Menyusuri Gagasan Gapena

Posted by Tukya

Oleh: REJAB F. I.

SAYA terpanggil untuk membicarakan tentang gagasan Gapena yang dibicarakan oleh Azizi Haji Abdullah dan Rahman Shaari. Sebelum ini saya tidak pernah berbicara tentang Gapena setelah meletakkan jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Gapena pada tahun 1994. Semua ini lantaran prinsip bahawa Gapena adalah wadah penulis (Gabungan Persatuan Penulis Nasional, bukan Gabungan Persatuan Budaya) dan perjuangan memartabat dan memperkasakan bahasa Melayu.

Kerana kedua-dua gagasan tersebut tidak diberi perhatian sebaik mungkin termasuk melunasi Perlembagaan Gapena maka saya nekad mengundurkan diri.

Jika Azizi membicarakan tentang gagasan dakwah dan menganggap Gapena perlu diislamkan, Rahman Shaari pula membicarakan naratif kecil-kecilan dalam Gapena. Saya ingin menumpukan kepada naratif-naratif besar yang terdapat dalam Perlembagaan Gapena. Antara naratif-naratif besar itu adalah:

“Mempertahan dan memperjuangkan hakhak dan kepentingan penulis, dan berusaha untuk memajukan bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.”

Ternyata bahawa naratif yang pertama begitu kurang diberi perhatian, cuma naratif kedua iaitu memajukan kebudayaan Melayu di peringkat antarabangsa yang diutamakan. Sewajarnya kedua-dua naratif itu diseimbangkan. Lantaran pembangunan kebudayaan tanpa diseimbangkan dengan pembangunan penulisan maka pincanglah Gapena.

Gapena selama ini begitu lumrah dengan kegiatannya mencari Melayu di serata dunia. Antaranya ditemui Melayu Sri Lanka 1985 dan 1997 (dua kali), Campa Kuno-Vietnam Tengah 1992, Cape Town-Afrika Selatan 1993 dan 1996 (juga dua kali), Kunming-Yunan 1994, Marawi City-Mindanao 1996, Cebu City, Filipina 2001, Madagascar 1997 dan 2001 (dua kali), tanah suci Mekah 2000 dan Lembah Chao Praya- Bangkok 2002.

Kata Azizi, Gapena menyeleweng daripada dasar perjuangannya, “Lebih banyak mencari Melayu di luar negara, Melayu dalam negeri tidak dicari.”

Sebenarnya kegiatan-kegiatan Gapena mencari Melayu di luar negara itu memang baik. Sekurang-kurang para penulis tanah air berpeluang berkunjung ke negara-negara tersebut untuk menimba pengalaman. Berhasil juga menemui Melayu meskipun kata Azizi, Melayu yang ditemui itu bercakap Melayu pun tidak boleh. Maka kini terdapat sekian ramai Melayu di dunia, lebih 250 juta orang. Sehingga seramai itu, sewajarnya bahasa Melayu berupaya menjadi salah satu bahasa dunia, tetapi bahasa itulah di negara kita sendiri terpinggir diketepikan!

Sejauh mana perjuangan Gapena untuk memartabat dan memperkasakan bahasa Melayu mengikut naratif yang diutarakan oleh Rahman Shaari seperti yang terdapat dalam Perlembagaan Gapena?

Ketua Satu Gapena, Tan Sri Ismail Hussein menyokong penuh usaha kerajaan menggunakan bahasa Inggeris untuk mata pelajaran Sains dan Matematik mulai tahun 2004. Kenyataan itu amat memeranjatkan saya dan sekian ramai Ketua Satu para kerabat Gapena.

Kami berpendapat adalah wajar beliau hanya menyebut ‘no komen’ apabila ditanya oleh wartawan tentang soal tersebut, maka akan terubatlah luka di jiwa kami.

Naratif kedua tadi, iaitu mempertahan dan memperjuangkan hak-hak dan kepentingan penulis.

Sebagai sebuah badan gabungan persatuan penulis tanah air, wajar sekali Gapena menumpukan agenda besarnya seperti yang dimaksudkan oleh Rahman Shaari sebagai wacana naratif besar itu. Naratif inilah sebenarnya perjuangan mutlak persatuan penulis iaitu menghasilkan penulisan sama ada kreatif atau bukan kreatif.

Sekian banyak lagi badan gabungan budaya terdapat di negara kita seperti Persatuan Sejarah Malaysia, majlis-majlis kebudayaan yang sewajarnya mengambil inisiatif tersebut.

Tetapi perjuangan Gapena tidak seimbang, lebih banyak menumpukan kepada aktiviti budaya seperti Pertemuan Dunia Melayu, Siri Dialog Gapena (utara, selatan, puncak, pantai, sempadan, Borneo-Kalimantan); Pertemuan Sasterawan Nusantara; seminar-seminar seperti Seminar Antarabangsa Dunia Melayu-Dunia Indo-Cina, Seminar Dunia Melayu Dunia Islam; Perkampungan Penulis Gapena; Simposium Penulis Perbagai Kaum, Hari Puisi Nasional, Hari Sastera dan sebagainya.

Di manakah hasil penulisannya? Yang penting bagi anggota badan kerabat Gapena sebagai badan induk persatuan penulis adalah hasil penulisan terutama sekali dalam bidang kreatif kerana sekian ramai ahli-ahli badan penulis terdiri daripada penulis-penulis kreatif. Setelah berusia 35 tahun (Gapena ditubuhkan pada 23 Oktober 1970) sebanyak manakah hasil-hasil penulisan diterbitkan?

Memang tidak dapat dinafikan bahawa banyak juga hasil penulisan kreatif dan bukan kreatif diterbitkan, terutama sekali hasil daripada kegiatan sayembara seperti Hadiah Sastera ESSO-Gapena, Hadiah Novel Melayu Baru Perangsang-Gapena dan Hadiah Sastera Darul Takzim. Menerusi sayembarasayembara tersebut, diterbitkan karya-karya yang menang, lumrahnya diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

Memang pada peringkat awal, penubuhan Gapena mempunyai semangat yang berkobar-kobar mendukung dan memperjuangkan hasil-hasil penulisan itu meskipun tanpa wang yang banyak. Ketika itu mengharapkan Dewan Bahasa dan Pustaka dan sekian banyak penerbit lain yang terdapat di negara ini menerbitkan karya anggota badan penulis di bawah gabungan Gapena. Ketika itu slogan Gapena adalah menyumbang kegiatan secara ‘sukarela’. Pada prinsipnya memang berjaya.

Tetapi kini sesudah 35 tahun, Gapena mempunyai dana yang agak besar, memiliki harta iaitu 14 unit bangunan kilang industri ringan di Taman Perindustrian Bukit Serdang dan tanah seluas 18.49 hektar di Sungai Tekali, Hulu Langat, termasuk tapak dan rumah Gapena yang menjadi perebutan dengan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (rujuk Ismail Hussein Bersama GAPENA halaman 403).

Apakah tidak mungkin Gapena menerbitkan karya daripada anggota badan kerabat seperti novel, antologi cerpen atau antologi puisi pada setiap tahun?

Gapena mempunyai anak syarikat Gapena-Niaga. Aktiviti itulah sewajarnya diutamakan oleh Gapena sebagai ‘kegiatan perdana’ atau yang dimaksudkan oleh Rahman Shaari “naratif besar” berdasarkan atas nama ‘Gabungan Persatuan Penulis Nasional’, bukan Gabungan Persatuan Budaya!

Aspek inilah yang dianggap oleh Azizi bahawa Gapena telah menyeleweng daripada dasar dan perjuangannya. Suatu aspek lagi yang benar-benar diharapkan oleh kalangan penulis, anggota badan gabungan Gapena adalah dilema yang dihadapi tentang penyiaran atau penerbitan hasil-hasil karya dan royalti daripada para penerbit termasuk akhbar-akhbar dan majalah.

Dalam perlembagaan Gapena menyebut ‘memperjuangkan hak-hak dan kepentingan-kepentingan penulis’. Silalah rujuk buku Biografi dan Koleksi Ismail Hussein Bersama Gapena, sejumlah lebih 500 halaman), amat sedikit ditemui senarai kegiatan utama itu daripada sedemikian banyak kegiatan yang dilakukan oleh Gapena selama ini.

Maka tertanya-tanyalah kita apakah sebenarnya perjuangan Gapena melunasi perlembagaan itu? Jika tidak, apakah benar Gapena telah menyeleweng daripada perlembagaannya? Sesebuah persatuan semestinya merujuk kepada perlembagaan atau undang-undang tubuh persatuan, jika tidak apakah ertinya perlembagaan itu? Seperti Perlembagaan negara kita, apa ertinya Perlembagaan jika rakyat dan pemimpin sering tidak mematuhi perlembagaan kita?

Ketika terpilih dalam mesyuarat agung Gapena mulai 2000 hingga 2004, saya berusaha mengetengahkan dan memperjuangkan naratif tersebut agar Gapena memberi ruang kepada penulisan kreatif, sekurang- kurangnya dimuatkan sebuah atau beberapa buah puisi dalam Warta Gapena yang diterbitkan saban bulan.

Selain sekian banyak kegiatan Gapena yang memenuhi setiap keluaran apa salahnya dimuatkan juga karya kreatif seperti puisi yang dihasilkan oleh para peserta dalam setiap aktiviti, misalnya Pertemuan Dunia Melayu Di Mekah, atau Lawatan Pengarang-Pengarang Malaysia ke Uni-Soviet (USSR) pada 1988.

Ketika diadakan Pertemuan Penulis Melayu Serumpun, di Daik-Lingga pada 4 hingga 8 Julai 1999, seorang peserta, juga seorang penulis Riau yang terkenal iaitu Sutardji Calzoum Bachri mengeluarkan pendapat yang keras, menyelar Gapena kerana begitu sibuk dengan pesta-pestaan sedangkan hasilnya amat kurang.

Lantas saya membuat pengakuan bahawa sesuatu hasil penulisan akan diterbitkan sempena perkampungan tersebut. Saya berusaha mengumpulkan bahan dan berjaya diterbitkan oleh Gapena dengan kerjasama Malaysia Encyclopedia Reseach Center Berhad, sebuah dokumentasi berjudul Daik Bonda Tanah Melayu.

Sesudah itu saya berusaha pula menerbitkan Lampiran Kreatif untuk Warta Gapena, cuma satu keluaran saja kerana sekian banyak masalah yang saya hadapi. Ketika menjadi AJK Kerja Gapena juga saya berusaha menerbitkan antologi puisi Sumpah Setia Bahasa, terkumpul sekian banyak puisi daripada anggota badan kerabat Gapena, menyuarakan hasrat dan perjuangan memartabatkan bahasa Melayu.

Ketika menghadiri suatu mesyuarat Jawatankuasa Kerja Gapena, di Menara Kuala Lumpur, saya terus berjuang dan berusaha agar Gapena melaksanakan naratif besar itu, akan tetapi saya diherdik oleh Ketua Satu Gapena selaku pengerusi mesyuarat tersebut.

Dua faktor itulah, iaitu perjuangan memartabatkan bahasa Melayu dan perjuangan melaksanakan naratif besar (penulisan) menerbitkan hasil-hasil karya kreatif anggota badan kerabat yang kurang diberi perhatian oleh Gapena - perhatian utama diberikan kepada kegiatan-kegiatan budaya - saya meletakkan jawatan.

Apakah kerana penyandang jawatan tertinggi Gapena rata-rata terdiri daripada kalangan yang bukan penulis kreatif maka naratif itu bukan merupakan suatu naratif besar?

Demikian gagasan yang dilaksanakan oleh Gapena selama ini, sebuah badan gabungan persatuan penulis yang begitu hebat perjuangan dan kegiatannya dalam lapangan budaya sehingga disegani oleh para pemimpin dan para cendekiawan segenap pelosok negara sehingga menyeberangi lautan terutama sekali mencari Melayu.

Kini kita tertanya-tanya sejauh mana perjuangan Gapena sebenarnya untuk memartabatkan bahasa Melayu dan sejauh mana pula peranannya menepati objektif perlembagaan Gapena iaitu mempertahan dan memperjuangkan hak-hak dan kepentingan penulis?

1 comments:

  1. Unknown

    Tn Hj,

    Tahniah di atas kelahiran blog ini.
    Moga dapat berkongsi ilmu di laman ini.