Jika Mahu Masjid Berfungsi, Berhati-hatilah!

Posted by Tukya

Apabila Datuk Seri Najib, Timbalan Perdana Menteri mahukan Jabatan Agama Islam Negeri membantu jawatankuasa masjid yang sedia ada, kebanyakan dianggotai golongan tua menubuhkan pasukan yang turut dianggotai ahli akademik dan tenaga profesional dari kalangan anak tempatan atau dari luar, itu bukanlah satu saranan yang luar biasa. Bagaimana pun ia haruslah dialu-alukan demi memartabatkan status masjid itu sendiri.

Tetapi apabila Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan mahu dikalangan profesional dilantik menganggotai jawatan kuasa kariah masjid bagi meningkatkan fungsi lebih 10,000 masjid di seluruh negara sebagai pusat penjanaan ekonomi, kecemerlangan ilmu dan khidmat komuniti, kita ingin bertanya pula, apakah ia benar-benar serius, dan adakah itu satu anjakan telus?

Kenapakah mesti dari kalangan profesional atau akademik kalau selama ini masjid hanya dianggap malah dijadikan sebagai rumah ibadah orang-orang kolot, tempat singgah haji dan lebai dan tempat menyebar dakyah yang bukan-bukan? Sesuaikah dengan status profesional mereka dan mahukah mereka ini dibayar gaji sama dengan elaun imam dan bilal yang menjadi hamba rumah Allah dua puluh empat jam?

Apapun yang berkaitan perkara di atas saya rasa boleh diatasi dan ianya akan berjaya sebagai sebuah institusi agama yang berfungsi. Tetapi ada satu hal yang saya rasa tidak akan dilakukan oleh kerajaan di bawah pemerintahan Umno buat masa kini dan selamanya, sementelah sebelum ini, iaitu lantikan secara bebas.

Dan jika ia dikendalikan oleh Jabatan Agama secara telus dan bebas, ia akan menjadi takuk lama juga. Punca utama ialah kerana campurtangan orang Umno dan kerajaan di bawah pimpinan Umno. Itu saja masalahnya.

Contoh-contoh yang boleh kita jelaskan di sini ialah mana-mana masjid yang sekarang ini dianggotai oleh orang-orang Umno sebagai jawatankuasa, kebanyakannya masjid itu selekeh, malap, tak bermaya dan sepi dari segi memakmurkannya, apa lagi aktiviti-aktiviti keagamaan, walaupun ada dari kalangan jawatankuasa itu ahli-ahli profesional dan akademik. Jika ada pula mereka terdiri dari profesional dan akademik tetapi menjadi Umno totok, mereka sama saja tarafnya dengan lebai dan haji yang menjadi jawatankuasa.

Hujah ini tidak pula bererti jawatankuasa yang bukan ahli Umno begitu bagus dan cemerlang tetapi jika dibuat perbandingan, ternyata mana-mana masjid yang ahli jawatankuasanya ramai dari kalangan ahli Umno, maka begitulah jadinya.

Maka jalan terbaik dalam masalah ini ialah dengan melantik ahli jawatan kuasa secara bebas, mengikut suara anak kariah dengan sokongan jabatan agama negeri.

Selama ini kebanyakan negeri-negeri, ahli jawatankuasa masjid ditunjuk oleh jabatan agama malah diarah dan disenarai nama-nama tertentu: ini orang kita, itu bukan dari parti kita dan akhirnya jadilah masjid tersebut, imam dan bilal saja yang berjemaah.

Di sebelah utara ini saya selalu singgah solat asar dan maghrib di sebuah masjid di mana jawatankuasanya terdiri dari Umno totok, di mana jawatankuasanya itu dilantik oleh jabatan agama dengan tegar dan bebal dalam bidang kuasa itu. Sedangkan di kariah itu terdapat beberapa orang cerdik pandai, Dr dan pensyarah tetapi mereka tidak pernah dilantik. Satu hari imam tua itu bersungut; mujur cikgu singgah berjemaah, kalau tidak saya dengan bilal saja yang berjemaah.

Saya hanya tersenyum.

Ada satu sebab yang menjadi punca bagaimana masjid-masjid yang dikuasai oleh Umno ini tidak makmur, tidak aktif dan tidak menyerlah sebagai pusat ibadah. Sebab inilah yang menjadi penyakit merebak dan meroyak sampaikan terkenal dengan kata-kata; masjid kalau orang Umno kuasai, begitulah jadinya.

Puncanya ialah kerana FOBIA terhadap Islam. Sekiranyua Umno (termasuk jawatankuasa kariah dari kalangan Umno) tidak menganggap Islam itu sebagai fobia, kita rasa Insyaallah fungsi masjid seperti yang dikehendaki oleh Timbalan Perdana Menteri akan berhasil.

Penyakit dan persasaan fobia ini sangat menghantui Umno. Jika lima jawatankuasa, dua darinya ahli Umno maka lihatlah apa yang akan terjadi. Jika tidak dihujani dengan kritik-kritik di belakang tabir, masjid itu akan sering dihujani dengan komplen, aduan, acuman kepada pihak atasan atau catatan kehadiran mesyuarat jawatankuasa menjadi pincang dan tak seimbang.

Dan yang lebih malang kiranya yang dipertua jabatan agama atau majlis agama sesebuah negeri itu terdiri dari orang neutral atau tidak berparti. Malah yang teruknya pula apabila yang dipertua atau pengerusi jabatan agama/ majlis agama dari orang Umno.

Sesiapa pun boleh membayangkan bagaimana jadinya perjalanan masjid tersebut.

Yang kita maksudkan fobia ini adalah kerana, dari kalangan Umno kariah, yang begitu taksub dengan Umno menganggap sebarang ajaran, ceramah, kuliah, aktiviti yang bersifat Islam, adalah merbayaha. Akan dianggap, apabila ada ceramah, kuliah dari tokoh-tokoh agama sebagai tokoh kontravesi, sensitif, menghasut, berpolitik. Mereka tidak pernah menilai isi ceramah itu.

Dengan ramainya anak jemaah hadir mengikuti kuliah, maka terfobialah jawatankuasa ini dan sekaligus gelisah kalau-kalau anak jemaah terpengaruh dengan fahaman Islam dan apabila anak-anak jemaah kuat dengan fahaman Islam, akan terjejaslah pengaruh keUmnoan mereka. Begitu aqidah mereka.

Tulisan ini bukan satu analisis atau kajian dari pakar-pakar tetapi sesiapa saja boleh melihatnya pada mana-mana masjid jika ahli jawatankausanya terdiri dari Umno totok.

Apapun kita tidak menuduh Umno pada mana-mana kariah sebagai golongan yang anti Islam. Jawatankuasa ini sebenarnya akan mengalu-ngalu apa-apa aktiviti yang akan dibuat atau gembira jika tokoh-tokoh besar dijemput berceramah atau seronok jika acara ilmu yang boleh membantu anak kariah. Tetapi dalam masa yang sama jawatankuasa itu akan membuat penyelidikan bebal, penyelidikan Abu Jahal dengan bertanya secara bimbang, secara orang fobia; Tak apakah? Bolehkah? Ehhh, nanti kita tak dapat bantuan? Penceramah itu orang kiri. Jangan cakap politik. Jangan bercakap tentang jihad. Jangan sentuh perjuangan umat islam di Iraq, di Palestin, di Lubnan dan lain-lain lagi, yang apa saja berkaitan dengan perjuangan Islam.

Maka mereka pun sangat bersetuju menjemput penceramah yang hanya bercakap tentang rukun solat, fardu wuduk atau tanggung jawab suami terhadap isteri. Masuk bulan ketiga, anak jemaah berkurangan. Pungutan untuk sagu hati penceramah berkurangan dan akhirnya tutup.

Jika masjid itu agak maju, diadakan perpustakaan, dibina sebuah kedai buku, maka semua buku-buku pasti ditapis. Pastinya buku jihad, negara Islam, politik Islam, tokoh perjuangan dan lain-lain yang berkaitan dengan semangat perjuangan tidak akan dibenar.

Semua ini kerana fobia dan kefobiaan ini tidak disedari oleh mereka. Pada mereka apa saja kegiatan agama di masjid yang dianjur dan dibuat oleh bukan Umno, semuanya bersifat ekstrimis, menentang kerajaan, memecah belah dan politik. Tetapi yang dilakukan oleh mereka secara tidak sihat, tidak mengapa. Bayangkan ajaran dari mana yang mereka pelajari, majlis atau aktiviti yang diadakan selepas asar, dengan perasmian oleh orang politik, kadangkala kerana ‘politik’, wuduk pun tidak diambil dan terus berjemaah. Bayangkan selepas solat asar, dilakukan pula solat sunat.

Tulisan ini tidak berhasrat hendak memburuk-burukkan Umno. Tetapi kita sangat bimbang jika saranan dari Timbalan Perdana Menteri itu dianggap sebagai satu kehendak Timbalan Perdana Menteri lalu kalangan Umno di kariah masing-masing melompat gembira dan menganggap ini satu kemenangan. Lalu jika ada projok hendak membesarkan masjid, merekalah yang mula-mula menyerah borang tendar.

Pada mereka, menguasai masjid bererti menguasai semua anak kariah. Fobia mereka apabila sesuatu aktiviti atau majlis ilmu berteraskan agama.

Jika fobia ini boleh diatasi kita rasa hasrat mengembalikan fungsi masjid akan berhasil. Kita alu-alukan dari kalangan Umno sendiri menjadi jawatankuasa tetapi janganlah terlampau fanatik dan fobia. Tarbiahkan lebih dahulu supaya menjadi orang yang telus, jujur dan bekerja atas dasar ‘mardotillah.’

1 comments:

  1. Pakteh

    Pilihlah orang yang mengendalikan urusan masjid ini dari kalangan "ahli" yang berwibawa dari segi ilmu agamanya.

    Penguasaan Bahasa Arab juga tidak boleh dilihat enteng sekiranya mahu institusi masjid disegani para jemaah. Jangan jadi seperti
    khatib tamu
    yang berkhutbah tetapi buat kesilapan dalam sebutan Bahasa Arabnya.