Salleh dengan azam dan cintakan pada tanah terokaannya, yang peluh keringat sudah banyak tumpah di tanah itu, dia pun mengambil keputusan sendiri. Pak Salleh telah menoreh sendiri di tanah terokaannya yang seluas lapan relung, kemudian diikuti oleh lapan orang rakannya.

“Jika kerajaan benar-benar hendak menghapuskan kemiskinan, mereka seharusnya beri tanah itu kepada peneroka dan bukan kepad a FELCRA atau di kalangan tertentu yang sudah kaya. Juga bukan kepada orang politik!” Katanya dengan kuat kepada kawan-kawannya pada satu hari. Suaranya itu bersipongang di celah-celah pokok getah.

Kami yang mendengar cerita Pak Salleh yang masih tegap walaupun sedikit bongkok itu, turut sama bersimpati. Kami dapat membuat kesimpulan, bongkok sabut Pak Salleh tidak lain kerana kesetiaannya menebang, menebas, dan memugar hutan sehingga menjadi ladang.

Kami juga faham bahawa tanah kerajaan negeri sebahagian besar diagih-agihkan kepada orang yang tidak layak menerimanya. Oleh kerana orang-orang ini tidak sanggup mengotorkan tangan mereka, maka banyaklah pula tanah yang dianugerahkan itu menjadi semak dan terbiar. Bukan mustahil tanah itu dijual pula.

Dalam proses pemindahan, notis diberikan dalam masa yang singkat. Tanah mereka dimusnah dan sering dinafikan daripada bayaran pampasan atau diganti tanah.

Bukankah pemindahan peneroka yang hanya bertujuan komersial dan perindustrian akan meningkatkan lagi masalah sosial? Penduduk setempat akan hilang mata pencarian. Apa pun yang terjadi, mereka tetap percaya bahawa adat Melayu telah menyatakan jika seseorang meneroka tanah hutan menjadi kawasan pertanian, ia mempunyai hak untuk memilikinya. Tapi, bagaimana mereka?

Janganlah Dirahsiakan

Sistem pemberian hak milik tanah sebenarnya diselubungi rahsia. Tidak ramai yang tahu bila dan bagaimana Exco Kerajaan Negeri memutuskan tanah manakah yang telah diambil, akan diambil, dan kepada siapa yang hendak diberi. Apa pula kriterianya? Siapa yang dapat dan kenapa apabila petani sebagai pemilik sah tanah tersebut sangat sukar untuk mendapat kelulusan?

Sebenarnya, pemberian hak milik tanah tidak seharusnya dirahsiakan. Ia juga tidak sepatutnya menjadi isu politik. Ia mestilah tertakluk kepada penelitian awam dan bertanggungjawab. Permohonan harus diumumkan. Bantahan orang awam seharusnya diterima dan keutamaan mestilah diberikan kepada mereka yang tidak bertanah.

Merujuk kepada cerita di atas, semestinya kepada merekalah, kerana mereka adalah perintis. Mereka harus diberi keutamaan. Alasan mereka harus dicatat mengenai kenapakah permohonan tanah tertentu diterima atau ditolak?

Dasar pemberian hak milik tanah negara perlu dinilai semula dan berdasarkan kepada prinsip keadilan sosial.

Derita orang kampung untuk memiliki tanah dan mengusahakan tanah adalah derita yang tidak pernah diambil peduli oleh sesiapa. Wakil rakyat atau YBnya akan dapat menepis itu dan ini, termasuk itu bukan urusannya, yang lebih berkuasa pejabat tanah, pegawai daerah, dan lain-lain. Tapi, apa pun alasan, yang nyata rakyatlah yang derita.
Tanah bukanlah nyawa untuk hidup, tapi tanah amat diperlukan untuk meneruskan sesebuah kehidupan. Ia komponen penting. Tapi bagi Salleh, 67, misalnya, ia memerlukan tanah bukan untuk jadi kaya lagi. Ia memerlukan tanah untuk dipusakai oleh anak cucunya. Itu sahaja.

Pak Salleh sudah bergelambir kulit badannya. Lututnya pun tidak sekukuh mana jika berdiri solat lama-lama. Anak cucu ramai, tapi yang ramai itu tidak boleh Pak Salleh menumpang senang. Mereka pun dua kali lima. Kehidupan mereka tidak pernah kenal apa itu mewah. Adalah seorang dua cucu yang bekerja makan gaji, tapi gaji itu pun tidak cukup untuk memewahkan kehidupan keluarga yang sudah lama miskin.

Pak Salleh tidak tahu teori yang muluk-muluk. Yang ada dalam diri Pak Salleh ialah satu pancang keyakinan bahawa tanah adalah sumber kepada cita-cita kehidupan yang diperkukuhkan oleh emosi, psikologi, dan budaya. Tanah bagi Pak Salleh ialah batu asas kehidupan yang membawa kepada berkembangnya keturunan. Pak Salleh tahu, semakin besar keluarga semakin sempitlah tanah. Semakin ramai anak cucu, tanah akan menjadi sempit sejengkal demi sejengkal.

Tapi, Pak Salleh tidak kecewa dengan semakin besarnya keluarga. Dengan cara itulah Pak Salleh mendidik bahawa tanah perlu diusaha dan dicari tambah.

Tiba-tiba Pak Salleh tersentak. Ia bukan berita lawatan YB ke kampungnya, tetapi itulah hakikat yang telah dibuat dan tidak ada sesiapa pun yang mampu menentang. Ia seolah-olah pendapat yang telah digantikan daripada apa yang diketahuinya selama ini bahawa tanah hanyalah komoditi yang boleh dibeli, digadai atau dijual bagi memperoleh keuntungan.

Hubaya-hubaya! Kata Pak Salleh kepada anak cucunya.

Lalu, ia menjadi semakin dominan apabila aktiviti pembangunan berlaku dengan pesat sehingga mencetuskan gejala sosial dan alam sekitar. Seluruh masyarakat pun akan tersingkir dan Pak Salleh juga terasa akan hal ini.

Pak Salleh tidak tahu apa ekosistem, apa sumber alam, apa alam sekitar, apa empangan, apa padang golf, apa pusat membeli-belah, tapi semua itu adalah sumber kesedaran Pak Salleh.

Siapa punya angkara pun Pak Salleh tahu. Dari cakap-cakap anak cucunya yang mengaji sedikit tinggi, Pak Salleh memang sedar semuanya kerana penyalahgunaan kuasa dan pencabulan keadilan. Alangkah baiknya mereka ini tidak ada kalau adanya mereka semata-mata jadi anjing dan iblis penyalahgunaan kuasa dan pencabulan hak seseorang.

Sepertinya, apalah yang Pak Salleh tahu apabila semua itu diatur dengan rapi, disusun dalam kertas kerja yang orang sepertinya tidak pernah membaca, mewujudkan pelbagai peruntukan kononnya, dan kemudian dikata pula inilah undang-undang yang dipersetujui oleh rakyat.

Apabila orang seperti Pak Salleh cuba menentang, akan disanggahlah oleh mereka, bahawa persetujuan dibuat oleh wakil rakyat dan wakil itu ialah wakil yang rakyat pilih sendiri.

Apakah ini betul? Jangan tanya Pak Salleh. Tanya sahajalah pada wakil itu sendiri kerana kejujuran itu ada pada mereka.

Cup-cup terdengarlah ini Kanun Tanah, ini Akta Pengambilan Tanah, ini pindaan. Kesemuanya menjadikan Pak Salleh dan orang-orang seperti Pak Salleh berlinangan air mata kerana sedih, betapa tanah pusaka nenek moyang menjadi mangsa.

Wujudlah cebisan-cebisan undang-undang yang membolehkan pemaju-pemaju yang gelojoh, yang tidak prihatin, yang bersikap 'mau makan siapa' dan orang-orang politik yang tidak langsung bertanggungjawab untuk merampas tanah-tanah milik orang awam seperti Pak Salleh. Melalui lesen, akta, dan undang-undang, mereka paksa dan kemudiannya diberi pampasan yang sangat tidak adil.

Peranan yang besar dimainkan oleh wakil rakyat dan pemaju yang sudah membeli orang politik dengan sumbat-menyumbat tembolok mereka. Memang Pak Salleh sedar orang politiklah yang sangat 'kurang ajar' yang selalunya rakyat menjadi mangsa.

Tapi malang, Pak Salleh tidak boleh berbuat apa-apa, malah tidak mampu pun hendak membuat kain sepanduk sebagai tanda membantah.

Pak Salleh bukan intelektual yang mampu membaca dan mendengar radio mahupun menonton TV. Tapi, sebagai peneroka dan hamba abdi kepada tanah, Pak Salleh terasa setiap getar dan gelombang yang berlaku terhadap tanah. Seperti berlaku di Langkawi, satu-satunya pulau legenda yang orang-orang Melayu boleh berbangga dengan tanah, Pak Salleh pun mengalami keadaan yang sama.

Memang … memang pun Akta Pengambilan Tanah mengancam hak pemilik tanah. Tapi, mengapa ia boleh terjadi? Sepatutnya Akta tidak boleh diluluskan jika rakyat tidak setuju.

Pak Salleh pun menjawab secara bodoh; yang meluluskan itu terdiri daripada mereka yang tidak ada tanah. Dengan akta itu mereka boleh mengambil tanah kepunyaan orang lain. Logiknya, buat apa hendak ambil sesuatu barang kalau barang itu sudah ada?

Inilah yang dikatakan kerja orang politik. Jika ia teringin sesuatu atau dua tiga orang kawan-kawannya inginkan sesuatu, maka digunalah kuasa politiknya. Jika dia tidak mengambil, komisen tetap ada.

Kadang-kadang dia menggubal untuk tujuan dirinya, kadang-kadang untuk kroni, kadang-kadang kerana bersifat tamak dengan anggapan dia boleh hidup menongkat langit.

Akta pun digubal dan dia membawa ke Parlimen atau DUN untuk diluluskan. Hujahnya kerana negara dan kepentingan awam.

Tengok, berapa banyak tanah diambil melalui Akta Pengambilan Tanah, kemudiannya diserah kepada pemaju. Siapa pemaju itu? Tanya orang politik, mereka akan kata merekalah pembangun negara. Tapi, hakikatnya apa? Komisennya sahaja pun orang politik ini dapat berjuta-juta. Yang peliknya orang politik ini orang Melayu. Maka, jadilah 'Melayu bunuh Melayu'.

Seperti Pak Salleh atau tuan tanah yang lain, mereka cukup sedar tetapi apa yang dapat mereka lakukan dalam keadaan tua-tua begini. Apa yang diharap, biarlah anak cucu mereka bangkit pada suatu hari nanti. Biarlah anak cucu mereka tahu, yang menjadi penghisap darah sebenarnya ialah mereka yang bernama 'orang politik' yang menggunakan kuasa politik mereka mengambil hak orang lain.

Orang-orang politik seperti ini cukup kurang ajar. Mereka sanggup lakukan apa sahaja untuk diri mereka, kroni mereka, tauke, dan pemaju asalkan ada '%' yang mereka dapat.

Oleh itu, Pak Salleh mahupun mereka, berharap perkara ini janganlah dirahsiakan lagi. Bongkarlah.

Tapi itulah … siapa yang hendak bongkar? YB? Ahhh, merekalah yang menjadi petualang sebenarnya. Masakan mereka mahu tolong kalau dibandingkan Pak Salleh yang memiliki tanah dengan Tan Sri Leong, seorang korporat yang boleh memberi komisen ten percent.

Siapa yang hendak peduli kepada Misah, seorang janda yang tinggal di kaki Gunung Mat Cincang, Langkawi, yang tidak punya adik-beradik lagi apabila tanahnya yang seluas 12 hektar diambil begitu senang untuk dijadikan 'pembangunan perlu' bagi kepentingan awam. Bukan apa, hanya untuk dijadikan pusat peranginan. Itu sahaja.

Memang gantinya ada atau setidak-tidaknya pampasan. Tapi, yang menjadi persoalan kita, tidak adakah apa-apa di sebalik itu? Kenapa mesti mengambil sesuatu untuk memewahkan orang lain?

1 comments:

  1. Anonymous

    The louis vuitton fashion house is well known for its world class and excellent style. This French fashion designer produces many types of louis vuitton handbags and totes, and also many other kind of items. Though Louis Vuitton 2010 are considered one of the much Collection Beach Caba by replicates, getting the real thing is an awesome experience.