Gapena Jawap Azizi

Posted by Tukya

Oleh PROF. ISMAIL HUSSEIN

PENGARANG Azizi Abdullah yang terkenal sebagai ideologue sebuah parti politik, tidak bersetuju dengan jalan yang diambil oleh Gapena (Mingguan Malaysia 23 April) dan beliau menafikan kejayaannya, termasuk dalam lapangan kebudayaan Islamiah. Dapat diduga yang beliau mengambil sikap konservatif, sangat hurufiah dan hitam putih dan seolah-olah menafikan kehadiran bangsa Malaysia serta dunia global yang sudah menjadi cukup kompleks dan tidak dapat lagi ditangani cara lama.

Dalam Gapena kami menganggap yang kami telah berjaya menangani dunia yang kompleks seperti itu, bagi kebaikan bahasa dan kebudayaan Melayu, termasuk peradaban Islam, secara keseluruhannya. Buktinya terpampang di depan mata.

Saya sama sekali tidak bersetuju dengan cara-cara yang digunakan oleh Azizi dalam menegakkan hujahnya. Seperti biasa dalam budaya politik di pedalaman Malaysia, diselitnya ejekan dan perli-memperli dan yang ini tentulah tidak sesuai bagi masyarakat terpelajar. Lebih-lebih lagi beliau sengaja menambah apa yang tidak pernah ada dan menggelapkan apa yang sedia ada, semuanya sekadar untuk mengelirukan masyarakat dalam mencari kemenangan bercakap.

Ungkapan yang beliau tambahkan sendiri bahawa Gapena itu “menolak, ragu, anggap tidak sesuai” akan misi, ini adalah ciptaannya sendiri, tidak pernah timbul secara eksplisit atau implisit dalam Gapena.

Lebih malang lagi Azizi menggelapkan usaha Gapena dalam kebudayaan Islamiah yang terpampang di dalam Warta Gapena April 2006. Saya kutipkan sepenuhnya.

Bergiat

“Apabila dihisabkan jumlah seluruh penduduk bangsa-bangsa Melayu di dunia, di bawah istilah bangsa-bangsa Melayu-Polinesia, ada sekitar 350 juta jiwa semuanya dan dari keseluruhan itu hanya sekitar 15 peratus yang bukan beragama Islam.”

Hakikat ini menegaskan pentingnya Gapena mencari pengertian akan hubungan Islam dengan kebudayaan. Maka sepanjang hayatnya memang Gapena bergiat untuk itu dan demikianlah terbentuknya pelbagai program untuk itu dengan Pelita dan negeri Terengganu, sayugia diingat yang Gapena pernah menganjurkan seminar agama dan sastera yang pertama di Kuala Terengganu pada 28-29 Julai 1973.

Di Terengganu juga berlangsungnya Hari Sastera 1978 (24-27 Julai) yang bertemakan Islam Sebagai Sumber Sastera. Bersama Pelita di Terengganu dilancarkan Anugerah Sastera Darul Imam khas untuk penulisan kreatif yang Islamiah terbuka kepada pengarang Melayu antarabangsa (anugerah ke-v ditutup 31 Disember 2006) dan sayembara penulis digandingi pula dengan siri Simposium Darul Imam yang semuanya memusatkan pada sastera Islamiah.

Hubungan Gapena dengan Aceh juga membawa cita-cita yang sama, apa lagi tatkala pujangga Aceh, Prof. A. Hasjmy masih hidup.

Di samping semuanya ada juga penerokaan yang lain. Sekali Gapena ikut terlibat dalam penyelenggaraan Festival Kebudayaan Pattani (19-21 Oktober 2003) di mana disuntikkan ke dalamnya unsur kebudayaan Melayu yang memungkinkan masyarakat setempat berkomunikasi dengan yang bukan muslim.

Terakhir adalah Seminar Pemikir Kebudayaan dan Islam bersama Yadim dan pada 1-11 Mei 2005 diselenggarakan sekali lagi Pertemuan Melayu di Tanah Suci II mengulangi pertemuan tahun 2000.

Jelas apa yang dipersoalkan Azizi adalah cara dan bukan hasilnya. Saya cadangkan yang Azizi tidak sekadar berkhutbah dan menghukum, tetapi gunakan organisasi yang beliau libati, cuba mencapai hasil yang lebih cemerlang daripada apa yang telah diperoleh Gapena, supaya ini dapat dijadikan contoh kepada yang lain.

0 comments: