Gapena Oh Gapena

Posted by Tukya

Mingguan Malaysia 23 April 2006.

Ketika menunggu bermulanya majlis Pertemuan Prakongres Bahasa dan Persuratan Melayu VII Zon Utara di bilik mesyuarat Hotel Summit Bukit Mertajam 8 April lalu, Ainon Mohamad, Penerbit PTS menyua naskhah Warta Gapena April 2006. Lalu ditunjuknya halaman tiga tulisan Dari Meja Ketua Satu, Tan Sri Ismail Hussein.

Dibulatnya perenggan dua, tiga dan empat. Oleh kerana Warta Gapena (Suara Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia) sukar ditemui, melainkan orang tertentu sahaja, maka elok saya perturunkan tulisan tersebut, seperti yang ditunjukkan oleh Ainon.

“Agak menarik pada dekad Gapena ditubuhkan, apabila kesedaran Islam mula memuncak di Malaysia, ada desakan kuat (yang datangnya tak lain tak bukan daripada pengarang Shahnon Ahmad sendiri) supaya gerakan Gapena juga diislamkan, yakni dimasukkan sebuah paragraf tentang misi pendakwahan dalam Perlembagaan. Bagaimanapun kita memilih jalan yang dilalui sekarang, yakni bebas dan tidak mengungkapkan cita-cita keagamaan.

Hujah yang kuat dalam mengambil jalan itu, ialah kerana bahasa Melayu itu sudah merupakan bahasa kebangsaan negara, yang dipunyai juga oleh warga-warga yang bukan Muslim, dan sebuah badan gabungan mestilah menaungi semuanya. Jikalau pengarang Muslim membina sebuah persatuan Muslimnya sendiri, maka ditakuti yang bukan Muslim juga punya hak untuk membina persatuannya pula.

Dengan yang demikian tidak ada persatuan dan perpaduan dalam dunia bahasa Melayu, dan ini akan bertentangan dengan konsep dan cita-citanya. Bagaimanapun kita rasa apa yang dilakukan itu sangat tepat dan benar, sesuai dengan keperluan zaman dan negara. Juga harus diingati yang bahasa Melayu di dunia luas juga (terutamanya di Indonesia) dipunyai oleh masyarakat pelbagai agama, dan kita harus berkomunikasi dengan mereka secara intensif.”

Demikian tulis Ketua Satu Gapena. Dan dua perenggan lagi dinyatakan pula, “Ada satu dua persatuan pengarang Muslim di Malaysia yang ditubuhkan selepas konfrontasi itu, semuanya tenggelam, tidak seperti Gapena.

Apabila Gapena terus bergiat dalam kebudayaan lantaran tidak terkurung, maka Gapena telah berjaya meneroka ke dalam bangsa-bangsa Melayu yang bukan Muslim.”

Saya terkedu membacanya. Ada beberapa hal yang mampu saya melahirkan rasa hairan. Adakah suara Ketua Satu ini suara Gapena atau suara peribadi? Adakah kerana pencarian ‘Melayu’ di dunia Melayu sudah berjaya maka rencana itu ditulis begitu rupa seolah-olah memperkecilkan misi lain yang lebih besar?

Atau adakah misi dakwah Islam itu sangat bertentangan, tidak sesuai, bahaya kepada gerakan kebangsaan melalui berkat usaha Gapena menyatukan badan-badan penulis Muslim dan non-Muslim?

Tetapi yang jelas nampak Ketua Satu Gapena sangat curiga dan jika misi pendakwahan ini dimasukkan memberi impak perpecahan yang cukup besar kepada gabungan ini. Yang lebih mendukacitakan pada pendapat kita ialah seperti misi pendakwahan Islam ini satu tempelan dan bukan pasak kukuh dalam perjuangan memartabatkan bahasa dan budaya.

Hujah kita ini mampu diperkuatkan lagi apabila kita melihat sejarah Gapena dengan ‘Dunia Melayunya’, mencari Melayu di manamana dan berjumpanya hanyalah sehelai dua manuskrip dan kelompok-kelompok Melayu yang tidak ada kemelayuannya. Malah apa yang diharapnya tidak lebih dari bertemu, bersembang dan berseminar.

Patutlah dalam Citra Kemelayuan dan Citra Gapena (lihat Anugerah Sastera MASTERA 2006 Malaysia) hal-hal dakwah, misi keislaman tidak disebut pun, yang seolah-olah ia adalah misi yang sangat kecil peranannya. Bagi Gapena, kesedaran kemelayuan adalah kesedaran yang melampaui batas-batas negara, malah agama, kesedaran akan akar, akan asas-asas primordial.
Maka Gapena telah mencapai ke puncak kejayaannya apabila mendakwa dari segi penerokaan dunia Melayunya dan hal-hal rutin dalaman, mengisi dan melengkapkan cita-cita secara konkrit, melakukan hubungan bangsa Melayu di Asia Tenggara serta diasporanya di dunia dengan simposium historis di mana-mana.

Memang kita sangat kagum dan kejayaan itu adalah kejayaan yang tidak boleh diabaikan begitu saja. Tetapi apabila ada semacam penolakan, keraguan, menganggap tidak sesuai dengan masyarakat lain dan ‘ditakuti’ tentang misi pendakwahan ini, apakah ini tidak menunjukkan satu anggapan bahawa Islam yang dimisikan dalam perjuangan memartabatkan Melayu, bahasa dan budaya sebagai satu wadah yang tidak mampu berbuat apa-apa?

Perjalanan Gapena dengan dunia Melayu sudah lama dilihat tetapi mendekati kepada misi pendakwahan sebagai tanggungjawab Muslim sangat kering. Roh sebagai badan induk yang mampu meniup misi pendakwahan yang sepatutnya dilakukan tidak menjadi minat Gapena. Lalu satu gambaran nyata daripada pucuk pemimpin betapa misi pendakwahan Islam ini diragui, ditakuti amatlah mendukacitakan.

Buku Islam Di Malaysia dan Sastera Nusantara, susunan Hamzah Hamdani terbitan Gapena 2005, Resolusi Seminar Kebangsaan Pemikiran Islam & Kebudayaan bulan Februari 2006, catatan Datuk Dr. Zainal Kling yang lalu memberi jawapan betapa bercanggahnya dengan tulisan Ketua Satu Gapena sendiri, sekiranya kita melihat misi pendakwahan Islam itu memain peranan dan memberi impak yang besar terhadap perjuangan kebahasaan mahupun kebudayaan.

Agak pelik Gapena mengusulkan perkara 1 dalam resolusi itu bahawa ulama, ilmuwan, budayawan dan umarak sentiasa bersama- sama berjuang menunaikan tanggungjawab mencorakkan pemikiran budaya yang jelas dan praktikal demi kecemerlangan hidup berbudaya tinggi serta melahirkan masyarakat cemerlang, gemilang dan terbilang. Mengapa dalam seminar itu juga dicadang menubuhkan satu institusi kebudayaan dan kesenian Melayu Islam?

Kita lebih terpengaruh dengan gagasan beberapa ulama baik di Malaysia dan Indonesia, bahawa cendekiawan, sasterawan, penulis mempunyai tanggungjawab dalam bidang masing-masing. Tanggungjawab ini tentulah terhadap agamanya dan pastinya tanggungjawab itu dilakukan melalui misi dan method pendakwahan.

Tetapi apabila suara rasmi Gapena menyatakan itu atas alasan ‘takut, bimbang dan tidak sesuai’ apakah yang dapat kita lakukan selain keluhan? Sesungguhnya orang-orang Gapena perlu lebih banyak membaca kitab dari mengembara mencari Melayu.

1 comments:

  1. Unknown

    Komentar yang menusuk kalbu. (Dr. Irwan Abu Bakar).