PEMIMPIN PAS JANGANLAH TERLALU HEMOI

Posted by Tukya

Isu Dr. Mahathir Mohamad yang dilaporkan kesal dengan beberapa keputsan kerajaan kemudian mengkritik kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Abdullah Badawi telah memberi peluang kepada beberapa pemimpin Pas naik ‘perasan’ seperti kata pepatah, pipi tersorong-sorong wahhal hidung selamanya penyet. Ramai di kalangan pemimpin Pas telah membuat perhitungan lembik , mudah percaya dan tidak dapat menilai apa itu ‘isme’ seseorang.

Kecuali Nasaruddin Mat Isa yang saya lihat memiliki daya fikir yang sederhana dan faham tentang percarutan politik terhadap ‘isme’ politik seseorang.

Apabila Dr. Mahathir melahirkan dengan nada kesal, walau apapun alasannya, orang tetap nampak bahawa sebenarnya ada sesuatu yang dilindungi oleh Dr. Mahathir dan dengan kata-kata yang lebih tepat, Dr. Mahathir tidak begitu jujur jika mau anggap sebagai nasehat.

Tapi malangnya beberapa pemimpin Pas cuba menangguk air keruh ini dan nyata keruh di hulu itu tidak menjernihkan di kuala. Beberapa pemimpin Pas termasuk pemudanya ditipu dan diperbodoh oleh Dr. Mahathir yang terkenal dengan licik politik dan egonya. Sekaligus, apabila ada pelawaan supaya dicempung Dr. Mahathir naik ke pentas Pas, cuba menyebelahi Pas, senyum-senyum dan hemoi-hemoi muka, ternyata lagi kita merasa malu dengan riaksi Dr. Mahathir terhadap Pas.

Saya secara peribadi tersangat benci mengikuti perkembangan ini walau pun saya tidak pernah menyokong Umno. Kebencian saya bermula sejak Dr. Mahathir yang sangat kuat ismenya dengan Umno, menjadi pemimpin yang membelasah Pas, memperkecil Pas, yang tidak pernah bertolak ansur, malah Islam yang dibawa oleh Pas, dipandang hanya sebelah mata.

Tiba-tiba apabila Dr. Mahathir menghentam kerajaan yang pernah diterajuinya selama 22 tahun, ia bukan anih tetapi merupakan ‘budak jahat dalam politik’ atau ‘laki yang gila talak’. Malangnya beberapa pemimpin Pas terlupa dan tidak membaca karenah politik masa lalu.

Beberapa pemimpin Pas ini menganggap, inilah masanya mereka boleh menggugat Umno, BN kerana harapan mereka Dr. Mahathir akan menyebelahi Pas.

Bagaimana pun pemimpin Pas yang terlibat ini tidak pernah membaca sejarah pemimpin Umno yang keluar atau mengkritik Umno, sama ada Tunku Abdul Rahman atau paling dekat Tengku Razaligh. Ramai pula pemimpin Pas yang naik perasan seperti contoh apabila Datuk Paduka Ibrahim Ali dikatakan menjadi anak angkat Pas.

Saya menulis begini kerana ada beberapa perkara. Di antaranya manusia politik yang berpegang pada sesiatu isme, ia bukan mudah membeluk atau melencong ke isme lain. Maka apabila beberapa pemimpin Pas cuba mengambil kesempatan terhadap Dr. Mahathir, apakah mereka menganggap Dr. Mahathir begitu mudah meninggalkan ismenya?

Saya tidak tahu tujuan apa beberapa pemimpin Pas mengambil sikap terbuka terhadap Dr. Mahathir? Adakah kita cuba menyebelahinya kerana kita yakin saat inilah isu terbaik untuk menggodam Umno/BN atau kepimpinan Pak Lah? Atau kita sudah percaya Dr. Mahathir sudah terbuka pintu hatinya melihat betapa busuk dan kotornya hati perut Umno? Atau kita ingin Dr. Mahathir terus membelasah Pak Lah, Umno dengan harapan rakyat akan keluar dari Umno, menyokong Pas, dan yang akhir kita ingin melihat Dr. Mahathir menjadi ketua pembangkang, macam Pas pernah bermimpi tentang Datuk Seri Anuar Ibrahim men jadi ketua parti alternatif, maka bolehlah pengikut Pas meneru-neru ikut buntut mereka dan melaunglah ayat-ayat Qur`an, apabila datang hak, maka lenyaplah kebatilan!

Atau mulalah pula isu ini disesuaikan dengan kehendak agama. Keluarlah contoh tamsil bagaimana para sahabat Rasulullah. Malangnya kita hanya belajar tentang kebaikan orang tetapi tidak melihat kemunafikan orang.

Mursyid Am Pas dilaporkan menyambut baik cadangan supaya tiga bekas pemimpin Negara duduk semeja membincangkan survival orang Melayu. Disebut oleh Tuan Guru, Tun Dr. Mahathir, Dato’ Seri Anuar dan Tengku Razaleigh perlu melupai dendam politik dan peribadi untuk membincangkan masalah bangsa dan agama.

Memang betul seperti kata Dr. Mahathir, orang Melayu mudah lupa dan orang yang pertama lupa ialah dari kalangan pemimpin Pas sendiri.

Masakan kerana Dr. Mahathir mengkritik jambatan bengkok yang dibatalkan, Proton dan satu dua lagi, maka pemimpin Pas mula percaya keUmnoan Dr. Mahathir mula terhakis? Apakah dengan kritikan itu akan memadamkan segala karenah salah laku Dr. Mahathir terhadap rakyat dan Pas?

Apapun pada pendapat saya pemimpin Pas yang menunjuk minat kepada Dr. Mahathir ini tidak menemui jawapan apa-apa pun selain dari isu dan muslihat politik. Dan pihak ulama pula akan berkata, Islam menggalakan kita mengampuni kesalahan seseorang.

Begitu baiknya islam terhadap politik.

Saya tidak bersetuju sama sekali. Dalam politik tidak ada pengampunan dan tidak ada taubat. Pengampunan dalam politik sebenarnya apabila seseorang itu diseret ke mahkamah. Alasan saya ialah kerana sewaktu seseorang itu menjadi pemimpin, ia tidak pernah melakukan kesilapan atau kesengajaan. Ia melakukannya atas nama perancangan dan ini bukanlah ijtihad.

Kadang-kadang perancangan itu mempunyai muslihat; muslihat pribadi, keluarga atau kroni. Prancangan dan pelaksanaan dalam sesebuah negara yang dipimpinnya, bukan sebulan, bukan setahun. Maka apakah dalam masa yang lama ini seseorang pemimpin itu ‘masih tak sengaja?’

Dr. Mahathir memimpin selama 22 tahun. Berbagai perancangan telah dibuat. Bukan mustahil, selain dari keputusan Kabinet, ada juga keputusan secara pribadi. Kesalahan seseorang pemimpin terhadap rakyat dan negara bukan seperti seorang lelaki berzina dengan isteri orang, yang kemudian dosa besar itu perlu dipohon kepada suami selain dari rejam.

Kesalahan pemimpin dalam sesebuah negara, terhadap rakyat, terhadap dasar, maruah adalah kesalahan mandatori, di mana kesalahan itu mustahil dapat ditarik balik, kerana kerja buatnya adalah amanah dan amanah adalah suruhan Tuhan. Jika setahun tersilap, mungkin boleh dimaafkan tetapi jika hampir setengah abad, sehingga mampu mencorak arah tuju negara dan bangsa, apakah itu masih tidak sengaja?

Pemimpin Pas lupa tentang ini kerana terlalu seronok apabila ‘hanya seorang’ menggodam Umno dan mengkritik kerajaan. Bagaimana pun ini boleh dimaafkan, tetapi mengharap Dr. Mahathir semeja dan menjadi sayap pembangkang, ini satu harapan yang cukup mentah.

Tun Dr. Mahathir tidak sepatah pun menyebut kebaikan Pas, betulnya Pas ketika beliau mengkritik kerajaan walau pun itu yang diperjuangkan oleh Pas. Tahukah kita apa disebalik kritikan AP, jambatan bengkok atau beberapa dasar telah ditukar oleh Datuk Seri Abdullah?

Tulisan ini mungkin dianggap emosional. Tetapi saya ingin melahirkan kekecewaan kerana orang seperti Dr. Mahathir sudah beberapa kali menjentik ‘telur Pas’ namun Pas masih bermegah menunjukakan keIslaman yang lebih sehingga Pas ketinggalan masa dan terbuang tenaga.

Pas sepatutnya tidak menjadi tukang pungut isu. Apa untung kita menyua pipi sedangkan hidung tak tersorong. Lalu apabila Dr. Mahathir berkata, seperti yang dilaporkan di dalam Utusan Malaysia hari Khamis, 29 Jun yang lalu, ia seperti banjir yang menolak semua sampah sarap.

Rupa-rupanya sangkaan sebahagian besar pemimpin Pas betapa murninya kritikan Dr. Mahathir semuanya tidak betul. Ternyata teguran, kritikan Dr. Mahathir terhadap kerajaan dan Perdana Menteri, tidak jujur, mempunyai niat tertentu.

Ia bukan lahir dari seorang negarawan, bukan lahir dari bekas pemimpin, bukan kerana dasar sekarang silap, tetapi kerana beberapa dasar diubah sehingga menjadi seperti ‘esok aku mau makan apa dan lusa mau makan siapa?.’

Rupa-rupanya Dr.Mahathir ada udang disebalik batu. Rupa-rupanya Dr. Mahathir masih mau sesuatu, walaupun usia seperti ini, wang dan harta bukanlah agenda utama. Jika benarlah apa yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia keluaran 29 Jun muka 2, maka sepatutnya Pas beristighfar kerana mudah percaya kepada musuhnya sendiri.

Mengulas mengenai khabar angin yang menyatakan beliau tidak berpuas hati dengan pembatalan beberapa projek mega kerana mempunyai kepentingan ke atasnya, berita itu melaporkan ,Dr. Mahathir sekali lagi dengan sinis berkata: “Saya kehilangan segala-galanya kerana saya melabur kesemuanya ke dalam projek-projek kepunyaan saya.”

Maka tersentaklah beberapa pemimpin Pas yang sudah mula himpit-himpiot, cium tangan Dr. Mahathir, lalu berkata hairan: Laaa, begitu ke? Patut laaa!

7 comments:

  1. hakim dirani
    This comment has been removed by a blog administrator.
  1. hakim dirani

    saya suka tukya punya pandangan.
    salam pengenalan dari saya Hakim.

  1. Tukya
    This comment has been removed by a blog administrator.
  1. Zaharah

    Salam,
    Tukya, saya pun setuju dengan pandangan Tukya tu. Ya, teruskan mengulas isu-isu yang begini.

  1. Tukya

    terima kasih anakanda semua

  1. Tukya

    terima kasih anakanda semua

  1. rumah kebun

    Assalamualaikum Ustaz..
    Saya salah seorang pelajar Ustaz di Sekolah Tunku Malik Kelang Lama.
    Saya darjah 1 tahun 1977...Ustaz boleh agaklah tahun berapa Ustaz mengajar saya.Saya masih ingat Ustaz suka lukis pokok buluh di papan hitam.

    Saya menyokong pandangan Ustaz dalam mengagungkan Islam di era politik Malaysia.Sebagai Islam Melayu atau melayu Islam saya sangat-sangat teringin untuk melihat bersatunya bangsa Melayu. Biarpun Ustaz banyak menyerang UMNO atau Tun Mahathir dari segi pendapat dan pandangan, adalah lebih menarik sekiranya Ustaz selitkan isu antara politik Melayu (UMNO, PAS ,PKR(melayu) & parti melayu yg lain) dan politik bangsa lain di Malaysia.

    Saya tidak mahu peperangan antara Melayu akan menghancurkan ketuanan Melayu di bumi sendiri. "Mereka" ketawa pada kita....

    Wasalam...selamat menulis...
    p/s. Ustaz tak hisap curut dah kot.