Buku: Sangeetha papar cinta dua bangsa

Posted by Tukya Labels:

Azizi mempertemukan balu berketurunan India dengan lelaki bujang Melayu

AZIZI Abdullah yang terkenal dengan Seorang Tua Di Kaki Gunung apabila novel itu menjadi teks pelajar Tingkatan Lima pada 1990-an dan sesetengah universiti turut menjadikannya sebagai bahan kajian, kini tampil dengan karya terkini, Sangeetha.

Novel ini dikarang pada 2005 ketika Azizi dilantik sebagai Karyawan Tamu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan diterbitkan pada Disember 2006, memenangi Anugerah Buku Terpilih oleh Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur.

Sangeetha yang mengangkat kisah cinta dua bangsa tampak unik kerana ia membawa pembaca menelusuri jalinan kasih dua watak utama warga emas, Sangeetha dengan tukang kebunnya, Derus, pesara posmen.

Kisah lumrah dalam masyarakat ini kelihatan menarik di tangan Azizi apabila Sangeetha ditampilkan sebagai balu yang jauh lebih tua, tetapi bercinta dengan lelaki Melayu lebih muda daripadanya.

Novel setebal 561 halaman terbitan DBP berharga RM35 senaskhah ini mempertemukan Sangeetha (80 tahun), berasal dari Mumbai dengan Derus (70 tahun) di rumah limas potongan Perak, peninggalan Viralal.

Meskipun berhijrah di negara orang, Viralal, mampu tampil sebagai saudagar botol dan besi buruk yang berjaya dan mencipta kekayaan melalui perniagaannya itu, tanpa lupa berbudi dengan memberi derma serta sumbangan ke rumah kebajikan ketika hayatnya.

Pengarang novel ini seolah-olah cuba memadamkan stigma dalam masyarakat Malaysia bahawa orang India sebagai golongan bawahan seperti sering digembar-gemburkan selama ini, apabila mengangkat pasangan ini sebagai ahli perniagaan berjaya.

Pengarang menghanyutkan pembaca dengan pergolakan emosi dan psikologi Sangeetha yang kesunyian selepas kematian suaminya manakala Derus, pesara posmen, kebetulan tidak pernah berkahwin sebelum ini.

Detik Derus membisikkan kalimah syahadah ke telinga Viralal ketika menghembuskan nafas akhirnya sambil menganggukkan kepalanya tanda mendengar seolah-olah memberi lampu hijau kepada Sangeetha untuk merindui lelaki Melayu itu.

Setiap hari Sangeetha setia menanti kedatangan Derus ke rumahnya untuk menjalankan tugas membersihkan halaman, mencuci sangkar merbuk dan memanaskan enjin Moris Minor, milik mendiang suaminya dan sesekali membawanya ke bank atau ke pasar.

Bagaimanapun, pertemuan semula Sangeetha dengan adiknya, Meena selepas berpisah selama 40 tahun pada majlis sambutan ulang tahun ke-80 di Dewan Masyarakat Penyayang, merubah kehidupan dan hubungannya bersama Derus.

Kehadiran Meena di rumah Sangeetha menyebabkan Derus berasa dirinya tersisih kerana adik wanita itu kini menjadi penggantinya untuk menghilangkan rasa sepi dan sunyi yang selama ini membelenggu perempuan tua terbabit.

Azizi lincah menggarap perpaduan dua bangsa dengan menyelami perasaan Sangeetha dan Derus yang dimamah usia, tetapi masih memerlukan kasih sayang demi meneruskan kehidupan mereka, tanpa lelaki Melayu itu membelakangkan agamanya.

Percintaan unik kedua-dua warga emas ini berakhir apabila Derus datang menemui Sangeetha ketika sedang nazak, berkesudahan dengan kematian lelaki itu yang tiba-tiba sakit, tetapi sempat mengucapkan kalimah syahadah ke telinga cinta hatinya.

Kekuatan bahasa Azizi yang turut memanfaatkan kiasan mahupun pantun dalam menghidupkan karyanya berjaya menambat hati pembaca untuk meneruskan bacaan mereka bagi mengetahui kesudahan cerita.


INFO: Sangeetha
Karya: Azizi Abdullah
Tebal: 561 halaman
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Harga: RM 35 senaskhah
Bintang: 3

http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Saturday/Sastera/20070602124757/Article/

1 comments:

  1. Amiene Rev

    salam dan syukur,

    PENGLIBATAN para pelajar dari The One Academy dalam dunia karya sastera adalah perkara positif yang perlu diberi perhatian.

    Suatu masa nanti saya berharap akan menghasilkan karya fantasi kemanusiaan dalam terjemahan elektronik, dan memerlukan kepakaran multimedia dari pelajar-pelajar The One Academy khususnya...