KELAMPAUAN DALAM BUDAYA.

Posted by Tukya

Apabila selesai acara yang bermula jam 10.30 pagi hingga petang tentang perkahwinan Siti Nurhaliza dengan Datuk K, ia sebenarnya bukan hari terakhir sebuah kehidupan seorang artis tersohor dengan seorang ahli perniagaan bergelar datuk.

Seperti orang lain, perkahwinan tidak bererti tidak berpisah, bercerai, bergaduh, cemburu, kegoncangan rumah tangga. Sebaliknya selepas perkahwinanlah selalunya timbul tidak sefahaman, cemburu, terikat, tak sporting, hodoh, atau apa yang dinamakan dengan istilah lunak; tiada jodoh.

Sejarah artis yang mabuk kepayang sebelum berkahwin, gelagat bercinta dan luahan rasa dalam bentuk melampau sudah berlaku pada masa lalu. Tanpa bertujuan memburuk-burukkan seseorang, perpisahan artis yang dulunya digambarkan sebagai percintaan unggul dengan majlis perkahwinan melebihi ‘Royal Wedding’, kini sudah berpisah dan jika diukur nilai belanja perkahwinan mereka dahulu, kita menjadi bingung di mana hendak meletak keunggulan cinta mereka dengan keangkuhan acara perkahwinan mereka.

Nilainya mampu mengubati seorang kanak-kanak penyakit kanser di luar negara.

Gambaran-gambaran yang melampau ini telah menimbulkan persoalan, siapakah yang bertanggungjawab meng ‘highlight’ isu ini? Adakah wartawan-wartawan hiburan tidak tahu memilih sesebuah berita atau itulah sebuah ‘current issue’ atau sememangnya dikehendaki oleh artis terlibat untuk meningkatkan lagi ‘glamor’ mereka. Yang nyata kesannya ialah kepada masyarakat sehingga menganggap isu-isu itu adalah isu negara, isu terpenting dan kadang-kadang menenggelamkan teguran atau nasihat seorang mufti atau ulama.

Lebih parah lagi apabila isu-isu seperti ini di ‘highlight’, menggambarkan masyarakat Melayu khususnya, gila kepada budaya pembaziran, budaya kemegahan, budaya hiburan. Ia menggambarkan juga di Malaysia ini orang-orang yang penting ialah golongan artis.

Kini, isu percintaan, perkahwinan, persiapan ke arah majlis kenduri perkahwinan Siti Nurhaliza, yang dianggap penyanyi nombor satu negara dengan Datuk K melampaui isu-isu lain. Ia bukan saja mendapat penonjolan di dalam akhbar perdana di muka hadapan, tetapi juga mendapat liputan khas melalui TV, satu-satunya media elektronik yang sangat memberi pengaruh. Pada satu ketika ia melebihi siaran langsung pembentangan belanjawan atau lawatan perdana menteri. Apalagi ia mengatasi kemalapan siaran langsung Majlis Tilawah Al-Quran.

Semua liputan dan berita seolah-olah pasangan ini pasangan yang cukup ‘ideal’, melebihi percintaan Romeo dan Juliet, Laila dan Majnun, Uda dan Dara dan kemegahan membina tugu cinta mereka sama dengan Shah Jahan yang membina Taj Mahal. Tetapi masyarakat yang mabuk dengan isu ini, yang menganggap artis adalah segala-galanya lupa beberapa sejarah pahit yang memalukan. Bagaimanapun, masyarakat tetap bodoh oleh permainan tulisan-tulisan wartawan hiburan dengan kata-kata; kami tetap berkawan.

Perkahwinan sememangnya baik dan seharusnya kita berdoa agar pasangan (tidak saja artis) kekal jodoh sehingga akhir hayat. Tetapi apabila dalam waktu yang sama kita melihat bagaimana keangkuhan, keegoan, kelampauan (kadang-kadang dilebihkan oleh wartawan) kita tertanya-tanya, adakah segala macam yang digembar-gembur itu menjadi penting dan sepatutnya didedahkan?

Ia sudah menjadi riak, takbur, membazir, melampau dan kadang-kadang sampai melanggar tata susila hukum. Namun apa yang mendukacitakan, ulasan-ulasan dan paparan dari wartawan hiburan seperti ini tidak mengambil kira hal-hal hukum. Kerana mahu meng ’highlight’ kan orang-orang seumpama ini, mereka telah meletakkan seperti dewa Hanuman yang turun ke dunia.

Sebagai contoh, ambil saja isu percintaan, perkahwinan, majlis hantaran, persiapan majlis kenduri Siti Nurhaliza dengan Datuk K. Contoh ini sama sekali kita tidak meletakkan kesalahan, sangka buruk terhadap mereka. Tetapi kita ingin bertanya; Mengapa hal sebegini terjadi?

Antaranya ialah sebanyak tujuh kamera digunakan di Masjid Wilayah Persekutuan bagi tujuan merakamkan upacara perkahwinan. Siaran secara langsung pula dibuat. Pelamin diletakkan di dalam ruang masjid, satu-satunya rumah ibadah. Seramai 30 krew produksi akan bekerja keras.

Sebelum itu lawatan demi lawatan di Masjid Wilayah Persekutuan dibuat, seolah-olah upacara Tilawah peringkat dunia hendak diadakan.

Memanglah masjid sangat baik dijadikan tempat ijab qabul pernikahan. Tetapi apabila ia menunjukkan seperti melampau, riak dan bermegah-megah, menunjukkan kehebatan, apakah ia baik di sisi agama? Kita tidak tahu, apakah ia mendapat restu dari pihak pentadbir agama dan masjid di situ? Jika ia direstu dan diluluskan begitu mudah, alangkah malangnya pemikiran sebegitu rupa kerana pihak bertanggungjawab juga terbawa-bawa dengan budaya keglamoran artis-artis.

Bukan masanya lagi apabila ada orang berkata, apa pun yang dilakukan oleh seseorang, itu adalah hak mereka. Memang sesiapa pun boleh mengeluar hantaran RM1 juta, membelanja majlis perkahwinan RM1.5 juta, merancang akad nikah di dalam kolah masjid atau sebentuk cincin bernilai RM3 juta. Bukan masanya untuk kita berkata, jika dulu sebagai artis ia menjadi milik masyarakat tetapi kini ia menjadi milik bla..bla..bla...

Tetapi dalam masa yang sama, tidakkah kita merasa prihatin, sensitif dan peka terhadap enam ratus kanak-kanak yang menghidap sakit jantung, yang melanda kebanyakan keluarga berpendapatan rendah? Seperti Fariz, adakah sama RM111,111.11 juta belanja mas kahwin dengan 6 milimeter jantungnya yang berlubang?

Perlukah RM1.5 juta belanja kahwin, sedangkan di sisi masyarakat kita kanak-kanak seperti Fariz memerlukan alat mengepam dan proses pembedahan?

Apakah sesuai dengan masa, apabila kita membuat hantaran tujuh dulang serba mewah, sedang di ceruk desa dan kampung, ada tujuh ratus dulang hati-hati rakyat yang terbiar menanti bantuan? Tergamakkah kita memakan juadah dan majlis santai meraikan pengantin, tetapi dalam masa yang sama, ada mereka yang menjerit kesakitan kerana luka dan berpenyakit kronik. Ada yang menjelir lidah kerana tidak pernah merasa apa itu ‘Pizza’ atau KFC?

Memang ini ia di sisi lain yang mungkin akan dijawab ia tidak ada kena mengena. Tetapi itulah sebenarnya gambaran masyarakat kita. Jika ia tidak dilakukan oleh pihak yang terlibat, siapakah pula yang bertanggungjawab menggembar–gembur hal ini, sampaikan golongan seperti ini dewa-dewi dari segala dewa-dewi?

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) memandang berat hal ini. Ia bukan satu tafsiran cemburu tetapi mestilah dilihat dalam bentuk keprihatinan, kepekaan terhadap orang lain yang turut menjadi anggota masyarakat Malaysia. Ia juga satu bentuk budaya bermegah, membazir yang tidak dituntut oleh mana-mana agama mahupun budaya yang sihat.

Sederhana adalah yang terbaik dan CAP mengharap semua pihak dapat mengamalkan sikap dan budaya ini.

2 comments:

  1. Zaharah

    Salam.

    Wah! Nampaknya Tukya tolong meluahkan apa yang berbuku di hati saya lewat beberapa hari ini. Yang menyebabkan saya mengambil keputusan untuk berpuasa daripada membaca berita, baik di akhbar ataupun di tv.

    Tukya,
    Ah, dunia selalu membawa pelbagai persoalan dan rasa yang bersimpang siur di fikiran dan hati kita.

  1. ~albazrah~

    Mungkin ini benih-benih kejatuhan sebuah tamadun.