KES MURTAD DI SISI LAIN
Posted byJika nama asalnya Nurhidayahtullah binti Akhbar Agung, kemudian ditukar kepada Nur Jesica Jacob kemudian ditukar lagi kepada Sara Lucas untuk menafikan keIslaman asalnya, apalah kita perlu ambil peduli? Bukankah hak menganut agama itu hal individu? Kenapa kita mesti sebuk?
Jika ia sudah membuat keputusan begitu rupa, sampai hilang status bangsanya sendiri, apa pentingnya kita hendak mempertahankan keMelayuannya. Sudah berapa ramai, yang bermohon penukarannya, dalam masa menunggu kelulusan, mereka dengan sendiri sudah keluar dan sudah tidak jadi Melayu lagi. Di sisi Islam, ia secara automatik sudah tidak Islam.
Kalau kita hebuh-hebuhkan, akan kembalikah mereka menjadi Melayu tulin? Jika kita membantah juga, apakah perkara ini seperti masuk panggung dan boleh keluar sekejap membeli kuaci kemudian masuk semula?
Bukankah untuk mengambil ukuran bercakap Melayu, cakap Melayu sekarang pun sudah kian pupus? Mau mengambil ukuran budaya? Bukankah budaya Melayu pun sudah dikoyak-koyak? Jika mengambil perkiraan di sisi agama, agama pun sudah jadi kucar kacir.
Jadi untuk apa pula kita hebuh-hebuh, sedangkan hakim dan mufti, pegawai pentadbir dan pemelihara undang-undang syariah, termasuk juga ketua-ketua agama, (sebahagian besar) tidak pernah bersuara dalam pemurtadan dan kemurtadan orang Islam. Dan apa untungnya kalau kita tahu Islam Syarifah Syuhada kalau sejak kecil si Syarifah Syuhada (contoh; semoga tidak wujud nama ini) tidak pernah kenal apa itu Islam, sedangkan ia lebih dekat dengan rumah persembahan, kemudian dia dimandikan dengan air sumpah dan kemudiannya menggilai pemuda Ambon beragama Melinium.(Contoh agama baru di era Islam Hadari)
Kerana ia merasa ia bukanlah dan tidak pernah disentuh sedikit pun roh Islam, maka adakah tidak patut dia memohon menukar nama dan agama asalnya?
Kita hebuh kerana kita seperti kenal Syarifah Syuhada atau Nurhidayatullah. Ia seakan-akan beragam Islam walaupun tidak pernah solat. Kita pun mendakwa dia Islam dari segi kuantitinya saja. Kita akuinya kerana ia salah satu buih-buih umat Islam.
Ertinya kitalah sangat prihatin dan peka , walaupun iman yang terlibat itu senipis kulit bawang. Walaupun ia cuma buih, tentulah ia dikatakan Islam juga. Maka kerana atas nama Islam, kita merasa bertanggung jawab ke atas maruah Islam, bukan kerana nama Nurulhidayatullah atau Syarifah Syuhada yang sekaligus Melayu kebetulan Islam, misalnya.
Maruah dan kesucian Islam dan ianya hanya dirasai oleh sebahagian orang, bukan semua. Ia dirasai dan terasa sentuhan oleh mereka yang memiliki iman, yang membaca dan mennghayati frasa dan klausa tersebut.
Tapi malang klausa inilah pula yang tidak dirasai oleh orang-orang yang kononnya bersikap terbuka, liberal. Manakala hakim-hakim yang beragama Islam telah juga menunjukan tidak peka beradasarkan mereka sebagai pengamal undang-undang mesti berlaku adil di atas fakta kes. Termasuk juga para penguasa agama dan pemimpin politik yang kononnya bersikap lebih terbuka atas nama Malaysia negara majmuk dan perlu menghormati agama lain.
Maka tidak hairanlah hal ini bukan saja tidak dipeduli, malah dibiar begitu-begitu. Oleh itu kita merasa tersangat malu apabila ada seorang anggota penting dalam Biro Agama sebuah parti politik tercangak-cangak apabila diminta bercakap tentang Perkara 121(1A) dalam satu forum. “Menatang apa Perkara 121 (1A)?” tanyanya dengan bisk-bisik. Dan kita menjadi terpinga-pinga apabila ada menteri yang menganggap terhadap kumpulan yang peka dan bertanggung jawab dalam hal ini dianggap kumpulan bodoh.
Inilah salah satu punca mengapa soal-soal murtad dan sensitiviti agama dan Enakmen-enakmen, Akta, Peraturan, Jadual yang ada dalam perlembagaan yang ada sangkut paut dengan Islam, menjadi sebegini rupa sejak akhir-akhir ini. Tetapi dalam masa yang sama orang-orang seperti inilah pula yang bermati-matian mempertahankan Islam agama rasmi persekutuan.
Ternyata orang-orang seperti ini, agama bukanlah pancang dalam hidup mereka. Apabila mereka hendak bercakap dalam majlis atau merasmikan acara kerana tentatifnya tertulis nama mereka, maka mereka akan meminta setia usaha atau mana-mana pegawai yang tahu tentang agama, menulis teks untuk dia berucap.
Mereka bercakap semata-mata untuk menyesuaikan teks dengan bentuk majlis. Dan bukan mustahil jika mereka berucap pula dalam majlis perasmian jenama arak yang baru, mereka akan ketepikan pula hal agama. Mereka akan mencari hujah untuk menggambarkan keterbukaan mereka.
Seperti kes Nurhidayatullah atau Jasica Lucas (nama yang tidak ada kena mengena sama ada yang hidup atau yang sudah mati) misalnya, kita melihat bukan saja hal-hal agama itu cuba dipertikai walaupun beberapa klausa, peraturan dan jadual sangat nayata bagaimana isu agama Islam tidak seharusnya dipertikai, ditentang dan diforumkan tetapi jelas kita melihat bagaimana orang Islam itu sendiri tidak tahu menghormati, memahami dengan tepat dan betul. Jelas yang berlaku sekarang, kebanyakan orang Islam sendiri bercakap di sisi lain sebagai membuktikan mereka orang yang liberal, terbuka dan menganggap kebebasan bersuara dan beragama itu mengatasi apa yang tercatit di dalam perlembagaan atau peraturan.
Oleh yang demikian bukanlah soal Syarifah Syuhada atau Nurhidayatullah atau Jasica Jacob keluar dari Islam tetapi sikap ‘beberapa kerat’orang Islam itu sendiri sebenarnya. Ini termasuklah penguasa-penguasa agama, hakim-hakim yang beragama Islam atau pemimpin politik yang turut juga bertanggung jawab terhadap agamanya (Islam)
Manakala golongan orang Islam yang bercakap dan mempertahankannya hanyalah dari jongos-jongos agama, kadi, mufti dan ulama yang pada anggapan mereka tidak mempunyai kuku dan tersangat nihil pemikiran mereka.
Contoh yang terbaik dapat kita lihat apa yang diterima oleh Mufti Negeri Perak, Dato’ Seri Hj Hairussani yang dianggap siapa lebih besar dalam menangani isu seperti ini.
Pandangan dan hujjah mereka yang berlandaskan perlembagaan, undang-undang, percahan dan jadual dinafikan. Manakala media dikelola dan dikendali oleh mereka yang kosong ilmu dalam hal ini. Mereka lebih memahami dan takut soal-soal Akta Rahsia Rasmi, sensitif isu dari perkara-kara agama. Maka apa yang disiarkan oleh media hanyalah lontaran lojik dari golongan yang dikatakan sekkular, liberal.
Dalam Resolusi Perhimpunan Sejuta Umat pada 23 Julai 2006 yang lalu, yang dibuat di Masjid Wilayah Persekutuan menyebut; The New Straits Times dan The Star sering memberi keutamaan kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh kumpulan ini dan menahan pula daripada menyiarkan kebanyakan pandangan yang menentang. Di sebut juga seperti SIS dan HAKAM adalah penentang kuat syariah telah diberi ruang yang luas dan mereka menulis sesuatu yang negativ.
Mana dia pemimpin dan orang-orang yang Islam yang mempunyai kuasa tentang media? Ini kes Islam, kenapa orang Islam yang mempunyai kuku tidak prihatin dan tersentuh dalam soal ini?
Kita melihat ini dari segi perlembagaan dan undang-undang. Mengapa orang yang sering mempertikaikan klausa perlembagaan, undang-undang dibiarkan begitu-begitu sedangkan di sisi lain, misalnya soal-soal sensitivit bangsa, ISA dan perkauman mereka mampu bersuara dan menyekatkan?
Barangkali sudah ada di zaman ini sebahagian besar orang Islam menganggap Islam itu tidak lebih dari budaya.
Tidak perlu kita pergi lebih jauh dalam soal agama ini. Lihat saja percambahan kuil-kuil yang tidak mengikut peraturan Kerajaan Tempatan, Akta Tanah, sensitiviti masyarakat yang berlaku di mana-mana. Contohnya seperti perarakan yang tidak ada kena mengena dengan agama, dibenarkan berarak menganggui orang awam, pada hal perarakan itu hanyalah upacara kemegahan etnik.
Kenapa mereka yang mempunyai kuasa, yang mampu bertindak, yang berhak mengeluarkan arahan tidak berbuat demikian? Apa yang berlaku sekarang kita melihat golongan ini ingin mebberi tahu kepada orang lain bahawa mereka bersikap terbuka dan hanya menghafal ‘kebebasan beragama’ tetapi tidak melihat lebih jauh tentang hak dan kejawipannya terhadap agama yang dianutinya.
Pada satu waktu dulu saya pernah menulis surat kepada pihak yang meluluskan perarakan yang kononnya berimejkan agama, di mana perarakan itu melampaui ke taman-taman perumahan hanya untuk menuju ke sebatang sungai cetek. Perarakan itu alasan saya bukan perarakan tuntutan agama kerana tidak ada bab-bab seperti dituntut dalam agama itu. Apa yang saya dapat jawapan dari penguasa tersebut, hanyalah senyum sinis dan menganggap saya sebagai orang yang fanatik agama. Dan lebih malang jawapan yang diberi ialah kita perlu menghormati agama lain.
Oleh yang demikian apa yang kita hadapi sekarang bukan disebabkan Syarifah Syuhada atau Nurulhidayatullah menukar nama jadi Suzi atau Jesica Jacob dan terus keluar dari Islam, sebaliknya di sisi lain, bahawa sebenarnya hal ini hal maruah, hal undang-undang, hal peruntukan perlembagaan.
Tulisan ini pastinya ditujukan kepada mereka yang ada kuasa, baik para hakim, pendakwa, golongan yang kononnya terbuka atau liberal. Mereka sebenarnya mampu berfikir kearah hak dan maruah Islam. Mereka bukan tidak mampu berkata tidak tetapi sengaja tidak mahu berkata tidak.
Kenapa mereka yang ada kuasa, yang mampu mencipta Akta Tambahan dan Peruntukan, Jadual-jadual di dalam Perlembagaan tidak berbuat demikian? Tidak bolehkah diwujudkan badan kehakiman bagi menyelesaikan pertikaian ini secara adil?
Tidak adakah orang undang-undang, hakim-hakim yang tahu tentang seluk belok undang-undang Islam? Dan yang lebih penting, apakah tidak ada secebis pun rasa tanggung jawab terhadap Islam yang disebut di dalam Perlembagaan?
Sekarang mahkamah secara tidak langsung dijadikan medan berhujah tentang Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan. Apabila berhujah, golongan ini menunjukan kebebalan mereka untuk meletakkan perundangan syariah sekadar ‘ administrative personal tribunal’ yang boleh diketepikan bila-bila masa oleh Mahkamah Tinggi berdasarkan hanya undang-undang sivil.
Mahkamah-mahkamah syariah diletakan di dalam perlembagaan dengan kuasa-kuasanya tetapi gologan ini berusaha meletakkan hak mahkamah syariah di luar biadang kuasanya dan berusaha dengan segala upaya menidak setandingnya dengan mahkamah sivil.
Ia sangat tidak bersifat ilmu tetapi lebih kepada sakit hati, tidak senang, resah kerana mereka menemui Islam dalam keadaan sakit jiwa.
Kenapa jadi begini? Di mana penguasa, pemimpin dan mereka yang mampu menterjemahkannya atas tanggung jawab terhadap agama yang mereka anuti?
Jangankan hal ini tidak dipeduli, sebaliknya pemimpin politik beragama Islam, cuba menunjukan kelibralan mereka, keterbukaan mereka kerana hipokrit, sanggup menyokong hasrat menyamaratakan semua agama, turut menyokong perjuangan kebebasan berfikir secara mutlak sampaikan soal murtad patut diberi kebebasan kepada umat Islam. Tidak cukup dengan itu, diminta hapuskan pula undang-undang kawalan berasaskan agama dan memperlekehkan institusi agama, undang-undang syariah.
Pada hal, sekiranya mereka ingin membuka sedikit ruang untuk berfikir tanpa perlu beristighfar berkali-kali pun, mereka sedar betapa Malaysia adalah negara berdaulat dan Islam sudah termaktub dengan perkara 3nya; Islam adalah agama Persekutuan.
Bukankah semua rakyat, termasuk pemimpin, lebih-lebih lagi yang beragama Islam terlibat pmempertahankan dan melaksanakan ikrar yang Dipertuan Agung, menurut Perkara 37 Perlembagaan Persekutuan di mana semua berkewajipan memelihara Agama Islam?
Bukankah semua, termasuk mereka yang memiliki kuasa, pengaruh, sedar bahawa undang-undang dan polisi hendaklah mengambil kira pandangan Islam dan tidak boleh menyanggahi prinsip Islam? Dan bukankah menjadi provokasi sekiranya ada cabaran tentang kedaulatan Islam dan membolehkan timbulnya ketidakstabilan negara?
Kerana itu kes-kes murtad dan apa yang berlaku kepada Syarifah Syuhada atau Nurulhidayatullah atau Suzi atau Jesica Jacob (bukan nama sebenar) pada sisi lain sangat merbahaya kepada kesetabilan umat mahupun maruah Islam itu sendiri.
Pada sisi lain juga bukan sekadar kes murtad Hidayatullah atau Jasica Jacob, tetapi masa depan kedudukan Islam akan menjadi kuasa marjinal, sampah di sisi undang-undang dan melukut di sisi kewibawaan perundangan mahkamah.
Urusan perundangan yang bersangkut paut dengan Islam, akan menjadi barangan yang ‘expired’ dan senantiasa diperbaharui ketika berhadapan dengan mahkamah.
Soalnya, apabila kes-kes murtad yang berlaku kini, apabila mempertikaikan di mana patut diletak dan harus diubah institusi perbicaraan, di mana maruah dan iman golongan yang bertanggung jawab ini?
Katakan kes murtad mengalami kekalahan dari segi teknikalnya saja, apakah golongan yang bertanggung jawab ini akan ketawa; ia adalah keadilan undang-undang dan itulah Islam sebenar.
Kita ingin bertanya, bagaimana masa depan setelah golongan ini kojol nanti? Di sisi lain, akan apa jadinya undang-undang Islam ini?
Amin.
0 comments:
Post a Comment